DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Wednesday, August 15, 2012

Mencari Bahagia - Akal dan Emosi


Setiap orang mengimpikan pasangannya yang pandai menghargai. Sifat mulia ini boleh menjamin keteguhan rumah tangga yang terbina. Malah, pasangan yang memiliki sifat ini boleh dijadikan teman ketika gembira dan juga berduka. Selain itu, personaliti yang bersederhana, tidak materialistik, tidak terlalu bermewah-mewah lahir daripada jiwa yang sentiasa redha, mudah menghargai pasangannya.
Ungkapan lelaki mempunyai kelebihan 9 akal, 1 nafsu(emosi) dan perempuan mempunyai 1 akal, 9 nafsu (emosi) sudah menjadi ayat yang sinonim didengari dan sentiasa berlegar-legar di fikiran masyarakat kini. Ada segelintir masyarakat yang mendengar dan mempedulikannya, ada juga yang mendengar dan menjadikannya sebagai bahan untuk merendahkan darjat wanita, ada juga yang mendengar dan menafikan kebenarannya terutama bagi wanita. Namun sejauh mana kesahihan ungkapan ini. Betulkah apa yang kita dengar selama ini merupakan satu kelebihan bagi lelaki dan satu kekurangan bagi wanita yang Allah kurniakan.

Allah kurniakan wanita dengan emosi yang hebat kerana sesaui peranannya. Seiring dengan wanita dimuliakan dari segi kedudukan, wanita juga dimuliakan dengan perasaan-perasaan yang halus. Perasaan wanita yang halus inilah yang melayakkan mereka dipilih sebagai ibu yang mengandungkan dan melahirkan. Perasaan yang halus inilah yang mampu menjadikan wanita tulang belakang kepada suami, mengambil tugas mengurus rumah tangga dan anak-anak. Namun perasaan halus ini jugalah yang menghalang wanita menjadi khalifah atau pemerintah sesebuah organisasi hatta organisasi kecil seperti keluarga. Emosi wanita mudah terganggu, mudah juga untuk dileraikan. Semua kerana hormon wanita yang unik. Wanita mudah bercakap dan bertindak dengan gaya emosi berbanding rasional. Namun ia bukanlah semata kelemahan kerana hati-hati manusia juga dididik dengan emosi yang benar. Emosi dan perasaan bukanlah sesuatu yang datang tanpa dipaksa. Tapi ianya adalah dibentuk dan dididik. Boleh dikawal dan dicambahkan. Hanya memerlukan langkah terbaik untuk mengawal dan mencambahkannya. Allah dah beri cara dan mendatangkan contoh,hanya terserah pada kita untuk mengikut atau menafikan

Kita hurai maksud yang tersirat melalui huraian dibawah

Fahami emosi dan kerenah wanita.
Seorang lelaki perlu memahami bahawa wanita dicipta bersama jiwa yang halus dan sensitif. Jiwa sebegitu membolehkannya menjalankan peranan sebagai seorang ibu yang mengandung, melahirkan dan membesarkan anak. Begitu unik ciptaan Tuhan! Kerenah perempuan juga berbeza dan perlu difahami agar lelaki mampu bertindak adil dengan perempuan tersebut. Perempuan suka mengikut emosi apabila bertindak, berbanding dengan lelaki yang lebih rasional. Perempuan juga berfikir sambil bercakap berbanding lelaki yang kurang bercakap dan diam ketika berfikir. Oleh itu, lelaki jangan menuduh melulu pasangannya kuat berleter atau membebel, sebaliknya tangani masalah itu dengan bijak dan berhikmah.

Elakkan memberi tumpuan kepada kelemahan pasangan.
Setiap orang mempunyai kelemahan masing-masing. Tiada manusia yang sempurna, melainkan Rasulullah SAW yang terpelihara dirinya daripada dosa. Oleh sebab itu, elakkan memberi tumpuan pada kelemahan pasangan. Contohnya, apabila pasangan kita tidak pandai bercakap di hadapan orang ramai, cari kebaikan lain dirinya, bukan memandang pada sesuatu kelemahan itu sahaja. Ingatlah, diri kita juga sarat dengan kelemahan dan mungkin kelebihan-kelebihan yang ada pada pasangan boleh membantu menampung kelemahan diri kita.
Senyuman dan Bahasa Badan
Senyuman yang terukir indah di bibir seorang wanita sangat memberi kesan di hati lelaki. Namun, seorang wanita tidak boleh sembarangan menghadiahkan senyuman kepada lelaki kerana mungkin menjadi racun bahaya kepada lelaki tersebut. Senyuman manis seorang wanita selayaknya hanya untuk lelaki bernama suami. Namun tidak salah bagi seseorang wanita menyemaikan sifat suka senyum dalam dirinya. Senyumlah buat semua saudara Islam sejenisnya. Sifat itu akan subur menghiasi diri dan menjadi keistimewaannya, apatah lagi jika ditambah dengan bahasa badan(body language) yang menarik. Hakikatnya, biar semanis mana pun senyuman dan secantik mana pun bahasa badan, seseorang wanita itu hanya kelihatan benar-benar menawan apabila ia lahir daripada hati yang bersih.

Keserasian atau persamaan
Manusia mudah tertarik dengan orang yang kelihatan serasi dengannya. Seseorang itu serasi apabila dia mempunyai hubungan atau persamaan dengan kita. Contohnya, hubungan atau persamaan dari sudut tahap pengorbanan, keserasian dan keakraban. Biasanya, pasangan yang kerap melakukan aktiviti bersama mudah tertawan. Contohnya seperti bergerak dalam parti politik yang sama, melakukan aktiviti keagamaan bersama, hobi yang sama dan sebagainya. Walaupun banyak perbezaan antara pasangan, namun mereka masih boleh menjadi satu persamaan walaupun dalam satu perkara. Berdasarkan pengalaman dan kajian, terbukti bahawa persaudaraan dan kasih sayang antara manusia tidak tumbuh melainkan dengan adanya persamaan tabiat dan istiadat. Oleh itu, tidak hairan jika kesatuan pemikiran, perasaan, tujuan dan pertimbangan dapat menyatukan dua hati lantaran persamaan antara kedua mereka terlalu ketara.

Bertemu dengan menjaga syariat.
Menjaga syariat yang dimaksudkan contohnya mengajak pasangan datang ke rumah untuk perjumpaan yang melibatkan ramai orang. Pasangan tidak dibolehkan sesekali keluar berduaan tanpa kehadiran mahram bersama. Bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud : “Apabila keluar berdua-duaan antara lelaki dan wanita, orang ketiganya ialah syaitan.” [H.R Ahmad] Pertemuan itu juga perlu atas urusan yang dibenarkan syariat. Perjumpaan tanpa tujuan dan urusan bukan sahaja tidak dibenarkan agama malah menjadi tunas berputiknya nafsu syahwat yang meliar.

Mempamerkan emosi yang sama.
Si dia pasti mudah memberi kepercayaan kepada kita apabila mendapati kita mempunyai emosi yang sama dengannya. Malah, mungkin dia menganggap kita orang paling memahami emosinya. Contohnya apabila dia terlanggar kucing, lalu menunjukkan emosi sedih, kita juga hendaklah menunjukkan emosi sedih dan simpati.
Membantu naikkan semangat.
Orang mudah menerima semangat dan kata-kata peransang(motivasi) daripada seseorang, akan mudah tertarik dengan orang tersebut. Mungkin orang itu akan menjadi idola atau “guru”nya. Seseorang yang gemar memberi semangat dan perangsang memiliki ciri-ciri pasangan yang baik, memahami dan mengambil berat. Oleh sebab itu, jika kita mendapati orang yang kita sedang jatuh cinta sedang memerlukan nasihat, motivasi dan perangsang, janganlah berat hati untuk menyambutnya. Namun, batas-batas syariat perlu dititik beratkan.

Lakukan sebanyak mungkin perkara yang pasangan suka.
Setiap orang pasti menyukai pasangan yang mempunyai persamaan minat dengannya. Oleh sebab itu, jika kita menyukai seseorang dan benar-benar jatuh cinta terhadapnya, lakukan sebanyak mungkin perkara-perkara yang disukainya selagi mana tidak bertentangan dengan syariat. Namun, elakkan sikap hipokrit kerana itu bukan sikap yang dianajurkan dalam Islam. Sebaik-baiknya, cuba memimpin diri melakukan sesuatu yang baik dari kaca mata syariat dan ikhlas kerana Allah SWT, nescayap perkara itu tentu baik di kaca mata manusia. Semua perlakuan yang buruk serta sifat mazmumah sudah tentu tidak disukai oleh manusia yang baik. Maka hendaklah kita kikis sebanyak mungkin. Sudah tentu sifat ini juga tidak disukai pasangan yang baik.

Tindakan serentak yang berulang boleh menarik pasangan.
Seseorang itu mudah tertarik dengan seseorang yang sering bertindak serentak berulang kali tanpa dirancang. Bagaikan itulah petanda bahawa mereka akan bersama. Contohnya, si dia senyum kita pun senyum, si dia memakai baju unggu, kita juga memakai baju unggu, si dia mencuci kasut kita juga mencuci kasut, dan sebagainya. Kadang-kadang apabila kita sedang memikirkan sesuatu perkara, tiba-tiba si dia terus bertanya perkara yang sama. Bahkan hendak mengambil lauk di dalam mangkuk juga serentak!

Memuji dengan ikhlas.
Kadangkala, belaian kata-kata indah melalui pujian ikhlas boleh menambat hati pasangan. Namun,jangan terlalu berlebih-lebihan dalam memuji kerana pujian boleh melalaikan hati pasangan malah boleh menyuburkan sifat riyak dan ujub. Berpada-pada dalam memuji dengan niat untuk menghargai dan menggalakkan agar dia terus mengekalkan sifat-sifatnya yang terpuji. Rasulullah juga tidak kedekut memberi pujian dan memanggil dengan nama-nama penghargaan buat sahabat-sahabat tercinta seperti “as-Siddiq”, “al-Faruq” dan sebagainya.
Seimbang.
Wanita yang pandai mengurus hidupnya dengan seimbang dari sudut pergaulan, keagamaan, pengurusan diri, pengurusan masa dan sebagainya menjadi idaman lelaki. Sifat mulia ini penting untuk disuburkan dalam hidup berkeluarga bagi menguruskan urusan rumah tangga yang menuntut seribu satu tanggungjawab. Wanita yang seimbang mempunyai perancangan hidup yang jelas.

Diriwayatkan daripada Ibn Umar RA. katanya : “Rasulullah SAW menepuk bahuku serta bersabda yang maksudnya : “Hendaklah engkau jadi di dunia ini seolah-olah berdagang di negeri orang atau sebagai orang yang melintasi jalan.” Ibn Umar RA berkata : “Jika kamu berada pada waktu petang, janganlah kamu tangguh ke waktu pagi dan jika kamu berada di waktu pagi, janganlah kamu tangguh ke waktu petang. Rebutlah kesempatan sewaktu kamu berada dalam keadaan sihat sebagai persediaan waktu engkau sakit, dan ketika kau masih hidup sebagai bekalan ketika engkau mati” [H.R. Bukhari]

Ehsan Dr Datuk MFK

No comments: