Sesungguhnya
agama Islam yang diturunkan oleh Allah SWT telah menetapkan peraturan-peraturan
dan garis panduan yang sempurna bukan sahaja sesuai pada sebarang tempat dan
masa, malahan bertepatan dengan naluri dan fitrah makhluk manusia ciptaan-Nya.
Sebarang percanggahan atau pelanggaran batas-batas yang ditetapkan ini akan
mengakibatkan berlakunya kepincangan dan kerosakan kepada kehidupan dan diri
manusia itu sendiri. Oleh itu, peraturan-peraturan Ilahiah yang berlandaskan
al-qur'an, hadith ijmak ulama' dan qias mestilah dipegang sekukuh-kukuhnya
tanpa sebarang kompromi atau bersyarat. Segala dakwaan, pandangan dan sikap
yang jelas bertentangan dengan nas-nas yang sarih mestilah ditolak kerana ia
bukan bertunjangkan sumber yang muktabar tetapi bertopengkan hawa nafsu dan
kepentingan peribadi yang keji.
Allah
SWT menjadikan manusia amat istimewa dan berbeza dengan makhluk-Nya yang lain.
Antara keistimewaannya yang paling utama ialah Allah SWTmenciptakan akal untuk
manusia berfikir dan lidah untuk berbicara. Justeru, lidah menjadi jurubicara
menyampaikan apa yang terasa dalam hati dan terlintas dalam fikiran manusia. Keupayaan
berbicara merupakan nikmat Allah yang begitu besar kepada seseorang manusia.
Manusia perlu menggunakan lidahnya untuk membicara perkara-perkara yang
berfaedah. Antaranya membaca ayat-ayat suci al-quran, hadith-hadith Rasulullah SAW,
pandangan para ulama', intelektual dan sebagainya seterusnya menyampaikannya
kepada orang lain. Pesanan Rasulullah SAW agar menyampaikan mesej Baginda
walaupun satu ayat merupakan penegasan tentang betapa pentingnya kita perlu
berbicara. Ia merupakan salah satu wasilah paling berkesan untuk menyampaikan
mesej dakwah Islam.
Firman
Allah SWT: “Allah Yang Maha Pemurah, yang telah mengajarkan al-Qur'an. Allah
menciptakan manusia,mengajarnya berbicara (menerangkan sesuatu cetusan daripada
fikiran dan perasaannya).” (Surah ar-Rahman: 1-4) Justeru, nikmat kebolehan
berbicara ini wajib dihargai, disyukuri dan digunakan dengan sebaik-baiknya
mengikut landasan syarak. Islam menggariskan tatacara terbaik untuk menggunakan
lidah yang sentiasa mengungkaikan kalimah-kalimah agar setiap butiran bicara
tersebut mendapat, keredhaan Allah.
Adab
pergaulan - Berbicara dengan orang perseorangan atau awam sama ada secara
langsung atau melalui tulisan, media cetak mahupun elektronik dan lain-lain
mempunyai tatacara dan adab yang tertentu. Setiap perbicaraan yang keluar
daripada seseorang menunjukkan apa yang ada dalam fikirannya serta perangainya.
Berbicara sesuatu yang perlu dan menghindari perbicaraan yang tidak berfaedah
merupakan ibadah yang besar pahalanya. Sabda Rasulullah SAW: “Daripada kebaikan
iman seseorang ialah meniggalkan apa yang tidak bermakna bagiya.” (Hadith
Riwayat at-Tirmidzi). Orang yang tidak memperkatakan sesuatu yang tidak
berfaedah baginya merupakan tanda kejayaan hidupnya sebagai seorang mukmin. Allah
SWT berfirman: “'Sesungguhnya telah berjaya orang yang beriman iaitu orang yang
khusyuk dalam solatnya, orang yang menjauhkan diri daripada perbicaraan yang
tidak berguna.” (Surah al-Mukminun: 1-3)
Abdullah
ibnu Abbas RA mengatakan: 'Ada lima perkara yang lebih baik bagi mereka
daripada kuda liar yang dibiarkan diam.
Pertama:
Janganlah engkau berbicara tentang sesuatu yang tidak mengenai dirimu kerana
hal itu merupakan perbicaraan yang tidak perlu dan aku tidak menjamin engkau
akan selamat daripada dosa.
Kedua:
Janganlah engkau berbicara tentang sesuatu sebelum engkau mengetahui saatnya
yang tepat sebab mungkin orang berbicara tentang sesuatu yang penting baginya
tetapi kerana dilakukan tidak tepat pada waktunya boleh menimbulkan hal-hal
yang memalukan.
Ketiga:
Janganlah engkau berdebat dengan orang yang sabar atau bijaksana dan juga
dengan orang yang berperangai buruk sebab orang yang sabar tidak akan
menghiraukan dirimu manakala orang yang berperangai buruk akan menyakiti
hatimu.
Keempat:
Ceritakanlah kepada saudaramu yang tidak hadir tentang apa yang engkau sendiri
ingin dia ceritakan kepadamu dan maafkanlah dia seperti engkau sendiri ingin
dimaafkan olehnya.
Kelima:
Buatlah seperti orang yang benar-benar sedar bahawa perbuatan itu akan
mendatangkan kebajikan dan tidak akan mendatangkan dosa atau kesalahan. (Ibnu
Abi Dunya).
Oleh
itu kita harus menguasai lidah kerana seseorang itu boleh terjerumus ke lembah
yang hina disebabkan lidahnya yang tidak terkawal. Orang yang berbicara tanpa
kawalan akan kehilangan arah. Atas keprihatinan ini, Islam menggariskan
tatacara dan adab berbicara agar umatnya sentiasa berada dalam lingkungan
keredhaan Allah.
Pertuturan
Dalam Pergaulan - Tuturkata yang dikeluarkan oleh seseorang dapat mengukur
sejauhmana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran,sopan santun, budi pekerti,
pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya. Oleh itu, sewajarnya setiap
insan memelihara lidahnya dan hendaklah berbicara menurut pertimbangan akal
yang waras. bercakap benar, sopan santun, lembut dan lunak supaya sedap
didengar dan elakkan daripada mengeluarkan kata-kata kotor. Dalam kehidupan
kita seharian, wadah pergaulan yang digunakan dapat dibahagikan kepada beberapa
keadaan. Umpamanya melalui perbualan, penulisan atau perdebatan.
Sebagai
manusia, kita mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat tentang apa sahaja sama
ada dalam percakapan, penulisan ataupun perdebatan. Walaubagaimanapun, ia
mestilah tidak menimbulkan rasa marah, tidak puas hati, saling menyalahkan,
menghina,memaki hamun, mencaci, mengeluarkan kata-kata kotor,mengutuk,
menyumpah, mengaibkan dan sebagainya hingga menyinggung perasaan orang lain
apatah lagi saudara kita sesama Islam. Ini kerana ia boleh merenggangkan
hubungan silaturrahim, menimbulkan rasa marah, rasa benci. permusuhan dan jika
keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan dan perbalahan. Dalam hal ini bijak
bistari pernah berpesan, 'berfikir itu pelita hati'. Pepatah Melayu pula
mengatakan, 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa'. Jika
direnung, kedua-duanya memberikan pengertian yang begitu mendalam untuk kita
jadikan panduan supaya sentiasa menjaga kesopanan dalam percakapan seharian.
Oleh
itu, bagi mengelakkan berlakunya sebarang perselisihan dan suasana yang tidak
menyenangkan maka kita perlulah berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata.
Ibarat kata pepatah,'mulut kamu adalah harimau kamu.'Terdapat banyak ayat al-qur'an
dan hadith Rasulullah SAW yang memberi peringatan dan panduan tentang adab
dalam percakapan. Antaranya Firman Allah SWT: “Tidakkah kamu perhatikan
bagaimana Allah membuat contoh ucapan yang baik(mengajak berbuat baik, menjauhi
perbuatan salah) seperti sebatang pohon yang baik (subur) akar kuat (terjunam
ke dalam tanah) dan cabangnya(menjulang tinggi) ke langit. Pohon itu berbuah
terus dengan izin tuhannya. Allah menjadikan contoh-contoh itu untuk manusia
supaya mereka ingat selalu. Dan contoh perkataan yang buruk (seperti memfitnah,
berdusta, mengajak berbuat mungkar dan lain-lain) seperti pohon yang busuk
[mati] yang tercabut akar-akarnya dari permukaan bumi tidak tegak berdiri lagi.
