DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Wednesday, March 2, 2016

Sifat Munafiq Yang Wajib Kita Jauhi (Wajib Baca)

Menurut Al-Quran, orang munafiq itu mulutnya mengakui beriman, mengakui adanya Allah dan menerima bahawa Nabi Muhammad itu utusanNya. Namun hatinya tidak ikhlas, timbul keragu-raguan dan dalam diam-diam dia sebenarnya menolak pengakuan itu. Amalannya nampak baik, ibadahnya nampak rajin tetapi hatinya merasa berat. Firman Allah SWT: “Dan sebahagian dari manusia ada yang berkata: “Kami percaya kepada Allah dan Hari Kemudian, padahal tidaklah mereka orang-orang yang beriman” (Al-Baqarah: 8). Kepura-puraan memang dapat menipu orang-orang beriman tetapi tidak mungkin dapat memperdayakan Allah. Ingat, Allah Maha Mengetahui apa yang kita lahirkan (ucapkan /kerjakan) dan apa yang kita sembunyikan didalam hati. Terhadap orang-orang munafiq ini Allah menganggap hati mereka itu terdapat penyakit, dan Allah akan menambah penyakit itu. Kerananya orang-orang munafiq mendapat ancaman berupa azab yang sangat pedih (Al-Baqarah: 10). Penyakit yang ada didalam hati orang munafiq ialah perasaan berbangga diri atau mengagumi dirinya sendiri, misalnya merasa lebih pintar dan sebagainya.
1. Malas Beribadah Kepada Allah SWT
Konsep malas beribadah mencakupi apabila seseorang malas mengerjakan solat,segan untuk menempatkan diri disaf pertama,enggan mencari ilmu pengetahuan dan berat melangkah untuk menghadiri majlis kebajikan.Pada zaman Rasulullah SAW orang-orang munafiq sama-sama mengerjakan solat bersama baginda tetapi mereka malas dan tidak menampakkan kesungguhan. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang-orang munafiq itu menipu Allah SWT, sedang Allah SWT menipu mereka (membalas tipuan mereka). Apabila mereka berdiri hendak solat, mereka berdiri dengan malas serta riak terhadap manusia dan mereka tiada mengingati Allah SWT, melainkan hanya sedikit”. (An-Nisa 142). Orang Munafiq jika datang ke masjid, dia akan memilih saf paling akhir sehingga tidak mengetahui apa yang dibaca oleh imam dalam solat dan tidak menghayati pengajarannya.

2. Lupa Kepada Allah SWT
Orang munafiq memiliki sifat kemunafiqan dalam fikiran dan batin mereka tidak pernah terlintas untuk mengingati Allah SWT baik ketika senang atau susah. Firman Allah SWT: “Mereka telah dikuasai oleh syaitan, lalu lupa mengingati Allah SWT. Mereka itulah golongan (pengikut) syaitan. Ingatlah bahawa pengikut syaitan itu orang yang rugi.” (Al-Mujadalah:19)

3. Melalaikan Solat Fardu
Melalaikan solat fardu bermaksud sengaja melengahkan atau melambatkan mengerjakan solat sehingga habis waktunya. Perkara ini akan mendapat ancaman dan seksaan Allah SWT di akhirat kelak. Firman Allah SWT: “Kemudian sepeninggalan mereka digantikan oleh pengganti-pengganti jahat, mereka mensia-siakan solat dan mengikut hawa nafsu, sebab itu mereka menemui kejahatan (seksa) Allah SWT” (Maryam: 59)

Firman Allah SWT: “Maka celakalah (azab) bagi orang-orang yang solat, mereka itu lalai daripada solat, mereka itu lalai daripada solatnya, lagi mereka itu riak dan enggan memberi zakat” (Al-Ma’un:47). Firman Allah SWT: “Hai orang-orang beriman, janganlah kamu lalai kerana harta benda dan anak-anakmu daripada mengingati Allah SWT (solat). Barangsiapa berbuat demikian itu,maka orang yang rugi.” (Al-Munafiqun:9)

Sa’ad bin Abi Waqqas mengatakan: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang orang yang lalaikan solatnya, maka baginda bersabda’Maksudnya orang yang melambatnya” (HR.Tirmizi). Dalam Hadith lain Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang mahu menjaga solatnya,maka adalah ia menjadi cahaya dan tanda bukti serta dapat menyelamatkan baginya pada hari kiamat nanti, sedangkan orang yang tidak mahu menjaga solatnya, dia tidak mempunyai cahaya dan tanda bukti serta penyelamat di hari kiamat nanti, bahkan ia kelak akan berkumpul dengan Firaun, Qarun, Haman, Ubaiy bin khalaf.” (HR.Ahmad dan Tabrani)

4. Mempercepatkan Mengerjakan Solat
Orang yang mempercepatkan solatnya tanpa rasa khusyuk dan lupakan Allah SWT, maka solatnya tidak diterima Allah SWT. Itulah solat orang-orang munafiq. Rasulullah SAW bersabda: “Itulah solat orang munafiq, lalu mempercepatkan empat rakaat” (HR.Muslim). Sabda Rasulullah SAW: “Pencuri yang utama itu ialah orang yang mencuri dalam solatnya. Lalu ada yang bertanya:”bagaimana caranya mencuri dalam solat?’Baginda bersabda:”Itulah orang yang tidak menyempurnakan rukuk, sujud, dan bacaan di dalam solatnya.” (HR.Ahmad dan Hakim)

5. Gemar Meninggalkan Solat Berjemaah
Seseorang yang sihat daripada segi fizikal dan jasmani, mempunyai waktu lapang dan tidak uzur syari’, tetapi tidak mahu mendatangi masjid ketika mendengar seruan azan, maka dia tergolong orang munafiq. Sabda Rasulullah SAW, “Tidak ada yang akan meninggalkan solat berjemaah, kecuali orang munafiq yang sudah diketahui kemunafiqannya.” (HR.Muslim)

6. Meninggalkan Solat Jumaat
Dalam islam solat Jumaat adalah wajib maka barangsiapa yang meninggalkannya dengan sengaja tanpa ada sebarang keuzuran yang dibolehkan syarak adalah termasuk meninggalkan kewajipan yang bererti ia telah berbuat dosa dan tergolong orang yang munafiq. Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa meninggalkan solat jumaat tanpa ada halangan atau bahaya, maka ia menjadi orang munafiq dalam sebuah catatan yang tidak akan dihapuskan dan tidak akan ditukar.” (HR.Abu Dauh dan Nasa’i). Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh berhentilah orang-orang daripada perbuatan mereka meninggalkan jemaah jumaat atau sungguh Allah SWT akan mematri hati mereka, kemudian mereka menjadi (munafiq) yang lalai.” (HR.Muslim)

7. Melakukan Dosa dan Kemungkaran Secara Sembunyi.
Orang yang berpura-pura melakukan kebaikan di tengah-tengah orang ramai dan gemar melakukan perbuatan maksiad atau kemungkaran secara tersembunyi adalah orang-orang munafiq yang amat dibencikan Allah SWT. Firman Allah SWT: “Mereka menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada manusia, dalam pada itu mereka tidak menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada Allah. Sedangkan ia beserta mereka itu ketika mereka menyembunyikan dalam hatinya perkataan yang tidak disukai Allah SWT. Allah meliputi (pengetahuan-Nya) apa-apa yang mereka kerjakan. (An-Nisa’: 108)
8. Menyuruh Yang Mungkar Dan Melarang Yang Makruf.
Orang-orang munafiq inginkan segala perbuatan keji dan mungkar disebarkan di kalangan orang-orang beriman.Mereka menyuruh orang beriman berbuat mungkar dan melarang melakukan perkara yang makruf dengan tujuan untuk melemahkan kebenaran dan kemurnian ajaran Islam. Firman Allah SWT: “Orang-orang munafiq lelaki dan wanita, sesetengahnya serupa dengan yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang mungkar dan melarang berbuat makruf dan menggengam tangannya (bakhil). Mereka lupakan Allah SWT lalu Allah SWT melupakan mereka. Sesungguhnya orang-orang munafiq itu adalah orang fasik.” (Al-Taubah: 67)

