Jika dahulu seorang
pemuda mengeluh mengenangkan betapa banyaknya ujian yang telah dia tempuhi,
tetapi dia lupa sebenarnya ujian itulah telah membawa hidupnya ke saat ini.
Jika seorang wanita kecewa dahulunya kerana tidak dapat mengahwini seorang
lelaki yang dicintai, tetapi dengan jalan itulah dia sekarang masih lagi
bahagia sehingga detik ini.
Ujian atau seringkali
disama ertikan sebagai musibah sering kali dilihat atau sememangnya dilihat
sebagai suatu perkara yang menyakitkan. Bahkan memang musibah itu sifatnya
memeritkan. Senang untuk kita bicarakan bahawa setiap musibah itu ada tersimpan
kebaikkan yang terselindung di dalamnya. Tetapi realiti untuk mengamalkan apa
yang diperkata bukan semudah apa yang diperkata.
Ingat, sesungguhnya
apabila musibah itu datang, ketahuilah bahawa itu petanda kebaikkan akan datang
menyapa.
Ummu Salamah tatkala
didatangkan musibah dengan berita kematian suaminya di medan perang. Dia sedih.
Tetapi dengan kesedihan itulah didatangkan kepadanya suatu pertama berharga
bersuamikan seorang manusia yang termulia daripada seluruh kalangan manusia.
Kisah nyata seorang
ayah bertemu hidayah dengan kelahiran anak yang cacat penglihatan. Tiadalah
dugaan yang lebih besar bagi pasangan suami isteri yang menanti kelahiran
pertama mereka melainkan mendapat anak yang tidak sempurna sifat. Dia begitu
kecewa dengan kehadiran bayi itu disisi keluarga sehingga dia berkata,"Aku
tidak membencinya, tetapi aku juga tidak dapat menyayanginya". Begitulah
kekecewaannya sehingga membungkamkankan nilai kasih seorang ayah terhadap anak
kecilnya.
"Aku tidak
memberikan perhatian kepada Salim sehingga aku berpura-pura seperti dia tiada
di sisi keluarga kami di rumah", ujarnya bagaimana detik Salim
diperlakukan di rumah. Anak kecil yang dilayan bukan sebagai anak kecil. Hanya
kerana kekurangan pada penglihatan mata. Tangis esak kecilnya seperti tidak
didengari oleh seorang bernama sang ayah. Bahkan ayah kepada anak kecil bernama
Salim itu, tegar keluar daripada bilik untuk tidur di tempat lain semata-mata
untuk mengelak mendengar suara esak tangisan bayinya.
Tetapi segalanya
berubah apabila suatu hari Salim menangis teresak-esak tanpa diketahui punca.
Hati ayah tetap seorang ayah. Sejauh manapun seorang ayah cuba lari daripada
anaknya, sesungguhnya fitrahnya tidak dapat lari dari ikatan itu. "Patutkah
aku melihat apakah perkara yang menyebabkan Salim menangis?", soalnya
teragak-agak di dalam hati.
"Salim apakah
yang menyebabkan engkau menangis?", naluri seorang ayah tiba-tiba terdetik
di dalam hati.
"Sekarang ayah
baru perasan akan saya? Hanya setelah 10 tahun anakmu di sini?", luahan
dari hati kecil seorang anak kecil.
Salim masuk ke dalam
biliknya. Umar, adik kepada Salim yang biasa membawa Salim ke masjid untuk
bersolat terlewat tidak seperti kebiasaan. Salim menangis kerana menunggu
adiknya yang tidak pulang lagi. Salim menangis kerana takut tidak dapat berada
di saf pertama, lebih-lebih lagi hari itu hari Jumaat.
"Oh Salim, kerana
inikah engkau menangis?", tanya ayahnya kepada Salim yang tanpa tahu
sebabnya tiba-tiba menitiskan air mata. "Salim, jangan sedih. Engkau tahu
siapa yang akan membawa engkau ke masjid hari ini?", watak seorang ayah
tiba-tiba menjelma. "Tentulah Umar", Salim menjawab. "Tidak
Salim, ayahlah yang akan membawa kamu ke masjid hari ini", pujuk ayahnya
yang dahulunya tidak pernah mengendahkan dirinya.
Ayah Salim yang tidak
pernah mengenal sujud, akhirnya rebah bersujud. Itulah pertama kali yang
menggetarkan hatinya, menimbulkan rasa takut dalam benaknya. Kekesalan berputik
dalam sanubarinya. Selepas solat, Salim meminta mushaf al-Quran dihulurkan.
Ayahnya tergamam. Bagaimana anak kecilnya yang buta matanya boleh membaca
al-Quran. Tetapi betapa terkejutnya dia apabila mendapati bahawa surah al-Kahfi
sudah sebati di dalam dada anak kecilnya. Dia menangis.
Sehinggalah ayah Salim
insaf dan menemukan titik perubahan. Perubahan yang membolak seluruh titik
kehidupannya ke arah yang bertentangan semaza zaman jahiliyyahnya..
Tetapi, taqdir
mendahului perancangan manusia. Salim meninggal dunia tatkala ayahnya mengikuti
jemaah atas usaha dakwah. Betapa sedihnya hati seorang ayah bila buah hatinya
pergi meninggalkannya buat selama-lamanya. Bahkan ayahnya tidak sempat untuk
menatap wajah kecil manusia yang telah menemukan titik cahaya dalam hidupnya
buat kali terakhir.
Anaknya yang dahulunya
tidak dihiraukan, tetapi beruabah menjadi anak yang paling disayangi dikalangan
adik beradik mereka. "Bagaimana aku tidak mencintainya? Sedangkan petunjuk
dalam hidupku ini melalui tangannya!", tangis yang berpanjangan sehigga ke
saat ini.
Kadang-kala kita
berasa hampa dengan kehadiran sesuatu yang kita panggil ia sebagai ujian.
Tetapi sebenarnya, kehampaan yang didatangkan kepada kita itulah kurniaan yang
paling besar buat kita. Kurniaan yang diwajahkan dalam bentuk kehampaan.
Begitu juga sebuah
kisah yang diceritakan dalam majalah al-Islam. Bagaimana seorang pemuda yang
sihat dari Sarawak ditimpakan kepadanya penyakit lumpuh. Lalu hari-harinya
bertukar tidak seperti dulu, kini harinya dipenuhi dengan esak tangisan
penyesalan terhadap nasib diri yang menimpa. Hampir putus seluruh semangat
hidupnya.
Tetapi hari-hari
beliau tetap diteruskan dengan setiap waktu dikelilingi oleh doktor dan
jururawat di hospital. Keluarganya kini adalah pesakit disekeliling. Bualnya
manjanya dihabiskan bersama jiran katil sakit bersebelahan. Tetapi tidak lama
senggang waktu selepas itu, dia akhirnya menemui cahaya hidayah. Cahaya Islam
mula menerobos sedikit demi sedikit hingga ke dasar hatinya.
Akhirnya dia menerima
Islam sebagai jalan hidupnya. Cahaya yang dia hanya dapat apabila menghuni
hospital tatkala telah lumpuh tubuh badannya. "Sebenarnya aku lebih
beruntung apabila menjadi lumpuh berbanding sebelum menjadi lumpuh!",
luahan hati yang kini berbeza nada berbanding sebelumnya. Bagaimana tidak
demikian, hanya setelah menjadi lumpuh baru dirinya berjaya menggapai sinar
penyelamat urusan akhiratnya. Sinar yang akan menentukan haluan rumah yang akan
diduduki di akhirat buat selama-lamanya. Sama ada taman di syurga ataupun di
sangkar neraka.
Kita mungkin tidak
suka apa yang terjadi kepada kita sekarang. Tetapi ingatlah, perkara yang kita
tidak suka itulah yang akan menjadi perkara yang kita syukuri suatu hari nanti.
Justeru, kita lihat
ramai manusia yang tidak berjaya dibawa kepada perubahan kebaikkan melainkan
didatangkan kepadanya ujian. Dahulunya mungkin orang yang paling banyak
meninggalkan solat, tetapi selepas tersungkur dilanda badai musibah, mereka lah
orang yang paling banyak duduk bersingkuh di dalam tahajuj menghadap Tuhannya
sambil mengadah tangan berdoa, "Ya Allah, ampunkanlah aku. Ampunkahlah
dosa-dosa aku.".
Oleh itu, kadang-kala
ujian atau musibah itu sifatnya halus. Ia memerlukan masa untuk memahaminya.
Tetapi sekali kita sudah mengetahui hikmah yang terkandung disebaliknya, pasti
perkara itu menjadi perkara yang paling disyukuri nikmatya. Tidak mustahil akan
terbit di hujung lidahnya,
"Andaiku tahu apa
yang tersimpan disebalik ujian itu buatku...." Walau itu yang pertama
mungkin terakhir buat kita begitu juga sebaliknya mungkin yang terakhir namun
itulah yang pertama dalam hidup kita.
Ehsan
oleh Abu Hafiz Muhammad Hadi Ibrahim
No comments:
Post a Comment