DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Tuesday, December 9, 2014

Mengurus Keresahan - Hidup Mengikut Syariat

Keresahan merupakan sebahagian daripada kehidupan biasa kita. Ia adalah satu cara badan kita menunjukkan ketidakselesaan. Keresahan menjauhkan kita daripada bahaya dan membantu kita untuk bertindakbalas dengan cepat semasa menghadapi bahaya. Tetapi, bagi sesetengah orang, keresahan menjadi keterlaluan dan berpanjangan. Ia menjejaskan kehidupan seharian mereka dan menyusahkan mereka untuk menjalani aktiviti-aktiviti seharian. Keadaan itu mungkin tanda kecelaruan keresahan kerana kita merasakan serba tidak kena dalam apa saja yang kita hadapi, lantas kita mula mengolah segala yang ada diminda kita dengan rasa sedih.
Punca-punca kesedihan - jika ada satu alat yang sesuai untuk mengukur kekuatan iman, tentulah alat itu adalah ‘hati’. Allah SWT menjadikan hati itu hidup dan berfungsi sebagai pusat kawalan bagi anggota badan manusia. Seseorang yang suka menyentuh hatinya dan merawat dengan baik akan semakin mengenali dirinya sendiri. Jika gelisah, sedih dan putus asa menguasai diri, dia akan bertanya kepada hati apakah sebabnya? Kemudian ilmu diperlukan untuk menjawab soalan, akal diguna sambil hati memandu cuba merungkai penyebab kesedihan itu. Akhirnya ditemukan jawapan punca kesedihan, kemurungan, gelisah dan tekanan pada diri manusia iaitu;

1. Suka membuang masa. Hiburan dan permainan boleh merehatkan hati dan menjadikannya lebih bertenaga, tetapi apabila terlalu berlebihan ia boleh membunuh. Orang mukmin membahagikan masanya kepada tiga bahagian, iaitu:

Pertama untuk Allah SWT, kedua untuk dirinya sendiri yang meliputi fikiran, perasaan dan tubuh badannya dan ketiga untuk keluarga dan umatnya. Sikap membuang masa biasanya dipengaruhi oleh persekitaran. Manusia akan mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat dan didengar daripada pergaulan. Berkawan rapat dengan orang yang suka membaca boleh mempengaruhi minat kita kepada buku, begitu juga bila suka iktikaf di masjid mendengarkan syarahan agama akan menjadikan kita dekat dengan ilmu.

Kita sentiasa berhadapan dengan dua pilihan dalam hidup ini, jalan baik atau yang buruk. Kawan yang jahil atau soleh, situasi mengingatkan kita pada Allah atau melupakannya. Membuang masa menyebabkan kemalasan yang berakhir dengan kegagalan, sedih dan tertekan. Seorang mukmin yang benar imannya sentiasa berada dalam situasi jihad iaitu bersungguh-sungguh mengisi masanya dengan perjuangan dan pengorbanan untuk memenangi pertarungan melawan iblis dan syaitan.
2. Kesedihan juga berpunca daripada sifat dengki dan mengikut nafsu. Ada orang berasa sedih menyaksikan orang lain yang mengatasi kehebatannya. Lebih berjaya, kaya, berpangkat, cantik dan bergaya. Risau dan tertekan bersarang di hati, ditambah dengan sifat dengki dan dendam yang pasti akan memalapkan cahaya iman.

Ubat bagi kesedihan sebegini adalah dengan melihat siapa yang berada di bawah kita. Bukankah ramai manusia yang tiada apa-apa untuk dimakan pada hari ini? Rumah mereka musnah oleh banjir dan badai, anak dan isteri mereka mati di hadapan mata kerana tembusan peluru, kehancuran bangsa dan negara oleh kekejaman perang. Mengapa perlu bersedih jika kita masih memiliki orang yang tersayang, mengapa risau jika harta kita dilindungi Allah SWT, jika ia berkurangan bukankah selama ini Allah memberi jumlah yang banyak tak terhitung? Semenjak dari rahim ibu lagi rezeki sudah dikurniakan kepada kita. Sudikah kita jika seseorang mahu menukar kedua mata, kaki dan tangan kita dengan wang berjuta? Tentu ia lebih berharga daripada wang. Kenikmatan yang Allah kurniakan itu terlalu banyak, tetapi hanya sedikit manusia yang mahu bersyukur.

3. Kesedihan kerana melupakan Allah. Bagaimanakah keadaan orang yang melupakan Allah? Dalam surah Al-Hasyr ayat 19 Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang melupakan Allah. Lalu Allah menjadikan mereka melupakan diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasiq.” Makna melupakan diri mereka sendiri adalah mereka meninggalkan amal soleh yang boleh menyelamatkan diri mereka di dunia dan akhirat. Orang yang melupakan Allah SWT mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
Hari dilalui tanpa ibadat, lupa berzikir, mengabaikan solat, tidak membaca ayat al-Quran, menjauhi ilmu dan meninggalkan amal soleh. Kehidupan dunia menjadikan mereka buta, tidak dapat menjejaki jalan ke akhirat. Keadaan mereka seperti binatang kerana mereka hidup semata-mata untuk makan, minum, tidur, berkahwin dan memuaskan nafsu saja.

Ini sesuai dengan firman-Nya: “Dan sesungguhnya kami jadikan untuk isi neraka jahanam kebanyakan jin dan manusia, mereka memiliki hati tapi tidak dipergunakan untuk memahami ayat-ayat Allah, dan mereka memiliki mata tetapi tidak dipergunakan untuk melihat tanda-tanda kebesaran Allah dan mereka memiliki telinga tetapi tidak dipergunakan untuk mendengar ayat-ayat Allah. Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah Al-A’raf: 179).

Benarkah orang yang kaya tidak berasa sedih, putus asa dan tertekan? Sebenarnya, ia bergantung kepada sumber hartanya dan untuk apa ia dibelanjakan. Kekayaan yang sebenar adalah kaya hati. Iaitu hati yang sentiasa bergembira kerana iman kepada Allah dan bersyukur serta reda dengan qada dan qadar-Nya.
Sheikh Abd al-Qadir al-Jailani menasihat muridnya, “Jangan engkau mendakwa dirimu sebagai Allah, tatkala engkau mahukan semua kehendakmu berlaku. Engkau mahu semua yang engkau hajatkan menjadi kenyataan. Ketika engkau mempunyai harapan yang begitu, engkau seperti mendakwa dirimu Tuhan. Kerana hanya Tuhan yang berhak begitu!” Harapan yang tinggi mesti disertakan dengan sifat kehambaan. Jangan harapan itu menimbulkan rasa kecewa apabila ia tidak kesampaian, hingga kita terlupa kita hanyalah hamba. Hamba yang boleh berharap, namun segalanya pulang kepada kehendak Tuhan. Dan beliau menuruskan lagi nasihatnya, “Jangan pula engkau mendakwa dirimu seorang Nabi, yakni tidak kira setinggi mana engkau berusaha mencapai Taqwa dan pembaikan diri, jangan sesekali engkau merasakan dirimu tidak bersalah dan tidak berdosa. Sesungguhnya yang bersih dan terpelihara daripada dosa itu hanyalah seorang Nabi yang maksum”.

Carilah hati dengan membaca Al-Quran
Carilah hati dengan solat
Carilah hati dengan mengingati mati
Carilah hati dengan meminta hati yang baru.

No comments: