DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Monday, December 26, 2011

Kenapa dan bagaimana nak berubah


Andainya dapat kuulang semula

Suatu zaman yang bernama remaja
Akan terpelihara segala milikku
Hanya buatmu...

Lautan mana yang tidak bergelombang
Bumi yang mana tidak ditimpa hujan
Aku sepertimu ada waktu diburu
Oleh dosa-dosa masa yang lalu...

“Pengalaman adalah guru yang kejam sebab ia menguji terdahulu, kemudian baru ia memberi pengajaran”

Begitulah beberapa ungkapan diatas yang mengundang kita nak memikir betapa kita perlu berubah atau berhijrah samada nak menjadi insan yang hebat, terbaik, cemerlang dan apa saja malah kalau boleh menjadi idola kepada insan lain didunia ini. Bukan suatu yang mudah untuk melakukan suatu perubahan. Ianya memerlukan satu perngorbanan yang amat besar, juga perlu berdepan dengan diri sendiri yang adakala tewas kepadanya disebabkan kekuatan dalaman yang longgar dan rapuh. Ramai sebenarnya berhajatkan kepada perubahan demi perubahan, tetapi perubahan yang dilakukan tidak kekal lama. Kata orang, hangat-hangat tahi ayam, tetapi apabila kita renungi, sememangnya itulah hakikat yang ada, itulah realiti yang berlaku kepada kita semua. Sebenarnya perasaan kita yang ingin berubah dari masa ke semasa itu adalah suatu anugerah yang indah. Kita diberi peluang oleh Allah untuk merasai perasaan ingin menjadi lebih baik dan mengubah hidup ke arah kesempurnaan. Saidina Ali RA pernah berpesan: Celakalah sesiapa yang hari ini lebih buruk dari kelmarin, dan esok lebih buruk dari hari ini.

Melakukan berubah bukan bermaksud kita tidak bersyukur pada apa yang kita miliki, tetapi ianya adalah satu usaha untuk meningkatkan taraf hidup menjadi lebih baik dari sebelumnya. Menjadikan kita sentiasa berdaya saing dalam segala bentuk supaya kita tidak menjadi insan terkebelakang atau mundur. Yang perlu kita ubah itu bukan hanya berkaitan dengan akhirat atau dunia sahaja, sebaliknya ia merangkumi kedua-dua aspek tersebut agar selari dengan tuntutan jasmani dan rohani Perlu diingat, umat islam lebih-lebih lagi bangsa Melayu jauh ketinggalan kebelakang dalam segenap hal. Keadaan ini telah menyebabkan kita lemah dan sering bergantung kepada orang lain. Islam mengajar kita bahawa tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima. Kebanyakkan kita lebih cenderung memilih untuk menerima. Walaupun tidak salah tetapi dimana kedudukan kita sebagai umat yang mulia disisi Allah dan Rasulnya. Mungkin persoalan maruah bukan suatu perkara pokok atau remeh, namun mari kita perhatikan anak-anak muda kita sekarang, ramai yang gagal menempatkan diri mereka dalam kelompok kehidupan yang begitu mencabar dan era gobalisasi ini kalau tak punya keinginan atau kekuatan untuk berubah atau berhijrah. Bukan mereka tidak diberi peluang, tetapi gagal dalam menfaatkan peluang yang ada dan adakala mereka masih suka pada keadaan mereka sekarang. Kita hidup di dunia bukan sekadar menghambakan diri kepada Allah dan melengkapi keperluan harian tetapi Allah mengutuskan kita untuk menjadi khalifah. Walau tidak sehebat dan seberjaya insan lain, berubahlah ke arah yang lebih baik. Kerana perubahan kita bukan untuk manfaat kita seorang, tetapi untuk memanyungi manfaat insan sejagat.

“Jika tidak mampu melindungi hutan, sekurang-kurangnya lindungilah sebiji tunas”

Kalau kita fikirkan, masa yang paling indah adalah ketika zaman remaja, kisah suka atau duka, semua saat itu diiringi pelbagai kenangan yang sukar dilupakan. Sesiapa pun tidak dapat menafikan hakikat tersebut. Era remaja menjadi satu fasa hidup yang paling mencabar, remaja yang tersalah memilih hidup dan terlalu alpa atau leka mengejar keseronokan hidup mungkin berhadapan dengan masalah dan keburukan. Lewat masakini, sudah banyak yang kita dengar tentang isu remaja hari ini seperti ponteng sekolah, mencuri, gagal dalam peperiksaan, lari dari rumah, sehingga membunuh termasuklah isu yang agak hangat diperkatakan sekarang, rempit dan gejala pembuangan anak Seharusnya kita perlu mengambil iktibar daripada apa yang terjadi dalam hidup atau apa yang terjadi disekeliling kita. Paling penting adalah kesediaan diri untuk berubah untuk masa depan yang lebih cerah.

Untuk kita melakukan perubahan perlu ada beberapa petua atau tips yang boleh membantu kita untuk melakukan anjakan paradigma dalam diri.

1. Niat
Apa saja yang kita nak buat pada kehidupan kita perlu ada niat. Kalau kita tak ada niat bermakna tidak ada kesungguhan malah apa saja yang kita buat hanya kerana keterpaksaan, maka timbul tiada keikhlasan dalam melakukan apa saja tugasan nak kita buat, akibatnya perlakuan itu tak menjadi apa-apa pun.Tidak kira apa jua kita lakukan, niat adalah perkara utama. Ketika solat pun perlu dimulakan dengan niat. Ia juga boleh dikatakan azam dalam diri seseorang dan tanpanya kita akan hilang arah tujuan. percayalah bahawa niat yang baik akan sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah SAW. Ironinya berniat menjadikan kita berusaha dan bersungguh dalam mencapai apa saja kehendak diri. Kerana sudah tertanam didalam naluri untk mendapatkan pada apa yang kita kehendaki.

2. Mengenali diri sendiri
Mengetahui potensi diri kita sendiri amatlah diperlukan supaya kita mengetahui apakah kelebihan maupun kehebatan yang kita miliki. Kebanyakan kita gagal mengenal diri sendiri dan dalam masa yang sama masih mencari identiti. Ia merupakan masalah yang biasa yang dihadapi fasa perkembangan manusia, ini disebabkan kerana kita jarang berkominikasi dengan diri lantaran kita hanya merasakan mencukupi apa yang kita ada sahaja. Jadi kita perlu senaraikan kelebihan dan kekurangan yang ada pada kita dan lebihkan muhasabah diri. Anda pasti akan mengetahui potensi diri sendiri. Kalau kita tidak mampu mengenali diri kita tanyalah mereka yang rapat dengan kita atau yang benar-benar mengenali kita. Setiap orang ada kehebatan dirinya sendiri jadi carilah apa potensi diri anda yang paling berharga.

