Jiwa yang kaya ialah jiwa yang bebas daripada sifat
bangga diri, sebaliknya memiliki sifat pemurah dan berlapang hati. Ini
memudahkan kita untuk mengakui kesilapan diri, memohon maaf dan memaafkan orang
lain.
Dalam suatu riwayat diceritakan bahawa Abu Zar memanggil
Bilal bin Rabbah dengan gelaran wahai anak hitam, satu ungkapan amat menghiris
hati. Bilal apabila mendengar panggilan itu mendiamkan diri dan tidak membalas
panggilan Abu Zar. Sebagai manusia biasa yang mempunyai emosi dan perasaan,
Bilal lantas pergi bertemu Rasulullah SAW untuk membuat aduan berkaitan perkara
itu. Selepas mendengarnya, muka Baginda kelihatan berubah. Rasulullah SAW terus
ke tempat Abu Zar berada tetapi hanya lalu saja dan terus ke masjid. Mengetahui
bahawa Rasulullah marah padanya lalu Abu Zar memberi salam kepada Rasulullah
SAW . Baginda Nabi kemudian menyebut: Wahai Abu Zar, kita menghina Bilal dan
menghina asal-usulnya. Ketahuilah Abu Zar, sesungguhnya kita asal-usulnya ialah
orang jahiliah sebelum masuk Islam dan sesungguhnya dalam diri kita masih ada
sisa jahiliah.
Abu Zar RA berasa terpukul dan sangat menyesal. Abu Zar
menangis dan merayu kepada Rasulullah SAW dengan berkata: Wahai Rasulullah,
maafkan kesalahanku dan mintalah Allah ampunkan dosaku.... Lalu Abu Zar berlari
mendapatkan Bilal lalu dipeluknya sambil memohon maaf kepadanya. Tidak cukup
dengan itu, Abu Zar meletakkan kepalanya di atas tanah seraya berkata: Demi
Allah wahai Bilal, aku tidak akan angkat pipiku dari atas tanah kecuali kita
pijak pipiku yang sebelah lagi dengan kakimu. Demi Allah sesungguhnya kita orang
terhormat dan aku yang terhina. Bilal kemudian mendekatkan mukanya ke pipi Abu
Zar lalu menciumnya berkali-kali. Kemudian diangkat dari tanah. Mereka berdua
berpelukan penuh kasih sayang.
Pengajaran daripada kisah ini ialah, jangan sesekali kita
menghina orang dalam apa bentuk sama ada perkataan ataupun perbuatan kerana
emosi dan perasaan seseorang tidak boleh diperdagangkan dengan bayaran ganti
rugi walaupun lumayan. Memohon maaf atas kesalahan juga satu manifestasi dan
pancaran keimanan, kesucian hati dan ketinggian akhlak seseorang. Ia selaras
akhlak dan sunnah Baginda Rasulullah SAW sebagai seorang yang paling pemaaf
lagi mulia sifatnya. Sekiranya masih ada di kalangan kita yang berbuat
kesalahan, wajar kita meminta maaf dengan cepat. Akui kesalahan dan berazam
tidak akan mengulangi kesalahan itu. Bagi mereka yang melakukan kesalahan
padanya, tidak salah merendah diri dan memaafkan kesalahannya. Kasih sayang itu
Allah tidak kurniakan secara percuma. Hanya yang ikhlas saja akan diberi
ganjaran. Kita wajar merenungi firman Allah yang bermaksud: Terima kemaafan dan
suruh dengan perkara yang baik serta berpaling (jangan dihiraukan) daripada
orang yang jahil. (Surah al-Araf, ayat 199)
Justeru, sikap mudah rasa bersalah walaupun atas perkara
remeh perlu ditanam dalam diri Muslim. Hakikatnya, tanpa sikap saling
memaafkan, kehidupan manusia terus dibelenggu pelbagai masalah, terutama
perkara berkaitan kehidupan bermasyarakat.Ingatlah dan sematkan dihati, jangan ulangi kesilapan yang sama…. jangan… sebab ianya amat
menyakitkan yang akhir membawa kita jauh kemurungan.
Dan terkadang kesalahan kecil kita
sebagai pembimbing dan pemimpin menjadikan batu api bagi syaitan untuk
disemarakkan pada hati mereka dibawah kita.Maka, awaslah! Belajarlah dari
kesalahan samada orang lain dan diri sendiri juga.
1) Bila nak menegur seseorang,
tegurlah dengan cara paling baik dan pada waktu paling tepat sekali.
Yang penting, bukanlah untuk
sampaikan teguran itu, paling penting adalah supaya teguran itu diterima. Maka
sediakan mekanisme terbaik untuk melakukan teguran itu. Tak kiralah teguran itu
dirasakan dalam suasana penuh kasih sayang, tapi jika cara dan waktu tidak
tepat, kita hanya akan menyalakan lava yang tengah meluap-luap amarahnya.
2)Jalinkan kecintaan sebelum
meminta kepatuhan. Jalinkan kepercayaan sebelum memberikan nasihat.
Adakah adil jika kita menegur seseorang
maupun sesiapa, dalam keadaan kita tidak merasai ikatan hati, ataupun paling
penting, dia tidak merasai kasih sayang dari kita? tentu tidakkan? Kita tak
pernah endahkan dia, tak pernah mendengar masalah dia, tak pernah membantu
dia.. Dan kini kita hadir padanya, meminta kepatuhan dan mahu menegur sahaja? Jadilah
seorang pembimbing, yang ada ikatan hati dari sudut ayah, abang, syeikh dan
guru pada anak muridnya. berkenalanlah, bantulah dia, dan cintailah dia,
sebelum kita meminta kepatuhan dan juga menegur kesalahan dia.
Memang betul dia wajib mendengar kita
sebagai pembimbing. Benar, dia ada kesalahan sebagai orang yang ditegur, tapi
santunilah keanak-anakan dan kenaifan dia dalam tarbiyah. Hargailah semangatnya
dalam beramal, dan didiklah dia dengan penuh cinta, bukan kritikan dan sindiran
yang mengundang kebencian. Sudah namanya belajar, memang dia akan banyak buat
kesalahan. memang dia perlukan bimbingan. Memang dia takkan perfect. Maka,
santunilah perkara itu dengan baik.
3) Carilah medium terbaik dalam
memberikan teguran/didikan.
Barangkali kita
bukanlah orang yang terbaik dalam menegurnya. Carilah orang yang hatinya
berhemah mewakili kita dengan lebih terbuka untuk menceritakan segalanya.
Carilah orang yang pandai berbicara dalam memberikan didikan ini. Jadikan
mereka orang tengahmu. Jika orang lain lebih pandai menegur darimu. Jangan gunakan medium perantaraan
seperti emel, sms atau telefon, ketika menegur dan memberikan didikan.
kerana manusia sangat banyak salah faham jika teguran itu tidak bernada, dan
jika teguran berlaku secara sehala tanpa bertanya apakah asal usul punca
masalah itu berlaku. Bertemulah, berjumpalah, dan hadapi mereka itu penuh
cinta, sebelum duduk mendengar penjelasan darinya. Insyaallah, dia akan membuka
hatinya pada kita.
4) Cari masa sesuai dan tenang
dalam memberikan teguran.
Bukan sepuluh minit sebelum kita nak
menyampaikan tarbiyah, di waktu itulah kita menegur dia. Hancurlah perasaan
dia, dan menurunlah semangat dia dalam amal. Bawalah dia pergi ke kedai makan.
Berboraklah perihal-perihal santai sebelum membicarakan hal serius. Bukalah
hati dia dahulu menerima kita sebelum kita menyampaikan apa-apa pada dia. Duduk
bersemuka dengan dia, dalam keadaan dia tenang, bukan ketika dia sedang
mengalami tekanan perasaan yang mengancam. Ambil waktu paling tepat sekali.
Jangan gopoh dan tidak bersabar...
5) Anggaplah dia seperti adik
sendiri/anak sendiri/diri sendiri.
Fahami dan dengarilah dia sebelum
kita menegur. Dan tegurlah dengan cara seperti mana kita mahu diri kita sendiri
ditegur. Mulakan dengan pujian dan penghargaan, kemudian barulah membuka topik
perbincangan. Jangan memandang rendah akan dirinya. Jangan membuatkan dia rasa
begitu hina, lebih hina dari tanah. Jangan bagi dia rasa down selepas teguran.
Setiap manusia ini ada ego yang perlu dijaga. Kerana setiap nasihat, kita
mahukan perubahan. Bukan mahu dia lari dari tarbiyah!!!
6) Paling penting, jangan
menegur dalam keadaan kita sangat beremosi
Solatlah dahulu. Biarkan waktu melegakan
hati kita. Minta pada Allah diberikan cara dan petunjuk terbaik dalam menegur. Niat
yang ikhlas sahaja takkan menjamin teguran itu diterima, cara kena amat betul
dalam penyampaian...
Ingatlah perkara ini betul-betul.
Kerana manusia lain akan terluka jika kita lakukan pada mereka apa yang pernah
manusia lakukan padamu. Ingatlah sebaiknya. Walaupun, jika kita menjadi manusia
terhebat sekalipun, engkau tidaklah superior dari mereka, Engkau tidaklah lebih
baik dari mereka, Mungkin lebih teruk sekalipun. kerana itu, teguran itu dibuat
atas dasar dirimu bersedia untuk ditegur dan berubah juga. Diri kita mahu juga
ditegur dan dinasihati selalu....
Ajaib apabila melihat, kematangan
hidup dan pengalaman bergaul dengan ramai manusia, amat memberi kesan kepada
perwatakan dan kata-kata pada seseorang. Bila kita melihat pada dua generasi
yang berbeza. Dan kita akan merasakan kebenaran, pengalaman dapat memberikan
kematangan dalam kepimpinan dan membimbing. Dan kita perlu belajar dari
kesilapan ini. Jangan ulangi perkara sama. Jadilah manusia lebih baik. Seperti
mana kita harapkan kita juga perlubelajar dari kesilapan kita , membetulkan
kesilapan kita, dan sentiasa menjadi lebih baik dari sebelumnya.
Kita akan merasa lebih bahagia
walaupun dimana sahaja kita berada yang penting kedudukan kita di sisi Allah
itu lebih utama.. dan betul, teguran pada sesiapa juga perlu sama sahaja
seperti di atas. kita jemaah manusia, bukannya robot dan tentera. Ada emosi dan
masalah. maka belajar cara berkomunikasi dengan baik.
1 comment:
Ada statement mengatakan, "mengecilkan hati orang berdosa, berkecil hati juga berdosa, tetapi lebih besar dosanya adalah orang yang berkecil hati".. Katanya lagi kalau kita berkecil hati bermakna kita berkecil hati dengan ujian yang Allah berikan.. Contoh, kalau ada orang kutuk kita, dah tentu dia berdosa. Tetapi kalau kita berkecil hati dengan kutukannya maka kita juga terpalit dengan dosa atas sebab tidak redha dengan ujian Allah.. Jadi adakah kita perlu berbangga, berbahagia setelah menerima kutukan dari orang ? Semestinya tidak kan ?
Post a Comment