DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Sunday, April 29, 2012

Kemanisan Iman

Kemanisan Iman

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Ada tiga hal, yang jika tiga hal itu ada pada seseorang, maka dia akan berasakan manisnya iman. (Iaitu) Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain keduanya; mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah; benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkan darinya, seperti bencinya jika dicampakkan ke dalam api.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik ra)

Berdasarkan hadis ini, ada tiga sifat yang jika ada pada seseorang maka orang itu akan berasakan manisnya iman. Manisnya iman adalah rasa nikmat ketika melakukan ketaatan kepada Allah, ketenangan jiwa, kesenangan hati dan lapangnya dada.

Al-Imam Ibn Hajar al-Asqalani berkata, “Syaikh Abu Muhammad bin Abu Hamzah berkata: “Pengungkapan dengan lafaz ‘manis’ kerana Allah mengumpamakan iman seperti pohon, seperti di dalam firman-Nya bermaksud:

“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik.”  (Surah Ibrahim, ayat 24)

Kalimat yang baik adalah kalimat ikhlas, kalimat tauhid, sedangkan pohon adalah pokok daripada keimanan, cabangnya adalah menjalankan perintah dan menjauhi larangan, daun-daunnya adalah segala amal kebaikan yang harus diperhatikan seorang mukmin, dan buahnya adalah tingkatan Ihsan dalam kerja-kerja amal yang dilakukan yang dirasai di sebaliknya pemerhatian Allah .

Manisnya buah pula amat dirasai ketika buah sudah cukup tua bersedia untuk dinikmati.

Mencintai Allah mestilah melebihi cintanya kepada orang lain seperti orang tua, anak, diri sendiri dan sesiapa saja yang dekat dengan kita. Beriman kepada Allah memiliki rasa manis yang tidak mungkin dinikmati, kecuali oleh orang yang beriman dengan sebenar-benar keimanan, penuh keikhlasan dan ilmu.

Oleh kerana itu, tidak semua orang yang mengatakan dirinya Muslim atau mukmin secara automatik dapat berasakan manisnya iman. Iman bukan cukup hanya dengan angan-angan, tetapi wajib dimantapkan dalam hati, dikuatkan dengan perkataan dan perbuatan yang dijiwai sepenuh hati. Kata kunci segala permasalahan ini adalah ikhlas, dan ikhlas pula adalah hadian dianugerahi pada hamba yang bersih hatinya.

Mengikut Ibrahim al-Khawas, proses pembersihan hati berlaku melalui langkah-langkah berikut :
  • Membaca al-Quran dengan merenungkan dan memahami maknanya.
  • Qiyamullail
  • Banyak beristighfar
  • Berkawan dengan orang yang jujur mencintai Allah dan orang salih.
  • Kurangkan makan
Mencintai Rasulullah SAW yang menyusul selepas mencintai Allah adalah ciri terpenting yang harus dimiliki siapa saja yang ingin berasakan kelazatan iman.

Dalam sebuah hadith yang sahih Saidina Umar al-Faruq pernah berkata kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, sungguh engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu apa pun, kecuali diriku.” Maka Nabi SAW menjawab, “Bukan begitu, demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sehingga aku lebih engkau cintai daripada dirimu sendiri.” Maka Umar menjawab, “Demi Allah, sesungguhnya engkau sekarang lebih aku cintai daripada diriku sendiri.” Maka Nabi SAW menjawab, “Sekarang Umar, (telah sempurna imanmu).”

Al-Syaikahani meriwayatkan dari Anas r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak beriman salah seorang di antara kalian, sehingga aku lebih dia cintai daripada orang tuanya, anaknya dan seluruh manusia.”

menurut Dr Aish al-Qarniy dalam kitabnya Rahmatan Lil Alamin, antara cara mencintai Nabi SAW:

- Beriman bahawa Muhammad SAW adalah utusan Allah, yang diutus kepada seluruh umat manusia, sebagai pemberi peringatan dan khabar gembira, sebagai penyeru ke jalan Allah dengan pembawa cahaya kebenaran.

- Menjalankan perintah Baginda dan menjauhi larangannya.
- Memperjuangkan sunnahnya, mengamalkan dan menyebarkan
- Banyak berselawat dan bersalam kepada Rasulullah SAW.
- Mencintai sahabat dan kaum kerabat Baginda dan membela mereka.
- Mengkaji perjalanan hidup dan sirah Baginda

Mencintai seseorang kerana Allah maksudnya menjaga hubungan kasih sayang antara seorang Muslim dengan saudaranya atas landasan iman kepada Allah SWT dan amal soleh.
Kita mencintai saudara kita bukan kerana keuntungan kebendaan atau harta, kita membencinya atau menjauhinya bukan kerana kemiskinan atau tidak memperoleh manfaat dunia darinya. Ukuran kecintaan kita kepadanya adalah atas dasar iman dan amal salih.Tanda mencintai seseorang muslim juga ialah menolongnya pada saat dia memerlukan bantuan, tidak membuka aib, tidak membenci, tidak iri dan dengki terhadap nikmat yang diberikan Allah kepada saudara kita.

Selain itu kita juga hendaklah mendoakan buat saudara kita tanpa pengetahuannya dan mengucapkan salam jika bertemu, bertanya khabar keadaannya, tidak berkelakuan sombong kepadanya.

sumber: zahazanmohamed

Thursday, April 26, 2012

Mencari Keberkatan Rezeki

Islam menuntut umatnya supaya bekerja dan berusaha sehingga bebas daripada belenggu kemiskinan.Kemiskinan boleh menggelincirkan iman kerana seseorang yang lemah imannya akan sanggup menggadaikan aqidahnya dengan melakukan pekerjaan yang terlarang serta menuturkan kata-kata yang menolak kebesaran Allah seperti menafikan keadilan Allah dan sebagainya. Setiap pekerjaan yang dilakukan oleh manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup di dunia merupakan ibadat iaitu selagi ia dilakukan dengan niat yang baik dan tidak melanggar hukum-Nya. Rezeki yang berkat adalah rezeki yang dicari dengan titik peluh sendiri, bukan dengan cara menunggu pemberian daripada orang lain seperti meminta sedekah, derma dan sebagainya padahal tubuh badan masih lagi kuat dan sihat. Hal ini amat dilarang keras oleh Islam kerana ia merupakan perbuatan yang memalukan dan menghinakan
Selalunya manusia itu apabila berkaitan dengan berkah (berkat, barakah) menjuruskan kepada rezeki dan menilai disegi banyaknya keuntungan yang diperolehi. Sebaliknya mereka beranggapan tiada keberkatan daripada Allah SWT apabila rezeki yang mendatang itu sedikit sedangkan usaha yang dikeluarkan cukup banyak dan berlipat ganda, namun kepada kedua kedudukan tersebut manusia selalu terlupa dan tidak mahu bersyukur kepada Allah. Kehidupan yang berkat itu sebenarnya akan sentiasa mencukupkan dan kecukupan itu membolehkan keberkatan didalam kehidupan. Apabila mempersoalkan amaun banyak atau sedikit, bererti manusia itu tidak pernah puas sehinggakan tidak tahu mereka bersyukur, maka tiadalah keberkatan dari Allah  didalam kehidupan. Sesungguhnya segala yang dimiliki oleh manusia diatas muka bumi ini walau sebanyak mana atau sangat sedikit, mahu pun mungkin tidak punya suatu apa, sebenarnya segala itu adalah kurnia daripada Allah SWT.

“Sesungguhnya Allah yang Maha Luas KurniaNya lagi Maha Tinggi akan menguji setiap hambaNya dengan rezeki yang diberikan. Barang siapa yang redha dengan pemberian Allah, maka Allah akan memberkati dan melapangkan rezeki baginya dan barang siapa yang tidak redha nescaya rezekinya tidak diberkati” {HR Ahmad} Nabi Muhammad SAW melalui Sabda Baginda diatas sekali gus menjelaskan bahawa keberkatan dari Allah SWT itu tidak ditentukan amaun banyak atau sedikit rezeki yang diperolehi. Keberkatan Illahi itu terletak diatas rasa keredhaan hamba Allah keatas apa sahaja bentuk mahu pun jumlah kurniaanNya. Sebaliknya rezeki itu sendiri merupakan perujian daripada Allah SWT kepada manusia sejauh mana mereka benar benar bertaqwa dan berserah diri kepadaNya. “Wahai orang orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar benar takqwa kepadaNya, dan janganlah kamu mati melainkan dengan berserah diri” {3:102}

Dalam kita memahami pengertian rezeki yang berkat, kita tidak boleh membataskan rezeki itu hanya pada wang ringgit tetapi meliputi kesihatan. Ilmu,sahabat, masa lapang, idea dan berbagai lagi sehinggakan kemampuan melaksanakan amal ibadah juga merupakan rezeki. Bila kita dapat memahami makna rezeki yang berkat secara tidak lansung kita sudah menambahkan rezeki dengan meluaskan pengertian rezeki itu sendiri.
Memanjangkan ikatan silarurrahim juga merupakan cabang rezeki. Ini kerana selain kita mengekalkan ikatan yg sedia ada, menambahkan juga amat digalakkan malah yang paling utama menghubungi kembali mereka yang terputus hubungan oleh berbagai sebab seperti berdendam, menghilangkan diri atau rasa benci. Dalam menambah keberkatan rezeki terutama dalam perniagaan, rasa ukhwah amat penting kerana selain ramai kenalan, kita juga dapat mempromosikan dan menjual produk melalui rangkaian hubungan berasaskan Jemaah. Rasulullah sendiri ada bersabda yang bermaksud: *Sesiapa yang ingin dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur, hendaklah dia mengeratkan hubungan silaturahim.* Islam memuji mereka yang mahu menyambung hubungan silaturahim, bahkan Allah SWT akan memanjangkan umur dan melimpahkan rezeki kepadanya

