DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Wednesday, August 20, 2014

Hutang - Melunaskan dan Menangguhkan

Pernah tak dalam hidup, kita berhutang dengan orang lain? Mesti pernah kan walaupun sekali. Sama ada dalam jumlah yang kecil atau pun yang besar. Pada dasarnya, Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang dengan orang lain. Hal ini adalah kerana, hutang boleh menimbulkan kerisauan di malam hari dan kehinaan di siang hari. Terasa sukar untuk melelapkan mata di malam hari kerana memikirkan beban hutang yang belum langsai. Siang hari pula menanggung malu bila terpaksa berhadapan dengan si pemberi hutang yang tidak pernah jemu meminta hutang.
Hutang wajib di bayar, walaupun kita hanya berhutang 10 sen dengan orang lain. Hutang tetap hutang! Tak kisah lah berapa jumlahnya. Ianya bukan hak kita. Perlu dikembalikan kepada yang berhak. Sehinggakan harta orang yang sudah meninggal dunia pun perlu ditolakkan hutang-piutang mereka terlebih dulu, sebelum diagihkan kepada waris.

Ingatlah bahawa ayat yang paling panjang dalam Al-Quran ialah mengenai hutang: "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (Al-Baqarah: 282)

Ini menunjukkan betapa pentingnya perkara hutang piutang dalam Islam. Betapa seriusnya hal hutang piutang ni. Islam selaku agama yang sempurna telah menyusun beberapa langkah mengenai proses berhutang di mana hutang yang dibuat hendaklah dicatat jumlah dan masa pembayarannya serta dilantik seorang penulis yang adil sebagai saksi. Ia bertujuan untuk mengelak dari sebarang penipuan dan penganiayaan.

Bagi orang yang berhutang, sekiranya dia berniat untuk membayar balik hutang tersebut, Insya Allah akan dipermudahkan urusannya oleh Allah. Sebaliknya, jika berhutang dan berniat tidak mahu membayar, maka Allah Maha Kaya dalam perhitungan-Nya sepertimana dijelaskan dalam sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud: “Sesiapa yang berhutang dengan niat untuk membayar balik, Allah akan membayarkan. Tetapi, jika sesiapa berhutang dengan niat menyeleweng, Allah akan musnahkan harta bendanya." Maksud ‘Allah akan membayarkan’ di sini adalah Allah akan memudahkan rezeki seseorang itu agar dia dapat membayar hutangnya dan begitulah jika sebaliknya.

Bagi orang yang berhutang, cepat-cepatlah membayar hutang apabila berkemampuan. Sebabnya mungkin si pemberi hutang juga berada dalam kesusahan dan memerlukan duit. Sesetengah orang yang berhutang bukannya tidak mampu menjelaskan hutang mereka. Tetapi mereka lebih suka mengambil sikap berlengah-lengah. Sikap ini lah yang sebenarnya menyakitkan hati pihak yang memberi hutang. Kadang-kadang sampai boleh bermasam muka dan menimbulkan perbalahan. Mana taknya, dah banyak kali si pemberi hutang meminta balik hutang, tapi si penghutang buat-buat tak tahu. Sedangkan dia mampu bayar.

Situasi ini bukan sahaja akan semakin mengeruhkan keadaan tetapi akan merosakkan imej si penghutang sekaligus menghilangkan kepercayaan orang terhadapnya. Jadi, agak sukar untuk orang memberikan bantuan di lain hari sekiranya dia memerlukannya. Sebaik-baiknya, janganlah sampai pemberi hutang yang terpaksa menagih kembali hutang daripada kita. Sepatutnya, kita sebagai pihak yang berhutang perlu tahu tanggungjawab kita. Iaitu melunaskan hutang tanpa perlu ditagih.

Bagi pihak pemberi hutang pula, mereka berhak untuk menagih hutang yang diberikan. Jadi, jangan merasa marah apabila si pemiutang datang meminta hutang daripada kita. Sebab itu adalah haknya untuk meminta hutang. "Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Sesorang lelaki memberi hutang kepada Rasulullah SAW lalu ditagihnya secara kasar. Oleh sebab itu para sahabat tidak senang terhadap orang tersebut. Maka bersabda nabi SAW,: “Orang yang memberi hutang berhak menagih. Belikan dia seekor unta muda kemudian berikan kepadanya!”. Berkata para sahabat: “Tidak ada unta muda ya Rasulullah! Yang ada hanya unta dewasa dan lebih bagus daripada untanya.”Sabda baginda:”Belilah, kemudian berikan kepadanya. Sesungguhnya sebaik-baik kamu ialah yang paling baik membayar hutang." (HR Muslim)
Islam menggalakkan si pemberi hutang untuk menghalalkan hutangnya sekiranya si penghutang tidak mampu melunaskan hutangnya. Allah ada berfirman dalam Al-Quran: "Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesulitan, maka berilah tenggang waktu sampai dia memperoleh kelapangan. Dan jika kamu menyedekahkannya, itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui." (Al-Baqarah: 280) Tapi sebagai pihak yang berhutang, kita tidak lah boleh selalu mengharapkan orang untuk menghalalkan hutang-hutang kita. Tidak semua orang akan bermurah hati untuk menghalalkan hutang-hutang mereka. Lebih-lebih lagi jika besar jumlahnya. Jadi, berusahalah sehabis boleh untuk melunaskan hutang-hutangmu.

Sekiranya kita sudah tahu tidak mampu membayar balik hutang, janganlah berhutang dari awalnya. Setiap individu Muslim seharusnya mengamalkan sifat 'qanaah' iaitu bersyukur dan redha dengan apa yang ada serta memastikan bahawa keperluan tidak melebihi kemampuan. Dengan ini, hutang dapat dielakkan. Saidina Umar ada berkata, "Jika meminum seteguk air ketika sangat dahaga itu akan menjatuhkan harga diriku.. nescaya aku tidak akan meminumnya." Jadi, seboleh-bolehnya bebaskan diri kita dari hutang melainkan jika benar-benar terpaksa. Hidup tanpa hutang itu lebih aman dan tenang kan?

“Ya Allah! Aku berlindung kepada Mu daripada kedukaan dan kesusahan, dan berlindung daripada lemah dan malas dan berlindung daripada takut dan bakhil dan berlindung daripada bebanan hutang dan penindasan orang.” InsyaAllah, amalkan doa ini untuk melepaskan diri daripada beban hutang.

Bolehkah kita melalui kehidupan yang sementara ini tanpa berhutang? Adakah manusia di dunia ini yang tidak pernah berhutang? Namun persoalan yang lebih penting ialah adakah kita TELAH MELUNASKAN semua hutang-hutang kita? Hutang kepada ibu, ayah, adik-beradik, rakan taulan, institusi kewangan dan lain-lain pemberi pinjaman lagi...
Kita berada dalam golongan yang mana sebagai penghutang?

Golongan 1.
Orang yang bertanggungjawab terhadap hutang-hutangnya. Tahu yang hak dan yang batil. Beriltizam dan komited untuk melunaskan segala hutang-hutangnya. Sanggup berjimat-cermat, memenuhi keperluan hidup sekadar yang ada dan tidak berlebih-lebihan dalam kehidupan demi untuk melunaskan hutang-hutang yang ada.

Golongan 2.
Orang yang memandang remeh tentang hutang-hutangnya. Sanggup melengah-lengahkan urusan membayar hutang sehingga menjejaskan kehidupan si pemberi hutang. Tidak mementingkan keberkatan dalam menjalankan kehidupan diri, isteri/suami dan anak-anak.

Golongan 3.
Orang yang berhutang tetapi memang tidak berniat untuk membayar atau melunaskan hutang-hutangnya padahal dia mampu untuk melakukannya. Tidak mempedulikan halal haram apa yang dimakan oleh dirinya, suami/isterinya dan anak-anaknya. Suka menganggap “Hangus/Burnt” terhadap hutang-hutangnya terutama hutang-hutang terhadap keluarga terdekat seperti ibu, ayah, adik-beradik dan saudara-mara kerana menganggap “tidak apa, mereka ahli keluarga, lambat laun mereka akan halalkan hutang saya.”

Golongan 4.
Orang yang berhutang tetapi memang tidak mampu untuk melunaskan hutang-hutangnya. Hutang sini sana, gali lubang untuk tutup lubang. Sepanjang hayat hidup dibebani dengan hutang.

Renung-renungkanlah. Alhamdulillah, sekirannya berada dalam golongan 1. Dukacita sekirannya kita termasuk dalam golongan 2, 3 dan 4 kerana kita berada dalam kerugian. Pelbagai raut wajah dipaparkan, senyuman manis diberi sebagai pujukan, muka kasihan ditonjolkan agar orang simpati, janji bayar balik yang berkobar-kobar untuk meyakinkan si peminjam. Tetapi apabila tiba untuk membayar hutang, pelbagai alasan diberi. Bila hutang mula ditagih, pelbagai masalah dijadikan alasan. Banyak tanggungan, pendapatan tidak seberapa, banyak komitmen kepada yang lain, adakalanya sanggup mengalirkan air mata palsu untuk mengelak diri daripada membayar hutang. Dalam pada masa yang sama mampu pula memiliki rumah dan kereta, mampu membeli barangan keperluan seperti peralatan elektrik, perabot dan pakaian yang berjenama. Mampu pergi melancong bersama suami/isteri dan anak-anak dua atau tiga kali setahun. Tetapi dalam soal membayar hutang? Tidak mampu?

Hutang dengan institusi kewangan dibayar tepat pada masanya, kalau tidak tindakan mahkamah akan diambil. Tahu takut kalau tidak membayar hutang. Tetapi, kalau hutang itu kepada ibu, ayah, suami atau isteri, adik-beradik atau sanak-saudara, dilengah-lengahkan atau dilupakan sahaja. Tingginya nilai yang diletakkan kepada institusi kewangan berbanding nilai ibu, ayah, adik-beradik dan sanak-saudara. Nescaya golongan ini tidak akan beroleh keberkatan dalam hidup.
KETAHUILAH TENTANG HUKUM DAN PANDANGAN ISLAM DALAM HAL HUTANG

Kepenting dalam urusan melunaskan hutang boleh kita nilaikan berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW: "Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)" (Riwayat Muslim, 6/38)

Lebih buruk lagi apabila terdapat sesetengah individu yang meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali. Sebagaimana Sabda Nabi Muhammad SAW: “Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" (Riwayat Al-Bukhari, 2/83)

Rasulullah SAW juga kerap mengajar umat islam agar berdoa dilepaskan dari hutang: Ya Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya: Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah? ; Baginda menjawab: "Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari" (Riwayat Al-Bukhari, 1/214)

Terdapat juga dalam sebuah hadith lain: “Ya Allah, aku berlindung dari kekufuran dan hutang, Mendengar itu seseorang bertanya, "Apakah engkau menyamakan kekeufuran dengan hutang wahai Rasulullah ?; "Benar" Jawab Rasulullah" (Riwayat An-Nasaie, 2/316 ; Ahmad, 3/38 ; Al-Hakim berkata Sohih dan disepakati oleh Az-Zahabi; Menurut Albani: Dhoif)

Berlandaskan dalil-dalil di atas jelaslah kepada kita bahawa berhutang adalah amalan yang kurang baik menurut pandangan Islam. Terlebih lagi pentingnya dalam urusan hutang ini ialah keperluan dan kewajiban untuk melunaskan hutang-hutang yang ada. Justeru, kita sewajarnya kita menjauhi hutang semampu yang boleh. Beberapa panduan di bawah perlu difikirkan untuk memastikan tanggungan dan beban hutang kita dapat dikurangkan dan seterusnya dilunaskan.

