DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Sunday, March 30, 2014

Menegur dan Ditegur

SUKAKAH KITA DITEGUR?

Pernah tak kita dengar kawan kita minta ditegur? Biasa kita dengar, orang menegur orang. Memang ada. Tapi sangat jarang.

Teguran itu kebiasaannya bersifat membina, kerana apa yang tidak kita sedar kadang-kadang orang lain sudah sedar terlebih dahulu, persepsi kita lain, persepsi orang, lain. Sebab itu apabila ditegur, jangan terlalu cepat melenting dan menolak teguran tersebut. Kalau begitu, kita adalah orang paling rugi, kerana kita berpeluang membina diri kita tetapi awal-awal lagi kita sudah merobohkannya.

Kata Hukama, "Orang biasa akan marah apabila dikritik oleh orang lain, manakala orang yang mulia ialah mereka yang memperbaiki diri daripada kritikan orang lain. Seharusnya begini lah resam kehidupan kita"

Manusia memerlukan 'cermin' bagi meneliti diri. Orang disekeliling adalah cermin bagi kita. Cuba bayangkan kita bercukur misai tanpa bercermin. Bukankah susah?.

NAK JADI PENEGUR?

Manusia memang tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan, yang berbeza hanya banyak dan sedikit. Tetapi biarlah orang yang cuba menegur tersebut adalah orang yang minimum kesalahannya supaya teguran yang diberikan itu bersifat jujur dan ikhlas dan hidup. Atau dalam kata lain lebir arif, matang dan berwibawa.

Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Sesuatu yang agak pelik apabila penagih dadah tegar mengajar atau menegur orang lain pergi ke masjid, walhal mereka sendiri masih terkontang kanting ditepi longkang dalam kotak.

Sebab itu kalau kita suka menegur, kita mesti pastikan teguran itu di tuju ke arah kita terlebih dahulu, kemudian baru ke orang lain.
Itu cuma satu contoh, namun jangan dijadikan alsan. Cuba ambil iktibar daripada kisah seorang ayah yang bekerja sabagai pencuri tetapi memahukan anaknya belajar bersungguh-sungguh dan berjaya. Si anak perlu patuh kepada suruhan ayahnya tanpa mengambil kira latar belakang dan perangai ayahnya.

Saya sendiri seorang yang suka menegur, mengkritik dan membidas segala hujah atau isu yang saya rasakan bertentangan dengan norma-norma kemanusiaan. Berkali jugalah saya tekankan, jangan lihat siapa saya tapi lihat apa yang saya katakan.

TUJUAN MENEGUR

“Kau ni nak tegur aku atau nak marah aku?”
“Engkau nak nasihatkan aku atau engkau nak caci keji aku? Kau nak malukan aku cakap je lah!”

Dialog di atas cukup menjengkelkan dan ia sering berlaku kepada kita bahkan hampir mencetus pergaduhan. Si penegur atau tukang beri nasihat perlu jelas bahawa perbuatannya hanya satu, tawasau bil Haq wa tawasau bis Sabr. Membetulkan kesilapan dengan memahamkan kebenaran dan mendamaikan dengan kesabaran.

Firman ALLAH yang Maha Bijaksana : “Ajaklah (wahai Muhammad) mereka ke arah jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang elok dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik…..” (Surah An-Nahl: 125)

Jika merujuk kepada tafsiran Imam al-Qurtubi, beliau menyebut bahawa ayat ini menyuruh para daie supayamenyebarkan dakwah dan memberikan nasihat kepada ‘orang-orang Islam’ secara khususnya dengan cara yang penuh bijaksana, lemah lembut dan penuh strategi. Para daie mestilah menjauhi sifat kasar dan keras ketika menegur dan memberikan nasihat agar orang yang ditegur tidak merasa malu dan melarikan diri sekaligusmatlamat dakwah menjadi realiti dan terlaksana.

APA YANG PENTING?

Setiap orang yang menegur pasti sedia juga ditegur. Ramai yang tidak mampu lakukan ini. Hanya suka menegur tetapi tidak pula suka ditegur. Sebab itu penting apabila menegur diisyaratkan terlebih dahulu, teguran itu adalah terlebih dahulu untuk diri sendiri.

Ingat! Apabila kita menuding jari terhadap kesilapan orang lain, sebenarnya 3 jari kita telah menuding kepada diri kita sendiri. Itu adatnya.

"Beruntunglah mereka yang ditegur demi kebaikan yang tidak mereka sedar. Allah telah menghantar seseorang untuk menegur. Jika dia menerima teguran dengan hati yang redha dan bersangka baik, maka Allah akan lapangkan dadanya dan memasukkan taufiq dan hidayahNya. InsyaAllah..
Adapun, jika dia berpaling dari teguran dan kemudian memarahi orang yang menegurnya, dikhuatiri Allah menggelapkan hatinya yang semakin/ sudah mati.


Naudzubillahiminzalik...
Astaghfirullahal'azim...3x

Friday, March 28, 2014

10 Amalan Yang Akan Mengubah Kehidupan

Jiwa ini sungguh unik sifatnya. Ada saatnya kita rasa sangat bertenaga, bersemangat dan tabah. Tetapi, di celah-celah perjalanan kehidupan – pasti ada titik-titik down kita. Apa perasaan ketika itu? Kita lemah, hilang segala semangat yang pernah membara dan jiwa terasa amat-amat kosong. Normal kita jika berlaku sedemikian? Saudara-saudaraku, jika hal ini berlaku kepada kita ketahuilah ia adalah perkara yang biasa dan usahlah gusar serta terlalu tertekan dengannya.
“ Iman itu bertambah, dan berkurang.”
“ Jiwa itu ada saat segarnya, dan ada masa lemahnya.”

Persoalan di sini, bagaimanakah kita hendak menghadapinya? Sikap proaktif yang bagaimanakah akan kita cerna dan gerakan ketika menghadapi situasi sebegini. Suka saya mulaikan perkongsian ini dengan bingkisan jiwa murabbi saya, Abu Umar berkaitan jiwa kita.

Bingkasan Jiwa: Apabila Jiwa Kosong

Apabila jiwa kosong
maka kehidupan umpama lorong duka lara,
simpang siurnya adalah kekeliruan dan kekecewaan
sedangkan deru anginnya adalah nyanyian kedukaan.
Tidak ada lagi keindahan pada mahligai tersergam
juga kebahagiaan pada segala kemewahan dan solekan dunia.
Jiwa adalah sarang kebahagiaan,
taman ketenangan dengan seribu janji senyuman.
Kemanakah perginya kelazatan
pada sajian hebat yang terhidang dimeja kehidupan.
Dari manakah datangnya kepanasan
di ruangan berhawa dingin yang membekukan hati.
Manusia tetap manusia,
memerlukan hidayah untuk diisikan pada jiwanya
agar dirinya mengenal erti takut dan tunduk.
Kerana takut itulah yang akan mengajarnya erti keberanian
dan tunduk itulah yang akan mengajarnya erti ketinggian.
Keberanian untuk menempuh pahit dan getirnya kehidupan
serta ketinggian untuk memetik buah kebahagian
dalam rimbunan pepohon keimanan.
Sungguh sederhana bahasanya serta sentuhan perasaan yang dinukilkan. Tetapi, jika kita amati jika jiwa kita kosong, hambar, hilang keghairahan serta tiada lagi manis-manis keimanannya maka yang bertakhta di hati hanyalah kesengsaraan, kekecewaan, kerisauan dan kesedihan. Apabila dirundum kesedihan sedemikian rupa, apa sebenarnya yang kita hajati?