Bersedekah walaupun kecil tetapi amat berharga di sisi Allah. Ini kerana setiap pemberian Allah akan mengandakan  dengan 700 kali ganda. Setiap harta yang dibelanjakan pada jalan Allah diumpamakan akan menumbuhkan tujuh tangkai dan setiap tangkai akan membuahkan 100 biji, ertinya rezeki kita bertambah 700 kali ganda. Ini kerana Allah menambahkan keberkatan rezeki pada mereka yang memberi pada jalan Allah. Kita merasa rezeki yang berkat bilamana kita merasakan sedikitnya cukup, banyaknya boleh diagih-agihkan, manakala rezeki yang tidak berkat, sedikitnya tidak cukup dan banyaknya tidak puas. Umpama kita meminum air laut semakin diminum semakin dahaga. Tiada siapa dapat menduga apa yang Allah sediakan pada mereka yang sentiasa memberi atau bersedekah.
Menuntut ilmu yang baik itu satu keperluan atau fardu kifayah. Bila kita menuntut atau memperlajari tentu ada yang mengajar atau memberikan ilmu. Ia berbeza dari wang kerana ilmu jarang orang merebutnya tetapi ilmu itu lebih penting dari mata wang. Kerana melalui ilmu kita boleh mendalami atau mempelajari bagaimana untuk mendapat rezeki yang berkat dan bertambah

Seterusnya perlu bersyukur pada Allah atas rezeki yang dikurniakan. Melalui ucapan Alhamdullillah (segala puji bagi Allah) kita bersyukur dengan hati kerana merasakan rezeki yang dikurniaan Allah bukan usaha dan kepandaian kita. Kerana apa yang kita dapat kita amalkan kemudian sampaikan. Allah berikan semua itu pada kita untuk membantu yang lain dengan hibah dan zakat. Allah berikan kesihatan untuk kita berlaku taat kepadaNya. Kita melakukan segalanya kerana Allah selaras dengan tujuan Allah mengurniakan nikmat. Bukan mudah untuk kita bersyukur kerana orang yang bersyukur, hatinya sentiasa lapang dan berasa cukup pada apa yang dia ada. Rasa begini akan menarik rezeki menghampiri kita, rezeki yang baik biasanya hadir pada kebaikan kerana hukum law of attraction menyatakan yang baik akan menarik yang baik. Sama juga dengan islam, kalau kita bersyukur Allah akan tambah lagi rezeki kita yang ada. Surah Ali Imran: 145, “Dan Kami akan memberikan ganjaran untuk orang yang bersyukur.” Surah Ibrahim: 7, “Kalau kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambahkan kepadamu.”
Kesimpulannya cara untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah.

1. Bersyukur atas apa yang diberikan oleh Allah.
2. Belanjakan harta pada jalan yang diredhai oleh Allah.
3. Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal
4. Keluarkan sedekah wajib (zakat) jika sampai nisab dan berikan sedekah sunat kepada orang miskin dan anak yatim.
5. Bersedekah kepada anak yatim/miskin kalau boleh setiap hari. (cari anak-anak yatim untuk diberikan). Insyallah akan diganti oleh Allah tanpa kita sedari.
6. Ikhlaskan pemberian/sedekah hanya kepada Allah bukan mengharapkan pujian dan sebagainya. (Pemberian tangan kanan tanpa diketahui tangan kiri). Sedekah mulakan dengan keluarga sendiri dahulu selepas itu barulah kepada jiran dan orang-orang yang lebih jauh. Jangan anggap pemberian itu hak kita sebenarnya dalam harta kita ada hak mereka.
7. Hulurkan pemberian sunat secara rahsia - tetapi pemberian wajib (zakat) perlu diberi secara terangan sebagai menegakkan syiar Islam.
8. Konsep sedekah : berikan sesuatu yang kita sayangi. Ini jelas dalam ayat Quran Ali Imran ayat 92
9. Cari harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat. (Dunia untuk akhirat - bukan dunia untuk dunia)
10. Amalan yang diberkati ialah hasil peluh sendiri dan juga melalui jualbeli (perniagaan). Menurut Nabi 9/10 (90%) daripada sumber rezeki ialah berpunca daripada perniagaan. Makan gaji mungkin 1/10 sahaja (10%). Nabi Muhammad sendiri sebelum diutus menjadi rasul adalah seorang ahli perniagaan yang jujur, cekap dan amanah. Peniaga yang amanah akan dibangkitkan bersama para nabi dan rasul di akhirat kelak. Perniagaan merupakan amalan fardu kifayah. Barang makanan orang Islam sepatutnya dikeluarkan sendiri oleh orang Islam. Kalau tidak ada menjalankan aktiviti ini, seluruh umat Islam berdosa.
11. Hulurkan bantuan kepada janda yang ketiadaan suami.

Dalam satu hadith, Nabi menerangkan setiap awal pagi, semasa terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru 'Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah. Yang satu lagi menyeru 'Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (lokek)'
Sekiranya dapat diamalkan perkara-perkara di atas, insyallah rezeki yang dikurniakan oleh Allah akan kekal walaupun telah digunakan. Allah akan membalas atau menggantikan apa yang telah dibelanjakan. Amalkan ilmu yang ada, nanti Allah akan menambahkan ilmu lagi. Begitu juga harta - belanjakan harta yang ada, Allah akan tambahkan lagi dari sumber yang kita tidak ketahui. Banyak lagi yang kita perlu tahu untuk mendapat keberkatan seperti doa-doa yang mustajab, mujarab solat sunat Dhuha, berkatnya zakat …. Dan berbagai lagi. Semuga kita dapat menfaatkan artikel ini dan bersyukur atas nikmat yang kita dapati.

Tuesday, April 24, 2012

Jalan Ke Syurga (Kisah Benar)

Pada setiap pagi Jumaat, sebelum menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di sebuah kota dan menyebarkan risalah bertajuk “Jalan-jalan Syurga” dan beberapa karya Islamik yang lain.
Pada satu pagi Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa menghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun dengan lebatnya.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata “Ayah! Saya sudah bersedia”

Ayahnya terkejut dan berkata “Bersedia untuk apa wahai anakku?”.

“Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah”

“Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat”

“Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun”

Ayahnya menambah “Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini”

Dengan merintih anaknya merayu “Benarkan saya pergi dulu wahai ayah?”

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya. “Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!”

“Terima kasih Ayah”sambil memeluk dan mencium pipi ayahnya.
Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan waktu itu. Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada penghuninya. Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah “Jalan-jalan Syurga” ada pada tangannya. Dia berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya itu.

Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun dia gagal. Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah tersebut. Apabila sampai sahaja di rumah itu, lantas memberi salam dan ditekannya loceng rumah tersebut. Dia tunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan.

Diketuk pula pintu lalu memberi salam, namun sekali lagi tiada jawapan. Bagai ada sesuatu yang memegang tubuhnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi.

Akhirnya pintu rumah itu dibuka. Berdiri di depan pintu adalah seorang lelaki dalam lingkungan 50an. Mukanya suram dan sedih.
“Nak, apa yang pakcik boleh bantu?”

Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.

“Pakcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan pakcik dan sentiasa memelihara pakcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan pakcik adalah orang yang paling bertuah”.

Dia senyum dan tunduk wajahnya sebagai tanda hormat sebelum melangkah pergi.

“Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu wahai anak” dalam nada yang lembut.

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya “Ada sesiapa nak menyatakan sesuatu.”

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah lelaki separuh umur itu. “Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ilmu ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan semua, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim. Isteri saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan dalam dunia ini.”

Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.
“Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila sampai masa saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi terdengar panggilan salam yang amat merdu dari suara anak kecil. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi beserta dengan salam. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi”.

“Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada sesiapa pun yang menekan loceng ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu”

“Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak kecil yang comel itu. Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat”.

Pakcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan pakcik dan sentiasa memelihara pakcik” itulah kata-kata yang paling indah yang pernah saya dengar”.

“Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan yang amat lebat. Saya kemudian menutup pintu dan terus membaca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asalnya. Saya tak perlukan itu lagi”.

“Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang muslim yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang taat pada yang satu DIA adalah ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan tersesat berada selama-lamanya di dalam neraka”

Tiada satu pun anak mata di masjid waktu itu dalam keadaan kering. Ramai pula yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR! Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya. Jumaat ini adalah Jumaat yang paling indah dalam hidupnya.

Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat. Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada makhlukNya yang penyayang…


Ihsan dari - Sebutir Kasih Sejuta Sayang

Monday, April 23, 2012

Solat Sunat Dhuha

Solat Dhuha itu magnet rezeki, pembuka rezeki, penarik rezeki dan bermacam-macam lagi istilah digunakan untuk menunujukkan bahawa Solat Dhuha itu sebagai salah satu cara untuk murah rezeki dan juga alat penghubung supaya Allah bermurah hati untuk menambahkan rezeki buat hamba-Nya. Namun begitu, bukan senang bagi mereka yang tidak pernah melakukan solat ini apatah lagi waktunya itu adalah masa ketika kita baru hendak memulakan pekerjaan di awal pagi. Namun, apabila kita membaca kelebihan-kelebihan solat Dhuha ini, mungkin kita akan lebih bermotivasi untuk mengamalkan solat ini, kalau pun tidak setiap hari, mungkin seminggu sekali.
Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman: “Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, nescaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.” (Riwayat Ahmad) Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi

Kelebihannya

1.    Dia tergolong dikalangan orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah
2.    Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga
3.    Diberikan ketenangan dalam hati dan kepuasan dalam setiap pekerjaan.
4.    Menarik rezeki dan menolak kepapaan.
5.    Diberikan rezeki ( bukan sahaja dalam bentuk kemewahan wang ringgit sahaja ) tetapi rezeki anak yang soleh, isteri atau suami yang bertanggungjawab dan menenangkan jiwa, pekerjaan yang halal dan diberkati.
6.    Allah memudahkan segala urusan
7.    Diberikan rezeki sihat tubuh badan
8.    Diberikan rezeki keturunan yang soleh dan dihormati.
9.    Diberikan rezeki rakan sekerja, jiran-jiran, sanak saudara dan orang sekeliling yang baik budi pekerti.
Waktunya
Dari setelah matahari meninggi sejengkal , lebih kurang jam 8.00 pagi hinggalah sebelum matahari menegak, iaitu tengahhari. Tidak boleh dilakukan sebelum dan sesudah batas waktu tersebut.

Rakaatnya
Dari paling sedikit dua rakaan dan mengikut riwayat yang sah paling banyak 12 rakaat. Tidak boleh dilakukan kurang daripada dua rakaat.

Tatacaranya
Setelah pasti masuknya waktu Dhuha, maka lakukanlah dalam keadaan berwuduk. Dilakukan dua rakaat dan ditutup dengan salam atau boleh juga dilakukan dengan empat rakaat satu kali salam.

Rakaat Pertama
1. Niat dalam hati dengan berkata, ” Sahaja Saya Solat Dhuha dua rakaat kerana Allah ”
2. Takbir
3. Baca Doa Iftitah
4. BacaTa’awwudz
5. Baca Surah al-Fatihah
6. Baca apa-apa sahaja surah dipilih (Mana-mana surah berikut - As- Syam, Ad-Dhuha, AlKafirun, Ayat Kursi)
7. Takbir dan rukuk
8. Iktidal dan bacaannya
9.Sujud dan bacaannya
10. Duduk dan Bacaannya
11. Sujud dan bacaannya
12. bangun rakaat kedua dengan takbir.

Rakaat kedua
1. Baca surah al-Fatihah
2. Baca apa-apa ahaja surah yang dipilih (Mana-mana surah Ad-Dhuha, Al Ikhlas)
3. Takbir dan rukuk
4. Iktidal dan bacaannya
5. Sujud dan bacaannya
6. Duduk dan bacaannya
7. Sujud dan bacaannya, kemudian dibaca dalam hati doa dibawah juga doa yang kita mahukan dan hajatkan
8. Duduk tahiyat akhir dan bacaannya
9. Salam Penutup

Kemudian kalau di kehendaki, ditambah dua rakaat lagi dengan mengulangi cara tertera di atas dan seterusnya hingga 12 rakaat semuanya. Pada sujud yang terakhir pada setiap dua rakaat kita sebutkan segala doa dan hajat kita, kita boleh sujud berapa lama dan meminta sebanyak doa yang di khendaki. Solat Sunat Dhuha adalah antara solat individu yang tidak boleh dilakukan secara berjemaah.

Doa Solat Dhuha

Selesai solat, bolehlah dibacakan doa berikut, dan dibawah adalah pengertiannya:
Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikanny adalah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindunganMu.Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, dan jika di dalam bumi, keluarkanlah,jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh, dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, kecantikan. keindahan, kekuatan, kekuasaanMu, limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh

Dengan sedikit pendedahan tentang rahsia solat Dhuha ini, dapat membuka hati kita untuk mula menjadikan dhuha itu amalan harian. Insyallah…

Kelebihan:

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:
” Barangsiapa yang melakukan solat Dhuha membaca rakaat pertama surah Al-Fatihah dan ayat Kursi 10 kali, dan pada rakaat kedua surah Al-Fatihah dan Al-Ikhlas 10 kali, nescaya ia mendapat kerelaan Allah Yang Maha Besar.” (HR. Anas B Malik). ” Barangsiapa yang mengerjakan solat Dhuha dengan terus menerus, akan diampuni dosanya oleh Allah, sekalipun dosa itu seluas lautan.” (HR Tirmizi)
Rasullullah S.A.W bersabda: setiap pagi masing-masing persendian/ruas tulang daripada kamu sedekah, dan setiap bertasbih sedekah dan setiap tahmid (ucapan Alhamdulillah) itu sedekah, dan setiap ucapan takbir itu sedekah, dan menyeru dalam kebaikan sedekah, dan melarang dari perbuatan jahat itu sedekah, dan sebagai ganti semua itu, cukuplah dengan mengerjakan solat Dhuha dua rakaat.” (HR Ahmad, Muslim dan Daud)

Sunday, April 22, 2012

Panduan Memulakan Solat Setelah Lama Ditinggalkan

Bila kita tidak solat samalah kita tak perlukan Allah dalam hidup kita kerana solat itu adalah hubungan kita dengan Allah maka jagalah solat kita. Bila kita jaga hubungan kita dengan Allah menunjukkan tkita kecintaan kita kepada Allah maka Allah akan sentiasa memberikan rahmah dan barakahNya tapi kalau kita tidak solat samalah kita tidak memerlukan Allah dalam hidup kita, jadilah kita dikalangan hambaNya yang kufur. Untuk kita kembali menjadi hambaNya taat setelah lama kita tidak sujud kepada Allah berikut tips untuk memudahkan kita istiqamah dalam mendirikan solat.
1. Sematkan azam, bulatkan tekad
Sebaik sahaja tersedar dari lamunan (sedar rupanya dah lama tinggal solat), cuba fikir sedalam mungkin tentang apa yang kita lakukan, apa yang tak sepatutnya kita lakukan, dan apa yang sepatutnya kita lakukan. Dari situ, tanam keazaman yang kukuh bahawa kita ingin mengerjakan solat, dan tidak akan meninggalkannya sampai bila-bila. Kerana itulah tujuan kita hidup di atas muka bumi ini sebenarnya.

2. Cari masa dan tempat yang sesuai, sunyi, jauh dari dugaan
Kemudian tetapkan masa di mana kita akan mula menjalani kehidupan sebagai seorang yang mengerjakan solat. Lebih cepat lebih baik. Ingatlah, berdosa besar bagi orang yang melengah-lengahkan solat. Sebaiknya, cari tempat yang sunyi dan jauh dari dugaan. Jauhi rakan-rakan yang tidak solat atau suka mengejek, sekurang-kurangnya untuk waktu itu sahaja. Masjid juga adalah tempat yang terbaik.

3. Solat sekali dahulu, baru ada kali kedua
Walau sekuat mana pun azam, sebulat mana pun tekad, sebaik mana pun masa dan tempat, tanpa solat yang pertama, takkan jadi solat yang kedua dan seterusnya. Oleh itu, mulakan sahaja tanpa berlengah. Bak kata iklan NIKE - Just do it!

