Menurut
Al-Quran, orang munafiq itu mulutnya mengakui beriman, mengakui adanya Allah
dan menerima bahawa Nabi Muhammad itu utusanNya. Namun hatinya tidak ikhlas,
timbul keragu-raguan dan dalam diam-diam dia sebenarnya menolak pengakuan itu.
Amalannya nampak baik, ibadahnya nampak rajin tetapi hatinya merasa berat. Firman
Allah SWT: “Dan sebahagian dari manusia ada yang berkata: “Kami percaya kepada
Allah dan Hari Kemudian, padahal tidaklah mereka orang-orang yang beriman” (Al-Baqarah:
8). Kepura-puraan memang dapat menipu orang-orang beriman tetapi tidak mungkin
dapat memperdayakan Allah. Ingat, Allah Maha Mengetahui apa yang kita lahirkan
(ucapkan /kerjakan) dan apa yang kita sembunyikan didalam hati. Terhadap
orang-orang munafiq ini Allah menganggap hati mereka itu terdapat penyakit, dan
Allah akan menambah penyakit itu. Kerananya orang-orang munafiq mendapat
ancaman berupa azab yang sangat pedih (Al-Baqarah: 10). Penyakit yang ada
didalam hati orang munafiq ialah perasaan berbangga diri atau mengagumi dirinya
sendiri, misalnya merasa lebih pintar dan sebagainya.
1.
Malas Beribadah Kepada Allah SWT
Konsep
malas beribadah mencakupi apabila seseorang malas mengerjakan solat,segan untuk
menempatkan diri disaf pertama,enggan mencari ilmu pengetahuan dan berat melangkah
untuk menghadiri majlis kebajikan.Pada zaman Rasulullah SAW orang-orang munafiq
sama-sama mengerjakan solat bersama baginda tetapi mereka malas dan tidak
menampakkan kesungguhan. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang-orang munafiq
itu menipu Allah SWT, sedang Allah SWT menipu mereka (membalas tipuan mereka). Apabila
mereka berdiri hendak solat, mereka berdiri dengan malas serta riak terhadap
manusia dan mereka tiada mengingati Allah SWT, melainkan hanya sedikit”.
(An-Nisa 142). Orang Munafiq jika datang ke masjid, dia akan memilih saf paling
akhir sehingga tidak mengetahui apa yang dibaca oleh imam dalam solat dan tidak
menghayati pengajarannya.
2.
Lupa Kepada Allah SWT
Orang
munafiq memiliki sifat kemunafiqan dalam fikiran dan batin mereka tidak pernah
terlintas untuk mengingati Allah SWT baik ketika senang atau susah. Firman
Allah SWT: “Mereka telah dikuasai oleh syaitan, lalu lupa mengingati Allah SWT.
Mereka itulah golongan (pengikut) syaitan. Ingatlah bahawa pengikut syaitan itu
orang yang rugi.” (Al-Mujadalah:19)
3.
Melalaikan Solat Fardu
Melalaikan
solat fardu bermaksud sengaja melengahkan atau melambatkan mengerjakan solat
sehingga habis waktunya. Perkara ini akan mendapat ancaman dan seksaan Allah SWT
di akhirat kelak. Firman Allah SWT: “Kemudian sepeninggalan mereka digantikan
oleh pengganti-pengganti jahat, mereka mensia-siakan solat dan mengikut hawa
nafsu, sebab itu mereka menemui kejahatan (seksa) Allah SWT” (Maryam: 59)
Firman
Allah SWT: “Maka celakalah (azab) bagi orang-orang yang solat, mereka itu lalai
daripada solat, mereka itu lalai daripada solatnya, lagi mereka itu riak dan
enggan memberi zakat” (Al-Ma’un:47). Firman Allah SWT: “Hai orang-orang
beriman, janganlah kamu lalai kerana harta benda dan anak-anakmu daripada
mengingati Allah SWT (solat). Barangsiapa berbuat demikian itu,maka orang yang
rugi.” (Al-Munafiqun:9)
Sa’ad
bin Abi Waqqas mengatakan: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang orang
yang lalaikan solatnya, maka baginda bersabda’Maksudnya orang yang melambatnya”
(HR.Tirmizi). Dalam Hadith lain Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang mahu
menjaga solatnya,maka adalah ia menjadi cahaya dan tanda bukti serta dapat
menyelamatkan baginya pada hari kiamat nanti, sedangkan orang yang tidak mahu
menjaga solatnya, dia tidak mempunyai cahaya dan tanda bukti serta penyelamat
di hari kiamat nanti, bahkan ia kelak akan berkumpul dengan Firaun, Qarun, Haman,
Ubaiy bin khalaf.” (HR.Ahmad dan Tabrani)
4.
Mempercepatkan Mengerjakan Solat
Orang
yang mempercepatkan solatnya tanpa rasa khusyuk dan lupakan Allah SWT, maka
solatnya tidak diterima Allah SWT. Itulah solat orang-orang munafiq. Rasulullah
SAW bersabda: “Itulah solat orang munafiq, lalu mempercepatkan empat rakaat” (HR.Muslim).
Sabda Rasulullah SAW: “Pencuri yang utama itu ialah orang yang mencuri dalam
solatnya. Lalu ada yang bertanya:”bagaimana caranya mencuri dalam
solat?’Baginda bersabda:”Itulah orang yang tidak menyempurnakan rukuk, sujud, dan
bacaan di dalam solatnya.” (HR.Ahmad dan Hakim)
5.
Gemar Meninggalkan Solat Berjemaah
Seseorang
yang sihat daripada segi fizikal dan jasmani, mempunyai waktu lapang dan tidak
uzur syari’, tetapi tidak mahu mendatangi masjid ketika mendengar seruan azan, maka
dia tergolong orang munafiq. Sabda Rasulullah SAW, “Tidak ada yang akan meninggalkan
solat berjemaah, kecuali orang munafiq yang sudah diketahui kemunafiqannya.” (HR.Muslim)
6.
Meninggalkan Solat Jumaat
Dalam
islam solat Jumaat adalah wajib maka barangsiapa yang meninggalkannya dengan
sengaja tanpa ada sebarang keuzuran yang dibolehkan syarak adalah termasuk
meninggalkan kewajipan yang bererti ia telah berbuat dosa dan tergolong orang
yang munafiq. Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa meninggalkan solat jumaat
tanpa ada halangan atau bahaya, maka ia menjadi orang munafiq dalam sebuah
catatan yang tidak akan dihapuskan dan tidak akan ditukar.” (HR.Abu Dauh dan
Nasa’i). Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh berhentilah orang-orang daripada
perbuatan mereka meninggalkan jemaah jumaat atau sungguh Allah SWT akan mematri
hati mereka, kemudian mereka menjadi (munafiq) yang lalai.” (HR.Muslim)
7.
Melakukan Dosa dan Kemungkaran Secara Sembunyi.
Orang
yang berpura-pura melakukan kebaikan di tengah-tengah orang ramai dan gemar
melakukan perbuatan maksiad atau kemungkaran secara tersembunyi adalah
orang-orang munafiq yang amat dibencikan Allah SWT. Firman Allah SWT: “Mereka
menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada manusia, dalam pada itu mereka tidak
menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada Allah. Sedangkan ia beserta mereka
itu ketika mereka menyembunyikan dalam hatinya perkataan yang tidak disukai
Allah SWT. Allah meliputi (pengetahuan-Nya) apa-apa yang mereka kerjakan. (An-Nisa’:
108)
8.
Menyuruh Yang Mungkar Dan Melarang Yang Makruf.
Orang-orang
munafiq inginkan segala perbuatan keji dan mungkar disebarkan di kalangan
orang-orang beriman.Mereka menyuruh orang beriman berbuat mungkar dan melarang
melakukan perkara yang makruf dengan tujuan untuk melemahkan kebenaran dan
kemurnian ajaran Islam. Firman Allah SWT: “Orang-orang munafiq lelaki dan
wanita, sesetengahnya serupa dengan yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang
mungkar dan melarang berbuat makruf dan menggengam tangannya (bakhil). Mereka
lupakan Allah SWT lalu Allah SWT melupakan mereka. Sesungguhnya orang-orang munafiq
itu adalah orang fasik.” (Al-Taubah: 67)
9.
Menyembunyikan Ilmu Pengetahuan.
Maksud
menyembunyikan ilmu pengetahuan ialah orang-orang yang memiliki ilmu apabila
ditanya orang lain sedangkan dia mengerti persoalan yang ditanyakan tetapi
tidak menjelaskannya. Perbuatan ini akan menghalang kemajuan umat islam dalam
segala bidang dan juga dapat menutup kebenaran. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya
orang-orang yang menyembunyikan apa-apa yang Kami turunkan di antara beberapa
keterangan dan petunjuk setelah Kami terangkan kepada manusia dalam kitab, nescaya
mereka itu dikutuk Allah SWT dan dikutuk oleh orang-orang yang mengutuknya.’ (Al-Baqarah:
159). Firman Allah SWT: “Ingatlah ketika Allah SWT mengambil janji orang-orang
ahli kitab: Hendaklah kamu terangkan kitab kepada manusia dan janganlah kamu
sembunyikannya, lalu mereka lemparkan perjanjian itu di belakang punggungnya (tidak
tepati) dan mereka jual perjanjian itu dengan wang yang sedikit. Maka amat
jahat apa yang mereka jual itu.” (Ali-Imran: 187)
Rasulullah
SAW bersabda: “Daripada Abi Hurairah bahawa Rasulullah SAW. bersabda: Barangsiapa
ditanya sesuatu ilmu lalu dia menyembunyikannya, maka di hari kiamat nanti dia
akan dikendalikan dengan kendali api neraka.” (HR.Ata’). Rasulullah SAW
bersabda: “Daripada Ibnu Umar bahawa Nabi SAW bersabda:’Barangsiapa menuntut
ilmu sedang ia tidak mahu mengamalkannya, nescaya ilmunya tidak akan bertambah
melainkan kesombongan belaka.” (HR.Tirmizi dan Ibnu Majah)
10.Mengamalkan
Riak.
Riak
adalah perbuatan orang munafiq yang tersembunyi didalam hati, perasaan dan
peribadi dengan niat dan tujuan tertentu. Menutut Imam Al Ghazali, riak adalah
mencari kedudukan pada hati manusia dengan memperlihatkan perkara-perkara
kebajikan. Saidina Ali bin Abi Talib Karramallah Wajhah berkata orang yang bersifat
riak itu ada tiga tanda, iaitu malas apabila bersendirian, rajin apabila berada
dikhalayak ramai dan ia menambah amal apabila dipuji dan dikurangkan apabila
dicela. Dalam islam perbuatan riak tergolong syirik kecil, merosakkan amal
kebajikan, meluntur kemurnian akhlak dan mendapat kemurkaan dan azab Allah SWT.
Firman Allah SWT: “Maka celakalah (azab) bagi orang yang solat,yang mereka itu
lalai daripada solatnya, lagi mereka itu riak dan enggan memberi zakat (Al-Ma’un: 47).”Firman Allah SWT:
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu batalkan sedekahmu dengan
mencerca dan menyakiti seperti orang menafkahkan hartanya kepada riak kepada
manusia.” (Al-Baqarah: 264)
Rasulullah
SAW bersabda: “Suatu yang paling aku khuatirkan kamu ialah syirik kecil, lalu
ditanya oleh sahabat. “Apakah syirik kecil itu ya Rasulullah SAW?” Kemudian
baginda SAW bersabda: “Iaitu riak.”” (HR.Ahmad dan Baihaqi) Rasulullah SAW
bersabda: “Sesungguhnya orang yang berbuat riak akan dipanggil pada hari
kiamat.’Hai orang yang zalim, Hai orang yang menyeleweng, Hai orang yang
berbuat riak, amalanmu sesat dan pahalamu sia-sia. Pergilah, maka ambillah
pahalamu daripada orang yang kamu berbuat amal baginya.” (HR.Ibnu Abid Dunya)
11.
Hasad Dengki
Hasad
dengki merupakan suatu wabak yang berbahaya yang ada dalam diri seseorang jika
tidak dibendung atau dijaga secara wajarnya. Hasad dengki dapat diertikan
sebagai suatu sikap tidak senang atas kenikmatan, kesenangan atau kelebihan
yang ada pada orang lain dan berusaha untuk menghilangkan kenikmatan itu agar
dapat memilikinya. Dengan demikian sifad hasad dengki boleh menyuburkan
perasaan dendam, permusuhan dan suka berprasangka buruk terhadap orang lain. Dalam
islam sifad hasad dengki adalah tercela dan tergolong amalan orang-orang
munafiq. Firman Allah SWT: "Adakah patut mereka dengki kepada manusia atas
nikmat yang Allah SWT berikan kepada mereka daripada kurnia-Nya?" (An-Nisa':
54). Orang yang bersifat hasad dengki jiwanya sentiasa merasa serba kekurangan
dengan apa yang dimilikinya. Firman Allah SWT: "Yang paling aku takut dari
apa yang aku takut pada umatku ialah yang banyak harta pada mereka, lalu mereka
saling berdengki dan berbunuh-bunuhan." (HR. Ibnu Abid Dunya an Amir
Al-Asy'ari)
Dalam
islam keharusan melahirkan perasaan dengki terhadap orang lain hanya dalam dua
perkara sahaja iaitu terhadap ilmu dan harta kekayaan yang dimilikinya. Rasulullah
SAW bersabda: "Tidak ada dengki selain daripada dua perkara,iaitu orang
yang diberikan harta oleh Allah SWT lalu dikuasainya harta itu pada kebenaran
dan orang yang diberikan ilmu oleh Allah SWT lalu diamalkan ilmu itu dan
diajarkan kepada manusia." (HR.Bukhari dan Muslim dari Ibnu Umar)
12.
Dusta
Dusta
merupakan pernyataan tentang sesuatu yang tidak sesuai dengan keadaan yang
sebenarnya. Perbuatan dusta adalah amalan orang munafiq dan amat dilarang dalam
islam kerana dapat menjauhkan manusia dengan Tuhannya, bahkan dikutuk oleh
Allah SWT dan dibenci oleh manusia. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya yang
mengadakan pendustaan hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat
Allah SWT dan mereka itulah orang-orang pendusta." (An-Nahl: 105). Dusta
merupakan suatu perbuatan yang keji dan terkutuk kerana ianya boleh
mempengaruhi minda yang mengarahkan kepada kejahatan dan boleh merosakkan
sahsiah dan alam kebajikan. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya
setakut-takut yang aku takut atas umatku adalah setiap munafiq yang pandai
lidahnya." (HR.Abu Ya'la)
Dalam
hadith lain Rasulullah SAW bersabda: "Takutlah kamu terhadap prasangka
kerana sesungguhnya prasangka itu sedusta-dusta pembicaraan." (HR.Muttafaq
'Alaih). Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya dusta itu adalah salah
satu daripada beberapa pintu munafiq." (HR.Ibnu 'Adi). Sabda Rasulullah SAW:
"Tanda orang munafiq itu ada tiga:Apabila berbicara berdusta,apabila
berjanji ia mungkiri dan apabila diberi kepercayaan ia khianat." (HR.Muttafaq
Alaih) Sesungguhnya perbuatan dusta amat dibenci Allah SWT dan tidak akan
beroleh petunjuk dari-Nya. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya Allah SWT tidak
memberi petunjuk kepada orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta." (Al-Mukmin/Ghafir:
28). Firman Allah SWT: "Sesungguhnya Allah SWT tidak memberi petunjuk
kepada orang-orang yang berdusta dan sangat ingkar." (Az-zumar: 3)
13
Mungkir Janji
Perbuatan
mungkir janji bermaksud menyalahi pernyataan terhadap kesediaan diri seseorang
akan memenuhi sesuatu yang diminta oleh orang lain.Oleh,itu dalam islam
menunaikan janji adalah wajib. Firman Allah SWT: "Hai orang-orang yang
beriman penuhilah janji-janji mu." (Al-Maidah: 1). Firman Allah SWT: "Dan
penuhilah janji sesungguhnya janji itu akan ditanya." (Al-Isra': 34). Seseorang
yang memungkiri janji yang dibuat sama ada sengaja atau tidak, amat tidak
menyenangkan dan mengecewakan harapan orang yang dijanjikan. Perbuatan memungkiri
janji tergolong orang munafiq. Rasulullah SAW bersabda: "Ada empat macam
berangsiapa yang terdapat semuanya ini, maka ia termasuk orang munafiq yang
asal dan barangsiapa yang terdapat padanya, maka bererti ia terjangkit sifat kemunafiqan
sampai ia bersedia meninggalkan empat hal tersebut, apabila ia berbicara ia
berdusta, apabila dipercayai ia berkhianat dan apabila berjanji ia
mungkiri." (HR.Bukhari dan Muslim)
14.
