DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Tuesday, November 29, 2011

Mendirikan Masjid - Rumahku Syurgaku

Membuat keputusan untuk berkahwin bukanlah suatu perkara yang mudah. Perkahwinan bererti memasuki suatu alam yang berlainan sama sekali dengan alam yang pernah dilalui sebelumnya, bak kata Tan Sri S M Salim dalam salah satu lagunya, ‘dulu lain sekarang lain, dulu bujang sekarang dah kahwin‘. Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mengharapkan perkahwinan itu kekal bahagia buat selama-lamanya. Ramai yang berjaya. Namun tidak kurang pula yang kecewa.
Al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa’, bekas kadi ahwal syakhsiyyah di Kuwait menyimpulkan antara sebab berlakunya keretakan dan kegagalan dalam perkahwinan adalah kurang taaruf atau tidak mengenali antara satu sama lain dengan mendalam sebelum berkahwin. Taaruf yang mendalam atau mengenali bakal teman hidup sebelum melangsungkan perkahwinan sangat penting demi menjamin kesejahteraan dan keseimbangan dalam menjalani kehidupan berumahtangga. Ini tidak bermakna pasangan mesti melalui alam percintaan sebelum berkahwin, kerap bertemu dan berhubung melalui panggilan telefon, sms, chatting dan sebagainya.

Percintaan sebelum berkahwin seperti yang dilakukan oleh segolongan masyarakat dan ditonjolkan dalam segala macam media sebagai suatu kemestian, suatu dunia yang penuh dengan keindahan dan keseronokan adalah sebenarnya penipuan belaka. Alam percintaan tidak mendedahkan hakikat diri yang sebenarnya. Masing-masing berusaha menunjukkan yang terbaik sahaja di hadapan pasangannya. Setelah berkahwin barulah terbongkar segala rahsia, segala perangai dan sikap buruk yang selama ini disembunyikan.

Untuk mengenali calon pasangan hidup anda dengan mendalam, al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa’ mencadangkan agar anda mengajukan 10 soalan. Soalan-soalan ini boleh diajukan secara langsung semasa sesi taaruf, atau melalui orang tengah. Jika calon memilih untuk bertemu, melihat dan berkenalan pastikan pertemuan itu tidak dilakukan secara berdua-duaan di tempat suci dan terpencil. Jangan cemari niat yang suci dengan melanggari perintah Allah dan Rasul. Jangan relakan syaitan menjadi orang ketiga di antara anda dengan si dia.
10 soalan itu adalah:

1. Apakah wawasan hidupnya?
Setiap orang mempunyai wawasan dan cita-cita yang ingin dicapai dalam hidupnya. Inilah yang perlu anda ketahui mengenai bakal pasangan hidup anda. Sekiranya anda dan dia mempunyai wawasan dan matlamat hidup yang sama maka perselisihan dalam rumahtangga akan berkurangan.

2. Bagaimanakah kefahamannya mengenai konsep perkahwinan?
Kefahaman serta tasawur atau gambaran yang jelas mengenai perkahwinan amat penting. Sekiranya kedua-dua pihak mempunyai kefahaman yang berbeza, umpamanya satu pihak menganggap perkahwinan hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu semata-mata, sedang satu pihak lagi memandang sebagai satu ibadah, sudah semestinya rumahtangga yang bakal dibina tidak akan aman daripada perselisihan dan pergaduhan.

3. Apakah sifat-sifat yang digemari dan tidak digemarinya?
Adalah penting bagi setiap pasangan mengetahui kegemaran pasangannya, apa yang disukai dan tidak disukainya kerana kadang-kadang perselisihan berlaku disebabkan kelainan kegemaran dan citarasa. Sekiranya kegemaran setiap pihak diketahui terlebih awal mungkin perselisihan dapat dielakkan.

4. Apakah pandangannya mengenai anak pada tahun pertama perkahwinan?
Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai masa yang sesuai untuk menimang cahaya mata. Sekiranya satu pihak belum bersedia sedang pihak yang satu lagi sudah tidak sabar untuk bergelar ibu atau ayah, pastilah kedua-dua pihak akan berasa tertekan dan perhubungan akan jadi tegang.

5. Adakah dia mempunyai masalah kesihatan atau kecacatan?
Masalah kesihatan yang kronik atau kecacatan semula jadi pada anggota badan tidak wajar disembunyikan. Mengetahui adanya penyakit atau kecacatan tertentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal diambil. Menyembunyikan penyakit yang kronik atau kecacatan yang mengaibkan boleh dianggap sebagai satu penipuan.

