DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Thursday, February 18, 2010

Happy Chinese New Year (Year of Tiger)

Tahun Baru Cina baru berlalu, sungguh meletihkan kerana banyak program dah diatur tambahan kesesakan jalanraya yang tak pernah selesai. Lagi banyak jalan dibuat lagi banyak kereta diatas jalan maka bertambah lagi kemalangan yang tanpa kita sedari melibatkan banyak nyawa terkorban. Kenapa ya? seolah-olah "pandu selamat jiwa selamat" seakan tidak menjurus kepada mesej mengingatkan pemandu berhati-hati. Sayugia 'sayangi orang yang tersayang' tidak punya makna. Agaknya bagaimana nak mendidik pemandu berhemah. Adakala kerisauan sentiasa bersarang diminda kerana tak sanggup menerima berita yang menyedihkan. Harap-harap ianya tidak terjadi.

Awal Tahun Baru Cina menghadiri kenduri kahwin sepupu kepada isteri. Wah seronok juga kerana dapat bertemu kembali sanak saudara dan kaum keluarga. Meriah juga tapi cuaca agak panas jadi masing-masing menunjuk kelesuan. Sempat bertanya khabar dan bertukar cerita kehidupan masing-masing. Rupanya masa berjalan terlalu pantas sehingga yang kecil dah dewasa dan yang dewasa dah mula uzur. Jadi perlunya menggunakan masa sebaik mungkin supaya tidak terlepas begitu saja, "Masa itu emas" hargailah.

Sebelah petang berkunjung kerumah kawan baik keturunan cina (Lee Cheng Heng)di Pulau Gadong, Melaka. Kami dah berkawan baik melebih 10 tahun dan dah menganggap sebahagian keluarga kami. Dia menghormati saya sepenuhnya sebagai orang Melayu beragama Islam dan saya menerima dia seadanya biar pun pada awalnya banyak yang cemburu diatas keakraban kami hingga ada yang menabur fitnah supaya kami berpisah tapi atas dasar keikhlasan dan kejujuran ianya tetap kukuh sehingga kini. Kami dijamu dengan Yong Tau Fu (halal dikendalikan oleh orang Melayu) dikedai berhampiran rumahnya. Sedap sebab dah lama tak menjamah. Walau pun masa mencemburui kami tapi kami gunakan sepenuhnya masa yang ada untuk merapatkan lagi persahabatan kami. Rasanya tak mahu berpisah tapi masing-masing ada tugas yang perlu dijalankan maka dengan berat hati kami sama-sama merelakan malah masih tersemat didalam fikiran dan jiwa saya atas janji beliau sewaktu mula-mula kami menjalinkan persahabatan "Hanya kematian yang boleh memisahkan". Susah nak ditaksirkan dengan kata-kata pada ungkapan itu dan saya berjanji apa pun terjadi saya tetap berpegang pada kata-kata tu. Kami bertolak balik ke Kuala Lumpur dengan bermacam-macam fikiran bermain diminda. Terlintas juga dalam minda saya "Kawan ketawa senang dicari, kawan menangis sukar didapati".

Pernah satu ketika Lee membawa kueh Cang (sejenis kueh tradisi cina) untuk saya katanya, dan dia menyatakan halal. Masa tu dia belum faham istilah halal tu macam mana dan saya menjadi serba salah nak dimakan tak boleh (kerana masih dimasak menggunakan bekas yang tidak halal), nak ditolak mesti dengan cara berhemah supaya tidak timbul rasa jauh hati. Saya hanya mampu berdiam diri, lantas dia mengatakan kenapa saya tak sudi sedangkan kueh tu dibawa memang untuk saya. Maka saya terpaksa berterus terang dengan mengatakan yang saya tak boleh makan kecuali dimasak dirumah saya. Pada mula saya ingat dia akan terima alasan saya sebaliknya jauh meleset dengan hamburan airmata dia berkata sampai hati saya buat begitu padanya lantas dibuangnya kueh itu kedalam tong sampah. Terluka sungguh hati dia, rasa bersalah bersarang diminda saya. Saya cadangkan padanya makan ditempat lain walau pun dengan harga yang mahal saya sanggup bayar demi menebus kehampaannya. Arrrhhh lagi meleset tekaan saya dengan jawapan, tak payah makan apa-apa kerana yang murah pun saya tak sanggup makan. Terkedu saya seketika. Akhirnya saya pasrah dengan membiarkan dia dengan kesedihan sehingga reda. Malang berterusan dengan lansung tak mahu berbicara dengan saya malah tak mahu melihat saya lagi. Benar-benar saya rasa tertekan dan kecewa. Hilang segala mood dan selera. Apakan daya nasi sudah menjadi bubur, hilang segala-galanya hanya kerana kueh cang. Dua hari saya memikirkan malah tak bertegur sapa. Sama-sama memendam rasa. Saya membuat keputusan drastik kerana tak mahu berlarutan dengan berdepan dari hati kehati. Saya bertanya padanya apakah tidak ada jalan penyelesaian lantas saya membuat kata putus, kalau benar dia menganggap saya ni abangnya saya tunggu dikedai makan yang selalu kami pergi untuk sama-sama menjamu selera dan andaikata sudah tak mau lagi meneruskan persahabatan ini saya reda dan akur ketentuan yang ada. Pada mulanya dah hampir 10 minit berlalu dan saya memikirkan sudah ada jawapannya yang dia tak datang. Akhirnya kelibat beliau dengan muka yang agak serius hadir dan duduk dihadapan. Saya menghulur tangan meminta seribu kemaafan atas apa yang terjadi dan dia menerima dengan syarat belanja dia makan selama seminggu. Tak apa syarat yang agak mudah kerana saya tak mahu kehilangan sahabat yang baik. Itulah kenangan yang membuat saya takut nak melukakan hati sesiapa saja dan perlu berlaku ikhlas dan jujur dalam menjalinkan persahabatan.

Kini semua tinggal kenangan, segala waktu bersama sudah berlalu kerana tugas memisahkan kami, hanya sms dan deringan handphone menghubungi kami. Sesekali bila waktu terluang kami cuba penuhi dengan menziarahi samada saya ke rumahnya atau sebaliknya. Percayalah siapa pun kita, tak kira bangsa, agama, kedudukan maupun taraf kalau kita ikhlas dan reda akan berjalan dengan baik. Elakkan prasangka dan mengongkong supaya persahabatan dijalin dengan rasa penuh tanggungjawab. Hormati sahabat sebelum sahabat menghormati kita.

2 comments:

Kapitan Ho said...

terasa sedikit hatiku membaca 'perjalanan' saudara..terkenang saya pada sa-orang sahabat melayu juga yang teramat sangatlah akrab ketika maseh di bangku sekolah
T.T

Caspian said...

Kapito Ho TQ