Tentunya, ramai orang hajatkan sebuah hembusan yang bernama ketenangan, kebahagian dan ketenteraman. Justeru, rawatan pulih itu perlu disegerakan, digerakan, dilaksanakan dan diamalkan sepanjang hayat kita. Oleh itu, perkongsian saya kali ini ingin membawa sahabat pembaca kepada ubat yang boleh mengisi kelompongan yang ada dalam hati kita ini. Rawatan yang harus disegerakan sepantas kilat yang bercahaya.

Rawatan Jiwa: Super Ten (Super 10)

Apa tu? Super 10 ini hanya nama yang saya letak untuk 10 amalan yang akan memberikan suatu kesan yang luar biasa sekiranya kita amalkan dalam kehidupan kita. Ianya hanya bermakna apabila kita buat, amal dan beristiqamah dengannya dalam bentuk pengamalan dan penghayatan. Apakah elemen-elemen Super 10 ini?

Pertama: Berusahalah untuk bertahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.

Solat Tahajud biasanya dilakukan semasa Qiamullail. Ibadah Qiamullail adalah kebiasaan para salaful soleh dan syiar para kekasih Allah SWT. Nabi Muhammad SAW bersabda dalam hadis: “ Hendaklah kamu mengerjakan qiamullail kerana qiamullail adalah kebiasan orang soleh sebelum kamu. Qiamullail mendekatkan diri kepada Allah SWT, menghapuskan dosa dan megusir penyakit daripada tubuh.” ( Riwayat At-Tirmidzi). Solat malam merupakan ibadah yang paling afdal kerana ia lebih mendekatkan diri kepada rasa keikhlasan dan menjauhkan diri daripada riak. Latihan ini sangat baik untuk mendidik diri agar sentiasa bersih, jernih dan suci!
Kedua: Melazimi membaca Al-Qur’an dan zikir al-mathurat sebelum terbit matahari kerana ia merupakan sumber ketenangan seorang mukmin muslim.

Al-Quran adalah motivasi terulung bagi seorang mukmin. Kita percaya? Ya. Ia merupakan pengerak dan dinamo utama kepada energi kekuatan seorang insan untuk melaksanakan segala bentuk kebaikan dan mencegah kemungkaran. Tegas Allah SWT dalam Firmannya: “ Dan Kami turunkan dari Al-Quran sesuatu yang menajdi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Al-Isra 17 : 82) Dan satu ungkapan yang menarik yang diucapkan oleh Saidina Uthman Bi Affan RA:“ Sekiranya hatimu itu suci, nescaya tidak akan kenyang (puas) dari firman Rabbmu ( Al-Quran).”

Ketiga: Memelihara kesempurnaan solat kerana inilah kekuatan mukmin muslim yang utuh.

Solat.Ia merupakan talian hayat utama bagai seorang hamba kepada Tuannya. Solat menghubungkan jiwa, ruh dan hati seseorang insan terus kepada RabbNya. Kesempurnaan solat akan memberi pelbagai bentuk suntikan tenaga yang mampu menggerakan dan melonjakan produktiviti serta amal proaktif semua insan. Kesempurnaan solat terletak kepada kekhusyukan dan aspek-aspek yang menyempurnakannya. Dengan khusyuk, terbukalah kunci-kunci pintu hati, bersinar serta terserlahlah cahaya keimanan di dalam hati. Dengan ini seseorang akan merasai kemanisan iman di dalam jiwanya. Solat menjadi kecintaan dan kerinduaannya kerana ia mendapat manfaat bersama ibadah solat. Sebagaimana Nabi Muhammad SAW bersabda: “ Dan dijadikan mataku sejuk dalam solat.” ( HR Nasai)

Keempat: Jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.

Rasulullah SAW bersabda: “ Pada tiap-tiap pagi ada kewajipan ke atas setiap orang perseorangan (individu) untuk bersedeqah, dan cukuplah menggantikan semuanya dengan mengerjakan dua rakaat sunat Dhuha.” ( Riwayat Abu Dzar RA). Sejujurnya, kita akan merasai kelainan yang berbeza dalam menjalani kehidupan seharian apabila solat sunnat ini telah menjadi malakah (darah daging) kita. Rasa janggal kalau termiss atau tertinggal walaupun sehari.
Kelima: Sentiasa bersedekah setiap hari. Walaupun hanya dengan sekuntum senyuman kerana ia penyubur kasih sayang.

Sedekah adalah amalan yang sangat mulia. Ia membersihkan diri daripada sifat-sifat yang mazmumah dan menyuburkan sifat kasih sayang dalam diri manusia. Dan ganjarannya di sisi Allah SWT amatlah besar dan lumayan. Allah SWT berfirman: “ Perumpamaan orang-orang yang menafqahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipat gandakan ganjaran bagi siapa yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas ( kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah 2 : 261)

Keenam: Sentiasa memelihara wudhuk terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu’.

Imam Al Banna selalu berpesan kepada sahabat-sahabatnya : “ Bahawa Rasulullah SAW bersabda :” Wudhuk adalah senjata mukmin, kerana itu setiap Ikhwan mengambil berat soal memperbaharui wudhuk apabila terbatal walaupun di kala malam yang dingin menusuk tulang.” Saidina Umar Al-Khattab RA: “Sesungguhnya wudhuk yang baik, mengusir syaitan dari dirimu.”

Ketujuh: Amalkan istighfar setiap masa agar terhapus segala dosa dan noda.

Apa itu istighfar? Maknanya: Proposal atau “ Permohonan Ampunan kepada Allah SWT.” Istighfar ini menunjukan kemampunan seseorang untuk mengenali kesalahan, dosa, dan kemaksiatan yang telah dilakukan. Kemudian, muncul perasaan menyesal dan tekad yang kuat untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama. “ Dan bersitighfarlah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Muzamil 73 : 20). Nasihat Nabi Muhammad SAW kepada kita, sabda baginda: “ Sesungguhnya hatiku selalu lupa, padahal aku beristighfar kepada Allah dalam sehari sebanyak seratus kali.” (HR Muslim dan Abu Daud)

Kelapan: Perbaharui azam dan tekad untuk terus berkhidmat kerana Allah SWT

Saban hari, pastinya jiwa dan hati kita akan diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai bentuk ujian dan cabaran. Dan semestinya, jiwa kita itu harus disegarkan dengan memperbaharui azam dan tekad agar ia tidak layu dan kendur. Terus bersemangat dan mengobarkan cita-cita serta harapan adalah ciri yang harus pada ada seorang yang ingin melaksanakan tugas yang berat ini. Iaitu tugas mendaulatkan deen Allah SWT. Dengan sedikit kemampuan yang Allah SWT berikan kita boleh menyebarkan syiar Islam melalui pelbagai wasilah dan cara dengan kadar kepakaran serta kebolehan yang kita miliki.
Kesembilan: Sentiasa ceria, bermanis muka dan berfikiran positif kerana itulah watak sahsiah seorang mukmin sejati.

Rasulullah SAW mengalakan agar budaya senyum itu dihidupkan oleh para sahabat dengan ungkapannya: “ Senyum itu adalah sedekah.” Senyuman itu akan membahagiakan sesiapa sahaja yang melihat kita dan pastinya ia akan membenihkan bibit-bibit kasih sayang di dalam jiwa manusia. Sahsiah inilah yang harus dihidupkan bagi melahirkan masyarakat yang harmoni hidup berkasih sayang di bawah naungan Islam. Seharusnya juga, seseorang mukmin memelihara kesentiasaan positif dan meninggalkan pengaruh yang baik terhadap individu disekitarnya. Imam Al-Banna berkata : “Orang soleh sentiasa meninggalkan pengaruh yang positif di mana pun ia pernah berada.”

Kesepuluh: Memelihara Diri dengan keikhlasan yang tulus kerana Allah SWT kerana disitulah terletaknya nilai amalan di sisi Allah SWT.

Ikhlas adalah ibadah hati yang pertama, terpenting, tertinggi dan merupakan asas utamanya. Firman Allah SWT: “Dan mereka tidak diperintahkan, selain untuk beribadah kepada Allah SWT mengikhlaskan agama hanya untuk-Nya dengan penuh ketundukan.” ( Surah Al-Bayyinah 98 : 5) Ibnu Qayyim berbicara mengenai ikhlas : “ Ikhlas adalah menjadikan Allah SWT sebagai matlamat dalam melakukan ketaatan, iaitu anda memiliki matlamat hanya pada Dia sahaja, bukan kepada selain-Nya.”
Penutup : Agar Jiwa Kita Sentiasa Terisi
Andaikata sudah lama kekosongan jiwa kita terlopong tanpa apa-apa sentuhan, maka marilah kita isinya dengan Super 10 ini. Ia akan benar-benar menjadi dan berkesan apabila kita sendiri yang melaksana sebagai agenda serta amalan kehidupan kita. Ayuh, rakan-rakan – kita menjadi 10 amalan ini sebagai kekuatan diri kita dalam rangka menjadi hamba Allah SWT.


SUMBER ---- langitilahi

Sunday, March 23, 2014

8 Makanan Terbaik Untuk Menurunkan Kolesterol Jahat (OM)

Kolesterol jahat dalam badan memang tidak baik kerana kita akan mendapat pelbagai macam penyakit seperti hipertensi, diabetes dan jantung. Namun kita jangan bimbang kerana menurut American Heart Association (AHA), kita boleh menurunkan kolesterol jahat dalam tubuh kita dengan cara memakan makanan yang sihat.

Berikut ini ada 8 makanan terbaik untuk menurunkan kolesterol jahat:
Anggur Merah
Anggur merah boleh menurunkan kolesterol jahat pada tubuh kita. Menurut kajian, buah anggur merah yang digunakan untuk membuat ‘Red Wine’ mempunyai kesan penting dalam menurunkan kolesterol jahat.
Oat
Kita perlu membiasakan diri untuk mengambil oat setiap hari jika ingin menurunkan kolesterol jahat dalam tubuh kita. Menurut sebuah kajian, mengambil dua bahagian oat setiap hari boleh menurunkan kolesterol jahat sebanyak 5.3% hanya dalam 6 minggu kerana oat mengandung zat yang disebut beta glukan, yang boleh menyerap kolesterol jahat.
Ikan salmon
Jenis-jenis ikan seperti ikan salmon, ikan sardin dan ikan herring boleh membantu dalam meningkatkan kadarkolesterol baik sebanyak 4% dan mengandungi asid lemak omega 3 sehingga dapat menjaga kadar kolesterol agar tetap dalam kawalan dan boleh mencegah penyakit jantung dan strok.
Kekacang dan biji-bijian
Kacang merah, kacang hitam, dan kacang pinto adalah jenis kacang yang boleh diambil untuk memenuhi satu pertiga daripada keperluan serat harian kita. Lemak tak tepu yang ditemui pada kacang dan biji bijian mempunyai molekul asidlemak yang rendah dan merupakan yang terbaik di antara 3 jenis lemak, iaitu lemak politaktepu, lemak tepu dan lemak tak tepu. Kekacang boleh membantu menurunkan kadar kolesterol sebanyak 8%.
Teh
Teh dipercayai dapat mengikis lemak dan menurunkan kolesterol jahat. Teh mempunyai antioksidan dan kandungan kafein lebih sedikit daripada kopi. Dalam secawan kopi mengandungi sekitar 135 miligram kafein, sedangkan teh hanya mengandungi 30 - 40 miligram. Kandungan phytocemical dalam teh juga boleh membantu melindungi tulang. Sebatian tersebut juga berperanan sebagai pertahanan besar terhadap kadar kolesterol jahat (kolesterol LDL)
Coklat hitam
Coklat hitam mempunyai kandungan antioksidan yang banyak dan mempunyai peranan untuk mengurangkankolesterol. Pada satu kajian menyebutkan bahawa kandungan antioksidan pada coklat hitam dapat mengurangkan kerosakan pada pembuluh darah yang boleh mengancam kesihatan orang dengan sirosis (penyakit hati kronik). Para ahli menyarankan untuk mengambil 100 gram coklat hitam setiap hari dalam membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular sebanyak 21%.
Bayam
Sayur Bayam mengandungi sekitar 13 sebatian flavonoid yang menjauhkan kita dari kanser, penyakit jantung, dan osteoporosis. Beberapa literatur menyebut, mengambil sayur-sayuran yang kaya kandungan lutein ini akan menjaga kita dari serangan jantung.
Minyak zaitun (olive oil)

Minyak zaitun (olive oil) mempunyai banyak manfaat kesihatan. Asam lemak tak jenuh tunggal pada Minyak zaitun boleh melindungi jantung kerana boleh menurunkan kolesterol, trigliserida, dan kolesterol LDL (jahat), tanpa menurunkan kadar kolesterol baik.

Wednesday, March 19, 2014

Adakah kita orang yang rugi? (OM)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Sahabat yang saya hormati sekalian. Sebelum saya meneruskan tinta saya, cubalah tanya diri dan jawab sendiri 2 soalan berikut. Sudah berapa lamakah saya telah tinggal di dunia ini? Berapa lama lagikah masa yang saya ada untuk tinggal di dunia ini?

Ingin saya mulai tulisan saya dengan menyebut Firman Allah dalam Surah Al Ashr (Masa) yang bermaksud: Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar benar dalam kerugian, kecuali orang orang yang mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran. Berapa lamakah kita telah tinggal di dunia ini? 20 tahun, 30 tahun, 40 tahun atau bertahun tahun lamanya?

Apakah masa yang berlalu itu terisi dengan penuh pengisian yang sebenar benarnya atau tersia dengan segala macam sia sia? Marilah kita melihat dari sudut yang berbeza, menilai dan meneliti setiap perbuatan kita adakah kita berada di dalam golongan yang benar benar dalam kerugian atau tergolong dalam insan yang beruntung dunia dan akhirat? Betapa hari ini kita melihat setiap orang berkejar kejar ke sana dan ke sini dengan dua kaki, kereta, train, flight dan lain lain untuk pelbagai urusan, setiap minit sungguh kita berkira, kita dikejar masa, makin hari makin terasa kepantasannya hingga tak terkejar.

Berhentilah sejenak, mari kita berpaling kebelakang mengimbau apakah setiap perbuatan kita itu ada nilainya? Berkejar-kejar untuk urusan dunia @ berkejar kejar untuk menunaikan ibadat kepada Allah SWT. Ajak mengajak ke arah kemaksiatan @ ajak mengajak berbuat kebaikan. Saya juga seperti kalian semua, saya memiliki 24 jam 7 hari seminggu. Setiap masa diperuntukkan semua sama tapi bagaimana kita memanfaatkan masa supaya kita tidak menjadi bankrupt pada masa akan depan.
Berapa ramai di kalangan kita meninggalkan solat kerana pelbagai alasan yang tidak munasabah ;
Tiada masa kerana terperangkap dalam kesesakan lalulintas
Tiada masa kerana meeting berjam jam dari pagi hingga ke malam
Tiada masa ke surau kerana suraunya jauh
Tiada masa kerana perlu banyak berehat ketika sakit
Tiada masa kerana mengejar assignment deadline
Tiada masa kerana sibuk mengelolakan majlis penting disertai VVIP
Dan banyak banyak lagi alasan yang kita reka sesedap hati.
Adakah alasan-alasan ini yang akan kita jawab di akhirat kelak?
Tiada masa…?

Solat 5 kali sehari x10 minit = 50 minit setiap hari. Adakah masa 24 jam sehari itu tidak mencukupi untuk kita meluangkan masa 50 minit sehari untuk mengerjakan solat fardu? Hanya 3.5% sehari kita peruntukkan untuk bersolat?

Sahabat,
Kita ada masa untuk membeli belah di shopping complex berjam jam lamanya
Kita ada masa menonton rancangan kegemaran di Astro
Kita ada masa untuk melepak dan bersembang dengan kawan kawan di kedai kopi
Kita ada masa buat itu dan ini
Tapi sayang sekali… kita boleh kata tiada masa untuk bersolat!?
Oh alangkah ruginya hidup kita, terisi tapi hanya sia sia kerana melupakan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah di muka bumi.
Pernahkah kita fikir, bagaimana nanti kita benar benar sudah tiada masa? Waktu nyawa sudah di kerongkong? Ketika lembaran langit sudah digulung-gulung menutup tirainya? Pada tika itu, ketahuilah… Segunung emas dan permata sekalipun tidak mampu membeli masa yang telah berlalu. Bak kata Imam al Ghazali; “Sesuatu yang paling jauh itu adalah masa yang telah berlalu, sungguh ia tak mungkin kembali. ” Dalam keadaan dunia serba maju semuanya mahu cepat, kita pula diberatkan dengan pelbagai bentuk tanggungjawab yang kadangkala menghimpit ruang masa kita.

Sahabat…
Walau betapa banyaknya tanggungjawab kita, tanggungjawab kita sebagai hamba kepada Allah swt mesti diutamakan! Insyallah dipermudahkan urusan kita di dunia dan akhirat. Janganlah kita hidup seperti sebuah robot, siang dan malamnya sama sahaja, hidup dan matinya hanya untuk berbakti kepada manusia dan hayatnya pula hanya didunia seketika cuma. Kawan kawan, marilah kita renungi bersama,

Firman Allah SWT dalam surah al Kahfi ayat 103-106 yang bermaksud: Katakanlah “Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang orang yang paling merugi perbuatannya?” Iaitu orang orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik baiknya. Mereka itu orang orang yang kufur terhadap ayat-ayat Tuhan mereka dan(kufur terhadap) perjumpaan dengan Dia, maka hapuskanlah amalan-amalan mereka, dan Kami tidak akan mengadakan satu penilaian bagi (amalan)mereka pada hari kiamat. Demikianlah balasan mereka itu neraka Jahannam, disebabkan kekafiran mereka dan disebabkan mereka menjadikan ayat-ayatKu dan rasul rasulKu sebagai olok-olok. 20 tahun, 30 tahun, 40 tahun atau bertahun tahun lamanya, status amalan kita masih KIV (Keep In View) hingga ke titik terakhir.

Sahabat…
Berapa lama lagikah masa kita masih berbaki di dunia? Ternyata tiada seorang pun di kalangan kita mengetahuinya. Hanya Allah SWT jua yang Maha Mengetahui. Yang pasti setiap hari yang berlalu mendekatkan kita pada hari yang nyata iaitu kematian.
Sekarang, ketika ini dan di saat ini , kita masih ada masa untuk memperbaiki amalan kita. Usah disiakan masa yang ada, pergunakan dengan sebaik-baiknya, rancanglah masa dari sekarang, laksanakan dengan amalan, persiapankan diri untuk masa depan. Semoga kejayaan menanti kita di hadapan sana.

Friday, March 14, 2014

Kenapa Malas Solat?

“Aku bukan orang jahat. Aku tak ada merompak atau bunuh orang. Aku tak ada sebar fitnah buruk tentang orang lain. Aku tak ada minum arak. Aku macam muslim biasa. Berpakaian mengikut kebanyakan orang.” “Tetapi kenapa tiba waktu solat, aku malas sangat nak dirikan solat? Malas sangat. Kadang-kadang tu ada la juga satu waktu dalam sehari, bila saat iman naik sikit kan… Sikit je la. Itu pun acuh tak acuh, macam tak solat pun ye juga rasanya. Sebab tak rasa apa-apa. Lepas tu iman turun balik. Ada terus tak buat juga solat tu. Aku rasa berdosa tapi aku tak mampu berubah. Kenapa dengan aku ni sebenarnya?”
“Aku bukan orang jahat. Aku jenis manusia yang suka sangat bantu orang lain. Kadang-kadang hati aku tersentuh lihat pengemis tepi jalan. Aku tak sanggup tengok jadi aku bersedekah. Aku pun macam muslimah lain. Berpakaian macam perempuan lain kebanyakan tetapi mungkin ada satu, dua, tiga yang tak sempurna. Aku tahu tapi mungkin itu boleh diubah lagi. Tetapi yang paling aku risau, aku susah sangat nak ubah diri yang malas solat. Aku tahu berdosa tapi senang sahaja aku membiarkan waktu solat berlalu tanpa mendirikannya. Kenapa aku jadi macam ni? I… I just don’t get it…Please, help me...” “Aku tak solat tapi aku masih berbuat baik terhadap orang lain?”

Solat amalan pertama yang akan dihisab Allah. Abu Hurairah berkata: “Aku mendengar Rasullullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang pertama kali dihisab pada hari kiamat dari amalan manusia adalah solatnya, jika amalan solatnya baik maka dia akan bahagia dan beruntung, Jika amalan solatnya buruk maka dia termasuk orang-orang yang rugi. Jika terdapat kekurangan sedikit pada amalan solat fardhunya, maka Allah berfirman: ” Lihatlah (hai para malaikat) apakah hambaku mengerjakan solat sunat untuk menyempurnakan solat fardhunya?’ Kemudian jika hambaku menyempurnakan solat sunat, maka solat sunat itu untuk menyempurnakan solat fardu yang kurang, kemudian seluruh amalannya diperlakukan seperti itu” (Sahih Tirmidzi, Ibnu Majah no 193, 1425,1426)

Andai kitaa melihat manusia yang berbuat baik terhadap kucing jiran tetapi apabila pulang ke rumah, kucing sendiri disepak dan disiksa. Pelik tak? Begitulah kelihatannya. Berbuat baik kepada manusia tetapi hubungan diri sendiri dengan Allah melalui solat sendiri tidak dijaga. Bagaimana begitu? Kita baik dengan manusia sekarang. Kenapa tidak dilengkapkan sahaja kebaikan itu dengan solat yang sempurna? Solat itu menyucikan jiwa dan hati. Terutama menyemai rasa ikhlas dalam melakukan amalan. Bimbang andai kebaikan selama ini yang dilakukan mungkin hanya kepuraan di hadapan manusia sedangkan solat ditinggal di belakang manusia. Bimbang. Kerana solat yang ditinggal, amalan kebaikan yang lain tersangkut waktu hari perhitungan. Wahai hamba… Solatlah! “Sungguh, solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman” (Surah An-Nisa’ ayat 103)
“Kenapa aku jadi macam ni?” Kita tahu kita salah, tapi sukar pula untuk berubah. Rasa berat untuk nak mula.. Kenapa ya?
Satu. Sebab tak sedar diri itu hamba Allah.
Dua. Sebab tak ingat mati.
Tiga. Sebab seronok hidup dekat dunia.
Empat. Sebab tak fikir waktu sakaratul maut nanti.
Lima. Sebab lalai dengan kemewahan.
Enam. Sebab kurang ilmu agama.
Tujuh. Sebab terlalu mengikut hawa nafsu.
Lapan. Sebab malas mujahadah.
Sembilan. Sebab solat dianggap sekadar ritual yang tidak dihayati.
Sepuluh. Bagilah sebab sendiri. Diri sendiri lebih kenal diri sendiri. Tanya diri sendiri kenapa kita jadi begini.

“Baik. Faham. Tapi macam mana kalau perangai ni kembali semula?” Sebagai sesama muslim, kita sentiasa perlu diingatkan kembali. Ingat tujuan hidup. Buka surah Adz-Dzaariyat ayat 56. Allah berfirman: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku” Ingat lima perkara sebelum lima perkara. Apakah lima perkara tersebut? Mesti semua sudah maklum kan… Tak salah nak dengar lagu ‘You’re Beautiful’ Bruno Mars. Tak ada siapa nak marah. Kalau ada yang marah kita dengar lagu itu, saya boleh tolong marah dia balik. Tetapi ingatlah juga pesanan Rasulullah yang diabadikan dalam lirik Demi Masa kumpulan Raihan. “Ingat lima perkara sebelum lima perkara. Sihat sebelum sakit. Muda sebelum tua. Kaya sebelum miskin. Lapang sebelum sempit. Hidup sebelum mati” (Riwayat Hakim dan al-Baihaqi )

Kalau kita boleh fikir masa hadapan. Mahu kahwin. Mahu kereta besar. Mahu rumah besar. Duit pun kalau boleh nak besar tak muat kilang proses duit palsu Saidina. Kenapa kita tidak boleh fikir yang ke hadapan lagi? Bukan tentang soal hidup di dunia sahaja. Tetapi juga soal hidup di akhirat sana. Ingatkan diri supaya sentiasa bersyukur. Paling kurang ucaplah Alhamdulillah. Syukur kerana masih hidup. Bangun pagi sahaja, mata masih boleh dicelik. Udara masih boleh dihirup. Nafas masih lagi terhela. “Oh, hidup lagi aku ni rupanya. Alhamdulillah”. Syukur kerana udara dan anggota yang digunakan hari-hari ini langsung tidak diminta bayaran daripada Allah. Kalau tidak, mungkin kita tidak boleh lagi membeli kereta baru, make-up baru, handbag baru, motosikal baru, laptop baru, baju baru, handphone baru dan semua yang namanya baru di belakang. Allah langsung tidak berkira. Namun kita mahu solat satu waktu yang hanya memakan masa selama 10 minit pun kedekut. Hamba apakah itu?
Syukur kerana pancaindera cukup lengkap sempurna. Muka cantik. Mata menarik. Hidung masih berfungsi. Mulut masih boleh menelan. Tiada anggota yang cacat. Ada orang tempang tiada sebelah kaki pun masih rajin lagi menggagahkan diri berjalan kaki ke masjid. Malu kita. Ingat mati sentiasa. Bukan fikiran itu hanya sepenuhnya pada dunia. Seronok di dunia. Tetapi tidak sedar sebenarnya keseronokan yang ada ini sementara cuma. Kebahagiaan hakiki adalah di akhirat sana. Ingat waktu dihisab nanti. Ingat waktu ditanya malaikat Munkar dan Nakir di dalam kubur. Apakah dapat diri menjawab kesemua soalan dengan iman dan amalan? Ada fikir semua itu? Andaikan tiba-tiba sewaktu bangun pada esok pagi, saat mata dicelikkan yang kelihatan hanyalah kegelapan. Dilihat ke kanan dan ke kiri namun yang terbentang tetap hanyalah kegelapan. Allah hilangkan nikmat pandangan. Diri mula panik. Tidak boleh melihat alam lagi. Tidak boleh menatap wajah-wajah yang disayangi lagi. Mungkin waktu itu agaknya baru hati sedar. Mula meraba-raba kawasan sekeliling bimbang terlanggar hanya untuk ke tandas mengambil wuduk.

Andaikan otot kita yang digunakan untuk menulis, menaip dan bermain. Suatu ketika Allah menarik nikmat tersebut apabila hanya satu otot yang tidak berfungsi. Saraf mula terjejas. Tiada lagi boleh menggerakkan jemari seperti dulu. Tiada lagi boleh menaip assignment yang bertimbun. Apakah waktu itu mula mengagahkan jua jemari membasuh muka berwuduk untuk solat? Andaikan tika selesai dari membeli-belah, tiba di tempat parking di mana kereta diparkir. Tiba-tiba sewaktu meletakkan barang ke dalam bonet kereta, datang seorang peragut yang cuba merentap beg tangan dan menetak tangan kita berkali-kali hingga darah keluar dengan banyaknya. Mungkin sewaktu itu ingatan mula berputar mengingati Allah untuk menunaikan solat.

Andaikan sewaktu memandu ke pejabat apabila menerima panggilan ada tender baru, tiba-tiba kereta kehilangan arah seketika dan terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori yang laju merempuh. Pintu kereta remuk redam. Cermin kereta pecah seribu. Kaki tersepit. Didapati patah. Hampa dirasakan saat doktor mengatakan bahawa sebelah kaki terpaksa dipotong. Mungkin waktu terlantar dalam bilik pembedahan mula sedar untuk menunaikan solat.

Apakah ingin menunggu saat-saat keinsafan seperti yang disaksikan dalam typical local drama di televisyen itu baru kita mahu sibuk solat? Kalau jawapannya ya, silakan. Tunggulah. Kalau tidak. Ya, bermula dari sekarang. Kerana kematian itu bukan umpama jarum jam yang boleh diputar ke masa sebelumnya. Kita pasti akan mati. Saya pasti akan mati. Kita pasti akan mati. Bersiaplah untuk satu perkara yang pasti. Tidak ada masa untuk berlengah lagi.

Wahai hamba… Solatlah! “Dan perintahkanlah keluargamu melaksanakan solat dan sabar dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik di akhirat) adalah bagi orang yang bertakwa” (Surah Taha ayat 132)

“Ada nasihat terakhir?” Tiap ketika Allah memberikan apa yang kita perlu, nikmat yang menggunung, dari sehari ke sehari. Allah memberi segalanya tanpa perlu diri meminta mahupun melutut merayu. Ada antara hamba yang berpaling, namun Dia tetap terus bersama curahan nikmat-Nya! Kita punya masa untuk keluar bersama kawan-kawan. Kita punya masa untuk menonton filem komedi dan bergelak ketawa. Kita punya masa untuk melayari Facebook dan menghabiskan waktu berjam-jam lamanya di situ. Kita punya masa untuk yang lain namun apakah pantas apabila diri mengatakan tiada masa untuk solat yang hanya 5 minit cuma!
Sekarang diri mengatakan “aku malas solat”. Dan lihatlah wahai hamba, Allah telah mengurniakan segala keperluan. Nikmat yang tidak akan mampu dikira kerana begitu banyak! Allah mengatakan dalam kitabNya untuk kita muhasabah. “dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak mampu menghitungnya. Sungguh, Allah benar-benar Maha Pengampun, Maha Penyayang” (Surah An-Nahlu ayat 18)

Namun mungkin masih boleh dikira. Mata untuk melihat. Hidung untuk menghidu. Telinga untuk mendengar. Kaki untuk berjalan. Tangan untuk memegang. Tubuh badan yang sihat. Pakaian untuk dipakai. Kereta untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Rumah untuk berlindung dari panas dan hujan. Dan untuk segala apa yang telah Allah berikan, diri masih berani mengatakan “aku malas solat!” Andai kamu masih menyedari dua kaki itu masih berpijak di atas bumi-Nya maka tolong. Tolong, tolong dan tolong. Tolong dirikan solat. Namun andai kamu percaya kamu boleh mencari ‘bumi’ yang lain untuk hidup, tidak mengapa. Lakukanlah apa yang kamu suka. Tapi ingat, bukan di bumi yang kamu pijak!

Wednesday, March 12, 2014

Marah Seorang Suami.. Marah Seorang Isteri.. (Perkongsian ILI)

Saya kutip beberapa pengalaman untuk dikongsi bersama walaupun mungkin tak berlaku pada kita atau tak terfikr oleh kita tetapi sekurang-kurangnya boleh jadi panduan dan peringatan pada kita..
Marahnya seorang Isteri - “Ustaz… isteri saya bila marah suka jeling saya dengan ekor mata. Tersirap juga darah saya dibuatnya. Seram pun ada dengan pandangan begitu macam Pontianak Harum Sundal Malam la pulak.” Memang ada isteri begitu… dia tak pandang wajah suami tetapi ekor matanya amat tajam menjeling itu tanda isteri benar-benar marah.

Peringatan untuk Isteri - Kalau benci sangat nak tengok wajah suami ketika marah janganlah jeling-jeling tajam…ia akan mengeruhkan lagi keadaan.. jadi, apa kata, ketika marahkan suami cepat-cepat pandang pokok-pokok yang hijau atau warna-warna lembut. Jangan sesekali tengok warna-warna yang garang. Warna memainkan peranan ketika marah. Ulamak kata kalau di rumah ada naskhah Al-Quran pandang sahaja Al-Quran dan istighfar. Ambil wudhu’ nescaya berkuranglah sikit marah dan syaitan pun akan lari.

Marahnya seorang Suami - “Suami saya kalau marah macam singa lapar. Matanya merah pandang tepat ke muka macam nak makan orang. Telinganya nampak bergerak-gerak dan cakapnya penuh emosi.”

Peringatan untuk Suami - Sifat amarah sifat iblis. Pandang wajah isteri ketika marah.. .renung matanya mungkin ketika itu air mata isteri sedang mengalir membasahi pipi. Biasalah isteri bila dimarah atau diherdik akan mudah menangis. Suami yang sedang marah cuba tatap wajah isteri. Lihat pada matanya. Bayangkan air mata isteri yang bercucuran ketika kita memarahinya. Sesungguhnya air mata itulah juga yang berlinangan dan mengalir ketika sang isteri kesakitan melahirkan zuriat untuk kita. Pandang pada tangannya… tangan itulah yang menghayun buaian, menyapu sampah, mengemas rumah dan memasak untuk kita. Rasanya tahap kemarahan kita akan menurun sekiranya akal memandu kita bukan emosi.
Marah seorang Isteri - Ada suami mengadu.. isteri kuat berleter ketika marah. “Saya tak suka nak marah isteri ustaz… tetapi kalau leterannya makin menjadi-jadi, hangat jugak hati dibuatnya.”

Peringatan untuk Isteri - Mungkin semua suami tak suka isteri berleter. Kalau nak bahagia rumahtangga cuba kawal tabiat suka berleter. Pakar psikologi berpendapat kalau dah ‘tension’ sangat, masuk bilik tutup pintu rapat-rapat kemudian menjeritlah sekuat hati hingga puas.

Marah seorang Suami - “Suami saya kalau marah suka mengamuk tendang kerusi meja, pecah cermin dan sebagainya.” Bahaya tu… suami macam ni perlu dikaunseling atau diberi rawatan psikitri kerana mungkin boleh membahayakan orang lain.

Marah seorang Isteri - Ini satu lagi.. suka siksa diri. Isteri kalau marah hantuk kepala sendiri kat dinding. Masa tu tak sedar diri. Putus satu urat saraf di otak tak pasal-pasal duduk kat Tanjung Rambutan.
Marah seorang Suami - Ada suami yang romantik, suka bercerita… tiba-tiba bertukar jadi pendiam tak mahu bercakap. Itu salah satu tanda suami marah atau ada masaalah. Lainlah kalau suami memang jenis pendiam atau kurang cakap.

Marah seorang Isteri - Kadang-kadang tanda isteri marah dekat suami… anak yang jadi mangsa. Tujuannya nak lepaskan geram kat suami. Anak-anak dipukul dicubit ditengking. Kesian anak-anak mereka tak faham apa-apa masaalah rumahtangga kita.

Marah seorang Suami - Tak sentuh pun makanan yang kita hidangkan. Lalu suami mula belajar makan di luar. Kalau dibiarkan berlarutan boleh membawa kemudharatan pada rumahtangga. Kaji dan selidik kenapa suami marah sehingga tak mau makan sedangkan kita tahu suami kita seorang yang pemakan dan tak pernah cerewet atau menolak apa yang kita masak.

Marah seorang Isteri - Isteri bila marah.. suruh suami tidur kat luar bilik. Kunci pintu bilik. Ugut suami.. tak mau layan suami… ni apa cerita? Suami yang sabar tak apa. Kalau selalu sangat buat begini bermakna mengundang bala. Ingat… suami ada 3 lagi kuota kosong untuk diisi. Hati-hati.
Renungan
Apa yang paling penting, terimalah anugerah Allah seadanya. Jangan harapkan pasangan hidup kita itu sempurna tanpa ada kelemahan. Kenal pasti keistimewaan atau kelebihan isteri/suami lebih baik dari kita mencari kesalahan, kekurangan atau kelemahan. Maaf pandangan ini adalah pandangan peribadi yang umum dan tidak ditujukan kepada sesiapa pun cuma sebagai renungan.

Tuesday, March 11, 2014

Jodoh ~ Yang paling tahu hanya Allah (Perkongsian)

Pada suatu hari, Saya bertanya kepada emak, "Mak mana satu pilihan hati, orang yang sayangkan kita atau yang kita sayang? "Mak jawab, "dua-dua bukan.." Saya tercengang..Mak mengukir senyuman. "Pilihan hati mak adalah yang sayangkan kita kerana Allah.." Saya menarik nafas dalam-dalam."Macam mana nak tau orang tu sayang kita kerana apa?" Mak diam sekejap berfikir dan kemudian tersenyum. Rasanya mak dapat menduga apa yang sedang bermain dalam hati anak perempuannya. Mana mungkin saya mampu menyorokkan rahsia hati dari mak sedangkan sekilas dihati saya pun mak mampu membacanya."Yang paling tahu hanya Allah.." mak merenung dalam-dalam wajah anaknya. "Kerana hanya Allah mampu membaca hati hambaNya.. " mak menyusun ayat-ayatnya."Dan keikhlasan kerana Allah itu akan terserlah keberkatanNya tanpa perlu sengaja ditonjolkan oleh seseorang tu.."
Saya memintas, "Tak faham.." Mak menyambung "Cinta di dalam jalan Allah.. Bertemu kerana sama-sama mencari redha Allah.." Mak menyambung lagi, "begini, setiap insan yang bergelar manusia telah Allah ciptakan berpasang-pasangan. Rasa ingin dikasihi antara seorang suami dan isteri suatu fitrah. Automatik boleh ada daya tarikan magnet tu.." Wajah saya merah, sedikit cemas jika mak dapat mengesan gelora jiwa muda ini.. Mak menyambung "Setiap manusia telah Allah tetapkan rezeki, jodoh dan maut sejak azali lagi.. Persoalannya ialah.. Siapakah jodohnya itu?" mak berhenti seketika.Saya tunduk malu, cuba menyorokkan rasa panas di pipi. Emak buat-buat tidak nampak.

"Kakak, mak dulu masa remaja ada secret admire… Rajin betul dia hantar surat.. Masa tu mak dah tahu yang bercinta sebelum kahwin ni tak halal.. Dan masa tu mak tekad tak mahu layan sebab mak takut arwah tokwan kena seksa dalam kubur.. Mak sedar mak anak yatim, anak orang miskin, adik beradik ramai.. Mak nak belajar sungguh-sungguh. .lama budak tu tunggu mak..Akhirnya mak bagi kata putus, mak hanya akan membalas cinta dia jika dia sah suami mak.. Dan dia memang bukan jodoh mak, maka tak pernah dia menerima balasan cinta tu." Mak merenung jauh. Saya merapatkan badan kepada emak, semakin berminat dengan kisah lama mak..

"Mak memang tak ada perasaan langsung pada dia ke?" saya menyoal sambil memandang tajam wajah mak. Emak ketawa kecil. "Walaupun mungkin ada, mak tak pernah bagi peluang pada diri mak untuk mengisytiharkan perasaan tu… Mak takut pada Allah. Mak bukan seperti rakan sebaya mak yang lain.. "Mak, seperti kakak.." mak memandang saya sambil memegang pipi dan dagu saya.kemudian tangannya mengusap rambut di kepala saya.
"Mak anak ustaz ustazah.. Tapi zaman tu ustaz ustazah nya masih berkebaya pendek dan ketat. Tok wan mak kiyai. Mungkin berkat doa keturunan sebelum ni yang soleh-soleh, hati mak tertarik sangat pada agama walaupun tiada sesiapa yang mendorong.. Bila di sekolah, mak pelajar pertama yang bertudung.. Mak membawa imej agama. Kawan-kawan dan cikgu-cikgu panggil mak dengan gelaran mak Aji.. Sebab zaman tu hujung 70an dan awal 80an tak ramai lagi yang bertudung betul menutup auratnya.. Zaman tudung nipis dan nampak jambul. Kemudian kawan-kawan mak sikit-sikit ikut bertudung. Akhirnya kami semua dipanggil di perhimpunan. Kami dimarah guru besar kerana bertudung sedangkan ustazah kami bertudung tapi nampak jambulnya.."emak melemparkan pandangan ke lantai. "Selepas tu ustazah jumpa kami secara persendirian. Ustazah kata dia tak mampu nak pakai seperti kami. Dia suruh kami teruskan.." sambung emak. Ada getar di hujung suara emak. Kisah silam perjuangan emak di sekolah dahulu sikit-sikit emak ceritakan pada saya. Itulah juga salah satu inspirasi kepada saya untuk bangkit semula setiap kali terjatuh ketika berjuang di sekolah dulu.