(Surah Ibrahim: 24-26)
“Wahai
orang yang beriman Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki mencemuh dan
merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan
itu lebih baik daripada mereka;dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum
perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain,(kerana)
harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah
sesetengah kamu menyatakan ke’aiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula
kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.
(Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi
fasik,) maka amatlah buruknya sebutan nama fasik(kepada seseorang) sesudah ia
beriman,Dan(ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya)
maka merekalah orang yang zalim” (Surah al-Hujurat:11)
“Wahai
orang yang beriman! Janganlah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak
menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan
itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan
keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.
Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?
(Jika demikian keadaan mengumpat) sudah tentu kamu jijik kepadanya. (patuhilah
larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah;sesungguhnya
Allah Penerima taubat,lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Hujurat:12)
Allah
Ta'ala berfirman lagi: “Dan orang yang menyakiti orang mukmin,lelaki atau
perempuan, tanpa adanya sesuatu yang mereka lakukan, maka orang yang menyakiti
itu menanggung kebohongan dan dosa yang nyata.” (Surah al-Ahzab: 58)
“Dan
katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka
berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang yang menentang
kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka (Yang
mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat
nyata bagi manusia.” (Surah al-Israa':53)
“Pergilah,
kamu berdua kepada Fir'aun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam
kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang
lemah lembut,semoga ia beringat atau takut.” (Surah Taha: 43-44)
Manakala
sabda Rasulullah SAW pula: “Perbuatan memaki hamun seorang mukmin merupakan
perkara fasiq dan perbuatan memeranginya hukunmya kufur” (Riwayat al-Bukhari)
Dari
Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Kedua-dua orang yang saling
maki-memaki itu dosanya adalah atas orang yang memulai antara kedua-dua orang
itu, sehingga yang dianiaya melanggar melebihi batas apa yang dikatakan oleh
orang yang memulai tadi” (Riwayat Muslim)
“Seseorang
mukmin bukan seseorang yang suka mencaci atau suka melaknat orang lain dan ia
juga tidak bersifat jahat disamping ia tidak bersifat buruk.” (Riwayat al
Tirmidzi)
“Dari
Abu Zar RA, bahawasanya ia mendengar Rasulullah bersabda: “Tidakkah seorang
melemparkan kefasikan atau kekufuran kepada orang lain,melainkan akan
kembalilah kefasikan atau kekufuran itu pada dirinya sendiri, jikalau yang
dikatakan sedemikian itu bukan yang memiliki sifat tersebut.” (Riwayat
al-Bukhari)
Dari
Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sewajarnya bagi orang
yang jujur itu suka mengutuk.” (Riwayat Muslim)
Daripada
Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Cukuplah keburukan seseorang
dengan menghinakan saudaranya yang muslim.” (Riwayat Muslim)
Daripada
Jundub bin Abdullah RA, katanya; Rasulullah SAW bersabda: “Ada seorang lelaki
berkata: 'Demi Allah, Allah tidak akan memberikan pengampunan kepada si Fulan
itu.' Allah Azzawajalla lalu bersabda:'Siapakah yang berani menyumpah-nyumpah
atas nama-Ku bahawa Aku tidak akan mengampuni si Fulan itu, sesungguhnya Aku
telah mengampuni orang itu dan Aku menghapuskan pahala amalanmu yakni yang
bersumpah tadi.” (Riwayat Muslim)
“Sesungguhnya
saya diutus Allah tidak menjadi pengutuk, tetapi hanyalah menjadi rahmat.” (Riwayat
Muslim)
Abu
Darda' menceritakan bahawa ia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “'Sesungguhnya
orang pengutuk tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudara-saudaranya)
pada Hari Kiamat.” (Riwayat Muslim)
“Janganlah
banyak bicara, jika tidak mengenai zikir Allah, maka sesungguhnya banyak bicara
tanpa zikir Allah itu menjadikan hati pembicaranya kesat. Sesungguhnya orang
yang paling jauh dari Allah pada hari Kiamat ialah orang yang kesat hati.” (Riwayat
at-Tirmidzi)
'Bersumber
dari Abu Darda' RA, ia berkata:Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya bila ada
seseorang mengutuk sesuatu maka kutukan itu naik ke langit tetapi pintu~pintu
langit itu ditutup tidak mahu menerima kutukan tersebut,kemudian kutukan itu
turun ke bumi tetapi pintu-pintu bumi itu ditutup tidak mahu menerima kutukan
tersebut, kemudian kutukan itu lari ke kanan dan ke kiri; apabila kutukan itu
tidak mendapat tempat maka ia mencari orang yang dikutuknya,apabila orang itu
patut mendapat kutukan maka ia kembali kepada orang yang mengucapkan kutukan
tersebut.” (Riwayat Abu Daud)
“'Peliharalah
lidahmu, kecuali tentang hal yang lebih baik, kerana sesungguhnya engkau dengan
begitu telah mengalahkan syaitan!” (Riwayat at-Tabarani)
“Sesiapa
yang menunjukkan kepada hal yang lebih baik maka bagaikan orang yang
melakukannya dan sesiapa yang menunjukkan kepada yang lebih jahat maka ia bagaikan
orang yang melakukannya.” (Riwayat at-Tirmidzi)
“Orang
mukmin tidak suka mengutuk-ngutuk.” (Riwayat at-Tirmidzi) “Janganlah kamu
mengutuk orang yang sudah meninggal dunia nanti kamu akan menyakiti orang yang
masih hidup dengannya.”
Penulisan
- Pada zaman ini sikap saling mencela dan mempersalahkan orang lain melalui
tulisan sudah menjadi perkara biasa. Tujuannya hanyalah untuk menuduh dan
menjatuhkan air muka orang lain yang tidak sehaluan pendapat dengannya,
disamping mungkin juga bertujuan untuk mencari populariti.Islam tidak melarang
umatnya untuk memberikan pandangan dan kritikan yang bersifat membina apabila
melihat sesuatu masalah atau tuduhan yang menyimpang daripada kebenaran. Sikap
seperti ini telah ditunjukkan sejak zaman Rasulullah SAW hinggalah kepada
pemimpin- pemimpin seterusnya. Walau bagaimanapun,setiap tulisan yang
dihasilkan hendaklah merupakan suatu karya yang membina yang dapat menegakkan
peradaban masyarakat, sebaliknya bukan untuk meruntuhkannya dengan menggunakan
bahasa yang tidak sopan dengan tujuan mencela atau menghina pihak tertentu.
Menggunakan bahasa dan daya imaginasi yang tinggi untuk melahirkan sebuah karya
sangat disanjung tinggi.Namun, biarlah imaginasi itu ada arah tuju yang baik
dan bukan sebaliknya.
Firman
Allah SWT: “Dan ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat-tidak
berketentuan hala. Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan
tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)
Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya. Kecuali
orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu), dan
mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah
mereka dianiaya. Dan (ingatlah) orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan
mengetahui kelak, ke tempat mana mereka akan kembali.” (Surah Asy-Syuara':
224-227). Ayat ini jelas menolak penulis atau pengkarya yang menggunakan
imaginasi dan khayalan tanpa kawalan kerana ia boleh menyebabkan masyarakat
keliru dan timbul salah tanggapan terhadap tulisan tersebut.
Dalam
hal ini Rasulullah SAW bersabda: “Tidak harus bagi seorang muslim itu
menimbulkan ketakutan pada diri saudaranya. “ (riwayat Abu Daud). Hadith
tersebut menghendaki kita menggunakan bahasa yang mudah supaya maksudnya tepat
dan tidak menggelirukan pemikiran pembaca. Gaya bahasa yang berbelit-belit,
mencemuh, mencarut, menghina dan sebagainya hendaklah dihindarkan kerana ia
dilarang oleh Islam berdasarkan firman Allah: “Wahai orang yang beriman,
takutlah akan Allah. Dan katakanlah kata-kata yang betul nescaya Allah akan
menjadikan amalmu baik. Dan akan diampuni-Nya dosa-dosa kamu.” (Surah al-Ahzab:
70-71)
Perdebatan
- Dalam pergaulan seharian, kita sering berhadapan dengan perbincangan atau
perdebatan tentang sesuatu isu. Islam menggariskan beberapa panduan yang patut
diikuti ketika perbincangan atau perdebatan untuk mengelakkan berlakunya
perbalahan. Perdebatan tentang agama, politik, ilmu pengetahuan dan lain-lain yang
dilakukan tanpa berlandaskan adab-adab yang dibenarkan oleh syarak, akan
mengakibatkan rosaknya agama, kehidupan dan ilmu pengetahuan.Barangkali
perdebatan seperti yang mereka lakukan itulah yang mengakibatkan rosaknya
kesejahteraan ummat dan lahirnya golongan yang berpecah-belah. Perdebatan
seumpama ini bukanlah pembahasan yang sihat dan bukan pula usaha memperolehi
kebenaran dengan cara yang sebaik-baiknya. Ini tergambar apabila para sahabat
pernah berdebat antara satu dengan lain tentang sesuatu perkara. Apabila
Rasulullah SAW datang, baginda bersabda: “Hai umat Muhammad, berhati-hatilah!
Orang sebelum kamu dahulu binasa kerana perbuatan seperti itu. Tinggalkanlah
perdebatan kerana orang beriman tidak patut berdebat! Tinggalkanlah perdebatan
kerana orang yang berdebat jelas akan memperolihi kerugian! Tinggalkanlah
perdebatan kerana perdebatan mendatangkan dosa bagi orang selagi ia berdebat!
Pada Hari Kiamat aku tidak akan memberi syafaat kepada orang yang suka
berdebat! Tinggalkanlah perdebatan, kujamin tiga buah rumah di dalam syurga: di
taman-tamannya,di tengahnya, dan yang di bahagian atasnya tersedia bagi orang
yang menjauhkan diri daripada perdebatan dalam keadaan ia benar! Tinggalkanlah
perdebatan kerana perkara pertama yang aku dilarang oleh Tuhanku sesudah
melarang penyembahan berhala perdebatan.” (Riwayat At-Tabarani)
Sepatutnya,
dalam perbincangan tentang sesuatu isu yang timbul, kita hendaklah mengawal
diri dan jangan sekali-kali menyanggah atau menyampuk kata-kata atau pandangan orang
lain yang sedang memberikan pandangannya. Ini kerana setiap kata-kata yang kita
dengar itu, jika benar, hendaklah kita mempercayainya atau menyetujuinya.
Tetapi sekiranya kata-kata atau pandangan yang diutarakan itu salah, maka
hendaklah perbetulkan. Itulah sebenarnya cara yang sepatutnya dilakukan ketika
kita berdebat atau berbincang, Bukannya saling cabar-mencabar dan bertikam
lidah hingga membawa pertengkaran yang tidak berkesudahan, serta tidak
menghasilkan apa-apa keputusan. Firman Allah SWT: “...Dan berdebatlah dengan
mereka mengikut cara yang terbaik...” (Surah an-Nahl: 125)
Kaedah
al-Qur'an Dalam Pertuturan - AI-Qur’an dengan tegas merumuskan bahawa umat
Islam secara nyata memiliki ciri-ciri khusus yang membezakan mereka daripada
umat lain. Firman Allah SWT: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik
umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat
segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk
dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).
Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang
semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara
mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang yang fasik.” (Surah
Ali-Imran: 110)
Antara
ciri khusus mereka yang paling utama ialah menyuruh melakukan kebaikan,
mencegah kejahatan dan beriman kepada Allah SWT. Ciri tersebut sangat penting
diambil ingatan oleh umat Islam kini khususnya dalam konteks jika mereka mahu
membangunkan semula keyakinan diri dan menjadi'umatan wasatan'untuk masa kini
dan masa depan. Firman Allah SWT: “Dan demikianlah (sebahagian Kami telah
memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu ( wahai umat Muhammad)
satu umat yang pilihan lagi adil supaya kamu layak menjadi orang yang memberi
keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah dan
Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran
perbuatan kamu.(Sebenarnya kiblat kamu ialah Ka'bah) dan tiadalah Kami jadikan
kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad),melainkan untuk
menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang
benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling
tadah (berbalik kepada kekufurannya). Dan sesungguhnya (soal peralihan arah
kiblat itu adalah amat berat (untuk diterima)kecuali kepada orang yang telah
diberika” (Surah aI-Baqarah : 143)
Walau
bagaimanapun apabila ditinjau kepada potensi umat yang ada pada masa kini, kita
dapati pertembungan fahaman telah menjadi salah satu halangan besar yang
membelenggu mereka untuk hidup bersatu. Bersatu dalam erti kata saling tegur
menegur dan menegakkan kebenaran secara berhikmah. AI-Quran telah meletakkan
beberapa kaedah tentang bagaimanakah cara terbaik untuk hidup saling tegur
menegur dan bergaul dalam masyarakat. Bagaimanakah cara yang terbaik pula untuk
mereka mengembalikan maruah ummah tanpa menjatuhkan orang lain sekaligus
berperanan menjadi contoh kepada bangsa lain bahawa kita bukanlah umat yang
suka kepada perbalahan dan saling bercakaran.
