DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Monday, September 29, 2014

Peringatan untuk diri yang lalai

Bila kita semakin lupa dengan dengan kehidupan akhirat dan sentiasa terpedaya dengan kehidupan dunia yang semantara sedangkan hakikat kehidupan dunia adalah seperti apa yang digambarkan oleh Allah SWT: “Dan kehidupan dunia adalah semata-mata keseronokan dan bermain-main. Dan sesungguhnya kehidupan yang sebenar adalah kehidupan akhirat. Ini sekiranya mereka benar-benar mengetahui”. Orang yang benar-benar mengetahui tentang kehidupan akhirat tidak tertipu kehidupan dunia yang melekakan. Orang yang jahil adalah yang tertipu dengan kehidupan dunia, ini menunjukkan diri ini amat jahil oh Tuhan.
Saat-saat kematian semakin menghampiri tetapi diri ini sentiasa lalai untuk mendapat amal akhirat. Apabila mendapat nikmat dunia, rasa seronok sehingga terlanggar perintahnya dan meninggalkann ketaatan sedikit demi sedikit. Apabila Allah menguji dan menarik nikmat tersebut, amat sedih dengan kehilangan nikmat dunia tetapi sebenarnya Allah hendak mengembalikan diri ini kepadanya.

Bersedihlah dengan kehilangan amal akhirat bukannya kehilangan dunia. Ingatlah Allah ingin memberi peluang untuk kembali kepadanya sebelum datangnya saat kematian. Rebutlah peluang ini sebaik-baiknya sebelum terlambat. Nabi SAW bersabda: “Bersegeralah kamu beramal sebelum datangnya tujuh perkara:
1. Adakah kamu menanti sehingga kamu fakir yang menyebabkan kamu lupa.
2. Adakah kamu menanti sehingga kamu kaya sangat yang menyebabkan kamu melampaui batas.
3. Adakah kamu menanti sehingga kamu sakit yang merosakkan badan kamu.
4. Adakah kamu menanti sehingga kamu tua yang melemahkan kamu.
5. Adakah kamu menanti sehingga mati yang semakin menghampiri kamu.
6. Adakah kamu menanti sehingga tibanya dajal. Dajal adalah seburuk-buruk benda ghaib yang dinanti.
7. Adakah kamu menanti sehingga datangnya kiamat. Kiamat adalah perkara yang menakutkan dan amat pahit.”

Hadis riwayat imam Tirmizi, Ingatlah wahai diri bahawa setiap apa yang kamu buat akan dihisab oleh Tuhan. Jangan seronok dan leka melakukan apa saja tanpa sedar Allah murka dengan dirimu. Firman Allah SWT: “Adakah manusia meyangka dia akan dibiarkan begitu sahaja (tanpa dihisab dan dibalas)?” Ayat 36 surah al-Qiamah

Ingatlah kematian sentiasa mengekori mu. Setiap saat masa berlalu semakin hampir i dan akhirnya kamu pasti akan bertemu dengannya. Firman Allah SWT: “ Katakanlah hai Muhammad, sesungguhnya kematian yang mana kamu lari daripadanya , ia pasti akan menemuimu.” Ayat 8 surah al-Jumaah

Walaupun diri sentiasa melihat kematian tetapi mengapa tidak menambahkan keimanan kamu dan mendekatkan diri dengan akhirat. Ini adalah hati yang keras dan hati yang lalai dalam ibadah. Firman Allah SWT: “ Maka celakalah bagi orang-orang yang keras hatinya daripada mengingati Allah. Mereka itu berada dalam kesesatan yang nyata.” Ayat 22 surah az-Zumar.

Hati yang keras ini adalah hanya layak untuk neraka sahaja. Allah sentiasa bertanya bilakah hati ini hendak khusyuk kepada tuhan dan patuh segala perintahnya. Firman Allah SWT: “ Bukankah sudah sampai masa bagi orang-orang beriman untuk tunduk khusyuk mereka kepada mengingati Allah dan patuh dengan kebenaran yang Allah telah turunkan…” Ayat 16 surah al-Hadid
Adakah setelah malaikat mencabut nyawa baru hendak menyesali terhadap perbuatan-perbuatan yang melampau di dunia. Ketika itu tidak ada gunanya. Nasi sudah busuk (jadi bubur sedap lagi). Firman Allah SWT: “ Sehinggalah datang kematian kepada salah seorang mereka. Dia berkata : Hai tuhanku kembalikan aku ke dunia, supaya aku dapat beramal soleh yang mana telah aku tinggalkan. (jawapan tuhan) Tidak sama sekali, itu hanya ucapan yang diucapkan (tidak ada gunanya) dan mereka akan melalui alam barzakh sehinggalah hari mereka dibangkitkan.” Ayat 99,100 surah al-Mukminun

Ingatlah wahai diri sehebat mana ilmu, sebesar mana mahligai mu, setingga mana pangkat mu, sebanyak mana pengawal mu; itu semua tidak menghalang malaikat maut untuk mencabutn nyawamu. Firman Allah SWT: “ Dimana sahaja kamu berada, pasti kematian akan menemuimu sekalipun kamu berada di dalam bangunan-bangunan yang kukuh dan terkawal.” Ayat 78 surah an-Nisa

