Apakah
istidraj itu? Patutkah atau tidak kita jauhi istidraj? Istidraj Ianya adalah
pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak
diredhaiNya. Inilah yang dinamakan istidraj. Inilah yang akan saya ulas dalam
risalah ini. Tajuk ini adalah amat penting, terutama kepada anak-anak dan
generasi muda kita agar tidak terkeliru dengan risalah ini. Pemikiran
kebanyakan umat Islam di zaman moden ini nampaknya jelas kelihatan kian jauh
menyimpang dari pemikiran seseorang Islam di zaman silam. Pemikiran manusia di
zaman serba maju ini telah dihanyutkan oleh arus keadaan dan diselaputi oleh
kebendaan. Itulah sebabnya kita lihat masyarakat pada hari ini berbeza dengan
masyarakat dahulu. Bagaimana masyarakat pada hari ini? Mereka telah terpengaruh
dengan apa yang ada dengan suasana sekelilingnya. Mereka tidak memandang jauh
sepertimana orang-orang dahulu. Padahal orang dahulu tidak belajar tinggi
sehingga ke universiti. Kita sekarang cerdik, ada ijazah, ada PhD dan
macam-macam, tapi bodoh. Manusia tersebut telah tertipu dengan kekuasaan,
pangkat, kebesaran dan kekayaan yang diperolehi. Lantas mereka tidak faham lagi
dengan nikmat Allah. Jika dia berkuasa, dia gunakan kekuasaannya untuk menindas
orang-orang bawahannya kerana dia tidak tahu menggunakan nikmat kekuasaan yang
ada padanya. Dia tidak faham tentang nikmat dan rahmat Allah SWT
Kuasa
Dan Kekayaan Untuk Maksiat
Kalau
dia ada kebesaran, dia menzalimi orang dibawahnya. Kekayaan yang ada padanya
digunakan bukan untuk kebaikan dirinya dan orang lain, tetapi untuk berbuat
maksiat kepada Allah SWT Manusia golongan ini telah terkeliru dengan fahaman
mereka sendiri. Mereka tidak faham dan tidak dapat membezakan nikmat pemberian
Allah kepada hambaNya yang setia dengan hambaNya yang derhaka. Saya pernah
ditanya oleh seorang mahasiswa, “Ustaz, betulkah atau tidak, saya dengar ustaz
bersyarah, ulama’-ulama’ kalau bersyarah menyatakan bahawa barangsiapa yang
mahu mendapatkan kebahagian di dunia dan di akhirat hendaklah mengikut jejak
langkah Rasulullah SAW dan berpegang teguh kepada agama Islam. Betulkah ustaz?”
Saya jawab, “Betul.” “Minta maaf ustaz, saya tidak percaya, sebab apa yang saya
lihat realitinya tidak begitu. Orang-orang yang mengikut jejak langkah
Rasulullah inilah yang teruk.”
Dia
kemudian menyebutkan beberapa contoh, “Mak dan ayah saya, bukan sahaja solat
sehari semalam lima waktu, tapi tengah malam pun bangun solat tahajjud. Rumah
kami roboh juga. Puasa bukan sahaja puasa Ramadhan, Isnin mereka puasa, Khamis
pun mereka berpuasa. Tapi kami makan sebulan sekali daging pun susah. Ayah
saya, orang belum azan sudah pergi ke masjid. Begitu azab mak dan ayah saya
yang berpegang teguh kepada agama.” “Tapi, bapa saudara saya (adik mak saya),
tak pernah solat seumur hidupnya. Rumahnya rumah batu. Puasa pun tidak pernah.
Kalau kita tanya, pakcik tak ingat mati? Bukan saya seorang sahaja yang mati,
katanya. Kalau masuk neraka pun ramai juga orang lain yang masuk. Dia hidup
kaya, hidup mewah, kita yang solat ni, hidup susah.”
Sebenarnya,
hendaklah kamu tahu tentang nikmat-nikmat Allah yang telah dikurniakan kepada
makhluk-makhlukNya. Pemberian nikmat Allah kepada hambaNya yang setia (yang
dikasihiNya) ialah pemberian yang diredhaiNya, tetapi pemberian nikmat Allah
kepada manusia yang melakukan maksiat dan kejahatan adalah pemberian yang tidak
diredhaiNya. Inilah yang dinamakan ISTIDRAJ. Pemberian yang redha ini seperti
pemberian ayah kepada anaknya. Ketika si ayah hendak solat, tiba-tiba lalu si
penjual aiskrim. Si anak merengek minta dibelikan. Si ayah pun membelikannya
kerana tidak mahu anaknya mengacau dia solat. Dengan senyum mesra diberikannya
aiskrim itu dengan layanan yang baik. “Makan baik baik nak, jangan
bising-bising, ayah nak solat.” Kemudian, baru saja nak solat, si anak
menjerit-jerit minta tambah aiskrim lagi. Si ayah naik darah. Dengan perasaan
marah, dibelikan juga aiskrim tersebut kerana takut solatnya tidak khusyuk.