Bakhil
Bakhil
adalah merupakan sifat yang tercela dan dibenci dalam islam malah ianya
tergolong sebagai perbuatan orang munafiq. Bakhil bermaksud seseorang merasakan
sayang terhadap apa yang dimiliknya untuk diberikan kepada orang lain. Sebahagian
ulama menyifatkan bakhil itu sebagai keinginan yang diharapkan oleh seseorang
untuk mendapatkan apa yang ada ditangan orang lain. Orang yang mengamalkan
sifat bakhil akan menyebabkan hilangnya rasa tanggungjawab sosial kerana
terlalu mementingkan diri sendiri sehingga sanggup menyisihkan sebahagian harta
dari dimaanfaatkan oleh masyarakat, enggan membayar zakat. Perbuatan ini amat
dikutuk dalam islam. Firman Allah SWT: "Dan janganlah sekali-kali orang
yang bakhil dengan harta yang diberikan Allah SWT kepada mereka menyangka
bahawa kebakhilan itu lebih baik bagi mereka. Tetapi kebakhilan itu adalah
buruk bagi mereka,harta yang mereka bakhilkan akan dikalungkan di lehernya pada
hari kiamat." (Ali Imran: 180) Rasulullah SAW bersabda: "Takutlah
terhadap kezaliman, sesungguhnya kezaliman itu kegelapan di hari kiamat. Takutlah
terhadap bakhil, sesungguhnya bakhil itu menghancurkan umat-umat sebelum kamu, ia
membawa kamu untuk menumpahkan darah mereka dan menghalalkan perkara-perkara
yang diharamkan ke atas mereka." (HR.Muslim dari Jabir r.a). "Dua
pekerti tiada pada seseorang mukmin iaitu bakhil dan buruk pekerti." (HR.Ahmad).
Islam tidak melarang umatnya mencari harta kekayaan sebanyak mungkin denagn
jalan yang baik dan halal untuk kerperluan hidup malah disyaratkan pula
menghulurkan bantuan secara ikhlas atas kelebihan hartanya pada jalan Allah SWT.
Firman Allah SWT: "barang siapa yang memelihara dirinya daripada
bakhil,maka itulah orang yang berjaya." (Al-Hasyr: 9)
15.
Fitnah
Fitnah
merupakan suatu sifat yang amat keji dan boleh mendatangkan kesan yang amat
buruk kepada diri sendiri dan terhadap orang lain. Fitnah boleh diertikan
bahawa seseorang yang menyampaikan keburukan orang lain dikalangan orang ramai
dengan tujuan supaya mereka membenci atau memusuhinya. Fitnah boleh berlaku
dimana-mana terhadap orang lain kerana didorong oleh perasaan irihati, kurangnya
iman dan lemah iman dan jiwanya kotor. Justeru itu perbuatan fitnah tergolong
sifat munafiq boleh menjatuhkan keaiban seseorang dan menghalangnya daripada
melakukan kebajikan. Firman Allah SWT: "Dan janganlah kamu ikuti setiap
orang yang banyak bersumpah lagi hina yang banyak mencela serta menyebar
fitnah, banyak menghalang berbuat baik, melampaui batas lagi banyak melakukan
dosa." (Al-Qalam: 10-12). Firman Allah SWT: "Dalam hati mereka ada
penyakit lalu Allah SWT tambahkan penyakitnya dan bagi mereka seksa yang pedih
disebabkan mereka berdusta." (Al-Baqarah: 10)
Perbuatan
fitnah lebih bahaya daripada pembunuhan kerana boleh menyebabkan masyarakat
hilang rasa kasih sayang dan mencetuskan permusuhan. Firman Allah SWT: "Dan
fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan." (Al-Baqarah:191). Firman
Allah SWT: "Dan fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada membunuh." (Al-Baqarah:
217). Islam melindungi kehormatan atau menjaga nama baik seseorang adalah
dituntut agar dapat menjaga hak dan kebajikan orang lain selamat daripada murka
Allah SWT. Justeru itu,perbuatan fitnah antara sesama muslim akan mendapat
balasan yang buruk dariapda Allah SWT didunia dan akhirat. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya
orang-orang yang menuduh (memfitnah) wanita-wanita yang baik lagi beriman, berzina,
mereka kena laknat di dunia dan akhirat dan abgi azab yang besar." (An-Nur:
23). Sabda Rasulullah SAW: "Seburuk-buruk hamba Allah SWT iaitu orang yang
berjalan ke sana ke mari dengan fitnah yang memecahbelahkan antara kekasih yang
suka mencari kecacatan orang orang baik." (HR. Ahmad)
Rasulullah
SAW bersabda: "Tidak akan masuk syurga yang membawa fitnah." (HR.Bukhari
dan Muslim dari Huzaifah). Oleh kerana itu, bahaya fitnah boleh mengancam
kesejahteraan. Maka umat islam hendaklah sentiasa berhati-hati dan jangan mudah
terpedaya denagn fitnah yang dibawa atau diterima. Firman Allah SWT: "Wahai
orang-orang yang beriman apabila datang kepadamu orang fasiq yang membawa
berita (fitnah) maka perhatikanlah dengan teliti (kebenarannya)." (Al-Hujurat:
6)
16.
Mencaci Maki
Perbuatan
mencaci maki atau menyakiti seseorang muslim adalah dilarang dalam Islam kerana
boleh menjejaskan nama baik dan maruah orang. Sikap demikian adalah termasuk
amalan orang munafiq dan merupakan suatu pembohongan yang besar dan nyata. Firman
Allah SWT: "Orang-orang yang menyakiti mukmin lelaki dan mukmin wanita
dengan sesuatu yang tidak dibuatnya, maka sesungguhnya mereka telah memikul
kebohongan yang besar dan dosa yang nyata." (Al-Ahzab: 58). Islam adalah
agama universal yang sentiasa mementingkan perpaduan, keharmonian dan saling
hormat menghormati antara satu sama lain tanpa mengira pangkat, kedudukan dan
keturunan. Malah umat islam hendaklah sentiasa menjaga kehormatan diri dan
maruah orang lain agar dapat membentuk budaya hidup masyarakat penyayang dan
berakhlak mulia berlandaskan iman. Firman Allah SWT: "Hai orang-orang yang
beriman,janganlah kamu menghina (mencaci) suatu kaum yang dihina itu lebih baik
dari kaum yang menghina." (Al-Hujurat: 11)
Rasulullah
SAW bersabda: "Tidak patut seseorang sahabat baik mengutuk (sahabatnya)."
(HR. Muslim dari Abi Hurairah). Rasulullah SAW bersabda: "Seseorang mukmin
bukanlah orang yang suka mencaci, bukan suka menghina, bukan yang suka berbuat
keji dan bukan orang yang suka bercakap keji." (HR.Muslim). Dalam islam
setiap muslim itu bersaudara terhadap sesama muslim yang lain dan tidak
menghina atau menganiaya. Jika seseorang itu menghina, mengutuk atau mengeji, maka
dianggap berlaku jahat sesama muslim. Perbuatan mencaci maki sesama muslim amat
dibenci dan mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: "Mencaci
orang islam itu termasuk fasik dan membunuhnya termasuk kafir." (HR.Abu
Daud). Dalam hadith lain Rasulullah SAW bersabda: "Tidak dapat masuk
syurga orang yang tetangganya tidak merasa aman dari gangguannya(menyakiti)."
(HR.Muslim)
17.
Mengumpat
Mengumpat
bermaksud seseorang menceritakan keburukan, kelemahan peribadi dan tindakan
orang yang tertentu kepada orang lain yang tidak disukainya. Pada hakikatnya
perbuatan mengumpat dilakukan secara sengaja dan tidak disedari oleh seseorang
yang suka mengumpat di samping tidak dapat mengawal lidahnya daripada
membicarakan kelemahannya atau keburukan peribadi orang lain. Dalam islam
perbuatan mengumpat adalah salah satu sifat yang tercela dan menjadi amalan
orang yang tidak beriman dan munafiq. Islam melarang keras umatnya mengumpat
terhadap sesama muslim kerana boleh mendatangkan akibat yang buruk. Firman
Allah SWT: "Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan buruk sangka
(sesama muslim) kerana sebahagian buruk sangka itu adalah dosa dan janganlah
kamu mencari aib orang dan jangan pula sebahagian kamu mengumpat yang
lain." (Al-Hujurat: 12). Rasulullah SAW bersabda: "Ghaibah ialah
apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu yang tidak
disukainya." (HR.Muslim)
Orang
yang suka mengumpat adalah diumpamakan sebagai orang yang memakan daging
bangkai saudaranya sendiri. Perbuatan mengumpat boleh menyinggung perasaan, hati
dan kehormatan orang lain yang akhirnya boleh menimbulkan permusuhan dan
perbalahan antara satu sama lain. Rasulullah SAW melarang umatnya mengumpat
kerana banyak mendatangkan buruk sangka dan fitnah terhadap orang lain. Rasulullah
SAW bersabda: "Setiap orang Islam terhadap sesama Islam itu haram darahnya
(tidak boleh membunuh), hartanya (tidak boleh dirampas) dan kehormatan (tidak
boleh mengumpat)." (HR.Muslim dan At-Tirmizi). Firman Allah SWT: "Celaka
bagi setiap pengumpat lagi pencela." (Al-Humazah: 1)
18.
