DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Saturday, October 24, 2015

Memahami Istidraj

Apakah istidraj itu? Patutkah atau tidak kita jauhi istidraj? Istidraj Ianya adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan istidraj. Inilah yang akan saya ulas dalam risalah ini. Tajuk ini adalah amat penting, terutama kepada anak-anak dan generasi muda kita agar tidak terkeliru dengan risalah ini. Pemikiran kebanyakan umat Islam di zaman moden ini nampaknya jelas kelihatan kian jauh menyimpang dari pemikiran seseorang Islam di zaman silam. Pemikiran manusia di zaman serba maju ini telah dihanyutkan oleh arus keadaan dan diselaputi oleh kebendaan. Itulah sebabnya kita lihat masyarakat pada hari ini berbeza dengan masyarakat dahulu. Bagaimana masyarakat pada hari ini? Mereka telah terpengaruh dengan apa yang ada dengan suasana sekelilingnya. Mereka tidak memandang jauh sepertimana orang-orang dahulu. Padahal orang dahulu tidak belajar tinggi sehingga ke universiti. Kita sekarang cerdik, ada ijazah, ada PhD dan macam-macam, tapi bodoh. Manusia tersebut telah tertipu dengan kekuasaan, pangkat, kebesaran dan kekayaan yang diperolehi. Lantas mereka tidak faham lagi dengan nikmat Allah. Jika dia berkuasa, dia gunakan kekuasaannya untuk menindas orang-orang bawahannya kerana dia tidak tahu menggunakan nikmat kekuasaan yang ada padanya. Dia tidak faham tentang nikmat dan rahmat Allah SWT
Kuasa Dan Kekayaan Untuk Maksiat
Kalau dia ada kebesaran, dia menzalimi orang dibawahnya. Kekayaan yang ada padanya digunakan bukan untuk kebaikan dirinya dan orang lain, tetapi untuk berbuat maksiat kepada Allah SWT Manusia golongan ini telah terkeliru dengan fahaman mereka sendiri. Mereka tidak faham dan tidak dapat membezakan nikmat pemberian Allah kepada hambaNya yang setia dengan hambaNya yang derhaka. Saya pernah ditanya oleh seorang mahasiswa, “Ustaz, betulkah atau tidak, saya dengar ustaz bersyarah, ulama’-ulama’ kalau bersyarah menyatakan bahawa barangsiapa yang mahu mendapatkan kebahagian di dunia dan di akhirat hendaklah mengikut jejak langkah Rasulullah SAW dan berpegang teguh kepada agama Islam. Betulkah ustaz?” Saya jawab, “Betul.” “Minta maaf ustaz, saya tidak percaya, sebab apa yang saya lihat realitinya tidak begitu. Orang-orang yang mengikut jejak langkah Rasulullah inilah yang teruk.”

Dia kemudian menyebutkan beberapa contoh, “Mak dan ayah saya, bukan sahaja solat sehari semalam lima waktu, tapi tengah malam pun bangun solat tahajjud. Rumah kami roboh juga. Puasa bukan sahaja puasa Ramadhan, Isnin mereka puasa, Khamis pun mereka berpuasa. Tapi kami makan sebulan sekali daging pun susah. Ayah saya, orang belum azan sudah pergi ke masjid. Begitu azab mak dan ayah saya yang berpegang teguh kepada agama.” “Tapi, bapa saudara saya (adik mak saya), tak pernah solat seumur hidupnya. Rumahnya rumah batu. Puasa pun tidak pernah. Kalau kita tanya, pakcik tak ingat mati? Bukan saya seorang sahaja yang mati, katanya. Kalau masuk neraka pun ramai juga orang lain yang masuk. Dia hidup kaya, hidup mewah, kita yang solat ni, hidup susah.”