Bila mana kamu sudah ingat mati dan menyesal terhadap perbuatan-perbuatan yang lampau; Ingat penyesalan sahaja tidak berguna, diri ini kena bangun beramal dan tidak hanya berazam tanpa ada perlaksanaan. Nabi SAW bersabda: “ Orang yang cerdik adalah orang yang sentiasa bermuhasabah dirinya dan beramal untuk kehidupan selepas mati. Orang yang lemah adalah orang yang sentiasa mengikut hawa nafsunya dan hanya berangan-angan Allah akan membalasnya dengan syurga (sedangkan tidak beramal).” Hadis riwayat Imam al-Hakim
Ya Allah banyaknya dosa hamba mu ini dan sedikit amalan akhirat. Amalan yang sedikit entah mencakupi syarat ikhlas atau tidak, Hati ini semakin jauh dari Mu, oleh itu bersihkanlah hati ini dan isilah dengan cahaya-cahaya iman, Aku tidak peduli samada manusia mengasihi atau membenci, asalkan Engkau menerimaku kembali. Ya Allah sekiranya mati ini lebih baik untuk mengelakkan fitnah dunia dan baik untuk agamaku cabutlah nyawa ini dalam keadaan Engkau reda kepadanya. Sekiranya hidup ini lebih baik untuk menyumbang terhadap agama Mu dan menambahkan amal baikku panjangkanlah umurku dalam keredaan Mu.

Saturday, September 6, 2014

Siapakah Manusia Yang Didoakan Oleh Malaikat

Percaya kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan. Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan. Berikut senarai antara jenis manusia yang akan menerima doa malaikat.
Allah SWT berfirman, “Sebenarnya (malaikat-malaikat itu) adalah hamba-hamba yang dimuliakan, mereka tidak mendahului-Nya dengan perkataan dan mereka mengerjakan perintah-perintah- Nya. Allah mengetahui segala sesuatu yang dihadapan mereka dan yang dibelakang mereka, dan mereka tidak memberikan syafa’at melainkan kepada orang – orang yang diredhai Allah, dan mereka selalu berhati-hati kerana takut kepada-Nya.” (Surah Al Anbiyaa’, ayat 26-28)

Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat. Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.
Imam Ibnu Hibban meriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, ”Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: “Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.” (hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih At Targhib wat Tarhib I/37)

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.
Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.” (Sahih Muslim no. 469)

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.
Imam Abu Dawud (dan Ibnu Khuzaimah) dari Barra’ bin ‘Azib r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan.” (hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih Sunan Abi Dawud I/130)
4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).
Para Imam yaitu Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al Hakim meriwayatkan dari Aisyah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf-saf.” (hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih At Targhib wat Tarhib I/272)

5. Kalangan malaikat mengucapkan ‘amin’ ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.
Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Jika seorang imam membaca ‘ghairil maghdhuubi ‘alaihim waladh dhaalinn’…(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), maka ucapkanlah oleh kamu ‘aamiin’ kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu.” (Shahih Bukhari no. 782)

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.
Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Para malaikat akan selalu berselawat kepada salah satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat, selama ia belum batal wudhu’nya, (para malaikat) berkata,
‘Ya Allah ampunilah dan sayangilah ia.” (Al Musnad no. 8106, Syaikh Ahmad Syakir menshahihkan hadis ini)

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.
Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawaRasulullah SAW bersabda: “Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: “Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?” Mereka menjawab: ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.” (Al Musnad no. 9140, hadis ini dishahihkan oleh Syaikh Ahmad Syakir)
8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.
Diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Ummud Darda’ r.a. bahwasanya Rasulullah SAW bersabda: “Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata ‘aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan..” (Shahih Muslim no. 2733)

9. Orang yang membelanjakan harta (infak).
Imam Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak. Dan lainnya berkata, ‘Ya Allah, hancurkanlah harta orang yang pelit.” (Shahih Bukhari no. 1442 dan Shahih Muslim no. 1010)

10. Orang yang sedang makan sahur.
Imam Ibnu Hibban dan Imam Ath Thabrani, meriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur.” (hadis ini dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shahih At Targhiib wat Tarhiib I/519)

11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.
Imam Ahmad meriwayatkan dari ‘Ali bin Abi Thalib r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh.” (Al Musnad no. 754, Syaikh Ahmad Syakir berkomentar, “Sanadnya shahih”)
12. Seseorang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain.
Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dari Abu Umamah Al Bahily r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Keutamaan seorang alim atas seorang ahli ibadah bagaikan keutamaanku atas seorang yang paling rendah diantara kalian. Sesungguhnya penghuni langit dan bumi, bahkan semut yang di dalam lubangnya dan bahkan ikan, semuanya bersalawat kepada orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain.” (disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Kitab Shahih At Tirmidzi II/343)

Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. Semoga kita termasuk dan tersenarai sama.
Amin...

Sumber:

Blog Imam Muda Azhar