4. Buat nota peringatan dan galakan (Nota Motivasi)
Kalau ada masa dan semangat yang berkobar-kobar, tuliskan kata-kata peringatan atau motivasi dan galakan di atas sehelai kertas (besar atau kecil). Kemudian yang besar tampal di dinding, manakala yang kecil diletakkan dalam wallet atau poket baju. Juga boleh ‘on’ alarm di handphone waktu solat sebagai peringatan waktu solat sudah sampai.
5. Fahami maksud setiap bacaan dalam solat
Ini amat penting kerana bila kita tahu apa makna yang kita baca kita akan memfokuskan minda kita. Kita pasti akan merasai kelainannya. Di situ akan bermula keindahan dan kemaisan bersolat, di mana kita akan rasa seolah-olah khusyuk itu mula hadir dalam diri semasa mengerjakan solat.

6. Baca perlahan-lahan mengikut tertib
Sewaktu solat, baca perlahan-lahan untuk menghayati setiap rukun dan meningkatkan nikmat rasa manis, indah dan seronok ketika bersolat.

7. Tingkatkan imaginasi
Sewaktu menghayati maksud, tingkatkan imaginasi kita. Bayangkan keindahan bertemu Allah yang menjemput kita untuk sujud kepada-Nya. Ketika solat adalah waktu kita berhubung secara lansung dengan Allah jadi gunakan sepenuhnya waktu iniuntuk Pencipta kita

8. Doa mohon kekuatan dan sokongan
Panjatkan doa kepada Allah SWT dengan memohon kekuatan dan sokongan untuk berubah menjadi hamba-Nya yang taat. Hendaklah diamalkan sejurus selepas setiap kali solat dengan penuh tawadduk dan istiqamah. Seeloknya pada sujud yang terakhir dengan membaca dalam hati yang kita benar-benar perlu Allah dalam hidup.

9. Tumpu perhatian pada hari-hari yang dilalui
Tumpukan perhatian kita pada hari yang kita sedang lalui dengan mengerjakan solat. Berilah pujian kepada diri kita dan berikan tahniah kepada diri kita setiap kali kita berjaya mengerjakan solat. Kita akan merasa ketenangan dalam hidup kita.

10. Dapatkan kehebatan sewaktu mendengar azan
Kehebatan laungan azan boleh digunakan sebagai pembantu dengan memberi suatu kejutan semangat yang berkobar-kobar untuk terus pergi menunaikan solat tanpa berlengah-lengah. Jika kita dapat menanam kehebatan ini sehingga menjadi tabiat, kita pasti akan meninggalkan segala kerja yang kita lakukan, apabila terdengar sahaja azan berkumandang. Tentu menyeronokkan
11. Berfikir secara positif
Fikirkan diri kita sebagai seorang yang mengerjakan solat sebaik sahaja kita memulakannya dan sentiasa peringatkan diri kita sedemikian. Sekiranya ada rakan kita yang mengajak kita ke mana-mana sebelum sempat kita menunaikan solat, katakanlah kita belum bersolat, tunggu sebentar atau pergi dahulu. Solat tidak menghalang kita melakukan aktiviti lain yang mendatangkan kebaikan sebaliknya secara tidak lansung kita menghindari kemungkaran. Ingatlah bahawa kita telah membuat pilihan positif untuk mengerjakan solat.

12. Dapatkan sokongan mental dan rohani
Berikanlah peringatan kepada keluarga, kawan rapat dan rakan sekerja yang kita telah mula mengerjakan solat dan memerlukan kerjasama serta sokongan daripada mereka. Mintalah rakan-rakan kita yang tidak mengerjakan solat supaya menghormati keputusan kita. Jangan takut dibenci kawan atau sesiapa kerana bersolat sebaliknya yakin bahawa Allah bersama kita, “Cintai Allah nescaya Allah menyintai kita dan Allah meminta semua makhluk mencintai kita”.

13. Lawan kemalasan dalaman dan godaan syaitan
Dari semasa ke semasa kita akan merasai suatu kemalasan, kebosanan, dan sebagainya, yang mana semua itu sebenarnya hanyalah godaan syaitan dan kemalasan diri sendiri. Oleh itu displinkan diri kita dan lawanlah sehabis-habis mungkin godaan syaitan dengan sentiasa mengerjakan diawal waktu. Ingatlah kita lawan ni pun tak lama. Lama kelamaan ibadah ini akan sebati juga dalam diri kita, dan tidak perlu dipaksa lagi.

14. Banyakkan bahan bacaan tentang solat
Kerapkan diri kita membaca kisah-kisah nikmat solat untuk membangkitkan semangat. Baca juga tentang dosa meninggalkan solat untuk membangkitkan rasa takut pada Allah s.w.t. Moga-moga dilimpahi rahmat dan keberkatan oleh-Nya. Yang terbaharu belilah buku Ensiklopedia Solat
Kesimpulan
Solat adalah hubungan peribadi manusia dengan Allah (hablun minallah). Apabila hubungan manusia dengan Allah itu baik (melalui ibadah solat), maka dia menjadi seorang yang baik. Solat yang betul mempunyai “power” untuk mencegah seseorang dari melakukan perkara yang keji dan mungkar. Al-Ankabut [45]…..sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar.