Sebenarnya, hendaklah kamu tahu tentang nikmat-nikmat Allah yang telah dikurniakan kepada makhluk-makhlukNya. Pemberian nikmat Allah kepada hambaNya yang setia (yang dikasihiNya) ialah pemberian yang diredhaiNya, tetapi pemberian nikmat Allah kepada manusia yang melakukan maksiat dan kejahatan adalah pemberian yang tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan ISTIDRAJ. Pemberian yang redha ini seperti pemberian ayah kepada anaknya. Ketika si ayah hendak solat, tiba-tiba lalu si penjual aiskrim. Si anak merengek minta dibelikan. Si ayah pun membelikannya kerana tidak mahu anaknya mengacau dia solat. Dengan senyum mesra diberikannya aiskrim itu dengan layanan yang baik. “Makan baik baik nak, jangan bising-bising, ayah nak solat.” Kemudian, baru saja nak solat, si anak menjerit-jerit minta tambah aiskrim lagi. Si ayah naik darah. Dengan perasaan marah, dibelikan juga aiskrim tersebut kerana takut solatnya tidak khusyuk. Tetapi pemberiannya pada kali ini tidak disertai dengan kemesraan. Pemberian inilah yang dikatakan sebagai pemberian yang tidak redha. Begitu juga Allah SWT dengan kita. Kadang-kadang manusia mendapat nikmat yang diredhai Allah dan kadang-kadang tidak. Rasulullah SAW bersabda, “Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberi nikmat kepada hambaNya yang selalu membuat maksiat (derhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diIstidrajkan oleh Allah SWT” (Riwayat At-Tibrani, Ahmad dan Baihaqi)
Akan tetapi manusia derhaka yang terkeliru dengan pemikirannya berpendapat bahawa dengan nikmat yang datang mencurah daripada Allah SWT kepadanya itu walaupun dia sentiasa melakukan maksiat, dia menyangka itu adalah bukti yang menunjukkan bahawa Allah kasih dan berserta dengan perbuatan maksiat mereka.

Manusia Istidraj? Manusia Yang Lupa Daratan
Walaupun dia membuat maksiat, tapi dia merasakan Allah menyayanginya. Manusia seperti ini kadang-kadang memandang hina kepada orang-orang yang suka beramal dan ke masjid. Apatah lagi orang yang selalu ke masjid itu hanya berselipar jepun atau berterompah kayu, sedangkan dia naik kereta jenis mewah. “Alah, siang malam ke masjid, ke surau, tapi basikal buruk pun tak ada. Tengok aku. Aku nak ke kelab malam dengan kereta mewah. Walaupun aku tidak pernah solat, tapi Allah sayangkan aku. Kalau kau sikit ibadat, tentu kau juga akan kaya macam aku.” Katanya sombong. Inilah jenis manusia yang tidak sedar akan dirinya sendiri. Dia melakukan maksiat pagi petang, siang malam, dia sangka Allah sayangkannya.

Maka mereka yang berpendapat sedemikian, baik mereka yang mengaku muslim, lebih-lebih lagi orang yang sudah nyata kafirnya, berterusanlah mereka menggunakan nikmat pemberian Allah yang berupa harta kekayaan, kebesaran, pangkat dan kuasa mereka untuk melakukan penindasan dan kezaliman serta maksiat (derhaka) kepada Allah yang berpanjangan. Sesungguhnya mereka tidak faham dan tidak sedar sama sekali bahawa pemberian nikmat itu adalah istidraj daripada Allah. Dengan pemberian nikmat yang tidak diredhaiNya itu mereka akan lalai dari mengingati Allah. Akhirnya mereka akan menemui kehancuran dan kemusnahan. Kadang-kadang Allah SWT memberikan manusia nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya. Rasulullah SAW bersabda, “Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semut itu dengan dua sayapnya.” (Daripada kitab Nasa’ibul ‘Ibad) Anai-anai misalnya, kalau tidak ada sayap selamatlah dirinya. Dia akan duduk diam di bawah daun atau merayap di celah-celah batu. Jika Allah hendak membinasakannya, Allah beri ia sayap. Anai-anai kalau sudah bersayap namanya akan berubah menjadi kelkatu. Otaknya menjadi otak kelkatu. Kelkatu, bila dapat nikmat dia cuba nak lawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, dia cuba hendak melawan Allah. 

