DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Saturday, December 21, 2013

Kelebihan Al-Quran kepada Manusia

Al-Quran ialah Kitabullah yang terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW Al-Quran merupakan senjata yang paling mujarab yang melimpah ruah, mata air yang tidak mungkin kering, di dalamnya penuh dengan nur hidayah rahmat dan zikir. Al-Quran diturunkan untuk mengajar manusia tentang pengesaannya kepada Allah (tauhid). Konsep ibadat yang jelas dan menyeluruh agar manusia sentiasa mendapat bekalan yang baru dan segar. Mengajak manusia berfikir tentang ciptaan, pengawasan dan penjagaan yang ditadbirkan oleh yang Maha Agong agar dapat mengenal sifat-sifatNya yang Unggul.
Di dalam Al-Quran dipaparkan juga contoh tauladan dan juga kisah-kisah yang benar berlaku sebelum turunnya Al-Quran dan pada masa penurunan Al-Quran. Dengan itu manusia mendapat pengajaran dan panduan dalam mengharungi kehidupan sebagai muslim yang sejati dan benar dalam semua bidang kehidupan. Al-Quran menjelaskan juga persoalan tentang akhir kehidupan manusia, situasi terakhir yang akan dirasai oleh manusia sebelum bumi ini dihancurkan oleh Allah untuk bermulanya hari qiamat dan nasib tiap-tiap insan sama ada ke syurga atau ke neraka. Sebelum Al-Quran diturunkan ada banyak kitab suci dan suhuf yang diturunkan oleh Allah SWT kepada nabi-nabi dan rasul-rasulNya. Antara yang termasyhur ialah kitab Zabur yang diturunkan kepada nabi Daud a.s, kitab Taurat yang diturunkan kepada nabi Musa a.s, dan kitab Injil yang diturunkan kepada nabi Isa a.s tetapi tidak syak lagi bahawa Al-Quran adalah kitab yang paling utama dan termulia di sisi Allah SWT

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW telah bersabda yang berbunyi: “Dari Aisyah r.a telah bersabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu mempunyai kemegahan yang mana manusia berbangga dengannya dan menjadi kemegahan kebanggaan umatku ialah Al-Quran yang mulia”. Al-Quran terpelihara dan susunannya tidak berubah-ubah dan tidak boleh dipinda atau dihapuskan. Walaupun banyak usaha dilakukan oleh musuh-musuh Islam untuk mengubah dan meminda isi kandungan Al-Quran atau memutar belit ayat-ayat dan surah-surah, setiap kali usaha itu dibuat ia tetap dapat diketahui termasuk juga usaha golongan-golongan kuffar. Al-Quran adalah satu perlembagaan yang lengkap bagi semua aspek kehidupan, mengandungi semua yang dihajati oleh manusia walaupun sebahagian daripada huraiannya tidak terperinci. Tujuannya Allah menyuruh manusia menggunakan fikiran yang sihat dan sempurna untuk mencari dan mengkaji berpandukan saranan yang diberi oleh Allah SWT.
Dalam Al-Quran Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya telah datang kepada kau cahaya kebenaran (Nabi Muhammad SAW) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata kebenarannya dengan itu Allah menunjukkan jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaanNya dan denganya Tuhan keluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang dengan izinNya dan dengannya juga Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang betul dan harus.” (Surah Al-Maidah: 14 &15). Firman Allah SWT lagi: “Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya dan ianya menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah: 2). Sebuah hadis dari Rasulullah SAW berbunyi: “Abu Zar r.a berkata bahawa beliau meminta Rasulullah SAW memberi satu pesanan yang berpanjangan. Rasulullah SAW bersabda: “Semaikanlah perasaan taqwa kepada Allah kerana ia adalah sumber bagi segala amalan-amalan baik. Aku meminta supaya baginda menambah lagi. Tetapkanlah membaca Al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehdupan ini dan bekalan untuk hari akhirat.”

Kita dikehendaki membaca, mendalami dan menghayati isi kandungan Al-Quran kerana ia diturunkan bukan untuk dijadikan perhiasan sahaja, dengan itu kita mendapat faedah yang besar bukan sahaja pahala da keredhaan Allah tetapi juga kegunaan lain dalam kehidupan sehari-hari. Membaca Al-Quran dikira sebagai berzikir dan zikir membaca Al-Quran lebih afdal dan utama daripada zikir-zikir yang lain. Oleh itu membaca Al-Quran adalah sebagai ibadat tetapi tidaklah melebihi daripada ibadat-ibadat yang wajib. Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda: “Semulia-mulia ibadat umatku ialah membaca Al-Quranul Karim ( ibadat yang bukan wajib).”

Membaca Al-Quran disifatkan sebagai santapan rohani kepada tiap-tiap orang Islam. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis berbunyi: “Sesungguhnya Al-Quran ini ialah hidangan Allah SWT maka hendaklah kamu terima hidangan Allah sebanyak mana yang kamu boleh.” Al-Quran juga merupakan senjata yang paling berkesan untuk membersihkan jiwa dan menyinarkannya. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda: “Daripada Ibnu Umar r.a berkata: “Rasulullah SAW telah bersabda, hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Katanya dengan banyak mengingati mati dan membaca Al-Quran.”
PAHALA MEMBACA AL-QURAN

Allah SWT Yang Maha Pemurah memberi pahala yang amat besar kepada orang yang membaca Al-Quran, tiap-tiap satu huruf ada pahalanya dan tiap-tiap satu ayat pun ada ditentukan pahalanya yang tidak sama antara satu dengan yang lain. Pahala tiap-tiap huruf Al-Quran dijelaskan dalam sebuah Hadis dari Ibnu Masud r.a dari Rasulullah SAW: Daripada Ibnu Masud r.a telah berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda; Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.

Mengenai pahala tiap-tiap ayat telah disebut dalam beberapa hadis antaranya yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a telah bersabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang membaca Al-Quran sepuluh ayat dalam satu malam tidak dimasukkan ke dalam golongan yang lalai.” Sesiapa yang memelihara solat fardu tidak termasuk dalam golongan yang lalai dan sesiapa yang membaca 100 ayat pada satu malam dimasukkan ke dalam golongan yang taat. Barangsiapa yang mendengarkan satu ayat daripada Al-Quran ditulis baginya satu kebajikan yang berlipat kali ganda dan barang siapa yang membacanya adalah baginya cahaya pada hari Qiamat.

Adapun pahala membaca surah-surah banyak diriwayatkan dalam hadis-hadis Rasulullah SAW antaranya: Sesiapa yang mambaca surah Yasin dipermulaan hari, segala hajatnya bagi hari itu dipenuhi. Sesiapa yang membaca surah al-Waqiah pada tiap-tiap malam kebuluran/kepapaan tidak akan menima dirinya. Selain daripada pahala yang disebut sebelum ini, pahala membaca dalam solat dan pahala membaca dengan berwuduk lebihbesar ganjarannya daripada tidak berwuduk. Berpandukan Hadis Rasulullah SAW yang panjang dapat disimpulkan seperti berikut:
1. Pahala membaca Al-Quran dalam solat bagi tiap-tiap satu huruf seratus kebajikan.
2. Pahala membaca dengan berwuduk di luar solat bagi tiap-tiap satu huruf sepuluh kebajikan.
KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN

Orang yang selalu membaca Al-Quran semata-mata kerana Allah diberi kelebihan yang tinggi dan berbeza semasa mereka masih hidup ataupun sesudah berada di akhirat di samping kemuliaan yang dikurniakan kepada orang yang membaca Al-Quran kelebihan melimpah juga kepada kedua ibubapanya. Hadis dari Rasulullah SAW yang berbunyi: “Sesiapa yang membaca Al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, ibubapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinarannya akan melebihi daripada cahaya matahari jika matahari itu berada di dalam rumah-rumahnya di dunia ini. Jadi bayangkanlah bagaimana pula orang yang dirinya sendiri mengamalkan dengannya.”

Al-Quran juga dapat memberi syafaat (pertolongan) yang paling tinggi di sisi Allah SWT di hari qiamat. Ini berpandukan kepada Hadis Rasulullah SAW yang berbunyi: “Tidak ada syafaat yang paling tinggi melainkan Al-Quran yang bukan Nabi dan bukan malaikat dan sebagainya.” Hadis lain daripada Othman Ibnu Affan r.a dari Rasulullah SAW yang berbunyi: “Sebaik-baik kamu yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain.”
KERUGIAN MEREKA YANG TIDAK MEMBACA AL-QURAN

Dalam hadis Rasulullah SAW baginda ada menyebut tentang orang yang tidak ada langsung membaca Al-Quran dan rongga mulutnya kosong dengan ayat-ayat Al-Quran seperti rumah yang kosong dari penghuni. Hadis dari Rasulullah SAW berbunyi: “Sesungguhnya orang yang tidak ada pada rongganya sedikitpun daripada Al-Quran seperti rumah yang ditinggalkan kosong.”

