DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Wednesday, April 4, 2012

Berbohong, Menipu dan Menipu Diri Sendiri

Berbohong, cakap bohong atau menipu wujud dalam hampir setiap perhubungan dan sikap seseorang. Apa yang membezakan hanya sebesar mana bohong tersebut atau hanya sekadar apa yang disebut berbohong sunat dan yang lebih malang bila kita mula menipu diri sendiri.
Bohong atau menipu adalah dua perkataan yang sama maknanya. Orang-orang Melayu dahulu, sangat kreatif dalam membina peribahasa. Ungkapannya indah, halus bunyinya dan mendalam isinya. Bohong atau menipu, membawa impak besar kepada diri yang menipu dan juga orang sekelilingnya. Kerana menipu bukan sahaja membawa impak negatif diri penipu, tetapi kadangkala memberi kesan kepada masyarakat. Menipu dalam apa jua, adalah sesuatu yang dilarang oleh Islam. Sehinggakan Rasulullah menegaskan bahawa menipu untuk sekadar bergurau juga tidak dibenarkan dalam Islam. Sepertimana yang dikatakan oleh Rasulullah dalam sebuah hadith, “Celakalah orang yang berbicara, padahal dia menipu, untuk sekadar membuat orang-orang tertawa, celakalah dia, kemudian celakalah dia." (Hadith ini Sahih dalam Bulughul Maram oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqolani)
Sama ada kita kaki menipu atau selalu ditipu, kedua-duanya tidak baik untuk manusia yang mempunyai harga diri. Dua perkataan yang bunyinya nyata lebih kurang sama. Apa yang jelas, kedua-duanya mempunyai makna yang tersendiri. Menipu bermaksud, mengenakan tipu daya. Manakala ditipu pula ialah, diperdaya oleh orang lain.Kenapa harus menipu, atau kenapa harus diberi peluang kepada orang lain untuk membenarkan mereka diri kita ditipu. Yang paling teruk bila kita terjerumus kepada tabiat menipu diri sendiri yang seolah-olah menjadikan keuntungan pada yang melakukannya. 3 ciri mereka yang menipu diri sendiri;

1- Memuaskan hawa nafsu dan beranggapan dirinya selamat daripada azab seksaan Allah SWT.
2- Menunda-nundakan saat bertaubat kepada Allah SWT dan panjang angan-angan.
3- Mengharap pahala dan ihsan daripada Allah SWT tanpa beramal soleh.
(Kitab Tanbihul Ghafilin. Jilid 1 & 2 . M/S : 955)
Menipu merupakan pekerjaan dosa besar, kerana sifat ini merupakan sifat yang paling menonjol yang dimiliki oleh orang munafik. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga macam, apabila berkata suka berdusta, apabila berjanji selalu menyalahi dan apabila diberi kepercayaan (amanah) suka khianat". (Riwayat Bukhari dan Muslim). Balasan bagi orang suka menipu serta tidak amanah ataupun tergolong dalam orang munafik ini sangat pedih di akhirat nanti. Sekalipun orang munafik atau menipu orang itu sentiasa merahsiakan sifat kemunafikannya, Allah adalah Zat Yang Maha Tahu akan membongkar kesalahannya di hadapan orang-orang Islam apa yang selama ini tersimpan dalam hatinya. Allah berfirman maksudnya: "Atau apakah orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya mengira bahawa Allah tidak akan menampakkan kedengkian mereka? dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tunjukkan mereka kepadamu sehingga kamu benar-benar dapat mengenal mereka kiasan-kiasan perkataan mereka dan Allah mengetahui perbuatan-perbuatan kamu" (Muhammad ayat 29-30)

Dalam sebuah riwayat dikisahkan, perjalanan bagi mereka yang suka menipu di akhirat nanti dengan melalui jambatan yang lebih lembut dari helaian rambut. Tidak ada manusia yang mampu melaluinya kecuali atas pertolongan Allah. Bagi kaum munafik atau penipu, tatkala mereka menuju jambatan itu dan bersama-sama dengan kaum mukminin, mereka mendapatkan cahaya sebagaimana yang didapati oleh kaum mukminin itu. Nampak seakan-akan mereka turut melakukan solat, zakat, haji dan puasa. Namun di tengah jambatan itu, Allah mencabut cahaya-Nya. Mereka terdiam dan berdiri dalam keadaan bingung, tak mampu melanjutkan perjalanan. Mereka dipanggil oleh orang-orang mukmin supaya mendekatinya supaya mereka memperoleh cahaya, namun mereka tertinggal jauh. Lalu dikatakan kepada orang munafik atau peniupu itu mundurlah ke belakang. Mereka pun mundur mencari cahaya yang hilang. Begitulah nasib bagi orang yang menipu
Bila kita sudah menipu diri sendiri mengatakan bahawa mereka tidak diperhatikan sesiapa, sebenarnya mereka bertuhankan diri sendiri. Sebab itu, walaupun hati kecil kita sering mengajak ke arah kebaikan, sudah tidak berkesan. Kita mungkin boleh melakukan dosa dibelakang manusia yang lain tanpa diketahui. Tapi kita tidak akan pernah terlepas dari perhitungan Allah SWT. Meskipun kita melakukan dosa itu secara membelakang, mengiring, berbaring, bersembunyi dalam gua atau mengorek lubang masuk ke bilik bawah tanah, ianya tetap dapat dilihat. Ingatlah, di kiri dan kanan kita, ada malaikat suruhan Allah sentiasa memerhati. Rasailah kehadiran dua malaikat itu. Dari sekecil-kecil perkara sehingga ke besar-besar perkara. Tiada satu pun yang terlepas dari pengetahuan Allah SWT. Hatta daun yang gugur dari pokok pun Allah tahu. sebenarnya, tidak ada langkah kita yang terlepas dari pemerhatian Allah. Ketika tidur, mandi, makan, sendirian dan semasa berbual dengan orang lain. Semuanya Allah akan kira. Percaya atau tidak, kita kena percaya. Allah itu Maha Kuasa

Sesungguhnya kita tidak mungkin ditipu adalah diri sendiri. Kalimat-kalimat, “Jangan menipu diri; Hatimu adalah cermin dirimu; Kejujuran sejati adalah kata hati sendiri” dan banyak lagi, adalah bukti betapa orang tidak mungkin menipu dirinya sendiri. Menipu orang lain, itu mudah. Orang tinggal berbicara lain dan berbuat yang lain kepada orang lain. Dijamin orang itu tidak mudah mengetahui trik itu. Dan akan tertipulah orang tersebut. Tapi apakah kita akan mampu menipu diri sendiri, Tidak mungkin. Berfikir secara jujur mengenai kebimbangan atau motif sesuatu keputusan itu. Setiap keputusan pasti mempunyai dilemanya yang tersendiri, jangan sesekali membuat keputusan dengan cuba untuk menipu diri sendiri.
7 tanda keikhlasan
Niat
Hanya kerana Allah
Mengharapkan rahmat dan belas kasihan Allah
Dengan kerelaan sendiri
Untuk kebaikan
Dilakukan dengan bersungguh-sungguh
Rasa tanggungjawab

Manusia boleh menipu Manusia, Manusia boleh menipu Diri Sendiri, Tapi Manusia takkan dapat menipu Allah SWT. Orang yang menipu diri, diawalnya akan manis, akan tetapi di akhir pasti akan terasa pahit. Firman Allah SWT, “..Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut. Tidak ada sehelai daun pun yang gugur yang tidak diketahui-Nya. Tidak ada sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak ada pula sesuatu yang basah atau kering, yang tidak tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuz).” – al An’am : 59

No comments: