DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Thursday, July 19, 2012

Istiqamah Dalam Beramal


Perlunya istiqamah dalam melakukan ketaatan kerana menunaikan ketaatan adalah satu kewajipan, oleh itu istiqamah dalam melakukan ketaatan juga satu kewajipan. Istiqamah dalam ketaatan meliputi tiga bahagian utama iaitu;
·      Istiqamah hati
·      Istiqamah lisan.
·      Istiqamah amalan.
Istiqamah pada hati dan amalan merupakan buah dan hasil dari istiqamah hati dalam ketaantan kepada Allah SWT. Ketaatan pada amalan tanpa ketaatan hari, amalan tiada nilai disisi Allah swt. Itulah amalan orang munafiq yang sentiasa berpura-pura dalam amalan mereka. Hati adalah sumber kebaikan dan keburukan seseorang. Bila hati penuh dengan ketaatan kepada Allah, maka perilaku seseorang akan penuh dengan kebaikan. Sebaliknya, bila hati penuh dengan syahwat dan hawa nafsu, maka yang akan muncul dalam perilaku adalah keburukan dan kemaksiatan.

Keburukan dan kemaksiatan ini boleh datang kerana hati seseorang dalam keadaan lalai dari zikir kepada Allah. Ibnul Qayyim al-Jauziyah berkata, “Apabila hati seseorang itu lalai dari zikir kepada Allah, maka syaitan dengan serta merta akan masuk ke dalam hati seseorang dan mempengaruhinya untuk berbuat keburukan. Masuknya syaitan ke dalam hati yang lalai ini, lebih cepat daripada masuknya angin ke dalam sebuah ruangan.”

Oleh kerana itu hati seorang mukmin harus sentiasa dijaga dari pengaruh syaitan ini dengan sentiasa berada dalam sikap taat kepada Allah SWT. Kekuatan inilah yang disebut dengan Istiqamah. Imam al-Qurtubi berkata, “Hati yang istiqamah adalah hati yang sentiasa lurus dalam ketaatan kepada Allah, baik berupa keyakinan, perkataan, maupun perbuatan, hati yang istiqamah adalah jalan menuju kejayaan di dunia dan keselamatan dari azab akhirat. Hati yang istiqamah akan membuat seseorang dekat dengan kebaikan, rezekinya akan diluaskan dan akan jauh dari hawa nafsu dan syahwat.

Dengan hati yang istiqamah, malaikat akan turun untuk memberikan keteguhan dan keamanan serta ketenangan dari ketakutan terhadap azab kubur. Hati yang istiqamah akan membuat amal diterima dan menghapus dosa.”
Istiqamah secara umumnya bermaksud menumpukan komitmen untuk melaksanakan sesuatu perkara dengan penuh konsisten dan kesungguhan. Istiqamah adalah sikap terpuji yang perlu diamalkan oleh setiap individu Muslim. Ada beberapa perkara yang boleh menjana sikap istiqamah dalam beribadah antaranya :

1. Ilmu yang mantap - Kekuatan ilmu adalah perkara utama dalam menjana rasa istiqamah. Melalui ilmu akan menumbuhkan keyakinan dan keimanan yang kukuh. Oleh itu, ilmu pengetahuan adalah perkara yang mesti dipelajari terlebih dahulu sebelum ibadah dapat dilakukan dengan sempurna. Ini kerana tidak mungkin seseorang itu tertumpu kepada sesuatu yang tidak ia ketahui hakikatnya. Perkaitan antara ibadah dan istiqamah telah diungkap oleh Allah Subahanahu Wataala sebagaimana firman-Nya yang tafsirnya: “Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepada-Nya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhi-Nya; dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus.”(Surah Al Hajj ayat 54). Kemantapan ilmu akan menjadikan nilai ibadah lebih bermakna. Kita juga memahami tujuan ibadah tersebut, bagaimana perlaksanaan yang sebenar serta lebih yakin tentang hikmah-hikmah yang terkandung di dalam setiap ibadah. Ia juga mendorong seseorang Muslim itu melakukan ibadah bukan sekadar ikut-ikutan tanpa memahami tuntutan sebenar ibadah tersebut.

2. Bersahabat dengan orang-orang yang beristiqamah - Sahabat adalah cermin bagi seseorang sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadis Baginda yang bermaksud: “Orang mukmin laksana cermin bagi mukmin yang lain (untuk membetulkan diri).” (Hadis riwayat Al-Imam Abu Daud). Orang-orang yang berjiwa istiqamah akan sentiasa berbuat kebajikan, nasihat-menasihati dan tidak mudah berputus asa dan sabar dalam melaksanakan ibadah. Justeru itu, kita perlu berhati-hati memilih sahabat, kerana implikasi bersahabat amat besar dalam mempengaruhi mentaliti dan moral kita.

3. Menghayati sirah orang-orang yang beristiqamah - Sirah dan sejarah hidup orang-orang yang beristiqamah wajar dibaca dan dihidupkan di dalam diri kita. Dengan cara ini, pengaruh positif mereka bakal meninggalkan kesan yang baik kepada seseorang untuk menimbulkan keazamannya dalam meneladani kehidupan mereka. Sikap istiqamah mereka terpancar dari sudut keilmuan seperti kegigihan dalam menuntut serta menyampaikan ilmu dan menulis karya-karya ilmiah yang agung. Selain dari itu, umat Islam perlu juga sentiasa menghayati ketahanan daya istiqamah pejuang-pejuang terdahulu dalam jihad mereka menegakkan Islam dan ketabahan mereka ketika menghadapi kezaliman serta penganiayaan daripada musuh-musuh Allah.
4. Mujahadah melawan nafsu - Antara faktor yang dapat membantu kita untuk mencapai sikap istiqamah ialah mujahadah iaitu mengarahkan hati untuk berjuang melawan runtunan nafsu yang merangsang ke arah kejahatan. Di samping itu, keinginan nafsu serta kehendak-kehendak duniawi wajarlah dibimbing sehingga ia mejurus ke arah kebaikan dan keikhlasan, kerana Allah Subhanahu Wata”ala semata-mata. Memang tidak dapat dinafikan mujahadah melawan hawa nafsu itu tidak mudah, ia adalah suatu yang mencabar dan perlu ditempuhi bagi mereka inginkan jalan akhirat. Segala kesulitan dalam bermujahadah melawan hawa nafsu adalah ujian yang perlu ditangani dengan bersungguh-sungguh dan sabar serta tawakal kepada Allah Subhanahu Wata”ala.

5. Doa memohon pertolongan Allah - Umat apa jua urusan hidup, sama ada di saat senang mahupun di waktu ditimpa kesusahan. Doa adalah senjata bagi orang mukmin dan dalam hal ini ulama hadis, Al-Imam As-Syaukani menyatakan bahawa doa merupakan darjat ibadah paling tinggi dan mulia. Justeru itu, umat Islam perlu menggunakan senjata rohaniah ini untuk memohon hidayah Allah supaya segala tuntutan akapat direalisasikan secara istiqamah dan dengan penuh rasa keikhlasan. Istiqamah merupakan keperluan asasi dalam segenap ibadah, kerana ia adalah bukti ketaatan dan kecintaan seorang hamba kepada Allah Subhanahu Wata”ala. Meskipun ibadah yang kita lakukan itu kecil sahaja, tetapi jika dilaksanakan secara istiqamah, maka ia lebih disukai oleh Allah berbanding yang besar, tetapi tidak disertai dengan sikap istiqamah.Wassalam. 

No comments: