DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Thursday, October 7, 2010

Mencipta Kejayaan

Kejayaan tidak mungkin hadir dengan mudah, perlu dibayar dengan perancangan yang tepat dan berkesan serta komitmen yang bersungguh dan tinggi, disamping sujud dan doa yang penuh tawadduk kepada Allah maka kecapilah kejayaan itu dengan kehebatan yang telah anda lakukan bersama insan-insan yang anda sayangi. Inilah ungkapan yang timbul di benak fikiran saya ketika ini untuk mengungguli kejayaan dalam hidup yang mana setiap manusia mendambakannya. Sehina manapun orang atau setinggi mana pun kedudukan seseorang, kejayaanlah dalam hiduplah yang melengkapan pencariannya untuk mencapai matlamatnya. Bagaimana nak Berjaya? Inilah pertanyaan pertama yang dihamburkan kepada saya oleh setiap orang yang saya kenali bila berbual pasal kejayaan.
Biasanya saya bertanya kepada mereka apa yang dia mahu pada kehidupan ini, harta yang melimpah, rumah yang besar, kereta mewah atau kebahagian yang mutlak. Hampir semua terkedu dengan soalan saya malah ada yang menjawab entah tak tau. Sedihkan bila usia kehidupan sudah dipertengahan masih ada yang tidak tahu halatuju mereka. Lantas saya memengang dan menepuk bahu mereka sambil berkata tidak apa dan masih belum terlambat untuk memperbaiki atau memperbaharui. Gejala ini disebabkan kurang keyakinan diri disamping tidak fokus dalam dalam apa saja yang dilakukannya dan mungkin juga kerana persekitaran mereka yang telah tersedia apa saja yang dimahukan. Contoh mereka yang dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai apa saja. Keseluruhannya saya tidak menyalahkan mereka kerana mungkin didikan yang kurang tepat atau pendedahan tentang hakikat kehidupan itu tidak mengikut landasan yang sebenar. Sekiranya diberikan kriteria yang betul tapi perlaksanaan dibiarkan bersendirian tanpa tindakkan lanjut dan bimbingan sehingga mereka boleh berdikari. Dalam menyelesaikan permasaalahan ini saya lebih suka mengambil tindakkan menang-menang kerana hasilnya amat produktif iaitu mereka berjaya dan kita puas hati disamping bantuan yang diberikan akan diperturunkan pada yang lain dalam konsep infiniti dan istiqamah.

Perkara pertama yang saya tekankan pada mereka adalah ‘Kehebatan Diri’. Setiap orang ada kehebatan diri masing-masing sebab itu lahirnya Jurutera, Doktor, Peguam, Guru, Akauntan dan bermacam lagi. Ada yang tidak percaya yang mereka ini hebat sebab tak tahu macam mana nak keluarkan kehebatan diri itu. Lantas saya bawa mereka kembali kesaat pertama mereka dijadikan oleh Allah melalui penyatuan kedua ibubapa mereka. Firman Allah, ‘Dan sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dari pati yang berasal dari tanah. (Pati yang berasal dari tanah, ialah pati makanan yang berasal dari tumbuh-tumbuhan dan tanaman yang tumbuh di bumi).Kemudian Kami jadikan pati itu setitis air benih (air mani), pada tempat penetapan yang kukuh. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging, kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa ketul daging, kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang, kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya (keadaannya yang asal serta ditiupkan roh padanya). Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik baik Pencipta’(surah Al-Mu'minun,juz kelapan belas ayat 12, 13 & 14). Setiap benih yang dikeluarkan oleh ayah untuk bencantum dalam rahim ibu mengandungi jutaan kembar atau adik-beradik mereka. Sewaktu proses ini setiap sel berlumba atau berhempas-pulas untuk sampai ke ovari ibu untuk menjadi manusia pilihan. Hebat tak, berjuta bukan sedikit tapi kita yang berjaya menjadi insan pilihan dan kemudian dilahirkan kedunia menjadi ‘insan terpilih’. Kalau kita tidak hebat kenapa kita tidak biarkan saja antara yang berjuta itu keluar dan bukannya kita. Bermakna kita dah hebat dari awal lagi jadi bangun dan keluarkan kehebatan itu. Biasanya mereka baru tersedar dari lamunan yang mereka dah nampak apa makna kehebatan pada diri mereka. Waktu begini saya mula menanamkan semangat untuk mula berjuang mencari titik kejayaan bagi diri mereka. Jangan biarkan mereka luntur semangat, sentiasa mengingatkan diri mereka harus meneruskan kehidupan mereka dengan cara yang betul mengikut landaskan yang ditetap oleh Allah sejak azali lagi.
Seterusnya dalam keadaan bersemangat mereka bersungguh untuk melakukannya tapi akan berhadapan dengan masaalah. Kalau mereka tidak diterangkan selanjutnya akan timbul rasa serbasalah atau mampukah mereka berhadapan dengan bermacam-macam ujian dan halangan dihadapan mereka. Ini sedikit sebanyak akan membuatkan mereka rasa rendah diri dan mula memberi alasan yang adakala memang logik. Dengan penuh kasih sayang saya bentangkan pada mereka apa sebenarnya masaalah. Masaalah perlu diselesaikan dengan cara yang betul dan tepat supaya tidak lagi menjadi masaalah. Saya perkatakan pada mereka, cari dahulu punca masaalah dan dari mana datangnya. Selesaikan masaalah tersebut sebaik mungkin samada kecil, besar, ringan, berat, susah atau senang sehingga betul-betul boleh diselesaikan. Andaikata masaalah itu datang kembali sebenarnya kita yang bermasaalah kerana tidak dapat menyelesiakan masaalah tersebut dengan betul jadi uruskan semula sampai selesai. Jadi kalau kita amalkan selalu perkara begini lazimnya akan menjadi kebiasaan dalam kita menyelesaikan masaalah dan apa yang dihadapi dapat kita tempuhi dengan jayanya. "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." - Surah Al-Baqarah ayat 216

Kehidupan ini bukanlah permainan, bukanlah hanya untuk bersenang-senang, bukan pula hanya senda gurau belaka. Kehidupan ini tak lain adalah ujian bagi seorang manusia. Sebuah jalan untuk menuju kepada kehidupan yang kekal abadi. Manusia diuji sesuai dengan kemampuannya, ada yang diuji dengan hartanya, kedudukannya dan anak – isterinya. Semua tidak lain adalah untuk mengetahui keimanan seseorang. Mengetahui siapakah yang pantas untuk mendapatkan kemenangan di hari akhir kelak. "Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." - Surah Al-Baqarah ayat 286. Masih saya ingat lagi ketika alam persekolahan dimana ayah dan ibu bukan ada pekerjaan yang tetap atau bergaji, hanya bekerja sebagai petani. Segala keperluan untuk meneruskan kehidupan perlu dicari, usahakan sebelum kita menikmat. Kalau nak makan sayur, saya kena menanam dahulu baharu dapat merasakannya. Begitu juga nak makan nasi perlu ke bendang untuk menanam dan menuai padi sebelum dijadikan beras. Berlandaskan konsep ini menjadi sebati dijiwa saya, apa saja keperluan dalam hidup perlu diusahakan dahulu sebelum menikmatinya. Perkara begini saya ambil sebagai asas untuk memastikan anak-anak saya untuk mencapai kejayaan. Percayalah tiada yang percuma didunia dalam mencipta kejayaan yang mutlak … nanti saya sambung kebahagian ke 2

Monday, September 6, 2010

Airmata Ramadhan

Ramadhan 1431(2010)telah sampai kepenghujungnya maka berakhirlah bulan yang penuh barakah yg tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain. Hati menjadi sayu apakah aku mampu sampai lagi pada Ramadhan yang akan datang. Kerapkali aku menangis samada ketika sujud atau berdoa memohon keampuan dari Allah atas kesilapan dan dosa-dosa yang lalu hingga sampai satu keadaan aku tak mampu menyembunyikan kesedihan yang aku alami dengan titisan airmata penyesalan. Benar kata pepatah, ‘Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna’. Alhamdullillah dapat ku tempuhi Ramadhan kali dengan penuh keinsafan setelah sekian lama merantau dinegara orang. Ada perbezaan berpuasa bersama keluarga tercinta dan diperantauan kerana kita dapat lihat bagaimana anak-anak berpuasa kemudian berbuka bersama-sama, cukup menyeronokkan akan tetapi diperantuan hanya melayan keseorangan. Apa pun satu pengalaman yang cukup berharga buat ku melalui hidup dalam berbagai keadaan didunia ini. Mungkin kita rasa susah akantetapi masih ada disatu-satu tempat didunia ini yang kesusahan tak boleh digambarkan tapi mereka melalui dengan penuh tabah dan redha.

Masih terbayang diruang mata ketika berkhidmat disebelah pantai timur bersama sahabat baik dari Melaka keturunan cina. Siapa sangka dia mampu berpuasa selama sebulan dan yang paling menarik serta melucukan tentang beliau bila ke bazaar Ramadhan, seboleh nak membeli apa saja yang ada. Saya menasihatkannya tak perlu membeli banyak-banyak kerana hanya berdua tapi jawapannya agak lucu dan menyedihkan saya, ‘mana boleh seharian tak makan, lapar ni’. Saya ketawa berdekah-dekah dan katakan padanya nanti dan berbuka tak lalu makan semua tu. Kali pertama berbuka hampir-hampir dia pitam kerana minum terlalu banyak dan menasihatkannya berehat dulu setelah stabil baru ulang semula. Setelah solat saya mendekatinya sambil berkata, agak macam mana kalau yang tak dapat makan 2-3 hari sedangkan kamu baru sehari sudah tak mampu. Dia hanya mendiamkan diri, timbul simpati padanya tapi dia yang nak berpuasa. Setelah agak pulih dia bangun dan saya menyuruh dia mandi dahulu untuk mendapatkan kesegaran badan. Habis mandi dia datang sambil berkata, ‘saya ingat saya dah mati’. Saya hanya tersenyum sambil berkata padanya kalau besok tak mampu berpuasa tak perlu kerana dia tak wajib pun berpuasa. Jawapan yang saya dapat diluar dugaan, dia tetap nak meneruskan puasanya dan nanti waktu sahur dia nak makan banyak-banyak. Lagi sekali saya ketawa sambil berfikir alangkah bagusnya kalau dia memeluk islam dah tentu puasanya diterima Allah tapi saya tak mahu memaksa biarlah dengan kerelaan hatinya.

Pernah satu hari saya begitu terharu dengan sikap jujurnya. Seorang rakan melayu meminta membelikan nasi untuk makan tengahari sebanyak dua bungkus. Dia membelinya atas dasar kawan tapi bila saya lihat dia membawa sebungkus makanan terus saya menanyakan apakah dia tak berpuasa. Terus dia memarahi saya kerana bungkusan makanan itu kawan melayu dia yang beri untuk mengajaknya makan bersama-sama tapi dia menolak kerana dia berpuasa. Memalukan tapi apakan daya saya merasa cukup sedih, terus saya jumpa budak melayu sambil memarahinya kerana berkelakuan kurang sopan dibulan puasa sedangkan yang tak wajib puasa boleh bertahan. Saya memberitahu kawan saya jangan belikan lagi dan saya memohon maaf padanya atas sangkaan yang dia tak berpuasa.

Sebenarnya banyak lagi yangsaya lihat bagaimana orang yang tak berpuasa ini makan diwaktu siang hati, terpaksa makan dalam keadaan bersembunyi sedangkan mereka lupa bahawa Allah boleh melihat dimana sahaja kita bersembunyi. Apa pun kalau kita faham konsep atau erti sebenar puasa dengan sendirinya kita akan akur ketentuan atau peraturan yang ditetapkan.

Ketika merantau disebuah Negara utara Afrika (Sudan) amat mencabar kerana suhunya waktu disiang hari mencecah 50C. Biasanya antara jam 11.30pg hingga jam 3.00ptg suasana cukup lengang kerana semua orang berehat atau tidur. Waktu siang agak panjang iaitu dari 6.00 pg hingga pukul 8.00 malam. Waktu berbuka mereka cukup meriah kerana mereka membentang tikar diluar kediaman mereka smabil menikmati bersama keluara dan jiran-jiran. Seakan pesta kerana cukup meriah dan makanan pun banyak terdiri dari roti, susu, keju, kurma dan gharuf(Sejenis kambing). Terdapat juga dikalangan mereka yang tidak berpuasa tetapi tidak makan dikhalayak ramai kerana menghormati yang berpuasa.

Tidak kira dari mana, siapa kita, bangsa apa dan bagaimana kita melakukan puasa tetap sama cara, terpulang kepada individu bagaimana kita menjalani ibadah puasa sebagai madhrasah mentarbiahkan diri untuk menginsafi diri sebagai hamba yang taat.

“Wahai orang2 yg beriman, telah wajib keatas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan keatas umat2 yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa.” (Surah Al Baqarah, Ayat 183). Dan saya akui puasa kali ini menyedarkan saya betapa bersyukur atas nikmat yang dianugerahkan. Kalau nak belajar bersabar puasalah yang boleh mendidik kita ertikata sebenar kesabaran kerana setiap yang dilakukan perlu ketekunan yang tinggi untuk mencapai tahap tertinggi ketabahan hati. Dan apakah sempat bagiku untuk berjumpa ramadhan yang akan datang lalu kau berserah pada ketentuan Allah andainya ini Ramadhan terakhir aku terima dengan hati yang penuh keredhaan. Dan sekiranya perjalanan masih boleh diteruskan akan ku pimpin setiap insan-insan yang aku sayangi sentiasa berada dilandasan yang betul. Ya Allah bantulah aku dalam setiap langkah agar tidak sumbang disetiap persimpangan yang bakal aku lalui.

Allahumma inni as’aluka ridhaaka wal jannah wa ‘audzubika min sakhaathika wannaar ( “Ya Allah aku memohon kepada-Mu, ridha-Mu dan syurga; dan aku berlindung kepada-Mu dari murka-Mu dan api neraka”)
Allahumma innaka ‘afuww-un karim, tuhibbu al’afwa fa’fu ‘anni (Ya Allah.. sungguh Engkau Maha Pemaaf lagi Maha Mulia, Kau suka memaafkan.. maafkan aku)


Untuk kesekian kali tidak mungkin dapat berpuasa bersama ayah bonda, aku terlalu merindu masakkan mu bonda dan aku juga tidak lagi dapat berterawikh berimamkan ayah. Segalanya telah berlalu, “Ya Allah ampunilah dosaku dan kedua ibu bapaku dan kasihanilah keduanya sepertimana mereka mengasihaniku semasa kecil.” Tiada lagi airmata untuk ku tangisi selain berdoa siang dan malam agar mereka ditempat bersama para solihin. Mereka dan terlalu jauh tapi aku semakin dekat, agar dipertemukan semula walau hanya sekejap untuk ku kucup, ku peluk dan ku sujud kerana menjadikan aku insan bertuah lahir dimuka bumi ini. Aku dapat mendidik cucumu sepertimana yang diajarkan.

Perjalanan seterusnya samada terhenti atau diteruskan, aku perlu menjalankan tanggungjawab samada pada Allah, Rasul atau manusia terutama mereka yang paling aku sayangi. Samada berat atau ringan tetap aku tempuhi untuk menghabiskan sisa kehidupan ini
“Wahai tuhan, Aku tak layak masuk syurgamu, Namun tak pula aku sanggup ke nerakamu,
Ampunkan dosa dan terimalah taubatku, Sesungguhnya engkaulah pengampun dosa-dosa besar, Dosa-dosaku bagaikan pepasir dipantai, Dengan rahmatmu ampunkan daku, Oh ...tuhanku, Wahai tuhan, Selamatkan kami ini, Dari segala kejahatan dan kecelakaan, Kami takut kami harap kepadamu, Suburkanlah cinta kami kepadamu, Kamilah hamba yang berharap belas darimu”

Thursday, August 5, 2010

“Once in a lifetime opportunity”

(Lanjutan dari kisah Perjalananku)
Betul kata pepatah yang biasa kita dengar dari mulut ke mulut “Peluang datang hanya sekali seumur hidup” dan biasanya kita tak akan lepaskan peluang ini namun begitu, perlu ingat bahawa, walau hebat mana sekalipun peluang “sekali seumur hidup” yang datang ke arah anda, sekiranya peluang tersebut tidak ada dalam matlamat utama anda atau minat anda, berhati-hatilah dalam membuat keputusan. Apa pun semuanya bergantung kepada kehendak kita, halatuju mana kita nak pergi dan apa matlamat kita dimasa hadapan.

Hampir 20 tahun melalui pahit getir, hilang harapan malah sudah buntu mencari jalan keluar untuk membina kekuatan diri terasa keberuntungan tidak berpihak kepada saya, Alhamdullillah keluarga yang memahami memberi saya sokongan untuk terus berjuang mencari jalan keluar dalam belengu kehidupan yang umpama hanya mencukupi keperluan seharian. Peluang ni hadir pada tahun 1997 ketika saya sudah mempunyai empat orang cahaya mata dan masih menyewa (bukan rumah sendiri). Melalui seorang sahabat saya diminta menghadiri kursus yang mana saya harus membayar RM 400 (ketika itu cukup mahal bagi saya kerana lebih baik saya gunakan keperluan rumah). Saya memberi tahu beliau yang saya tak mampu nak membayar dan saya menolak untuk menghadiri kursus tersebut. Sahabat saya berkuat meminta saya pergi dengan menggunakan duit beliau dan membayar kembali apabila mempunyai duit. Satu tabiat pada saya yang susah mengambil kesempatan atas kebaikan seseorang tetapi atas dasar persahabatan saya pergi juga dengan niat ingin mencuba peluang yang terakhir ini. Andai saya gagal bermakna nokhtah kehidupan saya hanya setakat itu sahaja. Ingatkan sudah selesai dengan bayaran RM 400 tetapi saya dikehendaki memakai pakaian kot dan bertali leher. Terpaku saya sekejap memikirkannya kerana hendak membayar yuran penyertaan pun saya tidak mampu apa lagi dengan pakaian yang diminta. Lagi sekali peluang saya tetutup dan saya berkata maaf saya tidak ada pakaian begitu. Begitu mulia niat sahabat saya meminjamkan kot dan yang lain-lain. Saya benar-benar terharu atas kemuliaan hatinya (Beliau sebenarnya seorang berbangsa Tionghua). Apa yang boleh saya perkatakan semuga Allah memberi taufik dan hidayah agar ada sinar untuk beliau memilih jalan yg benar.

Kursus yang dijanjikan pun bermula dalam bulan April 1997 disalah sebuah hotel di Kuala Lumpur selama 3hari 2 malam. Kami tidak dibenarkan menghubungi keluarga mau pun kawan-kawan juga tidak dibenarkan membawa duit poket malah dompet kami dipegang oleh ‘organiser’. Saya merasa ada kelainan dari kursus-kursus yang pernah saya hadiri. Fasilitatornya berbangsa Tionghua dan fasih berbahasa melayu. Di hari pertama kami didedahkan betapa penting sikap menghormati samada pada sahabat, ibubapa, setiap individu dan juga pada Negara. Akibat tidak serious segelintir didenda atas sambil lewa dalam kursus tersebut dan ada yang diberi amaran sekiranya tidak berminat boleh menarik diri. Tiada seorang pun yg menarik diri malah saya masih tertanya-tanya apa matlamat sebenarnya kursus tersebut. Akhir kursus hari pertama tersebut kami diberikan tugas membuat pemaham dari buku yang dibekalkan untuk sessi keesokannya. Kami juga tidak dibenar keluar dari bilik penginapan kecuali dengan keizinan. Lebih teruk kami tidak dibenarkan berbual sesama teman sebilik. Apa muslihat disebalik ini semua. Saya akur akan peraturan tersebut. Saya tidak dapat menumpukan kepada buku-buku tersebut kerana sukar untuk difahami sehingga saya terlelap.

Awal pagi lagi saya dah bangun. Mungkin kebiasaan diri bangun seawal jam 5.00pagi sehingga sekarang. Selepas menunaikan kewajipan sebagai hamba terus turun kedewan makan dengan perasaan tertanya-tanya apalagi yang akan berlaku dihari kedua. Tiada sesiapa lagi didewan makan kecuali pekerja hotel tersebut. Memang sikap saya dari kecil tidak suka pada lambat atau datang selepas waktu yang ditetapkan. Biasanya saya menetapkan samada 20 ke 30 minit awal supaya apa-apa yang terjadi dapat diatasi tanpa tergesa-gesa. Selesai sarapan pagi kami ke dewan kursus untuk menyambung kembali. Agak tenang dari semalam kerana masing-masing (30orang) tertanya-tanya apa seterusnya. Pengaruh amat kuat dalam kehidupan kita seharian. Lihat sahaja iklan dimedia elotronik dan media cetak, apa saja yang dipaparkan amat mudah mempengaruhi minda kita untuk kita dekati walau kita tidak perlukan. Jesteru itu kita perlu menghalusi dan memikirkan secara bijaksana apakah kita memerlukan atau sebaliknya. Hari malang dan bertuah bagi diri saya pada hari kedua kursus itu berjalan. Malang kerana acapkali gagal menolak pengaruh dalam pembelajaran kursus tersebut dan bertuah baru saya kenal siapa diri ketika berhadapan dengan persekitaran hidup – mudah terpengaruh rupanya. Alhamdullillah saya tanamkan semangat untuk tidak lagi mudah dipengaruhi dimasa hadapan. Hingga kehari ini saya dapat menangani permasaalah tersebut malah saya tidak pernah risau apa saja jikalau saya tidak perlu saya hanya berdiam diri. Saya cukup susah hati bila ada yang menyayangi saya dan saya berbesar hati kalau ada yang tak suka pada saya. Nampak pelik tapi saya rasa selesa dengan keadaan sekarang kerana tak perlu bersusahpayah. Hanya mereka yang benar-benar mengenali saya sahaja tahu bagaimana pendirian saya. Terima kasih kepada mereka yang saya sayangi.
Akhir sessi hari kedua kami ditugaskan untuk menjual barang kepada orang awam diluar hotel berkenaan. Kami perlu menjual barangan tersebut untuk kos makan malam nanti. Andai kami gagal kami tidak dibenarkan makan malam. Dengan pakai sut lengkap dan bertali leher kami diberi tempoh sebelum jam 6.00 petang harus balik samada dengan barangan yang tak dapat dijual atau wang hasil jualan. Baru saya sedar bukan mudah nak menjual apa saja kalau tanpa ilmu dan kebijaksanaan. Saya hampir tewas kerana kesemua yang saya jumpa menolak malah ada yang mengejek dan memandang jelek. Hampir putus asa dan saya sanggup tak makan kalau saya gagal menjual barangan tersebut. Dengan niat yang ikhlas dan berserah pada Allah saya redha untuk kali terakhir berjumpa orang yang terakhir petang itu. Alhamdullillah berkat sabar dan mahu mencuba lagi dapat saya jual barangan yang ada pada saya. Pelajaran yang saya dapat dari kursus hari ini adalah, ilmu kena cukup, bijaksana, dan jangan putus asa. Ada 5 orang yang tidak dapat menjual barangan tersebut dan mereka tidak dibenarkan makan malam. Habis kursus hari kedua saya dinobatkan dengan dua ‘title’, Orang yang paling mudah dipengaruhi dan orang yang berjaya memperbaiki diri. Akhir petang kami dibekalkan lagi dengan tugasan baru untuk kami buat didalam bilik penginapan. Seperti mendapat semangat baru untuk masa hadapan saya begitu terkesan nak melakukan tugasan tersebut.

Hari terakhir saya beri tumpuan sepenuhnya dalam kelas sehinggakan apa saja aktiviti yang dijalankan saya berikan sepenuhnya penyertaan hinggakan kawan-kawan berasa pelik dengan sikap saya. Saya berkata kepada mereka saya mahu menjadi ‘saya yang baru’. Lahirnya kita didunia atas pilihan Allah SWT bermakna kita tergolong dari orang-orang yang terpilih. Bemula dari benih kedua ibubapa bersatu dalam rahim ibu yang terdiri berjuta-juta kembar kita. Kemudian kita berhempas pulas atau beradu kekuatan berenang bersama adik beradik kita yang lain untuk sampai yang pertama atau yang terkuat sampai ke obari. Kita sanggup lakukan apa saja demi untuk jadi juara. Kemudian kita dilahirkan kedunia dengan pertarungan nyawa ibu kita. Malangnya kebanyakan kita tidak mampu menjadi juara yang sebenar didunia ini malah ada yang tersungkur sebelum mampu berdiri sendiri. Tanya pada diri kita kenapa kita tidak biarkan kembar kita yang lain mengambil alih juara supaya dia mampu melakukan tugas didunia apabila kita tidak mampu melakukannya. Bangunlah wahai saudara-saudara ku sekelian untuk menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan. Jangan tewas sebelum masanya.

Mungkin ada yang tak terfikir didalam minda kita satu-satunya perkara yang kita tidak boleh pilih ialah Ayah dan Ibu. Siapa pun mereka dari mana merka dating, apakah keturunan atau bangsa dan apa saja mereka adalah Ayah dan Ibu kita. Muktamad. Seharian saya mengalirkan airmata mengenangkan ayah dan ibu yang sudah lama meninggal dunia. Sampaikan fasilitator minta saya bertenang dan saya tak mampu malah terus menangis teresak-resak. Entak kenapa rintihan hati ingin mendakap, membelai dan mencium kedua-dua ayah dan ibu saya, malangnya mereka tiada lagi lagi didunia ini. Betapa indahnya punyai ayah dan ibu yang masih hidup. Saya tak boleh lagi memanggil ‘mak dan abah’. Ya Allah Ya Tuhanku, berikanlah keampuan kepada mereka, sayangilah diri mereka sepertimana mereka menyayangi saya suatu ketika dahulu. Amin Ya Rabbil Alamin. Bagaikan tiada henti titisan airmata berjurai dipipi saya. Terus teresak-esak hingga ditempatkan dibilik lain untuk menenangkan diri. Terasa hidup tidak punya apa-apa. Betapa agungnya pengorbanan ayah dan ibu kita. Tidak terbalas dengan segunung emas atau selaut kasih sayang. Terlalu tinggi nilainya, terlalu mahal harganya. Akhir kursus saya diberikan tepukan yang gemuroh dan kata-kata peransang, saya berjanji pada diri saya sendiri ingin memulakan langkah yang baru serta ingin membina kehidupan yang lebih bermakna. Punya keluarga yang bahagia dan mampu membimbing mereka kejalan yang betul.

Sampai dirumah malam itu terus saya bersolat jemaah bersama-sama isteri dan anak-anak. Habis solat saya berdoa dan saya menangis didepan mereka, memohon sejuta kemaafan pada apa yang telah saya laku sebelum ini. Saya peluk mereka serta cium dengan penuh keinsafan. Saya katakan pada mereka Abah akan bawa kebahagian dalam keluarga ini sampai mata saya tertutup. Apa yang saya dapati hari hasil dari kursus ini dan semangat diri yang tak pernah pudar berterusan mencari sinar kebahgian hidup. Alhamdullilah apa dah saya tanam telah mula saya tuai. Hendak seribu daya tak mahu seribu dalih atau dimana ada jalan disitu ada kemajuan. Jangan salah orang lain jika kita tak mampu nak merubah diri kita sendiri.
Pengajaran yang saya dapat dari kursus ini dan inilah juga membuat saya berada ditahap sekarang;

1.Perlu hormat menghormati sesiapa saja
2.Jangan mudah putus asa
3.Berusaha tanpa jemu
4.Percaya apa yang kita lakukan itulah yang kita akan dapat
5.Explore kehebatan yang kita ada
6.Peluang hadir sekali seumur hidup, rebutlah dengan semangat nak berjaya
7.Sayangi mereka yang ada disekeliling kita, jangan sampai terlambat.
8.Sayangi ayah dan ibu umpama kita menyayangi nyawa kita
9.Jangan lupa pada siapa yang menjadikan kita – buat yg disuruh tinggal yang dilarang
10.Jadilah insan yang benar hebat dimata ayah dan ibu

Wednesday, July 21, 2010

Pesanan buat anak-anakku

(Buat Nur Munirah, Nur Fadilah, Ahmad Ashraf, Nur Syahirah dan Nur Zahirah)
Salam buat anak-anakku yg tersayang,

Alhamdullillah sampai saat ini bertuah sungguh abah rasa mempunyai anak-anak seperti kamu semua. Tak dapat abah luahkan dengan kata-kata yang kamu semua anak-anak yg hebat. Tak sia-sia selama ini, setiap kali lepas solat lima waktu abah berdoa agar dikurniakan anak-anak yang baik. Walau pun masih ada kekurangan yang perlu diperbetulkan namun abah anggap bukanlah perkara yang susah kerana kamu semua mudah untuk menerima teguran dan nasihat. Kadangkala juga ada perbezaan pendapat namun kita dapat selesaikan secara terbuka dan berlapang dada. Terima kasih semua anak-anakku.

Sudah jauh abah berjalan meniti, menapak, melangkah malah berlari mengejar impian abah untuk membina keluarga bahagia. Acapkali abah terlajak dan tersasar melalui bebagai halangan namun abah rempuh juga demi kalian semua. Jiwa abah menjadi kuat bila melihat kalian semua yang sanggup bersama dalam segala keadaan. Terima kasih juga pada emak kamu yang tak pernah serik, lelah dan mengalah menjadi isteri abah dan emak kalian. Dengan penuh tanggungjawab dan taat setiap masa emak kamu bekerja keras memastikan kamu semua mempunyai apa saja yang diperlukan seharian. Tiada hadiah yang paling beharga buat emak kamu selain cinta abah dan kasih sayang dari kamu semuga dia terus berada dalam kesihatan yang baik. Hargailah pengorbanannya sampai bila-bila. Benar kata pepatah, “Syurga itu dibawah tapak kaki ibu”. Abah memohon kepada kalian semua andainya masa abah sudah sampai, jagalah emak sebaik mungkin sebab jiwanya mudah tersentuh. Emak kamu selalu merahsiakannya dari kalian. Hanya abah yang tahu kesedihannya bila saat kalian tersasar berkata. Jangan ragut hati emak yang redha kerana bila hati emak disakiti hidup tak akan diberkati sehingga emak berkata ‘Aku memaafkan’. Kasih ibu membawa kesyurga, kasih ayah berkorban nyawa.

Anak-anakku,
Bukan mudah menjadi ayah kalau tiada jiwa yang kental dan hati yang tabah. Menjadi ayah bukan sekadar menyediakan keperluan harian malah memastikan kalian semua berada dilandasan yang betul dan diberkati Allah. Abah tak mahu kalian menjadi seperti abah dahulu yang selalu dambakan kasih sayang ayah yang boleh dikira berapa kali atuk kamu berikan. Bukan niat nak mengungkit bahkan nak mencemuh tetapi abah tak pernah merasakan apa yang kalian rasai hari ini, boleh didapati masa abah dulu. Walau apa pun yang atuk lakukan pada abah, tak pernah sekali pun abah membenci atuk mau pun berdendam, mungkin ada sebab yang tertentu. Adakala abah rasa macamlah abh ni bukan anaknya. Sampai sekarang masih tersemat dalam hati abah kenapa atuk berlaku begitu pada abah. Sayang abah pada atuk terus kekal sampai kini. Dah lebih 10 tahun atuk pergi meninggalkan kita. Sebab tu abah jarang berkata-kata sebab pedih bila hati terguris. Malah abah berhenti merotan bila satu hari abah merotan abang dengan hati yang marah. Abah menyesal sampai sekarang, rasanya kalau boleh mahu kembali kesaat itu atau putar kembali sejarah agar tidak berlaku kejadian itu. Tidak mungkin berlaku kan. Selepas tu abah buat solat sunat dan memohon maaf pada kalian semua yang abah berjanji tak akan mengulangi lagi. Abah tahu betapa sakitnya rotan kena dikaki sakit lagi hati didalam. Abah mohon maaf sekali lagi dari hati yang tulus agar jiwa abah bebas dari kepedihan itu.

Kini kalian sudah besar dan sudah boleh membuat keputusan sendiri. Rasa macam tak percaya yang abah sudah ada anak-anak yang remaja. Cepat betul masa berlalu, rasa baru semalam kalian bertungkus lumus belajar ketika abah jauh diperantauan. Belum puas bermain dengan kalian untuk menebus kembali hari-hari yang abah berjauhan dari kalian. Abah terpaksa berjauhan demi memenuhi tuntutan hidup dalam mencari rezeki. Tugas yang abah sandang memaksa abah berada jauh dari kamu semua. Abah rasa kagum dengan emak kamu kerana dapat melakukan tugas sebagai emak dan ayah sekaligus malah dalam kesunyian tanpa abah disisinya dia tetap tabah. Walau pun berada jauh dari kamu semua, belum pernah satu malam pun abah tak talipon mak kamu bertanyakan keadaan kalian semua. Abah nak pastikan yang kalian sentiasa berada dalam situasi yang baik dan sentiasa terurus disamping itu dapat juga abah melepaskan rindu pada emak kamu. Apa lagi yang abah patut lakukan untuk menebus kesemua itu, tak lain hanya memastikan kalian semua sentiasa yang terbaik.

Hari ini abah menoleh kembali perjalanan yang pernah abah lalui untuk sampai ketahap apa kita ada sekarang amat menginsafkan abah sebagai insan makhluk Allah. Melalui perjalanan berliku, mendaki dan apa saja yang abah tempuhi bukan suatu yang mudah, hampir saja abah putus asa kerana kepayahan dan kegetiran yang datang namun bila mengingatkan kalian semua jiwa abah jadi kuat dan degil. Bak kata pepatah “dimana ada kemahuan disitu ada jalan”, sungguh, yang penting yakin pada diri yang mana usaha tak kenal putus asa mencapai kejayaan. Abah tak mahu kalian dalam kesusahan macam abah dahulu segala-gala atas nasib. Apa yang abah mahu kalian belajarlah semampu yang boleh dan capai kejayaan setinggi yang mampu supaya akan mudah melayari kehidupan yang bakal dilalui nanti. Ingat tanpa ilmu kita akan sesat didunia ni dan tanpa amal kita akan sesat diakhirat jadi carilah kedua-duanya demi bekalan masa depan. Jangan lepas setiap saat dari mulut kamu ucapkan “Ya Allah, ya Tuhan kami, ampunilah segala dosa kesalahan kami dan dosa-dosa kesalahan kedua ibu bapa kami, serta kesihanilah kedua ibu bapa kami sebagaimana mereka berdua mengasihani kami semasa masih kecil”. Inilah yang selalu abah ucapkan bila abah dalam kesusahan, keraguan dan kesedihan. Tanpa mereka berdua (atuk dan uwan) abah tiada didunia ini. Walau abah melalui pengalaman pahit tapi abah bangga dengan mereka kerana mengajar abah hidup dengan lebih bermakna. Apa yang dapat abah lakukan demi membalas jasa mereka dengan sentiasa berdoa semuga berada bersama para solihin. Sebenarnya dalam setiap tapak kita melangkah kita akan diuji dengan ujian yang bergantung dengan kemampuan. Allah itu adil kepada hambanya. Jangan kalah malah hadapi dengan hati yang tawadduk semuga keimanan kita bertambah. Abah begitu kagum dengan atuk kamu kerana dapat membesarkan adikberadik abah 10 orang sedangkan kalian ada lima orang sahaja abah rasa begitu berat. Mungkin abah inginkan yang terbaik untuk kalian semua. Abah sanggup lakukan apa saja demi kejayaan hidup anak-anak. Itu sebab abah kerap bertanya status pelajaran kalian. Susah payah kita bersama Alhamdullillah sudah menampakkan hasil yang abah idamkan. Tahniah anak-anakku.

Wahai anak-anakku,

Abah ingin berpesan sebagai muslim sejati jangan lupa solat. Sebagus mana kita, setinggi mana pun kita berada, sekaya mana sekali pun malah siapa pun kita tak SOLAT tak bemakna hidup ini. Maka sia-sia saja apa yang kita lakukan selama ini. Solat itu tiang pada kehidupan. Ia berhubung kait dengan yang telah pergi. Maksud abah anak yang soleh akan memudahkan kehidupan ibubapa yang telah pergi buat selamanya dan dia akan mendapat rahmah dari Allah selagi solatnya dipelihara. Bila solat kita tak tinggal secara otomatik yang lain akan kita turut dengan mudah. Itu sebab abah kata solat itu penting. Alhamdullillah setakat kalian semua masih memelihara solat. Abah cukup bangga punya anak-anak yang taat perintah Allah. Usia abah dah sampai ke penghujung, harapan apa yang abah bekalkan kepada kalian semua peliharalah sebaik mungkin supaya tak sesat kejalan pulang nanti. Ingatllah dimana saja abah berada belum pernah sesaat pun abah lupa siapa anak-anak abah. Abah terlalu sayangkan kalian semua, andai nyawa sebagai taruhan abah sanggup melakukannya. Sentiasalah berbaik-baik antara kamu adik beradik, bantu membantu dan hormat menghormati supaya ikatan yang ada tetap kekal sampai bila-bila. Akhirkata abah memohon dari hati yang tulus sejuta kemaafan andai ada perkara yang membuat kalian terasa atau yang membuat kalian marah pada abah. Bagi abah memaafkan sentiasa ada dalam diri abah untuk anak-anaknya. Bukan ke kemaafan suatu dendam yang terindah. Salam sayang buat semua.

[Juga buat anak-anakku yg hebat Raimi, Fadzly, Haziq dan Firdaus - hargailah ayah dan ibu kamu]

Monday, July 19, 2010

Perjalananku

Menjelang November nanti maka genaplah setengah abad saya hadir kedunia dan bermulalah fasa terakhir perjalanan kehidupan ini. Masih merasakan banyak kekurangan yang harus dicari, digapai dan dimanfaatkan untuk bekalan terakhir nanti. Saya merasakan masa yang ada tidak mencukupi untuk kesemua ini yang sepatut untuk bermudahan perjalanan hari tua. Rasa saya tidak mampu mencapai tahap kesempurnaan seorang pengabadi yang bakal menghadapi Tuannya yang Maha Berkuasa. Saya pasrah menghadapi apa saja kemungkinan yang bakal hadir saban masa , hari, minggu, bulan dan tahun untuk ketempuhi kebarangkalian kepayahan, kekalutan, kemenangan mau pun apa saja. Pengalaman mengajar saya segala erti kesabaran dan ketabahan dalam hidup. Saya bersyukur memiliki mereka yang saya sayangi memahami kedudukan saya disaat ini walau adakala bertembung dengan ketidakseimbangan aliran pemikiran dam pemahaman yang akhirnya satu persefahaman dapat dilaksanakan dikongsi bersama. Bertuah saya merasakannya dan berharap biarlah keadaan ini sampai mata tertutup rapat.

Saya tidak dapat mengingati alam bayi atau kanak-kanak kerana tiada apa yang menarik ketika itu dan apa yang dapat mengingatinya saya begitu rapat dengan kakak yang sulong. Segala keperluan semua diuruskan oleh beliau (terima kasih tak terhingga kerana saya tak mampu nak membalas hanya doa semuga beliau sentiasa dirahmati Allah). Masuk alam persekolahan dan remaja barulah saya mengenal dunia baru selain dunia disekililing rumah. Menarik, seronok, berkobar-kobar dan ada juga menduga kekuatan hati (sudah saya cerita dibab yang lalu). Cukup berbeza dengan alam persekolahan sekarang, segala-galanya dipermudahkan. Adakala terfikir dibenak kepala apakah anak-anak sekarang mampu menghadapi dugaan yang datang kerana terlalu gobal dan penuh dengan cerita dalam cerita, andaikata kalau tiada kekuatan dalam, iman yang tebal dan ilmu yang tinggi rasanya akan tewas atau tersungkur sebelum senja berlabuh. Ya Allah aku bermohon dengan penuh tawadduk dan rendah diri hindarilah mereka yang aku sayangi dari segala kekalutan dan kecelaruan hidup, anugerahi mereka dengan jalan yang mudah serta rahmah, taufiq dan hidayah agar tak sesat dijalan pulang. Amin Yarabbulalamin.

Masuk alam dewasa adalah sesuatu yang amat berbeza dan bermulalah alam yang penuh cabaran dan dugaan. Adakala aku hampir tewas dengan ujian-ujian yang mendatang. Segalanya aku tempuh dengan semangat ingin berjaya dan mencari kehidupan yang lebih bermakna. Diperli, dicaci, dihina, dipulau menjadi mainan hidup dan ianya berlaku hampir keseluruhan alam pekerjaan yang saya lalui. Saya tak tahu kenapa saya menjadi degil dalam menghadapi percubaan ini tidak pernah rasa serik. Tanpa berfikir untuk kembali kejalan asal saya terus menempuhi dengan niat mungkin suatu hari ada hari yang bahagia akan Allah kurniakan. Tak pernah menyesali mau pun mengeluh walau dalam hati terasa pahit untuk ditelan. Pernah satu ketika hanya tinggal 5 sen didalam poket, dan sekiranya tiada rezeki Allah hadir hari tersebut maka bermalamlah saya dipejabat seperti mana yang pernah saya buat sebelum ini. Atas kesabaran yang tinggi serta tabah, janji Allah itu benar maka dapat juga rezeki disebelah petang (duit gaji). Setelah mempunyai 3 anak kedudukan kewangan agak mencabar kerana memenuhi tuntutan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Apa saja peluang saya ambil agar ada jalan keluar dari kewangan yang meruncing. Masih menyewa rumah dan pernah diminta keluar dalam masa 2 minggu kerana tuannya memerlukan kembali rumah tersebut. Bayangkan kesukaran yang kami hadapi tetapi saya reda (saya perlu kuat menghadapi semua ini supaya isteri dan anak-anak tidak hilang keyakinan walau pun payah). Saya perlu berusaha dgn lebih kuat untuk memilik rumah sendiri. Berkat kesabaran serta degil untuk menghadapi apa rintangan, beban dan peluang, akhir saya dapat keluar dari kepayahan tersebut (Akan saya ceritakan dilain masa apa yang menyebabkan saya berjaya pada hari ini)

Dugaan tak pernah berakhir dalam hidup ini, sesungguhnya mengajar aku erti tabah, yakin dan pasti bahawa pengalaman itu akan mendewasakan kita. Setelah keluar dari kepompong kepayahan saya mampu memilik rumah sendiri. Terasa betapa bernilainya pengorbanan yang telah saya lalui berbayar kembali. Rupanya setiap tempat yang kita berada perlu melalui ujian demi ujian. Lagi hebat kita lagi besar ujian yang dihadapi hanya pengalaman dan ilmu yang berguna dapat kita atasi dengan bijaksana. Kita tidak boleh memiliki kesenangan dan kemudahan 100% kerana ianya menjadikan kita sombong, takbur malah angkuh jesteru itu bersyukur atas apa nikmat yang dikurnia disamping jangan menindas yang lain.

Akhirnya saya sampai ke kemuncak kejayaan. Alhamdullillah saya boleh dapat apa yang saya mahukan tetapi saya menggunakan rezeki yang Allah kurniakan untuk kebaikan yang lain juga. Saya masih lagi belajar memperbaiki diri dan mencari jalan dari keredhaan Allah. Bak kata pepatah ‘Tuntutlah ilmu dari semenjak buaian hingga ke liang lahad’. Betul seperti kisah dibawah ini mempunyai banyak persamaan yang saya lalui.

[Suatu hari, seorang pemuda berjumpa seorang guru tua lantas memintanya nasihat dan mengajar petua bagaimana hendak mencapai jejayaan dalam kehidupan. 'Apakah petua dan rahsia untuk berjaya?' Guru itu lantas bersuara: Cuba anakku daki gunung itu sehingga kepuncaknya. Mudah mudahan anakku dapat mempelajari rahsia bagaimana untuk menjadi seorang yang berjaya.

Guru tua itu membekalkan anak muridnya dua biji labu, sekotak mancis dan sebilah pisau. esok nya pergilah pemuda itu mendaki gunung sambil membawa 2 biji labu. Setelah lama mendaki, si pemuda mula keletihan. Dua biji labunya tadi menjadi beban. Dia tidak dapat bergrak bebas semasa mendaki. Si pemuda menyoal dirinya. : Apakah rahsia yang dapat dipelajarinya dengan hanya membawa dua biji labu ini? Biarpun keletihan, tetapi pemuda teruskan juga pendakian sehingga sampai ke puncak gunung. Hari kian gelap, malam pun menjelma. Dek kelaparan si pemuda memasak sebiji labu dan memakannya. Setelah itu si pemuda tertidur dalam kesejukan yang amat sangat.

Keesokannya si pemuda terjaga. Dia tergamam seketika. Gunung yang didakinya menjulang tinggi sehingga pemandangan dibawah kelihatan terlalu kecil. Tapi, apakah iktibar yang dapat dipelajarinya semasa berada di puncak gunung? Setelah puas memikirkannya, si pemuda masih tidak dapat jawapan yang pasti. Beberapa ketika berada di puncak gunung, si pemuda membuat keputusan turun semula. Si pemuda meninggalkan sebiji labu yang dibawanya di puncak. Perjalanan turunnya dirasakan begitu mudah dan pantas. Tidak ada lagi beban yang digalasnya dan halangan yang ditempuhi seperti mula mula mendaki.

Sebaik tiba dibawah, pemuda lantas menceritakan pengalaman dan halangan yang terpaksa ditempuhinya semasa mendaki. "Tapi, apakah maknanya semua ini guru?" soal si pemuda tidak sabar. Lalu guru menerangkan bahawa untuk memulakan sesuatu pekerjaan itu amatlah sukar. Banyak halangan yang terpaksa ditempuhi. Usaha berterusan tanpa jemu amat penting untuk berjaya. 'Perumpamaannya, amat sukar untuk kita menjawat jawatan tinggi tetapi amat mudah pula untuk kita meninggalkannya', kata tok guru. Si pemuda mengangguk tanda paham. Si guru tua menyoal lagi, 'Di puncak gunung tadi, apa yang kamu nampak?' 'Tak ada apa apa. Hanya nampak rumah rumah kecil, pepohon pula nampak berbalam.' jawab si pemuda tadi. "Begitulah hakikat kehidupan ini wahai anakku. Apabila kamu sudah berada di puncak, kadang kadang kita lupa orang di bawah. Kita hanya pandang sebelah mata sahaja. Kita tidak peduli lagi kesusahan dan kesengsaraan orang lain.

Hanya satu nasihat hamba, apabila sudah berjawatan tinggi, keluarga dan sahabat jangan dilupa. Ingatlah jasa orang yang telah membantumu sehingga berjaya mendaki ke puncak kejayaan. Ucap tok guru lagi. Guru itu bertanya lagi, bagaimana keadaan semasa di puncak? "Tak ada apa apa tok guru selain sejuk, malam yang dingin, lapar dahaga dan digigit nyamuk sehingga susah nak tidur, jawab si pemuda. Inilah perumpamaannya apabila anak ku sudah berjawatan tggi. Kamu hanya duduk di dalam pejabat yang berhawa dingin. Kamu perlu memakai baju tebal, kot dan tali leher yang segak. "Tapi apabila berada di puncak kuasa bukanlah mudah anakku. Setiap masalah kena hadapi sendiri. Semakin tinggi kamu berada semakin sukarlah situasi kamu hendak mengekalkan kedudukan dan kuasa. Jika tersilap langkah buruklah padahnya', nasihat tok guru. Si pemuda mengangguk-ngangguk. Barulah dia paham rahsia kejayaan yang diburunya selama ini. "Err, mana dua biji labu yang dibekalkan?" soal si guru. "Sebiji telah dimakan, sebiji lagi ditinggalkan di atas puncak. jawab si pemuda. Si pemuda memberitahu dua biji labu itu menjadi beban dan sukar hendak mendaki gunung. "Bukan kah anak ku boleh membawa labu dengan guni supaya mudah dibawa? Anakku juga boleh mengisi labu dalam bakul dan kendong di belakang.

"Jadi tangan boleh bergerak bebas menebas semak samun dengan pisau yang diberi, beritahu tokguru tersenyum. Sekarang barulah si pemudah sedar, pengalamannya yang menjadi guru, penunjuk jalan dan penentu kejayaan atau kegagalan dalam hidup seseorang]
Wahai anak-anakku semua yang abah sayangi, nak berjaya bukan semudah yang disangka, ianya tidak datang mengolek mau pun melayang tetapi harus kita hadapi dengan semangat yg kental, tidak putus asa, berkeyakinan dan mampu menghadapi apa saja ujian yang mendatang. Jangan kita lupa dari mana kita datang, jangan angkuh, sombong dan takbur. Jangan lupa solat, hormati ibubapa dan mereka yang lebih dewasa. Jangan juga menghina pada mereka yang susah. Doa mereka yang terinaya mudah makbul. Berpijaklah dibumi yang nyata bahawa apa kita milik bukannya kekal selamanya. Andai abah sudah tiada lagi didunia jadikan ini pendoman untuk hadapi apa saja kemungkinan yang tiba. Sentiasa tabah, reda, sabar dan terima ketentuan yang ada. Abah sentiasa berdoa untuk kesemua anak-anak abah semuga Allah sentiasa memberi taufiq dan hidayah disamping petunjuk kejalan yang benar. Ketahuilah dalam hati ini hanya ada kamu semua, kasih sayang abah tetap utuh walau nyawa bercerai dari badan. Semuga berbahagia.. Wassallam..

Thursday, May 13, 2010

KENAPA??? DAN KENAPA???

Sudah sepurnama saya meninggalkan blog Perjalanan Tanpa Henti bermakna sudah sebulan juga saya tidak menulis seakan perjalanan akan terhenti .... Owhhh tidak mungkin selagi ada kudrat dan ingatan akan saya teruskan juga menulis walaupun kesibukan yang tidak diketahui melanda disetiap pergerakkan saya. Kalau difikirkan setiap insan dilahirkan kedunia ini telah diberikan masa yang sama 24jam, tidak kurang dan tidak lebih jadi kenapa ada perbezaan masa pada setiap orang. Hanya orang yang bijak dapat menguruskan masanya dengan cemerlang kerana mempunyai perancangan yang sempurna dan dapat menguruskan dengan begitu baik. Masa itu emas jadi gunakanlah sebaik mungkin kearah kebaikan demi kehidupan yang lebih bermakna.
Berbalik pada kisah saya sebelum ini yang mana ada 3 kisah yang saya ingin ceritakan diwaktu alam persekolahan malah tidak pernah saya lupakan hingga kehari ini kerana saya sendiri pun tak tahu kenapa? Mungkin ada yang tersirat dan tersurat, apa pun ianya tetap menjadi pertanyaan yang tidak punya jawapan sehingga kini.

Bertuah anak-anak sekarang walau keputusan tidak bergitu cemerlang atau pada keadaan biasa-biasa saja kebanyakan ibubapa samada menasihatkan supaya belajar lagi atau pun hanya senyum sinis. Hanya segelintir yang agak kecewa tapi tidak sampai merotan. Berbeza yang berlaku pada saya ketika umur 9 tahun dimana tahun-tahun sebelumnya memang saya dikedudukan yang pertama didalam kelas malah keselurohannya sayalah yang terbaik, malangnya kali ini saya masih ditempat yang pertama dan tapi markah keseluruhan saya jatuh(saya rasa sekarang sudah kira terbaik). Ini bermakna keseluruhan kelas juga jatuh purata markahnya. Dengan keputusan tersebut saya balik kerumah membawa Kad Kemajuan dengan perasaan takut dan gusar untuk mendapatkan tandatangan ayah. Saya letakan diatas meja ketika ayah tiada dan apabila ayah kembali hanya perlu ditandatangan sahaja. Apa yang saya sangka tidak berlaku dan ayah memanggil saya untuk penjelsaan. Ayah begitu marah dan tidak mahu menerima penjelasan saya. Saya dapat merasakan hukuman yang bakal saya terima. Tanpa ada rasa kesal dan bantahan dalam hati saya terus menghulurkan tangan yang mana saya menerima hadiah yang paling mahal (rotan ditapak tangan). Apalagi yang dapat saya perkatakan dan tiada airmata pun jatuh untuk ditangisi, hanya dihati bertanya KENAPA? Bukannya saya gagal. Dihari kecemerlangan sekolah lagi sekali saya naik kepentas menerima hadiah dan yang membuat saya begitu sedih kerana hadiah tersebut disampaikan oleh ayah. Bermakna saya menerima dua hadiah satu rotan dan satu lagi buku. Kawan-kawan bertepuk tangan malah ada yang mengucap tahniah namun bagi saya sudah tidak punya makna hanya dalam hati masih bertanya KENAPA? (saya tak dapat jawapan sampai sekarang).

Kisah kedua berlaku ketika alam menengah. Mungkin anugerah Allah saya tetap belajar dengan cemerlang walaupun berhadapan dengan berbagai halangan dan dugaan yang hadir. Niat dihati ingin keluar dari kehidupan yang sukar dan mencari tempat yang terbaik untuk masa depan. Jadi saya masih menjadi pelajar dalam kelompok 5 yang terbaik didalam kelas dan keseluruhan kelas malah menjadi wakil sekolah dalam ucapan berbahasa inggeris. Ketika dalam tingkatan 3 saya mengahdapi peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP yang mana sekarang dikenali PMR). Saya mendapat keputusan yang agak cemerlang (A 12) dan yang pertama didalam keluarga mendapat kejayaan sebegitu. Perasaan bangga dihati terserlah malah terfikir dihati, dah tentu menjadi kebanggaan keluarga. Sampai dirumah saya merasakan tidak ada apa yang berlaku malah tiada siapa yang menyambut kepulangan saya. Saya meletakan keputusan diatas meja untuk dilihat oleh ayah. Suasana dalam rumah terasa sunyi seperti tiada apa yang berlaku. Akhirnya petang itu saya ke meja dan melihat keputusan tidak terusik sama sekali malah tiada siapa yang melihat. Rupanya belum ada harga pada sekeping kertas tersebut. Saya akur mungkin ada sebab tertentu tetapi saya bertanya KENAPA? Saya bertekat untuk memohon kesekolah berasrama. Saya harus mencari jalan keluar dari suasana begini, saya ingin mencari masa depan saya sendiri tapi bagaimana? Betuah rasanya kalau saya berjaya seperti dalam keadaan anak-anak sekarang. Tentu lumayan.

Kisah yang terakhir ini menjadi titik tolak saya memilih jalan hidup sendiri dan saya bertekat untuk mencari jalan yang terbaik untuk saya. Ianya bermula ketika saya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Saya dipanggil oleh guru kepejabat kerana saya diminta untuk melunaskan pembayaran yuran untuk pepriksaan SPM tersebut secepat mungkin, selewat-lewatnya seminggu . Andainya saya gagal bermakna saya tidak dapat menduduki peperiksaan tersebut. Apa lagi kata atau alasan yang mampu saya katakan, hendak saya meminta pada ayah rasanya jawapan tiada. Guru tersebut masih bertanya apa yang boleh saya lakukan. Ketika itu airmata bagai melakukan waktu sedih, jatuh berderai dengan semahu-mahunya. Tiada jawapan yang dapat diberikan melainkan kesedihan. Saya memohon tempoh dua hari pada guru tersebut. Fikiran saya kusut malah saya pun tidak tahu apa yang patut saya lakukan. Saya pasrah atas apa saja yang berlaku. Saya menceritkan pada kawan atas masaalah yang dihadapi. Dia mencadangkan untuk meminjam dari kedai koperasi sekolah dan memulangkan selepas saya mendapat biasiswa pada akhir tahun. Alhamdullillah, bertuah sungguh saya rasa kerana masih ada ruang pertolongan yang datang. Tetapi dalam hati bertanya kenapa saya tak putus-putus dilanda kesukaran ... KENAPA? Sukarnya menjadi insan bernama Mohd Soud.

Kepada ibubapa diluar sana walaupun kita mampu dekatilah anak-anak. Jadilah kawan pada mereka kerana mereka memerlukan kita disetiap masa, bimbingan dan panduan kearah yang betul. Jangan biarkan mereka tercari-cari dalam menjadi insan yang baik kerana kalau tersilap langkah kita akan kesal selamanya. Begitu juga anak-anak hormatilah ibubapa, dekatilah mereka, dengar dan patuhlah arahan yang diberikan supaya kita tak terjerumus kelurah yang gelap. Sekali tersilap langkah maka jalan untuk kembali amat sukar. 'Ikut hati mati, ikut rasa binasa'. Saya mendoakan pada anak-anakku juga pada yang lain jadilah insan yang hebat dimata ayah dan ibu. Pada ibubapa jadi insan yang disayangi anak-anak.

Thursday, March 18, 2010

Alam Persekolahan

Cepat sunggoh masa berjalan seakan-akan tiada tempat untuk masing-masing berhenti rehat dari menjalankan tugas seharian malah tanggungjawab semakin bertambah. Kalau lambat bermakna akan ketinggalan. "Biar lambat asalkan selamat" seolah-olah tidak dapat dipakai lagi pada era sekarang kerana masing-masing berlumba-lumba untuk mencari rezeki, peluang, masa depan dan apa saja. Rasa saya baru lagi menguruskan keperluan persekolahan anak-anak, sekarang dah masuk cuti mid semester (1 minggu). Riuh rendah suara mereka dirumah setelah kembali dari asrama. Peluang ibubapa untuk bersama anak-anak setelah sibuk dengan tanggungjawab masing-masing. Bertuah sungguh anak-anak masa kini kerana dapat apa yang mereka mahukan. Bercuti kemana saja dengan ditemani oleh keluarga. Tapi bagaimana kemajuan pelajaran mereka. Apakah pencapaian mereka mencapai tahap yang dibanggakan. Alhamdullillah anak-anakku masih ditahap yang membanggakan. Biasanya saya selalu mengikuti perkembangan kemajuan pada setiap minggu supaya mereka tidak leka dan terlepas dari tanggungjawab sebagai pelajar. Saya tidak meletakkan syarat atau ganjaran untuk mereka cuma saya menggariskan panduan pencapaian kalau mereka mendapat B saya anggap gagal dan No 1 tidak bermakna kalau terdapat B didalam keputusan. Juga saya tidak membenarkan TV ditonton diwaktu hari persekolahan untuk mengelakan mereka leka. Nampak kejam atau keras atas apa yang saya lakukan tapi mereka menyahut cabaran saya dengan penuh tanggujawab. Saya tanamkan sikap ini selalu dan akhirnya 3 dari anak saya telah menjejak ke IPTA. "Hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih". Tinggal lagi dua orang yg masih dibangku sekolah (1 menengah dan 1 rendah)dan saya bersama isteri tidak putus berdoa supaya mereka dimudahkan dalam menghadapi pembelajaran keperingkat yang lebih tinggi. Walaubagaimana pun saya tetap memberi penghargaan setelah berjaya tanpa ada perjanjian hanya atas dasar ikhlas bersama. Biasanya saya berikan yang berbentuk keperluan mereka semasa.

Begitu juga keperluan persekolahan yang lain. Hampir keselurohan anak-anak sekarang dari mula sudah diaturkan sebaik mungkin dari buku, pakaian, kenderaan kesekolah dan apa saja semuanya lengkap. Bertuah sunggohkan tapi berapa ramai yang mengambil peluang ini untuk memajukan diri mereka sendiri. Andainya saya ditempat mereka alangkah bertuahnya hidup ini. Paling rendah perbelanjaan seharian disekolah sekurang-kurang RM 2.00. Bukan nak buat perbandingan tapi mereka harus mengambil peluang ini sebaik mungkin utuk masa depan. Kita sebagai ibubapa seharusnya melakukan tanggungjawab yang tepat supaya mereka berada ditahap yang sepatutnya. Berbeza dengan alam persekolahan saya dahulu cukup menyedihkan, mencabar dan tiada siapa yang kisah. Tidak menyalahkan ibubapa saya sebab banyak benda yang mereka tidak faham malah tanggungjawab yang agak besar pada sebuah keluarga yang besar.

Jarak antara rumah ke sekolah lebih kurang 3km yang mana melalui jalan kampong, taliair, kebun getah, belukar (kiri kanan jalan) dan jalanraya. Hari pertama ke sekolah saya tidak ditemani oleh sesiapa tapi kerana kehendak hati yang cukup tinggi pergi bersendirian tanpa wang belanja dengan berjalan kaki dipagi yang agak gelap. Dipertengahan jalan saya berjumpa budak-budak yang lain tapi saya tak mengenali dan mengekori mereka kesekolah. Disekolah saya hanya berdiri dipadang (sebab tidak mengenali sesiapa) sambil menunggu loceng dibunyikan. Saya sendiri tidak tahu kenapa tidak berasa takut hanya didalam fikiran dimanakah kelas saya nanti. Setelah loceng berbunyi murid-murid diminta beratur. Saya diarahkan oleh seorang murid (tak kenal dan darjah berapa) untuk beratur dibarisan murid-murid baru. Saya melihat banyak ibubapa yang hadir menemani anak masing-masing tapi saya bersendirian. Saya memerhatikan ada yang menangis. Saya jadi pelik kenapa nak menangis, bukankah sekolah itu menyeronokkan. Kemudian bila nama dalam senarai dipanggil oleh guru yang bertugas untuk kedepan kecuali saya yang tidak dipanggil sebab tidak terdapat dalam senarai itu. Nasib baik ada seorang guru yang mengenali saya dan menyuruh saya masuk juga dalam kumpulan murid-murid tersebut. Saya hanya menurut perintah untuk masuk kekelas yang pertama. Saya memerhatikan kebanyakan murid-murid mempunyai beg sekolah sedangkan saya sehelai sepinggang. Rasa cemburu dihati terbit tapi apakan daya hanya setakat melihat dengan hati yang hampa.

Permulaan dibilik darjah pagi itu dengan pemilihan Ketua Darjah dan Penolongnya. Saya dipanggil ke depan bersama dengan seorang budak perempuan. Cik gu mengumumkan yang saya telah dilantik untuk jawatan tersebut dengan budak perempuan itu penolongnya. Tugas saya yang pertama adalah mengagihkan buku teks utuk dibaca. Buku Bahasa Melayu yang ayat pertamanya 'Nama saya Ali, Saya budak laki-laki'. Bermulalah alam persekolahan saya dan mula-mula juga saya mengenali apa itu 'kawan'. Terasa keseronokan berada disekolah kerana ramai kawan dan boleh belajar apa saja yang kita mahu. Balik dari sekolah tengahari itu saya masih berjalan kaki. Tiada siapa yang menjemput berbanding dengan kawan-kawan yang ditemani ibu dan bapa. Seronok melihat mereka berjalan sambil berbual mengenai pengalaman pertama disekolah. Sampai dirumah saya lihat tiada siapa yang menyambut kepulangan pada tengahari itu. Sunyi dan seolah-olah tiada apa yang istimewa yang berlaku. Berasa lapar kerana dari pagi tidak ada apa yg masuk. Menghadapi makanan tengahari bersendirian dan kemudian saya merehatkan badan. Saya terus berfikir sebagai pelajar apa yang harus lakukan dirumah dan tanpa disedari saya dikejutkan kerana hari dah petang.

Hari berganti dan bulan bertukar bermacam-macam cerita dan perkara berlaku diwaktu persekolahan. Apa saja aktiviti yang dijalan tak pernah saya menolak untuk bersama menjayakannya hingga saya cepat terkenal dikalangan warga sekolah. Pada setiap ujian atau peperiksaan dijalankan diakhiri saya mendapat tempat pertama. Malah pada setiap akhir tahun saya yang menaiki pentas untuk mengambil hadiah dihari Kecemerlangan Sekolah sehingga ditabalkan menjadi Tokoh Murid Cemerlang. Seperti biasa semua itu disekolah dan tidak dirumah. Saya sendiri tak tahu kenapa tapi saya menerima dengan hati terbuka dan reda. Mungkin ayah ada alasan tersendiri cuma saya tak berani nak menanya. Ada 3 peristiwa yang masih terpahat dijiwa saya sewaktu disekolah rendah yang membuat saya tertanya-tanya kenapa? (akan saya ceritakan dilain topik nanti)

Masuk sekolah menengah saya ditempatkan disekolah yang jauhnya 5km dari rumah. Tapi kali ini saya pergi dengan menaiki bas. Terasa keseronokan dapat menaiki bas bersama kawan-kawan. Sekali lagi saya pergi bersendirian pada hari pertama dan sudah menjadi terbiasa melalui suasana begitu. Dihati saya cuma ada hasrat belajar dan belajar utuk keluar dari kepompong kesusahan keluarga. Waktu rehat saya habiskan dengan berehat dikawasan padang sebab tiada belanja yang mewah untuk membeli makanan. Biasa saya membawa air dari rumah. Kalau ada kawan-kawan yang baik adalah habuan untuk saya. Terima kaseh pada yang sudi hanya Allah yang membalas kebaikan kawan-kawan saya. Pencapaian saya berterusan dalam kelompok 5 yang terbaik dikelas A dan keselurohan. Pada peperiksaan Sijil Rendah Pelajar (SRP) ditingkatan 3 saya mendapat agregate A 12 dan ditawarkan ke sekolah beraliran sains dibandar. Saya tidak beminat belajar sains dan diwaktu yang sama saya memohon utk melanjutkan pelajaran dalam aliran teknik, Alhamdullillah saya berjaya. Setelah sebulan di sekolah aliran sains saya berpindah Sekolah Teknik. Kerana minat yang tinggi dengan mudah saya dapat mempelajari dengan cepat malah diletakkan dalam kelas pertama. Disini saya mula mengenali hidup yang lebih mencabar dan perlu kekuatan dalaman dan luaran yang hebat. Saya rasa bertuah kerana ramai kawan-kawan bersama dan rasa dihargai. Saya mula menyemai cita-cita dihati kerana ingin hidup lebih berjaya dan senang. Hampir-hampir saya tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana tak mampu nak membayar yuran peperiksaan tapi nasib menyebelahi saya, akhirnya saya berjaya dan mendapat keputusan yang saya banggakan kerana usaha saya sendiri. Walau bebagai cabaran yang saya hadapi ketika dialam menengah saya tetap tabah tanpa sokongan dari mereka yang bergelar ibubapa. Saya tidak menyalahkan mereka sebab kemampuan mereka terbatas. 'Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul'. Pada ibu dan ayah saya sedia sujud dikaki mu andai banyak kesilapan yang dilakukan oleh anak mu ini. Saya rela dipukul lagi andainya itu membuatkan saya sedar dan insaf untuk menjadi insan yang soleh. Bagi saya tiada insan yang lebih bernilai dalam hidup ini kecuali ibu dan ayah. Aku medoakan agar roh mu sentiasa bersama para soliha dan solihin.

Kepada ibubapa yang ada didunia ini asuhlah, didiklah, pandulah amanah Allah ini kejalan yang terbaik supaya menjadi insan-insan kamil yang hebat. Jangan disia-siakan, bentuklah keperibadiannya menjadi mukmin yang sejati. Kepada anak-anak patuhlah, hormatlah, sayangilah kedua ibubapa kamu kerana tanpanya anda tidak hadir kedunia ini. Harapan mereka terlalu besar untuk kamu menjadi anak yang berguna jadi penuhi kehendaknya agar tiada kesal sepanjang hidup. ' Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah bekorban nyawa'.

Tuesday, March 2, 2010

Lebih baik mencegah dari mengubati

Hidup dan mati satu ketentuan atau takdir dari Allah untuk makhluknya.Tidak lambat sesaat maupun cepat sesaat sampai waktu kita tetap kembali kepadanya. Samada kita bersedia atau tidak bukan alasan untuk kita tidak melakukan apa saja yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah. Itu perjanjian yang tertulis sebelum kita dilahirkan kedunia yang disimpan kemas di Loh Mahfuz. Mungkin perit atau sedih untuk diterima tapi hadapilah dengan keredaan semuga perjalanan yang seterus menjadi mudah. Begitu juga pada ujian-ujian yang lain yang Allah mahu kita lalui supaya kita selalu mensyukuri nikmat diberikan. Hanya orang-orang yang sabar dan beriman akan dapat melalui ujian ini dengan penuh tabah dan tawaduk. Begitu juga penyakit yang datang dan pergi, satu ujian juga harus hadapi dengan sabar. Bagi saya manusia yang paling sabar dalam menghadapi penyakit didunia ini adalah Nabi Allah Ayub AS (Bacalah kisahnya dalam kisah-kisah Nabi).

Minggu lepas saya membuat pemeriksaan kesihatan dan Doktor merumuskan atas ujian yang dijalankan. Tekanan Darah Tingi (BP) kembali naik dan kandungan gula dalam darah juga meningkat agak mendadak tinggi. Lantas meminta saya menjalani lagi ujian selanjutnya supaya kalau terdapat gejala penyakit lain hadir dalam diri saya. Bagi saya kesihatan amat penting tanpa berlengah saya terus bersetuju. Maka bermulalah kehidupan baru saya yang mempunyai penyakit kronik (berpenyakit merbahaya). Saya hadapi dengan reda atas apa yang terjadi kerana ini satu ujian dari Allah juga. Kurangan makanan manis dan masin. "Prevention is better then cure", ayat yang agak mudah tapi nak melakukan bukan sesuatu yang lumrah dalam kehidupan mnusia. Biasanya apa yang dilarang itulah yang suka dilakukan kerana alasan hidup hanya sekali. Insyaallah saya cuba melakukan yang terbaik untuk diri saya kerana falsafah saya mudah 'hanya kita saja yang tahu apa yang kita mahu dan rasakan dalam diri kita'.

Saya terus teringat akan kedua orangtua saya yang telah pergi buat selama-lamanya kerana menghidapi penyakit kronik juga. Emak (25 Mei 1979) kerana barah paru-paru dan ayah (12 Ogos 1993)kerana serangan jantung. Hilang sudah nikmat untuk memanggil 'Emak dan Abah' didunia ni, Alfatihah buat mereka agar ditempatkan bersama para solihin..Amin. Mengimbau kembali saat-saat menjaga mereka ketika sakit, besar sungguh dugaan yang dihadapi. Kalau tak punya kesabaran yang tinggi dan tabah menghadapi kerenahnya ketika sakit, tipu saya katakan tapi bak kata pepatah 'Orangtua boleh menjaga anak yang ramai tapi anak yang ramai belum tentu dapat membela kedua ibubapa mereka'. Pada yang masih mempunyai kedua-duanya jagalah sebaik mungkin, hargailah mereka seolah-olah satu permata yang mahal harganya.

Serangan jantung berlaku pada ayah ketika Malaysia tengah berhempas pulas menentang Indonesia diperlawanan akhir Piala Thomas tahun 1992. Bukan disebabkan perlawanan tersebut tetapi petang sebelum perlawanan ketika menunggu waktu maghrib, beliau rebah perlahan-lahan dimana adik-adik ada bersamanya. Ketika perlawanan berlansung kami yang duduk disekitar Kuala Lumpur mendapat berita melalui telipon. Lantas bergegas balik, hilang minat pada Badminton. Sampai dikampong ayah telah dimasukkan di hospital Kuala Pilah. Sebulan lama beliau koma dan akhir pihak hospital meminta kami membawanya pulang kerana tiada perubahan. Makan dan minum dengan mengunakan tiub getah melalui mulut. Perasaan tak puas hati bersarang dikepala dengan alasan yang tak diterima akal pesakit dikeluarkan sebelum pulih. Dengan rasa kecewa ayah terpaksa dibawa balik dan saya buat perjanjian dengan doktor tersebut saya akan bawa kembali ayah ke hospital setelah beliau boleh berjalan. Bermulalah era yang benar-benar mencabar tanggungjawab sebagai anak.

Bersama adik beradik yang kami bergilir-gilir menjaga ayah. Perasaan tidak puas hati antara kami memang tidak dapat dielakkan. Suka, duka, penat dan apa saja kami tempuhi bersama. Tumpuan saya terhadap isteri dan anak-anak malah kerja sudah tidak terurus seperti sebelumnya dan adakala jauh hati dari mereka terpaksa ditelan kerana kedudukan situasi umpama "ditelan pahit dibuang sayang".Dalam masa yang sama saya cuba berubat cara kampung (walau hakikatnya memang saya tak bersetuju) demi ayah saya lalui juga. Sudah bermacam cara dan bebagai bomoh dicuba, tiada perubahan pada diri ayah. Tetap sama dalam keadaan koma, besar sungguh dugaan yang dihadapi sehingga kami berjumpa seorang bomoh yang tinggal di Kampong Berembang, Ampang, Kuala Lumpur (Saya selalu bertanya kenapa bomoh hanya berubat pada waktu malam sahaja).

Pada perjumpaan yang pertama hanya saya dan abang(arwah) bersama sepupu serta kawannya. Malam itu saya diberitahu yang ayah telah melakukan kesilapan besar kerana telah terpotong hampir putus kaki anak bunian (macam tak logik)jadi mereka mahu galang ganti iaitu nyawa. Saya minta pada bomoh tu masih adakah cara lain untuk menggantikan nyawa. Setelah dia berkomunikasi dengan bunian tersebut, hanya meminta harga seekor lembu dan memberi tempoh selama seminggu. Masih saya tak puas hati, sampai dirumah lalu bertanya pada adik-adik betul ayah ada memotong buloh. Jawapannya ya pada pagi hari sebelum beliau rebah. Antara percaya dengan tidak dan tanggungjawab yang dipikul, keesok harinya merata saya mencari lembu yang untuk dijual. Entah kenapa tiada seorang pun yang mahu menjual lembu walaupun mereka mempunyai banyak lembu. Hari yang dijanjikan dah tiba harga seekor lembu belum juga dapat. Rasa kecewa bersarang dikepala kenapa ini berlaku pada diri ini. Saya nekad buat pencarian terakhir sebelum malam, lantas saya menemui Pekedai yang hanya mempunyai seekor lembu sahaja (untuk dibuat kenduri nikah anaknya dan beliau pun tahu apa yang berlaku pada saya). Mungkin atas dasar simpati beliau sanggup menjualnya dengan harga RM1,100.00. Saya buat perjanjian yang mana saya akan datang kembali bersama wangnya. Ahh lega sudah dapat yang dicari.

Malamnya saya pergi berjumpa dengan bomoh, kali ini kakak saya turut serta kerana beliau tidak sabar nak tahu cerita sebenar. Setelah mendapat giliran berjumpa bomoh tersebut dan mengatakan yang harga seekor lembu sudah dapat dicari. Bomoh berkomunikasi lagi dengan bunian (tak tahu macam mana mereka lakukan) dan memberi tahu saya yang beliau akan kekampong saya pada khamis malam utuk meneruskan rawatannya. Saya perlu menyediakan keperluan yang dimintanya. Tak sabar menunggu saatnya apakah yang terjadi pada malam tersebut.

Malam (11.30mlm) yang dijanjikan tiba dan tidak dibenarkan sesiapa berada disamping ayah kecuali saya dan dua abang bagi memulai rawatan. Saya diminta berhadapan dengan bomoh untuk memulakan upacara. Dalam keadaan samar saya lihat lembaga yang agak besar dibelakang bomoh. Melalui bomoh, bunian bersetuju dengan galang ganti sebanyak RM1,100.00 dan juga meminta melalui saya kepada orang kampong sekiranya ingin membuat sesuatu didalam kampong ini harus dimulai dengan salam (Bunian Islam rupanya). Saya pun meminta kepada bunian tersebut jangan juga mengacau penghuni kampong. Persetujuan dicapai dengan sama-sama menjaga keamanan kampong kami. Ketika rawatan kami tidak dibenarkan bertanya hanya menurut. Keadaan ayah masa itu senyap, mungkin tertidur. duit yang berjumlah RM1,100 dibungkus dengan kain putih dan diletak diatas dulang. Kemudian kami diminta bomoh untuk membawa ketempat ayah memotong buloh bersama wang tersebut. Jarak dari rumah dalam 100m sahaja. Malam tu cuaca begitu tenang sehingga sampai kerimbunan buloh, secara tiba-tiba ribut melanda. Bomoh meminta saya meletakkan wang tersebut diatas tunggul tempat buloh itu dipotong dan tak sampai beberapa saat kelibat wang itu hilang dari pandangan, sementara ribut kembali reda. Macam tak percaya tapi itulah yang berlaku. Kuasa Allah menghendaki apa saja yang berlaku mengikut ketentuannya. Kemudian kami balik kerumah dan ayah sudah boleh bergerak dari koma dan meminta untuk bangun. Saluran tiub getah telah ditanggalkan. Saya menghantar bomoh balik ke Kuala Lumpur. Letih sungguh dari semalam hingga esoknya tanpa tidor. Yang penting ayah kembali sihat. Syukur pada Allah dan kakak bermimpi yang dia melhat anak bunian itu kakinya hampir terputus. Satu kejadian yang sukar saya nak terima tapi berlaku didepan mata. Besok satu kampong terbau masakan kari lembu. Ajaibkan..itulah kuasa Allah.

Ayah sudah boleh bercakap dan berjalan. Lega rasanya hati dan dah tentu tumpuan seterusnya doktor dihospital Kuala Pilah. Bukan saya nak berdebat maupun bertengkar cuma ingin menunjukkan kepadanya atas kegigihan saya. Dihari pertemuan doktor tersebut agak terperanjat dan menanya apa yang telah saya lakukan. Jawapan saya semuanya kuasa Allah kita hanya berikhtiar. Beliau akur dan terus menjadi sahabat.Sehari selepas peristiwa itu baru kami tahu kenapa mereka meminta harga seekor lembu dengan jumlah RM1100.00. Disebabkan kami ada 11 orang adik beradik ... sukar nak ditakrifkan.

Dalam hidup banyak perkara perlu diambil kira untuk menjadi insan yang sempurna. Jangan tunggu diakhir waktu untuk bertindak. Sentiasa bertolak ansur dan reda atas ujian yang kita lalui. Berlaku ikhlas dan jujur dalam segala hal, Insyaallah segala-galanya akan berjalan lancar...Alhamdullillah..

Friday, February 19, 2010

Tinggal Kenangan

Mengembirakan hati orang-orang tersayang adalah sebuah kenangan yang terindah apalagi dapat memenuhi impian mereka untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati. Kebanggaan seorang ayah dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sempurna. Beruntung anak-anak sekarang kerana punyai ayah yang menyayangi jesteru itu hargai masa yang ada untuk merapatkan jurang ikatan andainya mulai longgar. Adakala terlepas pandang dan kesibukkan masing masing hingga terlupa nak mengucapkan ' Saya sayang ayah atau saya sayang ibu'. Terfikir dibenak minda saya dimanakan kekhilafan ini berlaku sedang alat-alat perhubungan terlalu canggih hinggakan boleh berbual dengan cara sidang video. Jangan jadikan alasan atas apa saja untuk tidak menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya kita lakukan, "Hendak seribu daya tak mau seribu dalih". Jadi laksanakan sejujurnya dengan harapan tiada hati yang terluka.
Berbeza dengan kehidupan yang saya lalui dizaman kanak-kanak penuh kisah yang mengharukan hingga adakala saya terfikir apakah saya ini anak angkat atau kalau boleh ingin lari jauh-jauh supaya tidak ada suara-suara yang memedihkan menerjah kehalwa telinga tapi tidak mempunya kekuatan diri untuk bertindak. Hanya mampu menerima saja apa yang datang dengan rasa kesal dihati. Walau apa pun saya tetap bangga dan sayang mempunyai ayah dan ibu sebegini malah terasa kesal kerana tak sempat membalas jasa mereka hanya doa semuga roh mereka ditempatkan bersama para solihin.

Ada dua kejadian yang tidak boleh lupa sampai sekarang kerana terlalu pilu nak dikenang tapi saya ingin berkongsi dengan pembaca sekelian agar ada tauladan disebalik kisah ini. Didiklah anak sebaik mungkin agar menjadi insan yang hebat dan sempurna.Kejadian yang pertama ketika didarjah enam kerana sebatang pensil. Mungkin kedudukan kewangan keluarga yang begitu susah tambahan ayah tidak mempunyai pekerjaan yang tetap dan adik beradik yang ramai jadi segala perkara perlu diurusan sebaik mungkin. Saya meminta emak membelikan sebatang pensil kerana pensil yang ada sudah hilang. Emak merungut kerana saya tak pandai menjaga keperluan sendiri. Besoknya saya mendapat pensil yang baru dan emak berpesan supaya jangan hilangkan lagi pensil tersebut kerana banyak benda lain yang perlu dibeli. Saya begitu gembira kerana tak perlu meminjam dengan kawan-kawan lagi dan saya berjanji akan menjaga sebaik mungkin. Ketika pulang dari sekolah tengahari berikut emak memanggil kerana mahu melihat pensil tersebut. Memang sudah ditakdirkan pensil yang baru dibeli hilang lagi. Saya menjadi takut dan kemarahan emak tiba-tiba meninggi lantas saya dipukul bagai melakukan kesalahan yang amat besar. Puas saya merayu tapi tidak ada simpati malah meneruskan pukulannya yang akhirnya saya terima dengan reda semua pukulan yang hinggap dibadan saya sambil airmata mengalir dengan esakkan. Kemudian saya ditarik kearah sungai dengan kemarahan yang membuak emak membuang saya dalam sungai. Serta merta saya terkedu dengan tindakan yang sedemikian rupa. Saya tak mampu bangun sambil menangis dengan baju basah kuyup. Emak meninggalkan saya sambil merungut. Hancur sungguh perasaan saya dengan kesilapan yang kecil akhirnya terjadi sedemikian. Saya bertekad andai saya jumpa kembali pensil tersebut akan saya simpan sebagai satu kenangan yang paling trajis dalam hidup saya. Memang saya jumpa kembali pensil tersebut tercicir diatas jalan dan atas ehsan kawan-kawan yang memang tahu nasib saya. Saya terus bertekad akan belajar bersungguh-sungguh dan mahu meninggalkan kampong untuk membina hidup yang lebih bermakna. Alhamdullillah saya berjaya.

Kejadian yang kedua bila mendapat keputusan peperiksaan saya, peratus markah keseluruhan jatuh sedangkan masih menduduki No 1 dalam keseluruhan kelas. Sampai dirumah ketika menyerahkan pada ayah untuk ditandatangani, saya merasakan dipuji atau mendapat hadiah kerana keputusan yang masih berkedudukan No.1. Meleset sungguh tekaan saya dan paling malang saya dirotan kerana keputusan tersebut. Apalagi yang dapat saya katakan hanya juraian airmata kekesalan. Hilang selera nak makan. Seribu persoalan timbul dibenak saya kenapa. Sepanjang malam saya menangis kerana memikirkan keputusan macam mana yang patut membanggakan Ayah. Adilkah pada diri saya atau apa kesalahan yang begitu berat saya lakukan sehingga tiada kebanggaan dihati mereka. Sampai sekarang saya masih tertanya-tanya.

Tiada niat nak memalukan diri atau kedua-dua orang tua saya hanya sekadar berkongsi kisah hidup yang saya lalui. Saya tak pernah berdendam malah tak putus-putus saya berdoa semuga roh mereka sentiasa aman kerana tersemat didalam minda saya tiada mereka tiada saya dan dalam keadaan macam mana sekal pun saya adalah anak dan mereka adalah ibubapa saya. Sebab tu saya cukup kesal kalau ada dikalangan kita tidak pandai menyayangi ibubapa. ' Kasih ibu membawa kesyurga, kasih bapa berkorban nyawa dan kasih saudara tika berada'

Thursday, February 18, 2010

Happy Chinese New Year (Year of Tiger)

Tahun Baru Cina baru berlalu, sungguh meletihkan kerana banyak program dah diatur tambahan kesesakan jalanraya yang tak pernah selesai. Lagi banyak jalan dibuat lagi banyak kereta diatas jalan maka bertambah lagi kemalangan yang tanpa kita sedari melibatkan banyak nyawa terkorban. Kenapa ya? seolah-olah "pandu selamat jiwa selamat" seakan tidak menjurus kepada mesej mengingatkan pemandu berhati-hati. Sayugia 'sayangi orang yang tersayang' tidak punya makna. Agaknya bagaimana nak mendidik pemandu berhemah. Adakala kerisauan sentiasa bersarang diminda kerana tak sanggup menerima berita yang menyedihkan. Harap-harap ianya tidak terjadi.

Awal Tahun Baru Cina menghadiri kenduri kahwin sepupu kepada isteri. Wah seronok juga kerana dapat bertemu kembali sanak saudara dan kaum keluarga. Meriah juga tapi cuaca agak panas jadi masing-masing menunjuk kelesuan. Sempat bertanya khabar dan bertukar cerita kehidupan masing-masing. Rupanya masa berjalan terlalu pantas sehingga yang kecil dah dewasa dan yang dewasa dah mula uzur. Jadi perlunya menggunakan masa sebaik mungkin supaya tidak terlepas begitu saja, "Masa itu emas" hargailah.

Sebelah petang berkunjung kerumah kawan baik keturunan cina (Lee Cheng Heng)di Pulau Gadong, Melaka. Kami dah berkawan baik melebih 10 tahun dan dah menganggap sebahagian keluarga kami. Dia menghormati saya sepenuhnya sebagai orang Melayu beragama Islam dan saya menerima dia seadanya biar pun pada awalnya banyak yang cemburu diatas keakraban kami hingga ada yang menabur fitnah supaya kami berpisah tapi atas dasar keikhlasan dan kejujuran ianya tetap kukuh sehingga kini. Kami dijamu dengan Yong Tau Fu (halal dikendalikan oleh orang Melayu) dikedai berhampiran rumahnya. Sedap sebab dah lama tak menjamah. Walau pun masa mencemburui kami tapi kami gunakan sepenuhnya masa yang ada untuk merapatkan lagi persahabatan kami. Rasanya tak mahu berpisah tapi masing-masing ada tugas yang perlu dijalankan maka dengan berat hati kami sama-sama merelakan malah masih tersemat didalam fikiran dan jiwa saya atas janji beliau sewaktu mula-mula kami menjalinkan persahabatan "Hanya kematian yang boleh memisahkan". Susah nak ditaksirkan dengan kata-kata pada ungkapan itu dan saya berjanji apa pun terjadi saya tetap berpegang pada kata-kata tu. Kami bertolak balik ke Kuala Lumpur dengan bermacam-macam fikiran bermain diminda. Terlintas juga dalam minda saya "Kawan ketawa senang dicari, kawan menangis sukar didapati".

Pernah satu ketika Lee membawa kueh Cang (sejenis kueh tradisi cina) untuk saya katanya, dan dia menyatakan halal. Masa tu dia belum faham istilah halal tu macam mana dan saya menjadi serba salah nak dimakan tak boleh (kerana masih dimasak menggunakan bekas yang tidak halal), nak ditolak mesti dengan cara berhemah supaya tidak timbul rasa jauh hati. Saya hanya mampu berdiam diri, lantas dia mengatakan kenapa saya tak sudi sedangkan kueh tu dibawa memang untuk saya. Maka saya terpaksa berterus terang dengan mengatakan yang saya tak boleh makan kecuali dimasak dirumah saya. Pada mula saya ingat dia akan terima alasan saya sebaliknya jauh meleset dengan hamburan airmata dia berkata sampai hati saya buat begitu padanya lantas dibuangnya kueh itu kedalam tong sampah. Terluka sungguh hati dia, rasa bersalah bersarang diminda saya. Saya cadangkan padanya makan ditempat lain walau pun dengan harga yang mahal saya sanggup bayar demi menebus kehampaannya. Arrrhhh lagi meleset tekaan saya dengan jawapan, tak payah makan apa-apa kerana yang murah pun saya tak sanggup makan. Terkedu saya seketika. Akhirnya saya pasrah dengan membiarkan dia dengan kesedihan sehingga reda. Malang berterusan dengan lansung tak mahu berbicara dengan saya malah tak mahu melihat saya lagi. Benar-benar saya rasa tertekan dan kecewa. Hilang segala mood dan selera. Apakan daya nasi sudah menjadi bubur, hilang segala-galanya hanya kerana kueh cang. Dua hari saya memikirkan malah tak bertegur sapa. Sama-sama memendam rasa. Saya membuat keputusan drastik kerana tak mahu berlarutan dengan berdepan dari hati kehati. Saya bertanya padanya apakah tidak ada jalan penyelesaian lantas saya membuat kata putus, kalau benar dia menganggap saya ni abangnya saya tunggu dikedai makan yang selalu kami pergi untuk sama-sama menjamu selera dan andaikata sudah tak mau lagi meneruskan persahabatan ini saya reda dan akur ketentuan yang ada. Pada mulanya dah hampir 10 minit berlalu dan saya memikirkan sudah ada jawapannya yang dia tak datang. Akhirnya kelibat beliau dengan muka yang agak serius hadir dan duduk dihadapan. Saya menghulur tangan meminta seribu kemaafan atas apa yang terjadi dan dia menerima dengan syarat belanja dia makan selama seminggu. Tak apa syarat yang agak mudah kerana saya tak mahu kehilangan sahabat yang baik. Itulah kenangan yang membuat saya takut nak melukakan hati sesiapa saja dan perlu berlaku ikhlas dan jujur dalam menjalinkan persahabatan.

Kini semua tinggal kenangan, segala waktu bersama sudah berlalu kerana tugas memisahkan kami, hanya sms dan deringan handphone menghubungi kami. Sesekali bila waktu terluang kami cuba penuhi dengan menziarahi samada saya ke rumahnya atau sebaliknya. Percayalah siapa pun kita, tak kira bangsa, agama, kedudukan maupun taraf kalau kita ikhlas dan reda akan berjalan dengan baik. Elakkan prasangka dan mengongkong supaya persahabatan dijalin dengan rasa penuh tanggungjawab. Hormati sahabat sebelum sahabat menghormati kita.

Tuesday, January 19, 2010

Soal Hati

"Rambut sama hitam, hati lain-lain" satu ungkapan yang biasa didengar bila berbual dengan orang tua mengenai sikap seseorang. Tanpa kita sedari secara lansung atau tidak samada cara, perbuatan atau tuturkata adakala menjadi punca orang lain menjadi suka atau jauh hati. Ini bukan bermakna kita tidak boleh menegur malahan berbual tapi penerimaan seseorang berbeda-beda. Perlu bersikap terbuka, rendah diri bahkan toleransi antara satu sama lain amat diperlukan. Ada waktu kita memerlukan sokongan moral atau penghargaan dari orang yang tersayang tapi apabila ianya tidak seperti yang diduga akan berlaku konflik dalam hati seolah-olah tidak diperlukan. Hubungan antara anak dengan ibu atau ayah amat berbeza. Ini oleh kerana kedudukan ayah sebagai ketua dalam rumahtangga menjadikan mereka bertegas dalam segala hal demi memastikan semua berjalan lancar.
Pernah satu ketika saya memukul satu-satu anak lelaki saya dengan tali pinggang ketika umurnya 9 tahun oleh kerana sikap degilnya. Waktu itu saya sudah hilang pertimbangan kerana kesabaran saya sudah dipenghujung tapi bila melihat kesakitan yang dialami saya merasa seribu kekesalan sambil menitiskan airmata. Lantas saya bersolat memohon keredaan Allah agar diberi petunjuk. Alhamdullillah selepas itu saya memohon maaf pada anak lelaki saya dan berjanji tidak melakukannya lagi dan meminta beliau berubah sikap. Kedua-dua berlaku dan berfungsi dengan baik sekali. Sebenarnya 'kemaafan itu suatu dendam yg terindah'. Saya terus bertekad membimbing dia secara betul dan menganggapnya sebagai kawan. Akhir apa yang saya harapkan menjadi kenyataan. Ketika ini anak lelaki saya sudah berada di semester satu UTM Skudai, dalam jurusan Sarjana Sains Fizikal Industri. Saya mengharapkan beliau menjadi anak yang hebat.
Begitu juga hubungan suami isteri yang perlu persefahaman yang betul-betul mutlak, saling memahami malah menghormati atas tanggungjawab masing-masing. "Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri". Saya mengkagumi sikap isteri saya yang sentiasa melayan saya sebagai suami bila berada dirumah. Pujian saya ini ikhlas tanpa mengharapkan sanjungan darinya kerana sentiasa memastikan saya sentiasa selesa ketika berada dirumah. Pernah juga kami berselisih faham tapi biasanya tak menjadi berpanjang kerana sikap saya lebih banyak berdiam diri bila dia mula marah. Kemarahannya reda begitu saja kerana tiada tidakbalas dari saya. Saya selalu mengingatkan diri saya apapun yg terjadi antara saya dan isteri jangan dibawa ketempat tidur kerana tempat tidur adalah tempat yang paling istimewa untuk suami isteri berkongsi apa saja.

Dalam menjalani kehidupan yang serba mencabar perlunya reda, tabah dan sabar dalam menghadapi apa saja yang mendatang. Jangan emosi dan cepat putus asa kerana ujian-ujian dari Allah sentiasa hadir untuk memastikan umatnya tidak lupa atas nikmat yang dianugerahkan. Jangan terlalu ikut perasaan yang makna akhir menyusahkan diri sendiri. Bak kata pepatah "ikut rasa binasa, ikut hati mati". Soal hati tidak akan habis sekiranya sikap bertolakansur tidak ada dalam diri kita. Sayangi keluarga, sayangi diri sendiri, sayang orang-orang yang dekat dengan kita, Insyaallah perjalanan kita seterusnya akan lebih tenteram dan bahagia.
Salam sayang untuk isteri, anak-anakku dan mereka yang selalu berada dihati ini.

Thursday, January 7, 2010

Setengah Abad

Pantas sungguh masa berlalu, masih tergambar dibenak kepala ketika era 60an begitu indah kehidupan walaupun penuh dengan bermacam-macam peristiwa dan cerita. Sekarang anak-anak sudah membesar. 4 perempuan seorang lelaki, Alhamdullillah semuanya menyenangkan hati malah rasa bangga kerana mereka menjadi anak-anak yang baik. Harap ianya berkekalan sampai akhir hayat. Jauh sungguh perbezaan kehidupan anak2 sekarang dengan anak-anak zaman era 60an. Bukan nak membezakan malah tidak adil berbuat demikian tapi kemudahan dan kesempurnaan yang ada sepatut mereka menghargai malah menunjukkan kearah insan yang cemerlang.

Mempunyai adik beradik yang ramai. Pekerjaan ayah hanya kerja kampong (menoreh getah dan bersawah) tapi kehidupan kami amat mengembirakan. Ayah seorang yang amat garang sehinggakan nak sentuh basikal pun belum tentu dibenarkan berbanding emak yang lebih banyak bertoleransi. Kalau ada sesuatu yang tidak diingini berlaku maka bersedialah untuk menerima hukuman. Ahhh sebak dihati tapi atas displin yang tinggi serta takut dengan hukuman yang diterima kami selalu terima apa saja peraturan yang dikenakan, yang penting kami tidak dirotan atau dihukum. Sekarang baru kami sedar betapa perlunya peraturan itu perlu dipatuhi. Bagaimana dengan anak-anak sekarang, terlalu jauh berbeza. Ini oleh kerana kita tidak mahu mereka menerima nasib yang sama seperti kita dulu jadi kita memastikan mereka sentiasa dalam keadaan yang sempurna. 'Lain dahulu lain sekarang'

Perlu diingat tidak ada dahulu tak ada sekarang, cuma kena sesuaikan dengan keadaan semasa. Perlu jadikan ikhtibar dan pelajari kesilapan serta jangan diulang. Nak menjadi yang terbaik perlu patuh pada peraturan dan berkorban.

Pada generasi sekarang hormati ibupbaba dan jagalah mereka sepertimana mereka menjaga kamu dahulu. Gunakan masa yang ada untuk mengembirakan mereka supaya tiada kesal disepanjang hayat. 'Kasih ibu bawa kesyurga, kasih ayah berkorban nyawa, kasih saudara ketika berada'

DOA untuk kedua ayah dan ibuku semuga roh sentiasa bersama para solihin. Amin

Tuesday, January 5, 2010

Salam Perkenalan

Assalamualaikum semua,

Setelah sekian lama saya diminta untuk menulis melalui blog mengenai pengalaman dan perjalanan hidup yang pernah saya lalui sehingga kini. Sukar juga saya nak memulakannya atas sebab-sebab tertentu maka akhir saya memutuskan kenapa tidak saya berkongsi sekurang-kurangnya bersama keluarga tersayang dan mereka yang rapat dengan saya. Disamping itu saya juga akan menyelitkan antara pengalam hidup dengan kisah semasa dengan diadaptasikan unsur nasihat dan motivasi yang mana pernah saya pelajari. Insyaaliah saya cuba yang terbaik semuga sedikit sebanyak dapat kawan-kawan semua memilih 'yang terbaik jadikan tauladan dan yg buruk jadikan sempadan'

Salam perkenalan.