Ramai diantara
kita menyangka, sudah cukup faham mengenai doa, padahal masih ramai yang tidak
memahami hakikat doa yang sebenarnya. itulah sebabnya, ada yang berdoa tetapi
doanya tidak dikabulkan, ada yang berdoa, tetapi doanya menyebabkan dia
mendapat dosa dan murka Allah SWT. Ada yang berdoa tetapi caranya dibenci
Allah, ada yang berdoa, tetapi lain yang diminta lain yang didapatinya. Ada
yang berdoa, tetapi setelah dikurniakan menyebabkan dia menyesal. Tidak kurang
yang nampak seperti berdoa tetapi sebenarnya dia sendiri pun tidak tahu apa
yang didoakannya.
Berdoa merupakan salah satu daripada elemen yang
penting dalam kehidupan seorang muslim. Ia merupakan pengakuan hamba terhadap
kekuasaan Allah yang mutlak terhadap segala yang berlaku, manakala dari segi
yang lain pula ia adalah bentuk pengabdian seorang hamba kerana hadirnya
perasaan berhajat kepada Allah SWT. Berdasarkan ini, doa mempunyai kedudukan yang
mulia di sisi Allah dan Allah menyukai orang yang berdoa kepadaNya. Abu
Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah
SAW bersabda yang maksudnya : “Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah
daripada doa.” (Hadis riwayat Tirmidzi). Dalam hadis yang lain pula, daripada
Abdullah bin Mas‘ud RA, Nabi SAW bersabda yang maksudnya : “Mohonlah
kebaikan/kelebihan daripada Allah kerana sesungguhnya Allah suka diminta
kebaikan/kelebihan dan sebaik-baik ibadah adalah menunggu kelapangan (terlepas
daripada kesusahan).” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Doa adalah penggerak dalaman yang memberikan
kekuatan, keyakinan, harapan dan keberkatan dalam apa jua amal perbuatan. Maka
tidak hairan di dalam Islam setiap langkah sesuatu perbuatan, ada doa-doanya
tertentu yang digalakkan supaya diamalkan sama ada sebelum memulakan sesuatu
perbuatan ataupun selepas melakukannya. Semua ini tidak lain, bagi menggalakkan
orang-orang Islam agar sentiasa berdoa dan bagi menggambarkan bahawa berdoa itu
adalah salah satu daripada keperluan yang penting di dalam mencari keberkatan,
keredaan dan perlindungan Allah sepenuhnya pada mencapai segala apa yang
dilakukan. Sebab itu orang yang enggan berdoa bukan sahaja dia telah menutup
bagi dirinya berbagai-bagai pintu kebaikan, malah dia juga akan mendapat
kemurkaan daripada Allah. Nabi SAW bersabda yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah
RA yang maksudnya : “Sesungguhnya orang yang tidak meminta (berdoa) kepada
Allah, Dia (Allah) marah kepadanya.”
Kelebihan atau fadhilat doa itu amat besar dan
banyak sekali. Melalui doa, keampunan dan rahmat diperolehi, dan melalui doa
juga musibah dan kesusahan terhindar. Pendeknya, jika Allah menghendaki dan
merestui doa hambanya, tiada ada satu daya kuasa pun yang dapat menghalangnya
dan Allah tidak akan mensia-siakan keikhlasan orang yang berdoa. Allah SWT
berfirman di dalam surah Al- Baqarah ayat 186 yang tafsirnya : “Dan apabila
hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka):
“Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan
permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka
menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman
kepadaKu supaya mereka menjadi baik dan betul.”
Imam Al-Ghazali RT berkata: “Jika ada orang
bertanya, apa manfaat doa itu padahal qada (ketentuan Allah) tidak dapat
dihindarkan. Ketahuilah bahawa qada juga boleh menghindarkan suatu bala dengan
berdoa. Maka doa adalah menjadi sebab bagi tertolaknya suatu bala bencana dan
adanya rahmat Allah sebagaimana juga halnya bahawa perisai adalah menjadi sebab
bagi terhindarnya seseorang daripada senjata dan air menjadi sebab bagi
tumbuhnya tumbuh-tumbuhan di muka bumi.” Perkara ini diperkuatkan lagi dengan
firman Allah di dalam surah Ar-Ra‘d ayat 39 yang tafsirnya : “Allah
menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan Dia juga menetapkan apa jua yang
dikehendakiNya. Dan (ingatlah) pada sisiNya ada ibu segala suratan.” Manakala
daripada Salman RA berkata, telah bersabda Rasulullah SAW yang maksudnya : “Tidak
tertolak qada itu melainkan oleh doa dan tidak bertambah di dalam umur itu
melainkan oleh kebajikan.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Dalam menghuraikan hadis di atas, pengarang kitab
Bahr Al-Madzi membawakan masalah qadha mubram dan qadha mu‘allaq tentang makna
kedua-dua jenis qadha itu dan hubungannya dengan doa: “(Kata ulama) Qadha
Mubram itu ialah suatu yang ditentukan Allah di dalam ilmunya tiada boleh
diubah dan tiada boleh ditukar akan dia dan Qadha Mu‘allaq itu seperti suatu
perkara yang berta‘liq sekiranya engkau berdoa nescaya diperkenankan apa-apa
doamu dan jika sekiranya engkau berbuat kebaktian dan silaturrahim nescaya
dipanjangkan umurmu dan sekiranya tiada diperbuat kebaktian dan tiada berdoa,
maka tiadalah diperkenankan dan ditambah umur menurut dan bertentang dengan
barang yang di dalam ilmuNya. Maka qadha mu‘allaq itulah yang ditolak oleh
doa.” (Lihat Bahr Al-Madzi 13-14/196). Adapun kelebihan orang yang berdoa itu
sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Salman Al-Farisi
yang maksudnya : “Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemberi, Dia malu jika
seseorang mengangkat kedua tangannya kepadaNya lalu Dia mengembalikan kedua
tangannya (membalas doa orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi.” (Hadis
riwayat Tirmidzi)
Di dalam ayat dan hadis tersebut, jelas
diterangkan bahawa apabila seorang hamba berdoa kepada Allah, nescaya Allah
akan mengabulkan doanya dan tidak akan membiarkan doanya itu kosong sahaja. Tetapi
perlu diingat bahawa untuk mendapat doa yang dimakbulkan, adab-adab atau
peraturan berdoa mestilah dipelihara oleh setiap orang yang berdoa. Jika
seseorang memohon sesuatu kepada seorang raja, dia akan menjaga adab-adab dan
peraturan-peraturannya dari berbagai-bagai segi, maka berdoa dan memohon kepada
Allah SWT tentulah lebih patut lagi dia menjaga adab dan tatacara berdoa agar
doa yang dipanjatkan akan dimakbulkan.
Di antara tuntutan-tuntutan dan etika di dalam
berdoa itu ialah:
1. Memelihara sumber rezeki seperti makanan,
minuman dan pakaian daripada sumber yang haram sebagaimana diriwayatkan daripada
Abu Hurairah RA daripada Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Wahai
manusia! Sesungguhnya Allah itu baik (suci bersih daripada segala kekurangan),
Dia (Allah) tidak menerima kecuali yang baik (halal), dan Allah memerintahkan
kepada orang-orang beriman dengan apa yang Dia perintahkan kepada para rasul.”
Maka Dia (Allah) berfirman: “Wahai para rasul makanlah dari benda-benda yang
baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal salih; sesungguhnya Aku Maha
Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (Al-Mu‘minun: 51) Dan Allah berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik
(halal) yang telah Kami berikan kepada kamu” (Al-Baqarah: 172). Kemudian
Rasulullah menyebutkan berkenaan seorang lelaki yang melakukan perjalanan yang
jauh, yang kusut rambutnya lagi berdebu, dia menadahkan tangannya ke langit
sambil (berkata): “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku (berdoa), (padahal) makanannya
haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan diberi makan dengan yang
haram,bagaimana doanya itu hendak dimakbulkan?” (Hadis riwayat Muslim)
2. Berwudhu dan memulakan serta mengakhiri doa
dengan menyebut dan memuji-muji nama Allah serta memberi selawat dan salam
kepada Rasulullah SAW. Daripada Abu Musa RA berkata yang maksudnya : “Aku
datang masuk ke rumah Nabi SAW sedang Baginda di atas katil yang ditenun dengan
tali dan di atasnya hamparan. Tenunan tali pada katil itu membekas pada
punggung dan kedua lambung Baginda, lalu aku memberitahu kepada Baginda akan
berita kami dan berita Abu Amir (yang terbunuh di dalam peperangan Awthas) yang
berkata (kepadaku): “Katakanlah kepada Nabi, mintakanlah keampunan untukku”
Lalu Baginda minta diambilkan air maka Baginda pun berwudhu. Kemudian Baginda
mengangkat kedua tangannya lalu berdoa: “Ya Allah! Ampunilah Ubaid Abu Amir.” (Hadis
riwayat Bukhari)
Doa adalah zikir (mengingati) kepada Allah.
Berdasarkan ini diriwayatkan daripada Muhajir Bin Qunfudz Radhiallahu ‘anhu
yang maksudnya : “Sesungguhnya dia (Muhajir bin Qunfudz) datang kepada Nabi SAW
sedang Nabi membuang air kecil. Maka dia memberi salam kepada Baginda, maka
tidak dijawab oleh Baginda sehinggalah Baginda berwudhu kemudian memberikan
alasan kepadanya dengan bersabda: “Sesungguhnya aku benci menyebut nama Allah
Azza wa Jalla kecuali aku di dalam keadaan bersih (daripada hadas kecil).” (Hadis
riwayat Abu Daud)
Adapun menyebut dan memuji-muji Allah terutama
dengan nama-nama Al-Asma’ Al-Husna dan memberi selawat dan salam kepada Nabi,
dijelaskan di dalam surah Al-A‘raf ayat 180 yang tafsirnya : “Dan Allah
mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah)
kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu.” Daripada Anas RA berkata: “Setiap doa
itu terhalang sehinggalah diucapkan selawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi
wasallam.” (Hadis riwayat Ad-Dailami)
3. Berdoa dengan jalan bertawassul dengan amal
saleh. Allah berfirman di dalam surah Al-Ma’idah ayat 35 yang tafsirnya : “Wahai
orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh
menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan
laranganNya).” Manakala diriwayatkan daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma
daripada Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Tiga orang keluar berjalan-jalan
lalu mereka kehujanan, maka mereka masuk ke dalam sebuah gua yang terdapat di
sebuah gunung. Lalu (apabila hendak keluar) mereka terhalang oleh satu batu
besar. Nabi bersabda: “Lantas berkata sebahagian mereka (salah seorang) kepada
yang lain: “Berdoalah kamu kepada Allah dengan amal salih yang paling baik yang
telah kamu lakukan. Maka berdoa salah seorang daripada mereka: “Ya Allah!