Pemimpin-pemimpin Yang Dilaknati Allah
Buktinya telah banyak kita lihat dan kita dengar. Berapa banyak pemimpin-peminpin yang dahulunya gagah dan sombong telah dilaknati Allah. Tidak kurang juga jumlahnya kerajaan yang besar lagi utuh telah pun hancur dan musnah. Firaun yang gagah mengaku Tuhan, Namrud yang sombong membakar Nabi Allah Ibrahim, Qarun yang kaya, dan banyak lagi, semuanya telah musnah akibat kesombongan dan keangkuhan mereka! Nikmat Allah yang diberikan kepada Firaun tidak terkira banyaknya. Bersin pun tidak pernah. Jangan kita ingat kita sihat Allah sayang kita. Firaun lagi sihat, tetapi dengan nikmat kesihatan itulah Allah binasakannya. Orang lain selalu sakit, tetapi Firaun tidak. Orang lain mati, sedangkan dia belum juga mati-mati hingga dia merasa besar diri, sombong dan takbur. Akhirnya dia mengaku dirinya Tuhan. Namrud begitu sombong dengan Allah hingga membakar Nabi Ibrahim. Berapa besar pangkat Namrud? Bagaimana dia menemui ajalnya? Kematiannya hanya disebabkan oleh seekor nyamuk yang masuk ke lubang telinganya!

Tidak ada seorang pun manusia pada hari ini yang sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya saja 40 ekor unta membawanya. Akhirnya Allah tenggelamkan hartanya dengan dirinya sekaligus. Hingga kini harta itu tidak timbul-timbul. Harta Qarun itulah yang kita cari-cari sehingga lupa solat! Kalau kita kaya, kita sangka Allah sayang. Qarun lagi kaya, akhirnya Allah jahanamkan harta kekayaannya dengan dirinya sekali. Di mana dan bagaimanakah keadaan mereka itu sekarang? Tanyalah pada tanah! Tanah yang mereka pijak semasa mereka diistidrajkan oleh Allah yang akan memberikan jawapan. Kita baru naik kereta sudah sombong. Rasulullah SAW naik ke langit pun tidak sombong. Kita kalau berjumpa dengan orang besar sikit sudah sombong dan merasa bangga. Kalau menteri senyum kepadanya dia merasa bangga. Rasulullah SAW berjumpa dengan Allah SWT di langit, tetapi baginda tidak pun sombong. Kejadian seperti ini akan terus berlaku sepanjang zaman. Allah SWT berfirman, “Sunnah Allah tidak pernah berubah atau bertukar.” Apabila kita tinjau semua ini, akan hilanglah segala persoalan yang tidak terjawab dan yang menjadi keraguan selama ini yang sentiasa mengganggu fikiran kita. Mengapa orang-orang kafir kaya raya? Mengapa orang-orang yang sentiasa membuat maksiat hidup mewah? Tidakkah kita hairan mengapa orang-orang yang selalu ke masjid hanya berbasikal buruk? Yang ke kelab malam naik kereta mewah?

Cara Untuk Menentukan Nikmat Yang Diredhai Allah
Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu. Adakah pemberian itu diredhai Allah atau tidak? Caranya ialah hendaklah dia sentiasa mengkaji dengan teliti nikmat yang diterimanya itu dan bagaimana serta ke mana digunakannya? Seseorang yang menerima segala nikmat itu akan terus mensyukuri Allah. Dia akan menggunakan pemberian itu ke jalan kebaikan dan selain dari itu, dia sentiasa redha mengabdikan dirinya kepada Allah. Maka dengan limpah kurnia yang diperolehinya itu adalah pemberian yang diredhai Allah. 

Pemberian yang diredhai Allah akan membuatkan seseorang itu ikhlas apabila bersedekah. Apabila dia melihat orang membawa list derma, dia lantas memanggil orang tersebut walaupun dia hanya ada wang 50 sen ketika itu. “Ini sedekah saya. Maaflah, hanya 50 sen”, katanya. Akan tetapi pemberian yang tidak diredhai Allah akan membuatkan orang yang menerimanya enggan bersedekah atau berbuat kebajikan dengan ikhlas. Dia ada wang RM500 dalam sakunya. Ketika orang minta derma dia menyatakan dia tiada wang. Maknanya wang yang ada dalam sakunya adalah wang istidraj. Pada ketika setelah itu, lalu seorang gadis cantik yang menjual tiket “pertunjukan amal”. Belum pun sempat gadis itu menawarkannya, dia pula yang memanggilnya terlebih dahulu. Dia pun membeli tiket untuk pertunjukan amal itu.

Pertunjukan amal? Ini juga satu kekeliruan bagi kita. Kita sering tertipu dengan label “amal” ini. Kadang-kadang pada waktu Maghrib, lalu sebuah van yang riuh rendah dengan muzik dan memberi pengumuman. “Tuan-tuan, silalah datang ke taman hiburan, kita akan mengadakan pertunjukan amal.” Ada ibu bapa yang terpengaruh lalu pergi dengan membawa keluarga. Pasal pertunjukan amal, dia ingat dapat pahala. Inilah cakap-cakap yang mesti kita jaga. Begitu juga dengan orang yang bersyarah. Kita mesti tengok betul gerak-geri orang yang bersyarah tersebut. Ke mana pensyarah tersebut hendak membawa kita. Sebab kadang-kadang banyak kekeliruan dalam syarahan-syarahan. Ada pensyarah yang berkata, “Kita sekarang hendaklah sesuaikan Islam dengan zaman.” Nampak jelas di sini otak kita hendak dikelirukannya. Hendaklah kita sedar, Islam itu tidak boleh disesuaikan dengan zaman, tetapi zaman itulah yang mesti disesuaikan dengan Islam. Kalaulah Islam hendak disesuaikan dengan zaman, maka zaman orang bertelanjang, Islam sesuai dengan orang yang bertelanjang, zaman orang merompak, Islam mesti sesuai dengan perompak. Tidak boleh Islam disesuaikan dengan zaman. Islam tidak boleh tunduk kepada zaman, tetapi zaman itulah yang mesti tunduk dengan Islam. 

Tidak beberapa lama dahulu, saya berjumpa dengan seorang ulama’. Ditanya tentang loteri, dia kata haram. Habis, bagaimana kalau kita hendak membantu orang, macam loteri kebajikan? “Halal.” Katanya. Loteri haram, dibalut dengan label kebajikan jadi halal. Inilah kata-kata yang mengelirukan kita. Kiranya di samping seseorang yang menerima segala nikmat Allah, maka bertambah pula maksiat dan derhakanya kepada Allah, maka jelaslah segala kemudahan dan kemewahan yang diperolehinya itu adalah istidraj, iaitu pemberian nikmat yang tidak diredhai Allah SWT Namun, jangan pula apabila ada orang kaya datang ke masjid dengan kereta besar kita katakan istidraj. Orang naik pangkat istidraj atau orang-orang besar istidraj. Jangan! Orang-orang yang menggunakan nikmatnya untuk kebajikan, untuk mengabdikan dirinya kepada Allah, itu bukan istidraj namanya. Bukan bermakna kita tidak boleh kaya. Kaya tidak salah di sisi Islam, tetapi masuk ke syurga agak lambat sedikit. Ibarat orang dari Singapura hendak masuk ke Johor. Orang yang membawa barang yang banyak akan diperiksa oleh kastam. Makin banyak barangnya, makin lama pemeriksaan, makin lambat dia masuk ke Johor. Orang yang tidak membawa barang akan lepas dengan mudah memasuki Johor.

Inilah yang sangat-sangat kita takuti dalam hidup ini dan kehidupan kita di dunia ini. Sebab itulah umat Islam di zaman Rasulullah SAW sentiasa merintih di hati sanubari sambil berkata, “RedhaMu yang selalu kami rindukan dan marahMu yang sangat kami takuti Tuhan. Lebih baik kami hidup miskin asal dalam redhaMu, kami tak ingin kepada kekayaan di dalam marahMu.” Inilah sajak yang penuh makna. Apakah maknanya? Hidup kita di dunia mesti ada target, mesti ada pedoman. Jangan hidup kita seperti kiambang di tengah kolam, ditiup angin ke tepi ia ke tepi, ditiup ke tengah ia ke tengah. Tidak ada pegangan langsung. Kita kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada target atau matlamat atau tujuan. Tujuan hidup kita di dunia ialah mencari keredhaan Allah SWT, baru kita selamat. Bukan kaya yang kita cari dan bukan juga miskin yang kita cari!


Kalau target kita hanya untuk kaya, akan jahanamlah diri kita. Jika ada kesempatan untuk kaya, kita lihat dulu. Kalau ada keredhaan Allah, barulah kita ambil. Kalau tidak, lebih baik kita miskin. Bukan tujuan kita untuk menjadi miskin, tetapi hendak mencari keredhaan Allah. Kalau hidup miskin ada keredhaan Allah, maka kita pilih miskin. Kalau mahu menjadi kaya dengan keredhaan Allah, katakan aku tidak mahu kekayaan tanpa keredhaanMu. Bila hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, nescaya selamatlah kita di dunia dan di akhirat. Wallahua’lam.

Perkongsian dari Huzaifah Al-Selangori

Monday, October 12, 2015

Siapakah orang Yang Fasiq?

Orang fasik ialah mereka yang berbuat dosa-dosa besar seperti tidak solat, minum arak atau berjudi walau pun sekali. Orang fasik kekal melakukan dosa-dosa kecil seperti memakai emas bagi lelaki. Orang fasik adalah seorang muslim yang secara sedar melanggar ajaran Allah (Islam) atau dengan kata lain orang tersebut percaya akan adanya Allah, percaya akan kebenaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW tetapi dalam tindak perbuatannya mereka mengingkari terhadap Allah SWT dan hukumNya, selalu berbuat kerosakan dan kemaksiatan. Firman Allah SWT: “Orang fasik adalah orang yang melanggar perjanjian itu teguh, dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya dan membuat kerosakan dimuka bumi. Mereka itulah orang yang rugi” (Surah Al Baqarah ayat 27)
Allah SWT memberi peringatan kepada orang Islam agar jangan sekali-kali bertindak seperti orang yang lupa diri di mana Allah SWT menyifatkan mereka sebagai orang fasik iaitu orang yang suka berbuat dosa dan kejahatan serta derhaka kepada Allah SWT. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman dalam surah al-Hasyr, ayat 19: “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang yang fasik lagi derhaka.” Dengan lain perkataan, istilah fasik ditujukan kepada mereka yang banyak melakukan dosa, baik dosanya kepada Tuhannya atau dosanya kepada sesama manusia.

Firman Allah SWT: “Dalam al-Quran terdapat celaan yang amat keras terhadap mereka yang tidak menerapkan hukum berdasarkan hukum yang diturunkan oleh Allah SWT. dalam ayat ke 47 surah al-Maidah pula mereka dicela sebagai orang fasik. Memang benar, terdapat celaan yang keras bagi mereka yang tidak menerapkan hukum selari dengan hukum Allah SWT. Allah SWT telah berfirman: “Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik”. (Surah al-Maidah ayat 47)

Siapakan golongan yang termasuk dikalangan orang-orang fasik?
1. Seorang pemimpin tidak mahu melaksanakan hukum-hukum Allah SWT walaupun dia berkemapuan dan berkuasa untuk melaksanakannya. (jika dia masih percaya hukum-hukum Allah SWT adalah yang paling baik tetapi tidak mahu melaksanakannya dia jadi fasik tetapi jika dia yakin bahawa hukum-hukum Allah SWT tidak sesuai dilaksanakan dan mempertikaikannya maka dia jatuh murtad). Firman Allah SWT: “Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik”. (Surah al-Maidah ayat 47)

2. Suka melakukan dosa-dosa besar dan maksiat seperti derhaka kepada kedua ibu bapa, berzina, minum arak. berjudi, melakukan sihir dan membunuh manusia tanpa hak, derhaka (nusyuz) isteri kepada suami dan tidak menutup aurat.

3. Tidak melakukan kewajipan kepada Allah SWT seperti meninggalkan solat, meninggalkan puasa Ramadan, tidak mahu membayar zakat dan tidak mahu mengerjakan haji (walaupun berkemampuan)

4. Suka mengambil harta secara haram seperti mencuri, mengambil rasuah, makan riba dan makan harta anak yatim dan merampas hak orang lain secara penipuan.

5. Suka mengumpat, membuat fitnah, menuduh wanita atau lelaki yang baik berzina dengan tidak membawa 4 saksi, mengadu domba, suka bersumpah palsu dan menjadi saksi palsu dimahkamah. Firman Allah SWT: ”Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatang 4 orang saksi, maka deralah mereka(yang menuduh itu) delapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lama nya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik, kecuali orang yang bertaubat sesudahnya itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Surah an-Nuur ayat 4-5).

6. Berkekalan dengan melakukan dosa-dosa kecil . Dosa kecil yang menjadi besar jika dilakukan terus menerus. Menurut Imam Hasan al-Basri, tidak ada dosa kecil apabila dilakukan dengan terus menerus dan tidak ada dosa besar apabila disertai dengan istighfar. Allah SWT berfirman: “Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” (Surah Ali Imran ayat 135)
Mengenai tindakan sesetengah di antara kita yang menganggap remeh dosa, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang mukmin dalam melihat dosanya, bagaikan seorang yang berada di puncak gunung, yang selalu khuatir tergelincir jatuh. Adapun orang fasik dalam melihat dosanya, bagaikan seseorang yang dihinggapi lalat di hidungnya, maka dia usir begitu saja.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Dalam Islam orang fasik tidak dibenarkan melaksanakan beberapa tugas seperti dibawah:
1. Tidak layak menjadi khalifah atau pemimpin negara. (Orang mukmin perlu pastikan pemimpin yang ingin dipilih tidak mempunyai ciri-ciri orang fasik)
2. Tidak layak menjadi mufti, hakim, qadi atau juru nikah.
3. Tidak layak menjadi saksi dalam hukum hudud, saksi nikah dan saksi perjanjian muamalah dalam Islam.
4. Tidak layak menjadi wali nikah (qadi /juru nikah perlu mencari wali lain yang bersesuaian menggantikan wali yang fasik)
5. Tidak layak menjadi imam solat berjemaah

Apakah kedudukan orang fasik di hari akhirat?
Sekiranya seseorang mempunyai ciri-ciri orang fasik dan dia tidak bertaubat kepada Allah SWT dan tidak minta maaf sesama manusia di atas perbuatan zalim dan kejahatannya sesama manusia ketika di dunia maka dia akan dimasukkan kedalam neraka Jahanam. Neraka Jahanam adalah seburuk-buruk tempat kembali. Firman Allah SWT: “Dan adapun orang-orang yang fasik, maka tempat kediaman mereka adalah neraka.” (Surah as-Sajdah ayat 20)

Jika terdapat pada diri kita ciri-ciri orang fasik maka janganlah bertangguh-tangguh lagi teruskanlah bertaubat meminta ampun kepada Allah SWT semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu. Daripada Anas bin Malik r.a katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Allah telah berfirman: ‘Wahai anak Adam! Sesungguhnya sebagaimana kamu meminta dan berharap kepada-Ku, maka Aku akan mengampuni segala dosa yang telah kamu lakukan dan Aku tidak pedulikannya lagi.’ ‘Wahai anak Adam! Sekiranya dosamu setinggi langit, kemudian kamu memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku mengampuni dosamu.’ ‘Wahai anak Adam! Jika kamu datang kepada-Ku dengan kesalahan sepadat isi bumi. Kemudian kamu menemui Aku di akhirat dalam keadaan kamu tidak menyengutukan-Ku dengan yang lain, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan sepenuh bumi pula.’ (Hadis Riwayat Tarmizi)
Daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata: “ Rasulullah SAW bersabda: “Dua orang yang saling memaki, dosanya diberikan kepada yang memulakan (pihak pertama), selama orang yang dizalimi (pihak kedua) tidak berlebihan dalam membalasnya.” (Diriwayatkan oleh Muslim: 1529) Maksud hadis - Syariat melarang kita memaki orang lain. Kerana seorang muslim itu semestinya memiliki sifat tidak mahu mencela, mengutuk, memaki dan berkata-kata kotor. Oleh itu, sesiapa yang memulai, maka dialah yang mendapat dosa. Sedangkan bagi pihak yang membalas, Allah SWT menjelaskan didalam Firman-Nya dalam surah as-Syura ayat 40: “ Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan itu ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.” Juga dijelaskan didalam surah al-Baqarah ayat 194: “(Mencabuli) bulan yang dihormati itu ialah dengan (sebab membalas pencabulan dalam) bulan yang dihormati; dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada balasannya yang seimbang. Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa.” Kecuali jika pihak yang kedua membalas makian lebih daripada pihak yang pertama, maka dosanya sama.