9. Menyembunyikan Ilmu Pengetahuan.
Maksud menyembunyikan ilmu pengetahuan ialah orang-orang yang memiliki ilmu apabila ditanya orang lain sedangkan dia mengerti persoalan yang ditanyakan tetapi tidak menjelaskannya. Perbuatan ini akan menghalang kemajuan umat islam dalam segala bidang dan juga dapat menutup kebenaran. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa-apa yang Kami turunkan di antara beberapa keterangan dan petunjuk setelah Kami terangkan kepada manusia dalam kitab, nescaya mereka itu dikutuk Allah SWT dan dikutuk oleh orang-orang yang mengutuknya.’ (Al-Baqarah: 159). Firman Allah SWT: “Ingatlah ketika Allah SWT mengambil janji orang-orang ahli kitab: Hendaklah kamu terangkan kitab kepada manusia dan janganlah kamu sembunyikannya, lalu mereka lemparkan perjanjian itu di belakang punggungnya (tidak tepati) dan mereka jual perjanjian itu dengan wang yang sedikit. Maka amat jahat apa yang mereka jual itu.” (Ali-Imran: 187)

Rasulullah SAW bersabda: “Daripada Abi Hurairah bahawa Rasulullah SAW. bersabda: Barangsiapa ditanya sesuatu ilmu lalu dia menyembunyikannya, maka di hari kiamat nanti dia akan dikendalikan dengan kendali api neraka.” (HR.Ata’). Rasulullah SAW bersabda: “Daripada Ibnu Umar bahawa Nabi SAW bersabda:’Barangsiapa menuntut ilmu sedang ia tidak mahu mengamalkannya, nescaya ilmunya tidak akan bertambah melainkan kesombongan belaka.” (HR.Tirmizi dan Ibnu Majah)

10.Mengamalkan Riak.
Riak adalah perbuatan orang munafiq yang tersembunyi didalam hati, perasaan dan peribadi dengan niat dan tujuan tertentu. Menutut Imam Al Ghazali, riak adalah mencari kedudukan pada hati manusia dengan memperlihatkan perkara-perkara kebajikan. Saidina Ali bin Abi Talib Karramallah Wajhah berkata orang yang bersifat riak itu ada tiga tanda, iaitu malas apabila bersendirian, rajin apabila berada dikhalayak ramai dan ia menambah amal apabila dipuji dan dikurangkan apabila dicela. Dalam islam perbuatan riak tergolong syirik kecil, merosakkan amal kebajikan, meluntur kemurnian akhlak dan mendapat kemurkaan dan azab Allah SWT. Firman Allah SWT: “Maka celakalah (azab) bagi orang yang solat,yang mereka itu lalai daripada solatnya, lagi mereka itu riak dan enggan memberi zakat (Al-Ma’un: 47).”Firman Allah SWT: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu batalkan sedekahmu dengan mencerca dan menyakiti seperti orang menafkahkan hartanya kepada riak kepada manusia.” (Al-Baqarah: 264)

Rasulullah SAW bersabda: “Suatu yang paling aku khuatirkan kamu ialah syirik kecil, lalu ditanya oleh sahabat. “Apakah syirik kecil itu ya Rasulullah SAW?” Kemudian baginda SAW bersabda: “Iaitu riak.”” (HR.Ahmad dan Baihaqi) Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang berbuat riak akan dipanggil pada hari kiamat.’Hai orang yang zalim, Hai orang yang menyeleweng, Hai orang yang berbuat riak, amalanmu sesat dan pahalamu sia-sia. Pergilah, maka ambillah pahalamu daripada orang yang kamu berbuat amal baginya.” (HR.Ibnu Abid Dunya)

11. Hasad Dengki
Hasad dengki merupakan suatu wabak yang berbahaya yang ada dalam diri seseorang jika tidak dibendung atau dijaga secara wajarnya. Hasad dengki dapat diertikan sebagai suatu sikap tidak senang atas kenikmatan, kesenangan atau kelebihan yang ada pada orang lain dan berusaha untuk menghilangkan kenikmatan itu agar dapat memilikinya. Dengan demikian sifad hasad dengki boleh menyuburkan perasaan dendam, permusuhan dan suka berprasangka buruk terhadap orang lain. Dalam islam sifad hasad dengki adalah tercela dan tergolong amalan orang-orang munafiq. Firman Allah SWT: "Adakah patut mereka dengki kepada manusia atas nikmat yang Allah SWT berikan kepada mereka daripada kurnia-Nya?" (An-Nisa': 54). Orang yang bersifat hasad dengki jiwanya sentiasa merasa serba kekurangan dengan apa yang dimilikinya. Firman Allah SWT: "Yang paling aku takut dari apa yang aku takut pada umatku ialah yang banyak harta pada mereka, lalu mereka saling berdengki dan berbunuh-bunuhan." (HR. Ibnu Abid Dunya an Amir Al-Asy'ari)

Dalam islam keharusan melahirkan perasaan dengki terhadap orang lain hanya dalam dua perkara sahaja iaitu terhadap ilmu dan harta kekayaan yang dimilikinya. Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada dengki selain daripada dua perkara,iaitu orang yang diberikan harta oleh Allah SWT lalu dikuasainya harta itu pada kebenaran dan orang yang diberikan ilmu oleh Allah SWT lalu diamalkan ilmu itu dan diajarkan kepada manusia." (HR.Bukhari dan Muslim dari Ibnu Umar)

12. Dusta
Dusta merupakan pernyataan tentang sesuatu yang tidak sesuai dengan keadaan yang sebenarnya. Perbuatan dusta adalah amalan orang munafiq dan amat dilarang dalam islam kerana dapat menjauhkan manusia dengan Tuhannya, bahkan dikutuk oleh Allah SWT dan dibenci oleh manusia. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya yang mengadakan pendustaan hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah SWT dan mereka itulah orang-orang pendusta." (An-Nahl: 105). Dusta merupakan suatu perbuatan yang keji dan terkutuk kerana ianya boleh mempengaruhi minda yang mengarahkan kepada kejahatan dan boleh merosakkan sahsiah dan alam kebajikan. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya setakut-takut yang aku takut atas umatku adalah setiap munafiq yang pandai lidahnya." (HR.Abu Ya'la)

Dalam hadith lain Rasulullah SAW bersabda: "Takutlah kamu terhadap prasangka kerana sesungguhnya prasangka itu sedusta-dusta pembicaraan." (HR.Muttafaq 'Alaih). Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya dusta itu adalah salah satu daripada beberapa pintu munafiq." (HR.Ibnu 'Adi). Sabda Rasulullah SAW: "Tanda orang munafiq itu ada tiga:Apabila berbicara berdusta,apabila berjanji ia mungkiri dan apabila diberi kepercayaan ia khianat." (HR.Muttafaq Alaih) Sesungguhnya perbuatan dusta amat dibenci Allah SWT dan tidak akan beroleh petunjuk dari-Nya. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya Allah SWT tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta." (Al-Mukmin/Ghafir: 28). Firman Allah SWT: "Sesungguhnya Allah SWT tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang berdusta dan sangat ingkar." (Az-zumar: 3)

