Kadangkala kita mengidamkan sesuatu berlaku, tetapi yang lain pula yang
terjadi. Sebaliknya, ada yang kita tidak inginkan sama sekali, tetapi itu pula
yang berlaku. Apabila berlaku demikian hati kita pasti terusik. Sesal, kesal,
marah dan kekadang sangat kecewa. Jadi bagaimana kita harus menghadapi situasi
sedemikian dengan sebaik-baiknya?
Pertama, kita perlu faham bahawa hidup ini ada peraturannya. Salah satu
peraturannya ialah apa yang kita hendak tidak semuanya akan dapat dicapai.
Inilah ‘rules of life” – sunahtullah. Siapa yang tidak mahu menerima hakikat
ini … maka tidak layaklah dia hidup. Misalnya, kalau kita main bola, kena
gunakan kaki. Tidak boleh gunakan tangan. Siapa yang hendak gunakan tangan
juga, maka dia tidak layak bermain bola.
Begitulah juga dengan hidup ini. Hidup ini satu ujian. Tidak semua yang
kita idamkan dapat dikecapi. Yang kaya, kadangkala tidak sihat. Yang ternama,
dimusuhi orang. Yang sihat, terputus pula kasih-sayang. Inilah buktinya kita
masih dan terus kekal sebagai hamba Allah. Hamba dicorakkan oleh Tuhan-nya.
Justeru, kita tidak boleh memberontak, kenapa jadi begini? Kenapa gagal?
Jika itulah yang selalu bermain-main di dalam fikiran Itu petanda tidak
puas hati. Suara berontak jiwa terhadap ketentuan Allah. Sedarlah bahawa kita
hamba maka buatlah kerja kita sebagai. Tuhan dengan ketentuan-Nya. Jadi,
apabila diuji… katalah aku ini hamba Allah. Layaklah aku diperlakukan seperti
hamba… Terusik hati itu biasalah, kita lemah. Merintih juga hati di dalam.
Tetapi jangan sampai marah-marah, putus asa dan kecewa.
Apa yang Allah tentukan kadangkala kelihatan negatif pada kita, tetapi lama
kelamaan kelihatan positif pula… Itulah yang dikatakan tadi, apa yang kita
sangka buruk kadangkala baik untuk kita. Begitu juga sebaliknya. Katalah, kita
ingin berjaya, tiba-tiba gagal. Bukan tidak berusaha… Kita sudahpun berusaha,
tapi gagal juga. Apa perlu dibuat lagi?
Sebaiknya kita terima kegagalan itu, kita kaji sebabnya, kemudian kita
berusaha lagi. Rupanya dengan sebab itu, Allah beri kita kejayaan yang lebih
besar lagi. Contohnya, dalam pernigaan. Kita ingin keuntungan besar, tetapi
yang kita dapat hanya sedikit….Namun, kerana kegagalan itu kita berusaha lebih
gigih… akhirnya beberapa tahun kemudian keuntungan kita meningkat. Sedangkan
ada orang lain yang pada mulanya mendapat keuntungan yang besar… tetapi
keuntungan tidak bertambah. Mengapa? Kerana dia mula relaks, over confident
sedangkan kita terpaksa bertungkus-lumus akibat kegagalan yang pertama. ?
Bijak dan baik sungguh aturan Allah. Benarlah kata bijak pandai, kegagalan
itu anak tangga kejayaan. Contoh lain, ubat. Ubat itu pahit… kalau kita tidak
faham, kita luahkan semula. Pahit, tidak tertelan oleh kita. Tetapi kerana kita
faham dan yakin itu ubat, maka kita telan juga walaupun pahit. Hasilnya, kita
sihat. Begitulah kita dengan sesuatu yang negatif, akan bertukar jadi positif
akhirnya jika kita pandai dan bijak menanganinya. Jadi, dalam hidup kita harus
belajar, yang pahit jangan cepat diluahkan, yang pedih jangan segera
dirungutkan… Sering ada kejayaan, kemanisan yang lebih indah menanti
selepasnya.
Dalam dunia hari ini ada kelompok yang kuat berusaha tetapi longgar
ingatannya kepada takdir Allah. Dan ada pula golongan yang seolah-olah kuat
kepercayaannya kepada takdir Tuhan hingga melupakan usaha ikhtiar. Kita mesti
bebaskan diri daripada dua ektrem itu. Ekstrim pertama, bergantung kepada
takdir kurang berusaha. Ini tidak betul kerana Allah ada peraturan-Nya… yang
dipanggil sunnahtullah.
Dalam sunnahtullah, sesuatu perkara itu ada sebab dan akibatnya (cause and
effect). Untuk lulus kita perlu belajar. Kalau kita tidak belajar, kita tidak
akan lulus… kerana sunnahtullah sudah menetapkan begitu. Jadi tidak bolehlah
kita hendak berjaya hanya dengan berdoa, solat hajat dan minum air penawar
sahaja. Ini tawakkal tidak berbekal namanya.
Manakala golongan kedua pula kuat berusaha tanpa bergantung kepada takdir.
Dia percaya pada usaha ikthiarnya sahaja, lansung tak bergantung kepada kudrat
dan iradat Allah. Ini salah. Kerana, usaha kita itu walau bagaimana hebat
sekalipun tidak akan memberi kesan jika Allah tidak mengizinkan-Nya.
Justeru jika dia berjaya, ia akan jadi orang yang sombong, lupa diri kerana
disangkanya kejayaan itu dari kepandainya. Manakala kalau dia gagal pula, dia
akan kecewa, dia putus asa. Jadi, berjaya pun rosak. Gagal pun rosak. Jadi,
buat golongan ini apapun hasil usahanya, kedua-duanya merosakkan!
Sebaik-baiknya kita berusaha sungguh-sungguh dan kemudian bertawakkal –
berserah kepada Allah. Kata orang, hujung akal, baru tawakkal. Kalau beginilah
sikap kita, bila berjaya kita syukur. Kita tawadduk. Kita tidak sombong. Sebab
kita yakin walaupun kita telah berusaha, tetapi Allahlah yang memberi kejayaan
kita.
Sebaliknya, kalau kita gagal pula… kita tidak sakit jiwa. Sebab kita yakin
Allah-lah yang menggagalkan kita. Allah tahu kita telah berusaha, jadi bila
digagalkan juga… tentu ada hikmah yang tersembunyi. Kembalilah kita kepada
ujian hidup seperti yang diperkatakan pada awal tadi… ya kita hamba!
Ada kalangan manusia yang apabila berjaya dia mengatakan, “ ini semua hasil
usaha saya…” Wah sombongnya. Sebaliknya jika gagal dia mengatakan, “semua ini
sudah takdir…”Tidak sayugianya kita berkata demikian. Sebenarnya, apabila kita
berjaya, itu takdir Allah. Kalau kita gagal pun itu juga takdir dari Tuhan.
Jika kita katakan, kalau berjaya kerana kita, tetapi bila gagal kerana
Tuhan… Itu tidak beradab dengan Allah. Seolah-olah kita lebih bijak daripada
Allah. Dengan kata-kata yang demikian, kita merobek-robekkan sifat kehambaan
kita. Bukankah Islam mengajar kita, mengucapkan Alhamdulillah – puji bagi Allah
apabila berjaya. Dan mengatakan Innalillah – kita ini milik Allah apabila kita
gagal?
Ya, syukur dan sabar inilah pakaian kita. Dengannya, dapat atau tidak
dapat, jadi atau tidak jadi, hati tetap sama…kita tetap memiliki dan dimiliki
Allah!
Ehsan Cetusan Hati
No comments:
Post a Comment