DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Saturday, November 15, 2014

Mencari Redha Allah Atas Karenah Manusia

Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman Al-Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut daripada belakang. Melihat tingkahlaku Luqman itu, setengah orang pun berkata; “Lihat itu, orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki”. Setelah mendengar desas-desus daripada orang ramai, maka Luqman pun turun daripada himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian, maka orang di kawasan itu berkata pula; “Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu”. Sebaik saja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi; “Lihat itu, dua orang menaiki seekor himar, sungguh menyeksakan himar itu”. Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun daripada himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata; “Lihat, dua orang yang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderaikan, membazir”. Dalam perjalanan ke rumah, Luqman Al-hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya; “Sesungguhnya tiada seorang pun terlepas daripada percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan pertimbangan Allah SWT sahaja (pandangan manusia yang baik boleh diambil).
Barangsiapa mengenali kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu. Allah Yang Maha Sempurna itu juga ada yang mengejinya dan membencinya. Nabi Muhammad SAW yang sopan santun lagi maksum itu juga ada yang mengejinya dan membencinya. Jadi siapalah kita yang tidak sempurna dan banyak kekhilafan ini. Kita manusia biasa dan jangan anggap kita luar biasa. Apapun, utamakan pandangan Allah, jangan diutamakan pandangan manusia, biarkan manusia berkata - kata. Yakinlah, Allah lah sebaik-baik hakim Yang Maha Adil yang paling layak mengadili tindak tanduk kita.

Ironinya hari kita lihat fenomena berikut kerap berlaku dikalangan masyarakat kita;
Bila kita jadi jahat, orang benci.., bila jadi baik, orang meluat...
Bila kita ikut suruhan agama, ada orang kata kita berlagak alim..., bila kita langgar suruhan agama, ada orang kata... "Astaghfirullah! Apa la nak jadi… dah nak kiamat kot?..."
Bila kita ikut peraturan, ada orang kata kita skema a.k.a nak tunjuk baik..., bila kita langgar peraturan, ada orang kata kita ni macam takde masa depan..
Bila kita tegur dengan baik, ada orang kata kita ni bajet bagus..., bila kita tegur dengan kasar, ada orang kata kita ni kurang ajar...
Bila kita pakai sopan-sopan, ada orang kata kita ni kampong gilerr..., bila kita pakai 'dedah sana-sini'.. ada orang kata kita ni takde harga diri sebab tayang free..
Bila kita bagi nasihat, ada orang kata "jangan sibuk jaga tepi kain orang, boleh?.....", bila kita sindir-menyindir, ada orang kata "tak reti bagi nasihat leklok?.."
Bila kita tolong buat kerja, ada orang kata "yang sibuk sangat nak tolong buat keja orang lain watpe?".., Bila kita tak tolong apa-apa, ada orang kata "apesal pemalas sangat ni? Nak minta tolong pun susah?"..
Dan sebenarnya ramai orang lain tak berpuas hati dengan diri kita. Apa yang kita buat semua salah.. semuanya tak betul di mata mereka.. Kalau buat salah sudah tentunya salah.. tetapi jika buat baik pun masih ada yang mengata.. ingat pesanan ini; Keputusan yang kita ambil, langkah yang kita mula, perkara pertama yang perlu kita fikirkan ialah pandangan Allah SWT terhadap kita.. bukan pandangan manusia.... mari kita renung-renungkan.

Bila kita berdepan dengan BOB (Buat Orang Bersalah) dan ujian-ujian yang sebegitu, janganlah kita bersedih dan rendah diri, serta mula merasa ‘give up’ dalam proses untuk berubah ini. Don’t simply surrender. Jihad ini sememangnya sukar. Penuh dengan mehnah dan tribulasi. Apa yang boleh kita lakukan bila menghadapi BOB atau orang yang suka menjatuhkan semangat ini?

#1 : Sabar Dan Kuatkan Hati
Inilah langkah yang paling asas dan pertama kita perlu lakukan, iaitu bersabar. Pada mulanya mungkin kita berasa sangat sukar untuk bersabar bila sentiasa diuji hebat oleh orang sekeliling yang sentiasa ingin menjatuhkan semangat kita. Namun percayalah, jika kita teruskan untuk bertahan dalam kesabaran, lama-kelamaan ia akan membentuk hati kita untuk kuat. Memang pada mulanya kita akan selalu menangis dan berkecil hati, namun selepas itu kita akan mendapat hati yang jauh lebih teguh dan kuat dari sebelumnya. Pelangi akan muncul selepas turunnya hujan yang membasahi pipi bumi..