6. Adakah dia seorang yang suka bergaul?
Sesetengah orang suka bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat, mempunyai kawan dan kenalan di merata-rata tempat. Sesetengah yang lain pula suka menyendiri, tidak pandai berkawan dan sukar didampingi. Orang macam mana yang anda cari?

7. Bagaimana hubungannya dengan ahli keluarganya?
Perkahwian bukan sekadar akad yang mempertemukan antara dua jiwa. Sebaliknya perkahwinan merupakan hubungan kemasyarakatan yang mencantumkan antara dua keluarga atau lebih. Oleh itu bakal tunangan harus tahu status keluarga serta hubungan mereka antara satu sama lain. Hubungan kekeluargaan juga sedikit sebanyak menggambarkan keperibadian seseorang.

8. Apakah kegemarannya dan bagaimana dia mengisi waktu lapangnya?
Kegemaran serta cara seseorang memenuhi masa lapangnya juga memberi gambaran tentang wawasan serta cita-citanya dalam hidup ini.

9. Adakah dia aktif dalam mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan kebajikan?
Keaktifan dalam persatuan kebajikan atau pertubuhan sukarela menggambarkan dia bukan seorang yang sombong dan mementingkan diri. Orang yang hidupnya sekadar untuk memenuhi cita-cita dan wawasan peribadi semata-mata sebenarnya hidup dalam dunia yang sempit dan mati sebagai insan yang kerdil. Tetapi orang yang hidup dalam perjuangan akan hidup sebagai insan yang hebat dan apabila dia mati namanya akan dikenang zaman-berzaman.

10. Apakah pandangannya sekiranya ibu bapa masuk campur dalam urusan peribadi atau urusan rumahtangga mereka?
Setengah orang menganggap rumahtangga adalah masalah peribadi yang terlalu khusus. Tiada seorang pun yang boleh masuk campur walaupun ibu bapa sendiri. Hal ini sangat penting diketahui oleh setiap orang yang akan memasuki gerbang perkahwinan. Apakah pandangan bakal pasangan hidupnya.
Adakah dia termasuk dalam golongan di atas atau sebaliknya seorang yang terlalu bergantung kepada kedua-dua ibu bapanya walaupun telah berkeluarga? Apabila anda telah mendapat jawapan yang bersesuaian dengan apa yang dicari, maka teruskanlah hasrat anda untuk melamarnya. Begitu juga halnya dengan pihak yang dilamar.

Pastikan anda mengenali jejaka/wanita yang melamar/menerima itu dengan menganalisakannya 10 soalan di atas.

Ihsan dari - Norsa'idah

Monday, November 21, 2011

Bila Langit Tak Selalunya Cerah

Kerana kita tidak tahu, apa yang akan terjadi seminit lagi selepas saat ini, apatah lagi sehari selepas hari ini atau setahun dari sekarang. Kerana kita tidak tahu apa-apa. Kerana kita tidak tahu apa yang menanti kita di hadapan. Kerana kita tidak tahu apa yang terjadi pada masa akan datang.
Kita terus berlari dan mencari. Mengimpikan yang terbaik dan yang tercantik. Mengharapkan yang mudah tiada yang payah. Menginginkan bahagia tanpa derita. Biarpun kita tahu, esok belum tentu lagi milik kita. Dan kita juga tahu, setiap yang berlaku hanya akan berlaku dengan keizinan-Nya semata-mata.

Namun, selagi harapan masih ada. Selagi impian masih di dada. Kita terus berbaik sangka dan optimis. Mengukir pelbagai cerita versi kita. Melakar mimpi dalam jaga. Kita berharap dan berdoa. Moga esok akan bertambah baik. Kejayaan mungkin datang pada kemudian hari. Kebahagiaan mungkin akan menghiasi kehidupan mendatang. Kerana sesungguhnya hanya itu yang kita harap-harapkan.

Biarpun sering jatuh dan terluka. Biarpun selalu sakit dan perit. Biarpun langit tak selalunya cerah. Biarpun diri tak selalunya di atas. Biarpun cerita tak selalu indah. Biarpun pelangi tak sentiasa di dada langit. Kerana tiada siapapun antara kita yang inginkan penderitaan dan penyiksaan. Kerana tiada siapa pun antara kita yang inginkan kegagalan dan kepayahan. Kerana tiada siapa pun antara kita yang inginkan kegelapan dan kesengsaraan.

Hari ini mungkin kita berasa payah hidup sendirian sebatang kara. Lalu kita menadah tangan bermohon kepada Ilahi agar esok kita dikurniakan pasangan dan zuriat yang dapat menemani perjalanan hidup kita. Biarpun kita tidak tahu apa yang menanti di alam berumahtangga . Apakah mungkin hidup berkeluarga lebih sukar daripada hidup sendiri? Kita tidak tahu kerana langit tidak selalunya cerah.

Jangan berasa sedih bila doa kita belum dimakbulkan. Jangan berasa kecewa bila Allah belum kurniakan apa yang kita impikan. Jangan sekali-kali berasa hampa dan beranggapan bahawa Allah itu kejam dan zalim. Ingatlah, mungkin ini sebenarnya lebih baik buat kita. Bukakah Dia memberi ujian hanya kepada hamba-Nya yang mampu.

Mungkin, kepayahan hidup bersendiri ini jauh lebih ringan jika dibandingkan dengan kepayahan setelah berkeluarga. Kerana kita tidak tahu dan Dia mengetahui segalanya. Dan sungguh, langit tak selalunya cerah.

Analogi yang mudah. Kita mungkin tidak gembira memandu sebuah kereta buruk, lembap dan uzur. Sering rosak sana sini. Lalu kita mengimpikan sebuah kereta baru yang cantik, mantap dan cekap. Dan kita terlupa, langit tidak selalunya cerah. Bilamana kita memiliki kereta yang baru dan cekap, kita mungkin memandu lebih laju dan akan mengakibatkan kemalangan.

Dan mungkin kaki atau tangan kita akan putus atau patah. Cacatlah kita. Sedangkan dengan kereta buruk kita sempurna kaki dan tangan. Dan mungkin waktu itu barulah kita sedar, alangkah indahnya hidup kita jika kita tidak memiliki kereta baru dan masih lagi memandu kereta buruk.

Sungguh, kerana kita tidak tahu apa-apa.
Maka, nikmatilah setiap kepayahan yang sedang kita galas dengan penuh rasa rendah diri. Hargailah setiap penderitaan yang sedang kita alami dengan penuh rasa kesyukuran. Kerana mungkin, esok lebih payah dari hari ini. Kerana kita tidak tahu apa-apa.

Sebagaimana firman Allah swt dalam surah Al-Hadid pada ayat ke 22 dan 23; "Tiada suatu bencana pun yang menimpa di muka bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri kecuali telah tertulis dalam kitab(lauh mahfuz) sebelum kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu mudah bagi Allah.(Kami jelaskan yang sedemikianitu) supaya kalian tidak berputus asa atas apa yang luput dari kalian dan supaya kalian tidak terlalu gembira terhadap apa yang diberikan kepada kalian. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri."

Dan Allah juga berfirman dalam Surah At-Taghaabun ayat yang ke-11; "Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Nikmatilah dan hargailah hari ini. Seolah-olah esok tiada lagi buat kita.

Allah berfirman, “Sesiapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah mencukupkan keperluannya.” Surah At-Talaq : Ayat 3 Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Surah Al-Faatihah : Ayat 5

Saturday, November 12, 2011

Antara Kesalahan Berkaitan Solat

Solat adalah amalan pertama yang dihisab Allah pada akhirat nanti. Jika Solat seseorang itu baik, maka baiklah pula seluruh amalannya dan begitulah sebaliknya.
Solat perlu dipelihara sebaik-baiknya. Antara kesalahan yang selalu dilakukan berkaitan Solat adalah:

1. Meninggalkan Solat.
Hal ini adalah suatu kekufuran berdasarkan Al-Quran, Sunnah dan Ijmak. Allah berfirman bermaksud: “Apakah yang membuat kalian masuk ke dalam Neraka Saqar?” Mereka menjawab: “(Kerana) kami dulu tidak termasuk orang yang mendirikan solat.” (Surah Al-Muddatstsir, ayat 4) Rasulullah SAW bersabda: “Perjanjian antara kami dengan mereka adalah solat, barang siapa meninggalkannya maka dia kafir.” (Hadis riwayat Ahmad dan lainnya).

2. Melengah-lengahkan solat.
Firman Allah swt bermaksud : Sesungguhnya solat itu wajib atas orang beriman dalam waktu yang sudah ditentukan.” (Surah an-Nisa, ayat 103) Oleh itu, melengah-lengahkan solat tanpa uzur yang dibolehkan syarak adalah berdosa besar. Rasulullah bersabda: “Itu adalah solat orang munafik. Dia duduk menunggu matahari, sampai jika matahari sudah berada antara dua tanduk syaitan (hendak tenggelam) dia berdiri dan melakukan empat rakaat, sedangkan dia tidak mengingat Allah dalamnya kecuali sedikit.” (Hadis riwayat Muslim).

3. Tiada thuma’ninah dalam solat.
Thuma’ninah adalah rukun solat dan tidak sah solat tanpanya. Thuma’ninah ertinya tenang ketika sedang rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud. Tenang maksudnya sampai tulang kembali pada posisi dan persendiannya, tidak tergesa-gesa dalam penggantian dari satu rukun ke rukun lainnya.

4. Tidak khusyuk dan banyak gerakan dalam solat.

5. Mendahului atau menyamai perlakuan Imam.
Hal ini boleh menyebabkan solat terbatal. Makmum hendaklah mengikuti Imam, tidak mendahului atau menyamai perbuatan Imam. Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya diadakannya Imam itu untuk diikuti, kerana itu jika dia (Imam) bertakbir, bertakbirlah, dan jangan kalian bertakbir sampai dia bertakbir, dan jika dia rukuk, maka rukuklah dan jangan kalian rukuk sampai dia rukuk.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

6. Bangun dari duduk untuk menyempurnakan rakaat berikutnya sebelum Imam selesai dari salam kedua bagi yang ‘masbuq’ (tidak bersama Imam semasa takbiratul ihram).

7. Memandang ke langit (atas) atau menoleh ke kiri dan ke kanan ketika solat.
Hal ini diperkatakan Rasulullah dalam sabdanya: “Hendaklah kamu berhenti daripada mendongakkan pandangannya ke langit ketika solat atau Allah tidak mengembalikan pandangannya kepada mereka.” (Hadis riwayat Muslim). “Dan jauhilah orang yang menoleh dalam solat kerana sesungguhnya ia adalah suatu kebinasaan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

8. Mengenakan pakaian nipis yang tidak menutupi aurat.
Hal ini membatalkan solat kerana menutup aurat adalah syarat sah solat. Tidak memakai tudung dan menutupi telapak kaki bagi wanita kerana aurat wanita dalam solat adalah seluruh tubuhnya kecuali wajah dan telapak tangan. Ummu Salamah ditanya mengenai pakaian solat wanita. Beliau menjawab: “Hendaknya dia solat dengan kerudung, dan baju kurung panjang yang menutupi kedua-dua telapak kakinya.”

9. Melintas di depan orang yang sedang solat.
Rasulullah bersabda: “Seandainya orang yang lalu di depan orang solat itu mengetahui dosanya, tentu berhenti (menunggu) empat puluh (tahun) lebih baik baginya daripada melintas di depannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

10. Tidak melakukan takbiratul ihram ketika mendapati imam sedang rukuk.
Takbiratul ihram adalah rukun solat dan wajib dilakukan dalam keadaan berdiri, baru kemudian mengikuti Imam yang sedang rukuk.

11. Melakukan sesuatu yang melalaikan daripada solat seperti menonton televisyen dan bersembang.
Allah berfirman, maksudnya: “Wahai orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikanmu daripada mengingat Allah, barang siapa melakukan demikian maka mereka itulah orang yang rugi.” (Surah Al-Munafiqun, ayat 9).

12. Makruh memejamkan mata ketika solat tanpa keperluan.
Seperti diriwayatkan Ibnu Qayyim berkata, Nabi tidak mencontohkan solat dengan memejamkan mata. Tetapi, jika memejamkan mata diperlukan, misalnya, kerana di hadapannya ada lukisan atau sesuatu yang menghalangi kekhusyukannya maka hal itu tidak makruh.

13. Tidak melurus atau merapatkan barisan ketika berjemaah.
Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Kalian mahu meluruskan barisan kalian atau Allah akan membuat perselisihan antara hati kalian.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

14. Tidak memperhatikan sujud dengan tujuh anggota.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Kami diperintahkan untuk sujud dengan tujuh anggota; kening dan beliau mengisyaratkan dengan tangannya sampai ke hidungnya, dua tangan, dua lutut dan dua telapak kaki (perut hujung jari kaki).” (Muttafaq Alaih)
Semuga kita menjadi insan yang terpelihara dari segala kekhilafan dan Allah mangampunkannya