Menuntut
ilmu adalah wajib dan amalan yang sangat mulia. Tanpa ilmu seorang itu tidak
mungkin akan menjadi seorang yang beriman dan bertakwa, kerana ilmu adalah
perkara yang paling penting untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT dan tidak
mudah ditipu oleh iblis laknatullah.
Terdapat
sembilan adab-adab menuntut ilmu yang perlu dipatuhi semoga ilmu yang kita
pelajari menjadi ilmu yang bermanfaat dan diberkati oleh Allah SWT.
Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
Pertama:
Niat yang ikhlas
Kewajipan
ke atas setiap muslim di dalam memastikan niat ketika menuntut ilmu ikhlas
kerana Allah dan bukannya untuk mencari habuan dunia yang sementara kerana
Rasulullah SAW pernah memberi amaran yang mana Allah akan menyediakan tempat di
dalam neraka bagi mereka yang menuntut ilmu untuk kesenangan dunia semata-mata
tanpa memikirkan maslahat Islam dan ummatnya. Memang agak susah untuk ikhlas di
dalam belajar tetapi kita mesti terus berusaha ke arahnya. Kita yang berada
dalam sistem sekular yang mementingkan material menyebabkan kita terlupa bahawa
ilmu yang dipelajari bukan untuk mendapatkan tempat dan kedudukan serta kerja
tetapi adalah untuk menjauhkan kita daripada kejahilan yang mana dengan ini
mampu menjadi perisai diri di dalam melawan arus kesesatan dan seterusnya
membawa perubahan kepada keislaman.
Jadikanlah
diri kita sebagaimana padi yang mana semakin semakin berisi semakin tunduk ke
bumi kerana rendah diri. Jangan jadi sebagaimana lalang yang tinggi semakin
mendongak ke langit kerana sombong. Ingatlah bahawa orang yang benar ikhlas
dalam menuntut ilmu sahaja yang mampu memiliki sifat terpuji termasuk merendah
diri. Maksud firman Allah dalam ayat 235 surah al-Baqarah : "Dan
ketahuilah bahawa Allah mengetahui apa yang tersemat dalam hatimu maka takutlah
kepadaNya dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun".
Ingatlah bahawa setiap orang akan binasa melainkan orang yang berilmu, setiap
orang yang berilmu akan binasa melainkan orang yang beramal dan setiap orang
yang beramal akan binasa melainkan orang yang benar-benar ikhlas.
Kedua:
Tekun berusaha dan bertawakal.
Sentiasa
bersungguh-sungguh dalam pembelajaran tanpa menurut keadaan dan masa dengan
menghindari perasaan malas dan mudah jemu dengan buku pengajian. Ini dapat
diatasi dengan sentiasa membaca dan mengulangkaji pelajaran tanpa jemu. Nasihat
ataupun tazkirah akan melembutkan hati kita kepada Allah SWT. Perlu dihidupkan
hati ini supaya sentiasa takut kepada Allah SWT. Sebagaimana firman Allah dalam
ayat 5 surah as-Saff yang bermaksud : "Dan ingatlah ketika mana Nabi Musa
berkata kepada kaumnya :'Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakitiku sedangkan kamu
mengetahui bahawa aku ini adalah utusan Allah kepadamu?'. Maka tatkala mereka
buat endah tak endah sahaja lalu Allah memalingkan hati mereka dan Allah tidak
memberi petunjuk kerpada kaum yang fasik."
Ayat
ini walaupun menceritakan umat nabi Musa tetapi peringatannya terus kekal
hingga sekarang untuk kita sama-sama ambil iktibar dan pengajaran daripadanya.
Kita juga hendaklah mewujudkan suasana sekeliling terutama di rumah dengan
budaya ilmu bukannya budaya yang dipenuhi dengan cara mewah dan kesenangan
serta hiburan yang boleh menghilangkan perasaan semangat untuk menambah ilmu
dan pengetahuan. Kita hendaklah mencontohi ulama-ulama silam yang mana mereka
belajar dalam keadaan susah tetapi tekun yang mana mereka sentiasa berada dalam
suasana belajar bukannya mewah dan penuh kesenangan yang menyebabkan hilangnya
perasaan bersungguh untuk belajar.Disamping itu kita mestilah bertawakal kepada
Allah agar kejayaan diimpikan akan menjadi milik kita.Tawakal yang dilakukan
mestilah mencukupi syaratnya iaitu berusaha, tekun, yakin, tidak mudah putus
asa dan menyerah natijah ataupun keputusan kepada Allah sepenuh hati.
Ketiga:
Menjauhi maksiat.
Kita
mestilah menghidupkan budaya amar makruf dan nahi munkar dalam diri dan suasana
sekeliling mengikut kemampuan yang ada. Sesungguhnya ilmu itu adalah nur yang
suci yang mana ia tidak dapat kita perolehi jika diri kita sentiasa disaluti
dengan najis-najis dosa. Cubalah sedaya yang mungkin di dalam menghindari
kehendak nafsu kita dengan menutup segala jalan menuju ke arahnya. Jangan
sekali-kali kita membuka jalan kepada maksiat untuk bertapak di hati kita.
Jangan terlalu mengambil mudah dan endah tak endah sahaja terhadap perkara
maksiat ini yang mana ia boleh menjerumuskan kita kepada maksiat yang lebih
besar lagi. Di zaman sekarang ramai orang memandang maksiat yang kecil seperti
maksiat mata, mulut, telinga, tangan(internet ataupun tulisan) serta pergaulan
antara lelaki dan perempuan yang halal berkahwin hanya suatu perkara yang biasa
dan dirasakan ia bukannnya maksiat dan mereka hanya menganggap hanya dosa besar
seperti berzina, mencuri, memukul orang dan lain-lain lagi sahaja sebagai
maksiat. Dosa yang kecil jika dibuat berterusan akan menjadi dosa besar.
Keempat:
Memilih teman yang soleh.
Pilihlah
teman yang mampu membawa kita ke arah kebaikan dan cubalah hidupkan budaya
nasihat menasihati antara satu sama lain di dalam rumah kita sendiri samada
berbentuk rasmi seperti diskusi kitab atau melalui perbincangan yang tidak
rasmi setiap hari. Luqman Al-Hakim pernah berpesan kepada anaknya supaya
sentiasa bersama orang alim dan soleh serta menghadiri majlis ilmu kerana
apabila Allah menurunkan keberkatan kita turut sama memperolehinya.
Disamping
itu apabila kita sentiasa bersama orang soleh akan menasihati kita ke arah
kebaikan serta menegur kita apabila berlakunya kesilapan dan kesalahan. Ini kan
mematangkan lagi diri kita disamping menambahkan lagi semangat kita dalam belajar.
Ini bukan bermakna kita diminta menjauhi mereka yang tidak soleh sebaliknya
kita diminta berdakwah kepada mereka setakat kemampuan yang ada dan jangan pula
kita yang terpengaruh dengan cara hidup mereka. Ingatlah firman Allah dalam
surah Al-Zukhruf ayat 67 yang bermaksud : "Teman-teman yang rapat pada
hari itu sebahagiannya menjadi musuh kepada sebahagian yang lain kecuali mereka
yang bertakwa".
Rasulullah
SAW pernah berpesan kepada kita melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam
Tarmizi dan Abu Daud maksudnya : "Seseorang itu mengikut agama sahabat
temannya. Maka hendaklah seseorang itu memerhati siapakah yang dijadikan
teman".
Kelima:
Banyakkan zikrullah.
Pastikan
kita sentiasa solat lima waktu secara berjemaah dan mengamalkan wirid serta doa
selepas solat walaupun ringkas kerana ulama sufi begitu menitik beratkan
perkara wirid ini kerana ia boleh menghidupkan hati yang mati dan ia juga boleh
mendatangkan perasaan ingin memusabahkan diri dengan amalan seharian. Tanpa
wirid yang ma’thur selepas solat boleh menyebabkan perasaan zikrullah agak
berkurangan dan ia boleh mendatangkan perasaan memudahkan segala kewajipan yang
telah diperintahkan oleh Rabbul ‘Izzati. Jangan ajar diri kita melengah-lengahkan
solat lima waktu kerana ia akhirnya mampu membawa diri kita ke arah mengabaikan
solat. Bacalah Al-Quran sekurang-kurangnya dua muka surat setiap hari kerana ia
merupakan ibu segala ubat. Hidupkan amalan-amalan sunat dalam setiap gerak
kerja kita seharian kerana hidup yang sentiasa dihiasi dengannya akan sentiasa
diberkati dan diredhai oleh Allah dan makhluk-Nya.
Keenam:
Menjaga kehormatan.
Kita
wajib menjaga kehormatan diri sendiri dan juga orang lain. Tutup segala keaiban
diri dan orang lain kerana ia membawa kepada keredaan Allah dan manusia lain
kepada diri kita.Hanya orang yang mana kehidupannya dicucuri dengan keredaan
dan rahmat Allah sahaja yang mampu merasakan kebahagian di dalam kehidupan
seharian. Manakala mereka yang jauh daripada rahmat Allah, hidup mereka
dipenuhi dengan perkara yang kurang baik dan derita. Jangan sekali-kali
menyakiti hati orang lain kerana doa orang yang dizalimi adalah lebih bahaya
daripada panah malam. Firman Allah SWT dalam ayat 12 surah Al-Hujurat yang
bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan
perasaan-prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa
dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain dan janganlah pula sebahagian
kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah salah seorang daripada kamu suka
memakan daging saudaranya yang telah mati?. Maka sudah tentu kamu merasa jijik
kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima
taubat lagi Maha Penyayang."
Ketujuh:
Mendapat doa dan keredaan ibu bapa.
Kita
hendaklah sentiasa menjaga perasaan kedua ibu bapa kita dan menghormati mereka
dalam perkara yang tidak menyalahi syariat Islam. Sentiasa berhubung dengan
mereka dan mengambil berat tentang keadaan keduanya serta mendoakan kebahagian
mereka di dunia dan akhirat. Kita juga hendaklah sentiasa meminta agar mereka
meredai kita dan mendoakan kejayaan kita. Ingatlah bahawa keredaan Allah
bergantung kepada keredhaan ibu bapa terhadap kita.
Firman
Allah SWT dalam ayat 23 hingga 24 surah al-Isra’ yang bermaksud : "Dan
Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah selain Dia dan
hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika
salah seorang daripada keduanya ataupun kedua-duanya telah lanjut usia mereka
dalam jagaan kamu, maka jangan sekali-kali kamu mengherdik kepada keduanya
dengan perkataan “ah” dan janganlah kamu mengertak mereka dan ucapkanlah kepada
mereka perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua
dengan penuh kasih sayang dan ucaplah : 'Wahai Tuhanku! kasihanilah mereka
berdua sebagaimana mereka berdua telah mendidikku semasa kecil'."
Kelapan:
Menghormati guru.
Kita
juga wajib menghormati guru dan mematuhi segala arahannya selagi mana tidak
menyalahi kehendak Islam. Kita mesti patuh kepadanya walaupun fikrah atau
pendapat kita berbeza. Kita pernah mendengar bagaimana Imam As-Syafi’e walaupun
berijtihad bahawa qunut di dalam solat Subuh sunat ab’adh(kena sujud sahwi jika
tidak melakukannya) tetapi dia tidak melakukannya apabila mendirikan solat itu
berhampiran maqam gurunya Imam Malik kerana menghormati gurunya. Bagaimana
dengan kita? Sesungguhnya ulama silam begitu menitik beratkan masalah
keberkatan ilmu, sedangkan kita hari ini tidak lagi mengendahkan perkara ini.
Ini menyebabkan timbulnya pelbagai masalah terutama keruntuhan akhlak di
kalangan remaja.
Guru
janganlah dianggap sebagai guru di sekolah, universiti atau di tempat pengajian
sahaja tetapi kita mestilah menganggap bahawa dia pengajar dan secara langsung
sebagai pendidik yang mesti dihormati walaupun di mana berada.Cubalah kita
fikir dan renungi bersama tentang dua keadaan berbeza antara pelajar dulu dan
sekarang mengenai pandangan dan penghormatan mereka terhadap guru. Tanpa ada
keserasian dan kasih sayang yang wujud antara guru dan pelajar tidak
memungkinkan berlakunya ketenteraman dalam kehidupan seharian.Oleh itu marilah
kita sama-sama membina kembali keutuhan dan mahabbah antara guru dan pelajar
agar ia mampu menyinarkan kembali suasana harmoni serta menghindari perkara
negatif dalam kehidupan.
Kesembilan:
Beramal dengan segala ilmu yang diperolehi.
Kita
mengamalkan segala ilmu yang dipelajari setakat mana yang termampu oleh kita.
Ulama silam sentiasa mengingatkan kita bahawa orang yang berilmu dan tidak
beramal dengan ilmunya akan dihumban ke dalam api neraka lebih dahulu daripada
penyembah berhala. Jadikanlah ilmu yang dipelajari sebagai benteng daripada
terjerumus ke kancah maksiat dan jadikanlah juga ia sebagai senjata di dalam
mematahkan serangan musuh Islam serta jadikankanlah ia sebagai ubat yang
mujarab di dalam menyembuhkan penyakit jahil dan batil di dalam masyarakat.
Jangan jadikan ia sebagai barangan jualan untuk mengejar kekayaan dunia yang
sementara. Berapa ramaikah yang telah dihinakan oleh Allah kerana melacurkan
ilmu semata-mata untuk mengaut kemewahan dunia.Inilah merupakan antara sebab
atau punca yang menyebabkan umat Islam terus mundur.
Berapa
ramaikah mereka yang belajar tentang al-Quran dan Hadis tetapi mereka dilaknat
oleh keduanya kerana tidak merealisasikan segala apa yang dipelajari. Oleh itu
kita mestilah beringat dan berhati-hati mengenai perkara ini demi kebahagian
kita di dunia yang sementara dan akhirat yang kekal selamanya. Begitu mudah
untuk memberi nasihat dan tazkirah tetapi begitu sukar untuk mengota dan
merealisasikannya dalam kehidupan. Tanpa usaha yang bersungguh- sungguh, kita
tidak mampu melaksanakannya. Samalah kita sama-sama menghayati firman Allah
dalam ayat 2 hingga 3 surah as-Saff yang bermaksud : "Wahai orang-orang
yang beriman! mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak kotakan? Amat besar
kebencian Allah di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu
kotakan."
Sahabat
yang dimuliakan,
Marilah
sama-sama kita amalkan sembilan adab-adab untuk menuntut ilmu seperti yang
dinyatakan diatas. Keberkatan dan keberkesanan sesuatu ilmu adalah sejauhmana
kita mematuhi adab dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam. Perlu
diingat keluar saja kita daripada rumah untuk menuntut ilmu yang bermanfaat
umpama kita berjihad dijalan Allah SWT. Sentiasa dinaungi oleh para malaikat
dan setiap langkah akan diberikan pahala dan mendapat doa semua makhluk dibumi
termasuk ikan-ikan diair.
Kredit
: Ustaz Abubasyer
No comments:
Post a Comment