DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Friday, August 31, 2012

TANDA, SEBAB DAN KESAN SOMBONG


Perkataan meninggi diri mengikut istilah bahasa Melayu, ertinya ialah sombong atau angkuh. Pengertian dalam bahasa moden ialah ego. Mengikut syariat Islam, erti kibir ialah membesarkan diri kerana merasakan diri mempunyai kelebihan dan keistimewaan sehingga lupa kepada Allah dan menderhakainya. Pengertian mengikut istilah syariat inilah yang akan dihuraikan di sini. Sifat kibir atau sombong atau angkuh atau ego bermakna membesarkan diri kerana hati merasakan diri mempunyai kelebihan, keistimewaan dan kehebatan. Ia merupakan sifat batin (mazmumah) yang paling keji. Bahkan ia adalah sifat batin yang sangat jahat. Dosa dan kesalahan pertama yang dilakukan oleh makhluk Allah terhadap Allah ialah sifat sombong. Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam AS. sewaktu Allah memerintahkannya. Dia membesarkan diri lantaran merasakan dirinya lebih utama dan lebih mulia daripada Nabi Adam AS. Kejadiannya daripada api sedangkan Nabi Adam AS daripada tanah. Itu saja penyebab yang dia rasa dirinya lebih hebat dan istimewa. Peristiwa kesombongan iblis ini Allah ceritakan dalam Al Quran, firman-Nya: “Dan (ingatlah) ketika Kami memerintahkan kepada malaikat: ‘Sujudlah kepada Ada.’ Dia (Iblis) enggan dan membesarkan dirinya. Maka sesungguhnya dia adalah dari golongan musyrik.” (Al Baqarah: 34)
TANDA-TANDA SIFAT SOMBONG
Langkah-langkah untuk mengenal pasti adanya penyakit ini ialah melalui pergaulan sesama manusia. Melalui pergaulan, akan dapat dikesan sifat sombong sama ada sombong yang keterlaluan, sederhana atau ringan. Apakah tanda-tanda seseorang itu memiliki sifat sombong? Di antaranya:
1. Payah menerima pandangan orang lain sekalipun hatinya merasakan pandangan orang itu lebih baik daripadanya. Apatah lagi kalau pandangan itu datang daripada orang yang lebih rendah daripadanya sama ada rendah umur, pangkat atau lain-lain lagi.
2. Mudah marah atau emosional. Bila berlaku perbincangan dua hala, cepat tersinggung atau cepat naik darah kalau ada orang tersilap atau tersalah.
3. Memilih-milih kawan. Suka berkawan hanya dengan orang yang satu ‘level’ atau sama taraf dengannya. Manakala dengan orang bawahan atau lebih rendah kedudukannya, dia tidak suka bergaul atau bermesra, takut jatuh status atau darjat dirinya. Bahkan dengan orang yang sama level dengannya pun masih dipilih-pilih lagi. Yakni dia suka dengan orang yang mahu mendengar dan mentaati kata-katanya. Mereka inilah saja yang dia boleh bermesra, duduk sama atau semajlis dengannya.
4. Memandang hina pada golongan bawahan.
5. Dalam perbahasan atau perbincangan, selalunya dia suka meninggikan suara atau menguatkan suara lebih daripada yang diperlukan.
6. Dalam pergaulan dia suka kata-katanya didengari, diambil perhatian dan diikuti. Sebaliknya di pihaknya sendiri, susah untuk mendengar cakap atau nasihat orang lain serta tidak prihatin dengan cakap orang. Apatah lagi untuk mengikut cakap orang lain.
7. Dalam pergaulannya, dia saja yang memborong untuk bercakap dan tidak suka memberi peluang kepada orang lain bercakap. Kalau ada orang lain bercakap, dia suka memotong percakapan orang itu.
8. Kalau dia jadi pemimpin, dia memimpin dengan kasar dan keras terhadap pengikut-pengikutnya atau orang bawahannya. Ia membuat arahan tanpa timbang rasa dan tidak ada perikemanusiaan. Kalau dia menjadi pengikut, susah pula untuk taat dan patuh pada pemimpinnya.
9. Susah hendak memberi kemaafan kepada orang yang tersilap dengannya. Bahkan ditengking-tengking, diherdik, dikata-kata atau dihina-hina. Di belakangnya diumpat-umpat.
10. Kalau dia yang bersalah, susah dan berat hendak minta maaf. Rasa jatuh wibawa bila merendah diri meminta maaf. Bahkan dia tidak mengaku bersalah.
11. Dia suka dihormati. Tersinggung kalau tidak dihormati. Tetapi dia sendiri susah atau berat untuk menghormati orang lain.
12. Mudah berdendam dengan orang lain terutamanya bila orang itu tersilap.
13. Suka menzalimi orang sama ada secara kasar atau secara halus.
14. Kurang bermesra dengan orang kecuali terpaksa kerana perlukan orang itu atau kerana takutkan orang itu.
15. Suka memperkatakan keburukan orang seperti mengumpat, memfitnah serta membenci orang.
16. Kurang menghormati pemberian orang atau tidak menghargai pemberian orang lain.
17. Suka mengangkat-angkat diri atau menceritakan kelebihan diri.
18. Suka menghina dan menjatuhkan air muka orang di hadapan orang lain.
19. Kurang menghormati nikmat-nikmat Allah. Kalau ada makanan, berlaku pembaziran atau membuang makanan yang berlebihan. Kalau ada pakaian walaupun masih elok dipakai tetapi suka berganti dengan yang baru. Pakaian yang lama dibuang. Kalau ada duit lebih, suka beli barang yang tidak diperlukan. Semua itu lebih digemari daripada memberi nikmat yang berlebihan itu kepada orang lain.
20. Kalau berdiri, lebih suka bercekak pinggang (kerana membesarkan diri). Kalau bercakap, menepuk-nepuk meja dan suka mencemik. Kalau berjalan suka bergaya, menghentak-hentak kaki atau berjalan membusung dada.
21. Kurang memberi simpati atau kurang menolong orang lain melainkan ada tujuan-tujuan dunia atau kerana takut dengan orang itu.
22. Kurang minat menerima tetamu atau tidak suka jadi tetamu orang.
23. Tidak suka menyebut kelebihan-kelebihan orang lain kerana takut mencabar dirinya.
24. Kesalahan-kesalahan orang lain dibesar-besarkan sedangkan kesalahan sendiri didiamkan, disorokkan, buat-buat tidak tahu atau cuba mempertahankan diri supaya orang menganggap dia tidak bersalah.
25. Sangat tidak senang dengan kejayaan atau kebolehan orang lain.
26. Dia sangat tersinggung kalau ada orang memuji-muji atau menyebut kelebihan-kelebihan orang lain di hadapannya. Tetapi kalau dia dipuji, terserlah pada air mukanya rasa bangga dan senang hati.
Senarai tanda-tanda, riak-riak atau sikap-sikap di atas sudah cukup jelas untuk kita dapat mengenali sifat sombong ini. Bila sudah dikenal pasti ertinya memudahkan kita mengatasi atau mencabut sifat keji ini.