ADAB MEMBACA AL-QURAN

Seseorang yang membaca Al-Quran seolah-olah ia berada di sisi Allah SWT dan bermunajat kepadaNya maka hendaklah menjaga adab-adab yang tertentu yang layak di sisi tuhan Yang Maha Agong lagi Maha Mulia. Ulamak-ulamak muktabar telah menggariskan beberapa adab sebagai panduan sepeti berikut:

1. Hendaklah sentiasa suci pada zahir dan batin kerana membaca Al-Quran adalah zikir yang paling afdal (utama) dari segala zikir yang lain.

2. Hendaklah membaca di tempat yang suci dan bersih yang layak dengan kebesaran Yang Maha Agong dan ketinggian Al-Quranul Karim. Para Ulamak berpendapat sunat membaca Al-Quran di Masjid iaitu tempat yang bersih dan mulia di samping dapat menambah kelebihan pahala-pahala iktiqaf.

3. Hendaklah memakai pakaian yang bersih, cantik dan kemas.

4. Hendaklah bersugi dan membersihkan mulut. Melalui mulut tempat mengeluarkan suara menyebut ayat Al-Quran. Hadis Rasulullah SAW berbunyi: “Sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-jalan lalunya Al-Quran maka peliharalah dengan bersugi.” Berkata Yazid bin Abdul Mallek: “Sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-jalan lalunya Al-Quran maka peliharalah dengan bersugi.”

5. Hendaklah melahirkan di dalam ingatan bahawa apabila membaca Al-Quran seolah-olah berhadapan dengan Allah dan bacalah dalam keadaan seolah-olah melihat Allah SWT Walaupun kita tidak dapat melihat Allah sesungguhnya Allah tetap melihat kita.

6. Hendaklah menjauhkan diri dari ketawa dan bercakap kosong ketika membaca Al-Quran.

7. Jangan bergurau dan bermain-main ketika sedang membaca Al-Quran.

8. Hendaklah berada dalam keadaan tenang dan duduk penuh tertib. Jika membaca dalam keadaan berdiri hendaklah atas sebab yang tidak dapat dielakkan adalah harus.

9. Setiap kali memulakan bacaan lebih dahulu hendaklah membaca Istiazah: (A'uzubillahiminasy-syaitannirrajim). Kerana memohon perlindungan dari Allah dari syaitan yang kena rejam.

10. Kemudian diikuti dengan membaca basmallah: (Bismillahirrahmanirrahim). Hendaklah membaca Bismillah itu pada tiap-tiap awal surah kecuali pada surah At-Taubah.

11. Hendaklah diulang kembali membaca Istiazah apabila terputus bacaan di luar daripada Al-Quran.

12. Hendaklah membaca dengan Tartil (memelihara hukum Tajwid). Secara tidak langsung menambah lagi minat kepada penghayatan ayat-ayat yang dibawa dan melahirkan kesan yang mendalam di dalam jiwa. Firman Allah SWT: “Kami membaca Al-Quran itu dengan tartil.” (Surah Al-Furqan: 32). “Hendaklah kamu membaca Al-Quran dengan tartil.” (Surah Al-Muzammmil: 4)

Pengertian Tartil pada bahasa: Memperkatakan sesuatu perkara itu dengan tersusun dan dapat difahami serta tanpa gopoh-gopoh. Menurut Istilah Tajwid ialah membaca Al-Quran dalam tenang dan dapat melahirkan sebutan huruf dengan baik serta meletakkan bunyi setiap huruf tepat pada tempat-tempatnya. Saidina Ali k.w berkata: “Pengertian tartil ialah mentajwidkan akan huruf-huruf Al-Quran dan mengetahui wakaf-wakafnya.

13. Hendaklah berusaha memahami ayat-ayat yang dibaca sehingga dapat mengetahui tujuan Al-Quran diturunkan oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman: “Inilah Al-Quran yang memimpin jalan yang lurus.” (Surah Al-Israi’: 9). Firman Allah SWT: “Kami turunkan Al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang mukminin.”(Surah Al-Isra’: 82) Firman Allah SWT lagi: “Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu dengan penuh barakah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.”(Surah Sad: 29)

14. Hendaklah menjaga hak tiap-tiap huruf sehingga jelas sebutannya kerana tiap-tiap satu huruf mengandungi sepuluh kebajikan. Hadis dari Rasulullah SAW berbunyi: “Diriwayatkan dari Tirmizi dari Abdullah bin Masud daripada Rasulullah SAW telah bersabda sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (Al-Quran) maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.

15. Hendaklah membaca al-Quran mengikut tertib Mashaf. Dilarang membaca dengan cara yang tidak mengikut susunan kecuali diceraikan surah-surah dengan tujuan mengajar kanak-kanak adalah diharuskan.

16. Hendaklah berhenti mambaca apabila terasa mengantuk dan menguap kerana seseorang yang sedang membaca Al-Quran ia bermunajat kepada Allah dan apabila menguap akan terhalang munajat itu kerana perbuatan menguap adalah dari syaitan. Berkata Mujahid: Apabila kamu menguap ketika membaca Al-Quran maka berhentilah dari membaca sebagai menghormati Al-Quran sehingga selesai menguap.

17. Hendaklah meletakkan Al-Quran di riba atau di tempat yang tinggi dan jangan sekali-kali meletakkannya di lantai atau di tempat yang rendah. Sabda Rasulullah SAW berbunyi: ‘Ubaidah Mulaiki r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Wahai kaum ahli-ahli Al-Quran jangan gunakan Al-Quran sebagai bantal tetapi hendaklah kamu membacanya dengan teratur siang dan malam.”

18. Hendaklah memperelokkan bacaan dan menghiaskannya dengan suara yang baik. Sabda Nabi SAW dalam sebuah hadis: “Telah bersabda Nabi Muhammad SAW, hiasilah Al-Quran dengan suara-suara kamu.”

19. Setiap bacaan hendaklah disudahi dengan membaca: (Sadaqallahul’azim).

20. Disunatkan berpuasa di hari khatam Al-Quran dan diikuti dengan mengumpul ahli keluarga dan sahabat handai bersama-sama di dalam hari khatam Al-Quran. Dalam sebuah hadis ada menjelaskan kelebihan orang yang telah khatam Al-Quran menerusi sebuah hadis yang berbunyi: “Telah bersabda Nabi Muhammad SAW, sesiapa yang telah khatam Al-Quran baginya doa yang dimakbulkan.