13 Mungkir Janji
Perbuatan mungkir janji bermaksud menyalahi pernyataan terhadap kesediaan diri seseorang akan memenuhi sesuatu yang diminta oleh orang lain.Oleh,itu dalam islam menunaikan janji adalah wajib. Firman Allah SWT: "Hai orang-orang yang beriman penuhilah janji-janji mu." (Al-Maidah: 1). Firman Allah SWT: "Dan penuhilah janji sesungguhnya janji itu akan ditanya." (Al-Isra': 34). Seseorang yang memungkiri janji yang dibuat sama ada sengaja atau tidak, amat tidak menyenangkan dan mengecewakan harapan orang yang dijanjikan. Perbuatan memungkiri janji tergolong orang munafiq. Rasulullah SAW bersabda: "Ada empat macam berangsiapa yang terdapat semuanya ini, maka ia termasuk orang munafiq yang asal dan barangsiapa yang terdapat padanya, maka bererti ia terjangkit sifat kemunafiqan sampai ia bersedia meninggalkan empat hal tersebut, apabila ia berbicara ia berdusta, apabila dipercayai ia berkhianat dan apabila berjanji ia mungkiri." (HR.Bukhari dan Muslim)
14. Bakhil
Bakhil adalah merupakan sifat yang tercela dan dibenci dalam islam malah ianya tergolong sebagai perbuatan orang munafiq. Bakhil bermaksud seseorang merasakan sayang terhadap apa yang dimiliknya untuk diberikan kepada orang lain. Sebahagian ulama menyifatkan bakhil itu sebagai keinginan yang diharapkan oleh seseorang untuk mendapatkan apa yang ada ditangan orang lain. Orang yang mengamalkan sifat bakhil akan menyebabkan hilangnya rasa tanggungjawab sosial kerana terlalu mementingkan diri sendiri sehingga sanggup menyisihkan sebahagian harta dari dimaanfaatkan oleh masyarakat, enggan membayar zakat. Perbuatan ini amat dikutuk dalam islam. Firman Allah SWT: "Dan janganlah sekali-kali orang yang bakhil dengan harta yang diberikan Allah SWT kepada mereka menyangka bahawa kebakhilan itu lebih baik bagi mereka. Tetapi kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka,harta yang mereka bakhilkan akan dikalungkan di lehernya pada hari kiamat." (Ali Imran: 180) Rasulullah SAW bersabda: "Takutlah terhadap kezaliman, sesungguhnya kezaliman itu kegelapan di hari kiamat. Takutlah terhadap bakhil, sesungguhnya bakhil itu menghancurkan umat-umat sebelum kamu, ia membawa kamu untuk menumpahkan darah mereka dan menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan ke atas mereka." (HR.Muslim dari Jabir r.a). "Dua pekerti tiada pada seseorang mukmin iaitu bakhil dan buruk pekerti." (HR.Ahmad). Islam tidak melarang umatnya mencari harta kekayaan sebanyak mungkin denagn jalan yang baik dan halal untuk kerperluan hidup malah disyaratkan pula menghulurkan bantuan secara ikhlas atas kelebihan hartanya pada jalan Allah SWT. Firman Allah SWT: "barang siapa yang memelihara dirinya daripada bakhil,maka itulah orang yang berjaya." (Al-Hasyr: 9)

15. Fitnah
Fitnah merupakan suatu sifat yang amat keji dan boleh mendatangkan kesan yang amat buruk kepada diri sendiri dan terhadap orang lain. Fitnah boleh diertikan bahawa seseorang yang menyampaikan keburukan orang lain dikalangan orang ramai dengan tujuan supaya mereka membenci atau memusuhinya. Fitnah boleh berlaku dimana-mana terhadap orang lain kerana didorong oleh perasaan irihati, kurangnya iman dan lemah iman dan jiwanya kotor. Justeru itu perbuatan fitnah tergolong sifat munafiq boleh menjatuhkan keaiban seseorang dan menghalangnya daripada melakukan kebajikan. Firman Allah SWT: "Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina yang banyak mencela serta menyebar fitnah, banyak menghalang berbuat baik, melampaui batas lagi banyak melakukan dosa." (Al-Qalam: 10-12). Firman Allah SWT: "Dalam hati mereka ada penyakit lalu Allah SWT tambahkan penyakitnya dan bagi mereka seksa yang pedih disebabkan mereka berdusta." (Al-Baqarah: 10)

Perbuatan fitnah lebih bahaya daripada pembunuhan kerana boleh menyebabkan masyarakat hilang rasa kasih sayang dan mencetuskan permusuhan. Firman Allah SWT: "Dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan." (Al-Baqarah:191). Firman Allah SWT: "Dan fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada membunuh." (Al-Baqarah: 217). Islam melindungi kehormatan atau menjaga nama baik seseorang adalah dituntut agar dapat menjaga hak dan kebajikan orang lain selamat daripada murka Allah SWT. Justeru itu,perbuatan fitnah antara sesama muslim akan mendapat balasan yang buruk dariapda Allah SWT didunia dan akhirat. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya orang-orang yang menuduh (memfitnah) wanita-wanita yang baik lagi beriman, berzina, mereka kena laknat di dunia dan akhirat dan abgi azab yang besar." (An-Nur: 23). Sabda Rasulullah SAW: "Seburuk-buruk hamba Allah SWT iaitu orang yang berjalan ke sana ke mari dengan fitnah yang memecahbelahkan antara kekasih yang suka mencari kecacatan orang orang baik." (HR. Ahmad)

Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan masuk syurga yang membawa fitnah." (HR.Bukhari dan Muslim dari Huzaifah). Oleh kerana itu, bahaya fitnah boleh mengancam kesejahteraan. Maka umat islam hendaklah sentiasa berhati-hati dan jangan mudah terpedaya denagn fitnah yang dibawa atau diterima. Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman apabila datang kepadamu orang fasiq yang membawa berita (fitnah) maka perhatikanlah dengan teliti (kebenarannya)." (Al-Hujurat: 6)

16. Mencaci Maki
Perbuatan mencaci maki atau menyakiti seseorang muslim adalah dilarang dalam Islam kerana boleh menjejaskan nama baik dan maruah orang. Sikap demikian adalah termasuk amalan orang munafiq dan merupakan suatu pembohongan yang besar dan nyata. Firman Allah SWT: "Orang-orang yang menyakiti mukmin lelaki dan mukmin wanita dengan sesuatu yang tidak dibuatnya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan yang besar dan dosa yang nyata." (Al-Ahzab: 58). Islam adalah agama universal yang sentiasa mementingkan perpaduan, keharmonian dan saling hormat menghormati antara satu sama lain tanpa mengira pangkat, kedudukan dan keturunan. Malah umat islam hendaklah sentiasa menjaga kehormatan diri dan maruah orang lain agar dapat membentuk budaya hidup masyarakat penyayang dan berakhlak mulia berlandaskan iman. Firman Allah SWT: "Hai orang-orang yang beriman,janganlah kamu menghina (mencaci) suatu kaum yang dihina itu lebih baik dari kaum yang menghina." (Al-Hujurat: 11)

Rasulullah SAW bersabda: "Tidak patut seseorang sahabat baik mengutuk (sahabatnya)." (HR. Muslim dari Abi Hurairah). Rasulullah SAW bersabda: "Seseorang mukmin bukanlah orang yang suka mencaci, bukan suka menghina, bukan yang suka berbuat keji dan bukan orang yang suka bercakap keji." (HR.Muslim). Dalam islam setiap muslim itu bersaudara terhadap sesama muslim yang lain dan tidak menghina atau menganiaya. Jika seseorang itu menghina, mengutuk atau mengeji, maka dianggap berlaku jahat sesama muslim. Perbuatan mencaci maki sesama muslim amat dibenci dan mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: "Mencaci orang islam itu termasuk fasik dan membunuhnya termasuk kafir." (HR.Abu Daud). Dalam hadith lain Rasulullah SAW bersabda: "Tidak dapat masuk syurga orang yang tetangganya tidak merasa aman dari gangguannya(menyakiti)." (HR.Muslim)

17. Mengumpat
Mengumpat bermaksud seseorang menceritakan keburukan, kelemahan peribadi dan tindakan orang yang tertentu kepada orang lain yang tidak disukainya. Pada hakikatnya perbuatan mengumpat dilakukan secara sengaja dan tidak disedari oleh seseorang yang suka mengumpat di samping tidak dapat mengawal lidahnya daripada membicarakan kelemahannya atau keburukan peribadi orang lain. Dalam islam perbuatan mengumpat adalah salah satu sifat yang tercela dan menjadi amalan orang yang tidak beriman dan munafiq. Islam melarang keras umatnya mengumpat terhadap sesama muslim kerana boleh mendatangkan akibat yang buruk. Firman Allah SWT: "Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan buruk sangka (sesama muslim) kerana sebahagian buruk sangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari aib orang dan jangan pula sebahagian kamu mengumpat yang lain." (Al-Hujurat: 12). Rasulullah SAW bersabda: "Ghaibah ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu yang tidak disukainya." (HR.Muslim)

Orang yang suka mengumpat adalah diumpamakan sebagai orang yang memakan daging bangkai saudaranya sendiri. Perbuatan mengumpat boleh menyinggung perasaan, hati dan kehormatan orang lain yang akhirnya boleh menimbulkan permusuhan dan perbalahan antara satu sama lain. Rasulullah SAW melarang umatnya mengumpat kerana banyak mendatangkan buruk sangka dan fitnah terhadap orang lain. Rasulullah SAW bersabda: "Setiap orang Islam terhadap sesama Islam itu haram darahnya (tidak boleh membunuh), hartanya (tidak boleh dirampas) dan kehormatan (tidak boleh mengumpat)." (HR.Muslim dan At-Tirmizi). Firman Allah SWT: "Celaka bagi setiap pengumpat lagi pencela." (Al-Humazah: 1)

18. Mengungkit Kembali Pemberian Kepada Seseorang dan Menyakiti Hatinya
Mengungkit kembali pemberian kepada orang lain dengan harapan supaya dikenang jasa dan sumbangannya serta ingin menyakiti hati orang lain. Perbuatan ini dicela dalam Islam dan termasuk perbuatan orang munafiq. Firman Allah SWT: "Hai orang-orang beriman janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-yebutnya dan menyakiti perasaannya seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak kepada manusia dan tidak beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat." (Al-Baqarah: 264). Rasulullah SAW bersabda: "Ada tiga golongan pada hari kiamat di mana Allah SWT tidak berbicara, tidak melihat dan tidak pula menyucikan mereka bahkan bagi mereka seksa yang pedih, iaitu orang yang melabuhkan sarungnya hingga ke tapak kaki, orang yang mengungkit-ngungkit (pemberian) dan orang yang menawarkan dagangannya dengan sumpah palsu." (HR.Muslim). Rasulullah SAW bersabda: "Ada tiga golongan yang tidak masuk syurga, iaitu orang yang berani (derhaka) kepada orang tuanya, peminum arak dan orang yang mengungkit-ngungkit (pemberian)." (HR. Nasa'i)

19. Mengkari Takdir Allah SWT
Takdir Allah SWT merupakan suatu ketetapan-Nya ke atas setiap makhluk dengan kadar atas tertentu. Justeru itu, takdir yang ditentukan Allah SWT sama ada baik, buruk, bahagia atau derita adalah suatu ketentuan Allah SWT yang mutlak ke atas setiap makhluk-Nya dan tiada siapa yang dapat menghalang atau mengubahnya. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya Kami menjadikan tiap-tiap sesuatu dengan kadar (takdir yang ditentukan)." (Al-Qamar: 49). Firman Allah SWT: "Sesungguhnya Allah SWT menyampaikan (melangsungkan) urusan-Nya. Sesungguhnya Allah SWT mengadakan qadar (peraturan tertentu) bagi tiap-tiap sesuatu." (At-Talaq: 3). Firman Allah SWT: "Kamu tiada mengkehendaki (sesuatu) melainkan jika Allah SWT mengkehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (Al-Ihsan: 30)

Sesungguhnya orang yang menolak, membenci atau mengingkari sesuatu ketentuan takdir Allah SWT, maka tergolong orang kufur dan rosak iman serta menjadi munafiq yang akan mendapat kemurkaan dan azab Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya besar pahala itu mengikut besar cubaan. Dan sesungguhnya apabila Allah SWT mengasihi suatu kaum, dicubanya kaum itu (dengan suatu cubaan). Siapa yang redha terhadapnya, ia akan mendapat redha Allah SWT dan siapa yang marah, ia akan mendapat murka Allah SWT." (HR. At-Tirmizi). Rasulullah SAW bersabda: "Siapa tidak redha akan qada'-Ku dan qadar-Ku, baiklah ia mencari Tuhan selain Aku." (HR. Tabrani)

20. Mempersenda Kesucian Agama
Perbuatan mempersendakan atau mempermainkan kesucian dan kebenaran agama adalah amat dibenci dan dilarang dalam Islam kerana seolah-olah menentang sesuatu yang diturunkan oleh Allah SWT. Perbuatan demikian termasuk ciri-ciri orang munafiq yang sentiasa menghina atau memperkecilkan kebenaran ajaran agama islam. Firman Allah SWT: "Hai orang-orang beriman, janganlah kamu angkat jadi pemimpin orang-orang yang mengambil agamamu, memperolok dan mempermainkan, diantara ahli kitab sebelum kamu dan orang-orang kafir. Takutlah kepada Allah SWT jika kamu orang beriman." (Al-Maidah: 57). Firman Allah SWT: "Apabila kamu menyeru mereka bersolat, mereka jadikan solat itu olok-olok dan permainan. Demikian itu kerana mereka kaum yang tidak berfikir." (Al-Maidah: 58)

Firman Allah SWT: "Sesungguhnya mereka mendustai kebenaran tatkala datang kepada mereka. Nanti akan datang kepada mereka berita apa yang mereka perolokkan." (Al-An'am: 5). Firman Allah SWT: "Siapakah lebih zalim dari orang yang mengadakan pembohongan terhadap Allah SWT atau orang yang mendustai ayat-Nya? Sesungguhnya tiadalah menang orang-orang yang zalim." (Al-An'am: 21). Firman Allah SWT: "Sesungguhnya telah lalu beberapa peraturan sebelum kamu. Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana akibatnya orang-orang yang mendustai (agama)." (Ali-Imran: 137)

21. Enggan Berjihad Di Jalan Allah SWT
Jihad adalah suatu tuntutan agama yang disyariatkan untuk menghapuskan segala bentuk kebatilan, kezaliman dan kefasikan di muka bumi. Oleh itu orang yang enggan berjihad dan menghalang umat islam daripada berjuang di jalan Allah SWT adalah termasuk orang-orang munafiq dan dimurkai. Firman Allah SWT: "Telah gembira orang-orang yang tinggal di tempat duduknya, sepeninggalan Rasul Allah dan mereka benci berjuang dengan harta dan dirinya di jalan Allah SWT dan mereka berkata: 'Janganlah kamu keluar berjuang waktu panas,' Katakanlah: 'Api neraka jahannam lebih panas daripada itu jika mereka mengerti."" (At-Taubah: 81). Firman Allah SWT: "mereka meminta uzur kepadamu apabila kamu kembali kepada mereka (dari medan perang). Katakanlah. "'Jangan kamu minta uzur, kami sekali-kali tidak percaya kepadamu. Sesungguhnya Allah SWT telah memberitahu kami tentang perkhabaranmu." (At-Taubah: 94). Firman Allah SWT: "Tiadalah sama orang yang duduk di antara orang-orang mukmin dengan orang-orang yang berjuang dijalan Allah SWT dengan harta dan jiwanya, kecuali orang yang ditimpa kemelaratan." (An-Nisa': 95)
22. Menghina Sahabat Rasulullah SAW
Sahabat Rasulullah SAW adalah orang yang masuk Islam dan beriman dengan Baginda SAW semasa hayatnya. Para sahabat Rasulullah SAW adalah yang mewarisi dan berpegang teguh kepada ajaran Al-Quran dan sunnahnya dalam segala aspek kehidupannya. Adapun orang-orang Islam sama ada secara sedar atau tidak, menghina atau mencerca perilaku sikap dan perjuangan para sahabat Rasulullah SAW adalah dianggap melanggar larangan baginda SAW berdosa besar dan termasuk golongan orang-orang munafiq. Rasulullah SAW bersabda: "Allah SWT berfirman: 'barangsiapa yang memusuhi kekasih-Ku, maka sesungguhnya Aku mengizinkan berperang dengannya."' (HR. Bukhari dan Muslim). Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kamu menghina sahabatku demi Zat yang diriku dalam kekuasaan-Nya, jika salah seorang daripada kamu berinfaq (sedekah) sebesar gunung uhud berupa emas, belum dapat mengimbangi satu genggam atau setengahnya dari kebaikan mereka." (HR. Bukhari dan Muslim). "Allah SWT, takutlah kepada Allah SWT dalam urusan sahabatku. Janganlah kamu jadikan mereka sasaran makian sesudahku. Barangsiapa mencintai mereka, maka cintaku aku mencintai mereka. Barangsiapa membenci mereka, maka dengan benciku aku membenci mereka (yang mencerca). Barangsiapa menyakiti mereka bererti menyakiti aku dan barangsiapa menyakiti aku, maka bererti ia telah menyakiti Allah SWT. Dan barangsiapa menyakiti Allah SWT, maka ia hampir akan mendapat seksa-Nya." (HR. At-Tirmizi). Rasulullah SAW bersabda: "Hendaklah kamu berpegang teguh kepada sunnahku dan sunnah khulafah Rasyidin yang mendapat petunjuk sesudahku. Gigitlah ia dengan gigi geraham dan jauhilah, olehmu terhadap perkara-perkara yang baru (bid'ah)." (HR.At-Tirmizi)

23. Menyembunyikan Persaksian Pada Jalan Yang Benar
Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. Dan barangsiapa menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan Allah SWT Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Baqarah: 283). Sebagai orang yang beriman, umat Islam tidak seharusnya sedia menjadi saksi yang palsu atau dusta dalam member keterangan bagi menyelesaikan sesuatu perkara pada jalan yang benar. Justeru itu, berdusta ketika menjadi saksi adalah golongan orang-orang munafiq dan dibenci oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah tergelincir dua telapak orang yang menjadi saksi dusta sehingga Allah SWT menetapkan kepadanya di neraka.” (HR. Ibnu Majah dan Hakim). Dalam hadith lain Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa menyembunyikan persaksian ketika dia diundang kepadanya maka adalah ia seperti orang yang menyaksikan dusta.” (HR. Tabrani)

24. Menangguh Pembayaran Hutang.
Seseorang yang berhutang adalah wajib membayar mengikut hukum islam. Oleh, itu orang yang mempunyai harta atau mampu membayar hutangnya tetapi sengaja melambat-lambatkannya atau tidak mahu membayarnya, maka perbuatan ini adalah amalan orang-orang munafiq dan dibenci dalam islam. Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu makan harta di antara kamu dengan jalan yang salah.” (Al-Baqarah: 188). Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa mengambil harta orang yang ia bermaksud merosakkannya (tidak mahu membayarnya), nescaya Allah SWT akan merosakkannya.” (HR. Bukhari)

25. Menipu Dalam Jualbeli
Perbuatan menipu dalam urusan jualbeli adalah melibatkan amalan timbang atau sukat sesuatu barangan yang tidak mencukupi kadarnya atau menjual barangan yang rosak atau cacat yang akhirnya manimbulkan tidak puas hati atau mengecewakan pembeli. Perbuatan ini adalah haram dalam islam dan akan mendapat laknat Allah SWT. Firman Allah SWT: “Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), iaitu mereka yang apabila menerima sukatan dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup dan sebaliknya apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangkan.” (Al-Mutaffifin: 1-3). Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa menipuku (dalam jualbeli), maka tidaklah ia termasuk golonganku.” (HR. Al-Bazzar). Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa menjual barang yang cacat dimana is tidak menerangkannya, maka sentiasa ia berada dalam kemurkaan Allah SWT dan malaikat sentiasa melaknatnya.” (HR. Ibnu Majah)

26. Ghasab (Mengambil Tanah Orang Lain Tanpa Hak)
Ghasab adalah menguasai atau mengambil harta orang lain (tanah) orang lain dengan jalan aniaya.iaitu jalan yang tidak diredhai agama. Perbuatan mengambil tanah orang lain atau ghasab walaupun sejengkal adalah termasuk dosa besar dan munafiq. Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa mengambil sejengkal tanah (bumi) dengan tanpa hak nescaya ditenggelamkan ia pada hari kiamat sampai ke dalam tujuh lapis bumi.” (HR. Bukhari), Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa mengambil tanah orang lain secara zalim, nescaya ia akan bertemu dengan Allah SWT dan dia sangat murka kepadanya.” (HR Tabrani)

27. Bergaul Dengan Orang Yang Memperolok Al-Quran.
Umat islam seharusnya faham dan peka dengan sikap orang-orang yang ingkar terhadap perintah Allah SWT dan Rasul-Nya, iaitu tidak mendekati atau bergaul dengan mereka sehingga boleh menjejaskan dan merosakkan aqidah dan akhlak. Musuh-musuh Islam, terutama orang-orang kafir dan munafiq sentiasa berusaha untuk merosakkan dan menghancurkan peradaban umat Islam dalam segala bidang. Justeru itu, kaum muslimin hendaklah berhati-hati dan menjauhi daripada bergaul dengan mereka agar tidak terpengaruh dengan mereka. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah SWT telah menurunkan kepadamu (perintah-Nya) dalam kitab (Al-Quran). iaitu apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah SWT diingkari dan diejek (oleh kaum kafir dan munafiq), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka memasuki kepada mempersoalkan yang lain, kerana sesungguhnya (jika kamu ikut), tentulah kamu sama dengan mereka.” (An-Nisa: 140)

28. Memakan Harta Anak Yatim
Dalam islam anak yatim bermaksud anak yang ditinggal mati oleh ayahnya semasa dia masih kecil atau belum dewasa. Orang yang bertanggungjawab atau ahli waris yang beramanah menjaga dan memelihara anak yatim, jika memakan harta anak yatim dengan cara yang zalim adalah berdosa besar dan tergolong orang munafiq. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka dan mereka pula akan masuk ke dalam api Neraka yang menyala-nyala." (An-Nisa': 10)

Firman Allah SWT: "Dan janganlah kamu makan harta anak yatim lebih daripada batas berpatutan dan (janganlah kamu) tergesa-gesa (membelanjakannya) sebelum mereka dewasa. Barangsiapa (di antara penjaga) mampu, maka hendaklah dia menahan diri (daripada makan harta anak yatim)." (An-Nisa': 6). Para ulama berkata: Bagi setiap wali atau penjaga anak yatim,jika dia berada dalam keadaan miskin,dibolehkan baginya memakan sebahagian harta anak yatim dengan cara yang baik menurut sekadar keperluannya sahaja, tidak boleh berlebihan dan jika berlebihan, maka dia menjadi haram.
29. Membuka Rahsia Orang Lain.
Setiap manusia tentu memiliki rahsia tersendiri. Dalam, Islam jika seseorang mengetahui keburukan orang lain kemudian diceritakan dikhalayak ramai, maka perbuatan ini adalah berdosa besar dan ciri-ciri orang munafiq. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat. Dan Allah Maha Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui." (An-Nur: 19). Islam menyuruh umatnya agar menutup dan menjaga rahsia sesama orang islam yang dikenali. Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang dapat menutup rahsia sesama muslim, maka Allah SWT akan menutup rahsianya di dunia dan akhirat." (HR. Muslim)

30. Berasa Aman Daripada Murka Allah SWT Apabila Melakukan Dosa
Apabila seseorang melakukan sesuatu dosa kemudian dia berasa selamat daripada murka dan seksaan Allah SWT, maka anggapan ini adalah berdosa besar dan amalan orang-orang munafiq. Allah SWT akan membalas perbuatan dosa dengan hukuman seksa di hari kiamat nanti. Firman Allah SWT: "Maka ketika mereka lupa peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami membuka semua pintu kesenangan untuk mereka, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami seksa mereka dengan sekonyong-konyong maka ketika itu mereka diam berputus asa." (Al-An'am: 44)

31. Memanggil Orang Dengan Gelaran Buruk Yang Tidak Disukai.
Memanggil seseorang dengan gelaran buruk yang tidak disukai adalah dilarang dalam islam kerana ia boleh menjejaskan atau menjatuhkan maruah dan nama baik di kalangan orang ramai. Perbuatan ini adalah amalan orang-orang munafiq dan boleh mencetus pergaduhan antara satu sama lain. Firman Allah SWT: "Dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk buruk panggilan ialah yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Al-Hujurat: 11)

32. Menghalang Orang Daripada Mengamalkan Ajaran Islam.
Orang yang menghalang umat islam daripada mengamalkan ajaran islam adalah tergolong orang-orang munafiq yang amat dibenci dalam islam. Islam menggalakkan umatnya agar sama-sama saling mengingati dengan mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh. Firman Allah SWT: "Katakanlah hai ahli kitab mengapa kamu menghalang-halang dari jalan Allah SWT orang-orang yang telah beriman, kamu mengkehendakinya menjadi bengkok padahal kamu menyaksikan? Allah SWT sekali-kali tidak lalai daripada apa yang kamu kerjakan." (Ali Imran: 99)

33. Suka Kepada Kesesatan Dan Menyesatkan Orang.
Islam menghendaki umatnya agar mengamalkan hidup pada jalan yang benar dalam segala aspek sebagaimana yang digariskan di dalam Al-Quran dan sunnah. Di samping itu Islam melarang umatnya, terutama golongan yang berilmu agar tidak menyalahgunakan ilmu yang baik untuk menipu dan menyesatkan orang lain untuk tujuan dan kepentingan tertentu yang bertentangan dengan syariat islam. Setiap muslim bertanggungjawab membebaskan diri daripada melakukan yang benar dan baik, agar tidak tergolong dalam golongan orang-orang munafiq yang suka menyesatkan orang. Firman Allah SWT: "Apakah kamu tidak melihat orang-orang yang telah diberi bahagian dari al-Kitab (Taurat)? Mereka membeli (memilih) kesesatan dan mereka bermaksud supaya kamu tersesat dari jalan (yang benar)." (An-Nisa': 44)

34. Bermuka Dua.
Sikap bermuka dua adalah salah satu daripada ciri-ciri orang munafiq kerana mereka apabila diajak untuk mengikut jalan Allah SWT dengan sengaja melambat-lambatkan dan tidak mahu, tetapi jika diajak pada jalan yang dilarang Allah SWT, mereka cepat menanggapinya dan senang hati mengikutnya, bahkan menjadi pelopornya. Firman Allah SWT: "Apabila mereka berjumpa dengan orang-orang beriman mereka mengatakan. "Kami telah beriman.' Dan apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka mengatakan: 'Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, kami hanya mempermainkan mereka." (Al-Baqarah: 14). Rasulullah SAW bersabda: "Kamu akan menjumpai di antara hamba-hamba Allah SWT pada hari kiamat kelak, orang yang bermuka dua yang mendatangi mereka ini suatu pembicaraan dan mereka ini dengan suatu pembicaraan (lain)." (HR. Bukhari dan Muslim)

35. Menyanjung Dan Memuji Orang Tanpa Diketahui Keadaan Sebenarnya
Sanjungan dan pujian terhadap seseorang adalah kerana perbuatan dan perkataannya. Akan tetapi sanjungan dan pujian yang baik dan ikhlas terhadap sesama muslim adalah dibolehkan dalam islam. Namun demikian, sanjungan dan pujian yang berlebihan dan tidak sesuai dengan kenyataan yang dipuji adalah dilarang dalam islam dan tergolong amalan orang-orang munafiq untuk merosak peribadi seseorang muslim. Sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai umat islam menyanjung dan memuji orang-orang yang ingkar kepadanya seperti orang kafir, munafiq dan fasik kerana boleh menambahkan kesombongan dan keingkaran mereka. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT marah apabila orang fasik dipuji." (HR. Ibnu Abiddunya dan Baihaqi). Rasulullah SAW bersabda: "Hamburkanlah tanah pada muka orang-orang yang memuji itu." (HR. Muslim)
36. Sombong Di Antara Sesama Manusia
Sombong adalah perilaku yang menolak kebenaran dan meremehkan orang lain dengan anggapan kelebihan dan kehebatan tidak dapat ditandingi. Biasanya sifat sombong ini disebabkan oleh ilmu, ibadah dan keturunan dan kecantikan yang dimiliki oleh seseorang yang mudah dipengaruhi nafsu. Bersikap sombong terhadap sesama muslim atau manusia seluruhnya adalah dilarang dalam islam kerana ia boleh mendatangkan kebencian dan kehinaan daripada orang lain serta amat dibenci oleh Allah SWT. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga diri." (An-Nisa': 36). Bersikap sombong dan membangga diri adalah amalan orang-orang munafiq dan termasuk kufur terhadap nikmat Allah SWT. Oleh itu, Allah SWT memberi balasan azab terhadap mereka yang bersikap sombong dalam pergaulan dengan sesama manusia. Firman Allah SWT: "Tidak diragui lagi bahawa sesungguhnya Allah SWT mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka zahirkan. Sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang-orang yang sombong." (An-Nahl: 23)

Firman Allah SWT: "Dan pada hari kiamat kamu akan melihat orang-orang yang berbuat dusta terhadap Allah SWT, mukanya menjadi hitam. Bukanlah neraka itu sebagai tempat bagi orang-orang yang menyombong diri." (Az-Zumar: 60). Firman Allah SWT: "Maka masukilah pintu-pintu neraka Jahannam, kamu kekal di dalamnya. Maka amat buruklah tempat orang-orang yang menyombongkan diri itu." (An-Nahl: 29). Rasulullah SAW bersabda: "Daripada Nabi SAW baginda SAW bersabda."Tidak akan masuk syurga seseorang yang mempunyai sifat sombong (dihati) walaupun hanya sebesar zarah." (HR. Muslim). Rasulullah SAW bersabda: "Dan Allah SWT berfirman: 'Kemegahan itu sarung-Ku dan kesombongan itu adalah selendang-Ku. Barangsiapa yang memiliki (salah satu) daripada kedua-duanya, nescaya Aku akan campakkan dia ke dalam neraka." (HR. Muslim). Dalam Hadith Rasulullah SAW bersabda: "Tiada seorangpun berjalan dengan sombong dan menyombongkan dirinya, melainkan dia akan bertemu dengan Allah SWT dengan mendapat kemurkaanNya." (HR. Tabari)

37. Suka Berbantah Dan Bertengkar Sesama Muslim.
Perbuatan suka bertengkar dan berbantah dengan sesama muslim dalam perkara kecil dan remeh adalah dilarang dalam islam kerana akan menimbulkan renggang dan kurangnya hubungan silaturrahim serta akan mengurangkan kesempurnaan iman seseorang serta tergolong ciri-ciri munafiq. Firman Allah SWT: "Tidak ada kebaikan perkataan mereka, kecuali kata-kata orang yang menyuruh bersedekah atau mengajak berbuat baik atau mendamaikan orang yang berselisih." (An-Nisa': 114). Rasulullah SAW bersabda: "Seseorang tidak akan mencapai kesempurnaan hakikat iman sehingga dia meninggalkan berbantah-bantah walaupun dia di pihak yang benar." (HR. Ibnu Abid Danya). Rasulullah SAW bersabda: "Tinggalkan berbantah-bantah kerana sesungguhnya berbantahan itu tidak diketahui hikmahnya dan tidak diamankan daripada fitnah." (HR. Tabrani)

38. Melampaui Batas Yang Digariskan Oleh Allah SWT
Perbuatan melampaui batas yang digariskan oleh Allah SWT bererti menurut kehendak hawa nafsu sehingga boleh tersesat dan menyesatkan pada jalan yang benar sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Firman Allah SWT: "Katakanlah hai ahli kitab, janganlah kamu melampaui batas selain kebenaran dalam agamamu dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu daripada suatu kaum sebelummu yang telah sesat dan menyesatkan ramai manusia dan mereka juga telah tersesat dari jalan yang bear." (Al-Maidah: 77). Orang-orang yang hidup berlandaskan semata-mata kerana dorongan hawa nafsu dalam menikmati segala kurnia dan nikmah Allah SWT, akan sentiasa berada jauh dari jalan kebenaran. Mereka sanggup mengubah segala ketentuan Allah SWT seperti menghalalkan yang haram, mengubah ayat-ayat Allah SWT dan sebagainya sehingga Allah SWT mengunci hati mereka, lalu mereka tidak dapat membezakan batas yang telah ditentukan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Firman Allah SWT: "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengharamkan sesuatu yang baik yang telah dihalalkan Allah SWT bagimu dan janganlah kamu melampaui batas." (Al-Maidah: 87). Firman ALLAH SWT: "Demikianlah Kami mengunci mati hati orang-orang yang melampaui batas." (Yunus: 74)

39. Berputus Asa Dalam Menghadapi Cabaran Hidup.
Orang yang berputus asa dalam menghadapi cabaran dan dugaan hidup adalah mereka yang tidak bersabar terhadap sesuatu yang ditakdirkan Allah SWT dalam usaha memperolehi rahmat Allah SWT. Sikap berputus asa dalam menghadapi realiti hidup berpunca daripada kelemahannya iman dan keyakinan terhadap kekuasaan Allah SWT, sedangkan disebalik kegagalan itu ada tersirat sesuatu rahmat dan hikmah yang besar yang akan diberikan Allah SWT. Dalam islam, orang-orang yang berputus asa dalam menangani kesusahan hidup adalah tergolong orang orang yang sesat dan munafiq kerana tidak mempunyai keyakinan terhadap kekuasaan dan kebesaran Allah SWT yang boleh mengatasi segala sesuatu. Firman Allah SWT: "Sahut mereka:"Janganlah kamu termasuk orang-orang yang berputus asa." (Al-Hijr: 55). Allah SWT berfirman: "Ibrahim berkata:"Tidak ada orang yang berputus asa daripada rahmat Tuhannya,kecuali orang-orang yang sesat." (Al-Hijr: 56). Firman Allah SWT: "Katakanlah:"Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah SWT." (Az-Zumar: 53). Firman Allah SWT: "Dan apabila Kami merasakan suatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dnegan rahmat itu. Dan apabila mereka ditimpa sesuatu musibah (bahaya) disebabkan kesalahan yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa." (Ar-Rum: 36)

40. Membazir Dalam Memanfaatkan Nikmat Allah SWT
Islam menyuruh umatnya hidup serba sederhana dalam segala aspek dan melarang membazir dalam menikmati segala kurniaan Allah SWT. Segala harta yang dimiliki tidak boleh dibelanjakan pada jalan yang bertentangan dengan syariat islam. Firman Allah SWT: "Dan janganlah kamu membazirkan hartamu secara boros." (Al-Isra': 26). Orang-orang yang boros dalam membelanjakan harta dengan sia-sia adalah tergolong orang-orang munafiq dan golongan syaitan. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya orang-orang yang suka membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan sangat ingkar kepada Tuhannya." (Al-Isra': 26)

41. Keluh Kesah Apabila Ditimpa Musibah.
Setiap orang tidak terlepas daripada mengalami musibah yang ditakdirkan Allah SWT yang hanya untuk menguji keimanan kepada Allah SWT. Oleh itu setiap muslim yang beriman kepada Allah SWT, tidak seharusnya merasakan keluh kesah apabila mendapat sesuatu musibah atau bahaya yang ditentukan oleh Allah SWT kerana itu tergolong orang-orang munafiq yang tidak bersyukur kepada Allah SWT. Firman Allah SWT: "Apabila ia ditimpa kesusahan, ia berkeluh kesah dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir, kecuali orang yang mengerjakan solat." (Al-Ma'rij: 20-22)

42. Mengkhianat Sesuatu Aamanh.
Mengkhianat sesuatu amanah adalah seseorang yang mendapat kepercayaan daripada orang lain tetapi ia tidak memenuhi amanah yang dipercayakan kepadanya. Dalam islam amanah wajib dijaga dan dipelihara agar tidak menghilangkan kepercayaan dan kejujuran. Perbuatan mengkhianati sesuatu amanah adalah dilarang dan tergolong amalan orang-orang yang akan mendapat kemurkaan Allah SWT. Firman Allah SWT: "Hai orang-orang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah SWT dan Rasul dan juga janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu sedangkan kamu mengetahui." (An-Anfal: 27). Rasulullah SAW bersabda: "Belum beriman bagi orang tidak amanah dan tidak ada agama bagi orang yang tidak memegang janji." (HR Ahmad, Bazzar dan Tabrani). Ada ulama yang mengatakan apabila ada seseorang yang tekun mengerjakan solat, puasa, mengerjakan haji dan banyak mengerjakan amal soleh, tetapi tidak beramanah terhadap sesuatu, maka menjadi sia-sialah amal mereka dan tiada memperolehi petunjuk dan dimurkai Allah SWT.
43. Memutuskan Silaturrahim.
Mencadangkan dan mengekalkan hubungan silaturrahim adalah dituntut dalam islam. Oleh itu, seseorang yang memutuskan tali silaturrahim akan menyebabkan terputusnya hubungan kekeluargaan sahabat handai dan sesama muslim bahkan termasuk ciri-ciri orang manafik. Firman Allah SWT: "Dan bertaqwalah kepada Allah SWT yang dengan nama-NYA kamu saling meminta satu sama lain dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa menjaga dan mengawasi kamu.' (An-Nisa': 1). Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan hubungan silaturrahim." (HR. Muslim). Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang suka rezekinya dimudahkan dan usianya dipanjangkan,maka hendaklah ia menyambung silaturrahim." (HR. Muslim)

44. Memecahbelahkan Perpaduan Muslimin.
Islam meyuruh umatnya agar hidup bersatupadu dalam kesatuan aqidah dan iman. Justeru itu, perbuatan memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian natara sesama muslim adalah dilarang dalam Islam kerana akan menyebabkan pengabaian terhadap amanah Allah SWT sebagai khalifah dalam mentadbir kehidupan ummah, sikap demikian boleh membawa kepada kejatuhan dan kehancuran umat Islam sehingga mendatangkan bala bencana dan azab Allah SWT. Firman Allah SWT: "Berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali (agama) Allah SWT dan janganlah kamu berpecah belah dan ingatlah akan nikmat Allah SWT ke atas kamu ketika kamu telah bermusuhan, lalu disatukan hatimu sehingga kamu menjadi saudara dengan nikmatnya." (Ali Imran: 103)

Firman Allah SWT: "Dan janganlah kamu berpecah belah dalam agama. Berat bagi orang-orang musyrik (menerima) apa yang kamu sarakan kepada mereka (mengesakan Allah SWT), Allah SWT memilih kepadanya siapa yang dikehendaki-Nya dan menunjuk siapa yang kembali kepada-Nya." (Asy-Syura: 13). Orang yang suka memecahbelahkan perpaduan umat Islam adalah tergolong orang munafiq yang sentiasa memusuhi islam secara nyata dan mereka patut diperangi. Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa diantara seseorang yang datang kepadamu sedangkan keadaanmu bersatu yang dikehendaki oleh orang itu untuk dipisahkan persatuanmu, maka bunuhlah dia." (HR. Muslim). Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya bakal terjadi berbagai fitnah dan perkara-perkara baru. Barangsiapa memecahbelahkan urusan umat yang sudah bersatu ini, maka pukullah ia ddengan pedang, siapapun dia orangnya." (HR. Muslim)