Sesungguhya aku mempunyai ibu bapa yang sangat tua. Dulu aku selalu keluar
mengembala, kemudian aku datang untuk memerah susu, aku membawa air susu
selanjutnya untuk aku berikan kepada ibu bapaku lalu keduanya minum, kemudian
barulah aku beri minum anakku, keluargaku dan isteriku. Maka pada satu malam
aku terhalang (memberi minum keduanya) kerana aku datang (membawa susu) sedang
keduanya sedang tidur. Nabi menyabdakan kata orang itu: “Aku (benci) tidak suka
untuk membangunkan keduanya walaupun anak-anak menggeliat-geliat kelaparan di
kakiku. Maka begitulah keadaan kebiasaanku dan kebiasaan mereka berdua sehingga
terbit fajar. Ya Allah! Jika Engkau mengetahui bahawa aku telah melakukan
sedemikian itu kerana semata-semata untuk mendapatkan keredaanMu, maka
bebaskanlah kami daripada kesusahan ini yang dari situ kami boleh melihat
langit”. Nabi bersabda: “Lalu dibebaskanlah mereka (dengan bergerak satu
pertiga batu besar itu). Berdoa seorang lagi yang lain: “Ya Allah! Jika Engkau
mengetahui bahawa aku dulu pernah mencintai seorang perempuan iaitu salah
seorang anak perempuan bapa saudaraku sebagaimana cinta yang mendalam seorang
lelaki kepada seorang perempuan. Perempuan itu mengatakan: “Engkau tidak akan
memperoleh sedemikian itu daripadanya sehingga engkau memberinya seratus dinar”
Lalu aku berusaha sehingga aku berhasil mengumpulkannya (wang sebanyak itu),
maka ketika aku duduk di antara kedua kakinya, dia (wanita itu) berkata:
“Bertakwalah engkau kepada Allah dan janganlah engkau merosakkan mahkota
kegadisan kecuali dengan haknya”. Lalu aku berdiri dan meninggalkannya, maka
jika engkau mengetahui bahawa aku melakukan sedemikian itu kerana semata-mata
mengharapkan keredaanMu, maka bebaskanlah kami daripada kesusahan ini”. Nabi
bersabda: “Maka Allah membebaskan mereka (dengan bergerak batu itu) dua
pertiga”. Berdoa pula seorang yang lain: “Ya Allah! Jika Engkau mengetahui
bahawa aku mengupah seorang pekerja dengan beberapa cupak gandum lalu aku
memberinya dan dia menolak untuk mengambil (upahnya). Lalu aku senghaja
mengambil dari beberapa cupak gandum itu lalu aku tanam sehingga aku belikan
daripada hasilnya seekor lembu dan pengembalanya, kemudian dia datang seraya
berkata: “Wahai Hamba Allah! Berikan (kepadaku) hak saya”. Maka aku berkata:
“Pergilah engkau kepada lembu itu dan pengembalanya, sesungguhnya itu adalah
milikmu”. Pekerja itu berkata: “Adakah engkau menghinaku?” Aku menjawab: “Aku
tidak menghinamu tetapi memang lembu itu benar-benar milikmu.” Ya Allah! Jika
Engkau mengetahui bahawa aku melakukan hal sedemikian itu kerana semata-mata
mendapatkan keredaanMu maka bebaskanlah kami”. Maka dibebaskanlah (musibah) itu
daripada mereka.” (Hadis riwayat Bukhari)
4. Berdoa menghadap ke kiblat dan mengangkat dua
tangan sekira-kira nampak putih ketiak dan menyapu kedua tapak tangan ke muka
setelah selesai. Daripada ‘Abbad bin Tamim Al-Mazini bahawa ia mendegar bapa
saudaranya berkata maksudnya : “Pada satu hari Rasulullah SAW pergi keluar
memohon dikurniakan hujan. Maka Baginda membelakangi orang sambil berdoa
mengadap kiblat dan membalikkan selendangnya, kemudian baginda bersembahyang
dua rakaat.” (Hadis riwayat Muslim)
Daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma daripada
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu
ada kemuliaan dan sesungguhnya semulia-mulia majlis ialah majlis yang
dihadapkan ke kiblat.” (Hadis riwayat Ath-Thabarani dan Al-Hakim). Diriwayatkan
pula daripada Anas RA berkata maksudnya : “Aku melihat Rasulullah SAW
mengangkat tangannya sewaktu berdoa sehingga ternampak putih kedua ketiaknya.” (Hadis
riwayat Muslim). Daripada Umar bin Al-Khatthab RA berkata maksudnya : “Adalah
Rasulullah SAW apabila Baginda mengangkat kedua tangannya sewaktu berdoa,
Baginda tidak akan menurunkan keduanya sehinggalah Baginda menyapukan keduanya
ke mukanya.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
5. Bersungguh-sungguh dalam berdoa dan merasa
penuh yakin akan diperkenankan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA maksudnya
: “Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin diperkenankan dan ketahuilah
Allah tidak akan mengabulkan doa dari hati yang lalai serta tidak
sungguh-sungguh.”
6. Berdoa disertai dengan kerendahan hati,
khusyuk dengan jiwa yang tulus ikhlas,merendahkan suara di antara berbisik dan
nyaring dan diiringi dengan perasaan takut azab Allah dan penuh harapan dengan
limpah kurniaNya. Allah SWT berfirman di dalam surah Al-A‘raf ayat 55 tafsirnya
: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara)
perlahan-lahan.” Perkara ini ditekankan juga oleh Rasulullah SAW di dalam
sabdanya yang diriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asy‘ari RA maksudnya : “Wahai
Manusia! Berlembutlah kamu terhadap diri kamu sesungguhnya kamu tidak berdoa
kepada yang tuli dan tidak juga yang ghaib, sesungguhnya Dia bersama kamu.
Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Dekat yang berkat namaNya dan tinggi
kebesaranNya.” (Hadis riwayat Bukhari) Di dalam surah Al-Anbiya’ ayat 90, Allah
berfirman maksudnya : “Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam
mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh harapan
serta gerun takut dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami.”
7. Tidak berdoa dengan sesuatu yang tidak
selayaknya seperti perkara yang tidak munasabah dan mustahil. Maka oleh kerana
itu adalah lebih utama berdoa dengan doa-doa yang ma’tsur yang datang daripada
Al-Quran dan Sunnah dan para sahabat. Di samping doa-doa tersebut jauh daripada
permohonan yang tidak selayaknya, doa-doa tersebut bersifat umum, menyeluruh
dan padat. Daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata maksudnya : “Adalah
Rasulullah SAW menyukai doa yang menyeluruh maknanya dan dia tinggalkan selain
daripada itu.” (Hadis riwayat Abu Daud) Oleh kerana itu doa yang paling banyak
Nabi SAW baca sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas RA berkata maksudnya
: “Adalah doa Nabi SAW yang terbanyak sekali (Baginda baca ialah): “Ya Allah!
Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di
akhirat dan peliharakanlah kami daripada azab api neraka.” (Hadis riwayat
Bukhari)
8. Berterusan berdoa dan mengulang-ngulang doa
sebanyak tiga kali dan tidak berputus asa serta tergesa-gesa menganggap doa
tidak diperkabulkan. Diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha daripada
Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Ta‘ala menyukai orang-orang
yang mengulang-ngulang di dalam berdoa.” (Hadis riwayat Baihaqi) Daripada
Abdullah bin Mas‘ud RA berkata yang maksudnya : “Sesungguhnya Rasulullah SAW
menyenangi supaya seseorang itu berdoa tiga-tiga kali dan beristighfar
tiga-tiga kali.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad) Manakala daripada Abu
Hurairah RA daripada Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Dikabulkan (doa)
salah seorang daripada kamu selama dia tidak tergesa-gesa iaitu dengan berkata:
“Aku sudah berdoa (tetapi) tidak dikabulkan.” (Hadis riwayat Bukhari dan
Muslim)
Tersebut di dalam kitab Al-Futuhat Ar-Rabbaniyyah
‘ala Al-Adzkar An-Nawawiyah, Makki menyebutkan bahawa jarak masa doa Nabi
Zakaria ‘Alaihissalam memohon dikurniakan zuriat dengan berita gembira adalah
40 tahun. Begitu juga sebagaimana yang diceritakan oleh Ibnu ‘Athiyyah daripada
Ibnu Jarir, Muhammad bin Ali dan Adh-Dhahhak bahawa doa Nabi Musa ‘Alaihissalam
kepada Firaun tidak diperkenankan melainkan setelah 40 tahun berlalu. Sesungguhnya
kadang-kadang doa belum diperkenankan kerana doa itu menjadi pahala yang
disimpan di akhirat nanti dan adakalanya menjadi sebab dipalingkan seseorang
itu daripada sesuatu keburukan dengan sebab doanya itu. Oleh itu adalah lebih
baik terus menerus berdoa daripada merungut-rungut doa tidak dikabulkan.
Daripada Abu Sa‘id Al-Khudri berkata sesungguhnya Nabi SAW bersabda yang
maksudnya : “Tiada seorang muslim berdoa dengan satu doa, bukan doa yang
mengandungi dosa dan bukan doa yang memutuskan silaturrahim, melainkan Allah
akan mengurniakan dengan doanya itu salah satu daripada tiga perkara: sama ada
dipercepatkan (disegerakan) baginya doanya itu, atau disimpan baginya pahala
doanya itu di akhirat (sebagai balasan), atau dihindarkan daripadanya sesuatu
keburukan seumpamanya. Mereka berkata: “Kalau begitu baiklah kami
memperbanyakkan doa”. Bersabda Nabi: “Allah lebih banyak menerima doa
hamba-hambanya.” (Hadis riwayat Ahmad)
9. Memilih dan mengutamakan waktu-waktu dan
tempat-tempat atau ketika dimana doa mudah dan cepat dikabulkan. Di antaranya
ialah:
* Di satu pertiga akhir waktu malam dan selepas
menunaikan sembahyang fardu. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Tuhan kami Tabaraka wa Ta‘ala turun
tiap-tiap malam ke langit dunia ketika tinggal satu pertiga akhir waktu malam
berfirman: “Barangsiapa yang berdoa kepadaKu maka Aku akan mengabulkannya
baginya, barangsiapa meminta kepadaKu maka Aku akan memberinya, barangsiapa
memohon keampunanKu maka Aku mengampuninya.” (Hadis riwayat Bukhari) Diriwayatkan
daripada Abu Umamah RA berkata, telah ditanya Rasulullah SAW yang maksudnya : “Doa
apakah yang lebih didengar (dikabulkan)?” Nabi bersabda: “(Doa tatkala) satu
pertiga terakhir malam dan sesudah sembahyang fardu.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
* Malam Lailatulqadar. Firman Allah di dalam
surah Al-Qadr ayat 3-5 yang tafsirnya :
“Lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu
bulan. Pada malam itu, turun para malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka,
kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut).
Sejahteralah malam (yang berkat itu) hingga terbit fajar.” Manakala diriwayatkan
daripada Sayyidatina Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata yang maksudnya: “Aku
berkata: “Wahai Rasulullah! Apa pendapatmu (katamu) jika aku mengetahui malam
Lailatulqadar daripada mana-mana malam, apa yang hendak aku baca pada malam
itu?” Nabi bersabda: “Engkau bacalah Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha
Pengampun lagi Maha Mulia, suka mengampuni maka ampunilah aku.” (Hadis riwayat
Tirmidzi)
* Hari Arafah. Diriwayatkan daripada ‘Amr bin
Syuaib daripada bapanya daripada neneknya sesungguhnya Nabi SAW bersabda yang
maksudnya : “Sebaik-sebaik doa ialah doa pada hari Arafah dan sebaik-baik
ucapan yang aku dan para nabi sebelumku ucapkan ialah tiada tuhan melainkan
Allah yang tunggal yang tiada sekutu bagiNya. BagiNya kekuasaan dan bagiNya puji-pujian
dan Dia Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
* Bulan Ramadhan. Ini adalah kerana bulan Ramadan
ialah bulan yang agung, bulan yang mulia lagi berkat serta dibukakan
pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka. Diriwayatkan daripada Abu
Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Sesungguhnya
telah datang kepada kamu Bulan Ramadan bulan yang diberkati, Allah memfardukan
kepada kamu berpuasa di dalamnya. Dalam bulan Ramadan dibuka pintu-pintu syurga
dan dikunci pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.” (Hadis riwayat
Ahmad). Tambahan lagi orang yang berpuasa itu tidak ditolak sebagaimana yang
yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA berkata, telah bersabda Rasulullah SAW
yang maksudnya: “Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka: Orang yang
berpuasa sehinggalah dia berbuka, imam (pemerintah) yang adil dan doa orang
yang dizalimi.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
* Hari dan malam Jumaat. Daripada Abu Lubabah bin
Abdul Mundzir berkata, telah bersabda Rasulullah SAW yang maksudnya : “Sesungguhnya
hari Jumaat itu adalah penghulu segala hari dan hari yang paling agung di sisi
Allah dan ia (hari Jumaat) adalah lebih agung di sisi Allah dari Hari Raya Adha
dan Hari Raya Fitri. Pada hari Jumaat itu terdapat lima peristiwa penting.
(Iaitu) Allah mencipta Nabi Adam, Allah menurunkan Nabi Adam ke bumi, Allah
mewafatkan Nabi Adam, pada hari itu ada satu waktu, bila seorang hamba memohon
kepada Allah pasti Allah mengurniakannya selama mana dia tidak meminta yang
haram dan pada hari itu juga terjadinya Hari Kiamat. Tiada satu malaikat
Muqarrib, tidak juga langit, bumi, angin, gunung, dan lautan kecuali mereka itu
merasa takut akan hari Jumaat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah) Diriwayatkan pula
daripada Ibnu Abbas RAma berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya
: “Apabila malam Jumaat, jika engkau berdaya bangun pada satu pertiga malam
yang akhir, maka sesungguhnya padanya ada satu waktu yang dipersaksikan (oleh
Allah dan para malaikat) dan doa pada waktu itu mustajab.” (Hadis riwayat
Tirmidzi)
* Di antara azan dan iqamah. Daripada Anas bin
Malik berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Doa di antara azan dan
iqamah tidak akan ditolak. Berkata para sahabat: “Maka apa yang patut kami
katakan wahai Rasulullah (ketika itu)?” Nabi bersabda: “Pohonlah kepada Allah
keafiatan di dunia dan di akhirat.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
* Ketika berhadapan dengan musuh di dalam
peperangan. Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa‘d As-Sa‘idi bahawasanya dia
berkata yang maksudnya : “Dua masa dibukakan keduannya pintu-pintu langit dan
sedikit sekali doa orang yang berdoa ditolak; ketika panggilan untuk mendirikan
sembahyang dan berhadapan dengan musuh dalam peperangan.” (Hadis riwayat Malik)
* Ketika sujud di dalam sembahyang. Daripada Abu
Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Sehampir-hampir
seorang hamba kepada Tuhannya adalah (ketika) dia sujud, maka kamu
perbanyakkanlah doa.” (Hadis riwayat Muslim An-Nasa’i, Abu Daud dan Ahmad)
* Ketika mendengar kokokan ayam. Ini adalah
berdasarkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang
maksudnya: “Apabila kamu mendengar kokokan ayam maka mohonlah kepada Allah
daripada kelebihanNya, sesungguhnya ayam itu telah melihat malaikat dan apabila
kamu mendengar pekikan suara keldai maka mohonlah perlindungan dengan Allah
daripada syaitan, sesungguhnya keldai itu telah melihat syaitan.” (Hadis
riwayat Bukhari dan Muslim) Adapun sebab digalakkan berdoa pada waktu itu,
adalah bagi mengharapkan pengaminan malaikat kepada doa yang dibacakan dan
permohonan keampunan mereka kepada orang yang berdoa dan persaksian mereka
terhadap keikhlasan orang yang berdoa. (Lihat Fath Al-Bari 6/508 dan Syarh
Shahih Muslim 9/41)
Oleh kerana itu juga ketika mengucapkan amin pada
surah Al-Fatihah di dalam sembahyang adalah saat dimakbulkan doa kerana para
malaikat turut juga mengaminkan pada ketika itu berdasarkan riwayat daripada
Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Apabila imam
mengucapkan amin maka hendaklah kamu mengucapkan amin, sesungguhnya sesiapa
yang bertepatan aminnya dengan amin malaikat nescaya diampuni baginya apa yang
terdahulu daripada dosanya.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)
* Ketika waktu hujan. Diriwayatkan daripada Sahl
bin Sa‘d berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Dua ketika (di mana
doa) tidak ditolak atau sedikit sekali yang ditolak: (iaitu) berdoa ketika azan
dan ketika pertempuran sedang berkecamuk (dan dalam satu riwayat mengatakan)
dan ketika hujan.” (Hadis riwayat Abu Daud)
* Ketika meminum air zam zam. Diriwayatkan
daripada Ibnu Abbas RA daripada Nabi SAW bersabda yang maksudnya : “Air Zamzam
itu menurut kehendak tujuan meminumnya. Jika engkau meminumnya untuk memohonkan
kesembuhan dengannya nescaya Allah akan menyembuhkanmu dan jika engkau
meminumnya untuk memohon perlindungan nescaya Allah akan melindungimu dan jika
engkau meminumnya bagi melepaskan rasa dahagamu nescaya Allah akan
melepaskannya dan jika engkau meminumnya bagi kekenyanganmu nescaya Allah akan
mengenyangkanmu, ia (air Zamzam) itu adalah lekukan daripada pukulan malaikat
Jibril dan minuman Nabi Ismail.” (Hadis riwayat Ad-Daraquthni dan Al-Hakim)
* Ketika membaca Al-Quran terutama apabila
khatam. Diriwayatkan daripada ‘Imran bin Hushain berkata, aku mendengar
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa yang membaca Al-Quran
maka bermohonlah (berdoa) kepada Allah dengan Al-Quran, sesungguhnya akan
datang suatu kaum yang membaca Al-Quran meminta (upah dan sedekah) kepada
manusia dengan membacanya.” (Hadis riwayat Tirmidzi). Diriwayatkan pula
daripada Mujahid RA berkata yang maksudnya : “Telah diutus seseorang kepadaku
dan dia berkata: “Sesungguhnya kami menjemputmu kerana kami hendak mengkhatam
Al-Quran dan sesungguhnya telah sampai kepada kami bahawa doa diperkabulkan
ketika mengkhatam Al-Quran. Berkata Mujahid: “Maka mereka berdoa dengan
beberapa doa (ketika khatam Al-Quran).” (Riwayat Ad-Darimi)
* Di tempat-tempat yang mulia kerana keberkatannya
dan kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah seperti di Masjidilharam, Masjid
An-Nabawi dan Masjid Al-Aqsa. Para ulama berpendapat bahawa berdoa di
tempat-tempat ini adalah mustajab kerana melihat kepada keberkatan dan
kemuliaannya di samping rahmat Allah yang luas di tempat-tempat tersebut.
Diriwayatkan daripada Abu Darda’ RA daripada Rasulullah SAW bersabda yang
maksudnya : “Satu kali sembahyang di Masjidilharam adalah menyamai dengan
seratus ribu kali sembahyang, dan satu kali sembahyang di masjidku (Masjid
An-Nabawi) menyamai dengan seribu kali sembahyang, dan satu kali sembahyang di
Baitulmaqdis menyamai dengan lima ratus kali sembahyang.” (Hadis riwayat
Ath-Thabarani)
Tuntutan dan etika di dalam berdoa, bukan hanya
menghendaki kita berdoa untuk diri sendiri, akan tetapi ia juga menghendaki
kita mendoakan untuk orang lain terutama kepada ibu bapa, zuriat keturunan,
ahli keluarga, saudara mara, muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup
atau yang telah meninggal dunia. Doa yang seumpama ini banyak tersebut di dalam
Al-Qur’an. Di antaranya ialah doa Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam di dalam surah
Ibrahim ayat 41 yang tafsirnya : “Wahai Tuhan kami! Berilah keampunan bagiku
dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa
berlakunya hitungan amal dan pembalasan.” Ibu bapa adalah orang yang terutama
sekali untuk didoakan oleh anak-anak sebagai membalas jasa keduanya memelihara
dan mendidik di waktu kecil. Anjuran ini sebagaimana firman Allah SWT dalam
surah Al-Isra’ ayat 24 yang tafsirnya : “Dan doakanlah (untuk mereka dengan
berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua (ibu bapaku)
sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku
semasa kecil.”
