DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Friday, February 13, 2015

Membalas Kesukaran Dengan Kebaikan

Kita tidak pernah tahu amalan kebaikan mana yang kita lakukan sehari-hari yang akan diterima oleh Allah SWT, jadi istiqamahlah dalam beramal. Mungkin dalam kehidupan seharian kita, kita selalu berurusan dengan orang yang sentiasa menyakitkan hati dan suka melihat kita susah. Walaupun kita telah cuba sedaya-upaya untuk melayan mereka dengan baik, tetapi mereka membalas pula dengan cara sebaliknya, yang boleh dianggap sebagai kurang ajar dan tidak beradap.
Dalam percakapan dan semua cara komunikasi kita dengan mereka, kita telah secara nyata serta jelas, cuba untuk menyelesaikan sesuatu masalah secara baik dan secara aman. Tetapi keadaan sebaliknya, reaksi yang diterima semakin bercelaru dan tidak munasabah. Kebaikan yang dihulurkan tidak berkesan. Jika ada yang terkorban, orang itu adalah kita. Pernahkah anda mengalami situasi seperti ini? Kebaikan yang tidak dihargai malah dibalas dengan menyakitkan hati

Bukan senang bagi kita untuk menerima keadaan seperti ini. Seolah-olah kebaikan yang kita hulurkan tidak dihargai dan tiada nilainya. Malah dipermain-mainkan dengan tujuan untuk menjatuhkan maruah kita atau menyakitkan hati kita. Pernahkah kita terpaksa berpura-pura untuk kelihatan baik pada luaran terhadap seseorang, tapi dalam masa yang sama kita mencaci sumpah seranah terhadapnya?

Walaupun kita tersenyum, membuat gerak badan yang mesra dan bercakap dengan penuh sopan, tapi dalam masa yang sama dalam hati kita sebenarnya “ membunuh” mereka dengan kemarahan dan bersangka buruk apabila terasa sakit hati. Kita tidak sedar sebenarnya kita yang egois! Sebenarnya itu kita tidak cukup baik lagi, belum cukup ikhlas. Kita ego.

Tetapi mengapa pula kita yang ego, sedangkan merekalah yang jelas-jelas lebih ego dari kita? Sebenarnya kita ego sebab kita mahukan sesuatu. Kita mahukan sesuatu situasi itu diselesaikan mengikut cara kita. Selalu kita merasakan orang lain salah dan kita adalah betul. Kita merasakan apabila kita sudah memberi dengan kebaikan, kita juga harus dibalas dan dilayan dengan kebaikan. Sedih bila hidup dikalangan orang menyakitkan hati.
Sebenarnya kita silap, ita tidak sedar bahawa secara umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apatah lagi kepada kita sesama makhluk yang terbatas. Oleh itu sebarkanlah kebaikan kita yang seikhlasnya, tanpa perlu kita terpaksa berpura-pura baik dengan orang yang kita tidak suka. Memang bukan tugas kita untuk menjaga hati setiap orang, tetapi kita sendiri harus sentiasa berbuat baik dengan sesiapa pun, seikhlas hati. Percayalah, bermula daripada ini, kita akan merasakan lebih banyak kebaikan yang akan datang kepada kita apabila kita menetapkan niat untuk  menyebarkan kebaikan kita secara ikhlas.

Metafora atau analoginya begini:
Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita. Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah.

Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita? Tidak. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya. Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita? Pasti ada! Insya-Allah. Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allah lah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita. Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi

Walaupun mungkin ia tidak datang daripada orang yang ego kita mahukan, tetapi pasti banyak lagi kebaikan daripada orang atau perkara lain, yang akan dihantarkan oleh Allah kepada kita. Mungkin dari segi jodoh yang baik – isteri yang taat dan suami yang setia, anak yang baik pintar dan soleh, kelebihan dari segi harta, dan kebaikan-kebaikan lain yang melapangkan serta membahagiakan hati kita. Inilah kekayaan yang lebih utama bagi seorang manusia daripada perkara lain seperti pangkat dan jawatan.

Jadi, ingin menjadi orang yang baik serta ikhlas perlu rela terus ditindas? Tidak. Kita bukan mahu ditindas, tetapi memilih jalan untuk bersabar. Tapi bak kata Al-Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid, ‘Teori memang mudah , praktikal nya?, kita sendiri yang sedang hadapi situasi tu yang tau’. Sabar itu indah. Beautiful. No suffer afflicts us beyond our capability.

