“Janganlah
kamu mati kecuali dalam keadaan Islam” merupakan perintah Allah agar kita jangan
mati kecuali dalam keadaan beriman dengan ajaran Islam kerana Allah SWT tidak akan
menerima agama selain Islam, malah Islamlah satu-satunya agama yang diredhai-Nya.
Tidak dinafikan bahawa tiada sesiapa pun yang layak dan mampu memberikan hidayah
kepada seseorang kecuali Allah yang akan memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki.
Namun begitu kita selaku manusia diberi kemampuan berfikir untuk membuatkan diri
kita mati di dalam keadaan beriman disamping Allah SWTjuga telah menunjukkan kepada kita jalan untuk
mencapainya seperti panduan berikut;
Menjalankan
perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.
Berdoa
kepada Allah untuk mematikan kita dalam Islam dan dalam keadaan beriman (husnul
khatimah). Bersyukur kepada Allah di atas nikmat Islam yang diberi bahkan sesungguhnya
nikmat yang terbesar yang kita miliki ialah nikmat Iman dan Islam. Menanamkan perasaan
takut sekiranya mati dalam keadaan suul khatimah. Oleh itu seharusnya kita sentiasa
berusaha untuk menjaga dan memperkuat keimanan kita dengan menjauhi maksiat dan
dosa kerana perkara tersebut akan melemahkan dan merendahkan nilai pegangan aqidah
kita serta ditakuti nanti kita akan menghadapi saat sakratul maut yang payah. Wasiat
serupa juga telah disampaikan oleh Nabi Ibrahim As, yang merupakan Bapa nabi-nabi
serta pengumandang akidah Tauhid, dimana al-Qur’an pada surah al-Baqarah 2:132 menguraikan
hal itu dengan firman-Nya: “Dan Ibrahim telah mewasiatkannya kepada anak-anaknya,
demikian pula Ya‘qub. (Ibrahim berkata): “Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah
memilih agama ini bagi kamu, maka janganlah kamu mati kecuali kamu dalam keadaan
muslim, yakni memeluk agama Islam” (QS. al-Baqarah 2:132).
Ada
sebilangan orang yang menyatakan bahwa Nabi Ibrahim As. adalah orang Yahudi atau
Nasrani, dan bahwa anak keturunannya menganut agama selain Islam. Mereka itu dikecam
oleh Allah dengan firman-Nya: “Adakah kamu hadir ketika Ya‘qub kedatangan (tanda-tanda)
maut, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: “Apa yang kamu sembah sepeninggalku?”
Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu; Ibrahim, Ismail
dan Ishaq, (yaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya” (QS.
al-Baqarah 2:133). Nabi Muhammad SAW. pun mengajarkan hal yang sama. Surah Ali ‘Imrân
3:102 menegaskan bahwa: “Bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa-Nya; yakni
jauhi seluruh larangan-Nya dan ikuti perintah-Nya sampai pada batas akhir kemampuan
kamu, dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan berserah diri
kepada Allah yakni memeluk agama Islam”.
Yang
jelas terlihat di atas adalah pesan agar tidak mati kecuali dalam keadaan muslim
yang berserah diri kepada Allah. Islam adalah istislâm, yakni penyerahan diri dan
kepatuhan, kepatuhan lahir dari adanya keyakinan, keyakinan adalah pembenaran, dan
pembenaran adalah pengakuan yang tulus, dan pengakuan tulus membuahkan amal kebiasaan.
Amal kebiasaan yang berguna adalah yang lahir dari ketakwaan. Selanjutnya, kematian
dalam keadaan berserah diri kepada Allah antara lain ditandai dengan pengakuan akan
keesaanNya. Dalam konteks ini Nabi SAW. bersabda: “Siapa yang akhir ucapannya adalah
Lâ Ilâha Illâ Allâh, maka ia akan masuk ke syurga.” “Ya Allah, siapa yang engkau
hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah ia dalam keadaan Islam, dan siapa yang
engkau wafatkan, maka wafatkanlah ia dalam keadaan Iman.” Semoga kita mampu melaksanakan
wasiat dan pesan itu, sampai mengakhiri perjalanan hidup di pentas bumi ini.
Penciptaan
Al Maut.
Dikisahkan
ketika Allah mencipta Al-Maut (kematian) dan menyerahkan kepada Izrail, maka berkata
malaikat Izrail, “Wahai Tuhanku, apakah Al-Maut itu?”. Maka Allah menyingkap rahsia
Al-Maut itu dan memerintah seluruh malaikat menyaksikannya. Setelah seluruh malaikat
menyaksikannya Al-Maut itu, maka tersungkurlah semuanya dalam keadaan pengsan selama
seribu tahun. Setelah para malaikat sedar kembali, bertanyalah mereka, “Ya Tuhan
kami, adakah makhluk yang lebih besar dari ini?” Kemudian Allah SWT berfirman: “Akulah
yang menciptakannya dan Akulah yang lebih agung daripadanya. Seluruh makhluk akan
merasakan Al-Maut itu”. Kemudian Allah memerintahkan Izrail mengambil Al-Maut. Walau
bagaimanapun, Izrail khuatir jika tidak terdaya untuk mengambilnya sedangkan Al-Maut
lebih agung daripadanya. Kemudian Allah memberikannya kekuatan, sehinggalah Al-Maut
itu menetap di tangannya. Malaikat Izrail diberi kemampuan yang luar biasa oleh
Allah hingga barat dan timur dapat dijangkau dengan mudah olehnya.
Saat-saat
Kematian.
100
hari sebelum kematian.
