Memiliki berdozen
pilihan untuk membuat keputusan belum tentu menjanjikan keputusan yang tepat
dan memuaskan hati kerana ada faktor-faktor lain yang menentukan pilihan
terbaik. Ramai orang yang membuat keputusan sama ada hendak berkahwin atau
meninggalkan pekerjaan sebenarnya telah menghabiskan banyak masa untuk membuat
pilihan. Malahan masa menunggu tersebut cukup meresahkan semua orang. Apakah
terdapat satu cara untuk membuat keputusan yang baik, diterima dan berkesan?
Ada. Cara berkesan untuk membuat keputusan ialah bertanya soalan yang betul.
Bertanya soalan-soalan yang relevan, menepati kehendak isu dan bertindak
menyelesaikannya dengan pantas.
Tanpa mempelajari
bagaimana bertanya soalan yang betul, kita hanya menyibukkan diri dengan isu
remeh-temeh yang hanya menambah kekusutan fikiran. Hidup tidak menentu dan
matlamat sebenar membuat keputusan bagi menyelesaikan masalah tidak akan pernah
tercapai. Untuk bertanya soalan yang betul, kita
mesti tahu bezakan yang mana satu keperluan dan yang mana satu kehendak.
Apabila kedua-duanya jelas, barulah kita dapat berfikir dengan kritikal dan
berusaha menyelesaikan masalah.
Sukarnya membuat keputusan. Begitulah
delimanya pemikiran seseorang bagi mencari jalan keluar dari setiap
permasalahan yang dihadapinya. Tidak kira kecil atau besar masalah tersebut,
membuat keputusan yang betul dan tepat adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Samada hasil keputusan itu baik atau sebaliknya, ia bukanlah tujuan tetapi
bagaimana membuat keputusan itulah yang merunsingkan. Dalam sesetengah keadaan,
setiap orang akan cuba untuk tidak membuat keputusan, menyimpan keringat fikir
dan jiwa mereka daripada dikeluarkan. Seseorang yang tidak yakin untuk membuat
keputusan akan cuba mengelakkan daripada memikirkan pelbagai cara supaya mereka
ini tidak jelas kelihatan membuat perkara yang pelik sewaktu berhadapan dengan
permasalahan.
Membuat keputusan boleh ditakrifkan
sebagai tindakan memilih daripada pelbagai jalan alternatif. Sifat asalnya yang
dinamakan membuat keputusan itu adalah terhasil daripada bebanan soalan-soalan
yang diambil daripada berbagai-bagai aspek kehidupan, maka sewajarnya
pendekatan yang tidak dapat di elak adalah memerlukan satu jawapan yang perlu
untuk diputuskan. Secara sederhana, keberkesanan dalam membuat keputusan itu
bukan saja tertumpu kepada proses berfikir seseorang tetapi ilmu, kemahiran dan
pengalaman yang ada padanya perlu dijanakan bersama dalam menilai proses
tersebut. Sesuatu keputusan tidak terjadi tanpa sebab tertentu. Keputusan juga
mempunyai kematangannya yang tersendiri-kematangannya berbeza-beza mengikut
tahap permasalahan yang ditimbulkan..
Setiap hari manusia membuat
keputusan. Sekecil-kecil contoh, apabila bangun tidur di awal pagi, seorang
pelajar sudah perlu memutuskan sama ada hendak solat subuh berjemaah di masjid
atau di rumah dan sama ada menyambung tidur selepas solat atau terus mandi dan
bersiap untuk ke kuliah. Keputusan perlu diteruskan lagi untuk memilih samada
untuk tidak masuk ke kuliah atau menuju terus ke perpustakaan. Begitulah seterusnya..dalam
lapangan kehidupan manusia yang bermacam-macam ragamnya. Ada yang sedang
berkonflik untuk membuat keputusan dalam memilih beberapa tawaran belajar atau
kerja, yang perlu memutuskan kesediaan untuk berumahtangga, membuat keputusan
untuk membeli jenis kereta, memerlukan satu keputusan untuk menjatuhkan hukuman
di mahkamah, dan banyak lagi..Sebesar-besar perkara untuk membuat keputusan
adalah terletak di bahu seorang penguasa atau pemimpin sesebuah wilayah atau
negara yang setiap hasil keputusannya bakal menentukan jatuh bangunnya amanah
pemerintahan manusia, aturan dan tapak yang sedang dipikulnya.
Barangkali terdapat banyak kaedah
yang dikeluarkan oleh orang pakar bidang dalam membantu masyarakat untuk
membuat keputusan. Sama ada berkesan atau sebaliknya, usaha-usaha yang
dijalankan mungkin sedikit sebanyak dapat membantu mengeluarkan diri daripada
ruang lingkup permasalahan tersebut. Namun, sebesar mana pun usaha yang
dilakukan pasti tidak akan terlaksana tanpa seizin dari Allah SWT iaitu
berbaliknya para makhluk dalam menyerahkan segala urusan dan keputusan ke
hadrat Nya. Bahasa yang sering digunakan seorang Muslim setelah berjaya
memutuskan satu keputusan adalah dengan menyebut "Tawakallah". Di
ambil daripada perkataan "wakil" iaitu mewakilkan atau menyerahkan
Allah dalam setiap inci urusan yang mana manusia tidak lagi mampu menangani
atau di luar kemampuan dirinya sendiri. Maka, adalah baik seandainya setiap
perkara yang menjurus kepada membuat keputusan itu digunakan juga kaedah yang
dekat kepada Islam dalam mengatur cara hidup manusia secara keseluruhannya.
Sebagai usaha untuk dimudahkan dalam
solusi membuat keputusan, alim ulama' terdahulu telah mengkaji dan menggariskan
satu alternatif (perspektif Islam) iaitu berdasarkan sifat 20 Allah yang pernah
disampaikan kepada kita. Sederhananya, sifat-sifat yang wajib bagi Allah merupakan
salah satu kaedah atau cara manusia untuk mengenal Penciptanya. Namun, setelah
di bahas dan diamalkan hanya di ambil 7 dari sifat-sifat Allah tersebut bagi
membantu umat mencapai sesuatu keputusan. Dengan melihat permasalahan secara
berhemah dan bijaksana, tujuh sifat Allah yang diamalkan haruslah di praktikkan
juga secara tertib (satu per satu) supaya diri dapat di latih tajam dalam
membuat sesuatu keputusan.
Hayyun - Di mulakan dengan sifat
wajib Allah iaitu hayat @ hayyun yang bererti hidup. Dalam erti kata lain,
hidup dalam terjemahannya punya usia, umur atau masa. Kunci setiap permasalahan
perlu diletakkan dahulu masa di paling hadapan. Adakah dalam memilih membuat
sesuatu itu, masa yang ada mencukupi kerana sifat manusia yang tergesa-gesa
akhirnya mengundang keputusan yang disesalkan. Seandainya masa menjadi
persoalan, maka sifat-sifat lain tidak lagi ada keperluannya.
Ilmu - Seterusnya adalah mengambil
sifat Allah iaitu yang punyai ilmu atau mengetahui. Untuk membuat sesuatu
keputusan, perlu diperhalusi adakah sesuatu yang ingin di pilih atau di buat
sudah ada pada diri ilmu atau pengetahuan tentangnya. Kekurangan ilmu terhadap
sesuatu yang ingin diputuskan, barangkali menyukarkan apatalagi untuk
dilaksanakan.
Qudrat - Bermaksud kuasa. Langkah
seterusnya perlu menilai kemampuan sama ada pada diri punyai kuasa atau
kemahiran terhadap perkara yang ingin dilakukan. Kebanyakkan manusia dalam
membuat sesuatu keputusan suka meletakkan nafsu di depan tanpa menimbangkan
keupayaan dan kemahiran yang ada pada diri. Maka tidak hairanlah ada di
antaranya yang terkandas separuh jalan kerana faktor kelemahan atau hanya
sekadar cuba-cuba tanpa mendahulukan untuk belajar mengasah kemahiran yang
diperlukan.
Iradat - Allah SWT bersifat berkehendak
atau berkemahuan. Maka perlu ada pada seorang manusia menyamai sifat ini dalam
proses membuat sesuatu keputusan. Adakah benar memilih sesuatu itu kerana
keinginan hati atau sekadar mengikut atau dipengaruhi oleh kata-kata orang di
sekeliling. Pertimbangan ini nampaknya seperti mudah, tetapi berapa ramai yang
benar-benar dalam dirinya berkeinginan melakukan sesuatu kerana kepentingan
peribadinya atau kerana mahukan keredhaan daripada Rabb nya ?
Sam'un - Belajarlah mendengar kerana
di situ adakalanya terselit dan tersimpan sebanyaknya huda (petunjuk).
Perbahasannya adalah yang perlu didengar ialah perkataan-perkataan yang betul
(haq) dan dapat mendatangkan manfaat pada diri, bukan sia-sia atau tidak
menguntungkan. Pada peringkat ini, jarang digunapakai orang dalam memutuskan
sesuatu kerana lebih suka menjauhkan diri daripada mendengar pandangan orang
yang lebih berpengalaman atau punyai keilmuan tentangnya. Setiap pendapat yang
di kumpul dan dipertimbangkan akan memudahkan lagi proses membuat sesuatu
keputusan.
Basar - Sesungguhnya Allah SWT itu
Maha Melihat. Belajarlah melihat dan memerhati tetapi bukan sekadar
memandang.Dengan melihat secara tenang, berlapang dada dan hati yang tulus
ikhlas, di situ akan terdapatnya keterangan-keterangan yang nyata dan juga
baiyinat (bukti) yang dapat membentuk keyakinan dalam membuat keputusan.
Kalam - Proses terakhir untuk
membuat keputusan adalah dengan mengambil sifat Allah yang Maha Berbicara atau berkata-kata.
Setelah diteliti dan dipertimbangkan sedalam-dalamnya dengan menggunakan sifat-sifat
sebelumnya, maka rengkasnya adalah diterjemahkan dengan kata-kata iaitu sama
ada "ya" atau "tidak" dalam memutuskan sesuatu itu.
Keyakinan yang jelas dan pasti bahawa keputusan yang diperolehi adalah atas dasar
usaha yang juga jelas.
Kaedah membuat keputusan menggunakan
sifat-sifat Allah yang tujuh itu ada dikalangan ilmuwan Islam menyebutnya
sebagai martabat tujuh. Barang pasti sudah dipraktikkan orang terdahulu dalam
mendapatkan sesuatu keputusan melalui petunjuk oleh Allah SWT. Hanya kepada-Nya
lah selalu diharapkan curahan rahmat dan rela-Nya, hidayah dan hidayatuttaufiq
serta nikmat dan kurnia Nya
Mereka itulah orang-orang yang
mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya.
( al-Baqarah, 2:202 )
No comments:
Post a Comment