DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Saturday, June 30, 2012

Miskin Harta Kaya Jiwa


Satu cerita...
 Suatu hari, seorang bapa dari sebuah keluarga yang kaya-raya membawa anak lelakinya ke dalam sebuah kampung dengan tujuan menunjukkan kepada anaknya itu kehidupan orang-orang miskin. Mereka bermalam selama beberapa hari di sebuah ladang yang didiami oleh golongan yang sangat miskin.

Di dalam perjalanan pulang, si ayah bertanya kepada anaknya, "Macam mana percutian kita kali ini?"

Si anak menjawab, "Menarik dan hebat, ayah."

"Kamu sudah melihat sendiri bagaimana susahnya kehidupan mereka yang tidak berharta?"

"Ya," jawab si anak.

Bertanya lagi si ayah, "Jadi, apa yang kamu dapat kali ini?"

Lalu si anak tadi memberikan jawapan yang agak panjang,

"Kita ada dua ekor anjing dan mereka ada empat. Kita ada kolam yang terletak di tengah-tengah taman tetapi mereka mempunyai sungai yang tidak berpenghujung. Kita ada lampu yang diimport di taman kita tetapi mereka ada bintang-bintang di langit pada waktu malam. Keluasan tanah kita sehingga ke halaman hadapan tetapi mereka mempunyai keluasan sehingga ke kali langit,"

"Kita tinggal cuma di atas tanah yang kecil sedangkan mereka mempunyai padang yang sangat luas saujana mata memandang. Kita ada pembantu untuk membantu kita tetapi mereka memberi pertolongan, bukan meminta. Kita membeli makanan kita tetapi mereka menanam sendiri makanan mereka. Kita ada dinding sahaja untuk melindungi kita sedangkan mereka mempunyai sahabat handai yang melindungi mereka,"

Si ayah terdiam mendengar jawapan anaknya. Si anak tersebut kemudiannya berkata, "Terima kasih, ayah, kerana menunjukkan kepada saya betapa miskinnya kita."
 Miskin harta kaya jiwa

Sesungguhnya harta kekayaan yang bertimbun bukanlah ukuran untuk meletakkan seseorang itu orang kaya, meskipun orang ramai menggelarnya jutawan. Berapa banyak manusia yang memiliki harta yang banyak tetapi sebenarnya dia hidup dalam kefakiran. Orang yang banyak harta ada kalanya belum memberikan kepuasan kepada jiwanya, siang hari dihambat kesibukan mencari harta, manakala malamnya pula sukar melelapkan mata kerana keluh menjaga harta.

Jika orang kaya tidak tenteram jiwanya, orang miskin apatah lagi. Orang kaya resah bimbangkan hartanya dicuri orang, manakala orang miskin mungkin resah memikirkan untuk mencari harta buat kehidupan. Jika demikian, apa beza keduanya jika masing-masing berkeluh kesah.

Oleh itu, nilai kekayaan menurut pandangan Islam bukan diukur dengan harta yang banyak, tetapi ianya terletak pada jiwa. Sekiranya jiwa kaya, ia akan melapangkan hati dan melahirkan kebahagiaan, biarpun miskin harta.
 Namun, jika miskin jiwa sudah tentu akan menjadikannya resah dan gelisah biarpun kekayaan yang menimbun di sekeliling.

ليس الغنى عن كثرة العرض، ولكن الغنى غنى النفس
"Kekayaan bukanlah banyaknya harta, tetapi kekayaan adalah kekayaan hati." ( Riwayat Bukhari dan Muslim )

Thursday, June 28, 2012

Mencari Kekuatan Diri


Kehidupan ini umpama arus deras yang sentiasa mengalir tanpa henti. Sebagaimana jiwa kita yang kadang-kadang kuat, kadang-kadang lemah begitu jugalah kehidupan kita; kadang-kadang kita cukup kuat untuk menongkah arus kehidupan yang serba ganas atau sekurang-kurangnya mampu bertahan dengan apa yang ada namun kadang-kadang ketika jiwa kita lemah tak bermaya maka kitapun tewas lalu hanyut dibawa arus. Amat menyedihkan bila kita tewas pada keadaan yang kita mampu mengembalikan kekuatan diri tetapi kita akur oleh kerana kekuatan yang ada tidak cukup kuat.
 Apakah kelemahan dan kekuatan yang ada pada diri kita, bagaimana hendak cari kekuatan dalam diri kita dan bagaimana hendak ubah kelemahan menjadi kekuatan? Kita perlu tutup kelemahan untuk kita kekalkan kekuatan kita
Mencari kekuatan diri bagi menghadapi bisikan syaitan yang mengajak untuk menjauhkan diri dariNya.
Mencari kekuatan diri untuk sentiasa istiqamah dalam beribadah kepadaNya.
Mencari kekuatan diri bagi merubah diri ini ke arah yang lebih baik.
Mencari kekuatan diri untuk terus bersemangat meneruskan kehidupan kita sebagai pelajar di institut ini.
Mencari kekuatan diri bagi menghadapi cabaran hidup bersama kawan-kawan dan teman-teman, tanpa emak ayah di sisi memberikan panduan dan semangat.
Mencari kekuatan diri untuk berhadapan dengan hamba Allah di sekeliling kita yang punya bermacam-macam ragam.
Mencari kekuatan diri bagi menghadapi hari ini dan hari seterusnya yang pasti akan ada dugaan menanti buat diri kita.
Mencari kekuatan diri bagi menjadi Syahiirah yang dulu dan digabungkan dengan Syahiirah yang sekarang.
Mencari kekuatan diri bagi menerima semua kenyataan yang cukup menyeksa jiwa ini.
Mencari kekuatan diri bagi menyedarkan diri ini bahawa diri ini tidaklah sempurna. Ada lompang sana sini dari semua segi.
Mencari kekuatan diri bagi menundukkan pandangan.
Mencari kekuatan diri untuk tidak berputus asa dalam pelajaran.
Mencari kekuatan diri bagi menyedarkan diri ini sudah besar, sudah dewasa dan tahu untuk berfikir yang mana baik dan yang mana buruk.
Mencari kekuatan diri untuk berdikari.
Mencari kekuatan diri untuk lebih berhati-hati dalam apa saja perkara yang kita lalui

Kekuatan amatlah penting dalam kehidupan setiap individu, keluarga dan komuniti sebagai satu umat. Oleh itu mereka dituntut untuk menyediakan dan mempersiapkan segala bentuk kekuatan untuk mendepani segala cabaran. Allah SWT berfirman: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.” [ QS al-Anfal: 60 ]
 Dalam mengharungi hidup yang serba mencabar, kita memerlukan kekuatan dalam diri untuk kita tempuhi sebarang perkara yang tidak kita duga hadir dalam berbagai emosi. Kadang-kadang emosi sedih datang secara tiba-tiba apabila kita teringat kembali masa lalu yang mengguris perasaan. Terasa lebih sayu bila kita tidak dapat berkongsi kesedihan yang dirasai dengan orang lain. Orang lain di sini, sama ada kawan baik kita yang boleh kita percayai atau mungkin ibu kita atau sesiapa saja yang boleh kita bercerita masalah kita kepadanya, yang boleh kita sandarkan dibahu mereka untuk kita letak sebentar beban yang kita tanggung. Mungkin mereka berada beribu-ribu batu jauhnya daripada kita atau mungkin ada sebab lain yang menyebabkan kita tidak dapat menghubungi mereka. Apa pun apabila melalui saat-saat sukar dalam kehidupan kita seorang diri ingatlah Allah sentiasa ada si sisi kita

Inilah perjalanan kita untuk capai impian kita. Sentiasa ada halangan. Semua kejayaan memang ada harga yang hendak dibayar. Hadiah atau kejayaan yang besar, harganya pun besar. Nabi pernah berkata nak masuk Syurga bukan senang. Kena lawan nafsu lawan kehendak, lawan kemalasan untuk melakukan ibadah. Kalau nak masuk neraka tak susah mana , jadi malas dan ikut nafsu sahaja.

Jadi untuk cari kekuatan diri, ilmu penting. Bukan sekadar ilmu sekolah tetapi ilmu penghayatan. Ada orang belajar dari penghayatan. Contoh dia lihat sesuatu benda yang ada depan mata dia. Bagaimana nak mencari kekuatan diri dan keluar dari masalah yang sering kali mengecewakan. Nabi pernah bersabda, kejarlah akhirat maka seluruh isi dunia akan ikut. Kekuatan yang tiada tolok banding lagi untuk kita bangkitkan potensi diri kita ialah memahami maksud Kejayaan Akhirat pastinya mendatangkan kejayaan masa hidup. Jalan yang mesti dilalui untuk menjana kekuatan diri. ‘Bersungguh-sungguhlah terhadap perkara yang memberi manfaat kepada kamu’ memberi isyarat betapa perlunya individu mencari sumber kekuatan dirinya.

Antara sumber kekuatan yang boleh disebutkan di sini ialah:

Pertama, mengikhlaskan niat dalam segala tindak tanduk. Keikhlasan akan memberi kekuatan dan memudahkan kita melaksanakan perintah Allah SWT. dan menjauhi segala larangan~Nya.

Kedua, menafikan semua kekuatan selain dari kekuatan Allah. Inilah yang sering dilafazkan oleh seorang mukmin dengan zikirnya: La haulawala quwata illabillah

Ketiga, melengkapkan dengan ilmu terutamanya ilmu al-Qur’an, tafsir, hadis, tauhid dan sirah. Termasuk juga dalam sumber kekuatan ialah ilmu-ilmu yang membantu kita membangunkan sumber insan dan menguruskan kehidupan dunia.

Keempat, melakukan amalan soleh sama ada dalam bentuk ibadat atau memberi khidmat kepada masyarakat, atau menunaikan kewajipan terhadap Allah, diri sendiri dan juga kepada orang lain. Amalan soleh mempunyai makna yang luas merangkumi setiap perkara yang mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dan mendatangkan keredaan~Nya. walaupun berbudi kepada tanah atau belas kasihan kepada haiwan.

Kelima, tidak merasa lemah dalam menghadapi apa-apa situasi.

Keenam, mencari sumber rezeki yang halal supaya tidak bergantung dengan orang lain. Dengan mempunyai pendapatan dan pencarian hidup yang sendiri, seseorang itu dapat menghindarkan diri dari meminta-minta dan meraih simpati daripada orang lain. Semuanya itu bertentangan dengan sifat kekuatan yang dikehendaki oleh hadis ini. Mencari rezeki bererti menunaikan hak diri sendiri, ahli keluarga yang kita wajib menyediakan nafkah perbelanjaan untuk mereka. Dengan mempunyai harta kita dapat menunaikan hak-hak kehartaan seperti zakat, sedekah dan memberi pinjaman kepada orang yang memerlukan iaitu al-qardh al-hasan. Selain itu, kita dapat menyelamatkan diri kita dari harta yang tidak halal kerana itu akan menjejaskan hubungan kita dengan Allah yang maha kuat dan perkasa, tempat kembali segala kekuatan dan tidak kekuatan yang sebenarnya melainkan kekuatan~Nya.
 Satu lagi amalan yang amat baik kita lakukan, yang sering kita tinggalkan ialah bangun untuk mendirikan solat subuh kerana waktu subuh adalah waktu yang amat payah kita lakukan kecuali mereka yang punya kekuatan yang tinggi, yang mampu menyertai malaikat siang dan malaikat malam yang sedang berkumpul. Hanya orang-orang kuat yang mampu solat subuh dalam susana hening dan penuh pengharapan, agar amalnya dilapurkan para malaikat itu ke langit dalam khabar yang menggembirakan. Tentu, Allah Maha tahu apa yang terjadi pada-hamba-Nya. Di waktu subuh yang dingin itu ada perjumpaan denganpara  malaikat. Di sini kita bersama-sama dengan malaikat. Tiada hari yang lebih menyenangkan, melebihi hari di mana kita bersama-sama dengan malaikat, memohon keampunan dan memohon kekuatan dari Allah SWT.

Sumber kekuatan harian itu bermula dari sini. Waktu subuh itu satu-satunya waktu yang kita uruskan untuk bertarung menempuhi kehidupan ini bakal mengharungi keseluruhan harian. Dan setiap hari pula kita memasuki dunia baru, hidup baru, masalah baru, suasana baru, dan tentangan baru. Maka setiap hari kita perlu kekuatan baru, kesegaran baru, semangat baru untuk mengawali segala tentangan yang baru. Sumber kekuatan harian itu dimulai dari sini. Di solat subuh yang amat bening bagi menjana seleluruh kekuatan diri. Perlawanan terbesar dalam hidup dimulai dari sini. Dari perlawanan kita terhadap diri sendiri di subuh yang dingin dan menenggelamkan. Setelah itu segalanya menjadi mudah.

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha Berkuasa, kami bersyukur kehadratMu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan umat Islam khususnya Malaysia, sebagai negara yang maju dan sejahtera. Jesteru kami pohon kehadratMu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianMu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat. Wahai Tuhanku Yang Esa. Ampunilah hambamu. Berikanlah ku kekuatan. Mengharungi ujian dan cabaran dalam hidup ini. Ku pohon restu hidayah dariMu. Rahmatilah hidup ku, berikanlah kekuatan buat ku. Terimalah taubat ku, terlalu banyak dosa dan noda yang pernah terpalit dalam kamus hidupku. Aku tidak mampu menanggung dosa silam yang sentiasa menghantui diri ini. Justeru, hapuskanlah segala dosa ku, agar aku dapat menjalani kehidupan ini dengan seadanya. Sesungguhnya deruan ombak yang menghempas pantai, bergelora dipukul badai suatu tamsilan kehidupan ku ini. Tetapi ibarat himpunan buih di tepian, ia tidak akan berkekalan akan terburai jua buih itu akhirnya Begitulah kehidupan ku. Berikanlah kekuatan. Ya, kekuatan untuk mengharungi hidup ini. Aku rindu pada MU Allah.

Friday, June 22, 2012

Taubat dan Doa



Yang baik itu adalah apa yang Allah kata baik. Yang buruk itu adalah apa yang Allah kata buruk.
Bukanlah yang baik itu, yang manusia kata baik. Bukan juga yang buruk itu, yang manusia kata buruk.
Kalau di sisi Allah, perkara itu baik, tetapi tidak baik di sisi manusia, maka kita tetap utamakan nilaian Allah. Kalau di sisi Allah , perkara itu tidak baik, tetapi di sisi manusia diterima seolah-olah itu adalah satu kebaikan, maka ia tetaplah tidak baik.
Sebelum membuat pertimbangan dan keputusan dalam kehidupan, tanyalah pada diri, kalau kita ingin lakukan sesuatu perkara itu, adakah Allah suka atau benci?
Kalau Allah suka, kita jalan terus.
Tetapi kalau Allah benci, maka kita tidak perlu teruskan.
Neraca hidup kita adalah apa yang Allah redha. Bukanlah apa yang manusia redha.
“Dan keredhaan Allah itu adalah yang paling besar.” [72 : At-taubah]
Maka, pandanglah yang lebih baik itu dari sisi Allah !

Tuesday, June 19, 2012

Mengurus Hati


Kadangkala kita mengidamkan sesuatu berlaku, tetapi yang lain pula yang terjadi. Sebaliknya, ada yang kita tidak inginkan sama sekali, tetapi itu pula yang berlaku. Apabila berlaku demikian hati kita pasti terusik. Sesal, kesal, marah dan kekadang sangat kecewa. Jadi bagaimana kita harus menghadapi situasi sedemikian dengan sebaik-baiknya?
Pertama, kita perlu faham bahawa hidup ini ada peraturannya. Salah satu peraturannya ialah apa yang kita hendak tidak semuanya akan dapat dicapai. Inilah ‘rules of life” – sunahtullah. Siapa yang tidak mahu menerima hakikat ini … maka tidak layaklah dia hidup. Misalnya, kalau kita main bola, kena gunakan kaki. Tidak boleh gunakan tangan. Siapa yang hendak gunakan tangan juga, maka dia tidak layak bermain bola.

Begitulah juga dengan hidup ini. Hidup ini satu ujian. Tidak semua yang kita idamkan dapat dikecapi. Yang kaya, kadangkala tidak sihat. Yang ternama, dimusuhi orang. Yang sihat, terputus pula kasih-sayang. Inilah buktinya kita masih dan terus kekal sebagai hamba Allah. Hamba dicorakkan oleh Tuhan-nya. Justeru, kita tidak boleh memberontak, kenapa jadi begini? Kenapa gagal?

Jika itulah yang selalu bermain-main di dalam fikiran Itu petanda tidak puas hati. Suara berontak jiwa terhadap ketentuan Allah. Sedarlah bahawa kita hamba maka buatlah kerja kita sebagai. Tuhan dengan ketentuan-Nya. Jadi, apabila diuji… katalah aku ini hamba Allah. Layaklah aku diperlakukan seperti hamba… Terusik hati itu biasalah, kita lemah. Merintih juga hati di dalam. Tetapi jangan sampai marah-marah, putus asa dan kecewa.

Apa yang Allah tentukan kadangkala kelihatan negatif pada kita, tetapi lama kelamaan kelihatan positif pula… Itulah yang dikatakan tadi, apa yang kita sangka buruk kadangkala baik untuk kita. Begitu juga sebaliknya. Katalah, kita ingin berjaya, tiba-tiba gagal. Bukan tidak berusaha… Kita sudahpun berusaha, tapi gagal juga. Apa perlu dibuat lagi?

Sebaiknya kita terima kegagalan itu, kita kaji sebabnya, kemudian kita berusaha lagi. Rupanya dengan sebab itu, Allah beri kita kejayaan yang lebih besar lagi. Contohnya, dalam pernigaan. Kita ingin keuntungan besar, tetapi yang kita dapat hanya sedikit….Namun, kerana kegagalan itu kita berusaha lebih gigih… akhirnya beberapa tahun kemudian keuntungan kita meningkat. Sedangkan ada orang lain yang pada mulanya mendapat keuntungan yang besar… tetapi keuntungan tidak bertambah. Mengapa? Kerana dia mula relaks, over confident sedangkan kita terpaksa bertungkus-lumus akibat kegagalan yang pertama. ?
Bijak dan baik sungguh aturan Allah. Benarlah kata bijak pandai, kegagalan itu anak tangga kejayaan. Contoh lain, ubat. Ubat itu pahit… kalau kita tidak faham, kita luahkan semula. Pahit, tidak tertelan oleh kita. Tetapi kerana kita faham dan yakin itu ubat, maka kita telan juga walaupun pahit. Hasilnya, kita sihat. Begitulah kita dengan sesuatu yang negatif, akan bertukar jadi positif akhirnya jika kita pandai dan bijak menanganinya. Jadi, dalam hidup kita harus belajar, yang pahit jangan cepat diluahkan, yang pedih jangan segera dirungutkan… Sering ada kejayaan, kemanisan yang lebih indah menanti selepasnya.

Dalam dunia hari ini ada kelompok yang kuat berusaha tetapi longgar ingatannya kepada takdir Allah. Dan ada pula golongan yang seolah-olah kuat kepercayaannya kepada takdir Tuhan hingga melupakan usaha ikhtiar. Kita mesti bebaskan diri daripada dua ektrem itu. Ekstrim pertama, bergantung kepada takdir kurang berusaha. Ini tidak betul kerana Allah ada peraturan-Nya… yang dipanggil sunnahtullah.

Dalam sunnahtullah, sesuatu perkara itu ada sebab dan akibatnya (cause and effect). Untuk lulus kita perlu belajar. Kalau kita tidak belajar, kita tidak akan lulus… kerana sunnahtullah sudah menetapkan begitu. Jadi tidak bolehlah kita hendak berjaya hanya dengan berdoa, solat hajat dan minum air penawar sahaja. Ini tawakkal tidak berbekal namanya.
Manakala golongan kedua pula kuat berusaha tanpa bergantung kepada takdir. Dia percaya pada usaha ikthiarnya sahaja, lansung tak bergantung kepada kudrat dan iradat Allah. Ini salah. Kerana, usaha kita itu walau bagaimana hebat sekalipun tidak akan memberi kesan jika Allah tidak mengizinkan-Nya.

Justeru jika dia berjaya, ia akan jadi orang yang sombong, lupa diri kerana disangkanya kejayaan itu dari kepandainya. Manakala kalau dia gagal pula, dia akan kecewa, dia putus asa. Jadi, berjaya pun rosak. Gagal pun rosak. Jadi, buat golongan ini apapun hasil usahanya, kedua-duanya merosakkan!

Sebaik-baiknya kita berusaha sungguh-sungguh dan kemudian bertawakkal – berserah kepada Allah. Kata orang, hujung akal, baru tawakkal. Kalau beginilah sikap kita, bila berjaya kita syukur. Kita tawadduk. Kita tidak sombong. Sebab kita yakin walaupun kita telah berusaha, tetapi Allahlah yang memberi kejayaan kita.

Sebaliknya, kalau kita gagal pula… kita tidak sakit jiwa. Sebab kita yakin Allah-lah yang menggagalkan kita. Allah tahu kita telah berusaha, jadi bila digagalkan juga… tentu ada hikmah yang tersembunyi. Kembalilah kita kepada ujian hidup seperti yang diperkatakan pada awal tadi… ya kita hamba!

Ada kalangan manusia yang apabila berjaya dia mengatakan, “ ini semua hasil usaha saya…” Wah sombongnya. Sebaliknya jika gagal dia mengatakan, “semua ini sudah takdir…”Tidak sayugianya kita berkata demikian. Sebenarnya, apabila kita berjaya, itu takdir Allah. Kalau kita gagal pun itu juga takdir dari Tuhan.
Jika kita katakan, kalau berjaya kerana kita, tetapi bila gagal kerana Tuhan… Itu tidak beradab dengan Allah. Seolah-olah kita lebih bijak daripada Allah. Dengan kata-kata yang demikian, kita merobek-robekkan sifat kehambaan kita. Bukankah Islam mengajar kita, mengucapkan Alhamdulillah – puji bagi Allah apabila berjaya. Dan mengatakan Innalillah – kita ini milik Allah apabila kita gagal?

Ya, syukur dan sabar inilah pakaian kita. Dengannya, dapat atau tidak dapat, jadi atau tidak jadi, hati tetap sama…kita tetap memiliki dan dimiliki Allah!

Ehsan Cetusan Hati

Tuesday, June 5, 2012

Kesalahan Semasa Solat Tanpa Kita Sedari

Solat merupakan antara kewajipan paling penting dalam kehidupan umat Islam. Nabi SAW diisrakkan ke langit untuk menerima perintah solat. Solatlah amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama baiki mutu solat kita. Maksud hadis: “Amal seorang hamba yang pertama kali dihisab kelak ialah solat, jika solatnya rosak, maka amal lainnya pun akan rosak.” (HR Thobrani)
Berikut merupakan kesalahan-kesalahan solat yang tidak kita sedari, berdasarkan hasil pembelajaran dan kajian saya selama ini. Semoga post kali ini memberi manfaat kepada kita, insya Allah…

1.                  Tidak berdiri lurus. Berdiri lurus bagi yang berkemampuan merupakan salah satu rukun solat. Apa yang diperhatikan, seseorang yang sakit tidak berdiri lurus semasa solat. Mereka terus duduk, tanpa berdiri lurus. Sewajibnya, mereka berdiri lurus dahulu, kemudian, barulah mereka boleh duduk. Ini adalah kerana mereka masih boleh berdiri dan berjalan! Macam mana mereka ke masjid sekiranya mereka tidak boleh berjalan? Perkara ini terkecuali sekerinya seseorang itu memang betul-betul tidak mampu untuk berdiri

2.                  Takbiratul Ihram dilafazkan dengan salah. Contohnya, bertakbir dengan lafaz ﭐﷲ di mulut, dan ﺃﻛﺒﺮ di dalam hati. Walhal, lafaz takbiratul ihram adalah RUKUN QAULI, maka, ia WAJIB dilafazkan 100% di mulut tanpa meninggalkan satu hurufpun dalam kalimah ﭐﷲ ﺃﻛﺒﺮ . Selain itu, sekiranya makhraj lafaz takbiratul ihram ini salah, maka ia boleh juga membatalkan solat. Contohnya, melafazkan takbiratul ihram dengan suara angin (seperti suara orang berbisik).

3.                  Terdapat kesalahan dalam al-Fatihah. Al-Fatihah merupakan RUKUN QAULI yang wajib dilafazkan 100% oleh mulut dengan makhraj dan tajwid yang betul. Sekiranya membaca al-Fatihah dalam hati atau menggunakan suara angin, maka, ia boleh membatalkan solat.
4.                  Tidak thomakninah (berhenti seketika) dalam rukuk dan sujud. Kadar minimum untuk rukuk dan sujud adalah dengan kadar lafaz “subhanallah”. Maksud hadis: “Seburuk-buruk pencuri adalah orang yang mencuri dalam solatnya.” Sahabat bertanya, “Bagaimana caranya mencuri solat itu wahai Rasulullah?” “Yaitu, yang tidak menyempurnakan rukuk, sujud dan bacaan di dalam solatnya” (HR Ahmad)

5.                  Sujud yang tidak sempurna, anggota sujud tidak dikenakan ke atas lantai. Tujuh anggota sujud tersebut adalah: muka (termasuk dahi dan hidung); kedua tapak tangan; kedua lutut dan penghujung 2 tapak kaki (ibu jari), sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Aku telah memerintahkan agar sujud keatas tujuh tulang: keatas dahi, dan beliau mengisyaratkan ke hidungnya, 2 tangan, 2 lutut dan pada penghujung 2 tapak kaki (ibu jari).” (Muttafaqun ‘Alaih)

6.                  Lafaz tahiyyaat akhir yang salah. Perkara ini merupakan antara kesalahan yang amat biasa dilakukan tetapi ramai yang tidak menyedarinya. Lafaz tahiyyaat wajib disebut dengan makhraj yang betul kerana ia adalah rukun qauli. Sekiranya lafaz tahiyyat itu dilafazkan dengan suara angin juga, ia akan membatalkan solat. Namun begitu, amat sukar untuk diterangkan berkaitan lafaz tahiyyat akhir yang betul di dalam ruang yang terbatas ini. Sebaik-baiknya, rujuklah guru agama yang hak.
7.                  Lafaz salam dibaca dalam hati, dilafaz dengan suara angin, atau melafazkan salam dengan makhraj dan huruf yang salah juga boleh membatalkan solat. Lafaz yang tepat adalah ﭐﻟﺴﻼﻢﻋﻠﻴﻜﻢﻭﺭﺣﻤﺔﭐﷲ (assalaamu’alaikum warahmatullaah). Sekiranya menyebut “asalaamu’alaikum”, “salaamu’alaikum”, menukar huruf ﻉ kepada ﺃ, huruf ﺡ kepada ﻫ, atau apa sahaja sebutan yang selain daripada ﭐﻟﺴﻼﻢﻋﻠﻴﻜﻢﻭﺭﺣﻤﺔﭐﷲ , ia akan membatalkan solat. Menyebut salam dalam hati juga boleh membatalkan solat, kerana lafaz salam pertama adalah rukun qauli, ia WAJIB dilafazkan 100% oleh mulut dengan makhraj dan tajwid yang betul.

8.                  Tangan berayun-ayun semasa i’tidal. Pergerakan anggota besar 3 kali berturut-turut boleh membatalkan solat. Tak tahulah kenapa orang suka sangat ayun tangan semasa i’tidal, yang macam buayan tu.

9.                  Tidak berhenti seketika, yakni i’tidal selepas rukuk.
 10.              Dada berpaling dari kiblat


Ehsan dari Myibrah

Saturday, June 2, 2012

Mencari Doa Yang Mustajab

Doa kadang-kadang minta lain tapi buat lain malah ada juga bertentangan dengan apa yang kita minta tapi kita sebut ‘Aamiin’. Adakala kita tidak dapat apa yang kita minta, kalau dapat pula adalah berlainan dari apa yang kita pinta. Dimana salahnya doa kita atau cara berdoa, ketertipannya atau lansung tiada kesungguhan dihati maka pekenanan Allah terhadap doa kita penuh dengan tanda tanya dan perkara yang tersembunyi.
Sesetengah dari kita bila imam baca doa kita di belakang main sebut saja, ‘Aamiin’ tapi tak tahu dan tak faham apa yang imam baca. Lansung tidak tersentuh dihati pada doa-doa yang dibaca. Susahnya mahu berdoa atau kita tak perlu pun berdoa

Doa sebenarnya permintaan, kalau kita meminta sesuatu kita mesti faham, barulah masuk ke hati dan sedar apa yang kita minta. Bila faham semasa berdoa sangat menolong kita mencarinya selepas berdoa dalam kehidupan seharian. Kalau main minta atau main angkat tangan saja sedangkan tak faham apa-apa boleh dianggap bermain-main dengan doa.

Sudah puluhan tahun kita meminta perkara sama tapi tak dapat-dapat. Sebenarnya bukan Allah tak perkenankan tapi kita sendiri yang hanya pandai minta tetapi tak pandai cari. Minta tapi tak cari sama seperti berangan-angan. Antara yang kita mesti minta setiap hari sebanyak 17 kali sehari semalam ialah ‘Ihdinassiratal Mustaqim’ ataupun maksudnya ‘ tunjukilah kami jalan yang lurus.’ Besarnya doa ini, kita diwajibkan membacanya setiap kali di dalam sembahyang sebanyak 17 kali sehari.

Doa ini tidak didahulukan melainkan selepas kita memuji Allah dahulu bahawa segala pujian itu meliputi pada-Nya dan Dia adalah Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Besarnya juga doa ini ia tidak didahulukan melainkan kita berikrar mengaku sebenar-benarnya hanya Allah, Tuhan yang kita sembah dan tempat kita meminta pertolongan. Setiap hari minta ‘jalan yang lurus’. Tahukah kita apa jalan yang lurus itu? kalau tak tahu kena belajarlah sebab jalan yang lurus itu sangat penting.

Bila kita belajar secara mendalam kita mendapati jalan itu adalah iman, Islam dan ihsan. Ketiga-tiganya adalah nikmat besar Tuhan kepada kita jika kita mendapatkannya. Namun, ketiga-tiganya mestilah difahami dan dihayati seterusnya menjadi amalan dan perjuangan hidup kita. Barulah kita mendapat jalan yang lurus. Kalau sekadar slogan atau cakap-cakap saja, itu dikira belum dapat lagi.
Cubalah muhasabah diri kita sejauh mana kita bersungguh-sungguh ketika berkomunikasi dengan Allah. Paling kurang ayat Al-Fatihah yang kita baca seharian, antara faham, kehendak dan realiti biarlah selari seiring dan sejalan. Bermakna perlu ada adap, ada kesungguhan, ada kehendak yang tinggi atas kelemahkan kita sebagai hambaNya

Antara adab-adab yang biasa dilakukan ialah berada dalam keadaan bersih, berwuduk dan menghadap kiblat. Selain itu, semasa berdoa hendaklah memuji Allah, dan berselawat ke atas Nabi SAW, juga kesungguhan dengan mengangkatlah kedua belah tangan ke paras bahu ketika berdoa dan hendaklah menyapu ke muka apabila selesai membaca doa. Ia sesuai dengan sebuah hadia yang bermaksud: Apabila kamu memohon kepada Allah Taala (berdoa) maka pintalah dengan perut-perut tapak tangan kamu dan janganlah kamu memohon akan dia dengan belakang tangannya, kemudian janganlah kamu mengembalikan dia sehingga kamu menyapu dengannya akan muka kamu, maka sesungguhnya Allah menjadikan padanya berkat, Riwayat Abu Daud

Percaya dan yakin sepenuh hati dengan apa yang didoakan supaya diperkenankan oleh Allah. Ini juga membuatkan kita akan bersungguh-sungguh semasa berdoa. Berdoalah dengan penuh khusyuk dan tawadhuk serta perlahankan suara (merendah diri), sebagaimana tersebut dalam surah al-A’raf ayat 55: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan secara perlahan (tersembunyi) kerana sesungguhnya Ia tidak suka kepada orang-orang yang melewati batas”.

Itulah antara adab-adab yang menunjukkan kita ni hamba yang kerdil, yang memohon sepenuhnya kepada pencipta yang satu. Kalau kita pergi rumah kawan pun ada adab-adab tertentu sebagai orang melayu juga sebagai orang Islam, lebih-lebih lagi yang diciptakan, tentulah ada adab-adab juga kan?

1. Doa adalah permohonan kepada Allah. Allah ialah Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mencipta. Apabila seseorang berdoa kepadaNya, hendaklah ia dilakukan dengan penuh perasaan merendah diri, kekusyukan jiwa, harapan dan pergantungan yang mutlak diserahkan kepadaNya. Ramai orang berdoa, tetapi tidak ramai pula yang jiwanya ketika berdoa itu jiwa merendah, penuh tunduk dan khusyuk kepada Allah. Kebanyakan doa diungkapkan dengan jiwa yang hambar sedangkan Allah memerintahkan: (maksudnya), “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) yang perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”. (Surah al-‘Araf, 55). Jika kita dapat menjadikan jiwa kita ini begitu beradab, merendah, khusyuk dan penuh pengharapan kepada Allah, kita menghampiri pintu kemakbulan.
2. Bersangka buruk kepada Allah seperti menganggap Allah tidak akan terima doa adalah perasaan yang salah dan perlu dibaiki. Bagaimana mungkin Allah menolak doa, sedangkan Dia yang memerintahkan kita berdoa kepadaNya. Firman Allah: (maksudnya): “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk (Surah al-Baqarah, 186). FirmanNya juga: (maksudnya), “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu”. (Surah Ghafir, 60). Doa yang dilakukan dengan penuh penghayatan pasti diterima Allah. Itulah jaminan Allah sendiri.

3. Maka seseorang hamba yang berdoa hendaklah dia penuh dengan keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan doanya. Hanya jiwa yang tidak khusyuk ketika berdoa sahaja yang ragu-ragu terhadap penerimaan Allah. Sabda Nabi SAW: “Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari jantung hati yang lalai dan alpa” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

4. Namun, waktu dan ketika yang dipilih oleh Allah untuk sesuatu doa itu diperkenankan, hanya dalam ilmu Allah. Kadang-kala dilewatkan atas hikmah yang Dia Maha Mengetahui, dan insan yang berdoa juga biasanya akan tersingkap hikmah tersebut apabila tiba masanya. Sehingga apabila tiba waktu doa itu ditunaikan Allah, baru kita akan merasa betapa beruntungnya kemustajaban itu hadir pada waktu tersebut. Maka jangan putus asa dalam berdoa. Sabda Nabi SAW : « Sentiasa doa dimustajabkan untuk seorang hamba Allah selagi mana dia tidak berdoa untuk membuat sesuatu dosa, atau memutuskan silaturrahim, selagi dia tidak tergopah-gapah ». Ditanya baginda : « Apa itu tergopoh-gapah ? ». Sabda baginda : «Apabila dia berkata : aku telah pun berdoa ! aku telah pun berdoa !, tetapi aku tidak nampak pun dimustajabkan untukku, lalu dia berhenti ketika itu dan meninggalkan doa » (Riwayat Muslim).

5. Cara bagaimana Allah memustajabkan sesuatu pengharapan atau doa hamba itu juga berbeza-beza. Mungkin tidak seperti jalan yang disangka hamba yang berdoa itu, tetapi Allah sesuatu yang lain yang lebih baik untuknya. Umpamanya, mungkin seorang hamba meminta kekayaan yang besar atas andaian dengan kekayaan itu maka dia akan bahagia. Namun Allah mengetahui tentang hal hamba tersebut yang mana kekayaan besar boleh memudaratkan iman atau persekitarannya yang lain. Allah mungkin menggantikan kekayaan yang besar itu dengan rezeki yang mencukupi, kesihatan yang baik, anak-anak yang soleh dan keluarga yang bahagia. Kesemua itu membawanya mencapai ketenangan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Maka insan hendaklah jangan cepat menyatakan doanya tidak diterima, sebaliknya hendaklah dia sentiasa menyemak dan menilai segala kurnia Allah yang ada di sekelilingnya. Kemustajaban doa itu berlaku dalam berbagai bentuk. Sehingga ada yang Allah tangguhkan apa yang diminta itu ke hari akhirat, kerana Allah mengetahui bahawa di saat itu insan tersebut lebih memerlukan apa yang diminta tersebut. Sabda Nabi SAW : “Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: samada disegerakan kemakbulan, atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepadan dengannya”. (Riwayat Ahmad, Al-Bazzar dan Abu Ya’la dengan sanad yang sahih).
6. Doa tidak sia-sia. Doa adalah lambang pengabdian diri seorang hamba Allah kepada Allah Yang Maha Agung. Sebab itulah berdoa kepada selain Allah, sekalipun memohon kemustajaban dari nabi atau wali adalah dianggap sebagai syrik. Sementara berdoa kepada Allah adalah ibadah. Ertinya, jika seorang hamba itu berdoa selama sejam, dia sebenarnya sedang beribadah selama sejam. Jika dia berdoa sepanjang malam, bererti dia beribadah sepanjang malam. Sabda Nabi SAW : “Doa itu adalah ibadah” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani). Adapun berdoa selain Allah pula adalah syirik dan memusuhi penyerunya pada hari Kiamat kelak. Firman Allah: (maksudnya): “Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah, yang tidak dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (pada hari akhirat), segala yang disembah itu menjadi musuh (kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah mereka” (Surah al-Ahqaf, 5-6).

7. Kehidupan ini mempunyai rahsianya yang tersendiri. Banyak perkara yang kita rasa pahit dan membencinya pada masa tertentu padahal ia manis pada masa yang lain. Banyak perkara yang kita rasa baik, ia buruk apabila berubah masa dan keadaan. Allah Maha Mengetahui apa yang bakal terjadi, apa yang sedang dan telah terjadi. Kita selalu tergopah-gapah menilai sesuatu keadaan. Sehingga kadang-kala kita berdoa hendak sesuatu, sedang Allah mengetahui ia tidak baik untuk kita. Allah menggantikan dengan perkara lain, kita mungkin tidak perasan atau sedar. Seseorang mungkin merasakan doa yang dikehendaki belum Allah mustajabkan, tetapi dia terlupa apa yang sedang dinikmatinya itu sudah mencapai harapannya. Maka, janganlah cepat kita berputus asa dengan rahmat Allah dan terus menghukum bahawa doa kita belum dimustajabkan.

8. Dukacita dan keperitan hidup menghapuskan dosa dan menaikkan darjat seseorang di sisi Allah. Ia juga membawa insan membanyakkan doa. Dalam detik menunggu kemustajaban doa, ramai yang kembali menjadi soleh, tunduk, tawaduk dan membanyakkan ibadah. Penangguhan doa mempunyai berbagai hikmah dalam kehidupan muslim. Dunia ini amat kerdil dan tidak dibandingkan dengan akhirat. Doa merupakan amalan yang membawa kebahagian insan di akhirat. Menanti kemustajaban doa dengan iman dan penuh tawakal merupakan tempoh yang menyebabkan banyak insan kembali menemui jalan Allah yang hakiki.
9. Marilah kita teruskan doa, baiki diri dan nilailah apa yang telah berikan kepada kita dalam kehidupan hari ini. Keperitan hari ini, mungkin kemanisan hari esok. Kemanisan hari ini, belum tentu kenikmatan hari esok. Maka, sentiasa bertawakal kepada Allah dan jangan putus asa berdoa kepadaNya agar kita menjadi hambaNya yang bersyukur dan terpelihara dari segala kemungkaran.