#2 : Berpura-pura bodoh dan buat selamba
Biasa orang-orang dari golongan BOB ini suka menyindir dan memperlekehkan kerana bertujuan untuk menyakitkan hati. Mereka akan lebih seronok jika kita memberi reaksi tersinggung, kerana mereka telah berjaya mencapai tujuan mereka. Oleh apa yang boleh kita buat? Buat mereka mereka berasa tidak seronok bila cuba untuk menjatuhkan semangat kita. Bagaimana? Kita boleh “membodohkan” perkataan mereka untuk menyindir kita. Contohnya, jika dia berkata “Kau ingat kau baik sangat?” Kita boleh membalas, “Takde la baik sangat..”. Selalunya balasan seperti itu akan menyakitkan hati mereka kembali. Namun sekadar itu sahaja, tidak perlu kita memanjangkan perang mulut jika mereka membalas kembali. Senyum dan buat muka selamba. Rileks dan abaikan mereka. Sebab sebenarnya, apabila seseorang itu menyindir, mereka mengharapkan kita tersentak, atau berasa marah, rendah diri atau tidak yakin. Sebaliknya jika kita cuma tersenyum sahaja, itu membuatkan rancangan dia untuk ‘menjatuhkan semangat’ kita tidak menjadi. Oleh itu kekal tenang dan senyum. Mentertawakan tetapi tidak bermaksud ingin menjatuhkan. Kadang-kadang ada juga yang ketawa bila melihat kita, biasanya rakan-rakan rapat yang berasa lucu dan ingin bergurau dengan kita. Mungkin mereka terkejut melihat perubahan pada kita dan ingin mengusik kita. Bertenang, jangan cepat melatah. Layankan sahaja gelagat mereka dan teruskan ketawa bersama mereka. Namun kita harus pandai membezakan gurauan dan hinaan.

#3 Fokuskan kepada apa yang kita sedang usahakan
Keep your eyes on the ball – Istilah ini sangatlah besar maknanya bagi kita untuk tetap fokus. Memperlekehkan, menyindir, mengejek, memalukan dan menjatuhkan semangat ini sebenarnya perkara biasa dalam kehidupan. Pernahkan kita menyaksikan pertandingan atau perlawan bola dipadang? Perasankah kita ada penonton yang berada dibahagian tepi padang? ada yang mengejek dan ada juga yang memberi semangat kepada pemain. Untuk memenangi perlawanan, pemain harus fokus pada perlawanan yang sedang dilalui dan tidak mempedulikan perkara lain. Jika dia gagal untuk mengekalkan fokus dan mendengar ejekan-ejekan, pasti dia tidak akan dapat beraksi dengan baik dan mudah ditewaskan. Jadi ibaratkan diri kita seperti pemain bola diatas padang yang sedang berusaha memenangi perlawanan. Yang menjadi masalah, kadang-kadang disebalik kata-kata kata semangat yang kita terima, pasti ada terselit juga kata-kata yang menjelekkan dan negatif. Bagaimana untuk kita menghadapi perkara ini? Berdirilah atas kaki kita sendiri. Jangan tentukan diri kita berdasarkan kata-kata dari orang lain. Jadilah diri kita sendiri dan yakinlah dengan perubahan yang kita buat kerana Allah ini adalah tepat dan terbaik. Jika kita memikirkan kata – kata orang lain, kita akan menjadi seseorang yang bergantung pada orang lain, dan membiarkan pendapat orang lain mengendalikan kita. Kita bukan semudah itu untuk menjadi loser!
#4 Mengelakkan Diri Dari Mereka, jika perlu..
Apabila kita menghadapi situasi di mana kita berhadapan dengan sahabat yang memang kuat menyindir atau orang yang terlalu aggresif memprovokasi kita, sebaiknya kita menghindar diri buat sementara waktu. Lebih baik kita mendiamkan diri dan jangan mendekati orang tersebut dan carilah tempat yang membuat kita selesa. Ini dapat mengelakkan kita berasa sakit hati dan pergaduhan. Sebagai seorang muslim, kita digalakkan untuk segera berwuduk kerana dengan berwuduk akan dapat menenangkan fikiran kita. Lebih berkesan lagi jika kita mengamalkan membaca surah Yassin dan memperbanyakkan istigfar.

Penutup: Berdoalah kepada Allah
Jelas, hakikatnya dari 99 kebaikan yang kita dilakukan boleh tertutup dengan 1 kejahatan yang kalau dilakukan. Walaupun sebenarnya kita tidak melakukan kejahatan berkenaan. Penyakit hati manusia ini sukar untuk dikikis. Apabila tidak bendung, makin bercambah dalam diri. Manusia sebegini fikiran dan hatinya terlalu negatif. Dapat sesuatu isu terus dirasakan negatif. Terus menerus memang serong terhadap manusia lain. Tiada sesiapa yang dapat mengubah tafsiran dan tanggapan ini, hanyalah diri sendiri jua.

Jadi sekiranya kita tidak mampu mengawal mereka yang senantiasa membuat penilaian terhadap manusia lain ini, makanya kita redhakan saja. Itu yang terbaik. Manusia akan terus berkata-kata dan berfikiran negatif. Jadi, utamakan pandangan Allah SWT daripada penilaian manusia. Semua orang sedia maklum, sebaik mana pun kebaikan yang ditaburkan oleh seseorang tu, orang tetap mengata yang bukan-bukan. Orang tetap berfikiran negatif. Ada saja cacat cela. Ada saja yang tak kena. Lumrah sebagai insan manusia. Tapi kita tahu, bukan semua orang begitu. Mungkin segelintir daripada kita. Yang masih punya rasa tidak berpuas hati dengan manusia lain. Jadi, rahmatilah mereka. Dan kita terus jadi diri sendiri. Jadi diri sendiri hanya bermatlamatkanNya. Terus lakukan apa sahaja yang kita rasa itu adalah baik untuk kita. Baik untuk semua.
Apabila kita telah melakukan kesemua tips diatas tadi, tetapi belum juga berhasil, maka langkah terakhir kita adalah berdoa kepada Allah, menyerahkan semuanya kepada Allah. Memohon agar sahabat, jiran tetangga dan orang – orang ini dihilangkan penyakit hatinya kerana sifat menjatuhkan semangat orang itu merupakan penyakit hati. Semoga memberi manfaat. Artikel diatas cumalah pandangan saya yang naif berdasarkan pengalaman saya. Mungkin kalian ada pengalaman atau tips yang boleh dikongsikan? Catatkan apa yang bermain dalam fikiran kalian sekarang pada ruangan komen dibawah.

Tuesday, November 11, 2014

Pengucapan Yang Betul Dalam Islam

Assalamu alaikum wbrt wahai sahabat-sahabatku. Kali ini ingin saya kongsikan yang berkaitan ucapan-ucapan mahmudah yang sepatutnya kita amalkan dalam kehidupan seharian. Malangnya, ada antara ucapan-ucapan ini disalah guna oleh orang ramai lantaran terkeliru. Terima kasih kepada kepada individu yang mengumpulkan maklumat berharga ini.
1. Perkataan SUBHANALLAH (MAHA SUCILAH ALLAH)
Ianya diucapkan tatkala kita melihat sesuatu perkara yang menggembirakan kita ataupun perkara-perkara yang hebat lagi ajaib. Contohnya tatkala kita melihat orang yang tidak cedera walaupun terlibat di dalam kemalangan. Tujuan kita mengucapkan "SUBHANALLAH" iaitu seolah-olah kita mendidik diri kita: "Wah! hebatnya orang itu, tak cedera langsung. Tapi Allah lebih Maha Hebat kerana itu semua tidak akan berlaku melainkan dengan izin Allah Ta’ala".

Ianya diucapkan juga apabila kita melihat ada apa-apa perkataan ataupun perbuatan yang menyebabkan seseorang itu syirik kepada Allah. Contohnya kita ucapkan "SUBHANALLAH" apabila melihat ada orang yang menyembah berhala-berhala. Di dalam hati kita ketika itu seolah-olah kita berkata: "Allah Ta’ala Maha Suci dan tiada kena-mengena langsung sebagai Tuhan yang mereka anggap itu". Lihatlah firman Allah Ta’ala berikut: “Dialah Allah yang tidak ada sama sekali Tuhan yang layak disembah kecuali Dia Yang Maha Berkuasa, Maha Suci, Maha Selamat, Maha Memberi Keamanan, Maha Peneguh, Maha Mulia, Maha Gagah-Perkasa, Maha Besar, Maha Sucilah Allah daripada apa yang mereka sekutukan" Surah al-Hasyr : ayat 23