Ini
adalah tanda pertama dari Allah kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka-mereka
yang dikehendakinya. Walau bagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini
cuma sama ada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas
waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan
mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang
baru saja disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati
daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka yang
sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini
akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini. Bagi mereka
yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan
soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. Bagi
yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan
masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa
atau ditinggalkan sesudah mati.
40
hari sebelum kematian.
Tanda
ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut.
Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya
di atas Arasy Allah. Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat
persediaannya ke atas kita antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang
masa. Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan
jika ini terjadi, mereka yang terpilih akan merasakan seakan-akan bingung seketika.
7 hari
sebelum kematian.
Adapun
tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan
di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba- tiba ianya berselera untuk makan.
3 hari
sebelum kematian
Pada
ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu di antara dahi
kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya
perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang
akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar
lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat
dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian
hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan
perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.
1 hari
sebelum kematian.
Akan
berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah
belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat
untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.
Tanda
Akhir – Hari kematian.
Akan
berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat
dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika
ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan
kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah yang telah menghidupkan
kita dan sekarang akan mematikan pula.
Baginda
Rasullullah SAW bersabda, “Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah
satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka
menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut. Setelah
itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga
sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat
yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya
mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik
roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak
orang itu”.
Sambung
Rasullullah SAW lagi, “Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat
Jibrail akan menebarkan sayapnya yang disebelah kanan sehingga orang yang nazak
itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat
syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada disekelilinginya. Ini adalah
kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail.
Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail akan menebarkan sayap disebelah
kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa
itu orang itu tidak lagi melihat orang disekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu
takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya”.
Perjalanan
Hidup Selepas Mati.
Sebuah
riwayat menyatakan; “Dari Usman bin Affan bin Dahaak bin Muzahim daripada Abbas
ra, bapa saudara Rasulullah SAW dari Rasulullah SAW telah bersabda: “Aku adalah
orang (manusia) yang paling awal dibangkitkan dari kubur (bumi) pada hari kiamat
yang tiada kebanggaan. Bagiku ada syafaat pada hari kiamat yang tiada kemegahan.
Bendera pujian di tanganku dan nabi-nabi keseluruhannya berada di bawah benderaku.
Umatku adalah umat yang terbaik. Mereka adalah umat yang pertama dihisab sebelum
umat yang lain. Ketika mereka bangkit dari kubur, mereka akan mengibas (membuang)
tanah yang ada di atas kepala mereka. Mereka semua akan berkata: “Kami bersaksi
bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan kami bersaksi bahawa Muhammad itu Rasulullah.
Inilah yang telah dijanjikan oleh Allah Taala serta dibenarkan oleh para rasul.”
Ibnu Abbas ra berkata: “Orang yang pertama dibangkitkan dari kubur di hari kiamat
ialah Muhammad SAW. Jibril as akan datang kepadanya bersama seekor Buraq. Israfil
pula datang dengan membawa bersama bendera dan mahkota. Izrail pula datang dengan
membawa bersamanya pakaian-pakaian syurga.” Jibril as akan menyeru: “Wahai dunia!
Di mana kubur Muhammad SAW?” Bumi akan berkata: “Sesungguhnya, Tuhanku telah menjadikan
aku hancur. Telah hilang segala lingkaran, tanda dan gunung-ganangku. Aku tidak
tahu dimana kubur Muhammad SAW.”
Rasulullah
SAW bersabda: “Lalu diangkatkan tiang-tiang dari cahaya dari kubur Nabi Muhammad
SAW ke awan langit. Maka, empat malaikat berada di atas kubur.”
Israfil
bersuara: “Wahai roh yang baik! Kembalilah ke tubuh yang baik!” Maka, kubur terbelah
dua. Pada seruan yang kedua pula, kubur mula terbongkar. Pada seruan yang ketiga,
ketika Rasulullah SAW berdiri, baginda SAW telah membuang tanah di atas kepala dan
janggut baginda SAW. Baginda SAW melihat kanan dan kiri. Baginda SAW dapati, tiada
lagi bangunan. Baginda SAW menangis sehingga mengalir air matanya ke pipi. Jibril
as berkata kepadanya: “Bangun wahai Muhammad! Sesungguhnya kamu di sisi Allah Taala
di tempat yang luas.” Baginda SAW bertanya, “Kekasihku Jibril! Hari apakah ini?”
Jibril
as menjawab: “Wahai Muhammad! Janganlah kamu takut! Inilah hari kiamat. Inilah hari
kerugian dan penyesalan. Inilah hari pembentangan Allah Taala.” Baginda SAW bersabda:
“Kekasihku Jibril! Gembirakanlah aku!” Jibril as berkata: “Apakah yang kamu lihat
di hadapanmu?” Baginda SAW bersabda: “Bukan seperti itu pertanyaanku.” Jibril as
berkata: “Adakah kamu tidak melihat bendera kepujian yang terpacak di atasmu?” Baginda
SAW bersabda: “Bukan itu maksud pertanyaanku. Aku bertanya kepadamu akan umatku.