SURAH-SURAH DALAM AL-QURAN
Nombor SurahNama SurahBilangan AyatTempat Turun AyatTertib Penurunan Ayat
1Al-Faatihah7Makkiyyah5
2Al-Baqarah286Madaniyyah87
3Al-Imraan200Madaniyyah89
4An-Nisaa'176Madaniyyah92
5Al-Maa'idah120Madaniyyah112
6Al-An'aam165Makkiyyah55
7Al A'Raf206Makkiyyah39
8Al-Anfaal75Madaniyyah88
9At-Taubah129Madaniyyah113
10Yunus109Makkiyyah51
11Hud123Makkiyyah52
12Yusuf111Makkiyyah53
13Ar-Ra'd43Madaniyyah96
14Ibrahim52Makkiyyah72
15Al-Hijr99Makkiyyah54
16An-Nahl128Makkiyyah70
17Al- Israa'111Makkiyyah50
18Al-Kahfi110Makkiyyah69
19Maryam98Makkiyyah44
20Taha135Makkiyyah45
21Al-Anbiyaa'112Makkiyyah73
22Al-Hajj78Madaniyyah103
23Al-Mu'minuun118Makkiyyah74
24An-Nur64Madaniyyah102
25Al-Furqaan77Makkiyyah42
26Asy-Syu'araa'227Makkiyyah47
27An-Naml93Makkiyyah48
28Al-Qasas88Makkiyyah49
29Al-'Ankabuut69Makkiyyah85
30Ar-Ruum60Makkiyyah84
31Luqman34Makkiyyah57
32As-Sajdah30Makkiyyah75
33Al-Ahzaab73Madaniyyah90
34Saba'54Makkiyyah58
35Faatir45Makkiyyah43
36Yaa siin83Makkiyyah41
37As-Saaffaat182Makkiyyah56
38Saad88Makkiyyah38
39Az-Zumar75Makkiyyah59
40Al Mu'min85Makkiyyah60
41Fussilat54Makkiyyah61
42Asy Syura53Makkiyyah62
43Az-Zukhruf89Makkiyyah63
44Ad-Dukhaan59Makkiyyah64
45Al-Jaathiyah37Makkiyyah65
46Al-Ahqaaf35Makkiyyah66
47Muhammad38Madaniyyah95
48Al-Fat-h29Madaniyyah111
49Al-Hujuraat18Madaniyyah106
50Qaaf45Makkiyyah34
51Adz-Dzaariyaat60Makkiyyah67
52At-Tuur49Makkiyyah76
53An-Najm62Makkiyyah23
54Al-Qamar55Makkiyyah37
55Ar-Rahmaan78Madaniyyah97
56Al-Waaqi'ah96Makkiyyah46
57Al-Hadiid29Madaniyyah94
58Al-Mujaadalah22Madaniyyah105
59Al-Hasyr24Madaniyyah101
60Al-Mumtahanah13Madaniyyah91
61As-Saff14Madaniyyah109
62Al-Jumu'ah11Madaniyyah110
63Al-Munaafiquun11Madaniyyah104
64At-Taghaabun18Madaniyyah108
65At-Talaaq12Madaniyyah99
66At-Tahriim12Madaniyyah107
67Al-Mulk30Makkiyyah77
68Al-Qalam52Makkiyyah2
69Al-Haaqqah52Makkiyyah78
70Al-Ma'aarij44Makkiyyah79
71Nuh28Makkiyyah71
72Al-Jinn28Makkiyyah40
73Al-Muzzammil20Makkiyyah3
74Al-Muddaththir56Makkiyyah4
75Al-Qiyamah40Makkiyyah31
76Al-Insaan31Madaniyyah98
77Al- Mursalaat50Makkiyyah33
78An-Naba'40Makkiyyah80
79An-Naazi'aat46Makkiyyah81
80'Abasa42Makkiyyah24
81At-Takwiir29Makkiyyah7
82Al- Infitaar19Makkiyyah82
83Al-Mutaffifiin36Makkiyyah86
84Al-Insyiqaaq25Makkiyyah83
85Al-Buruuj22Makkiyyah27
86At-Taariq17Makkiyyah36
87Al-A'laa19Makkiyyah8
88Al-Ghaasyiyah26Makkiyyah68
89Al-Fajr30Makkiyyah10
90Al-Balad20Makkiyyah35
91Asy-Syams15Makkiyyah26
92Al-Lail21Makkiyyah9
93Adh-Dhuha11Makkiyyah11
94Al-Insyiraah8Makkiyyah12
95At-Tiin8Makkiyyah28
96Al-'Alaq19Makkiyyah1
97Al-Qadr5Makkiyyah25
98Al-Bayyinah8Madaniyyah100
99Az-Zalzalah8Madaniyyah93
100Al- 'Aadiyaat11Makkiyyah14
101Al-Qaari'ah11Makkiyyah30
102At-Takaathur8Makkiyyah16
103Al- 'Asr3Makkiyyah13
104Al- Humazah9Makkiyyah32
105Al- Fiil5Makkiyyah19
106Quraisy4Makkiyyah29
107Al- Maa'uun7Makkiyyah17
108Al- Kauthar3Makkiyyah15
109Al Kaafiruun6Makkiyyah18
110An Nasr3Madaniyyah114
111Al- Masad5Makkiyyah6
112Al- Ikhlaas4Makkiyyah22
113Al- Falaq5Makkiyyah20
114An- Naas6Makkiyyah21

PERINGATAN

1. Pembacaan Bismillah diambilkira sebagai ayat dalam surah AL-FAATIHAH.

2. Surah At-Taubah pada asalnya tidak dimulakan dengan Bismillah.

3. Jumlah Surah ialah 114

5. Jumlah Surah Makkiyyah ialah 86

6. Jumlah Surah Madaniyyah ialah 28


7. Jumlah ayat ialah 6239

Pengenalan Al Quran

1 comment:

Mohd Izwan said...

Beruntunglah mereka yang pelajari Al-Quran, sesungguhnya Al-Quran akan menjadi syafaat dan teman mereka di akhirat nanti.