Lihat penggunaan "SUBHANALLAH" ataupun yang semakna dengannya melalui ayat Al-Quranul Karim di bawah ini: “Maha Sucilah Tuhan yang telah memperjalankan hamba-Nya di waktu malam (Israk) dari Masjid al-Haram (di Mekkah al-Mukarramah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekitarnya , agar Kami menunjukkan kepadanya (Nabi Muhammad SAW) beberapa tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Dia (Allah) adalah Tuhan Yang Maha Mendengar Lagi Maha Melihat" Surah al-Israk, ayat 1

Ya! peristiwa Israk-Mikraj adalah satu peristiwa yang ajaib lagi hebat, namun sehebat-hebat peristiwa itu, lebih hebat lagi Tuhan yang telah mengatur dan mencipta peristiwa itu, Tuhan itulah Allah Ta’ala Yang Maha Hebat, Yang Maha Mendengar segala doa Nabi-Nya SAW dan tohmahan puak-puak yang tidak mempercayai kisah itu dan Maha Melihat segala-galanya. Dan Maha Sucilah Allah daripada segala sifat-sifat yang tidak sepatutnya dilemparkan kepada Dia. Ucapan “SUBHANALLAH" ini juga dikenali sebagai “TASBIH".
2. Ucapan "ALHAMDULILLAH" (“Segala puja-puji hanyalah untuk Allah" ataupun "Segala syukur dan terima kasih hanyalah untuk Allah".
Ianya diucapkan sebagai puja-pujian dan bersyukur di atas segala nikmat yang Allah Ta’ala berikan kepada kita. Contoh ayat Al-Quranul Karim yang menerangkan hal ini ialah: “Dan Kami cabut segala macam dendam yang berada di dalam dada mereka; mengalir di bawah mereka sungai-sungai dan mereka berkata: "Segala puji bagi Allah yang telah menunjuki kami kepada (syurga) ini. Dan kami sekali-kali tidak akan mendapat petunjuk kalau Allah tidak memberi kami petunjuk. Sesungguhnya telah datang rasul-rasul Tuhan kami, membawa kebenaran." Dan diserukan kepada mereka: "ltulah syurga yang diwariskan kepadamu, disebabkan apa yang dahulu kamu kerjakan" Surah al-‘Aaraf, ayat 43

Ayat di atas menerangkan nikmat yang diperolehi oleh orang-orang yang beriman kelak di hari akhirat iaitu nikmat mendiami syurga yang dijanjikan kepada mereka dahulu. Lihat! para penghuni syurga nanti akan mengucapkan “ALHAMDULILLAH" sebagai berterima-kasih dan bersyukur di atas ganjaran yang Allah Ta’ala berikan kepada mereka dan disebabkan Allah Ta’ala telah mengutuskan kepada mereka wahyu dan panduan melalui Para Rasul a.s. Kita juga wajib mengucapkan syukur kepada Allah Ta’ala di atas nikmat sampainya Islam kepada kita dan masih ramai lagi para ulama’ rh, kerana tanpa Islam dan bimbingan para ulama’ rh, tidaklah kita layak masuk ke dalam syurga Allah Ta’ala kelak.

Lihat lagi firman Allah Ta’ala di dalam Surah al-Kahf, ayat pertama: "Segala puja-puji hanyalah untuk Allah (Tuhan ) yang telah menurunkan kepada hamba-Nya kitab dan tidak pula Allah ciptakan baginya ada sebarang kebengkokan (pertentangan dan perselisihan di antara satu ayat dengan ayat yang lain)". Kita juga wajib bersyukur kepada Allah Ta’ala di atas nikmat adanya kitab Al-Quranul Karim sebagai panduan hidup kita, yang mana tanpanya, pastilah kita tidak akan menemui kebenaran dan kejayaan di dunia dan di akhirat.

Selain itu ianya diucapkan apabila kita dipuji, contohnya apabila orang memuji kita lantaran kejayaan kita, lalu kita pun menjawab: “Alhamdulillah, saya berjaya “(Diucapkan ucapan “Alhamdulillah” agar kita tidak lupa bahawa sehebat mana pun usaha kita, ianya tentu tidak akan berjaya jika tidak diizinkan oleh Allah Ta’ala). Ucapan “ALHAMDULILLAH" ini juga dikenali sebagai “ TAHMID".
3. Ucapan “ALLAHU AKBAR" (Allah Maha Besar)
Ianya diucapkan di dalam beberapa situasi:
1 – Apabila berada di tempat yang tinggi.
2 – Apabila berada di dalam ketakutan.
3 – Sebagai teriakan untuk menakutkan dan menggerunkan musuh-musuh Allah Ta’ala.
4 – Sebagai "pembakar semangat" para pejuang Islam.
5 – Ketika azan , takbiratul ihram dan takbir hari raya.

Ucapan ini dikenali juga sebagai "TAKBIR".
4. Ucapan "LA ILAHA ILLALLAH" (Tidak ada sama sekali Tuhan yang layak disembah melainkan Allah)
Masyarakat Arab biasanya menyebut kalimah ini apabila melihat sesuatu yang menggerunkan ataupun peristiwa yang mengerikan. Kalimah ini adalah inti-pati dan dasar ajaran Islam . Silalah melihat kitab-kitab zikir dan wirid yang sahih (seperti RIYADHUS SOLIHIN oleh Al-Imam an-Nawawi rh ataupun KALIMUT TOIYIB oleh Al-Imam Ibnu Taimiyah rh) untuk mengetahui fadhilat-fadhilat kalimah Tauhid ini.

Ia dikenali juga dengan gelaran "TAHLIL".
5. Ucapan "BISMILLAH" (Dengan Nama Allah)
Ucapan ini dikenali sebagai "BASMALAH". Dilakukan sebagai menunjukkan adab di antara seseorang hamba dengan Allah Ta’ala ketika melakukan perkara-perkara yang diredhai-Nya. Ertinya di sini ialah: "Bismillah" digunakan untuk melakukan perkara-perkara yang diredhai oleh Allah Ta’ala sahaja. Seolah-olah tatkala kita membacanya kita turut sama beriktiqad: "Aku menyebut nama Allah ini supaya kerja yang aku lakukan ini dirahmati dan diberkati oleh-Nya".