SEBAB-SEBAB SOMBONG
Sebelum mencabut sifat sombong yang keji ini perlu kita tahu kenapa sifat ini boleh berlaku. Ini juga merupakan faktor pem-bantu untuk memudahkan kita mengikis sifat ini. Macamlah jerawat yang ada di pipi. Kalau kita kenal tanda jerawat, kemudian tahu kenapa boleh timbul jerawat, barulah mudah untuk kita mengubat jerawat itu.

Faktor-faktor penyebab yang menjadikan seseorang itu memiliki sifat-sifat sombong, di antaranya ialah:
1. Memiliki kuasa, sama ada dia memiliki kuasa besar atau kecil. Kuasa besar itu seperti jadi raja, presiden, perdana menteri, gabenor dan lain-lain lagi. Kuasa kecil seperti jadi pegawai, D.O., penghulu, guru besar, guru-guru dan lain-lain lagi. Kuasa yang ada itu mendorongnya menjadi sombong.
2. Mempunyai ilmu pengetahuan sama ada pengetahuan tentang dunia atau pengetahuan tentang Akhirat. Sama ada pengetahuan di banyak bidang atau di satu bidang. Ini jadi pendorong seseorang itu menjadi sombong kerana dia rasa lebih pandai daripada orang lain.
3. Mempunyai harta kekayaan. Harta juga mendorong seseorang itu menjadi sombong.
4. Mempunyai kegagahan iaitu orang yang mempunyai kekuatan fizikal atau mempunyai kepandaian dalam mempertahankan diri seperti tinju, gusti, tae kwan do, silat dan lain-lain lagi. Ini juga mendorongnya menjadi sombong.
5. Keturunan. Ada orang jadi sombong kerana berketurunan bangsawan, berketurunan ulama dan lain-lain lagi, lantas merasa diri mulia serta memandang orang lain hina berbanding dengan dirinya.
6. Sebab-sebab yang lain seperti berwajah tampan dan cantik, disayangi oleh orang besar, disayangi suami, disayangi oleh ibu ayah dan lain-lain lagi. Ini juga pendorong menjadi sombong.
7. Bukan sebab-sebab yang di atas tadi, tapi mungkin dia orang miskin atau orang jahil atau orang hodoh atau orang cacat atau orang lemah sedangkan dia tetap sombong. Ini dikatakan bodoh sombong. Orang ini walaupun tidak ada sebab khusus untuk dia berlaku sombong tetapi oleh kerana benih sifat sombong yang semula jadi ada dalam diri itu tidak terdidik dan tidak cuba untuk dikikisbuangkan atau tidak dicabut, bahkan disuburkan, maka tetaplah dia dengan sikap sombongnya.
Golongan yang sombong di taraf ini bilamana tidak sedar atau tidak kenal dirinya yang sebenar, inilah yang jadi pendorong dia bersifat sombong. Kalau begitu ada golongan manusia yang sombongnya bersebab dan ada pula golongan manusia yang sombongnya tidak bersebab. Tetapi kebanyakan manusia itu sombongnya bersebab, seperti yang disebutkan di atas tadi. Bersebab atau tidak, sifat sombong tetap mesti dicabut dan dibuang. Jika tidak, ia akan memberi kesan yang buruk di tengah kehidupan masyarakat.

KESAN SIFAT SOMBONG
Di antara kesan sifat sombong ialah:
1. Orang benci kepadanya. Fitrah semula jadi manusia tidak suka kepada orang yang bersifat sombong ini. Hati yang benci-membenci tentulah tidak ada kasih sayang, akhirnya tidak wujud perpaduan. Ini bererti umat Islam tidak ada kekuatan. Risikonya, Islam menjadi lemah, lumpuh dan runtuh kerana tidak ada pautan hati antara satu sama lain. Ini sangat merugikan umat Islam dan Islam sendiri. Maknanya, apabila sifat sombong dimiliki bersama, semuanya bersalah dan berdosa sehingga menyebabkan tamadun roh dan tamadun material tidak dapat dibangunkan.
2. Mudah marah, di mana kebiasaannya kemarahan akan berakhir dengan perbalahan dan pergaduhan.
3. Bilamana wujud sifat sombong, lahirlah penyakit yang berikutnya iaitu mudah berdendam, hasad dengki dengan manusia, mudah hendak bertindak balas di atas kesilapan orang lain. Kadang-kadang belum tentu silapnya, dia telah gopoh-gapah bertindak. Mudah pula sakit hati terhadap kejayaan dan kebolehan orang lain sehingga berusaha se-daya upaya untuk merosakkan atau menjatuhkan orang itu. Akhirnya tentulah timbul permusuhan sesama manusia. Lebih besar dari itu, akan berakhir dengan peperangan dan pembunuhan bilamana berlaku tindak balas daripada orang lain atau golongan lain pula.

Kesombongan sangat membahayakan masyarakat manusia dan dunia seluruhnya. Lantaran ini Allah sangat murka dan Allah tempatkan mereka ini di Neraka bersama Firaun, Namrud, Hamman dan lain-lain orang yang zalim dan angkuh itu. Memandangkan betapa merbahayanya penyakit ini maka usaha-usaha lahir mesti dibuat untuk membendungnya. Beberapa panduan dan kaedah diberi untuk mengikisbuang dan mengubatinya secepat mungkin secara serius supaya kita tidak terus mengidap penyakit yang mengerikan ini.
Di antara cara-caranya ialah:
1. Ada ilmu tentang sifat-sifat mazmumah. - Adanya ilmu ibarat ada cahaya yang mampu menyuluh sifat-sifat mazmumah di dalam diri itu termasuk sifat kibir atau sombong. Perlunya ilmu kerana ia merupakan sifat batiniah yang sesetengah orang payah mengesannya tetapi mudah pula dikesan oleh orang lain.

2. Bawa berfikir selalu tentang kejadian manusia. - Sedarkan hati kita bahawa soal kejadian manusia itu adalah sama. Yakni daripada tanah dan mati kembali ke tanah semula. Walau bagaimana hebat sekalipun seseorang itu, kejadiannya sama dengan orang lain. Kejadian yang pertama asalnya daripada tanah. Walaupun berdarjat, berpangkat, berkuasa, berharta, berilmu, sama ada yang alim atau tidak, yang kaya atau miskin, yang cantik atau buruk, namun mereka semuanya sama. Samasama berasal daripada tanah. Lihatlah raja-raja besar seperti Firaun. Walau bagaimana hebatnya dia sehingga mengaku dirinya tuhan, di manakah dia sekarang? Bukankah dia tidak dapat mempertahankan kehebatannya, akhirnya mati dan kembali ke tanah! Jadi untuk apa dibangga-banggakan dengan kehebatan dan keistimewaan masing-masing. Sedangkan semuanya setaraf, yakni berasal daripada tanah dan akhirnya kembali ke tanah jua. Tidak mampu untuk memanjangkan umur sendiri.

3. Fikirkan dan sedarkan hati kita bahawa kejadian manusia yang kedua adalah daripada air mani yang hina. - Kalau diperlihatkan kepada manusia, amat jijik dan benci sekali untuk melihatnya. Ertinya, kejadian manusia itu tidak ada beza di antara satu sama lain, sama ada orang kaya, orang berilmu, pembesar atau lain-lain lagi, semuanya berasal daripada air mani yang hina. Kalaulah orang kaya berasal daripada intan, pembesar daripada emas, orang berilmu daripada berlian dan orang biasa berasal daripada air mani, boleh jugalah berbanggabangga. Ini tidak, semuanya berasal daripada benda yang sama iaitu air mani yang hina. Dari segi kejadian, tidak ada perbezaan apa-apa pun. Jadi untuk apa kita berbangga-bangga dengan keistimewaan diri pada orang lain?

4. Melihat respon orang lain terhadap kita. - Dalam pergaulan hidup, dapat dikesan respon orang lain kepada kita. Kalau kita sombong, semua orang akan benci. Anak isteri tidak suka, jiran-jiran meluat, kenalan renggang dan pengikut tidak suka. Apa pendapat kita? Adakah untung kita mempertahankan sikap begitu? Apalah indahnya! Bukankah kita dapat rasakan betapa buruk padahnya akibat mempertahankan penyakit keji dan jahat ini. Lebih-lebih lagi kerja kita tidak semua kita mampu uruskan sendiri. Lagi tinggi pangkat dan darjat, lagi banyak urusan kerja yang perlu dibereskan, dibantu oleh tenaga-tenaga orang lain sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Oleh itu pertolongan, bantuan dan titik peluh orang lain tidak boleh kita lupakan. Kalau tidak ada mereka ertinya kita tidak jadi hebat dan kaya. Kalau begitu untuk apa kita rasa lebih istimewa? Bilamana orang sudah benci, di waktu-waktu tertentu seperti waktu sakit atau waktu kematian atau kecemasan, masyarakat akan pulaukan. Atau lambat-lambatkan bantuan atau tidak beri bantuan supaya kita terasa susah lebih dahulu. Ini semua hasil dari mereka sakit hati dengan sifat sombong kita itu.

5. Ambil iktibar dari pengalaman hidup. - Apabila ada kelebihan, keistimewaan dan kehebatan, bolehkah bersifat sombong? Cuba fikirkan kejadian-kejadian yang berlaku dalam pengalaman hidup seharian. Apakah kita berkuasa mengelakkan diri daripada sakit? Apakah kita mampu melawan kuasa tentera Allah yang dihantar melalui bencana alam dan lain-lain lagi? Apakah anda mampu melawan kematian dengan kesombongan dan kekibiran itu? Tentu tidak! Kalau begitu kenapa kita merasakan lebih istimewa daripada orang lain? Walhal tidak ada keistimewaan apa-apa pun yang menjadi milik kita. Semua itu Allah pinjamkan sekejap. Jadi tidak ada apa-apa pun kehebatan kita jika dibandingkan dengan orang lain. Kadang-kadang Allah beri kita kelebihan ilmu, kekayaan, pangkat dan lain-lain, tapi dalam masa yang sama kitalah yang paling banyak mengidap sakit. Misalnya sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan lain-lain sehingga kelebihan dan keistimewaan-keistimewaan itu semuanya tidak ada erti apaapa lagi. Akhirnya, nikmat yang dikumpul-kumpulkan sekian lama, tidak dapat dinikmati sendiri tetapi dinikmati oleh orang lain. Oleh itu untuk apa dibangga-banggakan dengan kehebatan yang ada itu?

6. Ingat azab Allah untuk orang yang sombong. - Cubalah renungkan. Ingatkanlah di hati bahawa sombong ini sangat dimurkai oleh Allah. Kita dianggap sudah merampas pakaian-Nya. Akibatnya, kita akan dicampakkan ke Neraka yang panas apinya 70 kali ganda kekuatan api dunia dan dalamnya 70 ribu tahun perjalanan baru sampai ke dasarnya. Ingatkan Neraka yang keseluruhannya api. Di atasnya api, di bawahnya api, di kiri api, di kanan api, di depan api, di belakang api yang memakan dan menghanguskan daging-daging dan tulang-belulang. Kemudian diganti lagi dengan tubuh yang baru dan diseksa lagi. Begitulah berulang-ulang berlaku sepanjang masa. Walhal di waktu itu kita dibelenggu kaki dan tangan serta dicemeti berterusan oleh malaikat Zabaniah. Bau Neraka yang busuk itu tidak dapat digambarkan. Kalaulah ditakdirkan bau itu tercium oleh penduduk dunia, akan matilah semua lantaran busuknya.
Perkara-perkara di atas tadi perlu difikir-fikirkan, direnung-renungkan dan diulang-ulang memikirkannya. Diingat selalu dalam hati hingga tidak dapat dilupakan lagi. Kesannya nanti akan timbul rasa malu dan takut untuk kita bersikap ego dengan Tuhan dan dengan manusia. Dengan cara-cara atau kaedah ini moga-moga membantu kita mudah untuk bermujahadah menumpaskan sombong ini. Harapan kita moga-moga Allah sentiasa memimpin kita agar menjadi hamba-hamba-Nya yang merendah diri. - Usaha Taqwa

Tuesday, August 28, 2012

Indahnya Tawadduk


Bila hati direndahkan InsyaAllah martabat kan dijulang.. Dikala mendengar seseorang rendah hati atau tawaduk, apa yang harus kita rasakan? Apa yang terlintas di benak kita? Apa yang kita mengerti tentangnya? Seharusnya kita harus benar-benar tahu akan makna tawaduk itu...
 Adakalanya juga, hati ini terasa begitu sombong. Sombong untuk mendengar pendapat insan-insan yang lebih muda, insan-insan yang tidak berpangkat lagi berharta, insan-insan yang miskin dan lemah. Insan-insan yang tidak berpendidikan tinggi. Kenapa harus begitu? Hal ini kerana, kita tidak mengerti akan maksud sebenar tawaduk itu. Tawaduk secara ringkas boleh dibahagikan kepada dua erti, Pertama; tunduk dan menerima kebenaran dari sesiapapun, Kedua; merendahkan sayap dan darjat sesama manusia; bergaul dengan mereka secara ramah dan baik.

Keutamaan tawaduk

Orang yang tawaduk kepada Allah pasti dimuliakan. Nabi saw. bersabda " orang yang tawaduk kepada Allah, pasti dimuliakan Allah " HR muslim (hadis no 6535 ). Mahasuci Allah hadis yang jika kita teliti dan perhati, begitu nyata dalam kehidupan kita. Saat ini jika kita lihat, semakin tawaduk seseorang semakin ia disukai dan dicintai masyarakat. Lalu, tanyalah kondisi ini terhadap diri kita? Di manakah kedudukan kita? Apa pun jawapannya ayuh kita sama-sama membetulkan diri. Bermula dari sekarang mari kita lihat contoh-contoh kepribadian yang sungguh-sungguh tawaduk sepanjang zaman..

Beberapa contoh yang layak ditiru

Tawaduk adalah akhlak rasul - Para sahabat bercerita bahawa Nabi SAW, apabila bersalaman tidak pernah melepaskan tangan dahulu hingga orang yang disalami itu melepaskannya, beliau juga apabila bersalam menghadapkan tubuh dan pandangan mata benar-benar pada insan yang disalam itu. Baginda juga sentiasa ceria dan peramah.. Tidak pernah sahabat kelihatan baginda SAW bermasam muka..

Betapa jauhnya perilaku Baginda SAW jika hendak dibandingkan dengan kita. Apabila bersalam, kita tidak pernah memandang wajah insan yang kita salam itu, lalu dengan sekadar adat, kita segera melepaskan tangan. Adakah kita "sesibuk" Baginda SAW untuk berperilaku seperti itu. Dikala berjumpa sahabat handai pula kita bermasam muka. Dengan wajah yang tidak ceria, masihkah ada insan yang ingin menyukai kita.. Ayuh kita renung-renungkan..

Lihatlah satu kisah ketika mana seseorang pergi berjumpa dengan Rasulullah SAW, tubuhnya gementar kerana takut (ia menyangka akan berjumpa seorang raja ). Melihat hal itu Nabi SAW berkata. " Aku ini biasa-biasa saja, aku bukan raja. Aku hanyalah anak dari wanita yang makan daging kering di madinah (Hadis riwayat Ibn majah (no 3312) "
 Lihatlah, bagaimana mulianya akhlak Baginda nabi SAW. Berbeza dengan kita. Kebiasaanya orang-orang yang berpangkat besar akan merasa bangga apabila orang tunduk hormat kepadanya. Pernahkah dari mereka berkata demikian "aku hanyalah anak petani biasa" Tidak pernah bukan.. Tetapi situasi ini sungguh berlainan sekarang. Sebagai contoh, ketika ditemuduga atau berjumpa dengan menteri-menteri besar, kita akan berasa takut dan gentar.. Kenapa? Satu persoalan pemikiran yang perlu kita sama-sama fikirkan. Kerana kita juga berasa gementar ketika menjalani temuduga..

Perhatikan sifat tawaduk Nabi SAW disaat perang Khandak. Di antara sahabat ada yang mengali lubang dan ada juga yang memecahkan batu. Seperti yang diketahui, kerja-kerja tersebut secara zahirnya tidaklah terlalu berat dan mengotorkan. Tetapi anda tahu apa yang Baginda Nabi SAW lakukan? Adakah Baginda Nabi SAW hanya duduk sekadar mengarah dan memerhatikan? Sama sekali tidak.. Baginda SAW sanggup mengangkat tanah-tanah yang digali sedalam lebih 3 meter di belakangnya hingga seluruh tubuh Baginda SAW tertutup oleh tanah.

Nampaknya, kita pasti tertanya-tertanya mengapa Baginda nabi SAW memilih pekerjaan sukar itu. Hal ini kerana Baginda SAW memiliki sifat tawaduk yang agung. Berbeza dengan kita yang masih lagi bermalas-malasan untuk mengemas rumah, menolong ibu mencuci pinggan, membersihkan lantai dan sebagainya.

Tawaduk yang mengagumkan - Tahukah kita bagimana Nabi SAW memasuki Makkah saat penaklukkan makkah dan pada saat memperoleh kemenangan? Beliau memasuki makkah dengan menundukkan kepala. "Diriwayatkan " bahkan kami melihat kening Nabi menyentuh unta ".. Ya Allah, padahal pada ketika sebelum menakluk makkah, orang kafir menyiksa para sahabat, mencaci dan menghina mereka serta memerangi Nabi SAW.. Lalu kita lihat bagaimana reaksi Baginda Nabi SAW yang timbul ? Maha suci Allah, di sinilah sifat tawaduk kesan dan hasil kejayaan tarbiyah yang besar.. Semoga Allah senantiasa merahmati Nabi Muhammad SAW

Dalam sebuah perjalan Nabi SAW meyuruh sahabat-sahabat memasak kambing. Lalu mereka beramai-ramai sukarela menawarkan diri. " Biar aku yang menyembelih", " Biar aku yang mengulitinya ", " Biar aku yang memasaknya " Lalu Rasulullah SAW menjawab, biar aku yang mengumpulkan kayu bakar. Mereka kemudiannya menjawab, "tidak mengapa Rasulullah, biar kami sahaja yang melakukannya" Mendengar hal itu Baginda SAW menjawab, aku tahu kalian tidak membenarkan aku, tetapi aku tidak suka diperlakukan istiwewa, Kerana Allah membenci seorang hamba yang ingin tampak istimewa dalam kalangan sahabatnya.

Tawaduknya Abu Bakar pada ketika itu adalah beliau sanggup membersihakn rumah seorang tua, padahal pada waktu dan ketika itu beliau adalah seorang Khalifah. Subhannallah..
Lalu siapa kita? Kita tidak mahu membersihkan rumah, tidak mahu membantu ibu kita, juga tidak mahu membantu isteri kita (InsyaAllah), kenapa harus begitu. Seorang anak gadis berkata pada ibunya "Aku sedang sibuk belajar", bila adanya masa bagiku untuk membersihkan rumah.. Ya Allah, jika sekarang pun kita tidak ada masa untuk membersihkan rumah kita sendiri, bagaimana nanti ingin berperilaku seperti Abu Bakar yang rela membersihkan rumah seorang tua.

Tawaduknya Umar pula , beliau sanggup membersihkan untanya sendiri sedangkan pada ketika itu beliau juga seorang khalifah. Pernahkah pada ketika ini, ada pemimpin besar yang rela membasuh keretanya sendiiri? Ketika ditanya, kenapa Umar tidak menyerahkan tugas itu pada hambanya.. Lalu, apa yang dijawab "Adakah yang lebih hamba dari ku? " Seorang Pemimpin membersihkan untanya sendiri.. Seolah-olah kita sedang membaca cerita dongeng.. Tetapi bukalah mata wahai sahabat-sahabat sekalian. Ukurlah dimana tahap tawaduk kita..

Jalan Menuju Tawaduk

Tawaduk dalam berpakaian - Suatu ketika Nabi SAW didatangi seseorang, " Ya Rasulullah, aku senang memakai pakaian yang bagus dan sandal yang bagus. Adakah ini termasuk sombong? Beliau menjawab tidak, Allah Maha Indah dan dia sukakan keindahan" Hr Muslim ( no 261).. Hadis ini membawa maksud, bukan kita tidak boleh bergaya, tetapi berpada-pada. Cara hendaklah kena pada niat. Dan tempat haruslah sesuai dengan keadaan. Anda perlu ingat orang yang taat pakaian nya bagus dan baik. Hal ini sahabat-sahabat sekalian perlu kita pandang serius, kerana, umat Islam bukanlah umat yang selekeh dan tiada bercita rasa. Cuma, jangan sombong. Kita akan dinilai masyarakat di sekeliling.

Nabi SAW juga bersabda " Sesiapa yang meninggalkan pakaian kerana tawaduk kepada Allah padahal dia mampu memakainya, Allah akan memanggilnya di hari kiamat di hadapan Makhluk hingga ia diberi pilihan, pakaian iman mana yang ingin ia pakai" (HR Tirmidzi ( no 2481) Renung-renungkan hadis ini sahabat-sahabat sekalian. Kita mampu memakai tudung ala-ala Yuna, tetapi disebakan tawaduk kepada Allah anda memilih untuk bertudung labuh.. kita boleh bermain bola memakai seluar pendek, tetapi disebabkan tawaduk kepada Allah, kitaa memilih untuk berseluar panjang.

Tawaduk dalam membina mahligai bahagia - Lihatlah bagaimana Saidina Ali dan Fatimah membina keluarga mereka. Mereka hidup serba ringkas dan serba cukup tetapi bahagia. Janganlah kita hanya mengejar harta keduniaan sedangkan pasangan kita tidak mampu untuk begitu. Di sini ditekankan juga, supaya ehsan dalam menikah. Kita bukan sahaja menikah si empunya diri, tetapi keluarganya, akhlak serta keperibadiannya. Jangankan disebabkan kecantikan, kita lupa akan syarat yang lebih penting iaitu agamanya.. Oleh itu, risiklah dan pilihlah calon yang terbaik buat diri kita .. moga kita semua bersama-sama akan bercinta di syurga nanti

Tawaduk kepada keluarga terdekat terutama ibu bapa - Anak-anak perlu ingat, walau siapa pun kita, belajar tinggi mana sekalipun kita, tawaduklah terhadapa kedua orang tua kita. Mereka membesarkan kita sejak dari kecil hingga besar. Jadi mengapa harus kita angkuh terhadap mereka. Jika tiada mereka? Siapakah kita? Tawaduklah.. Ciumi mereka dan sayangi mereka..

Kita juga disarankan tawaduk terhadap saudara-saudara terdekat. Jangan pula jika mereka miskin, kita semakim menjauhkan diri dari mereka. Kita lebih senang bergaul dengan saudara mara kita yang kaya sahaja.. Di situ kita lihat? Mana itu tawaduk? Jangan mengungkit-ungkit lalu menyangka telah berbuat banyak

Sikap tawaduk yang paling indah adalah merendah dan menundukkan diri di hadapan Allah. Janganlah mengunkit-ungkit amalan kebajikan kita, solat, puasa , qiam. bersedekah. menolong membersihkan rumah dan sebagainya.. Hal ini kerana, bukan dengan amalan yang mampu membuatkan kita ke syurga, tetapi Rahmat dari Allah. InsyaAllah..

Islam menuntut kita berakhlak mulia ! Islam perintahkan kita bersifat tawadduk ! Usahlah kita membangga diri ! Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawadduk sehingga tidak ada seseorang pun merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain” (Hadis riwayat Muslim)

Huraian Hadith:
1. Islam menuntut umatnya beramal dengan sifat tawadduk dan hormat menghormati sesama Islam dengan demikian akan lahirlah sebuah masyarakat Islam yang harmoni.

2. Kedudukan orang Islam disisi Allah adalah sama sahaja tarafnya. Oleh sebab itu Islam melarang umatnya melakukan kezaliman dan hendaklah menjauhkan sifat-sifat keji seperti membesar diri, bermegah dan sebagainya.

3. Islam melarang umatnya bersifat bangga diri, kerana mempunyai pangkat dan kedudukan yang tinggi, tetapi hendaklah bersifat hormat menghormati antara satu sama lain dan jangan merendahkan orang lain, kerana semulia mulia manusia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa.

Sumber rujukan : Buku pintar Akhlak: Dr Amr Khaled.

