DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Saturday, December 20, 2014

Kenapa Perlu Mandi

Seperti yang kita semua maklum, bersuci adalah suatu perkara yang amat dititikberatkan didalam Islam. Kalau kita belajar kitab fekah, bab mula – mula sekali diajar adalah Taharah iaitu bersuci, menunjukkan betapa pentingnya ia dalam kehidupan kita. Sabda Nabi SAW: “Tidak diterima solat tanpa bersuci” (Riwayat Imam Muslim, Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abdullah bin Umar). Hadis ini menunjukkan bahawa bersuci adalah wajib sebelum menunaikan solat. Sekelian ulamak telah sepakat bahawa bersuci adalah salah satu syarat sahnya solat. Tidak sah solat tanpa bersuci.
Itu dari sudut agama. Bagaimana pula dari sudut saintifik pula, iaitu mandi. Mandi tidak hanya membuatkan badan segar, tetapi ada manfaat lain disebalik itu. Sebenarnya, mandi juga memiliki peranan dalam meningkatkan sistem kekebalan, mencegah penyakit kulit, bahkan untuk menyembuhkan masalah kesihatan yang serius.

Adakah ia satu mitos tentang mandi pada waktu malam boleh mendatangkan kemudaratan pada kesihatan? Ramai dalam kalangan masyarakat Malaysia mengatakan amalan sebegini boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan. Adakah benar persepsi tentang tabiat mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit kronik? Apa kata pakar dalam penjagaan kesihatan tentang isu ini?

Dr Anies Tan, seorang doktor perubatan di hospital swasta menjelaskan bahawa kajian menunjukkan yang mandi bukan sahaja boleh membersihkan badan dari kotoran tetapi juga boleh menghilangkan stres. Katanya mandi memainkan peranan penting dalam mempertingkat sistem imun badan selain mengelak berlakunya penyakit kulit seperti ekzema dan masalah kesihatan lain.

“Kebanyakan penyakit kronik antaranya diabetis, hipertensi, kegagalan buah pinggang dan masalah kardiovaskular muncul daripada kegagalan sistem dalam badan, cara pemakanan dan gaya hidup kita. Tiada bukti yang mengatakan mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit-penyakit ini,” kata beliau.

Kebaikan Mandi
Menurut Dr Tan, air mandian suam boleh membuka liang-liang roma badan dan membantu menghilangkan toksin. “Mandi dengan air hangat boleh mengurangkan sakit otot dan membantu usus berfungsi dengan baik. Tapi kalau kita sedang mengalami stres, mandi dengan air sejuk boleh membantu.

Tetapi bagaimana dengan isu mandi pada waktu malam? Kata Dr Tan, negara ini mempunyai iklim tropika di mana cuacanya adalah panas dan lembab dan oleh itu mandi malam tidak mendatangkan kemudaratan. “Lainlah kalau kita menghidapi pneumonia dan tinggal di negara yang mempunyai iklim musim sejuk. Mandi malam adalah baik kerana ia membersihkan badan daripada bakteria dan virus.

“Amalan mandi adalah penting bagi gaya hidup sihat. Di hospital juga, mana-mana pesakit yang boleh berjalan dan boleh mandi, memang kami galakkan mandi”. Kata beliau, kegagalan mandi yang secukupnya boleh mendatangkan penyakit kulit dan juga bau badan. “Bakteria boleh bertindak pada peluh dan ini membangkitkan bau badan,” katanya sambil menambah bahawa kesegaran mandi membuatkan badan lebih sihat, selain membersihkan bakteria dari permukaan kulit.

“Pembersihan kulit berlaku bila kita mandi. Lebih baik lagi jika kita menggunakan sabun anti bakteria,” katanya dan menerangkan prinsip yang sama pada amalan membasuh tangan. “Ia satu amalan kebersihan yang baik bila kita kerap basuh tangan terutama sebelum makan, sama juga bila kita mandi walaupun pada waktu malam,” kata beliau.

Ekzema
Ekzema adalah penyakit kulit kronik yang menyebabkan kulit menjadi kering, senang mengalami iritasi dan kegatalan. Tiada ubat bagi masalah ini tetapi penjagaan kulit yang baik membantu mengawalnya. “Bila kulit kita kering, ia bukannya kurang minyak tetapi kurang mengandungi air. Untuk itu, penjagaan kulit harian yang baik serta fokus pada mandi dan penggunaan pelembab diperlukan,” terang Dr Tan.

Katanya rawatan bagi kulit yang kering ialah dengan membuatkan kulit mengandungi air dan cara yang terbaik adalah berendam ketika mandi dan menggunakan losyen pelembab selepas itu. “Tujuan mandi dan memakai pelembab adalah untuk memulihkan kulit kering. Bagi tujuan ini, kita perlu kurangkan kehilangan air dari kulit. “Pakar dermatologi (kulit) mengesyorkan mereka yang punya masalah ini supaya mandi dan menggunakan pelembab pada waktu malam. Kulit kita tidak mungkin kering semasa kita tidur, jadi air lebih senang meresap ke dalam kulit,” terang Dr Tan.
Jadual kerja yang ketat
Tetapi ada juga ramai yang tidak punya masa untuk mandi secukupnya kerana jadual kerja yang agak ketat. Ada juga yang punya masalah bila berjauhan dari rumah dan tidak sesuai dengan tempat di mana mereka berada. Pengamal perubatan Hassan Saidin menerangkan jadual kerja yang ketat menyebabkan ramai ahli perniagaan serta peniaga enggan mandi secukupnya.

Katanya ramai peniaga perlu keluar berniaga pada awal-awal pagi lagi dan hanya pulang ke rumah pada lewat malam. Ini menyebabkan mereka malas mandi kerana menyimpan tenaga untuk aktiviti perniagaan pada esoknya. “Gagal mandi adalah tidak baik bagi kesihatan dan ini boleh mengundang pelbagai penyakit yang mengganggu kehidupan kita. “Masalah itu boleh mengganggu keyakinan dan produktiviti kita,” kata beliau.

Tetapi kenapa orang tua-tua mengatakan mandi malam tidak baik? “Nasihat sebegitu mungkin tidak berapa boleh dipakai lagi pada masa kini. Mungkin pada dekad-dekad yang lampau masyarakat masih belum maju dan kebanyakan rumah tidak punya saluran bekalan air dari paip. “Satu masa dulu, ramai yang tinggal di luar bandar di mana masyarakat menggunakan perigi dan sungai untuk mandi. Untuk pergi ke perigi dan sungai pada waktu malam tanpa cahaya lampu dan suasana gelap gelita mungkin mengundang pelbagai bahaya seperti dari binatang berbisa dan juga bahaya di sungai, sebab itulah mungkin orang tua melarang kita dari mandi waktu malam.

“Kini kita semakin maju dan punya kemudahan yang jauh lebih baik. Bagi mereka yang pulang malam, eloklah bersihkan badan terlebih dahulu sebelum ke tempat tidur,” kata beliau.

Pemulihan Badan
Menurut Hassan, mandi adalah kaedah baik bagi merelakskan otot badan. “Setelah bekerja sehari suntuk, otak dan badan kita perlukan rehat. Mandi pada malam hari (sebelum tidur) boleh membantu mengembalikan ketahanan fizikal dan emosi. “Terdapat banyak salah faham tentang isu mandi di waktu malam kerana ramai orang berpendapat ia lebih banyak mudarat daripada kebaikan termasuk mendatangkan penyakit,” katanya.

Beberapa kajian yang menunjukkan bahawa mandi itu berkhasiat antaranya adalah:
1. Pengidap Diabetes - Untuk pengidap diabetes, dengan setengah jam berendam didalam air yang hangat dapat menurunkan aras gula dalam darah sekitar 13%. 

2. Kesihatan Jantung - Dengan berendam selama 10 minit dalam air yang hangat dapat memperbaiki kesihatan jantung baik lelaki mahupun wanita.

3. Infeksi - Untuk infeksi, tambahkan pada air panas suam tiga atau empat sudu cuka buah epal (apple cedar) dan berendamlah selama 15-20 minit. Ini juga baik untuk mengeluarkan racun dari dalam tubuh kerana cuka dapat menyeimbangkan kembali asid.

4. Selsema dan Sakit Kepala - Untuk menyembuhkan selsema dan sakit kepala dapat dilakukan dengan merendam kaki dalam air suam. Masukan air suam secukupnya dalam tab mandi sehingga menutupi kaki dan pergelangan kaki, tambahkan beberapa titisan minyak seperti lavender, peppermint atau lemon. Setelah selesai bilas dengan air biasa. Lakukan selama 10-20 minit.

5. Insomnia - Untuk penderita insomnia atau yang menderita masalah tidur, mereka boleh merendam kaki dalam air sejuk. Masukan kaki sehingga kaki merasa sejuk. Cara ini juga berguna bagi kaki kejang, pendarahan hidung, dan sembelit.

6. Sirkulasi - Jika mengalami masalah sirkulasi maka cubalah dengan merendam kaki selama satu atau dua minit didalam air suam, kemudian 30 minit dalam air sejuk.

Manfaat mandi yang sihat
Mandi air panas sekitar 32-35 darjah Celsius dapat membuka liang – liang yang dapat membantu mengeluarkan racun. Dimana ia berfungi membantu menurunkan aras gula darah, menyembuhkan sakit otot dan membantu menjaga usus besar supaya dapat bekerja dengan baik. Waktu yang disyorkan adalah selama 10-20 minit.

Mandi dengan air yang sejuk pula dapat menghilangkan stress kerana meredakan ketegangan, dan disyorkan dengan suhu sekitar 12-18 darjah celcius. Ini terbalik dengan mandi air panas kerana ia akan menyempit kan darah dan meningkatkan aras gula darah. Oleh sebab itu, pengidap diabetes tidak digalakkan untuk mandi air sejuk.
Kesalahan ketika mandi yang perlu diketahui
Kita pasti pernah dengar atau sering dileter kerana selalu mandi malam kerana mandi malam dikatakan akan menyebabkan paru-paru kita masuk air? Namun sebenarnya ia tidak benar sama sekali. Dikongsikan beberapa kesalahan ketika mandi yang boleh dielakkan.

1.Mengabaikan sesetengah bahagian - Apabila kita mandi, adakah kita pasti akan membersihkan keseluruhan badan kita ? Selalunya bahagian belakang leher, celah jari kaki, tumit, dan bawah lengan antara yang selalu diabaikan.

2.Mandi dengan air panas terlampau lama - Mandi dengan air panas akan mendorong kepada masalah kulit kering dan untuk menambah segarkan badan selepas penat seharian, mandi dengan air sejuk akan memberi kesan yang lebih baik.

3.Mandi dengan sabun terlampau banyak - Buih sabun yang terlampau banyak akan menghilangkan minyak semulajadi pada kulit. Terdapat bahan yang dinamakan ‘surfactant’ yang akan menarik air dan minyak semulajadi daripada kulit.

4.Tidak membilas badan dengan sabun sebersihnya - Bahan kimia terdapat pada sabun akan membawa kepada kerengsaan kulit. Namun terdapat juga jenis pembersihan kulit yang memang dicipta untuk memberi kelembapan pada kulit. Tetapi kalau kita menggunakan sabun mandi biasa, pastikan bilas betul-betul dengan air bersih.

5.Mengelap dengan tuala secara kasar - Antara tabiat yang membawa kepada rambut rosak adalah mengeringkan rambut secara kasar menggunakan dengan tuala. Begitu dengan badan kita. Jadi keringkan badan badan menggunakan tuala secara lembut , jangan secara menggosok atau terlalu kasar kerana ingin mengejar masa.

6.Membersihkan rambut sebagai bahagian terakhir - Bahan dalam syampu dan kondisioner boleh menyebabkan masalah kulit seperti jerawat. Jadi pastikan kita membersihkan bahagian muka dan badan dengan betul dan teliti selepas membersihkan rambut.

7.Tidak menyapu produk pelembapan - Waktu terbaik untuk meyapu losyen dan krim pelembap adalah selepas waktu mandi. Selain lebih mudah menyerap, rutin ini juga akan membantu dalam mengelakkan masalah kulit kering kerana kulit kehilangan pelelembapan semulajadi selepas mandi.

8.Memakai 'mask' muka selepas mandi - Mask muka sepatutnya dipakai sebelum membersihkan muka. Membersihkan muka sebelum dan selepas memakai mask akan membuatkan kulit wajah jadi kering. Produk yang mahu dipakai selepas mandi haruslah yang jenis menghidrasi dan bersifat 'mengunci' kelembapan bukan bersifat 'pembersihan'.

Kesan Akibat Baik Buruk Suka Mandi Waktu Malam
Jadi, adakah mandi malam sememangnya satu amalan tidak sihat? Kata Hassan: “Sudah tentu tidak. Ia bukan memudaratkan bagi orang yang sihat”. Menurut Hassan, mandi menggunakan air hangat akan membuka liang roma dan membersihkan badan dengan mengeluarkan toksin dan memberikan kesan yang segar kepada seseorang itu. “Mandi juga membuatkan kita dapat tidur dengan lena dan membantu mengurangkan insomnia (susah untuk tidur),” tambah beliau.

Menurut pengamal homeopati itu lagi, mandi adalah satu amalan semula jadi bagi memberi regangan kepada minda dan badan. Seseorang itu bukan hanya dapat tidur lena tetapi juga tidur dengan lebih lama jika beliau mandi sebelum tidur.
6 Manfaat mandi Subuh
Penelitian dari ilmu kedoktoran berkesimpulan bahwa sebaiknya seseorang membiasakan mandi Subuh dengan air sejuk, kerana mandi pada waktu subuh dengan air sejuk memberikan manfaat bagi kesehatan tubuh diantaranya adalah:

1. Melancarkan Peredaran darah. - Mandi subuh ternyata memiliki manfaat yang luar biasa bagi kesehatan. Menurut Dr. dr. Aru W. Sudoyo, MD doktor pakar penyakit dalam dari FK UI dan RS Medistra, mandi pagi secara perubatan akan merangsang sistem peredaran darah dan persyarafan menjadi lebih aktif. Hal ini timbul sebagai reaksi terhadap rangsangan suhu sejuk secara singkat. Sepanjang seseorang tidak sakit, maka mandi subuh atau sebelum subuh memberikan efek positif kerana tubuh diolah oleh temperature rendah.

2. Membuat kulit menjadi halus dan cantik - Dr. Midi Hariyani, SpKK pakar kulit dan kelamin dari klinik nusantara kuningan menyebutkan bahwa dengan mandi subuh dapat membangunkan tubuh yang terlelap dimana metabolisme tubuh sedang melambat.Diibaratkan membangunkan mesin yang awalnya pelan kemudian dinaikkan. Suhu tubuh akan dinaikkan mencapai kestabilan. Jantung menjadi terpacu untuk bangun, adrenalin meningkat, pembuluh darah jadi lebih lancar untuk bergerak sehingga aliran darah dalam tubuh menjadi sangat baik termasuk aliran ke kulit, jaringan kulit akan membaik tidak kering dan menjadi lebih kenyal/lembab. Mandi dengan air sejuk juga mampu mengurangi noda hitam pada lingkaran bawah mata sehingga wajah terlihat lebih cerah dan kulit tampak lebih segar

3. Mampu menurunkan resiko darah tinggi - Menurut Frederic Premji serang hypnotherapis dari The American Board Of Hypnotherapy bahwa Mandi dengan air sejuk juga mampu menurunkan resiko timbulnya darah tinggi, kebarangkalian dan mengerasnya pembuluh darah, hal ini terjadi kerana air sejuk akan melancarkan sirkulasi darah keseluruh organ – organ tubuh.

4. Mampu meningkatkan sel darah putih - Mandi dengan air sejuk pada waktu subuh akan meningkatkan sel darah putih dalam tubuh yang berakibat meningkatnya daya tahan tubuh dalam melawan virus yang masuk kedalam tubuh, dan tubuhpun akan menjadi lebih sehat dan bugar.

5. Mampu meningkatkan kesuburan - Mandi dengan air sejuk pun memiliki efek positif bagi kesehatan reproduksi, kerana mandi dengan air sejuk dapat meningkatkan produksi hormon testosterone pada lelaki dan hormon estrogen pada wanita yang berpengaruh pada meningkatnya kesuburan dan gairah seksual.
6. Membuat rambut lebih sehat - Apalagi yang terjadi dengan rambut bila dibilas dengan air sejuk? ternyata air sejuk dapat menutupi lapisan luar rambut, sehingga mampu mengurangi keguguran. Air sejuk pun mampu melindungi rambut dari kotoran – kotoran yang biasanya menempel pada kulit kepala, dengan demikian rambut akan lebih sehat dan kuat.