Adapun jika digunakan untuk perkara-perkara yang dilarang, maka ia adalah haram bahkan kadang-kadang boleh membawa kepada murtad kerana dianggap menghina kesucian ataupun mempersendakan Allah Ta’ala. Contohnya:
A. Membaca "Bismillah" untuk menyembelih binatang-bintang yang tidak disembelih untuk tujuan yang dibenarkan ( seperti untuk mandi safar, untuk “membuka gelanggang silat", untuk "menyemah" rumah, untuk"menjamu" penunggu dan jin dan sebagainya
B. Membaca "Bismillah" untuk melakukan jampi-jampian yang dilarang oleh agama kita.
C. Membaca "Bismillah" “ untuk tikam nombor ekor, toto dan lumba kuda serta sebarang perjudian.
D. Membaca “"Bismillah" (supaya selamat konon-kononnya) untuk mengintai orang mandi.
E. Membaca "Bismillah" untuk makan dan minum apa-apa yang haram.
F. Membaca "Bismillah" kuat-kuat (agar didengar oleh orang ramai) ketika membuka warong demi melariskan jualan.
6. Ucapan "MASYAALLAH" (Apa yang Allah Kehendaki)
Diucapkan ketika melihat apa-apa yang baik dan indah. Diucapkan juga ketika melihat perkara-perkara yang luar biasa dan hebat (sama seperti Tasbih). Tidak boleh digunakan sebagai ucapan tatkala melihat sesuatu yang dilarang , contohnya menyebut "MA SYA ALLAH" ketika melihat wanita-wanita yang berpakaian seksi sebab kalimah itu bermakna "Apa-apa yang Allah kehendaki", sedangkan Allah Ta’ala tidak pernah sama-sekali menyuruh wanita-wanita berpakaian seksi di hadapan bukan suaminya. Dan begitu juga tidak boleh mengucapkan kalimah ini tatkala melihatpelakon- pelakon yang seksi-seksi di TV. Hati-Hati dan fahami baik-baik penggunakan kalimah dan ucapan ini. Ucapan ini diistilahkan sebagai: " AL-MASYIAH"
7 Ucapan “A’UZUBILLAHI MINASY SYAITANIR RAJIM" (Aku memohon perlindungan Allah daripada syaitan yang direjam (terkutuk)
Diucapkan sebagai memohon perlindungan dan keselamatan kepada Allah Ta’ala daripada segala jenis gangguan, sama ada gangguan syaitan ataupun bala-bencana. Diucapkan juga sebagai memulakan bacaan ayat-ayat suci Al-Quranul Karim. Ucapan ini digelar sebagai "AT-TA’AWWUDZ"
8. Ucapan "LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAH" (Tidak adalah daya-upaya dan kekuatan (yang sebenar/yang terutama) melainkan dengan izin (pertolongan) Allah)
Diucapkan apabila melihat perkara-perkara yang tidak disukai ataupun apabila kita tidak terdaya untuk melakukan sesuatu. Dan diucapkan apabila kita merasai kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri kita seperti sedang berhadapan dengan jumlah musuh yang lebih ramai daripada pihak kita. Ucapan ini dikenali sebagai "AL-HAUQALLAH"
9. Ucapan "INSYA ALLAH" (Jika diizinkan Allah)
Diucapkan apabila kita berjanji untuk menyempurnakan hajat seseorang. Ataupun apabila hati kita berat 70 % untuk memenuhi janji itu maka bolehlah kita menyebut “INSYA-ALLAH”, tetapi jika kita memang tidak mahu memenuhi hajat itu ataupun hati kita memang berat 70 % untuk tidak memenuhinya, maka tidaklah wajar kita menggunakan kalimah ini. [Hasil temuramah di antara Al marhum S.S Dato’ Ishak Baharom, Bekas Mufti Selangor Darul Ehsan dengan salah sebuah majalah di Malaysia]. Ucapan ini dikenali sebagai "TAWAKKUL" (Tetapi masyarakat Melayu memanggilnya sebagai tawakkal)
10. Ucapan “BARAKKALLAHU FIK” (Semoga Allah memberkati engkau)
Diucapkan kepada seseorang yang kita cintai ataupun sebagai doa baginya. Menurut sunnah ucapan yang seumpama ini diucapkan juga kepada mereka yang baru berkahwin. Ucapan ini dikenali sebagai "AT-TABARRUK".
11. Ucapan “JAZAKALLAHU KHAIRAN” (Semoga Allah membalas jasa-baikmu itu dengan kebaikan)
Ucapan ini sebagai tanda terima kasih kita pada seseorang. Boleh juga diucapkan dengan “JAZAKALLAHU KHAIRAN KATSIRAN" (Semoga Allah membalas jasa-baikmu itu dengan kebaikan yang banyak). Boleh juga diucapkan dengan "JAZAKALLAHU KHAIRAL JAZAK" (Semoga Allah membalas jasa-baikmu dengan balasan yang paling baik). Adalah SALAH dan TIDAK BETUL jika sekadar mengucapkan "JAZAKALLAHU"(Semoga Allah membalasmu…) Membalas dengan apa? Ayat ini jadi ayat tergantung! Apabila kita diucapkan sedemikian rupa, maka respon kita pula ialah:"JAZANA WA IYYAK". Erti respon itu ialah: "Semoga Allah juga membalas (kebaikan yang kau ucapkan tadi) kepada kita semua dan juga kepada dirimu. Ianya dikenali sebagai kalimah "ASY-SYUKR"
12. Ucapan “INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAJI’UN" (Sesungguhnya kita ini semuanya adalah milik Allah dan kepadanya nanti kita akan kembali)
Diucapkan apabila ditimpa sesuatu yang tidak dikehendaki seperti banjir, kemalangan, kecurian dan seumpamanya. (Walhal orang-orang kita hanya mengucapkannya tatkala mendengar berita kematian seseorang). Firman Allah mengenai ucapan ini: "Orang-orang yang sabar itu apabila mereka ditimpa musibah mereka akan berkata: Sesungguhnya kita ini semuanya adalah milik Allah dan kepadanya nanti kita akan kembali” Surah al-Baqarah, ayat 155. Ucapan ini dikenali sebagai"LIL ISTIRJAA’/TARJIE"
13. Ucapan "HASBUNALLAHU WA NI’MAL WAKIL" (Cukuplah bagi kami ini Allah itu sebagai sebaik-baik pelindung/penolong)
Diucapkan sebagai tanda kita ini berserah diri dan bergantung harap (bertawakkal) kepada Allah Ta’ala semata-mata. Dan ia juga merupakan ucapan “pembakar" semangat keberanian orang-orang yang beriman. Contohnya diucapkan tatkala menghadapi serangan musuh. Firman Allah Ta’ala yang mengisahkan keimanan para sahabat r.a menjelang Perang Badar: Orang-orang yang mentaati Allah dan Rasul itu apabila dikatakan kepada mereka: "Sesungguhnya manusia (musyrikin Quraisy) telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka", maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab:
"Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung" Surah Ali ‘Imran , ayat 173. Ucapan ini dikenali sebagai"AL-HASBANA".

Semoga kita semua dapat keredhaan Allah dengan amalan kita sepanjang hayat.