Friday, August 24, 2012

Menilai Kemaafan


Ketika manusia diciptakan, Allah mencipta juga pelbagai bentuk emosi dan keinginan dalam diri manusia yang berbentuk positif dan negatif yang saling mempengaruhi antara satu sama lain. Antara sifat positif yang terdapat dalam diri manusia ialah pemaaf, yakni lawan kepada sifat pemarah dan pendendam. Pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim. Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaan bersifat itu yang juga disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah. Allah berfirman bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali Imran, ayat 132). Namun, diakui bukan mudah untuk menjadi seorang pemaaf. Sikap negatif yang menjadi lawannya iaitu pemarah sentiasa berusaha menidakkan wujudnya sifat pemaaf dalam seseorang. Pertembungan dua unsur ini mewujudkan satu mekanisma yang saling ingin menguasai diri seseorang.
Ibaratkan hati manusia, seperti sebuah peti yang memiliki laci-laci kecil. Setiap rekod individu yang hadir di dalam hidup kita, disimpan dalam laci-laci ini. Jika sudah berkenalan dengan sejuta orang, maka ada sejutalah laci di dalam hati kita. Dalam laci setiap individu, mempunyai fail-fail kenangan peristiwa kita bersama mereka. Apabila kenangan yang berlaku adalah memeritkan, maka laci-laci ini akan berubah warna menjadi warna hitam. Lebih banyak manusia yang menyakitkan hati kita, lebih banyaklah laci hitam di dalam hati kita. Selang hari ke hari, minggu ke minggu, bulan ke bulan, tahun ke tahun, rasa sakit hati kita kepada individu yang lacinya sudah hitam ini masih wujud. Ini kerana kita masih menyimpan rekod mereka di dalam laci hitam. Semakin lama disimpan, semakin tebal fail kenangan mereka, dan melarat pula ke laci-laci yang lain.

Hati semakin sakit. Setiap perbuatan mereka yang menyakitkan, tidak dapat dilupakan sama sekali. Pantang mendengar nama mereka disebut, laci hitam di hati menebal seinci. Di mana lokasi yang ada kaitan dengan mereka akan dijauhi. Jika ada keramaian yang melibatkan mereka, kita tidak akan hadiri supaya tidak bertembung dengan mereka. Kerana hati sudah benci. Kerana peti hati sudah semakin dipenuhi dengan laci-laci hitam yang menyimpan rekod mereka. Akhirnya, hati kita telah sepenuhnya menyimpan laci-laci hitam yang banyak dengan fail-fail kenangan yang menebal. Akibat dari disakiti, kita membenci. Kita membenci mereka yang menyakiti kita, lantas menyimpan dendam. Dendam yang disimpan, mengakibatkan hati yang gelap dan penuh dengan laci-laci hitam. Laci-laci hitam yang memenuhi hati dengan fail-fail kenangan pahit mendorong kita untuk terus membenci, berdendam dan tidak lagi mahu memaafkan mereka yang menyakiti hati kita ini.

Mari fikirkan sejenak. Apa yang kita perolehi daripada rasa sakit hati yang dipendam sehingga menjadi benci dan dendam? Adakah kita berpuas hati? Adakah kita bebas ke sana ke mari? Adakah kita berlapang dada? Adakah kita merasa tenang? Adakah kita bahagia? Jika mereka yang menyakiti kita, kenapa harus kita berdendam kepadanya? Yang salah, siapa? kita atau mereka? Jika yang berhati busuk dan dengki adalah mereka, kenapa hati kita pula yang hitam, dan penuh dengan kebencian? Jika kita yang teraniaya, kenapa kita pula yang memiliki amarah dalam diri? Bukankah kita yang teraniaya adalah lebih beruntung kerana doa kita berpotensi dimakbulkan Tuhan?
Memang kita manusia yang lemah....seringkali alpa bila dikuasai nafsu yang pelbagai. Bersikap adil terhadap kawan dan lawan amatlah sukar. Namun itulah tuntutan Islam yang agung ini. Hati manusia biasanya akan berpihak kepada orang yang disukai, sekalipun dia di pihak yang salah. Sukar pula untuk menyokong orang yang dibenci, sekalipun dia di pihak yang benar. Apabila perasaan tidak terkawal atau berdisiplin dengan ajaran Islam, maka insan biasanya akan mencari justifikasi untuk membela kesilapan orang disukainya.

Dalam masa yang sama, dia mungkin akan mencari ruang untuk mempersalahkan orang yang dibencinya. Sikap seperti ini menjadi barah kehidupan. Jika ia menguasai masyarakat, kebenaran akan terhapus dan kebatilan akan dibela.Sikap ini hadir kadangkala disebabkan taksub yang berlebihan, atau kebencian yang berlebihan, atau sayang yang berlebihan, atau adanya kepentingan tertentu di sebalik kebencian yang dipamerkan atau sokongan yang diberikan. Hasilnya nanti, ketidakadilan hukuman atau penilaian akan berlaku. Kebenaran akan dinafikan hanya kerana kebencian. Kesalahan akan dinilai dengan kebaikan hanya kerana ketaksuban atau kecintaan atau kepentingan.

Kebiasaan manusia yang tidak berprinsip, akan mudah menerima khabar buruk orang yang dibencinya. Maka banyaklah berita buruk tersebar tanpa bukti dan dalil. Justeru itu Nabi SAW. Bersabda, “Cukuplah untuk seseorang itu dianggap berdusta dengan dia menceritakan setiap yang dia dengar” (riwayat Muslim).
Untuk mengubah keterbiasaan itu amat sukar, apalagi kita sebagai insan yang serba kekurangan. Perasaan benci, suka, sayang dan pelbagai adalah lumrah kehidupan. Kita pernah mendengar keluhan seorang sahabat..walaupun dia melakukan kerja dengan begitu hebat, namun kita tidak nampak dimana kekurangannya sehingga dia tidak disukai oleh rakan sekerja...Namun kita percaya mesti ada sebab kenapa dia tidak disukai, hanya dia dan Allah sahaja yang mengetahui.

Penilaian Manusia selalunya tak tepat, menilai dengan hati dan perasaan tatkala rasa amarah menguasi hati dan fikiran sehingga kita lupa dengan sedikit kebaikan yang pernah mereka berikan, sebab itu kita sering muhasabah diri, menerima bahawa semua orang ada kekurangan. Sahabat, tatkala hati ini berdetik, kita mohon 1000 kemaafan seandai ada hati yang terluka...kita mohon kemaafan...dan yang pasti kita hanya manusia biasa.....justeru itu jangan ambil mudah untuk menilai manusia lain...kerana kita juga bukan manusia yang sempurna di sisi Allah SWT.

Sifat pemaaf lahir dari jiwa dan hati yang tenang hasil daripada tarbiyah yang berterusan. Sebab itu, selalu memupuk sifat pemaaf. Bermulalah dengan perkara yang kecil dan mudah hilang sifat marah. Jika ada sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, berfikirlah sejenak untuk terlebih dahulu menilai atau muhasabah diri sendiri terlebih dahulu. Renungkan dalam hati sendiri adakah perkara itu juga berpunca dari kita sendiri? Adakah sebelum ini kita mengambil langkah yang wajar untuk mengelak perkara itu daripada berlaku?
Jika kita mampu berfikir sedemikian, cahaya kebenaran mudah memasuki ruang hati dan memberi petunjuk apakah tindakan yang wajar dilakukan seterusnya. Pada ketika itu syaitan tidak berpeluang untuk menyemarakkan perasaan marah, yang lahir adalah keinsafan dan sifat memaafkan. Sifat pemaaf memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri terutama dari segi rohani. Orang yang bersifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan.
Bagi orang yang bersifat pemaaf, padanya tiada seorang pun dalam hatinya tersimpan perasaan marah. Sebab itu, hati orang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi yang menekan dirinya. Banyak masalah berkaitan hubungan sesama manusia berpunca sifat marah dan membalas dendam. Biarpun perselisihan kecil, perkara itu tidak dapat diselesaikan disebabkan perasaan dendam masih bertapak di hati. Sikap berdendam hanya merugikan kedua-dua pihak. Paling tertekan ialah pihak yang lebih banyak berdendam. Hatinya tidak tenteram dan sentiasa ada perasaan buruk sangka. Kadangkala, yang berdendam hanya sebelah pihak. Sedangkan, sebelah pihak lagi menganggap persengketaan sebelum ini selesai. Jika sifat memaafkan diamalkan, Insya Allah, kita juga tidak akan menanggung kemarahan daripada orang lain. Sesungguhnya Allah terlebih awal memberi keampunan dengan rahmat-Nya.

MAAF "Satu perkataan yang mudah tetapi kadang-kadang sukar diluahkan. Dalam kehidupan kita sehari banyak perkara yang kita lalui. Tanpa kita sedar dalam kita leka melayari kehidupan kita seharian, kita sering melukakan hati orang-orang disekeliling kita, orang-orang yang kita sayangi! Cukupkah sekadar dengan sekadar mengucapkan MAAF? Terubatkah hati yang kita lukakan? Selagi kita bergelar manusia, kesilapan merupakan perkara yang paling sukar dielakkan. Adakalanya kesilapan itu terpaksa dilakukan untuk melindungi sesuatu. Terpulang pada hati untuk menilai wajarkah sesuatu kesilapan itu dimaafi. Adakanya ego perlu diletakkan ketepi. Dengarlah pada kata hati! Buat orang-orang yang pernah aku sakiti, maafkan lah kesilapan yang telah aku lakukan. Percayalah hidup ini tak akan dapat lari dari melakukan kesilapan. Apa yang penting ialah belajar dari kesilapan itu untuk tidak diulangi. Nilai kemaafan itu sangat dihargai bagi orang yang mengharapkannya. Dengan memaafkan orang lain tidak akan membuat kamu berkecil hati tapi akan menggambarkan ketinggian budi pekerti. Maafkan aku...

Friday, August 17, 2012

Amalan-amalan Terbaik


1. Sesiapa yang berwuduk disaat ingin tidur dan meminta supaya Allah SWT berikan kebaikan dunia dan akhirat pasti akan di kabulkan – Tirmizi. Sunat tidur dalam keadaan berwuduk.

2. Sesiapa yang berselawat tidak kiralah banyak mana hitungannya setiap hari akan dapat keberkatan dalam apa jua dengan syarat ia berusaha mencari keredhaanNya.

3. Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, Insyaallah, akan dihindarkan daripada sifat tercela seperti hasad dengki, riak dan sebagainya dalam dirinya.

4. Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati, mudah memahami akan sesuatu ilmu yang diajarkan, di samping beroleh ketenangan fikiran.

5. Allah SWT akan hapuskan dosa-dosa kecil dan dengan izin Allah SWT juga diri kita akan lebih dihargai oleh orang lain dengan mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali tiap kali selesai menunaikan solat fardu.

6. Sewaktu menghadapi hidangan, Nabi membiasakan diri dengan mengambil makanan yang terdekat, kemudian baru di ambil hidangan yang lainnya sebagai simbolik kesopanan.

7. Amalkan membaca selawat sebanyak 1000 kali sehari, Insyaallah akan di kurniakan kebijaksanaan pemikiran. Di samping itu berusahalah untuk menerokai pelbagai ilmu.

8. Sesiapa yang berniat mandi (untuk solat jumaat) kemudian pakai pakaian terbaik & wangian lalu solat jumaat, dosanya akan diampun hingga Jumaat berikutnya-Ahmad.

9. Uthman bin Affan riwayatkan bahawa Nabi SAW apabila berwuduk, baginda membasahi janggutnya-Tirmizi

10. Nabi SAW tidak pernah mencela makanan. Jika baginda suka, baginda makan dan sebaliknya baginda tinggalkan-Bukhari. Apatah lagi jika makanan itu pemberian orang lain.

11. Sahabat meriwayatkan: Aku lihat Nabi SAW makan dengan 3 jari (ibu jari telunjuk & tengah)-Muslim. Jarang sekali beliau makan dengan 4 @ 5 jari kecuali ada keperluan.

12. Menurut Sayyid Ahmad Dahlan, sesiapa berselawat walau sekali pada malam jumaat, saat mautnya kelak akan dipermudahkan Allah SWT seperti yang dihadapi oleh para nabi.

13. Setiap penyakit ada penawarnya. Bacalah selawat tujuh kali pada air dan minum. Insyaallah, perut yang sakit atau memulas akan sembuh.

14. Perbaharui wuduk tiap kali bersolat kerana padanya terdapat banyak fadhilat. Hadith: Sesiapa yang berwuduk dalam keadaan suci, Allah SWT catatkan 10 kebaikan baginya-Abu Dawud.