Seseorang yang berhutang hendaklah berikhtiar dan berusaha membayar hutang yang dipinjamnya kerana hutang itu wajib dibayar. Tindakan menunda atau melewatkan pembayaran hutang dilarang kerana itu satu kezaliman.Rasulullah SAW bersabda: “Penundaan hutang bagi mereka yang mampu adalah satu kezaliman.” (Riwayat Bukhari – 41/585)

Menurut rasulullah SAW, orang yang sengaja melambatkan atau melengah-lengahkan pembayaran hutang dalam keadaan dia boleh melunaskan hutangnya dengan segera adalah melakukan kezaliman. Demikian ditegaskan oleh Rasullullah SAW dalam sabdanya: “Orang kaya yang sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang adalah suatu kezaliman.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.)

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan Al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda: “Sengaja melengah-lengahkan hutang oleh orang yang memiliki harta (untuk membayar hutang) itu boleh menghalalkan kehormatannya dan menghalalkan hukumannya.”

Antara ikhtiar yang disarankan oleh agama Islam untuk umatnya bagi menjauhi amalan berhutang termasuklah berdoa. Kenapa kita selalu diminta berdoa? Jawapannya ialah kerana kita hanyalah hamba-Nya yang lemah dan sentiasa mengharapkan bantuan daripada ALLAH SWT. Doa adalah senjata kita. Segala yang berlaku di dunia ini adalah atas kehendak Allah. Kita hanya mampu berusaha dan berikhtiar bersunguh-sungguh . Setelah berusaha dan berikhtiar barulah kita disarankan untuk berdoa dan berserah kepada Allah jua.
Doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW ini khusus supaya kita dilindungi daripada keadaan duka dan keluh kesah, dijauhi sifat malas, takut dan bakhil, jauh daripada beban hutang dan juga penindasan orang. Mulakanlah usaha anda untuk melangsaikan hutang-hutang anda dengan mengamalkan doa yang dipaparkan di awal tulisan ini. InsyaAllah, bila kita istiqomah, Allah SWT akan membantu kita meringankan beban hutang kita. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Penyayang. Wallahu’alam.

Thursday, August 7, 2014

Nasihat dan Peringatan - Etika Dari Memberi Kepada Yang Menerima

Memberi nasihat atau peringatan adalah satu konsep Al-Quran yang terdapat sekurang-kurangnya 13 kali di tempat yang berbeza di dalam Al-Quran, terutamanya apabila rujukan dibuat pada tujuan mengutuskan nabi dan fungsi nabi-nabi. Nabi Nuh, Salih, Hud, Shu'aib, dan lain-lain alaihimus salaam, semuanya memaklumkan kepada kaum mereka bahawa sifat misi mereka adalah untuk memberi amaran sepertimana seorang penasihat yang ikhlas.
Nabi Hud berkata kepada kaumnya, seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran; "(Tugasku) menyampaikan kepada kamu akan perintah-perintah (yang diutuskan oleh) Tuhanku, dan aku adalah pemberi nasihat yang amanah, bagi kamu." [Surah Al-A'raaf : ayat 68]

Selain itu, memberi nasihat boleh menjadi alat penting dalam maklum balas yang tulen dan setia. Kita lakukan tindakan kita tanpa keupayaan untuk melihat amalan kita secara objektif seperti yang kita nasihatkan, dan dengan itu Nabi Muhammad SAW mengingatkan kita; "Seorang mukmin adalah cermin saudaranya mukmin yang lain." [HR Abu Daud]

Memberi nasihat yang baik adalah hadiah yang besar. Namun, kita kadang-kadang menghadapi masalah kerana cara kita melakukannya. Tidak semua orang dilahirkan dengan keupayaan untuk memberi nasihat dengan bijaksana atau menawarkan kritikan membina dengan berkesan. Kebanyakan orang lupa bahawa "point" memberi nasihat adalah untuk membantu orang lain berjaya dan tidak merendahkan atau memperkecilkan nilai atau kebolehan mereka.

Lagipun, memutuskan untuk memberi nasihat secara tidak wajar, terutamanya kepada ahli keluarga yang rapat, boleh menjejaskan hubungan. Keupayaan untuk memberi nasihat dengan cara yang positif dan memberi manfaat adalah satu seni. Jika kita sedang mempertimbangkan memberikan nasihat, adalah berguna untuk mempertimbangkan tips berikut:

1. Periksa Motif Kita
Periksa sifat hubungan kita dengan orang yang kepadanya kita sedang mempertimbangkan untuk memberi nasihat. Tanya diri kita sama ada nasihat yang kita cuba untuk berikan benar-benar akan membantu orang lain. Juga, pastikan kita memberi nasihat demi Allah, dan bukannya demi glamor peribadi kita.

2. Jadilah Sensitif Tentang Bagaimana untuk memulakan pembicaraan tentang suatu Subjek
Berhati-hati tentang bila dan di mana kita boleh bawa isu-isu dan pastikan bahawa kita mempunyai masa dan privasi yang mencukupi.

3. Elakkan Memberi Nasihat dalam Bentuk Celaan
Menurut Imam Al-Ghazali, perbezaan utama antara memberi nasihat dan mencela ialah memberi nasihat adalah secara rahsia dan sopan, sedangkan celaan adalah terbuka dan kurang bijaksana. Dikatakan bahawa Imam Asy-Shafi`I memerhatikan bahawa apabila seorang lelaki membetulkan saudaranya secara rahsia, dia sebenarnya memberikan nasihat, tetapi jika dia membetulkan saudaranya secara terbuka, dia sebenarnya mencemuh dan memperkecilkan beliau. Al-Fudhayl ibn `Iyad berkata, "Mukmin menutupi dan menasihati [rakan-rakan beriman beliau], sedangkan penjahat mendedahkan dan menghina [yang lain]." Imam Ibn Rejab al-Hanbali mengulas kata-kata Al-Fudhayl ini berkata, "Adalah dianggap nasihat jika ia dilakukan secara tertutup manakala penghinaan jika ia disiarkan." Beliau menambah, "[Bagi] orang yang menasihati saudaranya secara peribadi, ia adalah nasihat. [Berkenaan] orang yang menyerunya di hadapan orang ramai, ia adalah semata-mata memarahi!"
 4. Pastikan Privasi
Memberi nasihat dalam Islam tidak harus terlibat dengan mendedahkan atau meneroka privasi dan kelemahan peribadi orang. Diriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda, "....... sesiapa yang mencari kekurangan orang, Allah akan mencari (kekurangan) mereka.." [HR At-Tirmidzi]

5. Minta Kebenaran
Nasihat yang tidak diminta adalah punca utama kesedihan di kalangan rakan-rakan dan ahli keluarga. Oleh itu,dengan bertanya sama ada nasihat kita dikehendaki atau tidak, menunjukkan kita menghormati orang lain dan mencegah kebencian. Adakala boleh menimbulkan ketegangan akibat salah faham

6. Mendengar Terlebih Dahulu
Sementara peraturan ini terpakai kepada semua komunikasi yang baik, ia menjadi penting apabila kita ingin memberi nasihat. Isu-isu selalunya lebih kompleks daripada apa yang dapat dilihat. Dengan mendengar dahulu, kita membuka ruang bagi jurucakap untuk menerangkan dengan lebih terperinci keadaan dan untuk kita lebih memahami sepenuhnya. Apakah 'point' memberi nasihat jika maklumat hanya dapat separuh? Di samping itu, apabila kita mendengar terlebih dahulu, ia menjadikan lebih kemungkinan orang lain akan mendengar apa yang akan kita katakan. Seseorang itu perlukan perhubungan dahulu sebelum dibetulkan. Mendengar dengan empati itulah yang mewujudkan perhubungan yang baik.