Mengungkit Kembali Pemberian Kepada Seseorang dan Menyakiti Hatinya
Mengungkit
kembali pemberian kepada orang lain dengan harapan supaya dikenang jasa dan
sumbangannya serta ingin menyakiti hati orang lain. Perbuatan ini dicela dalam
Islam dan termasuk perbuatan orang munafiq. Firman Allah SWT: "Hai
orang-orang beriman janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan
menyebut-yebutnya dan menyakiti perasaannya seperti orang yang menafkahkan
hartanya kerana riak kepada manusia dan tidak beriman kepada Allah SWT dan hari
akhirat." (Al-Baqarah: 264). Rasulullah SAW bersabda: "Ada tiga
golongan pada hari kiamat di mana Allah SWT tidak berbicara, tidak melihat dan
tidak pula menyucikan mereka bahkan bagi mereka seksa yang pedih, iaitu orang
yang melabuhkan sarungnya hingga ke tapak kaki, orang yang mengungkit-ngungkit (pemberian)
dan orang yang menawarkan dagangannya dengan sumpah palsu." (HR.Muslim). Rasulullah
SAW bersabda: "Ada tiga golongan yang tidak masuk syurga, iaitu orang yang
berani (derhaka) kepada orang tuanya, peminum arak dan orang yang
mengungkit-ngungkit (pemberian)." (HR. Nasa'i)
19.
Mengkari Takdir Allah SWT
Takdir
Allah SWT merupakan suatu ketetapan-Nya ke atas setiap makhluk dengan kadar
atas tertentu. Justeru itu, takdir yang ditentukan Allah SWT sama ada baik, buruk,
bahagia atau derita adalah suatu ketentuan Allah SWT yang mutlak ke atas setiap
makhluk-Nya dan tiada siapa yang dapat menghalang atau mengubahnya. Firman
Allah SWT: "Sesungguhnya Kami menjadikan tiap-tiap sesuatu dengan kadar (takdir
yang ditentukan)." (Al-Qamar: 49). Firman Allah SWT: "Sesungguhnya
Allah SWT menyampaikan (melangsungkan) urusan-Nya. Sesungguhnya Allah SWT
mengadakan qadar (peraturan tertentu) bagi tiap-tiap sesuatu." (At-Talaq: 3).
Firman Allah SWT: "Kamu tiada mengkehendaki (sesuatu) melainkan jika Allah
SWT mengkehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha
Bijaksana." (Al-Ihsan: 30)
Sesungguhnya
orang yang menolak, membenci atau mengingkari sesuatu ketentuan takdir Allah SWT,
maka tergolong orang kufur dan rosak iman serta menjadi munafiq yang akan
mendapat kemurkaan dan azab Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya
besar pahala itu mengikut besar cubaan. Dan sesungguhnya apabila Allah SWT
mengasihi suatu kaum, dicubanya kaum itu (dengan suatu cubaan). Siapa yang redha
terhadapnya, ia akan mendapat redha Allah SWT dan siapa yang marah, ia akan
mendapat murka Allah SWT." (HR. At-Tirmizi). Rasulullah SAW bersabda: "Siapa
tidak redha akan qada'-Ku dan qadar-Ku, baiklah ia mencari Tuhan selain
Aku." (HR. Tabrani)
20.
Mempersenda Kesucian Agama
Perbuatan
mempersendakan atau mempermainkan kesucian dan kebenaran agama adalah amat
dibenci dan dilarang dalam Islam kerana seolah-olah menentang sesuatu yang
diturunkan oleh Allah SWT. Perbuatan demikian termasuk ciri-ciri orang munafiq
yang sentiasa menghina atau memperkecilkan kebenaran ajaran agama islam. Firman
Allah SWT: "Hai orang-orang beriman, janganlah kamu angkat jadi pemimpin
orang-orang yang mengambil agamamu, memperolok dan mempermainkan, diantara ahli
kitab sebelum kamu dan orang-orang kafir. Takutlah kepada Allah SWT jika kamu
orang beriman." (Al-Maidah: 57). Firman Allah SWT: "Apabila kamu
menyeru mereka bersolat, mereka jadikan solat itu olok-olok dan permainan. Demikian
itu kerana mereka kaum yang tidak berfikir." (Al-Maidah: 58)
Firman
Allah SWT: "Sesungguhnya mereka mendustai kebenaran tatkala datang kepada
mereka. Nanti akan datang kepada mereka berita apa yang mereka
perolokkan." (Al-An'am: 5). Firman Allah SWT: "Siapakah lebih zalim
dari orang yang mengadakan pembohongan terhadap Allah SWT atau orang yang
mendustai ayat-Nya? Sesungguhnya tiadalah menang orang-orang yang zalim." (Al-An'am:
21). Firman Allah SWT: "Sesungguhnya telah lalu beberapa peraturan sebelum
kamu. Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana akibatnya
orang-orang yang mendustai (agama)." (Ali-Imran: 137)
21.
Enggan Berjihad Di Jalan Allah SWT
Jihad
adalah suatu tuntutan agama yang disyariatkan untuk menghapuskan segala bentuk
kebatilan, kezaliman dan kefasikan di muka bumi. Oleh itu orang yang enggan
berjihad dan menghalang umat islam daripada berjuang di jalan Allah SWT adalah
termasuk orang-orang munafiq dan dimurkai. Firman Allah SWT: "Telah
gembira orang-orang yang tinggal di tempat duduknya, sepeninggalan Rasul Allah
dan mereka benci berjuang dengan harta dan dirinya di jalan Allah SWT dan
mereka berkata: 'Janganlah kamu keluar berjuang waktu panas,' Katakanlah: 'Api
neraka jahannam lebih panas daripada itu jika mereka mengerti."" (At-Taubah:
81). Firman Allah SWT: "mereka meminta uzur kepadamu apabila kamu kembali
kepada mereka (dari medan perang). Katakanlah. "'Jangan kamu minta uzur, kami
sekali-kali tidak percaya kepadamu. Sesungguhnya Allah SWT telah memberitahu
kami tentang perkhabaranmu." (At-Taubah: 94). Firman Allah SWT: "Tiadalah
sama orang yang duduk di antara orang-orang mukmin dengan orang-orang yang
berjuang dijalan Allah SWT dengan harta dan jiwanya, kecuali orang yang ditimpa
kemelaratan." (An-Nisa': 95)
22.
Menghina Sahabat Rasulullah SAW
Sahabat
Rasulullah SAW adalah orang yang masuk Islam dan beriman dengan Baginda SAW
semasa hayatnya. Para sahabat Rasulullah SAW adalah yang mewarisi dan berpegang
teguh kepada ajaran Al-Quran dan sunnahnya dalam segala aspek kehidupannya. Adapun
orang-orang Islam sama ada secara sedar atau tidak, menghina atau mencerca
perilaku sikap dan perjuangan para sahabat Rasulullah SAW adalah dianggap
melanggar larangan baginda SAW berdosa besar dan termasuk golongan orang-orang munafiq.
Rasulullah SAW bersabda: "Allah SWT berfirman: 'barangsiapa yang memusuhi
kekasih-Ku, maka sesungguhnya Aku mengizinkan berperang dengannya."' (HR. Bukhari
dan Muslim). Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kamu menghina sahabatku
demi Zat yang diriku dalam kekuasaan-Nya, jika salah seorang daripada kamu
berinfaq (sedekah) sebesar gunung uhud berupa emas, belum dapat mengimbangi
satu genggam atau setengahnya dari kebaikan mereka." (HR. Bukhari dan
Muslim). "Allah SWT, takutlah kepada Allah SWT dalam urusan sahabatku. Janganlah
kamu jadikan mereka sasaran makian sesudahku. Barangsiapa mencintai mereka, maka
cintaku aku mencintai mereka. Barangsiapa membenci mereka, maka dengan benciku
aku membenci mereka (yang mencerca). Barangsiapa menyakiti mereka bererti
menyakiti aku dan barangsiapa menyakiti aku, maka bererti ia telah menyakiti
Allah SWT. Dan barangsiapa menyakiti Allah SWT, maka ia hampir akan mendapat
seksa-Nya." (HR. At-Tirmizi). Rasulullah SAW bersabda: "Hendaklah
kamu berpegang teguh kepada sunnahku dan sunnah khulafah Rasyidin yang mendapat
petunjuk sesudahku. Gigitlah ia dengan gigi geraham dan jauhilah, olehmu
terhadap perkara-perkara yang baru (bid'ah)." (HR.At-Tirmizi)
23.
Menyembunyikan Persaksian Pada Jalan Yang Benar
Allah
SWT berfirman: “Dan janganlah kamu menyembunyikan perkara yang dipersaksikan
itu. Dan barangsiapa menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang
berdosa hatinya. Dan Allah SWT Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Baqarah:
283). Sebagai orang yang beriman, umat Islam tidak seharusnya sedia menjadi saksi
yang palsu atau dusta dalam member keterangan bagi menyelesaikan sesuatu
perkara pada jalan yang benar. Justeru itu, berdusta ketika menjadi saksi
adalah golongan orang-orang munafiq dan dibenci oleh Allah SWT. Rasulullah SAW
bersabda: “Tidaklah tergelincir dua telapak orang yang menjadi saksi dusta
sehingga Allah SWT menetapkan kepadanya di neraka.” (HR. Ibnu Majah dan Hakim).
Dalam hadith lain Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa menyembunyikan
persaksian ketika dia diundang kepadanya maka adalah ia seperti orang yang
menyaksikan dusta.” (HR. Tabrani)
24.
Menangguh Pembayaran Hutang.
Seseorang
yang berhutang adalah wajib membayar mengikut hukum islam. Oleh, itu orang yang
mempunyai harta atau mampu membayar hutangnya tetapi sengaja melambat-lambatkannya
atau tidak mahu membayarnya, maka perbuatan ini adalah amalan orang-orang munafiq
dan dibenci dalam islam. Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu makan harta di
antara kamu dengan jalan yang salah.” (Al-Baqarah: 188). Rasulullah SAW
bersabda: “Barangsiapa mengambil harta orang yang ia bermaksud merosakkannya (tidak
mahu membayarnya), nescaya Allah SWT akan merosakkannya.” (HR. Bukhari)
25.
Menipu Dalam Jualbeli
Perbuatan
menipu dalam urusan jualbeli adalah melibatkan amalan timbang atau sukat
sesuatu barangan yang tidak mencukupi kadarnya atau menjual barangan yang rosak
atau cacat yang akhirnya manimbulkan tidak puas hati atau mengecewakan pembeli.
Perbuatan ini adalah haram dalam islam dan akan mendapat laknat Allah SWT. Firman
Allah SWT: “Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan
sukatan), iaitu mereka yang apabila menerima sukatan dari orang lain mereka
mengambilnya dengan cukup dan sebaliknya apabila mereka menyukat atau menimbang
untuk orang lain, mereka kurangkan.” (Al-Mutaffifin: 1-3). Rasulullah SAW
bersabda: “Barangsiapa menipuku (dalam jualbeli), maka tidaklah ia termasuk
golonganku.” (HR. Al-Bazzar). Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa menjual
barang yang cacat dimana is tidak menerangkannya, maka sentiasa ia berada dalam
kemurkaan Allah SWT dan malaikat sentiasa melaknatnya.” (HR. Ibnu Majah)
26.
Ghasab (Mengambil Tanah Orang Lain Tanpa Hak)
Ghasab
adalah menguasai atau mengambil harta orang lain (tanah) orang lain dengan
jalan aniaya.iaitu jalan yang tidak diredhai agama. Perbuatan mengambil tanah
orang lain atau ghasab walaupun sejengkal adalah termasuk dosa besar dan munafiq.
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa mengambil sejengkal tanah (bumi) dengan
tanpa hak nescaya ditenggelamkan ia pada hari kiamat sampai ke dalam tujuh
lapis bumi.” (HR. Bukhari), Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa mengambil
tanah orang lain secara zalim, nescaya ia akan bertemu dengan Allah SWT dan dia
sangat murka kepadanya.” (HR Tabrani)
27.
Bergaul Dengan Orang Yang Memperolok Al-Quran.
Umat
islam seharusnya faham dan peka dengan sikap orang-orang yang ingkar terhadap
perintah Allah SWT dan Rasul-Nya, iaitu tidak mendekati atau bergaul dengan
mereka sehingga boleh menjejaskan dan merosakkan aqidah dan akhlak. Musuh-musuh
Islam, terutama orang-orang kafir dan munafiq sentiasa berusaha untuk
merosakkan dan menghancurkan peradaban umat Islam dalam segala bidang. Justeru
itu, kaum muslimin hendaklah berhati-hati dan menjauhi daripada bergaul dengan
mereka agar tidak terpengaruh dengan mereka. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya
Allah SWT telah menurunkan kepadamu (perintah-Nya) dalam kitab (Al-Quran). iaitu
apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah SWT diingkari dan diejek (oleh
kaum kafir dan munafiq), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka
sehingga mereka memasuki kepada mempersoalkan yang lain, kerana sesungguhnya (jika
kamu ikut), tentulah kamu sama dengan mereka.” (An-Nisa: 140)
28.
Memakan Harta Anak Yatim
Dalam
islam anak yatim bermaksud anak yang ditinggal mati oleh ayahnya semasa dia
masih kecil atau belum dewasa. Orang yang bertanggungjawab atau ahli waris yang
beramanah menjaga dan memelihara anak yatim, jika memakan harta anak yatim
dengan cara yang zalim adalah berdosa besar dan tergolong orang munafiq. Firman
Allah SWT: "Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim
secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka
dan mereka pula akan masuk ke dalam api Neraka yang menyala-nyala."
(An-Nisa': 10)
Firman
Allah SWT: "Dan janganlah kamu makan harta anak yatim lebih daripada batas
berpatutan dan (janganlah kamu) tergesa-gesa (membelanjakannya) sebelum mereka
dewasa. Barangsiapa (di antara penjaga) mampu, maka hendaklah dia menahan diri (daripada
makan harta anak yatim)." (An-Nisa': 6). Para ulama berkata: Bagi setiap
wali atau penjaga anak yatim,jika dia berada dalam keadaan miskin,dibolehkan
baginya memakan sebahagian harta anak yatim dengan cara yang baik menurut
sekadar keperluannya sahaja, tidak boleh berlebihan dan jika berlebihan, maka
dia menjadi haram.
29.
Membuka Rahsia Orang Lain.
Setiap
manusia tentu memiliki rahsia tersendiri. Dalam, Islam jika seseorang
mengetahui keburukan orang lain kemudian diceritakan dikhalayak ramai, maka
perbuatan ini adalah berdosa besar dan ciri-ciri orang munafiq. Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat
keji itu tersiar di kalangan orang-orang beriman, bagi mereka azab yang pedih
di dunia dan akhirat. Dan Allah Maha Mengetahui sedangkan kamu tidak
mengetahui." (An-Nur: 19). Islam menyuruh umatnya agar menutup dan menjaga
rahsia sesama orang islam yang dikenali. Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa
yang dapat menutup rahsia sesama muslim, maka Allah SWT akan menutup rahsianya
di dunia dan akhirat." (HR. Muslim)
30.
Berasa Aman Daripada Murka Allah SWT Apabila Melakukan Dosa
Apabila
seseorang melakukan sesuatu dosa kemudian dia berasa selamat daripada murka dan
seksaan Allah SWT, maka anggapan ini adalah berdosa besar dan amalan
orang-orang munafiq. Allah SWT akan membalas perbuatan dosa dengan hukuman
seksa di hari kiamat nanti. Firman Allah SWT: "Maka ketika mereka lupa
peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami membuka semua pintu
kesenangan untuk mereka, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang
telah diberikan kepada mereka, Kami seksa mereka dengan sekonyong-konyong maka
ketika itu mereka diam berputus asa." (Al-An'am: 44)
31.
Memanggil Orang Dengan Gelaran Buruk Yang Tidak Disukai.