15. Sesiapa yang mengamalkan membaca selawat kali setiap selepas solat lima waktu akan dihilangkan kebuntuan fikiran dalam menghadapi apa jua masalah

16. Nabi SAW sering menghadap ke kanan sedikit setelah solat berjemaah supaya makmum dapat melihat wajahnya. Sebaiknya imam berzikir dan doa seketika bersama makmum

17. Allah SWT akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali tiap kali selesai menunaikan solat fardu.

18. Nabi tak makan sambil bersandar-Bukhari. Ertinya, baginda makan dengan duduk condong sedikit ke hadapan bagi elakkan dirinya terlalu kenyang & mudahkan penghadaman

19. Menurut Syihab Ahmad, sesiapa berselawat 3 kali tiap selesai solat subuh, Maghrib dan isyak, Allah SWT akan menghindarkannya daripada sebarang bencana.

20. Nabi sering beristinsyaq air ke dalam hidung dan menghembuskannya. Selain membersihkan, ia juga mengelakkan sebarang penyakit yang berkaitan dengan hidung.
21. Setelah bersolat Nabi memohon ampun (Astagfirullahalaziim) tiga kali-Muslim. Dalam riwayat yang lain, Nabi adakalanya beristighfar 75 kali sehari.

22. Sesiapa yang amalkan berselawat sebanyak 1000 kali tiap hari, Allah SWT akan memeliharanya daripada sebarang ancaman musuh serta bahaya fitnah.

23. Apabila Nabi tidur, ia dahulukan mengiring sebelah kanan – Bukhari. Dari segi kesihatan, cara berkenaan baik untuk jantung (yang berada di kiri badan) mengepam darah.

24. Amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu membersihkan kekeruhan jiwa, dipermudahkan Allah SWT segala urusan dan mendapat keampunan daripadaNya.

25. Tika Nabi tidur, baginda membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas lalu meniup telapak tangan serta menyapu ke seluruh tubuh (mohon perlindunganNYA) – Bukhari.

26. Membaca selawat 10 kali pada setiap waktu pagi dan petang akan memperolehi keredhaan serta dijauhkan diri daripada mendapat kemurkaan Allah SWT.

27. Wuduk dahulu jika ingin tidur sekalipun dalam keadaan junub. Nabi menyarankan, cukup dengan bersihkan kemaluan dan berwuduk tanpa perlu mandi wajib jika ingin tidur.

28. Menurut As-Shawi, sesiapa yang membaca selawat secara rutin, akan terpelihara hatinya daripada gangguan serta tipudaya syaitan yang melalaikan.

29. Silangkan kaki jika tidur di masjid. Hadith: Sahabat melihat Nabi berbaring di masjid dengan satu kakinya atas kaki yang lain (kerana bimbang terdedah aurat) – Bukhari

30. Sesiapa yang membaca selawat sebanyak tujuh kali selama tujuh Jumaat berturut-turut, ia bakal mendapat syafaat (pertolongan) daripada baginda SAW.

31. Adakalanya Nabi SAW amat menyukai doa-doa yang ringkas (mudah) – Abu dawud. Baginda mementingkan kualiti doa itu sendiri dengan sedikit tetapi maknanya yang menyeluruh.

32. Menurut Al-Hafiz Dimyati, sesiapa yang berhajat menemui Nabi SAW dalam mimpinya maka amalkan membaca selawat sebanyak 70 kali sehari.

33. Setelah bersolat Nabi SAW mohon ampun (Astagfirullahalaziim) tiga kali – Muslim. Dalam riwayat yang lain, Nabi adakalanya beristighfar 75 kali sehari.

34. Nabi seorang yang berpsikologi dalam memberi nasihat. Nabi memilih waktu yang sesuai untuk menasihati sahabat supaya mereka tidak bosan (atau tersinggung) – bukhari.

35. Ada riwayat yang menyatakan bahawa amalan berselawat 80 kali tiap selepas solat asar pada hari jumaat, Insyaallah akan dihapuskan dosa-dosa kecil seseorang.

36. Menutup mulut dan rendahkan suara tika bersin. Hadith: Apabila Nabi bersin, beliau letakkan tangan atau pakaiannya di mulut (kerana dibimbangi terpercik) – Abu Dawud.

37. Jiwa yang gelisah dapat ditenangkan dengan zikir, termasuklah berselawat sekerap yang mungkin kerana Allah SWT itu Maha Luas rahmatNya.

38. Sabda Nabi SAW: Barangsiapa yang berselawat kepadaku sebanyak 100 kali pada hari jumaat, maka ia akan datang pada hari kiamat dengan keadaan bercahaya – Abu Naim.

39. Nabi tidak pernah menolak hadiah. Hadith: Nabi selalu terima hadiah & amat menghargainya – Bukhari

40. Sesiapa yang sering mengamalkan berselawat pada setiap hari, Allah SWT akan bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak disangka-sangka baginya.

41. Selalu memilih yang lebih mudah. Hadith: Mudahkan sesuatu & jangan kamu sukarkannya–Muttafaq Alaih.

42. Berdiri apabila melihat iringan jenazah. Hadith: Apabila kamu sekalian melihat jenazah (yang diusung), maka berdirilah (sebagai tanda penghormatan) - Muttafaq Alaih

43. Ulamak berpendapat, sesiapa yang amalkan selawat saban hari tak kira berapa hitungannya, Insyaallah dihindarkan daripada taun & wabak penyakit berbahaya yang lain

44. Bersujud syukur jika dapat khabar gembira. Nabi sering melakukannya ketika beroleh khabar yang menyenangkan sebagai tanda syukur hamba terhadap Allah SWT – Abu dawud

45. Membaca selawat 1000 kali selepas Solat Hajat dua rakaat mampu meenghilangkan keresahan, rasa dukacita serta dikabulkan Allah SWT akan hajatnya.

46. Beri salam hingga tiga kali sahaja. Bahawasanya Nabi (apabila mendatangi rumah sahabat) beri salam hingga 3 kali – Bukhari. Jika salamnya tak berjawab, beliau beredar.

47. Menurut para ulamak, sesiapa yang inginkan saat kematiannya dalam kesudahan yang baik, maka berselawatlah sebanyak 10 kali setiap selesai solat Maghrib.

48. Melakukan pekerjaan rumah. Hadith: Bantuan terhadap isterimu itu adalah sedekah-Ad-Dailami

49. Para ulamak berpendapat, Allah SWT sempurnakan hajat yang baik dengan sentiasa berselawat 40 hingga 100 kali setiap hari, diikuti dengan usaha yang berterusan.