7. Meredakan Depresi - Mandi dengan air sejuk juga berpengaruh pada jiwa, menjadikan jiwa dan fikiran lebih tenang dan bersemangat menjalankan aktiviti seharian.

Wednesday, December 17, 2014

Dugaan Allah Dalam Hidup Kita

Ujian Allah datang dalam pelbagai bentuk. Saban hari kita diuji Allah untuk dinilai siapakah hamba-Nya yang sabar dan paling dekat dengan-Nya. Tidak Allah jadikan kita sia-sia di muka bumi ini melainkan untuk memperbesarkan-Nya. Kita diuji dengan kemiskinan, kematian, penyakit. Malah kekayaan juga merupakan satu bentuk ujian dari Allah. "Sungguh, Kami akan menguji kamu dengan sesuatu daripada ketakutan, dan kelaparan, dan kekurangan harta, dan jiwa, dan buah-buahan; dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar" [Surah Al-Baqarah:155]
Maka orang-orang yang bersabarlah memperoleh keberuntungan di dunia dan di akhirat kelak sebagaimana dijanjikan Allah. Kemuliaan manusia bukan terletak pada kegagahan dan penampilan dan kekayaan. Kemiskinan pula bukan membawa maksud hidup seseorang itu sengsara. Sifat manusia dalam menghadapi ujian Allah digambarkan dalam ayat.. “(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: ‘Tuhanku telah memuliakan daku!’ Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: ‘Tuhanku telah menghinakan daku’!” [Surah Al-Fajr: 15-16]

Kita tidak mahu menjadi golongan yang digambar Allah dalam ayat yang disebut di atas. Bila kesenangan diberi, tidak disyukuri, bila kesusahan, malapetaka dan pelbagai lagi ujian melanda semakin jauh dirinya dengan Pencipta-Nya. Harapan kita, semoga Allah menjadikan kita sebahagian daripada golongan hamba-Nya yang disebut dalam hadis Nabi SAW di bawah: Daripada Abi Yahya Shuhaib bin Sinan berkata: Rasulullah SAW bersabda, “Sungguh baik nasib orang yang beriman kerana dalam semua keadaan mereka mendapat kebaikan. Dan tidak ada habuan baik seperti ini kecuali bagi mereka yang beriman. Apabila mendapat kesenangan maka ia akan bersyukur, maka syukur itu baik baginya. Dan apabila ditimpa musibah maka ia bersabar, maka sabar itu baik baginya.” [Hadis riwayat Muslim] 

Adakah kita sudah dikira beriman?
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. -Surah Al-Ankabut ayat 2-3

Kenapa kita tak dapat apa yang kita idam-idamkan?
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." -Surah Al-Baqarah ayat 216

Kenapa susah sangat ujian ini?
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." -Surah Al-Baqarah ayat 286
Rasa kecewa? Tertekan? Lemah semangat?
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." - Surah Al-Imran ayat 139

Bagaimana harus kita menghadapinya?
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)." -Surah Al-Imran ayat 200

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" -Surah Al-Baqarah ayat 45
Apa yang kita dapat daripada semua ini?
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri, harta mereka dengan memberikan syurga utk mereka... .. -Surah At-Taubah ayat 111

Kepada siapa kita berharap?
"Cukuplah ! Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." -Surah At-Taubah ayat 129

Arghhh tak tahan!!! Aku dah bosan!!
"... ..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." -Surah Yusuf ayat 12


Ujian Allah dalam apa bentuk sekalipun dihadapi dengan sabar. Sungguh Sabar itu sebahagian daripada Iman. Sentiasalah berpesan-pesan dengan kesabaran kerana sifat sabar itu amat dituntut oleh Islam. RENUNG DAN REDHALAH TERHADAP KETENTUAN ALLAH.

Tuesday, December 9, 2014

Mengurus Keresahan - Hidup Mengikut Syariat

Keresahan merupakan sebahagian daripada kehidupan biasa kita. Ia adalah satu cara badan kita menunjukkan ketidakselesaan. Keresahan menjauhkan kita daripada bahaya dan membantu kita untuk bertindakbalas dengan cepat semasa menghadapi bahaya. Tetapi, bagi sesetengah orang, keresahan menjadi keterlaluan dan berpanjangan. Ia menjejaskan kehidupan seharian mereka dan menyusahkan mereka untuk menjalani aktiviti-aktiviti seharian. Keadaan itu mungkin tanda kecelaruan keresahan kerana kita merasakan serba tidak kena dalam apa saja yang kita hadapi, lantas kita mula mengolah segala yang ada diminda kita dengan rasa sedih.
Punca-punca kesedihan - jika ada satu alat yang sesuai untuk mengukur kekuatan iman, tentulah alat itu adalah ‘hati’. Allah SWT menjadikan hati itu hidup dan berfungsi sebagai pusat kawalan bagi anggota badan manusia. Seseorang yang suka menyentuh hatinya dan merawat dengan baik akan semakin mengenali dirinya sendiri. Jika gelisah, sedih dan putus asa menguasai diri, dia akan bertanya kepada hati apakah sebabnya? Kemudian ilmu diperlukan untuk menjawab soalan, akal diguna sambil hati memandu cuba merungkai penyebab kesedihan itu. Akhirnya ditemukan jawapan punca kesedihan, kemurungan, gelisah dan tekanan pada diri manusia iaitu;

1. Suka membuang masa. Hiburan dan permainan boleh merehatkan hati dan menjadikannya lebih bertenaga, tetapi apabila terlalu berlebihan ia boleh membunuh. Orang mukmin membahagikan masanya kepada tiga bahagian, iaitu:

Pertama untuk Allah SWT, kedua untuk dirinya sendiri yang meliputi fikiran, perasaan dan tubuh badannya dan ketiga untuk keluarga dan umatnya. Sikap membuang masa biasanya dipengaruhi oleh persekitaran. Manusia akan mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat dan didengar daripada pergaulan. Berkawan rapat dengan orang yang suka membaca boleh mempengaruhi minat kita kepada buku, begitu juga bila suka iktikaf di masjid mendengarkan syarahan agama akan menjadikan kita dekat dengan ilmu.

Kita sentiasa berhadapan dengan dua pilihan dalam hidup ini, jalan baik atau yang buruk. Kawan yang jahil atau soleh, situasi mengingatkan kita pada Allah atau melupakannya. Membuang masa menyebabkan kemalasan yang berakhir dengan kegagalan, sedih dan tertekan. Seorang mukmin yang benar imannya sentiasa berada dalam situasi jihad iaitu bersungguh-sungguh mengisi masanya dengan perjuangan dan pengorbanan untuk memenangi pertarungan melawan iblis dan syaitan.
2. Kesedihan juga berpunca daripada sifat dengki dan mengikut nafsu. Ada orang berasa sedih menyaksikan orang lain yang mengatasi kehebatannya. Lebih berjaya, kaya, berpangkat, cantik dan bergaya. Risau dan tertekan bersarang di hati, ditambah dengan sifat dengki dan dendam yang pasti akan memalapkan cahaya iman.

Ubat bagi kesedihan sebegini adalah dengan melihat siapa yang berada di bawah kita. Bukankah ramai manusia yang tiada apa-apa untuk dimakan pada hari ini? Rumah mereka musnah oleh banjir dan badai, anak dan isteri mereka mati di hadapan mata kerana tembusan peluru, kehancuran bangsa dan negara oleh kekejaman perang. Mengapa perlu bersedih jika kita masih memiliki orang yang tersayang, mengapa risau jika harta kita dilindungi Allah SWT, jika ia berkurangan bukankah selama ini Allah memberi jumlah yang banyak tak terhitung? Semenjak dari rahim ibu lagi rezeki sudah dikurniakan kepada kita. Sudikah kita jika seseorang mahu menukar kedua mata, kaki dan tangan kita dengan wang berjuta? Tentu ia lebih berharga daripada wang. Kenikmatan yang Allah kurniakan itu terlalu banyak, tetapi hanya sedikit manusia yang mahu bersyukur.

3. Kesedihan kerana melupakan Allah. Bagaimanakah keadaan orang yang melupakan Allah? Dalam surah Al-Hasyr ayat 19 Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang melupakan Allah. Lalu Allah menjadikan mereka melupakan diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasiq.” Makna melupakan diri mereka sendiri adalah mereka meninggalkan amal soleh yang boleh menyelamatkan diri mereka di dunia dan akhirat. Orang yang melupakan Allah SWT mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
Hari dilalui tanpa ibadat, lupa berzikir, mengabaikan solat, tidak membaca ayat al-Quran, menjauhi ilmu dan meninggalkan amal soleh. Kehidupan dunia menjadikan mereka buta, tidak dapat menjejaki jalan ke akhirat. Keadaan mereka seperti binatang kerana mereka hidup semata-mata untuk makan, minum, tidur, berkahwin dan memuaskan nafsu saja.