Solat itu seperti berkata-kata dengan Allah, maka berhati-hatilah dalam percakapan dengan Allah agar apa yang dicakap itu sama dengan apa yang difikir atau diingati. Hendaklah “hadir hati” iaitu ingat kepada Allah semasa solat. Bagi orang awam, hendaklah cuba sedaya upaya untuk ingat Allah semasa solat. Kalau ada lintasan (teringat perkara lain), cepat-cepatlah ingatkan balik kepada Allah. Walaupun tidak 100%, cubalah untuk “control” gangguan dalam hati semasa solat (lebih banyak ingatkan Allah dari benda lain). Dalam solat kita wajib mengingati Allah, kalau terlalai cepat-cepat ingatkan Allah:- Ta-Ha [14] Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku dan dirikanlah solat untuk mengingati Daku

Thursday, April 19, 2012

KALAU RASA-RASA NAK INSAFKAN DIRI BACALAH CERITA INI

Adalah seorang hamba Allah ni, dia pergilah bersiar-siar di tepi hutan. Sedang dia menghirup udara rimba yg segar tu, tetiba dia terdengar satu bunyi.. jeng!jeng!jeng! .. bunyi.... aauuummmmm!! ! Bunyi harimau yg kelaparan dan hanya menunggu mangsanya saja.
Jadi, si hamba Allah ni pun lari untuk menyelamatkan diri. Harimau tu kejar hamba Allah ni. Sebab dia dah lapar sangat ni. Harimau tu pun kejar, kejar, kejar dan kejar. Hamba Allah ni punyalah takut, berlari lintang pukang. Sempat juga dia berdoa agar dia diselamatkan daripada dibaham dek harimau tadi.

Dengan kuasa Allah diperlihatkan sebuah perigi di depan mata nya. Jadi untuk menyelamatkan diri si hamba Allah ni pun terjunlah ke dalam perigi. Perigi tu ada tali dan sebuah timba. Si hamba Allah ni bergayut pada tali tu. Tali tu pendek jer. Jadi dia bergantungan di tengah-tengah perigi.

Di mulut perigi, harimau yg lapar tu menunggunya. Si hamba Allah ni pun berfikirlah macam mana nak menyelamatkan diri, sambil berdoa kepada Allah agar dia diselamatkan. Tengah dok berfikir camner nak selamat, tetiba dengar bunyi kocakan air di bawah perigi.

Aaaaa!!!!... Ya Allah..... lagilah seram dibuatnya. Nak tahu ada apa kat bawah tu? Ada 2 ekor buaya yg kelaparan. Apalah nasib. Dah jatuh ditimpa tangga. lagilah takut si hamba Allah ni. Atas ada harimau bawah ada buaya. Semakin risau dan takut.
Tengah berfikir untuk mencari jalan keluar, tetiba keluar seekor tikus putih dari lubang celah-celah perigi, naik ke atas ikut tali yg hamba Allah tu bergayut. Sampai kat atas tikus tu gigit tali tu pulak. Cis, kurang ajar punya tikus. Alahhhh... cam ner ni. Pas tu, keluar lagi seekor tikus yg berwarna hitam. Naik mengikut tali tadi, cit!cit! cit!cit! sampai kat atas.Tikus hitam ni pun gigit juga tali tu. Cis, lagi satu. Macam mana aku nak buat ni... habislah jadi mangsa buaya .

Berfikir lagi. Kalau naik kat atas makan dek harimau. Kalau tunggu tali putus dan jatuh ke bawah makan dek buaya. Macam mana nih... Sedang hamba Allah tu berfikir cam ner nak selamatkan dirinya, tetiba.... terdengar satu bunyi.... uuuuuuuuuuuuu. .. Bunyi lebah bawa madu.

Si hamba Allah ni pun mendongak ke langit, melihat lebah yg sedang bawa madu. Tetiba setitik madu terjatuh dan terus masuk ke dalam mulut si hamba Allah ni tadi. Punyalah nikmat sehingga tidak terkata.

Hamba Allah tu kata, "Fuh manisnya madu ni , tak pernah ku rasa manisnya ni. Sedapnya. Subhanallah sungguh sedap ni." kerana setitik madu si hamba Allah tu lupa pada harimau yg sedang menantinya di mulut perigi dan buaya yg menantinya di bawah
Kalau semua nak tahu ...

Si Hamba Allah itu adalah kita semua. Harimau yg mengejar tu adalah maut kita, ajal memang sentiasa mengejar kita, so beringat-ingatlah.

2 ekor buaya itu adalah malaikat Munkar Dan Nakir yg menanti kita di alam kubur nanti.

Tali yg tempat di hamba bergayut tadi adalah jangka hayat kita..

Tikus Putih dan Hitam tu adalah dunia kita siang dan juga malam yang sentiasa menghakis umur kita. Kan tikus tu gigit tali tu.

Madu... madu yg jatuh setitik ke dalam mulut hamba itu tadi adalah nikmat dunia.

Bayangkan setitik saja madu tu jatuh ke dalam mulutnya, dia lupa pada harimau dan buaya tu.

Macam kitalah bila dapat nikmat sikit lupa pada Allah. Waktu susah baru la nak ingat Allah. Astaghfirullah. ..Sama-samalah kita muhasabah diri masing-masing sebelum terlambat..

Monday, April 16, 2012

Siapakah Yang Kita Utamakan?


Beruntunglah badan. Wajahnya cantik, dipujai ramai pula!”

“Hebat sungguh dia. Sudah pakai kereta BMW…!”

“Kau dah tengok rumah dia? Dahsyat! Besar betul rumah dia. Bangga aku jadi kawan dia!”

“Kau nak tahu tak, gaji dia sekarang sudah 5 angka! Pangkat besar dia sekarang ni. Berjaya betul dia!”

“Bahagia betul dia tu kan. Asyik melancong je. Tiga bulan lepas ke Australia. Minggu lepas ke London pula”

Begitulah penilaian manusia kepada manusia lain. Hebat, berjaya atau beruntungnya seseorang semuanya dinilai pada rupa, wang, pangkat dan harta. Makin cantik rupa, makin banyak wang, makin tinggi pangkat dan makin melimpah harta, maka berjayalah seseorang itu pada pandangan manusia. Jika tidak mempunyai salah satu darinya, maka akan dinilailah seseorang itu sebagai orang yang rugi dan tidak berjaya. Itulah kejayaan definisi kebanyakan manusia.

Penilaian ALLAH `Azza wa Jalla yang merupakan TUHAN yang mentadbir dan memiliki alam seluruhnya ini tidak begitu. ALLAH menilai manusia bukan kepada rupa, wang, pangkat atau harta. DIA, TUHAN Yang Maha Agung menilai manusia berdasarkan iman, amalan dan taqwa yang dipunyai oleh seseorang manusia itu.
Ciri-ciri orang yang berjaya dan beruntung di sisi ALLAH telah disenaraikan di dalam al-Quran dalam banyak ayat. Antaranya ialah di dalam surah al-Baqarah, ayat 2-5. Di dalam ayat tersebut, ALLAH mencirikan orang yang berada di atas jalan hidayah ALLAH dan berjaya ialah orang-orang yang menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan dan petunjuk. Merekalah orang-orang yang bertaqwa, iaitu yang beriman dengan sungguh-sungguh dengan hal yang ghaib, mendirikan solat, menginfaqkan sebahagian kurniaan yang telah ALLAH berikan, beriman dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam serta apa yang diturunkan kepada para nabi sebelum Baginda. Mereka juga sangat-sangat yakin dengan adanya kehidupan dan pembalasan Hari Akhirat lalu berusaha mendapat balasan yang baik pada hari tersebut.

Di dalam surah al-Mukminun ayat 1-11 pula, tersenarai lagi beberapa ciri orang-orang yang berjaya untuk kita lekatkan pada diri kita. Mereka yang berjaya ialah orang-orang yang beriman yang khusyuk di dalam solatnya, yang menjauhkan diri mereka dari perkara-perkara yang tidak berguna, yang menunaikan zakat, yang menjaga kemaluannya, yang menjaga amanah dan janjinya serta orang-orang yang menjaga solatnya.

Orang-orang mukmin yang menyeru kepada kebaikan, yang menyuruh kepada hal-hal yang ma`ruf dan yang mencegah dari perkara-perkara yang mungkar juga termasuk di dalam orang-orang yang berjaya. Hal ini telah disebut oleh ALLAH Jalla wa A`la di dalam ayat 104 dari surah ali-`Imran.

Surah al-A`la dan asy-Syams pula menyebut orang yang beruntung pada pandangan ALLAH ialah orang-orang yang menyucikan jiwanya dengan beriman bersungguh-sungguh kepada ALLAH.
Dan di dalam surah yang biasa kita baca iaitu surah al-`Asr, ALLAH `Azza wa Jalla telah menyebut semua makhluq yang dinamakan manusia berada di dalam kerugian. Ya, semua dalam kerugian. Yang tidak rugi ialah manusia yang beriman kepada ALLAH, yang beramal dengan amalan yang soleh, yang nasihat-menasihati dengan kebenaran dan juga supaya tetap dalam kesabaran.

Nah, itulah antara ciri-ciri orang yang berjaya dan beruntung yang telah disebut oleh ALLAH Ta`ala di dalam al-Quran. Cuba bandingkan dengan kayu ukur penilaian-penilaian manusia.

Marilah kita sama-sama bermuhasabah adakah selama ini kita pernah menitik beratkan penilaian ALLAH dalam menilai diri kita? Atau adakah selama ini kita terperangkap dengan penilaian manusia lalu berlumba-lumba menaikkan nilai rupa, wang, pangkat dan harta untuk dinilai berjaya pada sisi pandangan manusia?

Penilaian siapakah yang sepatutnya kita kejar dan utamakan?

Terpulanglah kepada masing-masing. Kerana kita akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas tindakan kita. Pada Hari Akhirat nanti kita masing-masing akan dibangunkan untuk dihisab terhadap semua perbuatan kita ketika hidup di dunia.
Jika keberjayaan dan keberuntungan pada pandangan manusia yang kita kejar selama hidup di dunia, maka nasib kita akan diserahkan kepada manusia-manusia itu pada Hari Akhirat nanti. Bagaimana nasib akhir kita? Fikirlah sendiri!

Manakala jika keberjayaan dan keberuntungan pada pandangan ALLAH yang kita kejar selama hidup di dunia yang sementara ini, maka nasib kita akan diserahkan kepada ALLAH Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang. Dan sebaik-baik diserahkan urusan kita ialah kepada ALLAH `Azza wa Jalla!

Oleh Shahmuzir Nordzahir