Tetapi pemberiannya pada kali ini tidak disertai dengan kemesraan. Pemberian
inilah yang dikatakan sebagai pemberian yang tidak redha. Begitu juga Allah SWT
dengan kita. Kadang-kadang manusia mendapat nikmat yang diredhai Allah dan kadang-kadang
tidak. Rasulullah SAW bersabda, “Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala
memberi nikmat kepada hambaNya yang selalu membuat maksiat (derhaka),
ketahuilah bahawa orang itu telah diIstidrajkan oleh Allah SWT” (Riwayat
At-Tibrani, Ahmad dan Baihaqi)
Akan
tetapi manusia derhaka yang terkeliru dengan pemikirannya berpendapat bahawa
dengan nikmat yang datang mencurah daripada Allah SWT kepadanya itu walaupun
dia sentiasa melakukan maksiat, dia menyangka itu adalah bukti yang menunjukkan
bahawa Allah kasih dan berserta dengan perbuatan maksiat mereka.
Manusia
Istidraj? Manusia Yang Lupa Daratan
Walaupun
dia membuat maksiat, tapi dia merasakan Allah menyayanginya. Manusia seperti
ini kadang-kadang memandang hina kepada orang-orang yang suka beramal dan ke
masjid. Apatah lagi orang yang selalu ke masjid itu hanya berselipar jepun atau
berterompah kayu, sedangkan dia naik kereta jenis mewah. “Alah, siang malam ke
masjid, ke surau, tapi basikal buruk pun tak ada. Tengok aku. Aku nak ke kelab
malam dengan kereta mewah. Walaupun aku tidak pernah solat, tapi Allah
sayangkan aku. Kalau kau sikit ibadat, tentu kau juga akan kaya macam aku.”
Katanya sombong. Inilah jenis manusia yang tidak sedar akan dirinya sendiri.
Dia melakukan maksiat pagi petang, siang malam, dia sangka Allah sayangkannya.
Maka
mereka yang berpendapat sedemikian, baik mereka yang mengaku muslim,
lebih-lebih lagi orang yang sudah nyata kafirnya, berterusanlah mereka
menggunakan nikmat pemberian Allah yang berupa harta kekayaan, kebesaran,
pangkat dan kuasa mereka untuk melakukan penindasan dan kezaliman serta maksiat
(derhaka) kepada Allah yang berpanjangan. Sesungguhnya mereka tidak faham dan
tidak sedar sama sekali bahawa pemberian nikmat itu adalah istidraj daripada
Allah. Dengan pemberian nikmat yang tidak diredhaiNya itu mereka akan lalai
dari mengingati Allah. Akhirnya mereka akan menemui kehancuran dan kemusnahan. Kadang-kadang
Allah SWT memberikan manusia nikmat yang banyak dengan tujuan untuk
menghancurkannya. Rasulullah SAW bersabda, “Apabila Allah menghendaki untuk
membinasakan semut, Allah terbangkan semut itu dengan dua sayapnya.” (Daripada
kitab Nasa’ibul ‘Ibad) Anai-anai misalnya, kalau tidak ada sayap selamatlah dirinya.
Dia akan duduk diam di bawah daun atau merayap di celah-celah batu. Jika Allah
hendak membinasakannya, Allah beri ia sayap. Anai-anai kalau sudah bersayap
namanya akan berubah menjadi kelkatu. Otaknya menjadi otak kelkatu. Kelkatu,
bila dapat nikmat dia cuba nak lawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat
nikmat, dia cuba hendak melawan Allah.
Pemimpin-pemimpin
Yang Dilaknati Allah
Buktinya
telah banyak kita lihat dan kita dengar. Berapa banyak pemimpin-peminpin yang
dahulunya gagah dan sombong telah dilaknati Allah. Tidak kurang juga jumlahnya
kerajaan yang besar lagi utuh telah pun hancur dan musnah. Firaun yang gagah
mengaku Tuhan, Namrud yang sombong membakar Nabi Allah Ibrahim, Qarun yang
kaya, dan banyak lagi, semuanya telah musnah akibat kesombongan dan keangkuhan
mereka! Nikmat Allah yang diberikan kepada Firaun tidak terkira banyaknya.
