DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Wednesday, July 25, 2012

SEJARAH AL-QURAN

1. Tulisan Arab
Nabi Muhammad SAW. telah diutuskan kepada satu umat yang kebanyakannya buta huruf (tidak boleh membaca dan menulis), tidak boleh mengira bahkan hampir tidak boleh mengenal sesuatu bentuk tulisan. Antara yang boleh menulis sebelum kebangkitan Nabi Muhammad SAW. sebagai Rasul ialah Abu Bakar al-Siddiq, Umar bin al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Talhah bin Ubaidillah, Abu Sufyan bin Harb, Mu'awiyah bin Abi Sufian, Abban bin Said dan al-'Ala' bin al-Hadrami. Semuanya dari kalangan penduduk Mekah al-Mukarramah manakala dari kalangan penduduk Madinah pula ialah Amru bin Said, Ubai bin Ka' ab, Zaid bin Thabit dan al-Munzir bin Amru. Setelah Rasululah SAW. berhijrah ke Madinah, Baginda telah menggalakkan penulisan dan mendorong agar umat Islam belajar menulis sehingga mensyaratkan setiap orang tawanan Perang Badar dari kalangan orang Quraisy Mekah yang ingin dibebaskan hendaklah terlebih dahulu mengajar sepuluh orang kanak-kanak Islam di Madinah. Melalui usaha ini, Baginda mengharapkan berlakunya pertambahan jumlah penulis di kalangan masyarakat Islam. Akhimya Rasulullah SAW. mempunyai lebih daripada 40 orang penulis (kebanyakannya penulis wahyu) sebelum al-Quran sempurna diturunkan kepada Baginda.
2. Tulisan dan Penulisan AI-Quran
Menurut Bahasa Arab, perkataan khat ( خط ) bererti garis memanjang pada sesuatu perkara dan juga cara yang paling mudah untuk menulis, dengan menggunakan peralatan seperti pen, qalam dan sebagainya. Terdapat perbezaan di antara khat atau tulisan dan rasm. Khat adalah berhubung dengan pembentukan huruf manakala ras m adalah mengenai pembentukan perkataan menerusi hurufhuruf Hijaiyyah. Khat yang dipelajari oleh Harb bin Umayyah dan mengajarkannya kepada orang-orang Quraisy ialah khat al-Anbari al-Hairi. Apabila khat ini diperkenalkan ke Hijaz, ia dinamakan dengan khat al-Hijazi. Bentuk khat inilah yang telah digunakan oleh para penulis surat, syair dan lain-lainnya. Sehinggalah kedatangan Islam, bentuk khat tersebut telah digunakan dalam penulisan wahyu hinggalah ia digunakan pada Suhuf Abu Bakar al-Siddiq dan digunakan juga pada penulisan Mushaf Uthmaniah. Apabila Islam telah tersebar di serata pelusuk dunia, maka terdapat sekumpulan dari penulis-penulis Kufah yang telah mengelak dan mencantikkan lagi khat al-Hijazi. Setelah berlaku proses tersebut, khat al-Hijazi itu dinamakan dengan khat al-Kufi.

3. Penulisan dan Pengumpulan AI-Quran pada Zaman Rasulullah SAW,
Menurut Ahli Sejarah, penulisan al-Quran bermula dari zaman Nabi Muhammad SAW. dimana sebaik sahaja Rasulullah SAW. menerima wahyu, Baginda mengarahkan penulis-penulis wahyu mencatatkan ayat-ayat al-Quran yang diterimanya. Antara penulis wahyu Baginda Rasulullah SAW. ialah Khulafa' al-Rasyidin yang empat iaitu Saiyidina Abu Bakar al-Siddiq, Saiyidina Umar bin al-Khattab, Saiyidina Uthman bin Affan dan Saiyidina Ali bin Abi Talib RA. serta sahabat Baginda yang lain seperti Saiyidina Zaid bin Thabit, Ubai bin Ka'ab, Thabit bin Qais RA. dan lain-lain. Oleh kerana pada masa itu ketiadaan kertas, maka para penulis wahyu telah mencatatkan ayat-ayat al-Quran tersebut pada pelepahpelepah tamar, kepingan batu, tulang dan lain-lain bahan tulisan. Catatan tersebut disalin semula oleh sebahagian sahabat walaupun kebanyakan mereka lebih mengutamakan hafazan.

4. Penulisan AI-Quran pada Zaman Saiyidina Abu Bakar al-Siddiq RA.
Selepas Rasulullah SAW. wafat, para sahabat telah melantik Saiyidina Abu Bakar al-Siddiq RA. menjadi khalifah yang pertama. Pada zamannya telah berlaku beberapa peperangan antaranya ialah peperangan al-Yamamah yang berlaku pada tahun 11 Hijrah. Dalam peperangan tersebut ramai tentera Islam yang menghafaz al-Quran telah gugur syahid. Sejarah mencatatkan sehingga 700 orang yang menghafaz al-Quran telah gugur syahid dalam peperangan tersebut." Peristiwa berkenaan telah mendorong Saiyidina Umar bin al-Khattab RA. beberapa kali mencadangkan kepada Khalifah Abu Bakar al-Siddiq RA. supaya diadakan usaha pengumpulan al-Quran kerana dibimbangi al-Quran akan terhapus dengan sebab ramai Qurra' yang gugur syahid. Akhirnya Khalifah Abu Bakar al-Siddiq RA. bersetuju dengan cadangan tersebut dan mengarahkan Saiyidina Zaid bin Thabit RA. menyalin al-Quran yang telah ditulis dan dihafaz pada zaman Rasulullah SAW. dengan dibantu oleh beberapa orang sahabat yang lain. Melalui usaha tersebut maka terkumpullah al-Quran yang pertama dalam bentuk lembaran suhuf. Setelah Saiyidina Abu Bakar al-Siddiq RA. wafat, suhuf tersebut telah disimpan di rumah Saiyidina Umar bin al-Khattab RA. dan apabila Saiyidina Umar bin al-Khattab RA. wafat, lembaran suhuf itu telah disimpan pula oleh Ummul Mukminin Saiyidatina Hafsah binti Umar al-Khattab RA.

5. Penulisan Al-Quran pada Zaman Saiyidina Uthman bin Affan RA,
Pada masa pemerintahan Khalifah Saiyidina Uthman bin Affan RA. Islam telah berkembang dengan luas meliputi Semenanjung Tanah Arab dan lain-lain wilayah termasuk Armenia, Arzabeijan dan Khurasan. Umat Islam di wilayah-wilayah tersebut telah mempelajari dan membaca al-Quran menurut kaedah-kaedah bacaan Rasulullah SAW. melalui riwayat bacaan para sahabat yang masyhur antaranya:

i. Penduduk Mekah dan Madinah mengambil kaedah bacaan dari Ubai bin Ka'ab, Zaid bin Thabit dan Saiyidina Umar bin al- Khattab RA.
ii. Penduduk Syam mengambil kaedah bacaan daripada Saiyidina Uthman bin Affan dan Abu Darda' RA.
iii. Penduduk Basrah mengambil kaedah bacaan dari Saiyidina Umar bin al-Khattab, Ubai bin Ka'ab, Zaid bin Thabit, Saiyidina Uthman bin Affan, Saiyidina Ali bin Abi Talib dan Abu Musa al-Asha' ari RA.
iv. Penduduk Kufah mengambil kaedah bacaan daripada Abdullah bin Mas'ud, Saiyidina Ali bin Abi Talib, Saiyidina Uthman bin Affan, Ubai bin Ka'ab dan Zaid bin Thabit RA. Pada tahun 25 Hijrah, satu perbalahan yang hebat telah berlaku di kalangan muslimin mengenai perbezaan kaedah bacaan dan seterusnya perselisihan dari segi riwayat pembacaan al- Quran. Keadaan yang tidak begitu sihat ini telah disampaikan oleh seorang sahabat yang bemama Huzaifah bin al- Yaman kepada Khalifah Saiyidina Uthman bin Affan. Huzaifah telah mencadangkan supaya Khalifah Saiyidina Uthman RA. mencari jalan untuk menyatukan kaum muslimin dengan cara menyelaraskan mushaf agar tidak berlaku lagi perbalahan dan perselisihan tersebut. Khalifah Uthman bin Affan RA. telah membentuk satu Jawatankuasa Penulisan Al- Quran yang diketuai oleh Zaid bin Thabit RA. dan dibantu oleh beberapa orang anggota yang lain yang terdiri dari Abdullah bin Zubair, Said bin al-' As dan Abdul Rahman bin Harith bin Hisyam RA. Lembaran-lembaran suhuf al-Quran yang diambil dari simpanan Saiyidatina Hafsah binti Umar RA. untuk dijadikan mushaf. Ketika ahli-ahli Jawatankuasa ini menjalankan tugas, Saiyidina Uthman bin Affan memberi nasihat dan meletakkan panduan bahawa asas rujukan di dalam penulisan al-Quran ini hendaklah berdasarkan bacaan para Qurra'. Jika terdapat perbezaan pada bacaan mereka, maka hendaklah ditulis mengikut bahasa orang-orang Quraisy kerana al- Quran itu diturunkan menurut bahasa Quraisy.
Menurut pendapat yang muktamad, Jawatankuasa tersebut telah menyusun dan menyalin sebanyak enam mushaf al-Quran. Sebuah mushaf untuk kegunaan Saiyidina Uthman bin Affan RA. sendiri yang dinamakan "Mushaf al-Imam" dan mushaf yang lain dikirimkan ke Mekah, Syam, Basrah, Kufah dan Madinah. Mushaf tersebut bukan sahaja dijadikan rujukan tunggal bagi penduduk di wilayahwilayah berkenaan, bahkan dihantar bersama-samanya seorang imam (qari) yang adil dan mutqin" di dalam bacaan al-Quran untuk mengajar penduduk berkenaan. Mereka terdiri daripada:

i. Abdullah bin al-Saaib RA. ke Mekah.
ii. AI-Mughirah bin Abi Syahab RA. ke Syam.
iii. Abdul Rahman Abdullah bin Habib al-Sulami RA. ke Kufah.
 iv. Amru bin Qais RA. ke Basrah. v. Zaid bin Thabit RA. di Madinah.

Selepas itu, Saiyidina Uthman bin Affan RA. memerintahkan supaya semua lembaran al-Quran yang ditulis sebelum ini dikumpulkan untuk dibakar atau dilupuskan. Walau bagaimanapun, perbezaan bacaan ( وججه القراءات ) yang ada hingga sekarang ini tidaklah berlawanan dengan apa yang terdapat di dalam mushaf yang ditulis pada zaman Khalifah Uthman bin Affan RA. kerana bacaan itu telah diterima dari Baginda Rasulullah SAW. secara mutawatir.

Usaha-usaha pengumpulan al-Quran yang dilakukan pada zaman Khalifah Uthman bin Affan telah mendatangkan faedah yang besar kepada umat Islam terutamanya dari segi:

i. Dapat menyelamatkan umat Islam dari perpecahan.
ii. Dapat menyelesaikan perselisihan kaum muslimin tentang penulisan al-Quran.
iii. Dapat menyatukan bentuk mushaf yang seragam melalui ejaan dan tulisan.
iv. Dapat menyatukan wajah-wajah qiraat melalui satu mushaf.
v. Dapat menyelaraskan susunan surah-surah menurut tertib seperti yang ada sekarang ini.
6. Kelebihan Rasm Uthmani
AI-Quran Rasm Uthmani mempunyai banyak kelebihan, antaranya:

i. Mengikut sunnah Rasulullah SAW.
ii. Mengikut tulisan al-Quran yang asal.
iii. Boleh memahami makna yang berlainan dan tidak pula terkeluar daripada maksud yang sebenar.
iv. Memudahkan bacaan dengan wajah qiraat (jenis-jenis bacaan).
v. Sebagai hujah kepada bahasa al-Quran yang fasih.
yi. Dipersetujui oleh lebih 12,000 orang sahabat.
vii. Salah satu dari mukjizat al-Quran.
viii.Bertepatan dengan riwayat bacaan mutawatir.
ix. Salah satu dari rukun bacaan al-Quran al-Karim.
x. Berdasarkan kepada dalil-dalil yang kuat dan hujah-hujah yang jelas.
xi. Ditulis mengikut bacaan Rawi (riwayat).
xii. Mengandungi rahsia dari segi mengekal dan menggugurkan huruf.

7. Tahap Penulisan AI-Quran
Penulisan al-Quran Rasm Uthmani seperti yang terdapat sekarang ini melalui tahap-tahap berikut:

i. Tahap Pertama: Belum diletakkan sebarang tanda.
ii. Tahap Kedua: Ditandakan titik ( نقطة العراب ) yang dipelopori oleh/Abu al-Aswad al-Duali (meninggal dunia pada tahun 69 Hijrah pada zaman Khalifah Marwan bin al-Hakam). iii.Tahap Ketiga: Mula ditandakan dengan titik ( نقطة العجام ) yang dipelopori oleh Yahya bin Ya'mar dan Nasyr bin 'Asim al-Laisy dengan perintah Gabenor Iraq iaitu al-Hajjaj bin Yusof al-Thaqafi,
iv. Tahap Keempat: Mula diletakkan dengan tanda-tanda baris (harakah) yang dipelopori oleh al-Khalil bin Ahmad al-Farahidi pada zaman pemerintahan Abbasiyah iaitu Khalifah Abdul Malik bin Marwan.
v. Tahap Kelima: Ditambah dengan tanda-tanda waqaf dan lain-lain tanda lagi. Tulisan al-Quran dengan menggunakan Khat Nasakh mula dicetak buat pertama kalinya diHamburg, Jerman pada tahun 1694 Masihi (1113 Hijrah) dan seterusnya dicetak di negara-negara Islam yang lain sehingga ke hari ini.

8. Cara Bacaan AI-Quran yang Diamalkan Masa Kini
Terdapat beberapa cara bacaan yang diamalkan pada masa kini iaitu:
i. Bacaan mengikut riwayat Hafs dari Imam 'Asim adalah paling banyak diamalkan di negaranegara Islam.
ii. Bacaan mengikut riwayat Warsy dari Imam Nafi' adalah banyak diamalkan di negara Afrika.
iii. Bacaan mengikut riwayat Qalun dari Imam Nafi' adalah banyak diamalkan di negara Asia Tengah.
iv. Bacaan mengikut riwayat al-Duri dari Imam Abu Amru al-Basri adalah banyak diamalkan di Sudan.
9. Penulisan AI-Quran (Ilmu Rasm)
Ilmu Rasm ialah satu ilmu yang membincangkan cara menulis lafazlafaz atau ucapan untuk memelihara pengucapan huruf-hurufnya dari segi lafaz, huruf-huruf asal dan ilmu yang membahaskan kaedah menambah, mengurang, menyambung, memisah dan menggantikan huruf. Penulisan (rasm) al-Quran ini adalah satu sunnah Rasulullah SAW. yang diikuti secara ijma' (sepakat) oleh seluruh ulama mujtahidin kerana tulisan ini adalah berbentuk tauqifiyyah dan ia dibuat di bawah pengawasan Nabi Muhammad SAW.