3. Menetapkan matlamat
Dalam mencipta sesuatu matlamat atau impian, pastikan ianya realistik agar mudah dicapai. Janganlah kita menetapkan sesuatu yang sukar atau diluar jangkaan kita untuk mendapatkan seperti nak membeli kereta Ferari sedangkan kewangan kita tidak mencukupi jadi timbul angan-angan sahaja. Penetapan matlamat yang tidak relevan dan sukar hanya akan menjadikan diri kita terbeban dan terbatas maka kita berdepan dengak konflik yang tidak sudah oleh kerana keterbatasan kita nak merealisasikannya. Ada diantara kita, menyediakan diari matlamat dengan menulis beberapa matlamat mereka, rancangan tindakan yang sesuai dan bila mahukan ia tercapai. Semua bergantung kepada setiap individu, lain orang, lain cara. Jadi kita kena fikir satu matlamat yang kita mampu capai dan kita berusaha kearahnya.

4. Buang persepsi/andaian yang salah atau berfikiran negatif
Sentiasa anggap sesuatu yang telah dialami mempunyai maksud dan hikmah tersendiri. Ini akan menjadikan kita seorang yang berfikir dan secara tidak langsung memberi kita motivasi untuk terus maju. Percaya ketentuan Allah sebagai landasan untuk kita mengorak langkah disamping berserah dan bertawakkal dengan istiqamah dalam melakukan matlamat yang kita kehendaki. Jangan berfikiran sempit dan menyalahkan takdir atau orang lain atas setiap peristiwa yang telah kita harungi kerana akan menjadikan kita ‘down’ malah akan mmudah mengalah.

5. Hentikan perkataan negatif
Orang yang hebat adalah orang yang menilai sesuatu perkara sebelum berkata. Orang hebat juga tidak pernah berkata "Tidak". Ini kerana setiap perkataan itu menjadi tenaga dan motivasi kepada diri sendiri. Maka, berfikirlah dengan matang dan positif. Kita juga perlu melatih diri kita untuk menggunakan perkataan yang mampu membangkitkan aura dalaman kita. Saranan auto atau berulangkali berkata yang boleh membangunkan menetapkan semangat diri akan menjadikan kita sentiasa memikirkan terkehadapan dalam sebarang tindakkan dan secara tidak lansung menjadikan diri kita orang yang positif

6. Pedulikan apa kata orang
Untuk berubah, pasti banyak dugaannya. Hidup tanpa cabaran bukanlah kehidupan namanya. Sentiasa ingat bahawa bukan orang lain yang mengubah nasib kita tapi diri kita sendiri. Kita pasti berdepan dengan kata-kata negatif juga omelan dari seseorang untuk menidakan kemampuan kita nak berubah Orang akan berkata apa sahaja jika kita ingin berjaya, namun tetapkan jati diri kita untuk terus mencapai kejayaan. Fokus pada diri atas apa yang kita mahu adalah lebih penting daripada telahan orang atas apa yang kita mahu untuk menjadi positif. Bukan untuk mengenepikan pendapat orang lain tetapi biarlah padangan dari mereka yang boleh membantu kita untuk berubah

7. Membaca dan meneladani kisah orang yang berjaya
Dengan menjadikan buku sebagai rakan karib atau rujukan, ia bukan sahaja menambah intelektual dan pengetahuan, malah meningkatkan daya imaginasi kita juga memotivasikan diri kita. Namun, harus dipastikan apa sahaja buku yang kita baca melalui tapisan akal fikiran bagi menjana pengetahuan dan bukannya input yang membuatkan kita terus leka atau dibuai angan-angan kosong. Dekatilah atau bacalah buku-buku tokoh-tokoh yang berjaya dan cuba hadiri ceramah motivasi bagi meningkatkan keinginan untuk berjaya. Jadikan model buku yang kita baca itu sebagai pendorong kepada kita untuk mencipta kejayaan seperti mereka juga. Berhati-hati, pilih yang positif sahaja dan realistik dengan bersesuaian kehidupan kita dan mampu kita lakukan utuk berubah.

Membenihkan tunas-tunas perubahan. Ia memerlukan usaha daripada diri kita sendiri.

Kenapa terlalu sukar untuk berubah - “ Sesiapa yang berubah kerana terpaksa dia sebenarnya adalah mangsa, dan sesiapa yang berubah kepada Allah SWT kerana kesedaran yang jelas dan nyata, pasti ia akan bahagia.”

Jika berubah kerana terpaksa dan buat-buat, maka natijah atau kesannya adalah sementara. Berubah kerana suasana, kerana keluarga, kerana ikut-ikutan, kerana desakan ibu bapa dan sebagainya – ia adalah suatu bebanan perasaan yang menyesakan dada. Ingin berubah, tetapi tiada asas yang kukuh dan kuat, masih samar-samar dan kabur akibatnya kita tetap kembali sama seperti sebelum kerana tiada keikhlasan untuk berubah. Inilah suatu hakikat yang sama-sama kita rasai sebelum-sebelum ini. Apabila hidayah “perubahan” dan kesedaran menerpa ke dalam diri kita – rasa penyesalan, keinsafan dan kesedihan akan segala kisah silam dan perbuatan yang menyalahi tuntutan Allah SWT, timbul bibit-bibit keazaman dan usaha tekad untuk berubah, namun, apabila suatu tempoh masa berlalu – kita menyedari bahawa perubahan itu tidak kekal lama. Suam-suam sahaja, kemudian sejuk kembali. Perasaan yang berkobar-kobar untuk menggerakan perubahan diri telah hilang dimamah usia dan ianya hanya tinggal memori, dan akhirnya, kita terus ditahap yang sama. Tidak perubahan, maka kembalilah kita keasalnya dan jadilah kita orang yang biasa-biasa sahaja.

Apa yang perlu kita buat. Jika kita ingin melakukan perubahan, kita perlu jelas dan fahami akan hakikat perubahan itu sendiri. Hampir semua orang ingin berubah, namun setelah masa berlalu mereka masih di tahap yang sama. Oleh itu, kita bukan sekadar merasa perlu berubah tetapi kita juga perlu tahu kenapa kita perlu berubah, apa perubahan yang perlu kita lakukan dan bagaimana perubahan itu patut bermula. Inilah persoalan-persoalan awal yang perlu kita jawab sekiranya benar-benar ingin berubah.Firman Allah SWT yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” ( Ar Ra’du 13 : 11)

Kebanyakan manusia sebenarnya takut dan sukar menerima perubahan walaupun zahirnya mereka sangat inginkan perubahan. Tapi sayang perubahan kepada kebaikan tidak berlaku secara mukjizat atau sekelip mata umpama magis yang memukau manusia. Kita yang bertanggungjawab untuk berubah dan semua itu ada harga yang perlu kita bayar. Sedar atau tidak, apa yang kita hajatkan kepada perubahan tetapi tidak sanggup untuk membayar harganya. Harga bagi sebuah perubahan adalah pengorbanan, kesukaran dan kepayahan. Kita sentiasa harapkan perubahan yang bersifat segera dan mudah – sedangkan perubahan tidak semudah yang kita angan-angankan. Kata-kata murabbi ini : “ Katakan kepada orang yang mengharapkan sesuatu yang tinggi. Tanpa bersusah payah, kamu hanya mengharapkan sesuatu yang mustahil. Kenikmatan tidak mungkin diperolehi dengan kenikmatan pula. Setiap sesuatu yang bernilai tinggi pasti ada harganya. Kejayaan tidak akan diraih dengan kesenangan,mahupun kenikmatan. Ini kerana kedua-dua itu hanya akan datang selepas keperitan, kesusahan dan kesengsaran.”

Sebenarnya perubahan menjadi sukar kerana menuntut kita untuk meninggalkan sesuatu tabiat atau kebiasaan yang salah kepada yang betul. Untuk merubah tabiat atau kebiasaan-kebiasaan yang sudah mendarah daging dalam jiwa kita bukanlah mudah melain kita benar-benar bertekad, berazam dan menjiwai sebab serta alasan untuk kita berubah.Oleh itu, perubahan yang sebenarnya bermula dari dalam diri kita iaitu apabila kita membina matlamat hidup yang jelas sehingga kita sanggup berkorban untuk mencapai apa yang kita benar-benar hajati. Tanpa memiliki kejelasan matlamat yang tinggi adalah terlalu sukar untuk kita berubah.
Sesuatu yang sukar, payah dan susah harus digerakan bersama-sama suatu perasaan yang sangat luar biasa dan hebat. Segala hasrat, cetusan dan perasaan untuk berubah jika tiada daya sekuat tolakan dorongan keinginan yang padu, ianya hanyalah suatu gerakan perubahan yang tiada nilai apa-apa. Kerana itu, ramainya mengalami fenomena berubah ala kadar sahaja.

Mereka kehilangan sesuatu dalam melakukan perubahan. Imam Ibn Qayyim pernah berkata:

“Orang yang berjalan mesti memiliki semangat yang akan menjalankannya dan menyampaikannya ke puncak. Sedangkan ilmu hanya menyuluh dan menunjukinya”. Justeru mereka tidak mempedulikan kesusahan, kepedihan, kegetiran dan cabaran yang menempuhinya. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedang ia adalah mukmin, Maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik”. (Al-Isra’ 17 : 29)

Berubah atau Hijrah Menuju kerana Allah. Dimanakah tahap kita sekarang? Sedarkah kita bahawa, kita perlu melakukan perubahan untuk mendaki anak tangga yang lebih baik? Berubah atau terus menerus membeku atau termenung ditahap lama, yang manakah menjadi pilihan anda? Mari sama-sama kita muhasabah semula sedalam-dalamnya. Ma’al Hijrah (1433) dah pun berlalu Tahun Masehi (2012) bakal menjelang, pastikan kita benar-benar membuat keputusan untuk berubah dan kekal dalam momentum perubahan yang sebenar Berubah dan hijrah, menuju Allah adalah menjadi matlamat kita yang utama. Saya mendoakan kepada anda semua semuga yang terbaik dapat diciptakan dan dibuahhasilkan dari perjalanan perubahan kali ini selamat berjaya, Insyaallah kita mampu merealisasikannya.

Tuesday, December 20, 2011

Ulang Tahun Perkahwinan yang ke 26

Tanggal 21 Disember 1985 bersamaan 9 Rabiul Akhir 1406, hari Sabtu adalah tarikh perkahwinan kami.



Sesudah 26 tahun berlalu kami masih seperti dahulu dan kami dikurniakan 5 orang cahaya mata yang amat kami banggakan.


Kami berharap kesemua anak kami hidup cemerlang, berjaya dan menajdi anak yang hebat. malah menjadi anak yang solih dan solihah


Walau apa pun yang berlaku, saya mengharapkan semuga Allah merahmati kami sekeluarga. Amin Ya Rabbil Alamin


Mahasuci Allah hingga keakhir hayat hendaknya. Syukur Alhamdullillah...

Thursday, December 15, 2011

Senarai DYMM Seri Paduka Yang Dipertuan Agong Malaysia

Berikut adalah senarai Yang di-Pertuan Agong:


Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Pertama :
Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad (Negeri Sembilan)
Permaisuri Agong :
Tuanku Puan Besar Kurshiah bt Almarhum Tuanku Besar Burhanuddin
Tempoh Memerintah :
31 Ogos 1957 - 01 April 1960
Mangkat: 1 April 1960 (mangkat semasa memerintah sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama)
Ditabal: 2 Sept 1957

Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Kedua :
Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah (Selangor)
Permaisuri Agong :
Tengku Ampuan Jemaah bt Raja Ahmad
Tempoh Memerintah :
14 April 1960 - 01 September 1960
Mangkat: 1 Sept 1960
Ditabal: 1 Sept 1960 (mangkat beberapa jam sebelum ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong kedua)
Tempoh Jawatan: Menjalankan tugas Yang di-Pertuan Agong sejak 4 April 1960 berikutan kemangkatan Tuanku Abdul Rahman)


Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Ketiga :
Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail (Perlis)
Permaisuri Agong :
Tengku Budriah bt Almarhum Tengku Ismail
Tempoh Memerintah :
21 September 1960 - 20 September 1965
Mangkat: 16 April 2000
Ditabal: 4 Jan 1961
Tempoh Jawatan: 21 Sept 1960 – 20 Sept 1965 (Raja paling muda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong iaitu pada usia 40 tahun)


Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Keempat :
Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III (Terengganu)
Permaisuri Agong :
Tunku Intan Zaharah bt Tengku Omar Setia Raja
Tempoh Memerintah :
21 September 1965 - 20 September 1970
Mangkat: 20 Sept 1979
Ditabal: 21 Sept 1965
Tempoh Jawatan: 21 Sept 1965 – 20 Sept 1970


Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Kelima :
Tuanku Al-Mutassimu Billahi Muhibbudin Sultan Abdul Halim Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah (Kedah)
Permaisuri Agong :
Tunku Hajah Bahiyah bt Almarhum Tuanku Abdul Rahman
Tempoh Memerintah :
21 September 1970 - 20 September 1975
Ditabal: 20 Feb 1971
Tempoh Jawatan: 21 Jan 1970 – 20 Sept 1975


Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Keenam :
Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim Petra (Kelantan)
Permaisuri Agong :
Tengku Zainab bt Tengku Mohammad Petra
Tempoh Memerintah :
21 September 1975 - 30 Mac 1979
Mangkat: 29 Mac 1979
Ditabal: 28 Feb 1976
Tempoh Jawatan: 21 Sept 1975 – 29 Mac, 1979


Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Ketujuh :
Sultan haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah (Pahang)
Permaisuri Agong :
Tengku Haja Afzan bt Tengku Mohammad Panglima Perang
Tempoh Memerintah :
26 April 1979 - 25 April 1984
Ditabal: 10 Julai 1980
Tempoh Jawatan: 26 April 1979 – 25 April 1984


Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Kelapan :
Baginda Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Ismail (Johor)
Permaisuri Agong :
Sultanah Zanariah bt Tengku Ahmad Panglima Raja
Tempoh Memerintah :
26 April 1984 - 25 April 1989
Mangkat : 23 Jan 2010
Ditabal: 15 Nov 1984
Tempoh Jawatan: 15 April 1984 – 25 April 1989


Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Kesembilan :
Sultan Azlan Muhibuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzudin Shah Ghafarullahu-lahu (Perak)
Permaisuri Agong :
Tuanku Siti Bainun bt Mohd Ali
Tempoh Memerintah :
26 April 1989 - 25 April 1994
Ditabal: 18 Sept, 1989
Tempoh Jawatan: 26 April 1989 – 25 April 1994


Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Kesepuluh :
Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman (Negeri Sembilan)
Permaisuri Agong :
Tunku Najihah bt Almarhum Tunku Besar Burhanuddin
Tempoh Memerintah :
26 April 1994 - 25 April 1999
Mangkat : 27 Dis 2008
Ditabal: 22 Sept, 1994
Tempoh Jawatan: 16 April, 1994 – 25 April, 1999


Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Kesebelas :
Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj (Selangor)
Permaisuri Agong :
Tuanku Siti Aisyah bt Abdul Rahman
Tempoh Memerintah :
26 April 1999 - 21 Novenber 2001
Mangkat: 21 Nov 2001 (mangkat semasa memerintah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-11)
Ditabal: 23 Sept 1999
Tempoh Jawatan: 26 April 1999 – 21 Nov 2001


Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Keduabelas :
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail (Perlis)
Permaisuri Agong :
Tengku Fauziah bt Almarhum Tengku Abdul Rashid
Tempoh Memerintah :
13 Disember 2001 - 12 Disember 2006
Ditabal: 25 April 2002
Tempoh Jawatan: 13 Dis 2001 – 13 Dis 2006


Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Ketigabelas :
Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Tuanku Al-Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Al-Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj (Terengganu)
Permaisuri Agong :
Tuanku Nur Zahirah
Tempoh Memerintah :
13 Disember 2006 – 12 Disember 2011
Ditabal: 26 April 2007
Tempoh Jawatan: 13 Dis 2006 – 12 Dis 2011


Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Keempatbelas :
Tuanku Al-Mutassimu Billahi Muhibbudin Sultan Abdul Halim Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah (Kedah)
Permaisuri Agong :
Sultanah Hajjah Haminah Binti Hamidun
Tempoh Memerintah :
13 Disember 2011 - 12 Disember 2015
(Dilantik untuk kedua kali)

Yang Pertama Mengerjakan Solat


SUBUH:

Orang yang pertama mengerjakan solat Subuh ialah Nabi Adam a.s., iaitu tatkala baginda keluar dari syurga lalu dihantar ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar Subuh telah keluar Nabi Adam a.s. pun bersolat dua rakaat.

Rakaat pertama :- Bersyukur baginda kerana terlepas dari kegelapan malam.
Rakaat kedua :- Bersyukur baginda kerana siang telah menjelma.

ZOHOR:
Orang yang pertama mengerjakan solat Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s., iaitu tatkala Allah s.w.t. telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Sedang seruan itu datangnya pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim empat rakaat.

Rakaat pertama :- Bersyukur bagi penebusan.
Rakaat kedua :- Bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
Rakaat ketiga :- Bersyukur dan bermohon akan keredhaan Allah.
Rakaat keempat :- Bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.

ASAR:
Orang yang pertama mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s., tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari perut ikan nun. Ikan nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersolat empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah daripada 4 kegelapan iaitu:

Rakaat pertama :- Kelam dengan kesalahan.
Rakaat kedua :- Kelam dengan air laut.
Rakaat ketiga :- Kelam dengan malam.
Rakaat keempat :- Kelam dengan perut ikan Nun .

MAGHRIB:
Orang yang pertama mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s., tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukurlah Nabi Isa lalu bersolat tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut, iaitu:

Rakaat pertama :- Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
Rakaat kedua :- Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
Rakaat ketiga :- Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah jua, tiada dua atau tiga.

ISYAK:
Orang yang pertama mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s. Pada ketika itu Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah lalu menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu solatlah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.

Rakaat pertama :- Dukacita terhadap isterinya.
Rakaat kedua :- Dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
Rakaat ketiga :- Dukacita terhadap Firaun.
Rakaat keempat :- Dukacita terhadap anak Firaun.

Tuesday, December 13, 2011

Kuasa Dua Insan (Suami dan Ibu)

Hanya ada dua orang yang mempunyai kuasa ini. SUAMI dan IBU. Kuasa suami ke atas isteri dan kuasa ibu ke atas anak-anak. Kuasa Mutlak ini sungguh besar ertinya di sisi agama Islam sehingga seseorang itu akan dimurkai Allah sekiranya dia menyakiti hati dua golongan tadi.

Sebagai contoh, seorang isteri yang melukai hati suaminya walau sedikit akan berdosa besar (bukan dalam kes terkecuali) begitu juga anak2 terhadap ibunya. Kalau isteri - bayangkan seorang isteri yang secara tidak sedar menyakiti hati suaminya dan tidak meminta maaf. Isteri tersebut akan terus berdosa dan sekiranya dia hamil, anak tersebut akan dikandung didalam badan yang berdosa. Besar kemungkinan anak tersebut akan mendapat banyak sifat2 yang tidak baik dan seterusnya anak itu lahir dan membesar dan menjadi dewasa dan membawa sifat2 yang tidak elok itu kedalam zuriatnya. Tambahan pula dalam keadaan berdosa bagaimana doa2nya akan diterima Allah? Tanpa doa yang diterima, apalagi daya kita untuk mendapat kebahagiaan?

Kalau anak-anak cukup senang untuk mendapat dosa. Terguris sahaja hati ibunya oleh kata-kata atau perbuatan maka anak tersebut akan berdosa. Yang paling ditakuti dosa tersebut tidak disedarinya. Sekiranya anak tidak meminta ampun maka dosa tersebut akan terus dipikul. Kesanya, doa-doa anak tersebut tidak diterima Allah, ibadatnya tidak mendapat pahala, hidupnya akan tidak mendapat berkat dan lain-lain. Akhirnya anak akan mendapat berbagai balasan dari Allah dibumi lagi.

Kita sering ditakutkan oleh para ustaz tentang cerita bagaimana dua orang pemuda yang solleh mendapat seksaan Allah dizaman Nabi saw.

Yang seorang sebab dia TAK SEDAR menyakiti ibunya apabila habuk yang disapu terkena ibunya TANPA DISEDARI. Dan yang seorang lagi kerana TANPA DISEDARI dia menyakiti hati ibunya kerana mengutamakan isterinya. Kedua-dua diseksa oleh Allah sehingga nabi memerintahkan kedua ibu tadi mengampunkan anak2nya.

Ustaz kata cerita tersebut menyuruh kita sentiasa taat kepada ibu. Sebenarnya itu hanyalah setengah dari pengajaranya. Ada lagi setengah - IBU mesti tahu kuasa yang diberi kepada mereka.

Oleh itu IBU MESTI MENGAMPUNKAN ANAKNYA SETIAP MALAM sama ada anaknya meminta atau tidak dan

begitu juga dengan SUAMI MESTI MENGAMPUNKAN ISTERINYA SETIAP MALAM samada isteri meminta atau tidak.

Cerita tersebut mengajar kita bahawa sebagai IBU kita mempunyai satu kelebihan yang besar keatas anak-anak kerana berdasarkan cerita itu tidak mungkin pemuda-pemuda tersebut sedar akan kesalahan mereka. Kalau dah tak sedar, bagaimana pula ingin meminta ampun.

Seorang suami dan ibu MESTI tahu akan KUASA MUTLAK ini dan kuasa ini hendaklah dijaga dengan baik. InsyaAllah bermula dari satu keluarga yang mana suami memaafkan isteri dan ibu memaafkan anak, maka lahirlah satu masyarakat yang mendapat berkat dari Allah, sentiasa dibawah lindunganNya dan menjadi umat Islam yang menghayati Islam.

Ingatlah seorang ISTERI (wanita) mesti taat kepada SUAMInya (lelaki). Si SUAMI (lelaki) mesti taat kepada IBUnya (wanita). Isteri akan menjadi ibu yang akan melahirkan anak yang akan menjadi suami (anak lelaki) dan juga isteri (anak perempuan) dan seterusnya mereka akan melahirkan pula bakal2 suami dan isteri.

Jadi tidak ada yang ketinggalan. Semuanya akan merasa mempunyai KUASA MUTLAK. Tetapi yang penting bukanlah 'mempunyai' tetapi MESTI menggunakan dengan bijak.

Sunday, December 11, 2011

Membina Keyakinan Diri - Kita Boleh


Jika kau fikirkan kau boleh, kau boleh melakukan. Jika kau fikirkan ragu-ragu, usaha mu tidak menentu. Keyakinan bukan bermaksud untuk menjadi bongkak dan taksub… Kita tidak perlu meyakinkan orang ramai. Kita hanya perlu meyakinkan diri kita sendiri sahaja. Usah risau dalam meyakinkan orang ramai… kita perlu tunjuk bahawa cita-cita kita tercapai - itu sahaja yang akan meyakinkan orang ramai. Dalam usaha untuk mencapai apa jua cita-cita kita, kita perlu mempunyai keyakinan di dalam hati bahawa cita-cita tersebut akan dicapai! Dengan keyakinan yang tinggi, ia akan menjadi penggerak kepada kita untuk tidak menoleh kebelakang lagi


Kenapa kita perlu ada sikap yakin diri? Berikut adalah 2 sebab kenapa Kita perlu ada sikap yakin diri:

1. Kita mahu ada semangat untuk maju dalam apa yang kita lakukan sekarang. Kita mahu apa yang kita buat berhasil. Bila tidak ada keyakinan diri, kita tak ada desakan inspirasi untuk berusaha, lantas membuat kita rugi banyak masa. Orang yang tidak ada rasa yakin diri hanya akan menghabiskan masa berkira-kira nak membuat sesuatu.

2. Kita tak nak kita teragak-agak akhirnya hilang semangat untuk mula mencuba. Orang yang ada rasa yakin diri sanggup mendepani apa saja yang akan berlaku, terus buat lebih dari sekadar mencuba-cuba. Kita pula rugi banyak sebab langsung tak mencuba, tak membuat dan tak ada inisiatif untuk mula mencuba, walaupun sekadar hanya untuk mencuba sedikit cuma. Orang yang ada sikap yakin diri adalah orang yang berani, tapi tenang.

Tenang tak bermaksud air mukanya kena selamba. Tenang tu maksudnya mahir mengawal emosi, kata-katanya terkawal, tindakannya terkawal, ideanya bernas, pendapatnya tepat. Tanya diri sendiri, adakah kita ni orang yang tenang

4 perkara yang membuat kita tidak yakin pada diri sendiri adalah:

1. Kita takut mencuba.
Mencuba adalah melakukan sesuatu buat pertama kali. Kita takut mencuba sebab Kita ragu. Bila Kita sudah tidak mahu melakukan apa-apa untuk mencuba serta memilih untuk kekal sebegitu, keyakinan diri Kita langsung tidak ada. Keyakinan diri tetap tidak akan ada selagi hal ini belum diubah.

2. Kita sangsi pada kebolehan diri Kita.
Kita sangsi pada kebolehan diri sebab Kita taksub pada kebolehan orang lain. Kita nampak orang lain lebih berkaliber daripada diri Kita sehingga Kita sendiri mempersoalkan di mana kebolehan Kita. Kita merasa tidak yakin kerana kebolehan orang lain yang Kita nampak tu jauh lebih tinggi, terasa bagai mustahil untuk Kita menyamai kebolehannya. Maka, Kita tak nampak di mana kekuatan Kita.

3. Kita terlalu banyak minta pendapat orang lain, kurang mendengar suara hati sendiri.
Apabila terlalu banyak meminta pkitangan orang lain, Kita akan jadi ‘keliru’ kerana menerima berpuluh pendapat berlainan hingga menyebabkan kita tidak yakin pada diri sendiri. Meminta pendapat itu boleh, tapi biarlah untuk Kita mencari idea baru sebagai pelengkap kepada idea yang Kita telah fikirkan. Perangai meminta pendapat jika dilakukan berlebihan akan membuat Kita hilang keyakinan sebab Kita menyerahkan nasib hidup Kita untuk ditentukan oleh orang lain melalui pendapat-pendapat mereka. Kita bagaikan tidak tahu ke mana arah yang mahu dituju. Kekadang ada orang suka memperbodohkan Kita dengan memberi pendapat palsu. Hati-hati dengan orang sebegini. Dengarlah suara hati kita. Rohani kita tahu apa yang terbaik untuk diri kita di iringi panduan ilham dari Tuhan.

4. Kita banyak mengutuk diri sendiri.
Kita menyumpah-nyumpah diri sendiri sebab melakukan kesilapan. Kita sukar menerima kesilapan. Kita merasa malu, kecewa, hampa. Perasaan ini terperap dalam di minda Kita berbulan-bulan lamanya. Ini menyebabkan rasa rendah diri menebal dalam diri kita dan menyebabkan kita mudah kecewa dan putus asa

Itu hanyalah 4 perkara dominan. Jika salah satu daripadanya ada pada Kita, berwaspada kerana ia akan menghancurkan motivasi Kita sekelip mata. Kita akan susah membina rasa yakin diri. Jadi buanglah sejauh mungkin jika ada 4 perkara pada diri kita untuk kita terus Berjaya dan Berjaya.

Untuk meningkatkan rasa kendiri yang jati kita perlu menanamkan keyakinan diri. Berikut 5 langkah untuk membangun kepercayaan diri

1. Hindari Mencari-Cari Alasan
Begitu ramai orang mengurungkan niat mereka dengan mengajukan alasan yang tidak masuk akal dan samasekali salah. Seperti :

- Saya tidak boleh
- Saya tidak mampu sebab…
- Pendidikan saya belum cukup utuh
- Saya sudah terlalu tua
- Saya masih terlalu muda, dll

Siapapun dapat mencari alasan bagi hampir segalanya, maka dalam membangun kepercayaan diri, jangan sekali-kali membuat alasan. Perkara ini mungkin sangat menyenangkan dan mententeramkan hati, tetapi alasan-alasan hanya akan menghambat seseoarang dari pencapaian sasaran. Ingatlah bahawa otak kita adalah kawasan penyimpanan — apa yang kita masukkan pada gilirannya akan keluar lagi, jadi gantilah penyisipan perkara negatif dengan perkara positif.

2. Gunakan Daya Imiginasi
Otak dengan kapasitinya yang tidak terbatas dapat membantu kita dengan tanpa batasan mencapai cita-cita hidup jika kita memberinya kesempatan. Biarkan dia menggambarkan diri kita sebagai peribadi yang kita inginkan. Dengan jelas menggambarkan apapun wujud yang kita inginkan. Semakin kita memikirkan itu semua semakin besar kepastian akan suatu hasil yang positif. Jika kita terus menerus membiarkan fikiran kita dipenuhi dengan bermacam-macam pemikiran mengenai penyakit dan kesihatan yang buruk, kita hampir pasti akan mengalami penyakit yang kita pikirkan. JIka kita terus menerus memikirkan hasil negatif tentang pergaulan atau karier bisnes, pemikiran itu pada gilirannya akan mengakar dalam diri kita.

Maka dalam proses membangun kepercayaan diri dengan menggunakan proses kesan daya imiginasi otak, pentinglah untuk menjadi yakin bahawa apa yang sedang kita fikirkan dan lihat dengan jelas adalah perkara yang positif. Perkara yang positif itu harus memungkinkan kesan positif pada diri kita dan peningkatannya, serta pemikiran positif itu harus mengarah ke sasaran kita, cita-cita dan kebahagiaan dalam hidup.

3. Jangan Takut Gagal
Kegagalan telah mengahalangi begitu ramai orang sehingga mereka mundur sebelum mencuba, berbuat atau meraih keberhasilan sebab mereka tidak mampu menerima terminologi dimana ada kemungkinan untuk gagal. Sebahagian orang benar-benar tidak pernah mencuba sesuatupun sebab rasa takut gagal ini telah menguasai otak mereka selama bertahun-tahun. Setiap hari mereka memikirkan kegagalan ini sehingga mereka tidak pernah sungguh-sungguh melakukan sesuatu dan pada akhirnya mereka tidak percaya diri dan penuh keraguan.

4. Penampilan Membentuk Kepercayaan Diri
Penampilan luar memang bukan segalanya. Kadang-kadang perlu untuk membelanjakan wang demi penampilan luar yang menarik, kerana dengan penampilan luar yang menarik memberi kesempatan yang ada dalam diri kita untuk merasa baik. Tetapi haruslah tetap bersikap realistik. Sebahagian orang bersikap berlebihan dalam penampilan mereka dan pada akhirnya semua itu hanya demi kepuasan ego mereka sahaja.

5. Susunlah Catitan Mengenai Sukses Yang Diperoleh
Setiap orang pernah mencapai kejayaan dalam hidupnya. Cara mengumpulkan catitan kejayaan masa lalu sangat sederhana. Fikirkan balik kejayaan kita yang paling awal yang mungkin terjadi pada masa sekolah ketika memenangi lumba lari sambil meletakkan “Bean Bag” atas kepala atau berlari dengan memakai guni “Sack Race”.

Mungkin juga berawal dari ucapan tahniah ketika memenangi pertandingan lukisan. Ini dapat dilakukan secara lisan pada suatu audio kaset atau buku catitan. Kita boleh melihat kembali catitan dan memperbaharui aset paling berharga kita dengan kenangan akan kejayaan tersebut.

Motivasi hanya dapat mengabadikan diri berdasarkan harapan. Untuk memotivasi diri, seseorang harus memiliki harapan tentang sebuah masa depan. Oleh kerana itu dalam memotivasi diri seseorang bertanggungjawab untuk menciptakan sendiri harapannya.

Hidup yang tidak memiliki tujuan jauh lebih menakutkan daripada hidup yang tidak mencapai tujuan

MELATIH DIRI UNTUK BERJAYA DALAM HIDUP

Jangan berpuashati dengan keadaan baik yang ada pada anda sekarang melainkan anda telah berusaha keras untuk menjadikan yang baik itu menjadi lebih baik. Teruskan belajar untuk memperbaiki hidup agar matlamat ini tercapai. Belajar tidak semestinya melalui sekolah formal atau buku-buku mahal. Kita boleh belajar dan terus belajar melalui pengalaman hidup kita sehari-harian atau melalui pengalaman orang lain. Bak kata pepatah, belajarlah daripada kesalahan-kesalahan orang lain kerana anda tidak akan hidup lama untuk melakukan kesalahan-kesalahan itu sendirian.

1. Tenang – Sikap tenang boleh menjernihkan fikiran dan membulatkan tindakan yang lebih tepat. Berbanding dengan orang yang tidak tenang fikirannya kusut dan ragu-ragu dalam melakukan sesuatu tindakan.

2. Pandai Merancang – Orang yang pandai merancang kehidupan akan sentiasa meletakkan perkara penting sebagai keutamaan dalam hidup berbanding dengan orang yang tidak pandai merancang mereka selalu meletakkan perkara remeh sebagai keutamaan.

3. Sentiasa Ingin Belajar – Kemampuan seseorang manusia bukan berasal dari pembawaannya sejak dilahirkan, tetapi merupakan hasil dari proses pembelajaran yang dilakukannya secara konsisten sejak dari kecil. Oleh sebab itu jangan berhenti belajar sampai bila-bila pun. Di samping itu, dalam proses pembelajaran kita setiap hari kerendahan hati amat membantu kita untuk menyerap dengan mudah semua ilmu pengetahuan yang diinginkan.

4. Suka Memberi – Dalam hidup ini kita tidak seharusnya hanya belajar menerima sesuatu dari orang lain. Kita seharusnya belajar memberi yang terbaik kepada orang lain kerana ini akan membuatkan orang lain lebih menghargai kita.

5. Tidak Berlengah – Sifat suka menunda atau melewat-lewatkan sesuatu usaha boleh melambatkan pencapaian sesuatu matlamat. Oleh itu, kita mesti sentiasa cepat bertindak kerana waktu itu adalah amat berharga.

6. Personaliti Cemerlang – Perwatakan utuh itu adalah nadi kehormatan dan kegemilangan sesuatu bangsa. Seperti dalam pepatah orang Tionghoa,” Waktu yang diperlukan untuk menanam dan memelihara sebatang pohon adalah 10 tahun, tapi untuk membentuk watak yang utuh untuk sesuatu bangsa memerlukan waktu paling sedikit 100 tahun.”

Ehsan dari Farith Ismeth

Thursday, December 8, 2011

Mengubati Hati Yang Lara

Pelbagai perkara berlaku dalam kehidupan seharian kita. Tanpa diduga kita berhadapan dengan masaalah berkaitan hati. Ada ketikanya, hati kita terluka kerana disakiti oleh orang lain atau suasana. Ini akan membuatkan kita kurang selesa dan mula mengambil tindakkan yang adakala boleh mengakibatkan perselisihan faham dan merugikan diri. Beberapa cara boleh kita amalkan untuk mengubati hati yang terluka. Keberkesanannya bergantung kepada diri kita, namun berikut adalah cara yang sering dikongsi oleh pakar.

1. Latih Minda Melupakan Kenangan Pahit
Bunyinya senang nak dibuat, tapi perlu diaplikasi berterusan. Mengaku saja kita sering merasa sedih sebab banyak kali mengingat kenangan pahit atau selalu kembali ke memori silam yang lalu, betul tak? Kita kena cut connection feeling kita dengan emosi yang lalu. Mulai hari ini, tekadkan diri untuk melupakan semua itu, selupa yang mungkin. Bulatkan azam untuk fokus kepada masa depan kita, cita-cita, keluarga, kerjaya, kewangan, keilmuan dan rakan-rakan. Kita takkan dapat melupakan kesemua memori pahit sekaligus, tapi lakukan step by step dengan mengalihkan perhatian kita kepada perkara lain. Proses ini mengambil masa, tapi ia boleh dipercepatkan dengan disiplin diri.

2. Buang Sikap Risau
Ada dua kesan dari sikap risau ni, pertama ia menarik nasib tak baik, masaalah dan musibah - tanpa kita pinta. Kedua, memberi kesan buruk pada kesihatan kita dari segi fizikal dan mental. Risau membuat kita selalu menjadi sedih dan kecewa. Untuk buang sikap risau, belajar untuk bertenang dan latih diri kita mengawal emosi.

3. Belajar Rajin Bersyukur
Ucap syukur atas kesemua yang kita ada, apa saja! Misalnya, ucap syukur kerana kita masih ada 5 deria yang lengkap; kita boleh melihat dan menarik nafas tiap kali bangun tidur, kita ada kawan rapat yang memahami kita dan kita mempunya handphone kesayangan kita. Ucap syukur seikhlas hati, sebanyak yang mungkin, seikhlas mungkin hingga rasa syukur tu meresap jauh ke dalam diri. Buat banyak kali dalam sehari.
4. Belajar Menjadi Pemaaf
Sikap pemaaf dapat membersihkan hati dari perasaan negatif dan emosi-emosi negatif. Seterusnya, meneutralkan gelombang fikiran negatif yang melekat bersarang di minda. Ketahuilah, kita selalu rasa sedih dan kecewa kerana kita tidak memaafkan kesalahan diri kita di masa lalu ataupun kita tidak memaafkan kesalahan orang lain tehadap diri kita satu ketika dulu. Belajar menjadi pemaaf dan menghapus semua ini lalu menarik ketenangan datang pada diri kita.

5. Ketawa, ketawa dan terus ketawa
Ketawa bukan dibuat-buat, tapi biar ketawa yang benar-benar menggembirakan kita serta menjadikan kita girang. Tonton video yang lucu, baca cerita yang lucu, dekatkan diri kita dengan rakan-rakan yang lucu serta cari "funny side" dalam setiap situasi; agar kita boleh ketawa secara automatik. Ketawa dapat menghilangkan sedih. Buat apa layan kecewa sedangkan kita boleh ketawa? Come on...

6. Ubah Fikiran
Kita tak boleh merubah situasi yang boleh membuat kita kecewa, sedih dan murung. Tapi, kita boleh merubah fikiran kita dan apa yang kita fikirkan tentang situasi-situasi tersebut walau seburuk manapun ia. Rahsianya, cari sinar mentari disebalik mendungnya awan. Walaupun perkara tidak berpihak kepada kita, cari cara bagaimana kita boleh jumpa nilai-nilai positif di dalamnya. Fikir yang baik-baik saja, kerana ia memberi keuntungan jangka masa panjang. Rezeki kita murah dan segala yang baik-baik datang sendiri pada kita. Kita menjadi apa yang kita selalu fikirkan. Buat apa fikir yang buruk sedangkan kita boleh tarik semua yang baik-baik? Fikir yang buruk, Kita dapat yang buruk jawapnya. Ini hukum alam dinamakan hukum sebab dan akibat.

7. Hati Mesti 'Keras'
Bukan keras sembarangan, maksudnya kekerasan hati, kesabaran yang tinggi, kita mengawal emosi dan menerima hakikat dengan hati terbuka. Allah menurunkan musibah, permasalahan dan macam-macam lagi bukan sekadar dugaan, tapi balasan pada perbuatan-perbuatan kita di masa lalu. Buat baik, dibalas baik, begitu juga sebaliknya. Cuba ingat balik kejahatan kecil yang kita lakukan pada orang lain, mungkin ada walau kita tak sedar. Itulah perlunya kita bersikap baik dan berfikir yang baik-baik pada semua orang, benda, perkara, situasi dan keadaan. Sebelum masuk tidur, set minda untuk jadi ceria pada keesokan harinya.
Lafazkan dengan nada berbisik. Relaks, jangan terlalu mendesak diri. Selepas bangun tidur, katakan pada diri ini adalah hari yang baru untuk kita. Tekadkan diri untuk menjadikan hari yang baru untuk hari yang baik, sungguh baik, sebaik yang mungkin dari hari yang sebelumnya.

- Artikel ihsan iluvislam.com

Saturday, December 3, 2011

LAWAN DIRI SENDIRI SEBELUM MELAWAN YANG LAIN

Siapapun dari kita menginginkan kehidupan yang lebih baik dari hari ini. Dan mimpi itu biasanya hadir bilamana kita sendiri yang melakukannya; bukan sahabat kita, bukan orang tua kita, bahkan bukan pula orang lain. Dalam quran dinyatakan Allah SWT, tidak akan merubah satu kaum bila mereka sendiri tidak bersedia berubah.

Setiap saat dalam kehidupan kita, selalu terjadi “pertempuran” yang hebat antara kekuatan mulia yang berfikiran baik dan positif dengan kekuatan jahat yang berfikiran negatif dan dipenuhi hawa nafsu. Semua itu sudah menjadi kudrat manusia. Tetapi kita diberikan kebebasan untuk membuat pilihan. Bahkan Allah SWT, telah menganugerahi kita kekuatan mulia dan kecerdasan unuk menggunakannya serta bagaimana caranya menguasai fikiran dan perasaan kita itu, malah dengan mudah kita dapat memprogram diri kita agar menjadi sejahtera dan bahagia, meraih apa saja yang kita impikan.

Sebenarnya pertempuran terhebat adalah perang melawan diri sendiri, mengalahkan diri sendiri yang penuh di kuasai berbagai nafsu. Berusaha untuk menang dalam melawan diri sendiri adalah fitrah sebenarnya kita sebagai manusia, kerana musuh terbesar manusia adalah dirinya sendiri. Bak kata pepatah, “pertempuran yang paling sukar adalah perang melawan diri sendiri”.

Kita diberikannya akal dan fikiran agar tahu mana yang baik dan mana yang benar, mana yang salah dan mana yang tidak baik bagi dirinya. Akal dan fikiran manusialah yang mengendali untuk melawan hawa nafsunya, agar mampu menang dalam berperang melawan hawa nafsunya. Kalaulah manusia berbuat dan bertindak atas keinginan hawa nafsunya saja, lantas apa gunanya akal dan fikirannya, dan apa yang membedakannya dengan binatang

Kemenangan sejati bukanlah kemenangan atas orang lain,tapi kemenangan atas diri sendiri yang berpaksi di garis keberhasilan diri adalah pertandingan untuk mengalahkan rasa ketakutan, keengganan, keangkuhan, dan semua beban yang menambat diri di tempat permulaan. Jerih payah untuk mengalahkan orang lain sama sekali tak berguna. Pelari yang berlari untuk mengalahkan pelari yang lain, akan tertinggal kerana sibuk mengintip laju lawan-lawannya. Pelari yang berlari untuk memecahkan recordnya sendiri tak peduli apakah pelari lain akan menyusulnya atau tidak. Tak peduli dimana dan siapa lawan-lawannya. Ia mencurahkan seluruh perhatian demi memperbaikan catatannya sendiri. Ia bertading dengan dirinya sendiri, bukan melawan orang lain. Kerananya, ia tak perlu menipu diri. Keinginan untuk mengalahkan orang lain adalah awal dari kekalahan diri sendiri.

Hawa nafsu adalah sumber kehendak apa saja, baik kehendak positif maupun negatif. Angkuh, kezaliman, kebodohan, ekstrem, dan lain sebagainya terjadi di mana-mana kerana kita gagal berjihad melawan dirinya sendiri. Kita tidak akan menang menghadapi musuh atau lawan sebelum kita mampu berjihad menaklukkan diri kita sendiri. Kerana itu, puncanya dulu yang harus ditakluki, baru yang lainnya. Jihad melawan hawa nafsu harus didahulukan daripada jihad terhadap musuh Islam. Orang yang belum berjihad melawan hawa nafsunya terlebih dahulu untuk mengerjakan yang diperintahkan kepadanya, dan meninggalkan yang dilarang-Nya, maka dia tidak boleh melakukan jihad terhadap musuh yang ada di luar dirinya. Bagaimana mungkin seseorang dapat melawan musuh dari luar, sementara pada saat yang sama musuh dari dalam diri masih menguasai dirinya.
Rasulullah saw. bersabda: ”Orang yang sebenanya berjihad ialah orang yang berjihad melawan hawa nafsunya dalam meniti ketaatan kepada Allah. Dan orang yang sebenanya berhijrah ialah orang yang berhijrah dari apa yang dilarang oleh-Nya.” Dengan adanya dua musuh ini, seorang hamba diuji untuk melawannya.

Kita percaya bahawa kebahagian di dunia dan akhirat bergantung pada perilaku dan adab terhadap diri sendiri dan pada kesucian serta kebersihan jiwa. Begitu juga dengan kesengsaraan disebabkan kerosakan dan kekotoran jiwa hal ini nyata dalam firman Allah : “Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya” ( Asy-Syam [ 91] 9-10)

Rasullullah bersabda : “ Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bila melakukan sesuatu dosa terjadilah bintik hitam dalam hatinya. Bila dia bertaubat dan menghentikan dosanya dan mencela perbuatannya, hatinya akan bersinar kembali, dan apabila dosanya bertambah, akan bertambah pula bintik hitam itu hingga hatinya akan tertutup….” ( Nasa’i dan Tarmizi, hadis hasan sahih)

Oleh yang demikian kita haruslah berusaha menjaga dirinya dengan membersih dan menyucikan jiwanya. Kerana jiwa yang suci dan bersih dapat menjauhkan diri dari melakukan perbuatan-perbuatan yang buruk dan boleh merosakkan. Beberapa langkah yang perlu di lalui untuk mencapai kesucian jiwa iaitu :

a. Taubat
Taubat yang bermaksud menyucikan diri dari dosa dan maksiat, menyesali segala dosa yang telah dilakukan dan berazam untuk tidak mengulangi. Seperti firman Allah yang bermaksud: “ Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang seikhlas-ikhlasnya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai….” (at-Tahrim[66] : 8) dan sabda Rasullullah : “ Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah kerana aku bertaubat setiap hari seratus kali ” ( Muslim )

b. Muraqabah ( Pengawasan )
Kita sentiasa merasakan setiap perbuatan dan pergerakan diawasi oleh Allah. Sehingga kita yakin bahawa Allah sentiasa memerhatikan dan megetahui segala yang nyata mahupun tersembunyi .Dengan keyakinan itulah manusia merasakan jiwanya tenang mengingati Allah dan puas mendampingiNYA. Ia di nyatakan dalam firman Allah : “ Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia pun mengerjakan kebaikan .....” ( an-Nisa [4] : 125 ) dan Rasullullah juga bersabda : ” Beribadahlah kamu kepada Allah seperti kamu melihat-NYA, apabila kamu tidak melihat Allah, sesungguhnya Dia melihatmu ......” (Muttafaq ’alaih)

c. Muhassabah
Melakukan perhitungan terhadap diri sendiri di atas apa yang telah dilakukan demi mengecapi kebahagian di dunia dan akhirat. Sentiasa membuat perhitungan dengan apa yang telah dilakukan. Andainya apa yang dilakukan adalah perkara-perkara yang dilarang, maka mestilah segera beristigfar menyesali perbuatan dan segera bertaubat dan membuat kebaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan muhassabah terhadap diri sendiri.Ianya satu cara memperbaiki, mendidik, menyuci dan membersihkan diri Allah berfirman : “ Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah dilakukannya untuk hari esok (akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. ” (al-Hasyr [59] : 18)

d. Mujahadah (Berjuang Melawan Hawa Nafsu)
Hawa Nafsu adalah musuh yang paling besar bagi setiap individu Islam. Hawa nafsu hanya cenderung untuk melakukan kejahatan dan menjauhi kebaikan. Allah telah berfirman : “ Dan Aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan.....” (Yusuf [12] : 53 ) Sebagai umat Islam seharusnya kita berjuang untuk melawan hawa nafsu jangan sampai ianya menguasai diri kita. Didiklah nafsu agar tenang dan tenteram serta suci dan bersih. Allah berfirman : “ Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.” (al-Ankabut : 69)

Sesungguhnya kita mestilah sentiasa berjuang di jalan Allah demi memastikan nafsu terkawal, baik, bersih, suci dan tenteram serta memperolehi kemuliaan dan keredhaan dari Allah S.W.T. Bila diri boleh dikawal dengan keimanan yang meletakkan keutamaan hidup pada pengabadian diri pada Allah SWT maka perlawanan menguruskan hawa nafsu dapat kita bendung dengan jaya dan perhitungan dengan diri sendiri dapat kita kendalikan dengan mudah. Tidak timbul lagi kepayahan melawan diri sendiri tapi harus diingat kita perlu istiqamah, sabar dan redha kerana perjuangan ini berterusan sehingga nafas terakhir kita terhenti. Ini disebabkan perjanjian musuh kita iaitu syaitan yang sentiasa cuba memujuk manusia kejalan yang tak diredhai Allah SWT. Selamat Berjaya muga anda mampu menjadi Juara sebenar iaitu Juara Melawan Diri Sendiri.