Di mana perjanjian mereka?” Jibril as berkata: “Demi keagungan Tuhanku! Tidak akan
terbongkar oleh bumi daripada manusia, sebelummu?” Baginda SAW bersabda: “Nescaya
akan, kuatlah pertolongan pada hari ini. Aku akan mensyafaatkan umatku.” Jibril
as berkata kepada baginda SAW: “Tungganglah Buraq ini wahai Muhammad SAW dan pergilah
ke hadapan Tuhanmu!” Jibril as datang bersama Buraq ke arah Nabi Muhammad SAW. Buraq
cuba meronta-ronta. Jibril as berkata kepadanya: “Wahai Buraq! Adakah kamu tidak
malu dengan makhluk yang paling baik dicipta oleh Allah Taala? Sudahkah Allah Taala
perintahkan kepadamu agar mentaatinya?” Buraq berkata: “Aku tahu semua itu. Akan
tetapi, aku ingin dia mensyafaatiku agar memasuki syurga sebelum dia menunggangku.
Sesungguhnya,
Allah Taala akan datang pada hari ini di dalam keadaan marah. Keadaan yang belum
pernah terjadi sebelum ini.” Baginda SAW bersabda kepada Buraq: “Ya! Sekiranya kamu
berhajatkan syafaatku, nescaya aku memberi syafaat kepadamu.” Setelah berpuas hati,
Buraq membenarkan baginda SAW menunggangnya lalu dia melangkah. Setiap langkahan
Buraq sejauh pandangan mata. Apabila Nabi Muhammad SAW berada di Baitul Maqdis di
atas bumi dari perak yang putih, malaikat Israfil as menyeru: “Wahai tubuh-tubuh
yang telah hancur, tulang-tulang yang telah reput, rambut-rambut yang bertaburan
dan urat-urat yang terputus-putus! Bangkitlah kamu dari perut burung, dari perut
binatang buas, dari dasar laut dan dari perut bumi ke perhimpunan Tuhan yang Maha
Perkasa. Roh-roh telah diletakkan di dalam tanduk atau sangkakala. Di dalamnya ada
beberapa tingkat dengan bilangan roh makhluk. Setiap roh, akan didudukkan berada
di dalam tingkat. Langit di atas bumi akan menurunkan hujan dari lautan kehidupan
akan air yang sangat pekat seperti air mani lelaki. Daripadanya, terbinalah tulang-tulang.
Urat-urat memanjang. Daging kulit dan bulu akan tumbuh. Sebahagian mereka akan kekal
ke atas sebahagian tubuh tanpa roh.
Allah
Taala berfirman: “Wahai Israfil! Tiup tanduk atau sangkakala tersebut dan hidupkan
mereka dengan izinKu akan penghuni kubur. Sebahagian mereka adalah golongan yang
gembira dan suka. Sebahagian dari mereka adalah golongan yang celaka dan derita.”
Malaikat Israfil as menjerit: “Wahai roh-roh yang telah hancur! Kembalilah kamu
kepada tubuh-tubuh mu. Bangkitlah kamu untuk dikumpulkan di hadapan Tuhan semesta
alam.” Allah Taala berfirman: “Demi keagungan dan ketinggianKu! Aku kembalikan setiap
roh pada tubuh-tubuhnya!” Apabila roh-roh mendengar sumpah Allah Taala, roh-roh
pun keluar untuk mencari jasad mereka. Maka, kembalilah roh pada jasadnya. Bumi
pula terbongkar dan mengeluarkan jasad-jasad mereka. Apabila semuanya sedia, masing-masing
melihat. Nabi SAW duduk di padang pasir Baitul Maqdis, melihat makhluk-makhluk.
Mereka berdiri seperti belalang yang berterbangan. 70 umat berdiri. Umat Nabi Muhammad
SAW merupakan satu umat (kumpulan). Nabi SAW berhenti memperhatikan ke arah mereka.
Mereka
seperti gelombang lautan. Jibril as menyeru: “Wahai sekalian makhluk, datanglah
kamu semua ke tempat perhimpunan yang telah disediakan oleh Allah Taala.” Umat-umat
datang di dalam keadaan satu-satu kumpulan. Setiap kali Nabi Muhammad SAW berjumpa
satu umat, baginda SAW akan bertanya: “Di mana umatku?” Jibril as berkata: “Wahai
Muhammad! Umatmu adalah umat yang terakhir.” Apabila nabi Isa as datang, Jibril
as menyeru: Tempatmu!” Maka nabi Isa as dan Jibril as menangis. Nabi Muhammad SAW
berkata: “Mengapa kamu berdua menangis.” Jibril as berkata: “Bagaimana keadaan umatmu,
Muhammad?” Nabi Muhammad bertanya: “Di mana umatku?” Jibril as berkata: “Mereka
semua telah datang. Mereka berjalan lambat dan perlahan.” Apabila mendengar cerita
demikian, Nabi Muhammad SAW menangis lalu bertanya: “Wahai Jibril! Bagaimana keadaan
umatku yang berbuat dosa?” Jibril as berkata: “Lihatlah mereka wahai Muhammad SAW!”
Apabila Nabi Muhammad SAW melihat mereka, mereka gembira dan mengucapkan selawat
kepada baginda SAW dengan apa yang telah Allah Taala muliakannya. Mereka gembira
kerana dapat bertemu dengan baginda SAW. Baginda SAW juga gembira terhadap mereka.
Nabi
Muhammad SAW bertemu umatnya yang berdosa. Mereka menangis serta memikul beban di
atas belakang mereka sambil menyeru: “Wahai Muhammad!” Air mata mereka mengalir
di pipi. Orang-orang zalim memikul kezaliman mereka. Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Wahai umatku.” Mereka berkumpul di sisinya. Umat-umatnya menangis. Ketika mereka
di dalam keadaan demikian, terdengar dari arah Allah Taala seruan yang menyeru:
“Di mana Jibril?” Jibril as berkata: “Jibril di hadapan Allah, Tuhan semesta alam.”