10. Pembahagian Rasm
Rasm al-Quran terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
i. Rasm Qiasi/Imla'i. Iaitu penulisan menurut kelaziman pengucapan/ pertuturan.
ii. Rasm Istilahi/ Uthmani. Iaitu penulisan menurut kaedah tertentu yang mana ia tidak sama dengan penulisan biasa dari segi sebutan disebabkan ia menggunakan beberapa kaedah seperti membuang, menambah, mengganti, menyambung atau memisahkan huruf dan penulisan Hamzah. Kebanyakan mushaf ditulis mengikut kaedah-kaedah ini. Oleh itu, penulisan mushaf Uthmani ini diakui sebagai penulisan yang bersifat tauqifiyyah (penetapan/penentuan Nabi), maka penggunaan tulisan Imla'i atau Qiasi tidaklah diharuskan.


Disusun Oleh : Ustaz Md Abdu Bin Sahak
B.A (Hons) Al Quran & Qiraat
Universiti Al Azhar Mesir.

Monday, July 23, 2012

Sekiranya Kita Tahu Apa Yang Tersimpan Disebalik Ujian Itu...


Jika dahulu seorang pemuda mengeluh mengenangkan betapa banyaknya ujian yang telah dia tempuhi, tetapi dia lupa sebenarnya ujian itulah telah membawa hidupnya ke saat ini. Jika seorang wanita kecewa dahulunya kerana tidak dapat mengahwini seorang lelaki yang dicintai, tetapi dengan jalan itulah dia sekarang masih lagi bahagia sehingga detik ini.
Ujian atau seringkali disama ertikan sebagai musibah sering kali dilihat atau sememangnya dilihat sebagai suatu perkara yang menyakitkan. Bahkan memang musibah itu sifatnya memeritkan. Senang untuk kita bicarakan bahawa setiap musibah itu ada tersimpan kebaikkan yang terselindung di dalamnya. Tetapi realiti untuk mengamalkan apa yang diperkata bukan semudah apa yang diperkata.

Ingat, sesungguhnya apabila musibah itu datang, ketahuilah bahawa itu petanda kebaikkan akan datang menyapa.

Ummu Salamah tatkala didatangkan musibah dengan berita kematian suaminya di medan perang. Dia sedih. Tetapi dengan kesedihan itulah didatangkan kepadanya suatu pertama berharga bersuamikan seorang manusia yang termulia daripada seluruh kalangan manusia.

Kisah nyata seorang ayah bertemu hidayah dengan kelahiran anak yang cacat penglihatan. Tiadalah dugaan yang lebih besar bagi pasangan suami isteri yang menanti kelahiran pertama mereka melainkan mendapat anak yang tidak sempurna sifat. Dia begitu kecewa dengan kehadiran bayi itu disisi keluarga sehingga dia berkata,"Aku tidak membencinya, tetapi aku juga tidak dapat menyayanginya". Begitulah kekecewaannya sehingga membungkamkankan nilai kasih seorang ayah terhadap anak kecilnya.

"Aku tidak memberikan perhatian kepada Salim sehingga aku berpura-pura seperti dia tiada di sisi keluarga kami di rumah", ujarnya bagaimana detik Salim diperlakukan di rumah. Anak kecil yang dilayan bukan sebagai anak kecil. Hanya kerana kekurangan pada penglihatan mata. Tangis esak kecilnya seperti tidak didengari oleh seorang bernama sang ayah. Bahkan ayah kepada anak kecil bernama Salim itu, tegar keluar daripada bilik untuk tidur di tempat lain semata-mata untuk mengelak mendengar suara esak tangisan bayinya.
Tetapi segalanya berubah apabila suatu hari Salim menangis teresak-esak tanpa diketahui punca. Hati ayah tetap seorang ayah. Sejauh manapun seorang ayah cuba lari daripada anaknya, sesungguhnya fitrahnya tidak dapat lari dari ikatan itu. "Patutkah aku melihat apakah perkara yang menyebabkan Salim menangis?", soalnya teragak-agak di dalam hati.

"Salim apakah yang menyebabkan engkau menangis?", naluri seorang ayah tiba-tiba terdetik di dalam hati.

"Sekarang ayah baru perasan akan saya? Hanya setelah 10 tahun anakmu di sini?", luahan dari hati kecil seorang anak kecil.

Salim masuk ke dalam biliknya. Umar, adik kepada Salim yang biasa membawa Salim ke masjid untuk bersolat terlewat tidak seperti kebiasaan. Salim menangis kerana menunggu adiknya yang tidak pulang lagi. Salim menangis kerana takut tidak dapat berada di saf pertama, lebih-lebih lagi hari itu hari Jumaat.

"Oh Salim, kerana inikah engkau menangis?", tanya ayahnya kepada Salim yang tanpa tahu sebabnya tiba-tiba menitiskan air mata. "Salim, jangan sedih. Engkau tahu siapa yang akan membawa engkau ke masjid hari ini?", watak seorang ayah tiba-tiba menjelma. "Tentulah Umar", Salim menjawab. "Tidak Salim, ayahlah yang akan membawa kamu ke masjid hari ini", pujuk ayahnya yang dahulunya tidak pernah mengendahkan dirinya.

Ayah Salim yang tidak pernah mengenal sujud, akhirnya rebah bersujud. Itulah pertama kali yang menggetarkan hatinya, menimbulkan rasa takut dalam benaknya. Kekesalan berputik dalam sanubarinya. Selepas solat, Salim meminta mushaf al-Quran dihulurkan. Ayahnya tergamam. Bagaimana anak kecilnya yang buta matanya boleh membaca al-Quran. Tetapi betapa terkejutnya dia apabila mendapati bahawa surah al-Kahfi sudah sebati di dalam dada anak kecilnya. Dia menangis.

Sehinggalah ayah Salim insaf dan menemukan titik perubahan. Perubahan yang membolak seluruh titik kehidupannya ke arah yang bertentangan semaza zaman jahiliyyahnya..

Tetapi, taqdir mendahului perancangan manusia. Salim meninggal dunia tatkala ayahnya mengikuti jemaah atas usaha dakwah. Betapa sedihnya hati seorang ayah bila buah hatinya pergi meninggalkannya buat selama-lamanya. Bahkan ayahnya tidak sempat untuk menatap wajah kecil manusia yang telah menemukan titik cahaya dalam hidupnya buat kali terakhir.
Anaknya yang dahulunya tidak dihiraukan, tetapi beruabah menjadi anak yang paling disayangi dikalangan adik beradik mereka. "Bagaimana aku tidak mencintainya? Sedangkan petunjuk dalam hidupku ini melalui tangannya!", tangis yang berpanjangan sehigga ke saat ini.

Kadang-kala kita berasa hampa dengan kehadiran sesuatu yang kita panggil ia sebagai ujian. Tetapi sebenarnya, kehampaan yang didatangkan kepada kita itulah kurniaan yang paling besar buat kita. Kurniaan yang diwajahkan dalam bentuk kehampaan.

Begitu juga sebuah kisah yang diceritakan dalam majalah al-Islam. Bagaimana seorang pemuda yang sihat dari Sarawak ditimpakan kepadanya penyakit lumpuh. Lalu hari-harinya bertukar tidak seperti dulu, kini harinya dipenuhi dengan esak tangisan penyesalan terhadap nasib diri yang menimpa. Hampir putus seluruh semangat hidupnya.

Tetapi hari-hari beliau tetap diteruskan dengan setiap waktu dikelilingi oleh doktor dan jururawat di hospital. Keluarganya kini adalah pesakit disekeliling. Bualnya manjanya dihabiskan bersama jiran katil sakit bersebelahan. Tetapi tidak lama senggang waktu selepas itu, dia akhirnya menemui cahaya hidayah. Cahaya Islam mula menerobos sedikit demi sedikit hingga ke dasar hatinya.

Akhirnya dia menerima Islam sebagai jalan hidupnya. Cahaya yang dia hanya dapat apabila menghuni hospital tatkala telah lumpuh tubuh badannya. "Sebenarnya aku lebih beruntung apabila menjadi lumpuh berbanding sebelum menjadi lumpuh!", luahan hati yang kini berbeza nada berbanding sebelumnya. Bagaimana tidak demikian, hanya setelah menjadi lumpuh baru dirinya berjaya menggapai sinar penyelamat urusan akhiratnya. Sinar yang akan menentukan haluan rumah yang akan diduduki di akhirat buat selama-lamanya. Sama ada taman di syurga ataupun di sangkar neraka.

Kita mungkin tidak suka apa yang terjadi kepada kita sekarang. Tetapi ingatlah, perkara yang kita tidak suka itulah yang akan menjadi perkara yang kita syukuri suatu hari nanti.
Justeru, kita lihat ramai manusia yang tidak berjaya dibawa kepada perubahan kebaikkan melainkan didatangkan kepadanya ujian. Dahulunya mungkin orang yang paling banyak meninggalkan solat, tetapi selepas tersungkur dilanda badai musibah, mereka lah orang yang paling banyak duduk bersingkuh di dalam tahajuj menghadap Tuhannya sambil mengadah tangan berdoa, "Ya Allah, ampunkanlah aku. Ampunkahlah dosa-dosa aku.".

Oleh itu, kadang-kala ujian atau musibah itu sifatnya halus. Ia memerlukan masa untuk memahaminya. Tetapi sekali kita sudah mengetahui hikmah yang terkandung disebaliknya, pasti perkara itu menjadi perkara yang paling disyukuri nikmatya. Tidak mustahil akan terbit di hujung lidahnya,

"Andaiku tahu apa yang tersimpan disebalik ujian itu buatku...." Walau itu yang pertama mungkin terakhir buat kita begitu juga sebaliknya mungkin yang terakhir namun itulah yang pertama dalam hidup kita.

Ehsan oleh Abu Hafiz Muhammad Hadi Ibrahim

Sunday, July 22, 2012

ZIKIR ASMA UL HUSNA


Nama-nama Allah adalah ibarat batu-batu permata yang menghiasi makhkota atau puncak keimanan dalam islam. Tentang ini hadith riwayat Bukhari menyebutkan: Allah Yang Maha Tinggi mempunyai 99 Nama dan sesiapa yang mempelajarinya akan masuk syurga. Mempelajari nama-nama Allah dan menghafalnya di dalam zikir siang dan malam adalah menjadi satu tugas utama bagi setiap manusia. Setiap satu dari nama Allah ini mengandungi makna yang berlainan. Di dalamnya tersebunyi rahsia yang antaranya diketahui oleh orang-orang yang beriman, ada pula cuma diketahui oleh para rasul dan ada pula yang menjadi rahsia mutlak Allah SWT sahaja. Diriwayatkan bahawa sekurang-kurangnya satu dari nama-nama Allah ini hanya diketahui oleh Rasulullah SAW. dan Allah sahaja.
Di dalam Al-Quran Allah berfirman: Katakalah: Serulah Allah atau serulah Yang Maha Pemurah. Dengan nama apapun engkau memanggilNya, Dia memiliki Nama-nama Yang paling Indah. (Bani Israil:110) Ayat ini menerangkan bahawa Allah SWT mempunyai banyak nama dan orang-orang yang beriman boleh memuji Allah dengan menyebut mana-mana satu daripadanya. Semua nama-nama Allah ini mengadungi sifat-sifat Allah dan jester menjadi kewajipan bagi setiap muslim untuk mempelajari dan memahami nama-nama Allah ini. Asma ul Husna yang pertama ialah Bismillah Hir Rahman Nir Rahim yang bermakna Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihi.

Kita membaca Bismillah Hir Rahman Nir Rahim untuk memulakan apa-apa jua perbuatan. Bila bangun tidur, sebelum makan, sebelum berjimak, sebelum memulakan pekerjaan, sebelum berucap dan sebagainya hendaklah kita mulaka dengan Bismillah. Cara yang terbaik untuk memulakan hari kita dengan membaca Auzubillahhi Minasy syaitan Nirrajim, Bismillah Hir Rahman Nir Rahim. Ia akan membantu mensucikan hati kita dan menenangkan jiwa seta Allah akan dekat dengan kita da Dia akan melindungi kita. Dia mengurniakan keberkatan kepada isteri atau ibu yang berkata Bismillah.sebelum mula masak, sebelum menghidang dan sebelum makan. Kita mestilah membaca Bismillah…agar kita Berjaya di dalam setiap pekerjaan kita.

Orang islam membaca Bismillah…setiap kali mereka memulakan pekerjaan kerana mereka melakukan sesuatu dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

ZIKIR ASMA UL HUSNA - Cahaya Penawar, Pelindung Dan Pencapai Hasrat Keperluan Harian.

INI kisah tentang seorang tua. Kampungnya telah dikepung oleh pengganas. Penduduk berasa amat takut dan bimbang. Sambil berdoa dan mengharap pertolongan Allah, mereka terus mengucap “La ilaha illallah”. Sesuatu yang aneh berlaku dan kadaan tiba-tiba berubah. Orang tua yang telah menjangkau 65 tahun itu mengambil keputusan untuk mendapatkan bantuan dari luar. Malam itu mereka bertolak. Mereka terkejut kerana musuh tidak ada di luar pintu keluar. Namun mereka masih berjaga-jaga mana tahu akan diserang hendap pula, lalu mereka membaca Ya Khaliq sambil memohon bantuan Allah. Dengan Kuasa Allah SWT, mereka melihat beberapa orang lelaki yang berpakaian serba putih dan menunggang kuda putih tebang kearah mereka.”Malaikat datang membantu kita, ” kata lelaki tua itu. Ketika itu juga mereka melihat pasukan musuh dimusnahkan oleh ‘farishta (Malaikat)’ itu.

Dalam pada itu, ketua penjahat telah menemui orang tua dan kumpulannya. Bila hampir sahaja, dia menghunus pedang kepada si tua itu, tetapi tindakannya membuatkan orang tua itu lebih kuat darinya. Sambil membaca Ya Qahhar dia menusuk pedang sepenuh tenaga sehingga darah keluar dari tangan ketua penjahat itu. Kisah benar ini berlaku 60 tahun yang lalu dan yang menceritakan kisah ini ada bersama kumpulan itu. Dari pengalaman ini, beliau yakin nama-nama Allah mempunyai kuasa untuk menyembuhkan penyakit, memenuhi keperluan dan melindungi muslim dari bahaya, insya Allah.
ALLAH (TIDAK ADA YANG LAIN MELAINKAN DIA)
NAMA Allah adalah nama yang teragung bagi Pencipta segala makhluk dan tuan alam semesta ini. Nama ini adalah nama umum bagi ALLAH SWT dan dengan nama inilah ALLAH memperkenalkan diriNya kepada manusia. Allah SWT telah memberi ilmu kepada manusia bahawa Dia adalah Esa dan segala pujian hanya layak untukNya. Perkataan ‘Allah’ adalah keterangan secara kasar tentang zarah/zat Allah SWT Roh manusia dan jasad manusia semuanya adalah zat. Jiwa atau roh megembara dari bumi ke punca kejadian selepas matinya anak adam itu dalam bentuk zat ‘tenaga’. Dengan cara yang sama perkataan Allah menerangkan kandungan zat pencipta kita.