AI-Quran
dalam banyak ayatnya menggesa supaya dibentuk fikiran umum yang menyeru kepada
kebaikan dan mencegah daripada keburukan. Semua ini dilakukan demi menjaga
kehormatan ummah dan ia perlu melalui kebebasan berfikir dan kebebasan bercakap
asalkan ia tidak bertentangan dengan peraturan umum. Antaranya percakapan yang
tidak sopan dan ungkapan-ungkapan yang tidak manis didengar.
Berhikmah
- Banyak ayat al-Qur'an yang menyuruh manusia supaya mengungkapkan
percakapannya dengan cara sopan dan berhikmah supaya kata-kata mereka itu
mendapat perhatian dan tidak menyebabkan orang lari daripada mendengarnya.
Allah SWT memberi garis panduan kepada Nabi Muhammad SAW supaya bercakap dengan
cara yang paling lembut. Firman AllaLh SWT: “Maka dengan sebab rahmat (yang
melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap
lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah
engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.
Oleh itu maafkanlah mereka (tentang kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu),
dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam
urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah
berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah
kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang yang bertawakkal kepada-Nya.”
(surah Ali-Imran: 159)
AI-Quran
juga memerintahkan umat Islam supaya menolak dan mencegah keburukan dengan cara
yang terbaik. Firman Allah SWT: “Tidaklah sama antara kebaikan dengan keburukan
itu maka cegahlah keburukan dengan cara yang terbaik...” (Surah Fussilat : 34).
Lanjutan daripada ini, kita perhatikan bagaimana al-Qur'an sentiasa menekankan
secara berhikmah ketika menyebarkan kebaikan kepada manusia. Dan cara inilah
yang sepatutnya dijadikan panduan kepada kita semua,sama ada ketika berkhutbah,
berkarya malah dalam apa jua tindakan kita. Allah SWT berfirman: “Maka
ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Allah dan mohonlah
ampun bagi dosamu dan dosa orang mukmin lelaki dan perempuan…” (Surah Muhammad
: 19)
Firman
Allah SWT lagi: “Wahai orang yang berselimut bangunlah dan berilah peringatan
dan Tuhanmu agungkanlah,pakaianmu bersihkanlah.” (Surah al-Muddaththir: 1-4). Allah
SWT juga berfirman: “...Hendaklah kamu menjadi orang rabbaniyin (yang hanya
menyembah Allah Ta'ala – dengan ilmu dan amal yang sempurna) kerana kamu
sentiasa mengajarkan isi al-Kitab itu dan kamu selalu mempelajarinya.” (Surah
Ali-Imran : 79)
Sejak
kebelakangan ini telah muncul sindrom orang ramai terhadap menegur kesalahan
sama ada kesalahan itu dilakukan oleh individu mahupun oleh pihak berkuasa. Teguran
itu pula dilakukan melalui pelbagai media dan cara. Walaupun sindrom ini baik
namun apa yang dikhuatiri jika cara yang digunakannya tidak berhikmah maka
penyakit masyarakat semakin bertambah tenat. Ini kerana terdapat antara mereka
orang yang tidak mengerti dan memahami cara-cara untuk mempertautkan dan
memadukan hati manusia dan tidak memahami perkara~ perkara utama yang lebih
bermanfaat bagi umat Islam. AI-Quran sering menyindir golongan seperti ini
lantaran kejahilan mereka menggunakan method berhikmah ketika menegur
masyarakat. Antaranya seperti firman Allah: “'Tetapi kebanyakan manusia tidak
mengetahui”(Surah al-Araf : 187). “...Akan tetapi kebanyakan manusia tidak
beriman.” (Surah Hud : 17). “..Maka ceritakan kisah-kisah agar mereka berfikir.”
(Surah al-Hasyr: 176). “...Dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi
manusia agar mereka berfikir.” (Surah al-Hasyr :21)
No comments:
Post a Comment