Bersin pun tidak pernah. Jangan kita ingat kita sihat Allah sayang kita. Firaun
lagi sihat, tetapi dengan nikmat kesihatan itulah Allah binasakannya. Orang lain
selalu sakit, tetapi Firaun tidak. Orang lain mati, sedangkan dia belum juga
mati-mati hingga dia merasa besar diri, sombong dan takbur. Akhirnya dia
mengaku dirinya Tuhan. Namrud begitu sombong dengan Allah hingga membakar Nabi
Ibrahim. Berapa besar pangkat Namrud? Bagaimana dia menemui ajalnya?
Kematiannya hanya disebabkan oleh seekor nyamuk yang masuk ke lubang
telinganya!
Tidak
ada seorang pun manusia pada hari ini yang sekaya Qarun. Anak kunci gudang
hartanya saja 40 ekor unta membawanya. Akhirnya Allah tenggelamkan hartanya
dengan dirinya sekaligus. Hingga kini harta itu tidak timbul-timbul. Harta
Qarun itulah yang kita cari-cari sehingga lupa solat! Kalau kita kaya, kita
sangka Allah sayang. Qarun lagi kaya, akhirnya Allah jahanamkan harta kekayaannya
dengan dirinya sekali. Di mana dan bagaimanakah keadaan mereka itu sekarang?
Tanyalah pada tanah! Tanah yang mereka pijak semasa mereka diistidrajkan oleh
Allah yang akan memberikan jawapan. Kita baru naik kereta sudah sombong.
Rasulullah SAW naik ke langit pun tidak sombong. Kita kalau berjumpa dengan
orang besar sikit sudah sombong dan merasa bangga. Kalau menteri senyum
kepadanya dia merasa bangga. Rasulullah SAW berjumpa dengan Allah SWT di
langit, tetapi baginda tidak pun sombong. Kejadian seperti ini akan terus
berlaku sepanjang zaman. Allah SWT berfirman, “Sunnah Allah tidak pernah
berubah atau bertukar.” Apabila kita tinjau semua ini, akan hilanglah segala
persoalan yang tidak terjawab dan yang menjadi keraguan selama ini yang
sentiasa mengganggu fikiran kita. Mengapa orang-orang kafir kaya raya? Mengapa
orang-orang yang sentiasa membuat maksiat hidup mewah? Tidakkah kita hairan
mengapa orang-orang yang selalu ke masjid hanya berbasikal buruk? Yang ke kelab
malam naik kereta mewah?
Cara
Untuk Menentukan Nikmat Yang Diredhai Allah
Seseorang
itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya
itu. Adakah pemberian itu diredhai Allah atau tidak? Caranya ialah hendaklah
dia sentiasa mengkaji dengan teliti nikmat yang diterimanya itu dan bagaimana
serta ke mana digunakannya? Seseorang yang menerima segala nikmat itu akan
terus mensyukuri Allah. Dia akan menggunakan pemberian itu ke jalan kebaikan
dan selain dari itu, dia sentiasa redha mengabdikan dirinya kepada Allah. Maka
dengan limpah kurnia yang diperolehinya itu adalah pemberian yang diredhai
Allah.
Pemberian
yang diredhai Allah akan membuatkan seseorang itu ikhlas apabila bersedekah.
Apabila dia melihat orang membawa list derma, dia lantas memanggil orang
tersebut walaupun dia hanya ada wang 50 sen ketika itu. “Ini sedekah saya.
Maaflah, hanya 50 sen”, katanya. Akan tetapi pemberian yang tidak diredhai
Allah akan membuatkan orang yang menerimanya enggan bersedekah atau berbuat
kebajikan dengan ikhlas. Dia ada wang RM500 dalam sakunya. Ketika orang minta
derma dia menyatakan dia tiada wang. Maknanya wang yang ada dalam sakunya
adalah wang istidraj. Pada ketika setelah itu, lalu seorang gadis cantik yang
menjual tiket “pertunjukan amal”. Belum pun sempat gadis itu menawarkannya, dia
pula yang memanggilnya terlebih dahulu. Dia pun membeli tiket untuk pertunjukan
amal itu.