Allah Taala berfirman di dalam keadaan Dia amat mengetahui sesuatu yang tersembunyi:
“Di mana umat Muhammad SAW?” Jibril as berkata: “Mereka adalah sebaik umat.” Allah
Taala berfirman: “Wahai Jibril! Katakanlah kepada kekasihKu Muhammad SAW bahawa
umatnya akan datang untuk ditayangkan di hadapanKu.” Jibril as kembali di dalam
keadaan menangis lalu berkata: “Wahai Muhammad! Umatmu telah datang untuk ditayangkan
kepada Allah Taala.” Nabi Muhammad SAW berpaling ke arah umatnya lalu berkata: “Sesungguhnya
kamu telah dipanggil untuk dihadapkan kepada Allah Taala.” Orang-orang yang berdosa
menangis kerana terkejut dan takut akan azab Allah Taala. Nabi Muhammad SAW memimpin
mereka sebagaimana pengembala memimpin ternakannya menuju di hadapan Allah Taala.
Allah
Taala berfirman: “Wahai hambaKu! Dengarkanlah kamu baik-baik kepadaKu tuduhan apa-apa
yang telah diperdengarkan bagi kamu dan kamu semua melakukan dosa!” Hamba-hamba
Allah Taala terdiam. Allah Taala berfirman: “Hari ini, Kami akan membalas setiap
jiwa dengan apa yang telah mereka usahakan. Hari ini, Aku akan memuliakan sesiapa
yang mentaatiKu. Dan, Aku akan mengazab sesiapa yang menderhaka terhadapKu. Wahai
Jibril! Pergi ke arah Malik, penjaga neraka! Katakanlah kepadanya, bawakan Jahanam!”
Jibril pergi berjumpa Malik, penjaga neraka lalu berkata: “Wahai Malik! Allah Taala
telah memerintahkanmu agar membawa Jahanam.” Malik bertanya: “Apakah hari ini?”
Jibril menjawab: “Hari ini adalah hari kiamat. Hari yang telah ditetapkan untuk
membalas setiap jiwa dengan apa yang telah mereka usahakan.” Malik berkata: “Wahai
Jibril! Adakah Allah Taala telah mengumpulkan makhluk?” Jibril menjawab: “Ya!” Malik
bertanya: “Di mana Muhammad dan umatnya?” Jibril berkata: “Di hadapan Allah Taala!”
Malik bertanya lagi: “Bagaimana mereka mampu menahan kesabaran terhadap kepanasan
nyalaan Jahanam apabila mereka melintasinya sedangkan mereka semua adalah umat yang
lemah?” Jibril berkata: “Aku tidak tahu!” Malik menjerit ke arah neraka dengan sekali
jeritan yang menggerunkan.
Neraka
berdiri di atas tiang-tiangnya. Neraka mempunyai tiang-tiang yang keras, kuat dan
panjang. Api dinyalakan sehingga tiada kekal mata seorang dari makhluk melainkan
bercucuran air mata mereka (semuanya menangis). Air mata sudah terhenti manakala
air mata darah manusia mengambil alih. Kanak-kanak mula beruban rambut. Ibu-ibu
yang memikul anaknya mencampakkan mereka. Manusia kelihatan mabuk padahal mereka
sebenarnya tidak mabuk.
Rasulullah
SAW Membela Umatnya
Di
padang mahsyar orang yang mula-mula berusaha ialah Nabi Ibrahim as. Baginda bergantung
dengan asap Arsy yang naik lalu menyeru: “TuhanKu dan Penguasaku! Aku adalah khalilMu
Ibrahim. Kasihanilah kedudukanku pada hari ini! Aku tidak meminta kejayaan Ishak
dan anakku pada hari ini.” Allah Taala berfirman: “Wahai Ibrahim! Adakah kamu melihat
Kekasih mengazab kekasihnya.” Nabi Musa as datang. Baginda bergantung dengan asap
Arsy yang naik lalu menyeru: “KalamMu. Aku tidak meminta kepadaMu melainkan diriku.
Aku tidak meminta saudaraku Harun. Selamatkanlah aku dari kacau bilau Jahanam!”
Isa as datang di dalam keadaan menangis. Baginda bergantung dengan Arsy lalu menyeru:
“Tuhanku. Penguasaku. Penciptaku! Isa roh Allah. Aku tidak meminta melainkan diriku.
Selamatkanlah aku dari kacau bilau Jahanam!” Suara jeritan dan tangisan semakin
kuat.
Nabi
Muhammad SAW menyeru: “Tuhanku. Penguasaku Penghuluku. !Aku tidak meminta untuk
diriku. Sesungguhnya aku meminta untuk umatku dariMu!” Ketika itu juga, neraka Jahanam
berseru: “Siapakah yang memberi syafaat kepada umatnya?” Neraka pula berseru: “Wahai
Tuhanku. Penguasaku dan Penghuluku! Selamatkanlah Muhammad dan umatnya dari seksaannya!
Selamatkanlah mereka dari kepanasanku, bara apiku, penyeksaanku dan azabku! Sesungguhnya
mereka adalah umat yang lemah. Mereka tidak akan sabar dengan penyeksaan.” Malaikat
Zabaniah menolaknya sehingga terdampar di kiri Arsy. Neraka sujud di hadapan Tuhannya.
Allah Taala berfirman: “Di mana matahari?” Maka, matahari dibawa mengadap Allah
Taala. Ia berhenti di hadapan Allah Taala. Allah Taala berfirman kepadanya: “Kamu!
Kamu telah memerintahkan hambaKu untuk sujud kepada kamu?” Matahari menjawab. “Tuhanku!
Maha Suci diriMu! Bagaimana aku harus memerintahkan mereka berbuat demikian sedangkan
aku adalah hamba yang halus?” Allah Taala berfirman: “Aku percaya!” Allah Taala
telah menambahkan cahaya dan kepanasannya sebanyak 70 kali ganda. Ia telah dihampirkan
dengan kepala makhluk.” Ibnu Abbas r.h. berkata: “Peluh manusia bertitis dan sehingga
mereka berenang di dalamnya. Otak-otak kepala mereka menggeleggak seperti periuk
yang sedang panas. Perut mereka menjadi seperti jalan yang sempit. Air mata mengalir
seperti air mengalir. Suara ratap umat-umat manusia semakin kuat. Nabi Muhammad
SAW lebih-lebih lagi sedih. Air matanya telah hilang dan kering dari pipinya. Sekali,
baginda SAW sujud di hadapan Arsy dan sekali lagi, baginda SAW ruku’ untuk memberi
syafaat bagi umatnya. Para Nabi melihat keluh kesah dan tangisannya. Mereka berkata:
“Maha Suci Allah! Hamba yang paling dimuliakan Allah Taala ini begitu mengambil
berat, hal keadaan umatnya.
Daripada
Thabit Al-Bani, daripada Usman Am Nahari berkata: “Pada suatu hari Nabi SAW menemui
Fatimah Az-Zahara’ r.h. Baginda SAW dapati, dia sedang menangis.” Baginda SAW bersabda:
“Permata hatiku! Apa yang menyebabkan dirimu menangis?” Fatimah menjawab: “Aku teringat
akan firman Allah Taala.” “Dan, kami akan mehimpunkan, maka Kami tidak akan mengkhianati
walau seorang daripada mereka.” Lalu Nabi SAW pun menangis. Baginda SAW bersabda:
“Wahai permata hatiku! Sesungguhnya, aku teringat akan hari yang terlalu dahsyat.
Umatku telah dikumpulkan pada hari kiamat dikelilingi dengan perasaan dahaga dan
telanjang. Mereka memikul dosa mereka di atas belakang mereka. Air mata mereka mengalir
di pipi.” Fatimah r.h. berkata: “Wahai bapaku! Apakah wanita tidak merasa malu terhadap
lelaki?” Baginda SAW menjawab: “Wahai Fatimah! Sesungguhnya, hari itu, setiap orang
akan sibuk dengan untung nasib dirinya. Adapun aku telah mendengar Firman Allah
Taala:” Bagi setiap orang dari mereka, di hari itu atau satu utusan yang melalaikan
dia.” (Abasa: 37) Fatimah ra. bertanya: “Di mana aku hendak mendapatkanmu di hari
kiamat nanti, wahai bapaku?” Baginda SAW menjawab: “Kamu akan menjumpaiku di sebuah
telaga ketika aku sedang memberi minum umatku.” Fatimah r.h. bertanya lagi: “Sekiranya
aku dapati kamu tiada di telaga?” Baginda SAW bersabda: “Kamu akan menjumpaiku di
atas Sirat sambil dikelilingi para Nabi. Aku akan menyeru: “Tuhan Kesejahteraan!
Tuhan Kesejahteraan! Para malaikat akan menyambut: “Aamiin.”
Ketika
itu juga, terdengar seruan dari arah Allah Taala lalu berfirman: “Nescaya akan mengikuti
kata-katanya pada apa yang kamu sembah.” Setiap umat akan berkumpul dengan sesuatu
yang mereka sembah. Ketika itu juga, neraka Jahanam melebarkan tengkuknya lalu menangkap
mereka sebagaimana burung mematuk kacang. Apabila seruan dari tengah Arsy kedengaran,
maka manusia yang menyembahNya datang beriring. Sebahagian daripada orang yang berdiri
di situ berkata: “Kami adalah umat Muhammad SAW!” Allah Taala berfirman kepada mereka:
“Mengapa kamu tidak mengikuti orang yang kamu sembah?” Mereka berkata: “Kami tidak
menyembah melainkan Tuhan Kami. Dan, kami tidak menyembah selainNya.” Mereka ditanya
lagi: “Kami mengenali Tuhan kamu?” Mereka menjawab: “Maha Suci diriNya! Tiada yang
kami kenali selainNya.” Apabila ahli neraka dimasukkan ke dalamnya untuk diazab,
umat Muhammad SAW mendengar bunyi pukulan dan jeritan penghuni neraka. Lalu malaikat
Zabaniah mencela mereka. Mereka berkata: “Marilah kita pergi meminta syafaat kepada
Muhammad SAW!”
Manusia
berpecah kepada tiga kumpulan;
· Kumpulan orang tua
yang menjerit-jerit.
· Kumpulan pemuda.
· Wanita yang bersendirian
mengelilingi mimbar-mimbar. Mimbar para Nabi didirikan di atas kawasan lapang ketika
kiamat.
Mereka
semua berminat terhadap mimbar Nabi Muhammad SAW. Mimbar Nabi Muhammad SAW terletak
berhampiran dengan tempat berlaku kiamat. Ia juga merupakan mimbar yang paling baik,
besar dan cantik. Nabi adam as dan isterinya Hawa berada di bawah mimbar Nabi SAW.
Hawa melihat ke arah mereka lalu berkata: “Wahai Adam! Ramai dari zuriatmu dari
umat Muhammad SAW serta cantik wajah mereka. Mereka menyeru: “Di mana Muhammad?”