Memanggil
seseorang dengan gelaran buruk yang tidak disukai adalah dilarang dalam islam
kerana ia boleh menjejaskan atau menjatuhkan maruah dan nama baik di kalangan
orang ramai. Perbuatan ini adalah amalan orang-orang munafiq dan boleh mencetus
pergaduhan antara satu sama lain. Firman Allah SWT: "Dan janganlah kamu
panggil memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk buruk panggilan ialah yang
buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah
orang-orang yang zalim." (Al-Hujurat: 11)
32.
Menghalang Orang Daripada Mengamalkan Ajaran Islam.
Orang
yang menghalang umat islam daripada mengamalkan ajaran islam adalah tergolong
orang-orang munafiq yang amat dibenci dalam islam. Islam menggalakkan umatnya
agar sama-sama saling mengingati dengan mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh.
Firman Allah SWT: "Katakanlah hai ahli kitab mengapa kamu
menghalang-halang dari jalan Allah SWT orang-orang yang telah beriman, kamu
mengkehendakinya menjadi bengkok padahal kamu menyaksikan? Allah SWT
sekali-kali tidak lalai daripada apa yang kamu kerjakan." (Ali Imran: 99)
33.
Suka Kepada Kesesatan Dan Menyesatkan Orang.
Islam
menghendaki umatnya agar mengamalkan hidup pada jalan yang benar dalam segala
aspek sebagaimana yang digariskan di dalam Al-Quran dan sunnah. Di samping itu
Islam melarang umatnya, terutama golongan yang berilmu agar tidak
menyalahgunakan ilmu yang baik untuk menipu dan menyesatkan orang lain untuk
tujuan dan kepentingan tertentu yang bertentangan dengan syariat islam. Setiap
muslim bertanggungjawab membebaskan diri daripada melakukan yang benar dan
baik, agar tidak tergolong dalam golongan orang-orang munafiq yang suka
menyesatkan orang. Firman Allah SWT: "Apakah kamu tidak melihat
orang-orang yang telah diberi bahagian dari al-Kitab (Taurat)? Mereka membeli (memilih)
kesesatan dan mereka bermaksud supaya kamu tersesat dari jalan (yang
benar)." (An-Nisa': 44)
34.
Bermuka Dua.
Sikap
bermuka dua adalah salah satu daripada ciri-ciri orang munafiq kerana mereka
apabila diajak untuk mengikut jalan Allah SWT dengan sengaja melambat-lambatkan
dan tidak mahu, tetapi jika diajak pada jalan yang dilarang Allah SWT, mereka
cepat menanggapinya dan senang hati mengikutnya, bahkan menjadi pelopornya. Firman
Allah SWT: "Apabila mereka berjumpa dengan orang-orang beriman mereka
mengatakan. "Kami telah beriman.' Dan apabila mereka kembali kepada
syaitan-syaitan mereka, mereka mengatakan: 'Sesungguhnya kami tetap bersama
kamu, kami hanya mempermainkan mereka." (Al-Baqarah: 14). Rasulullah SAW
bersabda: "Kamu akan menjumpai di antara hamba-hamba Allah SWT pada hari
kiamat kelak, orang yang bermuka dua yang mendatangi mereka ini suatu
pembicaraan dan mereka ini dengan suatu pembicaraan (lain)." (HR. Bukhari
dan Muslim)
35.
Menyanjung Dan Memuji Orang Tanpa Diketahui Keadaan Sebenarnya
Sanjungan
dan pujian terhadap seseorang adalah kerana perbuatan dan perkataannya. Akan
tetapi sanjungan dan pujian yang baik dan ikhlas terhadap sesama muslim adalah
dibolehkan dalam islam. Namun demikian, sanjungan dan pujian yang berlebihan
dan tidak sesuai dengan kenyataan yang dipuji adalah dilarang dalam islam dan
tergolong amalan orang-orang munafiq untuk merosak peribadi seseorang muslim. Sesungguhnya
Allah SWT tidak menyukai umat islam menyanjung dan memuji orang-orang yang
ingkar kepadanya seperti orang kafir, munafiq dan fasik kerana boleh
menambahkan kesombongan dan keingkaran mereka. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya
Allah SWT marah apabila orang fasik dipuji." (HR. Ibnu Abiddunya dan
Baihaqi). Rasulullah SAW bersabda: "Hamburkanlah tanah pada muka
orang-orang yang memuji itu." (HR. Muslim)
36.
Sombong Di Antara Sesama Manusia
Sombong
adalah perilaku yang menolak kebenaran dan meremehkan orang lain dengan
anggapan kelebihan dan kehebatan tidak dapat ditandingi. Biasanya sifat sombong
ini disebabkan oleh ilmu, ibadah dan keturunan dan kecantikan yang dimiliki
oleh seseorang yang mudah dipengaruhi nafsu. Bersikap sombong terhadap sesama
muslim atau manusia seluruhnya adalah dilarang dalam islam kerana ia boleh
mendatangkan kebencian dan kehinaan daripada orang lain serta amat dibenci oleh
Allah SWT. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai
orang-orang yang sombong dan membangga diri." (An-Nisa': 36). Bersikap
sombong dan membangga diri adalah amalan orang-orang munafiq dan termasuk kufur
terhadap nikmat Allah SWT. Oleh itu, Allah SWT memberi balasan azab terhadap
mereka yang bersikap sombong dalam pergaulan dengan sesama manusia. Firman
Allah SWT: "Tidak diragui lagi bahawa sesungguhnya Allah SWT mengetahui
apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka zahirkan. Sesungguhnya Allah SWT
tidak menyukai orang-orang yang sombong." (An-Nahl: 23)
Firman
Allah SWT: "Dan pada hari kiamat kamu akan melihat orang-orang yang
berbuat dusta terhadap Allah SWT, mukanya menjadi hitam. Bukanlah neraka itu
sebagai tempat bagi orang-orang yang menyombong diri." (Az-Zumar: 60). Firman
Allah SWT: "Maka masukilah pintu-pintu neraka Jahannam, kamu kekal di
dalamnya. Maka amat buruklah tempat orang-orang yang menyombongkan diri
itu." (An-Nahl: 29). Rasulullah SAW bersabda: "Daripada Nabi SAW
baginda SAW bersabda."Tidak akan masuk syurga seseorang yang mempunyai
sifat sombong (dihati) walaupun hanya sebesar zarah." (HR. Muslim). Rasulullah
SAW bersabda: "Dan Allah SWT berfirman: 'Kemegahan itu sarung-Ku dan
kesombongan itu adalah selendang-Ku. Barangsiapa yang memiliki (salah satu) daripada
kedua-duanya, nescaya Aku akan campakkan dia ke dalam neraka." (HR. Muslim).
Dalam Hadith Rasulullah SAW bersabda: "Tiada seorangpun berjalan dengan
sombong dan menyombongkan dirinya, melainkan dia akan bertemu dengan Allah SWT
dengan mendapat kemurkaanNya." (HR. Tabari)
37.
Suka Berbantah Dan Bertengkar Sesama Muslim.
Perbuatan
suka bertengkar dan berbantah dengan sesama muslim dalam perkara kecil dan
remeh adalah dilarang dalam islam kerana akan menimbulkan renggang dan
kurangnya hubungan silaturrahim serta akan mengurangkan kesempurnaan iman
seseorang serta tergolong ciri-ciri munafiq. Firman Allah SWT: "Tidak ada
kebaikan perkataan mereka, kecuali kata-kata orang yang menyuruh bersedekah
atau mengajak berbuat baik atau mendamaikan orang yang berselisih." (An-Nisa':
114). Rasulullah SAW bersabda: "Seseorang tidak akan mencapai kesempurnaan
hakikat iman sehingga dia meninggalkan berbantah-bantah walaupun dia di pihak
yang benar." (HR. Ibnu Abid Danya). Rasulullah SAW bersabda: "Tinggalkan
berbantah-bantah kerana sesungguhnya berbantahan itu tidak diketahui hikmahnya
dan tidak diamankan daripada fitnah." (HR. Tabrani)
38.