Sesungguhnya doa anak-anak kepada kedua ibu bapa
adalah besar manfaatnya, lebih-lebih lagi apabila keduanya telah meninggal
dunia. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda
yang maksudnya : “Apabila seseorang meninggal dunia, terputus amalnya
daripadanya melainkan daripada tiga (sumber); daripada sedekah jariah atau ilmu
yang dimanfaatkan atau anak salih yang mendoakannya.” (Hadis riwayat Muslim) Diriwayatkan
daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Sesungguhnya
Allah ‘Azza wa Jalla mengangkat darjat seseorang hamba yang salih di dalam
syurga, maka dia berkata: “Wahai Tuhanku! Dari mana saya memperoleh darjat
ini?” Allah menjawab: “(Ianya) daripada doa permohonan keampunan yang dilakukan
oleh anakmu.” (Hadis riwayat Ahmad)
Sebagaimana anak-anak dianjurkan berdoa untuk
kedua ibu bapa, begitu juga ibu bapa adalah dianjurkan supaya mendoakan
anak-anak mereka sebagaimana Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam berdoa untuk anaknya
yang tersebut di dalam surah Ash-Shaffat ayat 100 yang tafsirnya : “Wahai
Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang tergolong daripada orang-orang yang
salih.” Mendoakan orang lain lebih-lebih lagi orang yang tiada hadir dan tanpa
pengetahuannya adalah lebih cepat dan mudah dikabulkan sebagaimana yang
diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Ash berkata, sesungguhnya
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Doa yang paling cepat diterima ialah
doa seseorang bagi seseorang yang lain yang tidak hadir.” (Hadis riwayat Abu
Daud) Manakala daripada Ummu Ad-Darda’ berkata, sesungguhnya Nabi SAW bersabda
yang maksudnya : “Doa seorang muslim bagi saudaranya yang tidak hadir adalah
mustajab. Di sisi kepalanya ada malaikat yang diwakilkan setiap kali dia berdoa
bagi saudaranya itu. Malaikat yang diwakilkan itu pula berkata: “Amin, dan
bagimu seumpama (yang didoakan).” (Hadis riwayat Muslim)
Imam Nawawi RT berkata bahawa doa yang semacam
ini mustajab kerana keikhlasan orang yang mendoakan itu. Setengah ulama salaf
apabila mereka hendak berdoa untuk diri mereka sendiri, mereka akan mendoakan
juga saudara mereka yang muslim dengan doa yang seumpamanya kerana cara doa
seperti ini adalah mustajab, di samping mereka juga akan mendapat seumpama apa
yang mereka doakan bagi saudara mereka yang muslim itu. (lihat Syarh Shahih
Muslim 9/44) Oleh kerana itu juga, adalah disunatkan meminta agar didoakan oleh
orang-orang yang mempunyai kelebihan seperti orang-orang salih sekalipun dia
(orang yang meminta didoakan itu) mempunyai kedudukan yang lebih baik daripada
orang tersebut (orang yang diminta supaya mendoakan), berdasarkan riwayat daripada
Ibnu Umar daripada Umar bin Al-Khaththab RA yang maksudnya : “Sesungguhnya dia
(Umar) meminta izin kepada Nabi SAW untuk melakukan umrah. Lalu Nabi bersabda:
“Wahai saudaraku! Sertakan kami di dalam doamu dan jangan engkau melupakan
(untuk mendoakan) kami.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Dari itu janganlah berdoa untuk diri sendiri
sahaja, berdoalah untuk orang lain juga hatta kepada orang yang bukan berugama
Islam sekalipun, tetapi dengan syarat bukan doa yang berbentuk permohonan
keampunan bagi mereka, kerana ianya dilarang sebagaimana firman Allah di dalam
surah At-Taubah ayat 113 yang tafsirnya : “Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan
orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun
orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang
musyrik itu adalah ahli neraka.” Doa yang diharuskan kepada orang yang bukan
Islam ialah doa agar mereka mendapat hidayat, sihat tubuh badan dan seumpamanya
yang layak disebutkan untuk orang yang bukan Islam sebagaimana diriwayatkan
daripada Abu Hurairah RA berkata yang maksudnya : “Thufail bin ‘Amr datang
kepada Rasulullah SAW seraya berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kabilah
Daus telah menderhaka dan enggan (menerima Islam), mohonlah (berdoalah) kepada
Allah agar keburukan ke atas mereka” Orang-orang menyangka bahawa Baginda akan
berdoa memohon sesuatu keburukan ke atas mereka (kabilah Daus). Maka Baginda
bersabda: “Ya Allah! Berikanlah hidayat kepada kabilah Daus dan datangkanlah
mereka sebagai orang-orang Islam.” (Hadis riwayat Bukhari)
Selain daripada itu juga yang berhubung dengan
doa, setiap orang Islam hendaklah menghindari daripada menzalimi dan
menganiayai orang lain sekalipun kepada orang yang berbuat maksiat kerana doa
orang yang dizalimi itu adalah sangat mustajab sebagaimana sabda Rasulullah SAW
kepada Mu‘az bin Jabal ketika Baginda mengutusnya ke Yaman yang diriwayatkan
oleh Ibnu Abbas RAma yang maksudnya : “Dan takutlah engkau akan doa orang yang
dizalimi, sesungguhnya (doa orang yang dizalimi itu) tidak ada di antaranya dan
di antara Allah pendinding.” (Hadis riwayat Bukhari). Diriwayatkan pula
daripada Abu Hurairah RA berkata, telah bersabda Rasulullah SAW yang maksudnya
: “Doa orang yang dizalimi itu adalah mustajab, sekalipun dia adalah seorang
yang berbuat maksiat, kerana kemaksiatannya itu adalah tertanggung ke atas
dirinya sendiri.” (Hadis riwayat Ahmad)
Akhirnya sebagai penutup, setiap orang Islam
hendaklah memperbanyakkan doa. Berdoa adalah menunjukkan akan ingatan kepada
Allah Yang Maha Berkuasa. Mengingat Allah hendaklah dilakukan di setiap masa
sama ada di waktu senang atau susah. Begitulah juga dengan amalan dalam berdoa
hendaklah dilakukan di setiap masa lebih-lebih lagi di waktu senang dan mewah,
dengan itu apabila di waktu susah doa akan mudah diperkenankan sebagaimana
sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallah ‘anhu yang
maksudnya: “Barangsiapa suka supaya dikabulkan doanya oleh Allah di waktu
kesulitan dan kesusahan, maka hendaklah dia memperbanyakkan doa di waktu
senang.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Doa-Doa
Yang Makbul:
1.