Sebenarnya terdapat banyak hadis-hadis sahih mengenai larangan caci maki ini. Antaranya:-
Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1868. Dari Abdullah r.a: Nabi SAW. bersabda: "Mencaci orang Islam itu suatu kejahatan dan membunuhnya adalah kekafiran."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0053. Dari 'Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya Rasulullah SAW. bersabda: "Mencaci-maki orang muslim hukumnya fasik, dan membunuhnya hukumnya kafir."

Hadis Sunan At-Termizi Jilid 3. Hadis Nombor 2047. - Qutaibah menceritakan kepada kami, Abdul Aziz bin Muhammad menceritakan kepada kami dari Al-Ala' bin Abdur Rahman dari ayahnya dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW. bersabda: "Dua orang yang saling mencaci maki menanggung dosa apa yang mereka ucapkan. Dan (dosa) atas orang yang memulai mencaci diantara mereka selama orang yang teraniaya tidak melalui batas." Dalam bab ini terdapat hadis dari Saad ibnu Masud dan Abdullah bin Mughaffal. Hadis ini adalah hasan sahih.
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2217. Dari Abu Hurairah r.a, dari Rasulullah SAW. sabdanya: "Dua orang yang saling memaki, dosanya atas orang yang mulai memaki, selama yang dimaki tidak membalas berlebihan."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0024. Dari Ma'rur r.a, ujarnya: "Saya bertemu dengan Abu Dzar di Rabazah. Dia dan hamba sahayanya memakai pakaian serupa. Saya tanyakan kepadanya, apa sebabnya mereka memakai pakaian serupa. Jawabnya "Dahulu saya pernah memaki seseorang dengan mencela ibunya. (Sehubungan dengan itu) Rasulullah menegur saya: "Hai Abu Dzar! Mengapa engkau maki dia dengan mencelanya ibunya? Rupanya engkau masih berfikiran seperti Jahiliyah. Hamba sahayamu itu adalah saudara mu atau pakcikmu yang diamanahkan Allah dalam tanggungjawabmu. kerana itu, siapa saja mempunyai saudara yang menjadi tanggungjawabnya, hendaklah diberi makan sama seperti yang dimakannya, dan diberinya pakaian sama seperti pakaian yang dipakainya. Dan janganlah mereka dibebani pekerjaan diluar kemampuan mereka. Jika mereka terpaksa harus mengerjakannya juga, bantulah mereka."

Hairannya, masyarakat hari ni seolah-olah menghalalkan cara... kononnya dibolehkan maki hamun, mengata orang lain seolah-olah diri macam malaikat tiada dosa dan confirm masuk syurga.. jadi untuk apa solat, puasa dan sebagainya sekiranya mulut masih tidak dijaga dan menyakiti orang lain.

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW. bersabda yang bermaksud: “Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?” Sahabat-sahabat baginda menjawab: “Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”

Nabi SAW. bersabda: “Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat, sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini, menumpah darah orang itu dan juga memukul orang. Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu, kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya, akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya, kemudian ia di humbankan kedalam neraka.” (Hadis Riwayat Muslim dan Turmizi)
Dalam hadis di atas Nabi SAW menyatakan secara khusus mereka yang akan menjadi muflis di hari akhirat adalah mereka yang suka:
1. Kesalahan memaki hamun orang ini.
2. Menuduh orang itu.
3. Memakan harta orang orang ini.
4. Menumpah darah orang itu dan 
5. Memukul orang.

KESIMPULAN
1. Dilarang memaki orang. Bila dia yang memaki, maka dosanya diberikan kepada sesiapa yang memulakan, selama pihak kedua tidak berlebihan membalasnya.
2. Boleh menjawab celaan dengan celaan yang sama. Akan tetapi jika dia mampu bersabar, maka ia lebih utama, sepertimana Allah SWT berfirman didalam surah as-Syura ayat 43: “Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).”