7. Pertimbangkan Kerangka Fikiran Orang Lain
Ketika pergolakan emosi adalah tidak kondusif untuk memberikan nasihat. Sentiasa biarkan keadaan menjadi positif dahulu. Ini akan membuat orang lain santai dan mengalu-alukan nasihat kita.
8. Tawarkan Nasihat Tanpa Berkeras
Tawarkan pandangan, pengalaman, dan idea kita seolah-olah ianya salah satu sudut pandangan, dan mempercayai kebijaksanaan dalaman pendengar untuk memutuskan apa yang tepat baginya. Dengan tidak berkeras, kita meningkatkan peluang untuk kata-kata kita dipertimbangkan.

9. Elakkan Membuat Penghakiman
Elakkan daripada menghakimi; tidak menyerang watak pihak yang lain. Satu nasihat yang dilihat sebagai keras atau menghakimi mungkin menyinggung perasaan orang yang mendengarnya. Tugas kita adalah memberi pandangan bukan memutuskan

10. Elakkan Mengancam
Jangan membuat ancaman atau menakutkan seseorang dengan mengubah nasihat atau kritikan kepada paksaan tersembunyi. Memperlihatkan apa-apa kuasa (atau kelebihan) tidak mungkin untuk menghasilkan keputusan yang positif.

11. Jadilah Khusus dan Ringkas
Jika kita telah diminta nasihat kita mengenai masalah tertentu, fokus kepada isu yang kita sedang ditanya dan jangan membuat komen mengenai bidang lain kehidupan orang itu. Juga, cuba untuk membuat nasihat kita pendek dan terus kepada maksud.

12. Elakkan Dari Memaksa Orang lain untuk Ikut Nasihat Kita
Wajib atas penasihat untuk memberi nasihat ikhlas kepada orang lain, tetapi adalah tidak benar untuk memaksa orang lain untuk mengikut nasihatnya. Ibn Hazm pernah berkata, "Kita tidak seharusnya memberi nasihat dengan syarat ia mesti diterima. Jika seseorang melampaui ini, dia akan menindas (orang lain), bukannya memberi nasihat, sekali gus mencari ketaatan dan mengawal."
13. Beri Nasihat sebagaimana Akta Ibadat, Bukan sebagai Tabiat
Bagi sesetengah orang, memberi nasihat bertukar menjadi corak hidup biasa. Kadang-kadang seseorang memberi nasihat kepada orang lain untuk mengelakkan berurusan dengan masalah sendiri. Satu peraturan penting Sufi menyatakan, "Dia yang leka dengan memberitahu orang lain untuk menjadi baik mungkin mendapati tidak ada masa untuk menjadi baik."

14. Merendah Diri
Salah satu cara untuk melakukan ini adalah untuk menjelaskan bahawa kita juga bersedia untuk meminta dan menerima nasihat untuk diri sendiri. Jika kita mampu untuk membuktikan fakta ini untuk orang yang kita beri nasihat, maka orang itu secara automatik akan merasa bahawa kita berada di tahap yang sama dan akan menerima daripada kita apa yang kita perlu katakan.

15. Amalkan Apa yang Kita Ajarkan
Khalifah `Umar ibn` Abdul `Aziz berkata," Orang yang memberi nasihat kepada saudaranya dalam hal-hal iman dan prihatin pada dirinya dengan membaiki urusan hidupnya sendiri telah memberikan hadiah yang sangat baik dan memenuhi kewajipan yang dikenakan kepadanya." Firman Allah SWT maksudnya; "Amat besar kebenciannya di sisi Allah sekiranya kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukannya." [Surah As-Shaaff : ayat 3]

16. Pertimbangkan Kesalah-fahaman
Menyedari hakikat bahawa nasihat tidak selalu diterima dengan baik. Memberi nasihat memerlukan banyak kesabaran dan ketaatan. Sekiranya orang yang kita beri nasihat menyerang kita secara lisan atau fizikal , kita tidak harus membalas balik dengan kemudaratan.

17. Jadilah Baik dan Lembut
Imam Muslim meriwayatkan daripada Aisyah r.a bahawa Nabi SAW bersabda; "Sesungguhnya kasih sayang itu tidak akan berada pada sesuatu melainkan ia akan menghiasinya (dengan kebaikan), sebaliknya, jika kasih sayang itu dicabut dari sesuatu, melainkan ia akan membuatnya menjadi buruk." Oleh itu, seseorang sepatutnya peramah sambil memberi nasihat. Kaedah tersebut yang dipersetujui antara semua agama dan budaya. Samuel Taylor Coleridge, seorang penyair Inggeris yang terkenal, berkata, "Nasihat adalah seperti salji; lebih lembut ia jatuh, lebih lama ia tinggal di atas, dan lebih mendalam ia tenggelam ke dalam minda."

Akhir sekali, adalah penting untuk menyatakan bahawa memberi nasihat adalah sifat penting dalam watak seorang Muslim. Imam An-Nawawi meriwayatkan dalam kitabnya yang terkenal Riyadhus Shalihin bahawa Jarir ibn `Abdullah berkata, "Saya datang kepada Nabi dan berikrar, "Saya berjanji taat setia saya kepada kita di dalam Islam." Nabi bersabda, "Dengan syarat bahawa kita berdoa, bersedekah, dan memberikan nasihat." Jarir berkata, "Saya berikrar dengan sumpah kesetiaan."

Mengajar bukan kurang ajar
Mendidik bukan mengherdik
Membantu bukan meluku
Memberi arah bukan mengarah
Menasihat bukan muslihat

Dalam mencari kebaikan, berilah kebaikan kerana hasilnya nanti juga baik.. Insyaallah

Sunday, August 3, 2014

Jangan Tutup Pintu Hati Bila Hidayah Datang

Pada diri manusia terdapat tiga kekuatan yang dibekalkan Allah untuk menghadapi kerasnya ujian di dunia. Selain akal fikiran yang cerdas, tubuh badan yang sihat dan hati yang berfungsi sebagai pengeluar bermacam-macam perasaan, ada benci, rindu, kasih sayang, dendam, sedih, gembira yang kesemuanya mengawal gerak tubuh manusia.
Kecerdasan akal tidak akan sempurna tanpa hati yang cerdas. Berapa banyak orang cerdik pandai jadi sampah masyarakat kerana ilmu yang dimiliki dikawal oleh hati yang rosak sehingga dengan ilmunya ia banyak memudaratkan orang. Demikian juga kekuatan tubuh badan tidak akan sempurna kecuali dengan hati yang kuat. Jika hati sihat nescaya tidak ada fenomena penganggur yang berbadan sihat. Betapa berpengaruhnya hati pada diri manusia.

Untuk dapat memiliki kecerdasan dan kekuatan hati yang sentiasa menyala hendaklah dipastikan agar pintunya selalu terbuka untuk mendapat hidayah Allah. Ada empat hidayah Allah yang dicurah pada tasik hati manusia. Jika mereka menutup pintunya maka hidayah itu tidak dapat meresapi dasar hati.

Pertama,
Buka pintu hati ketika ilmu Allah datang. Kesedaran menuntut ilmu di kalangan kaum muslimin hari ini semakin meningkat. Majlis-majlis ilmu yang dibuka semakin ramai peminatnya. Demikian halnya dengan program-program dakwah di televisyen dan radio cukup mewarnai nuansa keilmuan umat Islam. Tetapi adakah kepelbagaian cara dan konsep yang diajarkan itu berkesan pada peribadi individu muslim yang belajar? Jawapannya ialah bergantung pada keikhlasan yang bersumber dari hati ia akan menyerap ilmu menjadi kuasa hebat yang merubah peribadi sesorang. Jangan tutup pintu hati ketika ilmu datang, terimalah kebenaran itu dengan sikap ketaatan mutlak kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Amalkanlah apa yang kita pelajari kerana ilmu Allah itu bukan untuk makanan otak sahaja tetapi ia lebih diperlukan oleh hati orang beriman, kerana tanpanya hati akan mati. Jangan beralasan bahawa belum masanya kita berubah, kenapa biarkan hati terhijab oleh nafsu dan kepentingan diri? Allah SWT berfirman: " Tidaklah patut orang yang beriman apabila datang ketentuan Allah dan Rasul-Nya mereka mengambil hukum yang lain daripada itu....”
Kedua,
Buka pintu hati ketika sahabat yang soleh dan solehah ingin berkenalan. Jangan memisahkan diri dengan orang yang mengingatkan kita kepada Allah. Terimalah nasihat orang-orang yang salih dengan hati terbuka. Firman Allah SWT: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama orang yang mengajak ke jalan Tuhanmu di pagi dan petang hari kerana mengharapkan keredhaan Tuhannya. Dan janganlah pandanganmu berpaling dari mereka kerana inginkan perhiasan dunia. Dan janganlah kamu taat kepada mereka yang telah kami palingkan hatinya dari mengingati Allah dan mengikuti hawa nafsu mereka. Dan sesungguhnya keadaan mereka itu amatlah melampaui batas.” (Al-Kahfi: 28)

Ada beberapa sifat yang dimiliki oleh seorang sahabat yang baik.
Pertama, beriman dan sentiasa mahu kita mempertingkatkan iman.
Kedua, rajin bekerja dan beramal soleh, suka membantu kita dalam berbuat baik.
Ketiga, amat berminat kepada ilmu agama.
Keempat bersifat jujur dan ikhlas dalam bersahabat.

Jika kita memiliki sahabat yang berciri-ciri seperti ini maka bukalah pintu hati untuk mengambil manfaat daripadanya, kerana sahabat kita itu akan mencorakkan hati, perasaan dan pemikiran kita menjadi lebih baik daripada sebelum kita berkenalan dengannya.
Ketiga,
Buka pintu Hati ketika gerak taubat semakin kuat, jangan ditunda lagi. Ilmu yang merupakan hidayah dari Allah dan sahabat yang menguatkan iman kita rupanya belumlah cukup untuk memperbaiki diri kita selagimana dorongan hasrat tidak benar-benar kuat. Orang yang menunda taubat biasanya berfikir masih ada modal untuknya menyelamatkan diri iaitu masa. Tunggu sampai anak besar baru hendak solat, tunggu sampai kaya baru hendak sedekah, tunggu masa lapang baru hendak belajar agama, tunggu rambut telah gugur nanti baru bertudung, tunggu masa tua baru bertaubat. Akhirnya tragedi anak Nabi Nuh berulang lagi, peluang taubat di hadapan mata tetapi kerana masih berasa ada modal menyelamatkan diri ke gunung yang tertinggi ia menjadi buta hati. Begitu juga dengan nasib si penunda taubat lama kelamaan hatinya menjadi buta disebabkan terlalu banyak berdosa. Maka terhijablah antara dirinya dengan hidayah Allah. Sepertimana firman Allah menegaskan: ”Mereka itu sama sahaja kamu beri peringatan atau kamu tidak beri peringatan mereka tetap tidak mahu beriman.” (Yasin )

Demikianlah tiga usaha memperoleh hidayah Allah iaitu dengan ilmu, sahabat yang soleh dan cepat bertaubat. Semua itu bermula dari hati. Dengarlah bisikannya kerana kata hati itu adalah kebenaran. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: ”Dosa itu ialah perasaan ragu-ragu dalam hatimu dan engkau tidak suka orang lain mengetahuinya.”


Hati yang cerdas dan kuat adalah hati yang memiliki sensitiviti yang tinggi dengan dosa dan maksiat. Perasaan bersalah dan kemurungan akan berlaku apabila berbuat dosa. Sedih bila terlepas solat subuh, murung apabila tidak sempat membaca al-Quran. Risau apabila terlepas lidah mengumpat kawan, takut dengan dosa hari ini dan pilu dengan amal yang sedikit. Begitulah kata hati yang sihat dan selamat sesuai dengan firman Allah SWT: “Pada hari itu (hari kiamat) sudah tidak berguna lagi harta benda dan anak-pinak kecuali siapa yang datang menghadap Allah dengan hati yang sihat (bersih).” (Al-Syuara: 88-89) - JH