Pertunjukan
amal? Ini juga satu kekeliruan bagi kita. Kita sering tertipu dengan label
“amal” ini. Kadang-kadang pada waktu Maghrib, lalu sebuah van yang riuh rendah
dengan muzik dan memberi pengumuman. “Tuan-tuan, silalah datang ke taman
hiburan, kita akan mengadakan pertunjukan amal.” Ada ibu bapa yang terpengaruh
lalu pergi dengan membawa keluarga. Pasal pertunjukan amal, dia ingat dapat
pahala. Inilah cakap-cakap yang mesti kita jaga. Begitu juga dengan orang yang
bersyarah. Kita mesti tengok betul gerak-geri orang yang bersyarah tersebut. Ke
mana pensyarah tersebut hendak membawa kita. Sebab kadang-kadang banyak
kekeliruan dalam syarahan-syarahan. Ada pensyarah yang berkata, “Kita sekarang
hendaklah sesuaikan Islam dengan zaman.” Nampak jelas di sini otak kita hendak
dikelirukannya. Hendaklah kita sedar, Islam itu tidak boleh disesuaikan dengan
zaman, tetapi zaman itulah yang mesti disesuaikan dengan Islam. Kalaulah Islam
hendak disesuaikan dengan zaman, maka zaman orang bertelanjang, Islam sesuai
dengan orang yang bertelanjang, zaman orang merompak, Islam mesti sesuai dengan
perompak. Tidak boleh Islam disesuaikan dengan zaman. Islam tidak boleh tunduk
kepada zaman, tetapi zaman itulah yang mesti tunduk dengan Islam.
Tidak
beberapa lama dahulu, saya berjumpa dengan seorang ulama’. Ditanya tentang
loteri, dia kata haram. Habis, bagaimana kalau kita hendak membantu orang,
macam loteri kebajikan? “Halal.” Katanya. Loteri haram, dibalut dengan label
kebajikan jadi halal. Inilah kata-kata yang mengelirukan kita. Kiranya di
samping seseorang yang menerima segala nikmat Allah, maka bertambah pula
maksiat dan derhakanya kepada Allah, maka jelaslah segala kemudahan dan
kemewahan yang diperolehinya itu adalah istidraj, iaitu pemberian nikmat yang
tidak diredhai Allah SWT Namun, jangan pula apabila ada orang kaya datang ke
masjid dengan kereta besar kita katakan istidraj. Orang naik pangkat istidraj
atau orang-orang besar istidraj. Jangan! Orang-orang yang menggunakan nikmatnya
untuk kebajikan, untuk mengabdikan dirinya kepada Allah, itu bukan istidraj
namanya. Bukan bermakna kita tidak boleh kaya. Kaya tidak salah di sisi Islam,
tetapi masuk ke syurga agak lambat sedikit. Ibarat orang dari Singapura hendak
masuk ke Johor. Orang yang membawa barang yang banyak akan diperiksa oleh
kastam. Makin banyak barangnya, makin lama pemeriksaan, makin lambat dia masuk
ke Johor. Orang yang tidak membawa barang akan lepas dengan mudah memasuki
Johor.
Inilah
yang sangat-sangat kita takuti dalam hidup ini dan kehidupan kita di dunia ini.
Sebab itulah umat Islam di zaman Rasulullah SAW sentiasa merintih di hati
sanubari sambil berkata, “RedhaMu yang selalu kami rindukan dan marahMu yang
sangat kami takuti Tuhan. Lebih baik kami hidup miskin asal dalam redhaMu, kami
tak ingin kepada kekayaan di dalam marahMu.” Inilah sajak yang penuh makna.
Apakah maknanya? Hidup kita di dunia mesti ada target, mesti ada pedoman.
Jangan hidup kita seperti kiambang di tengah kolam, ditiup angin ke tepi ia ke
tepi, ditiup ke tengah ia ke tengah. Tidak ada pegangan langsung. Kita kalau
hendak selamat, hidup kita mesti ada target atau matlamat atau tujuan. Tujuan
hidup kita di dunia ialah mencari keredhaan Allah SWT, baru kita selamat. Bukan
kaya yang kita cari dan bukan juga miskin yang kita cari!
Kalau
target kita hanya untuk kaya, akan jahanamlah diri kita. Jika ada kesempatan
untuk kaya, kita lihat dulu. Kalau ada keredhaan Allah, barulah kita ambil.
Kalau tidak, lebih baik kita miskin. Bukan tujuan kita untuk menjadi miskin,
tetapi hendak mencari keredhaan Allah. Kalau hidup miskin ada keredhaan Allah,
maka kita pilih miskin. Kalau mahu menjadi kaya dengan keredhaan Allah, katakan
aku tidak mahu kekayaan tanpa keredhaanMu. Bila hidup kita untuk mencari keredhaan
Allah, nescaya selamatlah kita di dunia dan di akhirat. Wallahua’lam.
Perkongsian dari Huzaifah Al-Selangori
No comments:
Post a Comment