DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Thursday, July 30, 2015

SIHAT ITU NIKMAT YANG MUDAH DILUPAKAN (Wajib baca)

Ketika kita melihat atau menziarahi orang sakit, barulah kita sedar betapa mahal dan luar biasa nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita. Sedangkan sebelumnya kita seakan-akan lupa akan nikmat yang satu ini. Ketika ini barulah kita menyedari bakawa selama ini kita sibuk memburu dan mencari kenikmatan kehidupan dunia yang hanya bersifat sementara dan tidak kekal selamanya. Seakan-akan kita lupa dengan firman Allah SWT, "Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?".
Bahkan kita seakan-akan hidup untuk dunia sahaja atau seakan-akan kita hidup selama-lamanya. Lebih malang lagi, kalau kita seolah-olah belum pernah mendengar atau bahkan membuang jauh-jauh ingatan kita entang friman Allah SWT dalam surah Al-Qiyamah ayat 36: “Patutkah manusia menyangka, bahawa ia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?” Oleh itu, manusia perlu mensyukuri segala apa yang Allah telah berikan yang tiada ternilai harganya sebagaimana firmanNya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Surah Ibrahim 14:7)

Bersyukur amat penting bagi mengingati nikmat Allah, apa lagi nikmat kesihatan yang merupakan perkara paling penting menentukan kebahagiaan manusia dalam kehidupan. Oleh itu, dengan bersyukur akan memberi kesedaran tentang makna penting kesihatan dan seterusnya menggerakkan hatinya untuk sentiasa mengingati nikmat besar ini dengan melakukan ketaatan kepada Allah SWT, menjauhkan perkara-perkara yang memudaratkan pada diri, mental dan fizikal manusia itu sendiri. Ini amat penting sebab berkaitan dengan nimat kesihatan ini adalah perkarayang cepat dilupakan manusia sebagimana yang diriwayatkan daripad ibu Abbas r.a, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda; “Ada dua kenikmatan yang banyak dipersia-siakan oleh sebahagian besar manusia, iaitu nikmat sihat dan nikmat waktu lapang”. (HR. Bukhari no. 6412)

Kesihatan yang baik dan kelapangan masa merupakan nikmat yang sangat besar selepas nikman iman dan islam. Namun, ramai orang tidak menyedari akan kebesaran dua nikmat ini kecuali selepas kehilangan kedua-duanya. Ketika mempunyai badan yang sihat dan kelapangan masa, ramai orang mensia-siakannya lalumenghabiskan masa dengan perkara tidak berfaedah dan melalaikan. Atas perkara yang sebegitu, golongan ini menganggap ibadah yang sebenarnya mudah sebagai halangan untuk melakukan tugasan lain. Mengerjakan solat bukanlah memakan masa yang lama, apatah lagi membaca al-Quran dan berzikir yang mana boleh dilakukan sambal berjalan,memandu, bahkan ketika bekerja. Namun malas yang menguasai menyebabkan perkara mudah menjadi sukar. Beginilah orang yang mensia-siakan anugerah kelapangan masa dan kesihatan badan, sehinggalah mereka terlantar sakit da tidak bermaya, maka ketika itulah baru menyedari akan besarnya nikmat ini. 
“Masa sakit baru nak solat, nak nazar macam-macam, baru nak mengaji al-Quran, baru nak berzikir. Aduhai, macam mana nak mengaji, masa lapang dulu tak pernah belajar. Belajar masa dah sakit, susah. Dua kali lebih susah, berbanding masa sihat…”

Ibnu Batthal menyatakan: “Seseorang tidaklah dikatakan memiliki waktu luang hingga badannya juga sihat. Barang siapa yang memiliki dua nikmat ini ( iaitu waktu lapang dan nikmat sihat) hendaklah ia bersemangat, jangan sampai ia tertipu dengan meninggalkan syukur pada Allah SWT atas nikmat yang diberikan. Bersyukur adalah dengan melaksanakan setiap perintah dan menjauhi setiap larangan Allah SWT. Barang siapa yang luput daripada syukur seperti ini, maka dialah yang tertipu”

Ibu al-Jauzi menyatakan: “Terkadang manusia berada dalam keadaan sihat, namun ia tidak memiliki waktu luang kerana sibuk denga urusan dunianya. Dan terkadang pula seseorang memiliki waktu luang, namun ia sibuk dalam keadaan tidak sihat. Apabila terkumpul pada manusia waktu luang dan nikmat sihat, sungguh akan datang rasa malas dalam melakukan amalan ketaatan. Itulah manusia yang telah tertipu (terpedaya)”.

Ibu al-Jauzi juga menyatakan nasihat yang sudah semestinya menjadi renungan kita: “Intinya, dunia adalah lading beramal untuk menuai hasil di Akhirat kelak. Dunia adalah tempat kita menjajakan barang dagangan, sedangkan keuntungannya akan diraih di Akhirat nanti. Barang siapa yang memanfaatkan waktu luang dan nikmat sihat dalam rangka melakukan ketaatan, maka dialah yang akan berbahagia. Sebaliknya, barang siapa memanfaatkan kedua-duanya dalam maksiat, dialah yang betul-betul tertipu. Sesudah waktu lunag akan datang waktu yang penuh kesibukan. Begitu pula sesudah sihat akan datang keadaan sakit yang tidak menyenangkan”.

Umar bin al-Khattab r.a menyatakan: “Aku tidak suka melihat seseorang yang berjalan seenaknya tanpa mengendahkan ini dan itu, iaitu tidak peduli penghidupan dunianya dan tidak pula sibuk dengan urusan Akhiratnya.”
Sungguh menyedihkan apabila umat manusiayang diciptakan sebagai mekanisma yang sempurna bersikap acuh tidak acuh dan bersikap ambil mudah dalam rawatan tubuhnya sendiri. Sekali gus kegagalan kita dalam menjaga keadaan fizikal dengan baik akan mengundang pelbagai penyakit. Tanpa sedar manusia menyiksa diri sendiri dan tubuh badan mereka sendiri melalui pelbagai cara yang memudaratkan. Penyakit yang menimpa menyebabkan berlakunya tragedy yang tidak dijangka. Tragedi yang memberi gambaran seolah-olah manusia berlumba-lumba meninggalkan kehidupan ini secepat mungkin.. Kita hanya memiliki satu tubuh yang dapat kita gunakan untuk menjalani kehidupan dibumi ini. Tubuh begitu berharga bagi kita, sehingga seharusnya kita menjaganya dengan baik dan cermat, bagai menatang minyak yang penuh.

Sebaliknya, kebanyakan orang meracuni tubuh sendiri, menghancurkannya, membuatnya cacat dan terseksa. Kita mengisi paru-paru dengan asap dan mengisi perut dengan makanan yang berlebihan serta minuman berbahaya. (Islam menggalakkan umatnya untuk besederhana dalam segala perkara). Kita mengganggu kerja saraf kita dengan pelbagai pil untul membuat kita tidur dan pelbagai pil lain untuk membuat kita terjaga. Kita mengabaikan tanda peringatan daripada alam seperti sakit kepala dan pelbagai rasa tidak sedap badan dengan menghilangkan ketidaksenangan itu, bukannya membaiki semua akibat itu.

Nikmat sihat merupakan nikmat luar biasa yang diberikan oleh Allah kepada manusia. Dengannya manusia dapat melaksanakan tugasan dan tanggungjawapnya dengan baik.. Tidurnya nyenyak dan makan minumnya juga memuaskan. Semangat untuk bekerja dan berusaha akan sentiasa berkobar-kobar. Namun sayangnya, manusia kadang-kadang lupa akan nikmat yang tidak terkira ini ketika dia masih sihat. Setelah sakit barulah ia merasakan betapa kesihatan itu mahal harganya. Manusia akan melakukan apa-apa sahaja untuk mendapatkan nikmat sihat itu kembali dengan pelbagai cara mengikut kemampuan mereka.

Ada juga manusia yang sihat kadang-kadang takbur dengan kesihatannya. Golongan kufur nikmat ini akan merosakkan dirinya dengan sesuatu yang membahayakan kesihatannya. Antaranya dengan meminum minuman keras, mengunakan dadah dan ubat-ubatan terlarang dan yang lebih umum lagi adalah merokok. Mereka tidak berfikir bahawa perkara yang dibuat itu sama sahaja dengan tidak mensyukuri nikmat yang telah Allah SWT berikan. Mereka yang merokok adakalanya berkata, “Merokok ataupun tidak, sama sahaja, akhirnya akan mati juga”. Alangkah malangnya jika kata-kata ini diucapkan oleh seorang yang beriman. Tidakkah ia berfikir bahawa setiap nikmat yang Allah kurniakan kepada manusia harus disyukuri? Hal ini kerana barang siapa yang bersyukur maka Allah SWT akan sentiasa menambah nikmat itu. Oleh itu, kita perlu menjaga kesihatan sebagai bentuk rasa syukur kepada Allah SWT
Kebanyakan kita, ketika masih sihat walafiat, kita jarang sekali mensyukuri nikmat kesihatan yang telah diberikan oleh Maha Pencipta. Kita lalai ketika tubuh kita masih tegap dan sempurna dan mampu melakukan apa pun kerana kita masih segar-bugar dan stamina kita masih cukup. Kita tidak menggunakan kesihatan untuk memperbanyakkan ibadah dan berbuat kebajikan. Tetapi apabila sakit datang, kita tidak dapat melakukan aktiviti yang biasanya kita lakukan sehari-hari. Ketika sakit itu barulah kita mneyedari aka pentingnya kesihatan, saat sakit baru kita mengingati Maha Pencipta dengan memohon kesembuhan. Sering kali kita berjanji dan bersumpah jika sihat nanti akan melakukan pelbagai perkara yang baik-baik. Ironinya, setelah kita kembali sihat seperti asal, kita lupa akan ucapan-ucapan doa yang pernah dipanjatkan ketika sakit. Sepatutnya ketika kita sihat, kita harus menjadikan kesihatan kita sebagai tonggak untuk menyebarkan kebaikan kepada manusia.

Renungan Bersama
1. Kesihatan merupakan nikmat daripada Allah SWT yang selalu diperbaharui. – Seorang hamba akan dihisab atas nikmat ini, iaitu daripada sisi mana ia mensyukurinya, bagaimana ia menggunakannya? Adakah dalam ketaatan atau dalam kemaksiatan kepada Allah SWT.

2. Mensyukuri nikmat kesihatan dapat dilakukan dengan hati, lisan dan anggota badan – Syukur hati dapat dilakukan dengan cara meyakini bahawa Allah SWT adalah satu-satunya Zat yang memberi kesihatan. Syukur lisan dilakukan dengan cara mengakui kenikmatan tersebut dan melafazkannya. Adapun sukur dengan anggota badan dilakukan dengan menggunakan kesihatan itu dalam ketaatan dan menghindarkannya daripada kemaksiatan.
Kesimpulan – Kesihatan amat penting di sisi Islam. Oleh itu, umat islam mestilah mengambil berat terhadap aspek kesihatan sama ada dari segi mental, rohani dan jasmani. Berdasarkan peringatan daripada Allah SWT dan Nabi SAW, bahawa kesihatan ialah nikmat besar yang dilupakan bermaksud, sekiranya seseorang itu mengabaikan kesihatannya menunjukkan dia tidak mensyukuri kenimatan yang diberikan lantas mengundang azab Allah SWT. Maka, umat islam mestilah sentiasa menekankan aspek kesihatan ini kerana kesihatan merupakan nikmat Allah yang teramat besar kepada kita hambaNya.

Oleh sebab itu, dengan mengabaikan kenikmatan atau tidak mensyukuri kenikmatan akan mengundang azab. Ini bermakna sesiapa yang tidak ambil perhatian terhadap aspek kesihatan sama ada kesihatan mental, rohani atau kesihatan fizikal, maka akan mendapat azab iaitu sakit dimana ia merupakan seksaan hidup ini. Inilah makna penting yang tersirat daripada amaran Nabi SAW bahawa kesihatan adalah nikmat yang mudah dilupakan.

Allah doktor ku

Tuesday, July 28, 2015

Penyesalan - Jangan Tunggu Masa Akan Datang

“Kalau lah dulu..” Perkataan ini selalu menjadi butir-butir sebutan tatkala merasa menyesal bila kita tidak membuat keputusan yang tepat pada waktu yang lalu. Sebenarnya ada beberapa perkara silap yang kebanyakan orang buat dalam kehidupan, termasuklah kita. Tetapi kita mungkin tidak sedar akan perkara-perkara ini. Kesannya? Mungkin kita akan merasa menyesal dalam masa 10 tahun akan datang. Kita akan merasa betapa hidup kita telah tersia-sia dengan tindakan kurang bijak sebelum ini dan terpaksa membayar ‘yuran kebodohan’ seumur hidup kita. Hidup adalah sekali, dan orang yang bijak akan menjalani kehidupan ini sebaik yang mungkin. Apakah perkara-perkara yang akan membuatkan kita semua menyesal itu?
1. Hidup dalam kepura-puraan untuk membuat orang lain kagum
Pernahkah kita merasa ingin menukar kereta disaat semua sahabat dan keluarga kita berlumba-lumba membeli kereta baru dan menunjuk-nunjuk kepada kita? Pernah kita dipersenda kerana memakai ‘handphone’ yang buruk dan ketinggalan zaman? Bukan mudah berurusan dengan gelojak emosi disaat ego kita seakan dicabar. Tarik nafas, bertenang dan ingat ini: Jika wajah yang selalu kita tunjukkan kepada dunia adalah topeng semata-mata, pada suatu masa nanti tiada apa lagi yang tinggal disebalik wajah kepura-puraan itu. Kerana kita menghabiskan terlalu banyak masa (dan wang) menumpukan persepsi orang lain terhadap kita, atau orang lain yang kita ingin jadi, sehinggakan kita sendiri terlupa bahawa siapa diri kita yang sebenarnya. Jadi jangan takut terhadap penilaian orang lain terhadap kita; hanya kita dan Allah sahaja yang tahu apa yang terkandung dalam hati kita dan siapa diri kita yang sebenarnya. Oleh itu, kita tidak perlu menjadi sempurna di mata orang lain. Apa yang terbaik adalah hanya biarkan orang lain yang kagum dengan bagaimana kita boleh menyesuaikan diri dan menerima kekurangan pada diri kita. Sebab bukan semua orang mampu menerima diri sendiri seadanya. You can’t be good enough for everybody. Just be good for Allah’s sake and that will always be enough.

2. Kita pasti menyesal apabila membiarkan orang lain mempengaruhi cita-cita kita.
Allah beri apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu.. Cabaran terbesar dalam kehidupan kita adalah mencari siapa diri kita yang sebenarnya; dan cabaran kedua terbesar pula adalah untuk menerima dan gembira dengan apa yang kita jumpai itu. Bahagian terbesar daripada proses ini adalah keputusan kita untuk terus bertahan dengan matlamat dan impian hidup kita. Ada orang yang tidak bersetuju dengan kita? Bagus. Ia bermakna kita seorang yang berpendirian dan menentukan haluan sendiri. Kadangkala, perkara yang kita buat itu dianggap gila oleh orang lain, tetapi bila kita mendapati diri kita teruja dan bahagia dengan keputusan kita itu, kita akan tahu kita sedang membuat perkara yang betul. Benar, kadangkala apa yang kita hajatkan itu tidak tercapai. Tetapi pasti ada hikmahnya. Yang penting, kita berusaha sehabis daya dahulu mengejar impian kita.
3. Pada suatu masa nanti, kita akan menyesal bila kita bersifat Ego dan lebih mementingkan diri sendiri pada masa lalu
Sebelum terlambat.. jangan menyesal kerana ego. Kehidupan yang diisi dengan kasih sayang dan sifat baik adalah asas yang terbaik dalam membina hati yang bahagia. Pasti mereka yang pernah pernah hadir dalam kasih sayang dan kemurahan hati kita, akan mengingati bagaimana kita membuatkan mereka berasa sangat istimewa walaupun masa itu telah lama berlalu. Jadi ukirlah nama kita pada hati, bukan pada batu. Apa yang kita buat untuk diri sendiri akan mati bersama kita, dan apa yang kita buat untuk orang lain dunia akan mengingati. Jadi sebar-sebarkanlah kebaikan.

4. Kita akan menyesal bila masih terikat dengan masa silam dan mengelak perubahan serta perkembangan dalam kehidupan
Jika mahu lihat masa lalu maka lihatlah pada masa sekarang. Jika kita mahu melihat gambaran pada masa hadapan, maka lihatlah kita pada masa sekarang. – You must let go of the old to make way for the new; the old way is gone, never to come back. Jika kita menyedari hal ini, dan menyusun langkah ke arahnya, InsyaaAllah kita akan meletakkan diri kita dalam jalan kejayaan yang panjang. Masa silam yang gelap bukanlah bermakna tiada harapan lagi kepada kita. Tidak. Belajarlah daripada masa silam dan lepaskan ia pergi. People are constantly changing and growing. Jadi, jangan buat diri kita terikat dengan bayangan seseorang dari masa silam. Fikir cara untuk lupakan kenangan silam yang menyedihkan hati hanyalah dengan mewujudkan lebih banyak kenangan manis yang menggembirakan hati. Semakin banyak kenangan manis dalam ingatan, maka semakin kurang signifikan kenangan pahit tersebut. Hakikatnya, kenangan pahit itulah yang menjadikan kita lebih kuat dan tabah. Bagi manusia biasa seperti kita, ternyata kita tak boleh padam kenangan pahit tersebut namun kita mampu meletakkan memori tersebut ke sudut minda yang paling dalam. Salah satu caranya ialah dengan berkongsi kisah sedih tersebut dengan orang lain. Mungkin kenangan pahit itu terperangkap dalam minda separa sedar kita, sehinggakan kita merasakan bahawa kenangan itu sering menghantui diri kita. Dengan menceritakan kenangan itu kepada orang lain, penjara minda kita seolah-olah terbuka lalu membebaskan banduan kenangan silam yang menyedihkan itu, bagaikan burung yang dilepaskan dari dalam sangkar, terbang bebas di angkasa lalu masuk ke dalam awan dan terus hilang. Setelah itu, memori pahit itu akan terperosok jauh ke dalam minda dan tidak akan menghantui kita lagi. “Kami jelaskan yang demikian itu supaya kamu jangan berduka cita kepada apa yang telah hilang daripada kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira kepada apa yang diberikan kepada kamu. Allah tidak suka orang yang sombong dan membangga diri.” Surah Al-Hadid, ayat 23
5. Penyesalan terhebat adalah apabila kita mudah patah hati dalam menghadapi kesukaran dan musibah.
Sebenarnya tiada kegagalan, cuma hanyalah hasil yang kita kurang senangi. Walaupun sesuatu perkara itu tidak menjadi seperti yang kita jangkakan, jangan mudah patah hati dan putus asa. Belajar apa yang boleh daripadanya dan move on. Siapa yang meneruskan kehadapan satu langkah setiap masa akan menang pada akhirnya. Kerana kita perlu menempuh ranjau-ranjau yang panjang dan lama terlebih dahulu sebelum boleh mencapai kejayaan akhir. Ia adalah satu proses yang berlaku dengan langkah kecil, keputusan dan perbuatan yang sentiasa terbina diantara satu sama lain dan akhirnya akan membawa kepada kejayaan yang gemilang. Patah hati adalah proses. Dengan patah hati, Allah nak kita ubati hati kita dengan cara kembali kepada Dia semula. Mungkin kita sudah terlalu jauh daripadaNya? “Dan mereka tersungkur di atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyu’.(Al-Isra’ :109) It hurts. But you are strong. Bangkit dan berjalan walau dengan air mata.

6. Cuba untuk terlalu sempurna dalam setiap perkara
Life should be touched, not strangled. Kadangkala kita perlu bertenang dan menikmati kehidupan tanpa bimbang akan perkara yang remeh. Jangan terlalu perfectionist. Belajar untuk melepas sedikit sebelum kita sendiri tersepit. Tarik nafas panjang-panjang. Apabila kabus menghilang, dan kita akan dapat melihat lagi gunung dan pokok, maka ambillah langkah ke hadapan. Kita tidak perlu tahu secara tepat tempat yang dituju di sesebuah kawasan yang besar. Semua perkara dalam kehidupan ini adalah dalam susunan yang sempurna. Ia cuma mengambil sedikit masa untuk menyambungkan kesemua titik-titik dalam kehidupan. Let it be, Let it flaw.
7. Tidak berusaha sehabis mungkin untuk sesuatu yang kita layak mencapainya
Jadilah seorang yang cukup kuat untuk melepaskan dan cukup bijak untuk menunggu apa yang kita layak. Kadangkala kita akan jatuh kebawah terlebih dahulu sebelum dapat berdiri lebih tinggi daripada sebelumnya. Kadangkala mata kita perlu dibasuh dengan air mata agar dapat melihat sebarang kemungkinan dihadapan kita dengan pandangan yang lebih jelas lagi. Jangan berhenti!

8. Kita akan menyesal bila sentiasa menunggu esok
Masalah yang sering berlaku adalah.. ..kita sentiasa beranggapan bahawa kita mempunyai lebih masa daripada yang sebenarnya. Pada suatu hari nanti kita akan tersedar dan pada masa itu tiada lagi masa untuk membuat perkara yang kita nak sangat buat. Pada waktu itu, sama ada kita telah mencapai matlamat yang kita impikan, atau hanya ada sedozen senarai alasan mengapa kita tidak berjaya. Masa adalah perkara yang berharga. jangan bazirkan ia pada orang yang tak tahu hargai kita. jangan terhegeh pada orang yang tak sudi memandang.

9. Kita malas dan kita kuat berangan-angan kosong
Dunia tidak berhutang kepada kita apa-apa pun, malah kita sebaliknya yang berhutang kepada dunia. Jadi berhenti berangan-angan kosong dan mulakan langkah membuat sesuatu. Ambil tanggungjawab penuh terhadap kehidupan kita – kawal dengan sebaiknya. kita akan menyesal bila mengecewakan mak dan ayah.. bila mereka telah tiada lagi di dunia ini. Kita adalah penting dan diperlukan. Terlalu lewat untuk hanya duduk-duduk dan menunggu seseorang untuk melakukan sesuatu pada suatu masa nanti. Suatu masa itu nanti adalah sekarang; dan seseorang yang dunia perlukan adalah kita.
Ini adalah hidup kita; kita yang menentukan apa yang berhak dan terbaik untuk kita. Pengalaman hidup adalah guru yang terbaik, namun orang yang bijak mengambil setiap pembelajaran dari kehidupan orang lain dan mengelakkan diri dari jatuh ke lubang yang sama. Keep learning, adapting, and growing. Kita mungkin masih belum sempurna, tetapi InsyaAllah kita adalah lebih baik daripada kita yang semalam.

Sunday, July 12, 2015

Mengapa Kita Perlu Solat

Firman Allah: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaku.” (Az-Zariyat : 56). Kenapa Allah SWT memfardukan solat kepada hambaNya? Terdapat banyak sekali kelebihan-kelebihan atau keistimewaan yang hanya ada pada solat dan tidak pada ibadah-ibadah lain. Lihat sahaja bagaimana Allah mewajibkan solat pada baginda Rasulullah. Tidak seperti ibadah lain, ia difardukan oleh Allah secara langsung kepada Rasulullah SAW di langit iaitu pada peristiwa Isra’ dan Mi’raj.
Melalui tajuk ini, saya cuba sebutkan 5 sebab utama yang menjelaskan kepentingan solat kepada manusia sehingga kita perlu melakukannya 5 kali sehari semalam dalam apa jua keadaan dan ketika.

Pertama: Solat Peluang Kita Berinteraksi Dengan Allah - Solat membentuk hubungan antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya melalui kelazatan munajat kepada Pencipta dan melahirkan pengabdian kepada Allah dengan menyerah segala urusan kepada-Nya, memohon kedamaian dan keselamatan daripada-Nya. Lihat sahaja bentuk amalan solat yang diajarkan oleh Rasulullah, bermula dengan qiyam (berdiri), ruku’, i’tidal dan sujud. Kesemuanya dilakukan dengan tujuan untuk membesarkan Allah, Tuhan yang Maha Kuasa lagi Agung.  Kenapa tidak? Dengan limpah kurniaan dan nikmat yang dianugerahkan kepada kita baik dari segi kesihatan tubuh badan, zuriat, suami-isteri, ibu bapa serta keluarga. Tidakkan itu satu nikmat yang tidak terhingga?

Baginda Rasulullah SAW. bukan sahaja mengajarkan cara melakukan solat tetapi juga mengajarkan kepada kita dengan pelbagai pujian serta doa yang boleh diamalkan sepanjang kita melakukan dengan ibadah solat iaitu bermula dengan qiyam atau berdiri sehinggalah sebelum kita melafazkan ucapan salam. Inilah yang saya maksudkan sebagai satu peluang untuk kita berinteraksi dengan Allah secara langsung, menyembah kepada-Nya, memuji dan membesarkan Allah. Ianya tidak akan berakhir sehinggalah kita mengucapkan salam pada-Nya. Maka tidakkah rugi bagi kita jika kita tidak mengambil peluang semasa kita mengadap Allah ini dengan memperbanyakkan doa baik berupa permintaan, permohonan bagi menjauhkan dari segala bahaya godaan syaitan dan tidak lupa juga iaitu pengampunan kita kepada Allah.

Kedua: Peluang Menggandakan Pahala Dan Penghapusan Dosa - Solat bukan sahaja menjadi penyumbang kepada ganjaran yang berlipat ganda, malah ia juga dapat menghapuskan dosa-dosa yang yang lalu. Inilah kelebihan kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW yang tidak terdapat pada umat-umat yang sebelumnya, sehinggakan baginda Rasulullah pernah menyatakan agama Islam itu mudah. Mengapa tidak? Umat terdahulu seperti pada zaman Nabi Musa begitu banyak sekali pantang larangnya. Hendak makan daging lembu sebagai contoh, tidak kesemuanya boleh dimakan begitu sahaja, ada bahagian-bahagian yang ditegah daripada menjamunya. Kita umat Nabi Muhammad? Selagi mana ianya disembelih dengan menyebut nama Allah, maka daging lembu tersebut adalah halal dimakan. Bangsa Yahudi pada zaman Nabi Musa juga disyariatkan untuk beribadah pada hari Sabtu dan tidak dibenarkan melakukan perkara lain. Sehinggakan mereka melakukan tipu daya bagi mengelakkan larangan ini. Umat nabi Muhammad? Kita bebas melakukan apa sahaja kerja yang halal pada bila-bila masapun, asal sahaja kita tidak meninggalkan perintah Allah untuk mendirikan solat Fardu lima waktu sehari semalam.
Bagaimana pula dengan hal pengampunan kepada Allah bagi dosa-dosa kita? Cukup dengan bertaubat dengan sebenar-benarnya pada Allah, berazam untuk tidak mengulanginya lagi dan benar-benar menyesal di atas segala kesilapan pada masa lalu di samping melakukan perintah yang diwajibkan Allah seperti solat Fardu dan lain-lain ibadah bagi menampung dosa-dosa kita yang lalu, maka Insha Allah dosa-dosa kita yang lampau akan diampunkan Allah. Ini jelas di mana Nabi Muhammad pernah menyatakan bagi sesiapa yang melakukan solat Fardu dari satu Jumaat ke satu Jumaat yang lain, maka dosanya di antara kedua Jumaat tersebut akan diampunkan oleh Allah, begitu juga dengan sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya pada masa lalu.

Bagaimana pula dengan umat pada masa yang lalu? Bangsa Yahudi akibat kesilapan mereka menduakan Allah dengan menyembah sapi, mereka diperintahkan Allah untuk berbunuh-bunuhan sesama sendiri bagi membolehkan taubat kita diterima Allah. Tidakkah kita merasa bersyukur sekarang menjadi umat nabi Muhammad? Bercakap tentang solat pula banyak sekali kelebihan-kelebihan yang dianugerahkan Allah seperti dari segi penghapusan dosa. Firman Allah: “Dan dirikanlah solat (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama solat) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat. Surah Hud (11): 114 Malah Rasulullah pernah mengumpamakan orang yang mendirikan solat Fardu lima waktu kepada para sahabat seperti seorang yang mandi lima kali sehari yakni Allah membersihkan sesiapa yang mengerjakan solat dengan penghapusan dosa-dosa. Di samping itu dengan solat juga, bukan sahaja kita dapat mendekatkan diri kepada Allah dengan mengucapkan segala pujian seperti tasbih, tahmid dan juga takbir ketika melakukan qiyam, ruku’, sujud dan lain-lain perbuatan tetapi juga dianugerahkan dengan pahala yang tidak terhingga.

Ketiga: Membentuk Mukmin Yang Kuat Dan Sihat - Pernahkah kita terfikir pabila kita mendirikan solat bagi menjalankan kewajipan perintah Allah, kita bukan sahaja menerima pahala yang berlipat ganda dan ditebus segala dosa-dosa kita yang terdahulu tetapi secara tidak langsung juga kita telah menanamkan pada diri kita kecintaan dalam melakukan aktiviti yang menyihatkan tubuh badan atau jasmani. Dengan melakukan solat juga dapat memperkukuh kesegaran tubuh badan kita. Solat menuntut agar setiap muslim, bangun pagi seawal mungkin dan bersemangat dalam menghadapi tugas-tugas harian sejak menjelang terbitnya matahari.
Menurut al-Zahabi: “ Dalam solat, faktor fizikal juga terlibat iaitu dalam bentuk senaman untuk badan selain penumpuan fikiran. Senaman-senaman itu melibatkan berdiri tegak (qiyam ) sujud, ruku’, tumakninah dan penumpuan melalui solat pergerakan-pergerakan badan berlaku, dan kebanyakan organ dalam keadaan tenang”. Rasulullah SAW melalui sunnahnya telah mengajarkan bahawa berdiri dalam solat harus dengan tegap dan dalam posisi yang lurus dan tidak boleh dalam keadaan yang lemah atau malas. Ia juga seharusnya dilakukan dalam keadaan tenang dan tidak kelam kabut, ini dapat disaksikan dalam perintah Rasulullah kepada seorang Arab badwi supaya mengulangi solat yang dilakukannya dengan cara yang tidak teliti dan sempurna.

Dengan ini solat selain daripada merupakan ibadah ia juga merupakan satu bentuk riadah tubuh badan harian yang tersusun dengan sedemikian rupa dalam memberikan kerehatan jiwa dan juga jasmani manusia melalui pergerakan ketika melakukan ibadah solat seperti amalan ruku’, i’tidal, sujud dan sebagainya seperti yang disebutkan tadi. Menurut satu kajian yang dibuat oleh sekumpulan penyelidik Universiti Malaya ke atas sekumpulan peserta mendapati mereka yang sempurna solatnya lima kali sehari mempunyai nilai komposisi badan yang lebih sihat berbanding dengan kumpulan peserta yang meninggalkan solat, selain dapat meningkatkan tahap ketahanan badan serta menghindarkan risiko penyakit jantung, stres, kolestrol dan lain-lain penyakit.

Keempat: Membentuk Kemantapan Rohani Dalam Diri - Solat yang dilakukan dengan penuh khusyu’ juga  dapat menumbuhkan pada diri mukmin yang melakukannya kekuatan rohani dan batin yang amat berguna dalam mengharungi segala kesulitan hidup dan juga ujian dalam kehidupan seharian kita. Al-Zahabi menyatakan dalam kitab karangan beliau al-Tib: “Ibadah solat sentiasa menghasilkan kegembiraan dan kepuasan, ia dapat mengurangkan kebimbangan dan mengawal perasaan marah. Ia dapat meningkatkan rasa cinta kepada kebenaran dan rendah diri terhadap manusia, melembutkan hati, membentuk kasih sayang dan sifat memaafkan serta membenci dan sifat balas dendam…Seseorang boleh menemui cara-cara untuk menyelesaikan masaalah-masaalah duniawi dan rohaniah. Dan seseorang itu boleh memeriksa diri sendiri terutamanya apabila seseorang itu benar-benar menghayati solatnya. Waktu yang paling baik ialah – selepas – tengah malam semasa kebanyakan orang sedang tidur dan dalam keadaan sunyi sepi”.