Mulakan dengan Bismillah. Bila menyebut atau membaca nama-nama Allah, hendaklah seseorang itu memulakan dengan menyebut Asma ul Husna yang pertama iaitu Bismillah hir rahman nir rahim. Setelah menyebut nama-nama Asma ul Husna, bacalah selawat keatas Nabi sekali lagi dan selawat seharusnya dibaca sekurang-kurangnya sekali sebelum dan selepas membaca Asma ul Husna. Para wali mengatakan apabila kita membaca selawat, malaikat mendatangi kita untuk menyampaikan pesanan kita tetapi apabila kita terlupa untuk berselawat, pesanan itu tertinggal di dunia. Selawat ini hendaklah dibaca sekali atau 10 kali atau 100 kali sebelum dan selepas membaca nama-nama Allah yang terbaik ini.

Doa dimakbulkan. Sesiapa yang membaca Ya Allah 5000 kali setiap malam dengan penuh khusyuk, insyaAllah apa sahaja yang diinginkan atau dipinta akan dimakbulkan. Nama Allah SWT boleh dibaca 5000 kali untuk mendapat rezeki atau kekuatan jiwa dan mental. Malah dikatakan siapa yang menyebut Ya Allah setiap hari dengan penuh keimanan dan keikhlasan terhadap Allah SWT, kekayaan akan datang mencurah-curah dari setiap penjuru. Namun pastikan perbuatan anda selari dengan doa anda kepadaNya.
AR RAHIM (MAHA PENYAYANG)
AR-RAHIM, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Allah Yang Pengasih penuh dengan kasih saying kepada makhlukNya. Di akhirat kelak sifat Ar-RahimNya akan dinikmati oleh orang-orang mukmin dengan cara yang tidak dapat mereka gambarkan sekarang.

Melembutkan hati. Bacalah Ya Rahim 100 kali sehari jika mampu, 100 kali selepas setiap solat fardu. Insya Allah, hati anda akan menjadi lembut dan anda akan menyayangi orang lain.

Menjauhi bahaya. Sesiapa yang takut sesuatu menimpa yang buruk akan menimpanya, baca Ya Rahman Ya Rahim 100 kali, insya Allah ia akan dilindungi dari perkara yang tidak diingini.

Ketika memerlukan pertolongan. Selepas solat Asar pada hari Jumaat, baca Ya Rahman Ya Rahim secara berterusan di tempat yang sama dimana anda megerjakan solat Asar tadi. Bacaan hendaklah diteruskan sehingga 10 atau 5 minit sebelum masuk waktu Maghrib dan kemudian mintalah doa untuk menyelesaikan kesusahan yang anda sedang hadapi atau pertolongan yang sangat-sangat anda kehendaki, insya Allah akan dimakbulkan.

Nota: Selagi anda sedang membaca kalimah Ya Rahman YaRahim ini secara berterusan, anda tidak boleh bercakap dengan sesiapa dan pandangan anda hendaklah tertumpu ke tempat sujud sahaja

Sakit yang tidak sembuh. Baca Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim dari Asar ke Maghrib selama 41 hari, kemudian hembus kepada orang yang sakit atau sendiri jika anda mengidap sakit yang tidak boleh sembuh Insya Allah sakit itu akan sembuh.
AL-MUHAIMIN (MAHA PELINDUNG/PENJAGA)
AL MUHAIMIN, Yang Maha Mengambil Berat atau Menjaga atau melindungi. Ertinya Allah SWT mentadbir dan menjaga segala sesuatu.

Membersihkan perwatakan. Sesiapa yang mengamalkan solat sunat 2 rakaat atau sunat nafil (terutama di tengah malam) kemudian membaca Ya Muhaimin 100 kali, jiwa dan jasadnya akan dibersihkan. Hatinya akan menjadi suci dengan cahaya keimanan bersinar di wajahnya. Ertinya cahaya yang bersinar di hatinya akan terpancar dari wajahnya.

Kuat ingatan. Baca Ya Muhaimin 145 kali selepas solat Isyak, insya Allah anda akan memperolehi daya ingatan yang kuat. Mereka yang lemah daya ingatannya hendaklah sentiasa membaca kalimah ini145 kali supaya daya ingatan dan hafalannya bertambah baik, insya Allah.

Pelindung diri. Selepas berwuduk atau mandi sunat untuk solat jumaat, kerjakan solat sunat 2 rakaat dan baca Ya Muhaimin 115 kali, insya Allah anda akan dijauhi perasaan bimbang sehingga jumaat yang berikutnya.

Mempelajari rahsia illahi. Allah SWT mengajar kita rahsiaNya jika kita membaca Ya Muhaimin di sebarang waktu atau hari, insya Allah dan jika anda membacanya 101 kali bila-bila masa ketika anda inginkan sesuatu, insya Allah keinginan anda tercapai.
AL-JABBAR (MAHA PERKASA)
AL-JABBAR, Penguasa Yang Mutlak, Penguasa Yang Agung, Yang Maha Mempunyai Kuasa. Yang Maha Perkasa tidak mempunyai sebarang kekurangan dan melakukan sesuatu mengikut janjiNya. Al-Jabbar juga membaikkan keadaan khalifahNya di muka bumi. Al-Jabbar yang Maha Berupaya dan Berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya memulihkan sesuatu yang telah rosak dan mengembalikannya kepada rupa asal mereka.

Menahan dari melakukan perkara-perkara terlarang. Bila Ya Jabbar dibaca, ia menghalang anak adam itu melakukan sesuatu yang haram atau telarang.Baca kalimah ini bila rasa ingin melakukan sesuatu yang ditegah syariah. Bila keinginan itu menjadi kuat, bacalah Al-Jabbar berkali-kali dengan penuh keyakinan dan khusyuk, insya Allah ia akan membantu apabila iman kita lemah.

Bacalah kalimah ini juga membantu anda menghindarkan diri daripada melakukan sesuatu yang tidak anda sukai, dan anda tidak akan terdedah kepada keganasan, kesukaran dan keburukan. Menghukum pesalah Siapa yang membaca Ya-Jabbar 206 atau 226 kali di waktu pagi dan petang setiap hari, insya Allah orang jahat tidak akan mempengapakannya dan Allah SWT akan menghukum mereka yang berniat jahat.

Pelindungan dari musuh. Murid tuan-tuan guru biasanya membaca Al-Jabbar 100 kali selepas solat asar untuk melindungi diri dari musuh dan kuncu-kuncunya. Pembacanya juga akan disayangi orang.

Menghindari sumpahan. Jika takut orang melakukan sumpahan tanpa sebab terhadap anda, baca Ya-Jabbar 206 kali dan insya Allah anda akan terlindung darinya. Jika membaca kalimah ini 216 kali, anda akan terselamat dari orang jahat didalam urusan perniagaan atau kehidupan harian.

Menghendaki kemuliaan. Tulis Ya-Jabbar di atas sekeping kertas dan pegangnya di tangan kanan. Bila bertemu orang untuk urusan penting, anda akan dimuliakan. Boleh ditulis di atas jam ataupun cincin anda.
AL-KHALIQ. (MAHA MENCIPTA)
AL-KHALIQ, Pencipta Yang Maha Kuasa. Yang mencipta dari tiada kepada ada. Yang tidak wujud tiba-tiba saja menjadi wujud. Dialah yang mencipta segala sesuatu di ala mini tanpa bantuan atau tanpa rujukan.

Bantuan malaikat. Bila membaca Ya-Khaliq di tengah malam, Allah SWT akan menghantar malaikat untuk membantu anda memilih jalan yang benar di dunia ini sehingga ke hari kiamat. Anda juga akan mendapat ganjaran yang tinggi bagi amalan yang dilakukan malaikat itu. Tegasnya, Allah SWT menciptakan malaikat untuk membantu anda, allamdulillah.

Mendapat barang yang hilang. Baca Ya Khaliq 5000 kali jika kehilangan harta atau orang yang disayangi, insya Allah barang itu akan dijumpai atau orang yang disayangi itu akan kembali.

Menahan marah. Jika anda mempunyai rakan sepejabat yang khianat kepada anda dan membuat anda marah kepadanya, baca Ya Khaliq untuk menamatkan persengketaan ini. Baca sebanyak mana yang anda suka antara solat sunat Subuh dengan solat fardhu Subuh, insya Allah kebenaran akan tiba dan adalah yang memperoleh kemenangan.

Mendapat makanan dan zuriat. Bagi mereka yang tidak mempunyai makanan atau anak, bacalah Ya Khaliq 125 kali selama yang perlu (sebanyak mana hari yang perlu) insya Allah anda akan mendapat apa saja yang dihajatkan. Bacalah di waktu antara solat sunat Subuh dengan solat fardhu Subuh.

Terselamat dari bahaya. Untuk dilindungi dari sebarang bahaya, baca Ya Khaliq 100 kali bila anda rasa terancam. Insya Allah, anda akan selamat. Ini juga akan membantu membersihkan diri anda.

Membersihkan jiwa Di tengah malam ketika semua orang tidur, bangunlah dan sebutlah Ya Khaliq 731 kali, insya Allah jiwa dan jasad anda akan dibersihkan dan cahaya kebenaran akan memancar di wajah anda.
AL-QAHHAR (MAHA MENUNDUKKAN)
AL-QAHHAR, Yang Maha Agung memiliki segalanya di dalam kekuasanNya. Memerintahkan khalifahNya. Menakluki seluruh alam. Tidak semua orang dapat menggunakan nama Allah ini kerana mereka yang berniat jahat tidak akan mendapat manfaat bagi dirinya sendiri. Al-Qahhar ermaksud penguasa yang menguasai segala-galanya.

Menghapuskan keinginan dunia. Baca Ya-Qahhar 306 kali dan Allah SWT akan membunuh kecintaan anda terhadap perkara-perkara keduniaan. Malah anda akan memuja dan mengagungkan Allah SWT sahaja setiap masa. Anda juga akan dilindungi dari musuh.

Dukurnikan hajat. Jika berhajat sesuatu, baca Ya-Qahhar 100 kali kemudian angkat tangan ke langit dan mintalah apa-apa yang dihajatkan, insya Allah doa anda akan dimakbulkan.

Menghentikan perbuatan buruk. Orang yang mempunyai niat jahat atau sentiasa mengerjakan amalan jahat hendaklah sentiasa membaca Ya-Qahhar sepanjang siang atau malam, insya Allah ini akan menyekatnya dari meneruskan perbuatan jahatnya.

Kecintaan untuk mengerjakan solat. Mereka yang tidak menunaikan solat fardhu lima waktu kerana ikatan mereka kepada urusan dunia boleh menyembuhkan diri dengan membaca Ya-Qahhar 100 kali setiap hari. Insya Allah ia akan mempunyai masa dan keinginan untuk beribadah dan akhirnya dapat menyelesaikan masalah ini.
AL-FATTAH (MAHA PEMBUKA)
AL-FATTAH, membuka rahmatNya kepada semua hamba-hambaNya. Membuat kejayaan dan kemenangan mudah dengan rahmatNya. Dia Maha Membuka jalan.

Menghindari cinta dunia. Selepas solat Subuh, letakkan tangan di dada dan baca Al-Fattah 71 kali setiap hari. Insya Allah, hati akan dibersihkan dari perkataan-perkataan jahat. Kecintaan kepada dunia akan berkurangan dan ini menjadikan urusan anda sangat mudah.

Supaya terbuka hati. Untuk membuka hati (tidak bersikap terbuka atau meyembunyikan sesuatu yang patut diketahui dan untuk merasa yakin dan tetap iman) bacalah Ya-Fattah.

Berjaya di mahkhamah atau dalam peperiksaan. Selepas solat fardhu Isyak, lakukan solat sunat hajat 2 rakaat dan kemudian baca Al- Fattah 489 kali. Insya Allah anda akan berjaya.
AL- HAQ (MAHA BENAR)
AL-HAQ, Yang Maha Benar. Kebenaran Allah adalah yang abadi dan tidak akan berubah hingga bila-bila.

Bertambah keimanan. Bacalah Ya-Haq setiap hari dan iman anda akan bertambah. Innsya Allah.

Mencari barang hilang. Baca Ya-Haq beberapa kali dan baca 21 kali di dalam doa, insya Allah anda akan menjumpai semula barang yang hilang.

Menghindari penjahat. Siapa yang takut orang akan berbuat jahat kepadanya, bacalah Ya Haq 21 kali setiap hari dan insya Allah anda akan dilindungi.
AL-HAYYU (MAHA HIDUP)
AL-HAYYU, Yang Maha Hidup. Kehidupan Allah SWT adalah abadi, tiada mula dan akhir. Dia tidak bergantung kepada sesuatu pun untuk hidup. Sebagaimana makhluk yang bergantung kepada makanan, minuman, udara dan sebagainya.

Agar umur panjang. Baca Ya Hayyu 3000 kali sehari setiap hari dan anda akan diberkati dengan umur panjang. Insya Allah.

Berlindung dari kemurkaan Allah SWT Ertinya: Ya Allah! Bila semua telah mati, Engkau tetap hidup! Bila yang mati dibangkitkan, Engkau masih tetap hidup! Aku bermohon hanya kepadaMu Ya Allah! Apabila Allah SWT sedang menurunkan kemarahanNya, bacalah doa diatas. Nabi Yunus a.s dan pengikutnya membaca doa di atas tatkala awan hitam menurunkan api ke atas mereka, lalu Allah SWT memerintahkan awan menurunkan hujan lalu hujan pun turun.

Melakukan pekerjaan merbahaya. Baca Ya Hayyu 11 kali di tempat kerja dan insya Allah anda akan dilindungi dari kemalangan dan sebagainya.

Menghindari sifat munafik. Agar tidak terjurumus kepada kesesatan, munafik, berperasaan hasad dengki, tamak dan bongkak, bacalah Ya Hayyu sebanyak yang termampu setiap hari. Insya Allah anda akan mendapat cahaya kebenaran illahi dan iman akan menjadi semakin kukuh.