Orang yang terdesak.
2.
Orang yang teraniaya/dizalimi.
3.
Anak yang berbuat baik terhadap kedua ibubapanya.
4.
Doa seorang Muslim yang tidak berbuat zalim & tidak memutuskan
silaturrahim.
Tanda-Tanda
Doa Yang Makbul:
1.
Terasa sesuatu yang menakutkan.
2.
Menangis tatkala berdoa.
3.
Terasa menggeletar.
Cara-Cara
Berdoa:
1.
Bersungguh-sungguh semasa berdoa. Rasulullah s.a.w pernah bersabda: "Sesungguhnya
Allah amat menyukai orang yang bersungguh-sungguh semasa berdoa"
2.
Menghadirkan diri kepada Allah s.w.t. dengan penuh kekhusyukkan, kerana Allah
tidak menerima doa dari hati yang lalai.
3.
Hendaklah makanan, minuman, pakaian dan sebagainya dari harta yang halal kerana
sesungguhnya Allah itu baik & menerima melainkan yang baik belaka.
4. Doa itu bukan bertujuan untuk melakukan dosa, khianat, memutuskan
silaturrahim dan jangan sesekali memohon SEGERA dimakbulkan doa tersebut.
5.
Digalakkan memperbanyakkan menyebut Asmaul Husna, dimulai dengan bertaubat,
istighfar, hamdalah serta selawat ke atas Rasulullah s.a.w dan para sahabat
6.
Sebelum berdoa, bersedekahlah terlebih dahulu (al-fatihah dan sebagainya)..
8 comments:
Hi there, just became alert to your blog through Google, and found that it's truly informative. I am going to watch out for brussels. I will appreciate if you continue this in future. Lots of people will be benefited from your writing. Cheers!
Here is my weblog : wedding insurance comparisons
I have read so many articles or reviews regarding the blogger lovers however this post is actually a nice piece of writing, keep it up.
My site ... seo company india
You can definitely see your skills in the article you write.
The arena hopes for more passionate writers such as you who aren't afraid to say how they believe. Always go after your heart.
My site facebook quotes
My webpage - facebook quotes
Great beat ! I wish to apprentice while you amend your web site, how could i subscribe for a blog site?
The account aided me a acceptable deal. I had been tiny bit acquainted of this your broadcast provided
bright clear idea
Feel free to visit my web site - life quotes
my web site > peoples quotes
Excellent post. I was checking continuously this blog
and I'm impressed! Very helpful information particularly the remaining phase :) I care for such information much. I used to be seeking this particular information for a very long time. Thank you and good luck.
Feel free to visit my website ... Graduate Quarterly
baru-baru ini saya telah putus hubngan cinta dengan kekasih saya,dan kami sudah dapat restu kedua-dua belah keluarga,nentah macam mana secara tibe2 dia memutuskan hubungan,dia mahu sikir kan saya terus,tapi saya telah berkawan dengan nya dari tingkatan 3, dan berkasih baru2 ini.. saya telah berdoa-doa dan tak berhenti berdoa.. bila baca blog ni saya dapat merasakan ketiga2 tanda2 doa makbul tersebut.. tetapi mungkin bukan belum tiba waktu nya untuk makbul.........
Kepada Anonymous on 4/6/14;
Setelah saya baca komen anda ingin saya sarankan kepada anda;
1. Bila kita menyayangi seseorang jangan berikan hati kita 100% kerana bila berlaku sesuatu yg tak diingini menjadikan sukar kita mengambilnya kembali dan kita jadi merana seeloknya tinggalkan sedikit supaya kita boleh menerima apabila saja yang berlaku.
2. Jangan terlalu berharap pada manusia tanpa mendahulukan Allah kerana manusia mudah mungkiri janji
3. Lakukan sesuatu dgn jujur dan ikhlas dengan tanpa mengharap serta selalu berdoa sekiranya jodoh kita dengan dia ada maka adalah sekiranya tidak terima seadanya. Semuanya hak Allah.
4. Katakan pada dia sejujurnya tentang hasrat anda, andai baik buat sebaiknya dan sekiranya sebaliknya lepaskan sebaiknya supaya tiada hati yang terluka
Post a Comment