Ketika
manusia diciptakan, Allah mencipta juga pelbagai bentuk emosi dan keinginan
dalam diri manusia yang berbentuk positif dan negatif yang saling mempengaruhi
antara satu sama lain. Antara sifat positif yang terdapat dalam diri manusia
ialah pemaaf, yakni lawan kepada sifat pemarah dan pendendam. Pemaaf adalah
sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim. Ada beberapa ayat al-Quran
dan hadis yang menekankan keutamaan bersifat itu yang juga disebut sebagai
sifat orang yang hampir di sisi Allah. Allah berfirman bermaksud: “Dan orang
yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang
berbuat kebajikan.” (Surah Ali Imran, ayat 132). Namun, diakui bukan mudah
untuk menjadi seorang pemaaf. Sikap negatif yang menjadi lawannya iaitu pemarah
sentiasa berusaha menidakkan wujudnya sifat pemaaf dalam seseorang.
Pertembungan dua unsur ini mewujudkan satu mekanisma yang saling ingin
menguasai diri seseorang.
Ibaratkan hati manusia, seperti sebuah peti yang memiliki
laci-laci kecil. Setiap rekod individu yang hadir di dalam hidup kita, disimpan
dalam laci-laci ini. Jika sudah berkenalan dengan sejuta orang, maka ada
sejutalah laci di dalam hati kita. Dalam laci setiap individu, mempunyai
fail-fail kenangan peristiwa kita bersama mereka. Apabila kenangan yang berlaku
adalah memeritkan, maka laci-laci ini akan berubah warna menjadi warna hitam.
Lebih banyak manusia yang menyakitkan hati kita, lebih banyaklah laci hitam di
dalam hati kita. Selang hari ke hari, minggu ke minggu, bulan ke bulan, tahun
ke tahun, rasa sakit hati kita kepada individu yang lacinya sudah hitam ini
masih wujud. Ini kerana kita masih menyimpan rekod mereka di dalam laci hitam.
Semakin lama disimpan, semakin tebal fail kenangan mereka, dan melarat pula ke
laci-laci yang lain.
Hati semakin sakit. Setiap perbuatan mereka yang
menyakitkan, tidak dapat dilupakan sama sekali. Pantang mendengar nama mereka
disebut, laci hitam di hati menebal seinci. Di mana lokasi yang ada kaitan
dengan mereka akan dijauhi. Jika ada keramaian yang melibatkan mereka, kita
tidak akan hadiri supaya tidak bertembung dengan mereka. Kerana hati sudah
benci. Kerana peti hati sudah semakin dipenuhi dengan laci-laci hitam yang
menyimpan rekod mereka. Akhirnya, hati kita telah sepenuhnya menyimpan
laci-laci hitam yang banyak dengan fail-fail kenangan yang menebal. Akibat dari
disakiti, kita membenci. Kita membenci mereka yang menyakiti kita, lantas
menyimpan dendam. Dendam yang disimpan, mengakibatkan hati yang gelap dan penuh
dengan laci-laci hitam. Laci-laci hitam yang memenuhi hati dengan fail-fail
kenangan pahit mendorong kita untuk terus membenci, berdendam dan tidak lagi
mahu memaafkan mereka yang menyakiti hati kita ini.
Mari fikirkan sejenak. Apa yang kita perolehi daripada rasa
sakit hati yang dipendam sehingga menjadi benci dan dendam? Adakah kita berpuas
hati? Adakah kita bebas ke sana ke mari? Adakah kita berlapang dada? Adakah
kita merasa tenang? Adakah kita bahagia? Jika mereka yang menyakiti kita,
kenapa harus kita berdendam kepadanya? Yang salah, siapa? kita atau mereka? Jika
yang berhati busuk dan dengki adalah mereka, kenapa hati kita pula yang hitam,
dan penuh dengan kebencian? Jika kita yang teraniaya, kenapa kita pula yang
memiliki amarah dalam diri? Bukankah kita yang teraniaya adalah lebih beruntung
kerana doa kita berpotensi dimakbulkan Tuhan?
Memang
kita manusia yang lemah....seringkali alpa bila dikuasai nafsu yang pelbagai. Bersikap
adil terhadap kawan dan lawan amatlah sukar. Namun itulah tuntutan Islam yang
agung ini. Hati manusia biasanya akan berpihak kepada orang yang disukai,
sekalipun dia di pihak yang salah. Sukar pula untuk menyokong orang yang
dibenci, sekalipun dia di pihak yang benar. Apabila perasaan tidak terkawal
atau berdisiplin dengan ajaran Islam, maka insan biasanya akan mencari
justifikasi untuk membela kesilapan orang disukainya.
Dalam
masa yang sama, dia mungkin akan mencari ruang untuk mempersalahkan orang yang
dibencinya. Sikap seperti ini menjadi barah kehidupan. Jika ia menguasai
masyarakat, kebenaran akan terhapus dan kebatilan akan dibela.Sikap ini hadir
kadangkala disebabkan taksub yang berlebihan, atau kebencian yang berlebihan,
atau sayang yang berlebihan, atau adanya kepentingan tertentu di sebalik
kebencian yang dipamerkan atau sokongan yang diberikan. Hasilnya nanti,
ketidakadilan hukuman atau penilaian akan berlaku. Kebenaran akan dinafikan
hanya kerana kebencian. Kesalahan akan dinilai dengan kebaikan hanya kerana
ketaksuban atau kecintaan atau kepentingan.
Kebiasaan
manusia yang tidak berprinsip, akan mudah menerima khabar buruk orang yang
dibencinya. Maka banyaklah berita buruk tersebar tanpa bukti dan dalil. Justeru
itu Nabi SAW. Bersabda, “Cukuplah untuk seseorang itu dianggap berdusta dengan
dia menceritakan setiap yang dia dengar” (riwayat Muslim).
Untuk
mengubah keterbiasaan itu amat sukar, apalagi kita sebagai insan yang serba
kekurangan. Perasaan benci, suka, sayang dan pelbagai adalah lumrah kehidupan. Kita
pernah mendengar keluhan seorang sahabat..walaupun dia melakukan kerja dengan
begitu hebat, namun kita tidak nampak dimana kekurangannya sehingga dia tidak
disukai oleh rakan sekerja...Namun kita percaya mesti ada sebab kenapa dia
tidak disukai, hanya dia dan Allah sahaja yang mengetahui.
Penilaian
Manusia selalunya tak tepat, menilai dengan hati dan perasaan tatkala rasa
amarah menguasi hati dan fikiran sehingga kita lupa dengan sedikit kebaikan
yang pernah mereka berikan, sebab itu kita sering muhasabah diri, menerima
bahawa semua orang ada kekurangan. Sahabat, tatkala hati ini berdetik, kita
mohon 1000 kemaafan seandai ada hati yang terluka...kita mohon kemaafan...dan
yang pasti kita hanya manusia biasa.....justeru itu jangan ambil mudah untuk
menilai manusia lain...kerana kita juga bukan manusia yang sempurna di sisi
Allah SWT.
Sifat
pemaaf lahir dari jiwa dan hati yang tenang hasil daripada tarbiyah yang
berterusan. Sebab itu, selalu memupuk sifat pemaaf. Bermulalah dengan perkara
yang kecil dan mudah hilang sifat marah. Jika ada sesuatu yang menimbulkan
perasaan marah, berfikirlah sejenak untuk terlebih dahulu menilai atau
muhasabah diri sendiri terlebih dahulu. Renungkan dalam hati sendiri adakah
perkara itu juga berpunca dari kita sendiri? Adakah sebelum ini kita mengambil
langkah yang wajar untuk mengelak perkara itu daripada berlaku?
Jika
kita mampu berfikir sedemikian, cahaya kebenaran mudah memasuki ruang hati dan
memberi petunjuk apakah tindakan yang wajar dilakukan seterusnya. Pada ketika
itu syaitan tidak berpeluang untuk menyemarakkan perasaan marah, yang lahir
adalah keinsafan dan sifat memaafkan. Sifat pemaaf memberi manfaat yang besar
kepada diri sendiri terutama dari segi rohani. Orang yang bersifat pemaaf
selalu dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak
berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan.
Bagi
orang yang bersifat pemaaf, padanya tiada seorang pun dalam hatinya tersimpan
perasaan marah. Sebab itu, hati orang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar
dengan provokasi yang menekan dirinya. Banyak masalah berkaitan hubungan sesama
manusia berpunca sifat marah dan membalas dendam. Biarpun perselisihan kecil,
perkara itu tidak dapat diselesaikan disebabkan perasaan dendam masih bertapak
di hati. Sikap berdendam hanya merugikan kedua-dua pihak. Paling tertekan ialah
pihak yang lebih banyak berdendam. Hatinya tidak tenteram dan sentiasa ada
perasaan buruk sangka. Kadangkala, yang berdendam hanya sebelah pihak.
Sedangkan, sebelah pihak lagi menganggap persengketaan sebelum ini selesai. Jika
sifat memaafkan diamalkan, Insya Allah, kita juga tidak akan menanggung
kemarahan daripada orang lain. Sesungguhnya Allah terlebih awal memberi
keampunan dengan rahmat-Nya.
MAAF "Satu
perkataan yang mudah tetapi kadang-kadang sukar diluahkan. Dalam kehidupan kita
sehari banyak perkara yang kita lalui. Tanpa kita sedar dalam kita leka
melayari kehidupan kita seharian, kita sering melukakan hati orang-orang
disekeliling kita, orang-orang yang kita sayangi! Cukupkah sekadar dengan
sekadar mengucapkan MAAF? Terubatkah hati yang kita lukakan? Selagi kita
bergelar manusia, kesilapan merupakan perkara yang paling sukar dielakkan.
Adakalanya kesilapan itu terpaksa dilakukan untuk melindungi sesuatu. Terpulang
pada hati untuk menilai wajarkah sesuatu kesilapan itu dimaafi. Adakanya ego
perlu diletakkan ketepi. Dengarlah pada kata hati! Buat orang-orang yang pernah
aku sakiti, maafkan lah kesilapan yang telah aku lakukan. Percayalah hidup ini
tak akan dapat lari dari melakukan kesilapan. Apa yang penting ialah belajar
dari kesilapan itu untuk tidak diulangi. Nilai kemaafan itu sangat dihargai
bagi orang yang mengharapkannya. Dengan memaafkan orang lain tidak akan membuat
kamu berkecil hati tapi akan menggambarkan ketinggian budi pekerti. Maafkan
aku...
No comments:
Post a Comment