Allah maha melihat, oleh itu anggap sahaja setiap perkara yang kita buat untuk menjaga hubungan sesama manusia itu sebagai satu ibadah untuk mencapai keredhaan Allah. Yakinlah, what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah. perasaan menyakitkan hati memang memenatkan. 

Cuba selami kembali bagaimana tindakan Rasulullah apabila disakiti penduduk Thaif. Cuma buat masa sekarang ini, kita hanya perlu bersabar, dan melatih hati kita untuk bagaimana untuk benar-benar ikhlas. Ikhlas dan sabar itu adalah kunci kekuatan hati. Memang bukan senang untuk melakukannya, tetapi kita mampu melakukannya. Kerana mereka yang mempunyai kekuatan hatilah sentiasa dapat menundukkan rasa ego yang terbit dalam diri. Hanya apabila kita yakin dengan balasan-balasan yang Allah janjikan, insyaaAllah kita kita akan bahagia dunia akhirat.

“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka…” – Surah Ali-Imran ayat 159. InsyaaAllah, satu hari keikhlasan kita menyebarkan kebaikan akan diperlihatkan juga oleh Allah, cuma kita jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya. Kelapangan hati, ketenangan jiwa, kesegaran roh, akan hadir kepada kita insyaAllah. Pasti.


Jadikan ini sebagai ladang peningkatan diri kita. Kita tidak akan pernah rugi dengan perilaku orang kepada kita. Jadikan penghinaan orang lain kepada kita sebagai kesempatan untuk menyucikan jiwa, dengan memaafkan orang yang menyakiti dan membalasnya dengan kebaikan. Belajarlah melupakan setiap kesalahan orang terhadap kita. Dengan sikap seperti ini hidup kita akan lebih ringan. Kerana semakin kita ingin dihargai, dipuji, dan dihormati, maka akan sering kita sakit hati. Walaupun kebaikan dan kasih sayang tidak selalu dibalas dengan kebaikan dan kasih sayang, jangan pernah bosan berbuat kebaikan dan menabur kasih sesama insan, Kerana satu saat nanti kita akan merasakan kepuasan dalam hidup kita. Bunuh kesakitan yang diberikan dengan kebaikan. Masyaallah.. Tabarakallah

Monday, February 9, 2015

Mendapat Maghfirah Dari Ujian Allah

Kita sering mahukan hari yang cerah, tetapi Allah lebih mengetahui, hakikatnya hujan perlu diturunkan. Kita ingin seringkan keseronokan, jauh sekali akan kesusahan tetapi Allah lebih mengetahui kesusahan itulah yang mengajar erti kehidupan. Kita sering menginginkan ketenangan, hakikatnya diri kita penuh dengan dosa dan kejahatan. Kita sering mempersoalkan, Ya Allah, kenapa semua ini terjadi pada kita sedangkan hati kita tidak menginginkannya? Kenapa berat sangat ujian ini? Dan bagaimana untuk kita menghadapi semua ini? Semuanya telah Allah SWT jelaskan Al-Quran di atas setiap perkara yang kita persoalkan. Maha Suci Allah dari menzalimi hamba-hambaNya bahkan manusia itulah yang banyak menzalimi dirinya dengan melakukan dosa-dosa.
Firman Allah SWT mengingatkan kita, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah ayat 216), “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan Kesanggupannya.” (Surah Al-Baqarah ayat 286), “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk” (Surah Al-Baqarah ayat 45).

Ujian adalah guru yang tidak bercakap, tetapi ia sangat mengajar dan mendidik. Ujian terkecil apalagi terbesar adalah takdir Allah. Yang mempunyai maksud tertentu. Kerana jahilnya kita, apabila ditimpa ujian samada secara langsung dari Allah atau melalui orang lain, kita mula melatah. Terasa Allah tidak adil, sengaja hendak menyusahkan kita. Atau kita menyalahkan orang yang mendatangkan ujian tersebut. Hati berdendam dan mudah buruk sangka. Yang dahsyatnya ialah bila hati jadi buruk sangka pada Allah yang mendatangkan ujian itu. Allah Maha Pengasih, jauh sekali Allah takdirkan ujian hanya untuk menyusahkan hamba-Nya.

Marilah kita sama-sama cungkil hikmah di sebalik ujian yang ditimpakan. Ujian sebenarnya melatih kita untuk mendapatkan sifat-sifat yang terpuji. Sabar, redha, tawakkal, baik sangka, mengakui diri sebagai hamba yang lemah, mendekatkan diri dengan Allah, harapkan pertolongan Allah, merasai dunia hanya nikmat sementara dan sebagainya. Berasa diri berdosa adalah juga sifat terpuji. Sebab itu bagi orang yang sudah banyak melakukan dosa atau lalai daripada mengingati Allah, maka Allah datangkan ujian kesusahan kepadanya. Supaya hamba-Nya tadi tidak tenggelam dalam dosa dan noda. Kadangkala Allah dedahkan dosa yang dilakukan hingga ramai orang tahu. Bukan untuk menghinakan kita tetapi untuk memberi ingatan supaya kita bertaubat. Dan tidak meneruskan perbuatan dosa itu sehingga bila-bila.

Ujian juga bermaksud qisas (pembalasan) ke atas dosa-dosa kita. Setiap perbuatan dosa mesti dihukum, samada di dunia atau di akhirat (kecuali kita telah bertaubat sungguh-sungguh sehingga Allah mengampunkan dosa itu). Bagi orang yang Allah kasih, di dunia lagi Allah sudah berikan hukuman, tidak di akhirat. Yakni dengan didatangkan kesusahan, penderitaan, kesakitan, kemiskinan, kehilangan pengaruh dan sebagainya. Sekiranya kita boleh bersabar dan redha, maka itulah ganjaran pahala untuk kita. Sebaliknya kalau kita tidak boleh bersabar dan tidak redha, malah merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, hanya akan menambahkan lagi dosa kita. Begitulah Allah Yang Maha Pengasih kepada hamba-hambanya, tidak mahu hukum kita di akhirat, kerana penderitaan di Neraka berpuluh-puluh kali ganda lebih dahsyat daripada penderitaan di dunia. Sekiranya kita telah dihukum di dunia lagi, kita patut bersyukur kerana apabila kembali ke akhirat, kita telah bersih daripada dosa.
Adakalanya, kita ditimpakan kesempitan hidup. Sengaja Allah takdirkan demikian kerana Allah sayang pada kita. Allah hendak melatih kita menjadi orang yang bersabar dan redha dengan takdir-Nya. Mungkin kita akan sombong dan bakhil kalau dikurniakan harta melimpah ruah, maka Allah didik kita dengan kemiskinan. Apabila kita diuji dengan kesakitan, Allah mahu memberitahu kita bahawa bagitulah susah dan menderitanya orang yang sedang sakit. Semoga kita menjadi orang yang bertimbang rasa; menziarahi dan membantu mereka yang menderita sakit. Orang yang sedang sakit, hatinya mudah terusik. Sesiapa saja yang datang dan memberi nasihat, InsyaAllah mudah diterimanya.

Bagaimana pula kalau kita diuji dengan kematian orang yang paling kita sayangi. Ujian ini sangaja didatangkan agar terasal diri kita ini lemah, tiada kuasa untuk menolak ketentuan Allah. Akan tertanamlah rasa kehambaan di dalam hati, sekaligus membuang rasa bangga diri. Begitulah, sebenarnya Allah mahu kita sentiasa beringat-ingat. Agar dengan ujian itu, kita sebagai hamba akan datang untuk mengadu, mengharap, merintih belas ihsan, dan sentiasa merasakan hanya Allah tempat meminta segala-galanya.

Ujian juga adalah untuk menilai sejauh mana keyakinan kita kepada Allah. Semakin diuji sepatutnya semakin bertambah iman kita, dan semakin hampir kita dengan Allah. Firman Allah dalam surah Al Imran; 142: “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata orang-orang yang bersabar.”. Firman Allah dalam Surah Az Zumar;10: “Sesungguhnya diberi ganjaran orang sabar dengan pahala tanpa hisab.”

Allah takdirkan ujian demi ujian untuk memberi peluang kepada kita mendapatkan pahala sabar. Barangsiapa yang sabar dan redha tanpa mengeluh, merungut atau marah-marah pada Allah, insyaAllah ganjarannya di syurga. Oleh itu, apa salahnya Allah uji kita kerana hendak menyelamatkan kita di akhirat kelak! Berbeza pula halnya dengan ujian yang ditimpakan ke atas para Rasul, para nabi, wali-wali dan kekasih-kekasih Allah. Ujian ke atas mereka bermaksud untuk meninggikan darjat dan kedudukan mereka di sisi Allah. Sebab itu ujian yang mereka hadapi berat-berat belaka.
Tatkala Rasulullah berdakwah ke Taif, masyarakat Taif bukan sahaja tidak menerima dakwah baginda, malah mencaci, menghina dan melempari baginda dengan batu dan najis. Para malaikat menawarkan diri untuk menghapuskan orang-orang yang berlaku durjana kepada baginda. Tetapi dengan tenang, baginda menjawab: “Biarkan mereka, jangan diapa-apakan mereka kerana mereka tidak tahu, mereka masih jahil.”

Demikianlah, orang-orang yang tinggi taqwa dan keimananya; tidak mengeluh apabila diuji. Berbeza dengan golongan orang awam seperti kita ni, apabila diuji kita mudah jahat sangka dengan Allah dan berdendam dengan orang yang mendatangkan ujian kepada kita. Walhal bukan orang itu yang hendak menyusahkan kita, tetapi hakikatnya Allah. Allah yang hendak uji kita, menggunakan orang itu sebagai perantaraan. Jadi, tanyalah Allah kenapa kita diuji….
Marilah kita lihat bandingannya. Katalah suatu ketika guru besar mengarahkan ketua murid merotan seorang murid yang melanggar disiplin sekolah. Apa reaksi murid yang dirotan itu? Kalau dia seorang yang insaf dan tahu diri, ia segera terfikir akan kesalahan yang dilakukannya, mungkin dia berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Itulah murid yang cerdik, dia sedar hikmah di sebalik dia dirotan. Tetapi bagi murid yang tidak mahu berfikir, sudahlah tidak mahu mengaku kesalahannya, dia berdendam pula kepada ketua murid atau guru besar yang merotannya. Mengapa harus berdendam? Ketua murid hanya menjalankan tugas. Guru besar pula menjalankan keadilan; yang bersalah tidak dihukum, tidak ada jaminan yang dia tidak mengulangi kesalahannya. Kalau begitu, murid yang bersalah itu layaklah dirotan.

Begitulah halnya dengan Allah yang Maha Pengasih. Berbagai-bagai cara Allah gunakan untuk mendidik kita. Diberikan-Nya ujian demi ujian sebagai peringatan kepada kita. Tetapi sedikit sekali yang mencari hikmah dan mengambil iktibar daripada ujian yang ditimpakan. Malahan ujian membuatkan kita bertambah jauh dari Allah; mengeluh dan menyesali takdir Allah. Marilah kita menyedari akan kesilapan kita selama ini. Terimalah sagala ujian yang besar mahupun yang kecil sebagai satu didikan terus dari Allah.


Dan ingatlah, andaikata kita diuji, kita masih wajib bersyukur kerana masih ada 1001 jenis nikmat lain yang Allah kurniakan kepada kita! Jadi mengapa mesti merungut ketika diuji? Semuga artikel ini dapat menjelaskan dan membentuk jiwa yang bertaqwa kerana inilah jalan keluar bagi setiap kemelut masalah yang dihadapi  manusia …..mampukah kita? “Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.” ( At-Talaq: 2 )

Tuesday, February 3, 2015

Berbahagialah Ketika Diuji Oleh Ujian Yang DiberiNya

Bismillahirrahmanirrahim,
“…Dan sesungguhnya kepada Tuhanmulah kesudahannya segala sesuatu, Dan sesungguhnya Dialah yang menjadikan orang tertawa dan menangis. Dan sesungguhnya Dialah yang mematikan dan menghidupkan…”- (An-Najm: 42-44)
Wahai insan istimewa pilihan Allah yakni insan yang sedang diuji, Pujuklah hati kita andai dugaan yang mendatang itu seakan menghimpit kita. Bukan Allah tidak peduli. Bukan Allah hendak menyeksa kita. Bukan Allah sudah tidak melihat usaha dan doa-doa kita, bukan Dia tidak kisah air mata kita. Dia cuma hendak kita tahu bahawa Dia menyayangi kita. Sangat menyayangi kita.

Masakan tidak, dari berbillion manusia di muka bumi ini, kitalah pilihannya. Dia memilih kita kerana Dia ingin kita kembali padaNya. Mungkin selama ini, kita lalai dari mengingatiNya dengan sebenar-benarnya, mungkin selama ini kita kurang bersyukur dengan apa yang telah Dia berikan pada kita. Limpahan nikmat yang kita perolehi jarang sekali kita syukuri. Bahkan kita tambahi dengan keluhan. Maka, muhasabahlah.