45. Menghalalkan Perkara Yang Haram.
Dalam syariat Islam segala sesuatu yang halal atau haram adalah jelas sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran dan sunnah. Justeru itu, umat Islam tidak boleh atau dilarang menghalalkan sesuatu yang telah diharamkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Perbuatan menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal adalah berdosa besar hukumnya dan tergolong amalan orang munafiq. Firman Allah SWT: "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului (dengan perbuatan atau perkataan) sebelum Allah SWT dan Rasul-Nya dan takutlah kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah Maha Mendengarlagi Maha Mengetahui." (Hujurat: 1). Firman Allah SWT: "Hai orang-orang yang beriman,janganlah kamu mengharamkan (makanan) yang baik-baik yang telah dihalalkan Allah SWT bagimu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah SWT tiada mengasihi orang yang melanggar batas." (Al-Maidah: 87). Firman Allah SWT: "Janganlah kamu berkata dusta menurut yang diterangkan oleh lidahmu sendiri. Ini halal dan ini haram, supaya kamu mengadakan dusta terhadap Allah SWT. Sesungguhnya orang yang mengadakan dusta terhadap Allah SWT tiada perolehi kemenangan." (An-Nahl: 116)

46. Membuat Kerosakan Dimuka Bumi.
Islam menyuruh umatnya menjalani kehidupan yang aman dan sejahtera berlandaskan iman dan takwa. Setiap muslim wajib menjauhi dan meninggalkan segala bentuk perbuatan yang boleh merosakkan diri sendiri, masyarakat, agama dan negara. Oleh itu,seseorang yang melakukan kerosakan di muka bumi ini seperti maksiar dan segala bentuk dosa besar adalah tergolong orang-orang munafiq yang amat dimurkai Allah SWT dan akan mendapat balasan azab dari-Nya di hari akhirat. Firman Allah SWT: "Apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu berbuat bencana dimuka bumi'. maka jawab mereka: 'Hanya kami berbuat kebaikan.Ingatlah sesungguhnya mereka itu berbuat bencana, tetapi mereka tiada sedar." (Al-Baqarah: 11-12)

Firman Allah SWT: "Apabila ia berpaling, ia berusaha di muka bumi berbuat kebinasaan dan merosakkan tanaman dan anak-anak. Dan Allah SWT tiada mengasihi kebinasaan itu." (Al-Baqarah: 205). Firman Allah SWT: "Dan janganlah kamu berbuat bencana di muka bumi. Sesungguhnya Allah SWT tiada mengasihi orang-orang yang berbuat bencana itu.' (Al-Qasas: 77)

47. Menuduh Orang Beriman Bodoh.
Orang munafiq mempunyai pendirian yang lemah dan amat sedikit memiliki ilmu pengetahuan tentang perkara yang bermanfaat dan yang memudaratkan. Justeru itu,mereka mudah menuduh orang beriman bodoh atau kurang ilmu pengetahuan dalam menangani urusan kehidupan. Firman Allah SWT: "Apabila dikatakan mereka: 'Berimanlah kamu sebagaimana manusia beriman', Mereka berkata: 'Apakah kami beriman sebagaimana orang-orang bodoh yang telah beriman. Ketahuilah sesungguhnya mereka itulah yang sebenarnya bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui."" (Al-Baqarah: 13). Berdasarkan ayat diatas, jelas orang-orang yang munafiq adalah golongan yang bodoh kerana mereka hidup berlandaskan kesesatan dan kejahilan serta tidak dapat membezakan antara kebenaran dan kebatilan.

48. Mengubah Dan Menyalahgunakan Ayat-Ayat Allah SWT
Al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT kepada umat manusia adalah suci, mengandungi kebenaran yang hak, sentiasa sesuai sepanjang zaman dan terpelihara daripada sebarang bentuk yang boleh mencemarkan atau merosakkannya. Adapun orang yang tidak berilmu pengetahuan luas, cuba mengubah dan mentafsirkan kebenaran Al-Quran mengikut kehendak sendiri atau kerana didorong oleh kepentingan tertentu, maka mereka adalah termasuk golongan orang-orang munafiq yang sentiasa hendak menghancurkan umat islam, Al-Quran dan sunnah. Firman Allah SWT: "Dan berimanlah kamu kepada (Kitab) yang aku turunkan yang membenarkan (kitab) yang ada serta kamu dan janganlah orang yang mula-mula kafir (ingkar) dengan dia dan janganlah kamu jual ayat-ayat-Ku dengan wang yang sedikit takutlah kepada-Ku." (Al-Baqarah: 41). Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa mentafsirkan Al-Quran dengan pendapatnya sahaja, maka tempatnya dalam neraka." (HR. At-Tarmizi)

49. Bersumpah Dengan Selain Nama Allah SWT
Bersumpah dengan selain nama Allah SWT pada perkara batil dan maksiar adalah dilarang keras dalam islam. Oleh itu, umat islam hendaklah sentiasa berhati-hati dalam melaksanakan sesuatu sumpah agar tidak berlawanan dengan prinsip ajaran Al-Quran dan sunnah serta tidak mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Perbuatan bersumpah dengan selain nama Allah SWT pada perkara dusta dan sebagainya adalah amalan orang-orang munafiq mengakui kebenaran sesuatu kedakwaannya. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya orang yang menukar janji Allah SWT dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit. Mereka itu tidak mendapat kebahagiaan (pahala) di akhirat dan Allah tidak akan berbicara dengan mereka dan tidak akan melihat mereka pada hari kiamat dan tidak akan mensucikan mereka. Bagi mereka azab yang pedih." (Ali Imran: 77)

Rasulullah SAW bersabda: "janganlah sekali-kali kamu bersumpah dengan nama taghut dan kepada nama-nama ayahmu." (HR. Muslim). Dalam hadith lain Rasulullah SAW bersabda: "Daripada Ibnu Umar r.a bahawa ia mendengar seorang lelaki berkata: 'Demi kaabah, lalu dia (Ibnu Umar) berkata: Janganlah kamu bersumpah dengan selain Allah SWT, sebab saya mendengar Rasulullah SAW berkata: 'Barangsiapa bersumpah dengan selain nama Allah SWT,maka sungguh dia telah kafir dan syirik." (HR. At-Tirmizi)
50. Berasa Gembira Apabila Musibah Menimpa Orang Beriman.
Qrang munafiq mempunyai prasangka yang buruk terhadap kaum muslimin. Oleh itu,apabila mereka mendengar kaum muslimin mendapat sesuatu musibah mereka cuba menyebarluaskan berita dukacita itu kepada masyarakat sambil memperlihatkan simpati dan kesedihannya. Tetapi pada nasib malang yang dialami oleh kaum muslimin. Firman Allah SWT: "Jika kamu mendapat kebajikan, nescaya menyakitkan hati mereka, tetapi jika kamu ditimpa musibah (bala) mereka berkata: "Sesungguhnya kami telah waspada daripada dahulu, lalu mereka berpaling dengan sukacita." (At-Taubah: 50). Orang munafiq tidak akan senang, tetapi jika kamu tetapi jika kamu ditimpa musibah (bala), mereka berkata: "Sesungguhnya kami telah waspada daripada dahulu, lalu mereka berpaling dengan Sukacita (bergembira)." Orang munafiq tidak akan senang apabila umat Islam mencapai kejayaan atau kenikmatan.

Demikianlah secara ringkas pembahasan tanda-tanda orang munafiq berdasarkan keterangan Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW .Semoga ianya dapat dijadikan introspeksi diri setiap muslim dalam menuju wawasan hidup berlandaskan aqidah yang murni dan diredhai Allah SWT di dunia dan akhirat.

Rujukan’
1.Al-Quran Al-Karim
2.At-Targhib T-Tarhib,Imam Al-Munziri
3.Al-Kabir,Imam Syamsuddin Az-Zahabi
4.Ih ya ulumiddin,IMam Al-Ghazali
5.Jamius Sahih,Imam Bukhari dan Imam Muslim
6.Sahih Muslim,Imam Muslim
7.Tafsir Al-Quran Karim,Prof.Dr.Mahmud Yunus.