Mereka berkata: “Kami adalah umat Muhammad SAW. Semua umat telah mengiringi apa
yang mereka sembah. Hanya tinggal kami sahaja.
Matahari
di atas kepala kami. Ia telah membakar kami. Neraka pula, cahaya juga telah membakar
kami. Timbangan semakin berat. Oleh itu tolonglah kami agar memohon kepada Allah
Taala untuk menghisab kami dengan segera! Sama ada kami akan pergi ke syurga atau
neraka.” Nabi Adam as berkata: “Pergilah kamu dariku! Sesungguhnya aku sibuk dengan
dosa-dosaku. Aku mendengar firman Allah Taala: Dan dosa Adam terhadap Tuhannya kerana
lalai. Mereka pergi berjumpa nabi Nuh as yang telah berumur, umur yang panjang dan
sangat sabar. Mereka menghampirinya. Apabila Nabi Nuh as melihat mereka, dia berdiri.
Pengikut (umat Nabi Muhammad SAW) berkata: “Wahai datuk kami, Nuh! Tolonglah kami
terhadap Tuhan kami agar Dia dapat memisahkan di antara kami dan mengutuskan kami
dari ahli syurga ke syurga dan ahli neraka ke neraka.” Nabi Nuh as berkata: “Sesungguhnya,
aku sibuk dengan kesalahanku. Aku pernah mendoakan agar kaumku dimusnahkan. Aku
malu dengan Tuhanku. Pergilah kamu berjumpa Ibrahim kekasih Allah Taala! Mintalah
kepadanya agar menolong kamu!” Nabi Ibrahim as berkata: “Sesungguhnya aku pernah
berbohong di dalam usiaku sebanyak tiga pembohongan di dalam Islam. Aku takut dengan
Tuhanku. Pergilah kamu berjumpa Musa as! Mintalah pertolongan darinya!” Nabi Musa
as berkata: “Aku sibuk dengan kesalahanku. Aku pernah membunuh seorang jiwa tanpa
hak. Aku membunuhnya bukan dari kemahuanku sendiri. Aku dapati dia melampaui batas
terhadap seorang lelaki Islam. Aku ingin memukulnya. Aku terperanjat kerana menyakitinya
lalu menumbuk lelaki tersebut. Ia jatuh lalu mati. Aku takut terhadap tuntutan dosaku.
Pergilah kamu berjumpa Isa as!” Mereka pergi berjumpa nabi Isa a.s. Nabi Isa a.s.
berkata: “Sesungguhnya Allah Taala telah melaknat orang-orang Kristian. Mereka telah
mengambil aku, ibuku sebagai dua Tuhan selain Allah Taala. Hari ini, aku malu untuk
bertanya kepadaNya mengenai ibuku Mariam.” Mariam, Asiah, Khadijah dan Fatimah Az-Zahra’
sedang duduk.
Ketika
Mariam melihat umat Nabi Muhammad SAW dia berkata: “Ini umat Nabi Muhammad SAW.
Mereka telah sesat dari Nabi mereka.” Suara Mariam, telah didengari oleh Nabi Muhammad
SAW Nabi Adam a.s. berkata kepada nabi Muhammad SAW. “Ini umatmu, wahai Muhammad!
Mereka berkeliling mencarimu untuk meminta syafaat kepada Allah Taala.” Nabi Muhammad
SAW menjerit dari atas mimbar lalu bersabda: “Marilah kepadaku, wahai umatku! Wahai
sesiapa yang beriman dan tidak melihatku. Aku tidak pernah lari dari kamu melainkan
aku sentiasa memohon kepada Allah Taala untukmu!” Umat Nabi Muhammad SAW berkumpul
di sisinya. Terdengar suara seruan: “Wahai Adam! Ke marilah kepada Tuhanmu!” Nabi
Adam as berkata: “Wahai Muhammad! Tuhanku telah memanggilku. Moga-moga Dia akan
meminta kepadaku.”
Nabi
Adam as pergi menemui Allah Taala. Allah Taala berfirman kepadanya: “Wahai Adam!
Bangunlah dan hantarkan anak-anakmu ke neraka!” Nabi Adam as bertanya: “Berapa ramai
untukku kirimkan?” Allah Taala berfirman: “Setiap seribu lelaki kamu hantarkan seorang
ke syurga, 999 orang ke neraka.” Allah Taala berfirman lagi: “Wahai Adam! Sekiranya
Aku tidak melaknat orang yang berdusta dan Aku haramkan pembohongan, nescaya Aku
akan mengasihi anakmu keseluruhannya. Akan, tetapi, Aku telah janjikan syurga bagi
orang yang mentaatiKu Neraka pula bagi orang yang menderhakaiKu Aku tidak akan memungkiri
janji Wahai Adam! Berhentilah di sisi Mizan (timbangan). Sesiapa yang mempunyai
berat pada kebaikannya daripada dosanya walaupun seberat biji SAWi, bawalah dia
untuk memasuki syurga tanpa perlu berunding denganKu! Sesungguhnya Aku telah menjadikan
bagi mereka, satu kejahatan dengan satu dosa. Manakala satu kebaikan dengan sepuluh
pahala agar memberitahu mereka bahawa, sesungguhnya Aku tidak akan memasukkan mereka
ke dalam neraka melainkan setiap yang kembali akan dikembalikan dengan dosa bagi
orang yang melampaui batas.” Nabi Adam as berkata: “Tuhanku! Penguasaku! Engkau
lebih utama bagi menghisab berbanding aku. Hamba itu adalah hambaMu dan Engkau Maha
Mengetahui sesuatu yang ghaib!”