Ini jelas sebagaimana firman Allah: “Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat, kerana sesungguhnya Allah itu beserta orang-orang yang sabar.” Dengan ini solat menjadi institusi pendidikan akhlak yang amali dan berdisiplin yang dapat mengasuh sifat-sifat benar, amanah serta mencegah perbuatan keji dan mungkar. Firman Allah SWT: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar” Surah al-‘Ankabut (29): 45
Kelima: Memberi Keupayaan Mental  Dan Kekuatan Dalaman Yang Tinggi - Selain dari faedah kerohanian yang dapat diraih melalui amalan solat yang dapat membantu mukmin untuk sentiasa berbuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan serta menjauhi perkara maksiat dan juga mungkar, dengan mengerjakan solat juga akan dapat mengukuhkan moral dan mental seorang mukmin. Ini kerana ia akan dapat menanamkan dalam hati, kesedaran adanya pengawasan ilahi, memelihara aturan-Nya, menjaga disiplin waktu, gentar akan ancaman dan seksaan Nya serta sanggup mengatasi sifat-sifat kemalasan dalam memperturutkan hawa nafsu dan sifat-sifat kelemahan manusia yang lainnya.

Antara contoh sifat kelemahan manusia yang berkaitan dengan mental ialah penyakit kegelisahan atau Anxiety. Menurut Al-Quran ianya boleh diubati dengan melakukan solat. Firman Allah: “Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); -Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah; Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut; Kecuali orang-orang yang mengerjakan solat – Iaitu mereka yang tetap mengerjakan solat” Surah al-Ma’arij (70): 19-23. Daripada ayat ini, dapat disimpulkan bahawa solat adalah salah satu daripada cara merawati kecelaruan kegelisahan. Ibadah solat merangkumi pelbagai aspek zikrullah seperti doa, tasbih, takbir dan tahmid. Melalui zikrullah yang dibaca secara berulang-ulang ini berdasarkan perasaan rindu kepada-Nya dapat mendidik jiwa manusia ke arah kebaikan serta menjauhkan jiwa dari kejahatan selaras dengan kehendak Islam. Selain itu, ibadah solat juga dapat mendidik jiwa manusia supaya sentiasa mencintai Allah dan Rasul-Nya. Cinta yang mendalam ini akan membuat jiwa seseorang itu tenang dan sentiasa mengingati Allah serta takutkan kebesaran-Nya.

Melalui ibadah solat juga mempraktikkan amalan berdoa kepada Allah, dengan cara ini dapat memberi peluang kepada manusia untuk berinteraksi secara peribadi dengan Tuhan, selain dari dapat meluahkan segala perasaan yang terbuku dalam hati mereka melalui doa yang dipanjatkan kepada Allah. Ia juga sebenarnya menepati kaedah kaunseling atau Psycho Therapy kerana mencurahkan perasaan yang menghantui diri pada orang kedua akan membantu meringankan bebanan yang dihadapi. Adapun dengan meninggalkan solat akan menyemarakkan kecintaan pada syahwat, buruk dari segi akhlaknya, begitu juga jika solat dilakukan denga gerakan-gerakan anggota badannya tanpa disertai kehadiran akal dan kekhusyukan hati tidak akan memberi kesan atau impak yang mendalam dalam pembangunan mental seseorang.

Berbeza jika solat dikerjakan dengan bersungguh-sungguh dan khusyu’ dapat  memperkuatkan jiwa daripada pengaruh cinta pada dunia, serta mengangkat diri daripada keinginan nafsu terhadap kebesaran, harta dan kekuasaan. Malah menurut kajian, seseorang yang memahami bacaan semasa solat dengan baik mempunyai komposisi badan yang lebih sihat dan pemikiran yang lebih tenang selepas solat berbanding dengan seorang yang tidak faham sepenuhnya bacaan semasa solat.Selain menjauhkan jiwa seseorang daripada bersifat lalai yang boleh memesongkan kita ajaran agama Islam. Firman Allah: “Orang-orang yang beriman dan hati mereka tenang karena dzikir kepada Allah.Ketahuilah sesungguhnya dzikir kepada Allah akan membuat hati menjadi tenang” Surah al-Ra’ad (13): 28


Begitu juga sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah: Menurut riwayat Ahmad, apabila Rasulullah SAW mengalami sesuatu perkara yang mendukacitakan, Baginda mengatakan, “Berdirilah Wahai Bilal, damaikan kami dengan solat.” Apa yang dapat disimpulkan ialah ibadah solat yang khusyu’ ini mempunyai pelbagai kelebihan serta kekuatan mental serta ketenangan jiwa seterusnya dapat merawati segala kekusutan yang menghantui jiwa seperti penyakit gelisah dan sebagainya.

Perkongsian dari Abahyasir