"Mungkin kerana personaliti mak, mak menjadi tempat rujukan kawan-kawan mak.. Jadi, bila mak nak ambil sesuatu tindakan, mak kena fikir betul-betul sama da tindakan mak tu akan menyebabkan Allah marah atau tidak. Mak ayah berdosa tak? Dan maruah pembawa agama terjejas tak? Kalau mak membalas cinta si lelaki tadi, bermakna mak sedang menconteng arang di muka-muka pembawa-pembawa agama. Orang akan pandang serong terhadap orang yang bertudung sedangkan kesilapan tu hanya seorang dua yang buat. Besar fitnah akan timbul apabila orang-orang agama mengambil ringan batas syariat duhai anak.." mak menelan air liurnya. Saya diam. Fikiran saya sedang cuba memahami maksud mak saya.

Adakah ia suatu diskriminasi?

"Kakak.. Jatuh cinta perkara biasa. Apabila kita jatuh cinta pada seseorang, itu tandanya ada sesuatu keistimewaan pada seseorang tu.Apatah lagi orang yang kita jatuh cinta tu di atas jalan dakwah ni.. Tetapi kita kena ingat.. Kita tak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai.. Bercouple mungkin.. Tetapi bukan berkahwin... Kerana kita berkahwin dengan jodoh kita, jodoh yang Allah dah tetapkan sejak azali.. Dan tak mustahil orang yang kita paling benci itulah jodoh kita yang kita akan dikahwinkan dengannya.." Tiba-tiba air mata saya mengalir. Argh! Ego saya kalah bila mendengar hujah emak. Emak meneruskan,
"Allah itu Maha Adil.. Dia tak pernah menzalimi hambaNya.. Sesungguh nya, yang selalu menzalimi hambaNya ialah diri hamba tu sendiri.. Sebabnya hamba tu degil. Dia mahukan yang bukan haknya, yang bukan milik dia. Mencintai seseorang tidak semestinya memilikinya. Dalam Islam, kita dah diajar untuk saling mencintai antara satu sama lain seperti diri sendiri.. Jadi apabila kita mencintai saudara perempuan, kita bebas peluk dia. Tetapi bila dengan lelaki, kita ada batas-batasnya. Orang kafir kata batas-batas ini suatu diskriminasi, tetapi sebenarnya batas-batas syariat, itulah yang memelihara kehormatan seorang lelaki dan seorang perempuan. Cuba kakak renungkan, kita mengenali seorang insan yang amat baik, sempurna agamanya dan rajin. Lalu kita jatuh hati padanya. Ditakdirkan jodohnya dengan insan lain, kita pula dengan yang lain.. Tetapi itu tidak bermakna ukhwah antara kita dan dia terputus.. Kita dan dia sama-sama mencari redha Allah.. Kita dan dia masih boleh sama-sama bekerjasama untuk mencari redha Allah..

Perbezaannya, dia halal untuk isterinya sedangkan untuk kita, dia tetap lelaki ajnabi seperti yang awalnya." emak berhenti seketika.. Bukan luar biasa... Tentu kering tekak emak menerangkan kepada saya persoalan hati ini. "Kakak.. jadi di sini mak nak kakak faham, jatuh cinta bukan perkara luar biasa.. Dan berkahwin pun bukan suatu jaminan untuk tak jatuh cinta pada lelaki lain.. Kerana itulah ramai isteri yang curang, suami yang curang. Ada orang tukar pasangan macam tukar baju. Apa yang penting ialah kita kena perjelaskan pada diri kita supaya setiap kali kita jatuh cinta, jatuh cinta itu kerana kita jatuh cinta kepada Pencipta dia. Kita bagi tau pada diri kita berulang kali yang kita mencintai Allah, kerana itu kita mencintai si dia.

Letakkan Allah sebagai sempadan hati kita, segala perkara yang kita cintai dan sayangi termasuk mak abah adalah kerana mencintai Allah.. Dan apabila kita membenci seseorang atau sesuatu, beri tahu pada diri sendiri berulangkali yang kita benci sekian-sekian hal kerana Allah semata-mata.." "Kakak.. Hati kita ni walaupun dalam dada kita sendiri, ia tetap bukan milik kita. Kita tak mampu untuk mengawalnya. . Hanya Allah yang boleh memegangnya. Sebab tu kita kena dekatkan diri dengan Allah.. Sebab kita nak dia pegang kukuh- kukuh hati kita. Bila dia pelihara dan masuk dalam hati kita, itulah nikmat lazatnnya bercinta. Masa tu biarpun satu dunia menyakiti kita, kita tak rasa sakit sebab kita asyik dengan nikmat bercinta dengan Allah.. Bercinta dengan Allah sangat berbeza dari bercinta dengan manusia. Kerana tentulah pegalaman bercinta dengan lelaki kaya,rupawan, sempurna dan bijaksana tak sama rasanya bercinta dengan lelaki miskin, hodoh,cacat dan dungu.. Betapa nikmatnya cinta Allah, hanya mereka yang pernah merasai sahaja yang mampu mengerti. " Redha
"Kakak.. Walau siapapun jodoh yang Allah hantarkan untuk kakak, terimalah dengan hati yang redha.. Tak mustahil dia adalah orang yang kita benci. Kalau yang kakak sayang, tak jadi hal lah.. Tapi kalau dapat yang kakak tak nak, lantaran kelemahan yang ada pada dia, ingatlah bahawa dalam diri setiap insan telah Allah ciptakan dengan kelebihan masing -masing. Dan mungkin kakak ada kekuatan yang dapat mengubah si lelaki tadi supaya hidup dia bermakna dan mungkin kakak sahaja yang mampu mencungkil kelebihan yang ada pada dia.. Mungkin juga si lelaki ini ada sesuatu kelebihan yang kakak sangat-sangat perlukan yang satu dunia tak mampu bagi pada kakak..


Alangkah bertuahnya kakak kalau kakak mengerti setiap pemberian Allah dan belajar untuk bersyukur.. " Sekali lagi berjuraian air mata saya turun. Terasa lemah lutut hendak berdiri. Emak menarik tubuh saya dan memeluk erat. Pelukan emak sangat-sangat kuat. "Emak dah didik anak emak dari belum lahir untuk mencintai Allah.. Sekarang emak serahkan anak emak yang mak sayang sangat ni pada Allah untuk Dia pelihara.." Emak mengakhiri kata-katanya dengan suara sebak dan air mata yang mengalir ke bahu saya...