Umat
Muhammad SAW Diseru Meniti Sirat Allah Taala menyeru: “Wahai Muhammad! Bawalah umatmu
untuk dihisab dan lintaskan mereka di atas Sirat yang dilebarkan. Panjangnya sejauh
500 tahun perjalanan.” Malaikat Malik berdiri di pintunya (neraka). Dia menyeru:
“Wahai Muhammad! Sesiapa yang datang dari umatmu dan bersamanya ada perlepasan dari
Allah Taala, maka dia akan terselamat. Sekiranya sebaliknya maka, dia akan terjatuh
di dalam neraka. Wahai Muhammad! Katakan kepada orang yang diringankan agar berlari!
Katakan kepada orang yang diberatkan agar berjalan!” Nabi Muhammad SAW bersabda
kepada malaikat Malik: “Wahai Malik! Dengan kebenaran Allah Taala ke atasmu, palingkanlah
wajahmu dari umatku sehingga mereka dapat melepasi! Jika tidak, hati mereka akan
gementar apabila melihatmu.” Malaikat Malik memalingkan mukanya dari umat Nabi Muhammad
SAW. Umat Nabi Muhammad SAW telah di pecahkan kepada sepuluh kumpulan. Nabi Muhammad
SAW mendahului mereka lalu bersabda kepada umatnya: “Ikutlah aku wahai umatku di
atas Sirat ini!”
Kumpulan
pertama berjaya melintasi seperti kilat yang memancar.
Kumpulan
kedua melintasi seperti angin yang kencang.
Kumpulan
ketiga melintasi seperti kuda yang baik.
Kumpulan
yang keempat seperti burung yang pantas.
Kumpulan
yang kelima berlari.
Kumpulan
keenam berjalan.
Kumpulan
ketujuh berdiri dan duduk kerana mereka dahaga dan penat. Dosa-dosa terpikul di
atas belakang mereka. Nabi Muhammad SAW berhenti di atas Sirat. Setiap kali, baginda
SAW melihat seorang dari umatnya bergayut di atas Sirat, baginda SAW akan menarik
tangannya dan membangunkan dia kembali.
Kumpulan
kelapan menarik muka-muka mereka dengan rantai kerana terlalu banyak kesalahan dan
dosa mereka. Bagi yang buruk, mereka akan menyeru: “Wahai Muhammad SAW!” Nabi Muhammad
SAW berkata: “Tuhan! Selamatkan mereka! Tuhan! Selamatkan mereka”!
Kumpulan
ke sembilan dan ke sepuluh tertinggal di atas Sirat. Mereka tidak diizinkan untuk
menyeberang.
Dikatakan
bahawa, di pintu syurga, ada pokok yang mempunyai banyak dahan. Bilangan dahannya
tidak terkira melainkan Allah Taala sahaja yang mengetahui. Di atasnya ada kanak-kanak
yang telah mati semasa di dunia ketika umur mereka dua bulan, kurang dan lebih sebelum
mereka baligh. Apabila mereka melihat ibu dan bapa mereka, mereka menyambutnya dan
mengiringi mereka memasuki syurga. Mereka memberikan gelas-gelas dan cerek serta
tuala dari sutera. Mereka memberi ibu dan bapa mereka minum kerana kehausan kiamat.
Mereka memasuki syurga bersama-sama. Hanya tinggal, kanak-kanak yang belum melihat
ibu dan bapa mereka. Suara tangisan mereka semakin nyaring. Mereka berkata: “Aku
mengharamkan syurga bagi diriku sehingga aku melihat bapa dan ibuku.” Kanak-kanak
yang belum melihat ibu dan bapa mereka telah berkumpul. Mereka berkata: “Kami masih
di dalam keadaan yatim di sini dan di dunia.” Malaikat berkata kepada mereka: “Bapa-bapa
dan ibu-ibu kamu terlalu berat dosa mereka. Mereka tidak diterima oleh syurga akibat
dosa mereka.” Mereka terus menangis malah lebih kuat dari sebelumnya lalu berkata:
“Kami akan duduk di pintu syurga moga-moga Allah Taala mengampuninya dan menyatukan
kami dengan mereka.” Demikianlah! Orang yang melakukan dosa besar akan dikurung
di tempat pembalasan yang pertama oleh mereka iaitu Sirat. Ia dipanggil “Tempat
Teropong.” Kaki-kaki mereka akan tergantung di Sirat. Nabi Muhammad SAW melintasi
Sirat bersama orang-orang yang soleh di kalangan yang terdahulu dan orang yang taat
selepasnya. Di hadapannya, ada bendera-bendera yang berkibaran. Bendera Kepujian
berada di atas kepalanya. Apabila bendera baginda menghampiri pintu syurga, kanak-kanak
akan meninggikan tangisan mereka.
Rasulullah
SAW bersabda: “Apa yang berlaku pada kanak-kanak ini?” Malaikat menjawab: “Mereka
menangis kerana berpisah dengan bapa dan ibu mereka. “Nabi SAW bersabda: “Aku akan
menyelidiki khabar mereka dan aku akan memberi syafaat kepada mereka, Insya Allah.”
Nabi Muhammad SAW memasuki syurga bersama umatnya yang berada di belakang. Setiap
kaum akan kekal didalam rumah-rumah mereka. Kita memohon kepada Allah Taala agar
memasukkan kita di dalam keutamaan ini dan menjadikan kita sebahagian daripada mereka.
Jazakumullahu khairan katsira.
Antara
Cara Kematian Yang Terbaik.
· Mengucapkan kalimah
syahadah ketika wafat. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang pada akhir kalimahnya
mengucapkan La ilaaha illallah maka ia dimasukkan ke dalam syurga.” (Hadis Riwayat
Hakim)
· Ketika wafat dahinya
berkeringat. Ini berdasarkan hadis dari Buraidah Ibnul Khasib. Adalah Buraidah dahulu
ketika di Khurasan, melihat saudaranya yang tengah sakit, namun didapatinya ia sudah
wafat dan terlihat pada jidatnya (dahi) berkeringat, kemudian dia berkata: “Allahu
Akbar, sungguh aku telah mendengar Rasulullah bersabda: Matinya seorang mukmin adalah
dengan berkeringat dahinya.” (Hadis Riwayat Ahmad, an-Nasai, at-Tirmidzi, Ibnu Majah,
Ibnu Hibban, Al-Hakim dan ath-Thayalusi dari Abdullah bin Mas’ud)
· Wafat pada malam
Jumaat. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Tidaklah seorang
Muslim yang wafat pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali pastilah Allah
menghindarkannya dari seksa kubur.” (Hadis Riwayat Ahmad)
· Mati syahid di dalam
medan perang.
· Mati dalam peperangan
fisabilillah. Rasulullah bersabda, maksudnya: “Apa yang kalian kategorikan sebagai
orang yang mati syahid di antara kalian? Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah yang
kami anggap sebagai orang yang mati syahid adalah siapa saja yang mati terbunuh
di jalan Allah. Baginda bersabda: “Kalau begitu umatku yang mati syahid sangatlah
sedikit.” Kalangan sahabat kembali bertanya: “Kalau begitu siapa sajakah dari mereka
yang mati syahid wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Sesiapa yang terbunuh di
jalan Allah, yang mati sedang berjuang di jalan Allah dan yang mati kerana penyakit
kolera, yang mati kerana penyakit perut (iaitu disebabkan penyakit yang menyerang
perut seperti busung lapar atau sejenisnya), dialah syahid dan orang-orang yang
mati tenggelam, dialah syahid.”(Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi)
· Mati disebabkan penyakit
kolera. Mengenai ini banyak hadis Rasulullah s.a.w meriwayatkan antaranya sebagai
berikut: Rasulullah bersabda, maksudnya: “Penyakit kolera adalah penyebab mati syahid
bagi setiap Muslim.” (Hadis riwayat Bukhari, ath-Thayalusi dan Ahmad)
· Mati kerana tenggelam
dan Mati kerana tertimpa runtuhan/tanah. Dalil ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah
bermaksud: “Kalangan syuhada itu ada lima; orang yang mati kerana wabak kolera,
kerana sakit perut, tenggelam, tertimpa runtuhan bangunan dan syahid berperang di
jalan Allah.” (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Ahmad)
· Perempuan yang meninggal
kerana melahirkan anak.
· Mati terbakar.
· Mati kerana penyakit
busung perut. Mengenai perkara ini banyak sekali riwayat dan yang paling masyhur
adalah dari Jabir bin Atik secara marfu’: “Kalangan syuhada ada tujuh: Mati terbunuh
di jalan Allah, kerana penyakit kolera adalah syahid, mati tenggelam adalah syahid,
kerana busung lapar adalah syahid, kerana penyakit perut keracunan adalah syahid,
kerana terbakar adalah syahid dan yang mati kerana tertimpa runtuhan (bangunan atau
tanah gelongsor) adalah syahid serta wanita yang mati ketika hamil adalah syahid.”
(Hadis riwayat Imam Malik, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)
· Mati kerana penyakit
Tubercolosis (TBC). Ini berdasarkan sabda
Rasulullah s.a.w, maksudnya: “Mati di jalan Allah adalah syahid dan perempuan yang
mati ketika melahirkan adalah syahid, mati kerana terbakar adalah syahid, mati kerana
tenggelam adalah syahid, mati kerana penyakit TBC adalah syahid dan mati kerana
penyakit perut adalah syahid.” (Hadis riwayat Thabrani)
· Mati kerana mempertahankan
harta dari perompak. “Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya (dalam riwayat
lain; Sesiapa menuntut hartanya yang dirampas lalu ia terbunuh) adalah syahid.”
(Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasa’i, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan
Ahmad)
· Mati dalam membela
agama dan jiwa. “Sesiapa mati terbunuh dalam membela hartanya, dia mati syahid;
siapa saja yang mati dalam membela keluarganya, dia mati syahid; sesiapa mati dalam
membela agama (keyakinannya), dia mati syahid dan siapa saja yang mati mempertahankan
darah (jiwanya) dia syahid.”
· Mati dalam berjaga-jaga
(waspada) di jalan Allah. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Berjaga-jaga (waspada)
di jalan Allah sehari semalam adalah lebih baik daripada berpuasa selama sebulan
dengan mendirikan (solat) pada malam harinya. Apabila dia mati, mengalirkan pahala
amalannya yang dahulu dilakukannya dan juga rezekinya serta aman dari seksa kubur
(fitnah kubur).”
· Orang yang meninggal
ketika mengerjakan amal soleh.
Marilah
kita berazam memperbaiki diri kita dengan amalan baik yang disuruh dan
meninggalkan larangan dari Allah SWT, semuga kita terpelihara dari azab neraka
Sunnah Mukmin
1 comment:
subhanallah ... benar kematian tak menunggu kita siap, melainkan kita yang wajib menyiapkan diri untuk menyambutnya saat dia hadir.
Post a Comment