Melampaui Batas Yang Digariskan Oleh Allah SWT
Perbuatan
melampaui batas yang digariskan oleh Allah SWT bererti menurut kehendak hawa
nafsu sehingga boleh tersesat dan menyesatkan pada jalan yang benar sebagaimana
yang dilakukan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Firman Allah SWT: "Katakanlah
hai ahli kitab, janganlah kamu melampaui batas selain kebenaran dalam agamamu
dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu daripada suatu kaum sebelummu yang telah
sesat dan menyesatkan ramai manusia dan mereka juga telah tersesat dari jalan
yang bear." (Al-Maidah: 77). Orang-orang yang hidup berlandaskan
semata-mata kerana dorongan hawa nafsu dalam menikmati segala kurnia dan nikmah
Allah SWT, akan sentiasa berada jauh dari jalan kebenaran. Mereka sanggup
mengubah segala ketentuan Allah SWT seperti menghalalkan yang haram, mengubah
ayat-ayat Allah SWT dan sebagainya sehingga Allah SWT mengunci hati mereka, lalu
mereka tidak dapat membezakan batas yang telah ditentukan oleh Allah SWT dan
Rasul-Nya. Firman Allah SWT: "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu
mengharamkan sesuatu yang baik yang telah dihalalkan Allah SWT bagimu dan
janganlah kamu melampaui batas." (Al-Maidah: 87). Firman ALLAH SWT: "Demikianlah
Kami mengunci mati hati orang-orang yang melampaui batas." (Yunus: 74)
39.
Berputus Asa Dalam Menghadapi Cabaran Hidup.
Orang
yang berputus asa dalam menghadapi cabaran dan dugaan hidup adalah mereka yang
tidak bersabar terhadap sesuatu yang ditakdirkan Allah SWT dalam usaha
memperolehi rahmat Allah SWT. Sikap berputus asa dalam menghadapi realiti hidup
berpunca daripada kelemahannya iman dan keyakinan terhadap kekuasaan Allah SWT,
sedangkan disebalik kegagalan itu ada tersirat sesuatu rahmat dan hikmah yang
besar yang akan diberikan Allah SWT. Dalam islam, orang-orang yang berputus asa
dalam menangani kesusahan hidup adalah tergolong orang orang yang sesat dan munafiq
kerana tidak mempunyai keyakinan terhadap kekuasaan dan kebesaran Allah SWT
yang boleh mengatasi segala sesuatu. Firman Allah SWT: "Sahut
mereka:"Janganlah kamu termasuk orang-orang yang berputus asa." (Al-Hijr:
55). Allah SWT berfirman: "Ibrahim berkata:"Tidak ada orang yang
berputus asa daripada rahmat Tuhannya,kecuali orang-orang yang sesat." (Al-Hijr:
56). Firman Allah SWT: "Katakanlah:"Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui
batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat
Allah SWT." (Az-Zumar: 53). Firman Allah SWT: "Dan apabila Kami
merasakan suatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dnegan rahmat
itu. Dan apabila mereka ditimpa sesuatu musibah (bahaya) disebabkan kesalahan
yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus
asa." (Ar-Rum: 36)
40.
Membazir Dalam Memanfaatkan Nikmat Allah SWT
Islam
menyuruh umatnya hidup serba sederhana dalam segala aspek dan melarang membazir
dalam menikmati segala kurniaan Allah SWT. Segala harta yang dimiliki tidak
boleh dibelanjakan pada jalan yang bertentangan dengan syariat islam. Firman
Allah SWT: "Dan janganlah kamu membazirkan hartamu secara boros." (Al-Isra':
26). Orang-orang yang boros dalam membelanjakan harta dengan sia-sia adalah
tergolong orang-orang munafiq dan golongan syaitan. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya
orang-orang yang suka membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan sangat
ingkar kepada Tuhannya." (Al-Isra': 26)
41.
Keluh Kesah Apabila Ditimpa Musibah.
Setiap
orang tidak terlepas daripada mengalami musibah yang ditakdirkan Allah SWT yang
hanya untuk menguji keimanan kepada Allah SWT. Oleh itu setiap muslim yang
beriman kepada Allah SWT, tidak seharusnya merasakan keluh kesah apabila
mendapat sesuatu musibah atau bahaya yang ditentukan oleh Allah SWT kerana itu
tergolong orang-orang munafiq yang tidak bersyukur kepada Allah SWT. Firman
Allah SWT: "Apabila ia ditimpa kesusahan, ia berkeluh kesah dan apabila ia
mendapat kebaikan ia amat kikir, kecuali orang yang mengerjakan solat." (Al-Ma'rij:
20-22)
42.
Mengkhianat Sesuatu Aamanh.
Mengkhianat
sesuatu amanah adalah seseorang yang mendapat kepercayaan daripada orang lain
tetapi ia tidak memenuhi amanah yang dipercayakan kepadanya. Dalam islam amanah
wajib dijaga dan dipelihara agar tidak menghilangkan kepercayaan dan kejujuran.
Perbuatan mengkhianati sesuatu amanah adalah dilarang dan tergolong amalan
orang-orang yang akan mendapat kemurkaan Allah SWT. Firman Allah SWT: "Hai
orang-orang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah SWT dan Rasul dan juga
janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu sedangkan kamu
mengetahui." (An-Anfal: 27). Rasulullah SAW bersabda: "Belum beriman
bagi orang tidak amanah dan tidak ada agama bagi orang yang tidak memegang
janji." (HR Ahmad, Bazzar dan Tabrani). Ada ulama yang mengatakan apabila
ada seseorang yang tekun mengerjakan solat, puasa, mengerjakan haji dan banyak
mengerjakan amal soleh, tetapi tidak beramanah terhadap sesuatu, maka menjadi
sia-sialah amal mereka dan tiada memperolehi petunjuk dan dimurkai Allah SWT.
43.
Memutuskan Silaturrahim.
Mencadangkan
dan mengekalkan hubungan silaturrahim adalah dituntut dalam islam. Oleh itu, seseorang
yang memutuskan tali silaturrahim akan menyebabkan terputusnya hubungan
kekeluargaan sahabat handai dan sesama muslim bahkan termasuk ciri-ciri orang
manafik. Firman Allah SWT: "Dan bertaqwalah kepada Allah SWT yang dengan
nama-NYA kamu saling meminta satu sama lain dan (peliharalah) hubungan
silaturrahim. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa menjaga dan mengawasi kamu.' (An-Nisa':
1). Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan masuk syurga orang yang
memutuskan hubungan silaturrahim." (HR. Muslim). Rasulullah SAW bersabda: "Barang
siapa yang suka rezekinya dimudahkan dan usianya dipanjangkan,maka hendaklah ia
menyambung silaturrahim." (HR. Muslim)
44.
Memecahbelahkan Perpaduan Muslimin.
Islam
meyuruh umatnya agar hidup bersatupadu dalam kesatuan aqidah dan iman. Justeru
itu, perbuatan memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian natara sesama muslim
adalah dilarang dalam Islam kerana akan menyebabkan pengabaian terhadap amanah
Allah SWT sebagai khalifah dalam mentadbir kehidupan ummah, sikap demikian
boleh membawa kepada kejatuhan dan kehancuran umat Islam sehingga mendatangkan
bala bencana dan azab Allah SWT. Firman Allah SWT: "Berpegang teguhlah
kamu sekalian kepada tali (agama) Allah SWT dan janganlah kamu berpecah belah
dan ingatlah akan nikmat Allah SWT ke atas kamu ketika kamu telah bermusuhan, lalu
disatukan hatimu sehingga kamu menjadi saudara dengan nikmatnya." (Ali
Imran: 103)
Firman
Allah SWT: "Dan janganlah kamu berpecah belah dalam agama. Berat bagi
orang-orang musyrik (menerima) apa yang kamu sarakan kepada mereka (mengesakan
Allah SWT), Allah SWT memilih kepadanya siapa yang dikehendaki-Nya dan menunjuk
siapa yang kembali kepada-Nya." (Asy-Syura: 13). Orang yang suka
memecahbelahkan perpaduan umat Islam adalah tergolong orang munafiq yang
sentiasa memusuhi islam secara nyata dan mereka patut diperangi. Rasulullah SAW
bersabda: "Barangsiapa diantara seseorang yang datang kepadamu sedangkan
keadaanmu bersatu yang dikehendaki oleh orang itu untuk dipisahkan persatuanmu,
maka bunuhlah dia." (HR. Muslim). Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya
bakal terjadi berbagai fitnah dan perkara-perkara baru. Barangsiapa
memecahbelahkan urusan umat yang sudah bersatu ini, maka pukullah ia ddengan
pedang, siapapun dia orangnya." (HR. Muslim)
45.
Menghalalkan Perkara Yang Haram.