Ini sesuai dengan firman-Nya: “Dan sesungguhnya kami jadikan untuk isi neraka jahanam kebanyakan jin dan manusia, mereka memiliki hati tapi tidak dipergunakan untuk memahami ayat-ayat Allah, dan mereka memiliki mata tetapi tidak dipergunakan untuk melihat tanda-tanda kebesaran Allah dan mereka memiliki telinga tetapi tidak dipergunakan untuk mendengar ayat-ayat Allah. Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah Al-A’raf: 179).

Benarkah orang yang kaya tidak berasa sedih, putus asa dan tertekan? Sebenarnya, ia bergantung kepada sumber hartanya dan untuk apa ia dibelanjakan. Kekayaan yang sebenar adalah kaya hati. Iaitu hati yang sentiasa bergembira kerana iman kepada Allah dan bersyukur serta reda dengan qada dan qadar-Nya.
Sheikh Abd al-Qadir al-Jailani menasihat muridnya, “Jangan engkau mendakwa dirimu sebagai Allah, tatkala engkau mahukan semua kehendakmu berlaku. Engkau mahu semua yang engkau hajatkan menjadi kenyataan. Ketika engkau mempunyai harapan yang begitu, engkau seperti mendakwa dirimu Tuhan. Kerana hanya Tuhan yang berhak begitu!” Harapan yang tinggi mesti disertakan dengan sifat kehambaan. Jangan harapan itu menimbulkan rasa kecewa apabila ia tidak kesampaian, hingga kita terlupa kita hanyalah hamba. Hamba yang boleh berharap, namun segalanya pulang kepada kehendak Tuhan. Dan beliau menuruskan lagi nasihatnya, “Jangan pula engkau mendakwa dirimu seorang Nabi, yakni tidak kira setinggi mana engkau berusaha mencapai Taqwa dan pembaikan diri, jangan sesekali engkau merasakan dirimu tidak bersalah dan tidak berdosa. Sesungguhnya yang bersih dan terpelihara daripada dosa itu hanyalah seorang Nabi yang maksum”.

Carilah hati dengan membaca Al-Quran
Carilah hati dengan solat
Carilah hati dengan mengingati mati
Carilah hati dengan meminta hati yang baru.

Tuesday, December 2, 2014

Bacalah Sebelum Kematian

Pada suatu hari malaikatul maut datang untuk bertemu dengan Nabi Idris as lalu Nabi Idris meminta agar malaikatul maut mencabut nyawanya dan kemudian Allah menghidupkannya kembali. Permintaan ini dilakukan untuk Nabi Idris as mengetahui kesakitan sakaratul maut agar taqwanya lebih mendalam dan teguh lagi. Maka Allah memberikan wahyu kepada malaikatul maut supaya mencabut nyawa nabi Idris dan meninggalkan ketika itu juga. Malaikatul maut menangis dan memohon kepada Allah supaya Dia (Allah) menghidupkan kembali Nabi Idris lalu dimakbulkan Allah.
Setelah di dapati Nabi Idris as sudah hidup kembali, malaikatul maut bertanya: “Ya saudaraku, bagaimana rasanya kesakitan maut?” Jawab Nabi Idris: “Sesungguhnya ibarat terkelupasnya kulit dalam keadaan hidup-hidup, maka rasa sakit menghadapi maut itu lebih dari 1000 kali sakitnya.” Kata malaikat maut: “Secara berhati-hati dan tidak kasar yang telah saya lakukan khusus mencabut nyawa engkau itu, belumlah pernah aku lakukan terhadap seseorang pun.”

Diriwayatkan lagi bahawa Nabi Isa as telah menghidupkan beberapa orang yang telah mati dengan keizinan Allah. Maka sebahagian orang kafir berkata: “Sesungguhnya engkau telah menghidupkan orang-orang yang telah mati yang masih baru, yang mungkin mereka itu belum benar-benar mati. Maka cuba hidupkan untuk kami orang yang telah mati seperti zaman yang awal dulu.”

Kata Nabi Isa as: “Cubalah kamu pilihkan?” Mereka berkata: Hidupkanlah untuk kami anak Nabi Nuh as (Sam bin Nuh).” Maka Nabi Isa as pergi ke kuburnya, lalu mengerjakan solat dua rakaat dan berdoa kepada Allah. Dan Sam bin Nuh dihidupkan kembali, tetapi rambut dan janggutnya sudah beruban. Nabi Isa as hairan kenapa jadi begitu. Berkata Sam bin Nuh: “Saya telah mendengar panggilanmu dan saya mengira hari kiamat telah tiba, maka rambut dan janggut saya berubah menjadi putih seperti ini dari sebab takutnya hari kiamat. Berkata Nabi Isa as: “Sudah berapa tahun kau meninggal dunia?” Kata Sam: “Semenjak 4000 tahun lalu maka belumlah hilang sakit dari sakaratul maut.”

Betapa kerapnya malaikat maut melihat dan merenung wajah seseorang, iaitu dalam masa 24 jam sebanyak 70 kali, andainya manusia sedar hakikat tersebut, nescaya dia tidak akan lalai mengingati mati. Tetapi oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan oleh Malaikat Izrail. Justeru itu tidak hairan jika ramai manusia yang masih mampu bersenang riang dan bergelak ketawa, seolah-olah dia tiada masalah yang perlu difikir dan direnungkan dalam hidupnya. Walaupun dia sebenarnya adalah seorang yang miskin amal kebajikan serta tidak memiliki sebarang bekalan untuk akhiratnya, dan sebaliknya banyak pula melakukan dosa.
Sebuah hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Bahawa malaikat maut memerhati wajah setiap manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang sedang gelak ketawa. Maka berkata Izrail: Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok bergelak ketawa.” Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhati oleh malaikat maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati.

Golongan ini tidak lalai dan sentiasa sedar terhadap kehadiran malaikat maut, kerana mereka sentiasa meneliti hadis-hadis Nabi SAW yang menjelaskan mengenai perkara-perkara ghaib, terutama mengenai hal ehwal mati dan hubungannya dengan malaikat maut. Meskipun mata manusia hanya mampu melihat alam benda yang nyata, tidak mungkin dapat melihat kehadiran malaikat maut itu. Namun pandangan mata hati mampu melihat alam ghaib, iaitu memandang dengan keyakinan iman dan ilmu.

Sebenarnya manusia itu sedar bahawa setiap makhluk yang hidup pasti akan mati, tetapi manusia menilai kematian dengan berbagai tanggapan. Ada yang menganggap kematian itu adalah suatu tabi’e biasa sebagai pendapat golongan atheis, dan tidak kurang pula orang yang mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebabnya yang zahir sahaja. Dia mengambil logik bahawa banyak kematian disebabkan oleh sesuatu tragedi, seperti diakibatkan oleh peperangan, bencana alam seperti gempa bumi, banjir, kebakaran dan juga kemalangan sama ada di udara, laut dan daratan termasuk kemalangan jalan raya. Selain itu mereka juga melihat kematian disebabkan oleh serangan penyakit yang merbahaya seperti penyakit barah, sakit jantung, AIDS, demam denggi, ta’un dan sebagainya.

Disebabkan manusia melihat kematian hanya dari sudut sebab musabab yang lumrah, maka manusia sering mengaitkan kematian itu dengan kejadian-kejadian yang disebut di atas. Jika berlaku kematian di kalangan mereka, lantas mereka bertanya, “sebab apa si pulan itu mati, sakitkah atau kemalangankah?”. Tidak ramai manusia yang mengaitkan kematian itu dengan kehadiran malaikat maut yang datang tepat pada saat ajal seseorang sudah sampai, sedangkan malaikat maut sentiasa berligar di sekeliling manusia, mengenal pasti memerhatikan orang-orang yang tempoh hayatnya sudah tamat.
Sesungguhnya malaikat maut menjalankan arahan Allah SWT dengan tepat dan sempurna, dia tidak diutus hanya untuk mencabut roh orang sakit sahaja, ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan mala petaka. Jika Allah SWT menetapkan kematian seseorang ketika berlaku kemalangan, atau ketika diserang sakit tenat, maka Izrail mencabut roh orang itu ketika kejadian tersebut. Namun ajal tidak mengenal orang yang sihat, ataupun orang-orang mewah yang sedang hidup rehat dibuai kesenangan. Malaikat maut datang tepat pada waktunya tanpa mengira orang itu sedang ketawa riang, atau mengerang kesakitan. Bila ajal mereka sudah tiba, maka kematiannya tidak tertangguh walau sesaat.

Walau bagaimanapun ada ketikanya Allah SWT jadikan berbagai sebab bagi sesuatu kematian, yang demikian itu ada hikmah disebaliknya. Misalnya sakit tenat yang ditanggung berbulan-bulan oleh seseorang, ia akan menjadi rahmat bagi orang beriman dan sabar, kerana Allah Taala memberi peluang dan menyedarkan manusia agar dia mengingat mati, untuk itu dia menggunakan masa atau usia yang ada untuk berbuat sesuatu, membetulkan dan bertaubat dari dosa dan kesilapan serta memperbaiki amalan, serta menambah bekalan untuk akhirat, jangan sampai menjadi seorang yang muflis di akhirat kelak.

Begitu juga orang yang mati mengejut disebabkan kemalangan, ia akan menjadi pengajaran dan memberi peringatan kepada orang yang masih hidup supaya mereka sentiasa waspada dan tidak lalai dari berusaha memperbaiki diri, menambah amal kebajikan dan meninggalkan segala kejahatan. Kerana sekiranya ajal datang secara tiba-tiba pasti akan membawa sesalan yang tidak berguna. Di kalangan orang solihin menganggap bahawa sakit yang ditimpakan kepada dirinya adalah sebagai tanda bahawa Allah SWT masih menyayanginya. Kerana betapa malangnya bagi pandangan orang-orang soleh itu jika Allah SWT mengambil roh dengan tiba-tiba, tanpa sebarang amaran terlebih dahulu. Seolah-olah Allah SWT sedang murka terhadap dirinya, sebab itulah Allah SWT tidak beri amaran terlebih dahulu kepadanya. Keadaan orang itu ibarat orang yang tidak menyedari adanya bahaya di hadapannya, jika tiada amaran terlebih dahulu nescaya dia akan menjerumus ke lembah bahaya itu.

Selain itu Allah Taala menjadikan sebab-sebab kematian itu bagi memenuhi janjiNya kepada malaikat maut, sebagaimana diriwayatkan oleh Saidina Abbas r.a dalam sebuah hadis Nabi yang panjang. Antara lain menjelaskan bahawa Izrail merasa kesedihan apabila dibebankan dengan tugas mencabut roh makhluk-makhluk bernyawa kerana di antara makhluk bernyawa itu termasuk manusia yang terdiri dari kekasih-kekasih Allah, iaitu para Rasul SAW, para nabi-nabi, para wali-wali dan orang-orang solihin. Selain itu malaikat maut mengadu kepada Tuhan betapa dirinya tidak disenangi oleh keturunan Adam, dia mungkin dicemuh kerana dia ditugaskan mencabut roh manusia, yang akan menyebabkan orang akan berdukacita, kerana kehilangan sanak keluarga dan orang-orang yang tersayang di kalangan mereka.
Diriwayatkan bahawa Allah SWT berjanji akan menjadikan berbagai sebab-sebab kepada kematian yang akan dilalui oleh keturunan Adam. Sehingga keturunan Adam itu akan memikirkan dan mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebab yang dialami oleh mereka. Apabila berlaku kematian, mereka akan berkata bahawa si anu itu mati kerana menghidap sakit, ataupun kerana mendapat kemalangan, mereka akan terlupa mengaitkan malaikat maut dengan kematian yang berlaku itu. Ketika itu Izrail tidak perlu bersedih kerana manusia tidak mengaitkan kematian tersebut dengan kehadiran malaikat maut, yang sememangnya diutus oleh Allah SWT pada saat mala petaka atau sakit tenat seseorang itu bertepatan dengan ajal mereka yang sememangnya telah tiba.

Namun pada hakikatnya bahawa ajal itu adalah ketetapan Allah, yang telah termaktub sejak azali lagi. Semuanya telah nyata di dalam takdir Allah, bahawa kematian pasti tiba pada saat yang ditetapkan. Izrail hanyalah tentera-tentera Allah yang menjalankan tugas seperti yang telah diamanahkan kepadanya. Walau bagaimanapun adalah menjadi hak Allah Taala untuk menentukan kematian seseorang itu sama ada bersebab atau tidak, sebagaimana yang dinyatakan pada awal tulisan ini, bahawa ada ketikanya malaikat maut datang hendak mencabut roh seseorang, tetapi manusia yang dikunjungi malaikat maut sedang dalam keadaan seronok bergelak ketawa, hingga malaikat maut merasa hairan terhadap manusia itu.

Ini membuktikan bahawa kematian itu tidak pernah mengenal, sama ada seseorang yang sedang sakit ataupun ketika sihat dan segar bugar. Firman Allah Taala Yang bermaksud: “Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mencepatkannya. “(Surah Al-A’raf: ayat 34)

Allah merahsiakan saat kematian kita, adalah untuk melihat sejauh mana kita melaksanakan amalan yang telah ditetapkan kepada kita dan sedalam mana pula kita meninggalkan larangannya. Manusia yang hatinya sentiasa ingatkan mati, akan melaksanakan tugas yang telah diamanahkan kepadanya dengan lebih jujur, bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk mendapat keredhaan Allah. Manusia begini sentiasa merasai setiap tingkah lakunya diperhatikan oleh Allah SWT. Dan ia juga mengetahui setiap tanggungjawab dan amanah yang dipikul akan ditanya satu persatu oleh Allah di akhirat kelak.

Kesakitan bila nyawa dicabut oleh malaikatul maut tidak dapat dibayangkan sama sekali.
Walau bagaimanapun Nabi ada bersabda, maksudnya: “Bahawa Rasulullah mengingatkan tentang mati dan keseksaannya, maka sabda Baginda: Iaitulah sakitnya 300 kali tetakan pedang.” Bayangkanlah jika kita ditetak atau dipukul dengan kayu, rotan mahupun besi bukan banyak, cuma sekali saja, itupun sudah tidak dapat digambarkan kesakitannya. Inikan pula ditetak dengan 300x tetakan.
Bayangkanlah sendiri. Cuba kita tanggalkan pula kuku daripada isinya, pastinya sakit tidak tertahan. Daging disiat-siat dan dilapah hidup-hidup, dahaga yang amat sangat sehingga air lautan di dunia ini tidak mampu menghilangkannya. Semuanya ini cuma secebis dari perbandingan kesakitan maut,malah beribu-ribu kali lebih sakitnya daripada itu. Oleh itu, untuk meringankan keseksaan roh ketika dicabut oleh malaikat maut, maka digariskan beberapa amalan tertentu yang perlu diamalkan. Antaranya:-

Sebelum tidur:
  • Bacalah surah Al-Ikhlas tiga kali
  • Selawat ke atas Nabi
  • Membaca tasbih
Amalan harian:
  • Sentiasa membaca Al-Quran
  • Memelihara solat terutama solat fardu
  • Menghormati (jangan bercakap) waktu azan diperdengarkan
  • Membaca tasbih
  • Membanyakkan sedekah
  • Sentiasa berzikir menyebut Allah
Amalan yang perlu dijauhi:
  • Dusta
  • Khianat
  • Mengadu domba
  • Kencing berdiri
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bersuci kamu sekalian dari buang air kecil kerana sesungguhnya kebanyakkan seksa kubur itu dari sebab buang air kecil.”

Saturday, November 15, 2014

Mencari Redha Allah Atas Karenah Manusia

Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman Al-Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut daripada belakang. Melihat tingkahlaku Luqman itu, setengah orang pun berkata; “Lihat itu, orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki”. Setelah mendengar desas-desus daripada orang ramai, maka Luqman pun turun daripada himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian, maka orang di kawasan itu berkata pula; “Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu”. Sebaik saja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi; “Lihat itu, dua orang menaiki seekor himar, sungguh menyeksakan himar itu”. Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun daripada himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata; “Lihat, dua orang yang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderaikan, membazir”. Dalam perjalanan ke rumah, Luqman Al-hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya; “Sesungguhnya tiada seorang pun terlepas daripada percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan pertimbangan Allah SWT sahaja (pandangan manusia yang baik boleh diambil).
Barangsiapa mengenali kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu. Allah Yang Maha Sempurna itu juga ada yang mengejinya dan membencinya. Nabi Muhammad SAW yang sopan santun lagi maksum itu juga ada yang mengejinya dan membencinya. Jadi siapalah kita yang tidak sempurna dan banyak kekhilafan ini. Kita manusia biasa dan jangan anggap kita luar biasa. Apapun, utamakan pandangan Allah, jangan diutamakan pandangan manusia, biarkan manusia berkata - kata. Yakinlah, Allah lah sebaik-baik hakim Yang Maha Adil yang paling layak mengadili tindak tanduk kita.

Ironinya hari kita lihat fenomena berikut kerap berlaku dikalangan masyarakat kita;
Bila kita jadi jahat, orang benci.., bila jadi baik, orang meluat...
Bila kita ikut suruhan agama, ada orang kata kita berlagak alim..., bila kita langgar suruhan agama, ada orang kata... "Astaghfirullah! Apa la nak jadi… dah nak kiamat kot?..."
Bila kita ikut peraturan, ada orang kata kita skema a.k.a nak tunjuk baik..., bila kita langgar peraturan, ada orang kata kita ni macam takde masa depan..
Bila kita tegur dengan baik, ada orang kata kita ni bajet bagus..., bila kita tegur dengan kasar, ada orang kata kita ni kurang ajar...
Bila kita pakai sopan-sopan, ada orang kata kita ni kampong gilerr..., bila kita pakai 'dedah sana-sini'.. ada orang kata kita ni takde harga diri sebab tayang free..
Bila kita bagi nasihat, ada orang kata "jangan sibuk jaga tepi kain orang, boleh?.....", bila kita sindir-menyindir, ada orang kata "tak reti bagi nasihat leklok?.."
Bila kita tolong buat kerja, ada orang kata "yang sibuk sangat nak tolong buat keja orang lain watpe?".., Bila kita tak tolong apa-apa, ada orang kata "apesal pemalas sangat ni? Nak minta tolong pun susah?"..
Dan sebenarnya ramai orang lain tak berpuas hati dengan diri kita. Apa yang kita buat semua salah.. semuanya tak betul di mata mereka.. Kalau buat salah sudah tentunya salah.. tetapi jika buat baik pun masih ada yang mengata.. ingat pesanan ini; Keputusan yang kita ambil, langkah yang kita mula, perkara pertama yang perlu kita fikirkan ialah pandangan Allah SWT terhadap kita.. bukan pandangan manusia.... mari kita renung-renungkan.

Bila kita berdepan dengan BOB (Buat Orang Bersalah) dan ujian-ujian yang sebegitu, janganlah kita bersedih dan rendah diri, serta mula merasa ‘give up’ dalam proses untuk berubah ini. Don’t simply surrender. Jihad ini sememangnya sukar. Penuh dengan mehnah dan tribulasi. Apa yang boleh kita lakukan bila menghadapi BOB atau orang yang suka menjatuhkan semangat ini?

#1 : Sabar Dan Kuatkan Hati
Inilah langkah yang paling asas dan pertama kita perlu lakukan, iaitu bersabar. Pada mulanya mungkin kita berasa sangat sukar untuk bersabar bila sentiasa diuji hebat oleh orang sekeliling yang sentiasa ingin menjatuhkan semangat kita. Namun percayalah, jika kita teruskan untuk bertahan dalam kesabaran, lama-kelamaan ia akan membentuk hati kita untuk kuat. Memang pada mulanya kita akan selalu menangis dan berkecil hati, namun selepas itu kita akan mendapat hati yang jauh lebih teguh dan kuat dari sebelumnya. Pelangi akan muncul selepas turunnya hujan yang membasahi pipi bumi..

#2 : Berpura-pura bodoh dan buat selamba
Biasa orang-orang dari golongan BOB ini suka menyindir dan memperlekehkan kerana bertujuan untuk menyakitkan hati. Mereka akan lebih seronok jika kita memberi reaksi tersinggung, kerana mereka telah berjaya mencapai tujuan mereka. Oleh apa yang boleh kita buat? Buat mereka mereka berasa tidak seronok bila cuba untuk menjatuhkan semangat kita. Bagaimana? Kita boleh “membodohkan” perkataan mereka untuk menyindir kita. Contohnya, jika dia berkata “Kau ingat kau baik sangat?” Kita boleh membalas, “Takde la baik sangat..”. Selalunya balasan seperti itu akan menyakitkan hati mereka kembali. Namun sekadar itu sahaja, tidak perlu kita memanjangkan perang mulut jika mereka membalas kembali. Senyum dan buat muka selamba. Rileks dan abaikan mereka. Sebab sebenarnya, apabila seseorang itu menyindir, mereka mengharapkan kita tersentak, atau berasa marah, rendah diri atau tidak yakin. Sebaliknya jika kita cuma tersenyum sahaja, itu membuatkan rancangan dia untuk ‘menjatuhkan semangat’ kita tidak menjadi. Oleh itu kekal tenang dan senyum. Mentertawakan tetapi tidak bermaksud ingin menjatuhkan. Kadang-kadang ada juga yang ketawa bila melihat kita, biasanya rakan-rakan rapat yang berasa lucu dan ingin bergurau dengan kita. Mungkin mereka terkejut melihat perubahan pada kita dan ingin mengusik kita. Bertenang, jangan cepat melatah. Layankan sahaja gelagat mereka dan teruskan ketawa bersama mereka. Namun kita harus pandai membezakan gurauan dan hinaan.

#3 Fokuskan kepada apa yang kita sedang usahakan
Keep your eyes on the ball – Istilah ini sangatlah besar maknanya bagi kita untuk tetap fokus. Memperlekehkan, menyindir, mengejek, memalukan dan menjatuhkan semangat ini sebenarnya perkara biasa dalam kehidupan. Pernahkan kita menyaksikan pertandingan atau perlawan bola dipadang? Perasankah kita ada penonton yang berada dibahagian tepi padang? ada yang mengejek dan ada juga yang memberi semangat kepada pemain. Untuk memenangi perlawanan, pemain harus fokus pada perlawanan yang sedang dilalui dan tidak mempedulikan perkara lain. Jika dia gagal untuk mengekalkan fokus dan mendengar ejekan-ejekan, pasti dia tidak akan dapat beraksi dengan baik dan mudah ditewaskan. Jadi ibaratkan diri kita seperti pemain bola diatas padang yang sedang berusaha memenangi perlawanan. Yang menjadi masalah, kadang-kadang disebalik kata-kata kata semangat yang kita terima, pasti ada terselit juga kata-kata yang menjelekkan dan negatif. Bagaimana untuk kita menghadapi perkara ini? Berdirilah atas kaki kita sendiri. Jangan tentukan diri kita berdasarkan kata-kata dari orang lain. Jadilah diri kita sendiri dan yakinlah dengan perubahan yang kita buat kerana Allah ini adalah tepat dan terbaik. Jika kita memikirkan kata – kata orang lain, kita akan menjadi seseorang yang bergantung pada orang lain, dan membiarkan pendapat orang lain mengendalikan kita. Kita bukan semudah itu untuk menjadi loser!
#4 Mengelakkan Diri Dari Mereka, jika perlu..
Apabila kita menghadapi situasi di mana kita berhadapan dengan sahabat yang memang kuat menyindir atau orang yang terlalu aggresif memprovokasi kita, sebaiknya kita menghindar diri buat sementara waktu. Lebih baik kita mendiamkan diri dan jangan mendekati orang tersebut dan carilah tempat yang membuat kita selesa. Ini dapat mengelakkan kita berasa sakit hati dan pergaduhan. Sebagai seorang muslim, kita digalakkan untuk segera berwuduk kerana dengan berwuduk akan dapat menenangkan fikiran kita. Lebih berkesan lagi jika kita mengamalkan membaca surah Yassin dan memperbanyakkan istigfar.

Penutup: Berdoalah kepada Allah
Jelas, hakikatnya dari 99 kebaikan yang kita dilakukan boleh tertutup dengan 1 kejahatan yang kalau dilakukan. Walaupun sebenarnya kita tidak melakukan kejahatan berkenaan. Penyakit hati manusia ini sukar untuk dikikis. Apabila tidak bendung, makin bercambah dalam diri. Manusia sebegini fikiran dan hatinya terlalu negatif. Dapat sesuatu isu terus dirasakan negatif. Terus menerus memang serong terhadap manusia lain. Tiada sesiapa yang dapat mengubah tafsiran dan tanggapan ini, hanyalah diri sendiri jua.

Jadi sekiranya kita tidak mampu mengawal mereka yang senantiasa membuat penilaian terhadap manusia lain ini, makanya kita redhakan saja. Itu yang terbaik. Manusia akan terus berkata-kata dan berfikiran negatif. Jadi, utamakan pandangan Allah SWT daripada penilaian manusia. Semua orang sedia maklum, sebaik mana pun kebaikan yang ditaburkan oleh seseorang tu, orang tetap mengata yang bukan-bukan. Orang tetap berfikiran negatif. Ada saja cacat cela. Ada saja yang tak kena. Lumrah sebagai insan manusia. Tapi kita tahu, bukan semua orang begitu. Mungkin segelintir daripada kita. Yang masih punya rasa tidak berpuas hati dengan manusia lain. Jadi, rahmatilah mereka. Dan kita terus jadi diri sendiri. Jadi diri sendiri hanya bermatlamatkanNya. Terus lakukan apa sahaja yang kita rasa itu adalah baik untuk kita. Baik untuk semua.
Apabila kita telah melakukan kesemua tips diatas tadi, tetapi belum juga berhasil, maka langkah terakhir kita adalah berdoa kepada Allah, menyerahkan semuanya kepada Allah. Memohon agar sahabat, jiran tetangga dan orang – orang ini dihilangkan penyakit hatinya kerana sifat menjatuhkan semangat orang itu merupakan penyakit hati. Semoga memberi manfaat. Artikel diatas cumalah pandangan saya yang naif berdasarkan pengalaman saya. Mungkin kalian ada pengalaman atau tips yang boleh dikongsikan? Catatkan apa yang bermain dalam fikiran kalian sekarang pada ruangan komen dibawah.

Tuesday, November 11, 2014

Pengucapan Yang Betul Dalam Islam

Assalamu alaikum wbrt wahai sahabat-sahabatku. Kali ini ingin saya kongsikan yang berkaitan ucapan-ucapan mahmudah yang sepatutnya kita amalkan dalam kehidupan seharian. Malangnya, ada antara ucapan-ucapan ini disalah guna oleh orang ramai lantaran terkeliru. Terima kasih kepada kepada individu yang mengumpulkan maklumat berharga ini.
1. Perkataan SUBHANALLAH (MAHA SUCILAH ALLAH)
Ianya diucapkan tatkala kita melihat sesuatu perkara yang menggembirakan kita ataupun perkara-perkara yang hebat lagi ajaib. Contohnya tatkala kita melihat orang yang tidak cedera walaupun terlibat di dalam kemalangan. Tujuan kita mengucapkan "SUBHANALLAH" iaitu seolah-olah kita mendidik diri kita: "Wah! hebatnya orang itu, tak cedera langsung. Tapi Allah lebih Maha Hebat kerana itu semua tidak akan berlaku melainkan dengan izin Allah Ta’ala".

Ianya diucapkan juga apabila kita melihat ada apa-apa perkataan ataupun perbuatan yang menyebabkan seseorang itu syirik kepada Allah. Contohnya kita ucapkan "SUBHANALLAH" apabila melihat ada orang yang menyembah berhala-berhala. Di dalam hati kita ketika itu seolah-olah kita berkata: "Allah Ta’ala Maha Suci dan tiada kena-mengena langsung sebagai Tuhan yang mereka anggap itu". Lihatlah firman Allah Ta’ala berikut: “Dialah Allah yang tidak ada sama sekali Tuhan yang layak disembah kecuali Dia Yang Maha Berkuasa, Maha Suci, Maha Selamat, Maha Memberi Keamanan, Maha Peneguh, Maha Mulia, Maha Gagah-Perkasa, Maha Besar, Maha Sucilah Allah daripada apa yang mereka sekutukan" Surah al-Hasyr : ayat 23

Lihat penggunaan "SUBHANALLAH" ataupun yang semakna dengannya melalui ayat Al-Quranul Karim di bawah ini: “Maha Sucilah Tuhan yang telah memperjalankan hamba-Nya di waktu malam (Israk) dari Masjid al-Haram (di Mekkah al-Mukarramah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekitarnya , agar Kami menunjukkan kepadanya (Nabi Muhammad SAW) beberapa tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Dia (Allah) adalah Tuhan Yang Maha Mendengar Lagi Maha Melihat" Surah al-Israk, ayat 1

Ya! peristiwa Israk-Mikraj adalah satu peristiwa yang ajaib lagi hebat, namun sehebat-hebat peristiwa itu, lebih hebat lagi Tuhan yang telah mengatur dan mencipta peristiwa itu, Tuhan itulah Allah Ta’ala Yang Maha Hebat, Yang Maha Mendengar segala doa Nabi-Nya SAW dan tohmahan puak-puak yang tidak mempercayai kisah itu dan Maha Melihat segala-galanya. Dan Maha Sucilah Allah daripada segala sifat-sifat yang tidak sepatutnya dilemparkan kepada Dia. Ucapan “SUBHANALLAH" ini juga dikenali sebagai “TASBIH".
2. Ucapan "ALHAMDULILLAH" (“Segala puja-puji hanyalah untuk Allah" ataupun "Segala syukur dan terima kasih hanyalah untuk Allah".
Ianya diucapkan sebagai puja-pujian dan bersyukur di atas segala nikmat yang Allah Ta’ala berikan kepada kita. Contoh ayat Al-Quranul Karim yang menerangkan hal ini ialah: “Dan Kami cabut segala macam dendam yang berada di dalam dada mereka; mengalir di bawah mereka sungai-sungai dan mereka berkata: "Segala puji bagi Allah yang telah menunjuki kami kepada (syurga) ini. Dan kami sekali-kali tidak akan mendapat petunjuk kalau Allah tidak memberi kami petunjuk. Sesungguhnya telah datang rasul-rasul Tuhan kami, membawa kebenaran." Dan diserukan kepada mereka: "ltulah syurga yang diwariskan kepadamu, disebabkan apa yang dahulu kamu kerjakan" Surah al-‘Aaraf, ayat 43

Ayat di atas menerangkan nikmat yang diperolehi oleh orang-orang yang beriman kelak di hari akhirat iaitu nikmat mendiami syurga yang dijanjikan kepada mereka dahulu. Lihat! para penghuni syurga nanti akan mengucapkan “ALHAMDULILLAH" sebagai berterima-kasih dan bersyukur di atas ganjaran yang Allah Ta’ala berikan kepada mereka dan disebabkan Allah Ta’ala telah mengutuskan kepada mereka wahyu dan panduan melalui Para Rasul a.s. Kita juga wajib mengucapkan syukur kepada Allah Ta’ala di atas nikmat sampainya Islam kepada kita dan masih ramai lagi para ulama’ rh, kerana tanpa Islam dan bimbingan para ulama’ rh, tidaklah kita layak masuk ke dalam syurga Allah Ta’ala kelak.

Lihat lagi firman Allah Ta’ala di dalam Surah al-Kahf, ayat pertama: "Segala puja-puji hanyalah untuk Allah (Tuhan ) yang telah menurunkan kepada hamba-Nya kitab dan tidak pula Allah ciptakan baginya ada sebarang kebengkokan (pertentangan dan perselisihan di antara satu ayat dengan ayat yang lain)". Kita juga wajib bersyukur kepada Allah Ta’ala di atas nikmat adanya kitab Al-Quranul Karim sebagai panduan hidup kita, yang mana tanpanya, pastilah kita tidak akan menemui kebenaran dan kejayaan di dunia dan di akhirat.

Selain itu ianya diucapkan apabila kita dipuji, contohnya apabila orang memuji kita lantaran kejayaan kita, lalu kita pun menjawab: “Alhamdulillah, saya berjaya “(Diucapkan ucapan “Alhamdulillah” agar kita tidak lupa bahawa sehebat mana pun usaha kita, ianya tentu tidak akan berjaya jika tidak diizinkan oleh Allah Ta’ala). Ucapan “ALHAMDULILLAH" ini juga dikenali sebagai “ TAHMID".
3. Ucapan “ALLAHU AKBAR" (Allah Maha Besar)
Ianya diucapkan di dalam beberapa situasi:
1 – Apabila berada di tempat yang tinggi.
2 – Apabila berada di dalam ketakutan.
3 – Sebagai teriakan untuk menakutkan dan menggerunkan musuh-musuh Allah Ta’ala.
4 – Sebagai "pembakar semangat" para pejuang Islam.
5 – Ketika azan , takbiratul ihram dan takbir hari raya.

Ucapan ini dikenali juga sebagai "TAKBIR".
4. Ucapan "LA ILAHA ILLALLAH" (Tidak ada sama sekali Tuhan yang layak disembah melainkan Allah)
Masyarakat Arab biasanya menyebut kalimah ini apabila melihat sesuatu yang menggerunkan ataupun peristiwa yang mengerikan. Kalimah ini adalah inti-pati dan dasar ajaran Islam . Silalah melihat kitab-kitab zikir dan wirid yang sahih (seperti RIYADHUS SOLIHIN oleh Al-Imam an-Nawawi rh ataupun KALIMUT TOIYIB oleh Al-Imam Ibnu Taimiyah rh) untuk mengetahui fadhilat-fadhilat kalimah Tauhid ini.

Ia dikenali juga dengan gelaran "TAHLIL".
5. Ucapan "BISMILLAH" (Dengan Nama Allah)
Ucapan ini dikenali sebagai "BASMALAH". Dilakukan sebagai menunjukkan adab di antara seseorang hamba dengan Allah Ta’ala ketika melakukan perkara-perkara yang diredhai-Nya. Ertinya di sini ialah: "Bismillah" digunakan untuk melakukan perkara-perkara yang diredhai oleh Allah Ta’ala sahaja. Seolah-olah tatkala kita membacanya kita turut sama beriktiqad: "Aku menyebut nama Allah ini supaya kerja yang aku lakukan ini dirahmati dan diberkati oleh-Nya".

Adapun jika digunakan untuk perkara-perkara yang dilarang, maka ia adalah haram bahkan kadang-kadang boleh membawa kepada murtad kerana dianggap menghina kesucian ataupun mempersendakan Allah Ta’ala. Contohnya:
A. Membaca "Bismillah" untuk menyembelih binatang-bintang yang tidak disembelih untuk tujuan yang dibenarkan ( seperti untuk mandi safar, untuk “membuka gelanggang silat", untuk "menyemah" rumah, untuk"menjamu" penunggu dan jin dan sebagainya
B. Membaca "Bismillah" untuk melakukan jampi-jampian yang dilarang oleh agama kita.
C. Membaca "Bismillah" “ untuk tikam nombor ekor, toto dan lumba kuda serta sebarang perjudian.
D. Membaca “"Bismillah" (supaya selamat konon-kononnya) untuk mengintai orang mandi.
E. Membaca "Bismillah" untuk makan dan minum apa-apa yang haram.
F. Membaca "Bismillah" kuat-kuat (agar didengar oleh orang ramai) ketika membuka warong demi melariskan jualan.
6. Ucapan "MASYAALLAH" (Apa yang Allah Kehendaki)
Diucapkan ketika melihat apa-apa yang baik dan indah. Diucapkan juga ketika melihat perkara-perkara yang luar biasa dan hebat (sama seperti Tasbih). Tidak boleh digunakan sebagai ucapan tatkala melihat sesuatu yang dilarang , contohnya menyebut "MA SYA ALLAH" ketika melihat wanita-wanita yang berpakaian seksi sebab kalimah itu bermakna "Apa-apa yang Allah kehendaki", sedangkan Allah Ta’ala tidak pernah sama-sekali menyuruh wanita-wanita berpakaian seksi di hadapan bukan suaminya. Dan begitu juga tidak boleh mengucapkan kalimah ini tatkala melihatpelakon- pelakon yang seksi-seksi di TV. Hati-Hati dan fahami baik-baik penggunakan kalimah dan ucapan ini. Ucapan ini diistilahkan sebagai: " AL-MASYIAH"
7 Ucapan “A’UZUBILLAHI MINASY SYAITANIR RAJIM" (Aku memohon perlindungan Allah daripada syaitan yang direjam (terkutuk)
Diucapkan sebagai memohon perlindungan dan keselamatan kepada Allah Ta’ala daripada segala jenis gangguan, sama ada gangguan syaitan ataupun bala-bencana. Diucapkan juga sebagai memulakan bacaan ayat-ayat suci Al-Quranul Karim. Ucapan ini digelar sebagai "AT-TA’AWWUDZ"
8. Ucapan "LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAH" (Tidak adalah daya-upaya dan kekuatan (yang sebenar/yang terutama) melainkan dengan izin (pertolongan) Allah)
Diucapkan apabila melihat perkara-perkara yang tidak disukai ataupun apabila kita tidak terdaya untuk melakukan sesuatu. Dan diucapkan apabila kita merasai kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri kita seperti sedang berhadapan dengan jumlah musuh yang lebih ramai daripada pihak kita. Ucapan ini dikenali sebagai "AL-HAUQALLAH"
9. Ucapan "INSYA ALLAH" (Jika diizinkan Allah)
Diucapkan apabila kita berjanji untuk menyempurnakan hajat seseorang. Ataupun apabila hati kita berat 70 % untuk memenuhi janji itu maka bolehlah kita menyebut “INSYA-ALLAH”, tetapi jika kita memang tidak mahu memenuhi hajat itu ataupun hati kita memang berat 70 % untuk tidak memenuhinya, maka tidaklah wajar kita menggunakan kalimah ini. [Hasil temuramah di antara Al marhum S.S Dato’ Ishak Baharom, Bekas Mufti Selangor Darul Ehsan dengan salah sebuah majalah di Malaysia]. Ucapan ini dikenali sebagai "TAWAKKUL" (Tetapi masyarakat Melayu memanggilnya sebagai tawakkal)
10. Ucapan “BARAKKALLAHU FIK” (Semoga Allah memberkati engkau)
Diucapkan kepada seseorang yang kita cintai ataupun sebagai doa baginya. Menurut sunnah ucapan yang seumpama ini diucapkan juga kepada mereka yang baru berkahwin. Ucapan ini dikenali sebagai "AT-TABARRUK".
11. Ucapan “JAZAKALLAHU KHAIRAN” (Semoga Allah membalas jasa-baikmu itu dengan kebaikan)
Ucapan ini sebagai tanda terima kasih kita pada seseorang. Boleh juga diucapkan dengan “JAZAKALLAHU KHAIRAN KATSIRAN" (Semoga Allah membalas jasa-baikmu itu dengan kebaikan yang banyak). Boleh juga diucapkan dengan "JAZAKALLAHU KHAIRAL JAZAK" (Semoga Allah membalas jasa-baikmu dengan balasan yang paling baik). Adalah SALAH dan TIDAK BETUL jika sekadar mengucapkan "JAZAKALLAHU"(Semoga Allah membalasmu…) Membalas dengan apa? Ayat ini jadi ayat tergantung! Apabila kita diucapkan sedemikian rupa, maka respon kita pula ialah:"JAZANA WA IYYAK". Erti respon itu ialah: "Semoga Allah juga membalas (kebaikan yang kau ucapkan tadi) kepada kita semua dan juga kepada dirimu. Ianya dikenali sebagai kalimah "ASY-SYUKR"
12. Ucapan “INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAJI’UN" (Sesungguhnya kita ini semuanya adalah milik Allah dan kepadanya nanti kita akan kembali)
Diucapkan apabila ditimpa sesuatu yang tidak dikehendaki seperti banjir, kemalangan, kecurian dan seumpamanya. (Walhal orang-orang kita hanya mengucapkannya tatkala mendengar berita kematian seseorang). Firman Allah mengenai ucapan ini: "Orang-orang yang sabar itu apabila mereka ditimpa musibah mereka akan berkata: Sesungguhnya kita ini semuanya adalah milik Allah dan kepadanya nanti kita akan kembali” Surah al-Baqarah, ayat 155. Ucapan ini dikenali sebagai"LIL ISTIRJAA’/TARJIE"
13. Ucapan "HASBUNALLAHU WA NI’MAL WAKIL" (Cukuplah bagi kami ini Allah itu sebagai sebaik-baik pelindung/penolong)
Diucapkan sebagai tanda kita ini berserah diri dan bergantung harap (bertawakkal) kepada Allah Ta’ala semata-mata. Dan ia juga merupakan ucapan “pembakar" semangat keberanian orang-orang yang beriman. Contohnya diucapkan tatkala menghadapi serangan musuh. Firman Allah Ta’ala yang mengisahkan keimanan para sahabat r.a menjelang Perang Badar: Orang-orang yang mentaati Allah dan Rasul itu apabila dikatakan kepada mereka: "Sesungguhnya manusia (musyrikin Quraisy) telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka", maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab:
"Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung" Surah Ali ‘Imran , ayat 173. Ucapan ini dikenali sebagai"AL-HASBANA".

Semoga kita semua dapat keredhaan Allah dengan amalan kita sepanjang hayat.