Ya Hayyun Ya Qayyum Baca Ya Hayyun Ya Qayyum, ia akan membantu anda dalam banyak perkara
I. Orang akan mendengar kata-kata anda dan mengikut perbuatan anda
II. Anda akan kaya dengan wang dan kebijaksanaan
III. Anda akan menjadi orang yang riang dan dapat mempengaruhi orang dengan keriangan anda. Dapat membantu orang lain melupakan kesedihan mereka.

Ketika sangat memerlukan atau dalam kesusahan. Sentisa baca Ya Hayyun Ya Qayyum Birahmatika Astikhizu. Ertinya: Wahai Yang Maha Hidup, Yang Kekal dan Yang Tidak bergantung. Dengan limpah rahmatMu, berilah aku pertolonganMu.
AL-QAYYUM (MAHA BERDIRI SENDIRI)
AL-QAYYUM, wujud dengan sendirinya. Nabi Isa a.s membaca Ya Qayyum dan menghidupkn Lazarus yang mati.

Meningkatkan martabat. Baca Ya Qayyum di sekitar tiga per empat malam, insya Allah anda akan menjadi orang yang sangat dihormati.

Memperolehi kemenangan. Baca Ya Qayyum banyak kali ketika sujud, Allah SWT akan memberi anda kemenangan, insya Allah. Nabi Muhammad s.a.w. membaca Asma ul Husna ini banyak kali dalam sujud ketiks Perang Badar.

Menghilangkan rasa malas. Baca Ya Qayyum 17 kali dan anda akan mendapat tenaga dan semangat untuk bekerja disamping semua kerisauan akan hilang, insya Allah.

Diberi kebahagiaan. Bila duduk bersendirian, bacalah Ya Qayyum beberapa kali, insya Allah anda akan beroleh kebahagiaan hidup. Boleh dibaca ketika sedang melakukan pekerjaan atau seumpamanya.

Dihormati orang. Baca Ya Hayyu Ya Qayyum 1000 kali setiap hari, anda akan dihormati orang, rezeki dan nasib anda akan bertambah baik, orang akan mendengar kata anda dan anda akan disukai dan dilindungi dari bahaya, insya Allah.

Ehsan Oleh: Mohamad Sukri B Mohd Mabror

Mengurus Keikhlasan


Ikhlas. satu perkataan yg sangat mudah dituturkan, namun sangat payah diukur, dinilai, malah tak nampak, dan tak tahu bagaimana perasaan itu yang sebenarnya. Keikhlasan itu umpama seekor semut hitam di atas batu yang hitam di malam yang amat gelap. Ianya wujud tetapi sukar di lihat, sesungguhnya ikhlas itu sendiri adalah rahsia Allah., rahsia dalam rahsia, makin dicari, terasa semakin misteri. Sebagai umat Islam, kita dituntut melakukan segala amal kebajikan dengan ikhlas. Ini kerana, hanya amalan yang ikhlas sahaja bakal mendapat pandangan Allah SWT.
Ikhlas itu antara anugerah istimewa yang Allah kurniakan kepada hamba-hamba pilihanNya. Allah sentiasa memerhatikan hamba-hambaNya yang berusaha mengikhlaskan hati mereka dalam setiap keadaan dan suasana. Keikhlasan hamba sentiasa dicuba diwaktu senang dan sudah, tua ataupun muda, lelaki ataupun wanita. Keihklasan tidak akan datang dengan mudah. Walaupun kita berusaha untuk ikhlas, sebenarnya Allah jualah yang memberi anugerah itu kepada sesiapa yang Dia inginkan. Sebagai hamba yang dikurniakan hati nurani, kita boleh merasakan kehadiran suasana ikhlas dalam diri. Pujuklah hati untuk sentiasa ikhlas. Hanya bila kita ikhlas pada diri sendiri, mudah untuk kita menerima rahmat Allah, kerana kehadiran ikhlas itu menandakan keadaan hati kita yang kian bersih. Berdoalah kepada Allah agar kita dikurniakan keihklasan dalam setiap amalan.

"Dan tiadalah mereka disuruh melainkan supaya menyembah Allah serta mengikhlaskan agama kepadanya." (Surah Al-Bayyinah:5). "Allah SWT ada mempunyai hamba-hamba yang berakal, apabila sudah berakal mereka itu beramal. Apabila sudah beramal mereka itu berikhlas. Maka ikhlas itulah yang.menarik segala pintu kebajikan semua sekali" (Sheikh Junaid Al-Bagdadi Rahimallahi Taala). "Hendaklah engkau ikhlas pada ugama nescaya memadai engkau dengan amal yang sedikit." (Saidina Mu'adz RA). Firman Allah didalam hadis Qudsi yg bermaksud: "Bermula ikhlas itu satu rahsia daripada rahsia aku, aku taruhkan ia dihati hamba yang aku kasihi daripada hamba-hamba ku." Sesiapa yang berjaya mencapai keikhlasan di dalam beribadat, maka dia merupakan orang yang tinggi darjatnya di sisi Allah SWT. Oleh yang demikian, kita perlu berusaha untuk melakukan amal ibadah seikhlas mungkin walau dengan apa cara sekalipun.

Bagaimana caranya?

Seperti ungkapan Ustaz Azhar Idrus dalam ceramahnya - Bertudunglah walaupun keadaan terpaksa..., Solatlah walaupun keadaan terpaksa..., Puasalah walaupun keadaan terpaksa..., Kerana kewajipan itu memang kadang kala sifatnya terpaksa..., Dari keterpaksaan itu perlahan-lahan kita akan menemukan hikmah dan pada akhirnya hati pun menjadi ikhlas untuk beribadah kepada Allah SWT. Jika harus menunggu keikhlasan hati lebih dahulu baru untuk beribadah, sampai bila hendak menunggu. Hidayah bukan untuk ditunggu, melainkan dicari. InsyaAllah.... Ia ibarat makanan, jika disuap, manakan ia masuk ke mulut kalau tidak disuap.

Kadangkala kita suka membuat alasan dengan isu ‘tidak ikhlas’ sebagai jalan untuk kita lari daripada beramal. Kita sentiasa menunggu-nunggu ikhlas itu datang sedangkan kita tidak pernah berusaha mencarinya. Bagaimana mencari ikhlas? Ya! dengan cara kita berusaha mengatasi ketidakikhlasan kita. Di peringkat permulaan, mungkin kita masih belum ikhlas sepenuhnya melakukan sesuatu ibadah. Jika kita terus meninggalkannya, adakah mungkin suatu hari kita akan mendapat ikhlas secara tiba-tiba? Mungkin juga..
Ingat, ‘mungkin juga’ ialah refleksi kepada ketidaktekunan dalam mendapatkan sesuatu. Namun, jika kita terus konsisten melakukan ibadah tersebut dan berusaha sedaya mungkin mengikhlaskan niat, lama-kelamaan kita akan dikurniakan Allah dengan rasa ikhlas yang tidak ternilai, Insya-Allah.

Dalam surah al-Ahzab ayat 70-71, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar. Nescaya Allah akan memperbaiki amal-amalmu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sungguh, dia menang dengan kemenangan yang agung.” (Al-Ahzab:70-71) Kita selalu beranggapan bahawa kita perlu benar-benar cukup bekalan dan sempurna sebelum melakukan sesuatu amal atau kerja dakwah di jalan Allah. Lantas kita kaku dan tidak beramal. Sedangkan Allah SWT membawa perspektif bahawa dengan usaha kita melakukan sesuatu amal, Allah s.w.t. akan memperbaiki amal tersebut dan mengampuni dosa kita. Begitu juga dengan ikhlas. Setelah kita berusaha melakukan amal dan cuba mengikhlaskan niat, Allah SWT akan menyediakan ganjaran yang tidak ternilai buat kita.
Ada orang sudah mengikhlaskan niat sebelum beramal, tetapi ternyata ketika amal itu dilakukan, dia tertipu dengan ramainya orang yang melihatnya beramal dan mengagumi amalnya. Ada orang melepasi ujian ini dan terus beramal dengan ikhlas, namun setelah itu dia sibuk bercerita tentang amalnya kepada orang lain atas tujuan menunjuk-nunjuk. Atau minimum dia ingin orang lain mendengar tentang amalnya daripada mulut orang yang melihat. Bolehkah begitu?

Sesuatu amal itu perlu dijaga kesuciannya sebelum dilakukan, ketika, dan selepas dilaksanakan. Itulah semurni-murni amal yang tidak dicemari dengan ketidakikhlasan. Selagimana kita bermujahadah mengikhlaskan niat tatkala perasaan riya’, ‘ujub dan sum’ah terdetik di hati, kita masih dikira sebagai seorang mujahid yang akan diganjarkan oleh Allah kelak. Namun, tatkala kita larut dalam perasaan-perasaan mazmumah tadi tanpa sedikitpun upaya menyedarkan diri dan meluruskan niat, kita telah gagal dalam ujian ikhlas.

Seperti kisah berikut yang perlu kita jadikan iktibar dalam mencari makna ‘keikhlasan diri’. Kata Rasulullah SAW kepada Abu Hurairah, “Pada hari kiamat kelak, Allah SWT akan turun kepada hambanya untuk memberikan keputusan kepada mereka semua (yakni kita semua umat manusia). Setiap umat itu akan berlutut. Tiga golongan terawal yang akan dipanggil Allah adalah orang alim, orang kaya dan orang yang berperang di jalan Allah (syahid).” Ramai Umat Islam hari ini menjadikan derma sebagai salah satu cara untuk menaikkan reputasi diri dalam masyarakat. Ketahuilah Allah telah menyediakan azab untuk golongan seperti ini.

ORANG ALIM
Allah bertanya kepada orang alim itu. “Bukankah AKU telah mengajarkanmu kitab yang telah AKU turunkan kepada rasul-KU?” Orang itu menjawab. “Benar,wahai Tuhan.” Allah kembali bertanya. ”Apa yang engkau kerjakan dengan ilmu yang kau miliki?” Orang tersebut menjawab.
”Dengannya aku beribadat kepada-MU di malam hari dan siang hari” Malaikat berkata kepadanya. “Engkau berdusta”. Allah berfirman. “Engkau hanya ingin dikatakan bahawa engkau seorang yang alim. Engkau berdusta! Kerana engkau belajar agar disebut alim, dan membaca al-Quran agar disebut qari (hafiz)". Dan sememangnya orang ramai menyebut sedemikian rupa. Orang itu lalu diseret atas wajahnya, kemudian dicampakkan ke dalam neraka

ORANG KAYA
Kemudian dipanggil orang kaya. Allah berfirman. ”Engkau telah AKU beri rezeki sehingga berkeadaan cukup”. Orang itu menjawab. ”Benar wahai tuhan”. Allah kemudian bertanya. ”Apa yang telah engkau kerjakan dengan hartamu itu?” Dia menjawab. ”Dengannya aku bersillaturrahim dan juga bersedekah.” Allah berfirman kepadanya. “Engkau dusta”. Malaikat juga berkata begitu. Allah berfirman. ”Engkau hanya ingin dikatakan bahawa engkau seorang dermawan. Engkau berdusta! Kerana engkau melakukan agar dikenali sebagai dermawan." Dan sememangnya orang ramai menyebut sedemikian rupa. Orang itu lalu diseret atas wajahnya, kemudian dicampakkan ke dalam neraka

ORANG YANG TERBUNUH DALAM PEPERANGAN (SYAHID)
Kemudian didatangkan orang yang terbunuh selepas berperang di jalan Allah. Maka Allahberfirman. ”Apa yang menyebabkanmu terbunuh?” Dia menjawab. ”Telah diperintahkan kepadaku untuk berjihad di jalan-MU, maka aku berperang sehingga terbunuh.” Maka Allah berfirman kepadanya. ”Engkau berdusta” Malaikat juga berkata begitu. ALLAH SWT berfirman.
”Engkau hanya ingin dikatakan bahawa engkau seorang yang berani. Engkau berdusta! Kerana engkau berjuang agar disebut sebagai pemberani!" - Dan sememangnya orang ramai menyebut sedemikian rupa. Orang itu lalu diseret atas wajahnya, kemudian dicampakkan ke dalam neraka

Kemudian Rasulullah SAW menepuk lututku sambil bersabda, ”Wahai Abu Hurairah, ketiga-tiga orang itu adalah orang-orang yang pertama sekali merasakan seksaan api neraka pada hari kiamat.”
Cara-cara membentuk hati yang ikhlas;

1-Taat kepada Allah yang menyuruh hamba-hamba-Nya melakukan amal dengan ikhlas.
2-Yakin kepada Allah yang menjanjikan balasan baik kepada orang yang ikhlas.
3-Hanya berharap kurniaan Allah dan keredhaan-Nya
4-Tidak terpengaruh dengan kesenangan atau kemewahan dunia
5-Melakukan amal dengan cara yang betul dan bersungguh-sungguh
6-Sabar dan bijak menghadapi ujian kesusahan dan gangguan
7-Menjauhi perkara2 maksiat penyelewengan,rasuah dan penipu
8-Banyak berzikir, berdoa dan bertawakal kepada Allah.

Tiga ciri IKHLAS

Pertama: Tidak terpengaruh atau termakan oleh pujian dan cercaan orang lain.  Bagi mereka segala pujian yang indah atau cercaan yang buruk adalah sama nilainya.

Kedua: Tidak mengharapkan balasan atau ganjaran dari amal kebajikan yang pernah dilakukan, tetapi dia hanya mengharapkan keridaan Ilahi. Rasulullah SAW bersabda : "Pada hari kiamat nanti, dunia akan dibawa, kemudian dipisah-pisahkan, apa yang dikerjakan kerana Allah dan apa yang dilakukan bukan kerana Allah, lalu dicampakkan ke dalam api neraka" (Hadis riwayat Baihaqi).

Ketiga: Orang yang tidak pernah mengungkit-ungkit kembali segala kebaikan yang pernah dilakukan. Ertinya, orang yang selalu menyebut tentang kebaikan yang pernah dilakukan, apalagi menghina dan memburuk-burukkan orang yang pernah diberikan bantuan, maka sesungguhnya dia sangat jauh dari golongan orang yang ikhlas. Rasulullah SAW pernah memerintahkan kita agar bersedekah secara diam-diam, jauh dari penglihatan orang ramai. Umpama tangan kanan memberi sedangkan tangan kiri tidak mengetahuinya. Sabda Rasulullah SAW : "Bahwa sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh dan rupa kamu, tetapi Dia hanya melihat kepada hati kamu." (Hadis riwayat Baihaqi).
Mudah-mudahan Allah SAW. memberi taufik dan hidayah kepada kita dalam beramal di jalan-Nya dengan seikhlas hati. Semoga kita menghargai perjuangan orang-orang terdahulu yang dilanda ujian yang jauh lebih hebat dibanding ujian ringan yang kita rasakan berat. Namun, mereka masih teguh di atas kebenaran. Bagaimana dengan kita?Moga dipermudahkan. Amin.