Wahai calon penghuni syurga,
“Mahasuci Allah yang menguasai segala kerajaan, Dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Mahaperkasa, Maha Pengampun.”- (Al-Mulk: 1-2)

Pujuklah hati kita andai dugaan yang datang itu seakan bertubi-tubi bagi kita. Bukan Allah tidak tahu, betapa dengan ujian dariNya ini, membuat kita terduduk, membuat kita menangis dan membuat kita lebih banyak ingat Dia. Allah tahu itu dan ketahuilah Allah sentiasa memerhati kita dengan pandangan kasih sayang. Dia sentiasa ingin yang terbaik untuk kehidupan kita. 
Dan perancanganNya sungguh berseni dan sungguh sempurna. Dia tahu kita merancang itu dan ini, Dia tahu kita mahu itu dan ini, namun yang terjadi adalah sebaliknya. Kita perlu ingat dan pasakkan dalam jiwa, Dialah sebaik-baik perancang.

Wahai sekalian sahabatku yang sedang memperbaiki diri dan memperbaiki iman,
Hidup ini dilingkari seluruhnya dengan limpahan kasih sayang Allah. Dia beri kita nikmat sepasang mata, kerana kita pilihanNya untuk ada nikmat itu. Pernahkah kita terfikir andai selepas ini Dia mengambil nikmat itu? Dia beri kita nikmat sepasang kaki, kerana kita pilihanNya untuk merasa nikmat itu. Pernahkah kita terfikir andai kaki kita patah dan kita disahkan tidak boleh berjalan lagi? Dia beri kita nikmat sihat, kerana kita pilihanNya untuk merasa nikmat itu. Pernahkah kita terfikir betapa banyak manusia yang sakit dihospital amat menginginkan untuk kembali sihat?

Bahkan, Dia juga beri kita nikmat ada duit, kerja, makanan, rumah, pakaian, nikmat belajar dan bermacam-macam lagi. Tapi sayangnya, kita selalu lupa untuk mengamalkan sifat Qanaah yakni merasa cukup dengan pemberianNya. Maka, refleksilah diri kita selalu andai kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi dikemudian hari iaitu diakhirat sana.

Yakinlah orang yang percaya akan janji-janji Allah, Dia akan kirimkan khabar gembira tidak lama lagi kepada kita dari jalan yang kita tidak sangka-sangka, cepat atau lambat bukan soalnya, yang pasti Allah tidak akan memungkiri janji. Allah tidak akan mensia-siakan orang yang melakukan kebaikan termasuk usaha kita untuk bersabar dan redha dengan setiap dugaan dariNya. Jika bukan didunia, mungkin ganjaran kita disyurga sana. Percayalah dengan hebat bahawa Allah sesekali tidak akan mengecewakan kita kerana Dia Maha Adil dan Dia Maha Memberi.
Tidak dapat dinafikan ada ketika kita bertarung dengan perasaan sendiri, rasanya sakit sangat. Apatah lagi pada masa itu orang sekeliling kita seakan tidak memahami kita. Tidak mengapa duhai hati, sabarlah dan solatlah. Allah sendiri berpesan dalam Al-Quran: “Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar.”- (Al-Baqarah: 153) Tidakkah ayat dariNya itu menggugah jiwa kita? Belum cukup tergerakkah diri kitauntuk mencuba tips yang Allah ajari?

Lihatlah kehidupan ini dengan teliti, pandanglah sesuatu yang terjadi itu dengan positif dan professional serta cubalah belajar dari setiap yang kita perhati. Mungkin dari situ kita dapat ingat Dia. Ingin saya membawa diri saya dan pembaca semua satu analogi. Mudah-mudahan dengan izinNya ada sedikit kefahaman kita mengenai ujian dalam kehidupan ini.

Kita bayangkan sebuah rumah. Dalam pembuatan rumah sahaja mengambil masa untuk siap. Perlu ada duit (peruntukan kewangan) untuk membeli bahan-bahan seperti simen, paku, pasir, dan sebagainya. Prosesnya juga banyak dan pelbagai, susun batu bata, mengecat, pasang mozek, dan sebagainya. Kadangkala tukang buat rumah itu berhenti seketika, mungkin sebab panas, penat dan ingin berehat sebentar. Dan mungkin ada ketika tukang itu tidak dapat bekerja kerana hari itu hujan lebat, dia minta cuti, dia sakit dan bermacam-macam lagi. Lihat. Untuk membuat rumah saja, mengambil masa dan ada proses-prosesnya yang harus dilalui. Tersalah sedikit, akan memberi kesanlah kepada rumah kita, kan.

Begitu juga kita dalam kehidupan ini. Mungkin ujian yang hadir ini ialah sebagai ‘turning point’ kita agar kembali kepadaNya. Allah beri tempoh yang tertentu untuk kita lalui ujian ini. Pelbagai cara yang kita usahakan dalam melalui ujian itu dan bermacam-macam jenis orang yang kita jumpa. Mungkin ada masa kita terduduk seketika, mencari ketenangan dariNya, mungkin ada masa kita mengumpul segala kekuatan untuk kembali bangkit dari rasa keputus asaan kita.

Ada masa kita mampu bertahan, namun ada masa kita rebah, tidak tertahan dan airmata kita pun tumpah membasahi pipi. Kita menangis semahunya, kita berdialog semahunya. Dan Dia adalah saksi segala saksi atas segala yang kita lakukan termasuk yang terlintas dihati kita semasa mendepani ujiannya ini. Dan sampai satu saat, semuanya berakhir, ujian ini Allah izinkan berlalu pergi. DAN ADA UJIAN YANG LAIN MENANTI PULA.

Amat beruntunglah seseorang itu yang bilamana Allah hadirkan dugaan dalam hidupnya samaada dalam bentuk kesenangan mahupun kesusuhan, dia semakin dekat dengan pencipta, dia semakin ingat Dia dan sekaligus berazam untuk kembali kepadaNya. Amat rugilah seseorang itu yang bilamana Allah hadirkan ujian kepadanya, dia masih ditakuk yang sama. Mengeluh tak berkesudahan. Menyalahkan itu dan ini.
Wahai yang hidup dan akhirnya akan mati,
Ujian berbentuk kesenangan atau kesusahan itu adalah sunatullah dalam kehidupan. Allah menguji setiap hambanya dengan cara yang berbeza, mengikut kadar kemampuan seseorang itu, dan pada masa yang tepat. Mahu ataupun tidak mahu, kita kena menerima dan menghadapi dugaan yang medatang. Siapa kita untuk mempersoalkan kenapa kita diuji andai selama ini kita selalu memungkiri perintahNya yang diperintahkan kepada kita?

Amat baiknya Allah, dengan ujian yang hadir itu membuat kita lebih matang dan kuat untuk mendepani hari-hari yang mendatang. Maha Pengasih dan Maha Penyayang Allah, Dia uji kita bersebab. Mungkin dengan ujian yang hadir itu, Allah nak angkat darjat kita, Allah nak hapus dosa-dosa kita, dan Allah nak beri pahala pada kita. Maka, senyum dan berbahagialah menjadi insan pilihan yang diujiNya.

Wahai diri yang lemah yang mendambakan kebahagiaan didunia dan di akhirat,
Andai dugaan itu menjenguk kita, tidak dapat tidak, kita kena rapat dengan Allah. Kekuatan itu milikNya, maka mohon kekuatan dariNya, mengadu segalanya dengan Dia. Usahakan untuk perbaiki iman. Solat jangan tinggal dan usahakan solat diawal waktu, lazimi juga diri dengan istighfar dan selawat, dan cuba buat ibadah yang kita tak pernah buat/ tak biasa buat seperti solat tahajud, qiamulail, solat dhuha, dan sebagainya.

Dari situ, insya-Allah kita akan terdidik sedikit demi sedikit untuk kuat, sabar dan redha dengan apapun yang terjadi dalam kehidupan kita. Dari situ kita akan rasa, betapa nikmatnya bergantung harap sepenuhnya pada Allah. Bersabarlah dalam ketaatan untuk beribadah kepadaNya. Moga kesudahan kita semua adalah kesudahan yang baik. Saya rasa ada benarnya ayat ini: “Bukan beratnya ujian yang membuat kita lemah, tapi ringannya hubungan kita dengan Allah yang menyebabkan kita seakan tidak dapat menanggungnya.”
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma'aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." (QS 2.Al Baqarah:286) - (Afdholul Rahman)