Dalam
syariat Islam segala sesuatu yang halal atau haram adalah jelas sebagaimana
yang terdapat di dalam al-Quran dan sunnah. Justeru itu, umat Islam tidak boleh
atau dilarang menghalalkan sesuatu yang telah diharamkan oleh Allah SWT dan
Rasul-Nya. Perbuatan menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal adalah
berdosa besar hukumnya dan tergolong amalan orang munafiq. Firman Allah SWT: "Hai
orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului (dengan perbuatan atau
perkataan) sebelum Allah SWT dan Rasul-Nya dan takutlah kepada Allah SWT. Sesungguhnya
Allah Maha Mendengarlagi Maha Mengetahui." (Hujurat: 1). Firman Allah SWT:
"Hai orang-orang yang beriman,janganlah kamu mengharamkan (makanan) yang
baik-baik yang telah dihalalkan Allah SWT bagimu dan janganlah kamu melampaui
batas. Sesungguhnya Allah SWT tiada mengasihi orang yang melanggar batas."
(Al-Maidah: 87). Firman Allah SWT: "Janganlah kamu berkata dusta menurut
yang diterangkan oleh lidahmu sendiri. Ini halal dan ini haram, supaya kamu
mengadakan dusta terhadap Allah SWT. Sesungguhnya orang yang mengadakan dusta
terhadap Allah SWT tiada perolehi kemenangan." (An-Nahl: 116)
46.
Membuat Kerosakan Dimuka Bumi.
Islam
menyuruh umatnya menjalani kehidupan yang aman dan sejahtera berlandaskan iman
dan takwa. Setiap muslim wajib menjauhi dan meninggalkan segala bentuk
perbuatan yang boleh merosakkan diri sendiri, masyarakat, agama dan negara. Oleh
itu,seseorang yang melakukan kerosakan di muka bumi ini seperti maksiar dan
segala bentuk dosa besar adalah tergolong orang-orang munafiq yang amat
dimurkai Allah SWT dan akan mendapat balasan azab dari-Nya di hari akhirat. Firman
Allah SWT: "Apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu berbuat
bencana dimuka bumi'. maka jawab mereka: 'Hanya kami berbuat kebaikan.Ingatlah
sesungguhnya mereka itu berbuat bencana, tetapi mereka tiada sedar." (Al-Baqarah:
11-12)
Firman
Allah SWT: "Apabila ia berpaling, ia berusaha di muka bumi berbuat
kebinasaan dan merosakkan tanaman dan anak-anak. Dan Allah SWT tiada mengasihi
kebinasaan itu." (Al-Baqarah: 205). Firman Allah SWT: "Dan janganlah
kamu berbuat bencana di muka bumi. Sesungguhnya Allah SWT tiada mengasihi
orang-orang yang berbuat bencana itu.' (Al-Qasas: 77)
47.
Menuduh Orang Beriman Bodoh.
Orang
munafiq mempunyai pendirian yang lemah dan amat sedikit memiliki ilmu
pengetahuan tentang perkara yang bermanfaat dan yang memudaratkan. Justeru
itu,mereka mudah menuduh orang beriman bodoh atau kurang ilmu pengetahuan dalam
menangani urusan kehidupan. Firman Allah SWT: "Apabila dikatakan mereka: 'Berimanlah
kamu sebagaimana manusia beriman', Mereka berkata: 'Apakah kami beriman
sebagaimana orang-orang bodoh yang telah beriman. Ketahuilah sesungguhnya
mereka itulah yang sebenarnya bodoh, tetapi mereka tidak
mengetahui."" (Al-Baqarah: 13). Berdasarkan ayat diatas, jelas
orang-orang yang munafiq adalah golongan yang bodoh kerana mereka hidup
berlandaskan kesesatan dan kejahilan serta tidak dapat membezakan antara
kebenaran dan kebatilan.
48.
Mengubah Dan Menyalahgunakan Ayat-Ayat Allah SWT
Al-Quran
yang diturunkan oleh Allah SWT kepada umat manusia adalah suci, mengandungi
kebenaran yang hak, sentiasa sesuai sepanjang zaman dan terpelihara daripada
sebarang bentuk yang boleh mencemarkan atau merosakkannya. Adapun orang yang
tidak berilmu pengetahuan luas, cuba mengubah dan mentafsirkan kebenaran
Al-Quran mengikut kehendak sendiri atau kerana didorong oleh kepentingan
tertentu, maka mereka adalah termasuk golongan orang-orang munafiq yang
sentiasa hendak menghancurkan umat islam, Al-Quran dan sunnah. Firman Allah SWT:
"Dan berimanlah kamu kepada (Kitab) yang aku turunkan yang membenarkan (kitab)
yang ada serta kamu dan janganlah orang yang mula-mula kafir (ingkar) dengan
dia dan janganlah kamu jual ayat-ayat-Ku dengan wang yang sedikit takutlah
kepada-Ku." (Al-Baqarah: 41). Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa
mentafsirkan Al-Quran dengan pendapatnya sahaja, maka tempatnya dalam
neraka." (HR. At-Tarmizi)
49.
Bersumpah Dengan Selain Nama Allah SWT
Bersumpah
dengan selain nama Allah SWT pada perkara batil dan maksiar adalah dilarang
keras dalam islam. Oleh itu, umat islam hendaklah sentiasa berhati-hati dalam
melaksanakan sesuatu sumpah agar tidak berlawanan dengan prinsip ajaran
Al-Quran dan sunnah serta tidak mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Perbuatan
bersumpah dengan selain nama Allah SWT pada perkara dusta dan sebagainya adalah
amalan orang-orang munafiq mengakui kebenaran sesuatu kedakwaannya. Firman
Allah SWT: "Sesungguhnya orang yang menukar janji Allah SWT dan
sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit. Mereka itu tidak mendapat kebahagiaan
(pahala) di akhirat dan Allah tidak akan berbicara dengan mereka dan tidak akan
melihat mereka pada hari kiamat dan tidak akan mensucikan mereka. Bagi mereka
azab yang pedih." (Ali Imran: 77)
Rasulullah
SAW bersabda: "janganlah sekali-kali kamu bersumpah dengan nama taghut dan
kepada nama-nama ayahmu." (HR. Muslim). Dalam hadith lain Rasulullah SAW
bersabda: "Daripada Ibnu Umar r.a bahawa ia mendengar seorang lelaki
berkata: 'Demi kaabah, lalu dia (Ibnu Umar) berkata: Janganlah kamu bersumpah
dengan selain Allah SWT, sebab saya mendengar Rasulullah SAW berkata: 'Barangsiapa
bersumpah dengan selain nama Allah SWT,maka sungguh dia telah kafir dan
syirik." (HR. At-Tirmizi)
50.
Berasa Gembira Apabila Musibah Menimpa Orang Beriman.
Qrang
munafiq mempunyai prasangka yang buruk terhadap kaum muslimin. Oleh itu,apabila
mereka mendengar kaum muslimin mendapat sesuatu musibah mereka cuba
menyebarluaskan berita dukacita itu kepada masyarakat sambil memperlihatkan
simpati dan kesedihannya. Tetapi pada nasib malang yang dialami oleh kaum
muslimin. Firman Allah SWT: "Jika kamu mendapat kebajikan, nescaya
menyakitkan hati mereka, tetapi jika kamu ditimpa musibah (bala) mereka
berkata: "Sesungguhnya kami telah waspada daripada dahulu, lalu mereka
berpaling dengan sukacita." (At-Taubah: 50). Orang munafiq tidak akan
senang, tetapi jika kamu tetapi jika kamu ditimpa musibah (bala), mereka
berkata: "Sesungguhnya kami telah waspada daripada dahulu, lalu mereka
berpaling dengan Sukacita (bergembira)." Orang munafiq tidak akan senang
apabila umat Islam mencapai kejayaan atau kenikmatan.
Demikianlah
secara ringkas pembahasan tanda-tanda orang munafiq berdasarkan keterangan
Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW .Semoga ianya dapat dijadikan introspeksi
diri setiap muslim dalam menuju wawasan hidup berlandaskan aqidah yang murni
dan diredhai Allah SWT di dunia dan akhirat.
Rujukan’
1.Al-Quran Al-Karim
2.At-Targhib T-Tarhib,Imam Al-Munziri
3.Al-Kabir,Imam Syamsuddin Az-Zahabi
4.Ih ya ulumiddin,IMam Al-Ghazali
5.Jamius Sahih,Imam Bukhari dan Imam Muslim
6.Sahih Muslim,Imam Muslim
7.Tafsir Al-Quran Karim,Prof.Dr.Mahmud Yunus.
No comments:
Post a Comment