DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Tuesday, September 18, 2012

Menilai Kasih Sayang


Imam Muslim meriwayatkan melalui jalur sahabat yang mulia Abu Hurairah RA., berliau berkata bahawa Nabi SAW. pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya, Allah memilik 100 rahmat. Diturunkan satu rahmat dari-Nya kepada jin, manusia, binatang ternakan dan binatang yang berbisa. Maka dengannya mereka saling berbelas kasihan dan saling merahmati. Dengannya juga binatang buas mengasihi anaknya. Allah SWT. mengakhirkan (menangguhkan) 99 rahmat (berbaki) untuk Dia merahmati hamba-Nya dengan rahmat itu pada hari Kiamat"
Subhanallah, tiada siapa yang dapat menandingi kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. Allah memberikan rahmat dan kasih sayang kepada sesiapa sahaja tanpa meminta sedikit pun balasan dan kepentingan. Berbeza dengan makhluk yang memberikan kasih dan sayang kerana ingin mendapat pulangan kasih yang diharapkan. Manusia memberikan kasih kepada manusia lain agar turut dikasihi. Begitu juga kasih kepada haiwan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi"

Itulah kasih sayang makhluk yang mempunyai sempadan, had, dan harapan disebaliknya. Kasih Allah SWT tidak bertepi dan bersempadan. Bahkan tidak setara seperti kasihnya Ibu kepada anaknya. Rahmat dan kasih sayang Allah SWT. amat luas. Tiada sesiapa yang mampu memberi kasih sayang seumpama Allah kepada makhluk-Nya. Kasih sayang Allah yang begitu luas dapat kita lihat dengan berterusannya nikmat dan kurniaan Allah kepada hamba-Nya walaupun mereka melakukan sebesar-besar dosa dan maksiat. Orang kafir yang ingkar di dunia tetap hidup senang lenang dengan kemewahan dunia yang sementara. Itu juga adalah rahmat Allah. Orang islam pula turut mendapat kesenangan di dunia walaupun bergelumang dengan maksiat. Itu juga adalah kasih sayang Allah SWT.

Makhluk yang mendapat kesenangan di dunia bukanlah menjadi ukuran bahawa mereka sahaja yang mendapat rahmat Allah. Manakala orang yang hidupnya susah di dunia, bukanlah bermakna Allah SWT. tidak mengasihi mereka. Tidakkah para Nabi dan Rasul adalah kekasih Allah SWT? Mereka semua menghadapi kesusahan dan cabaran dalam perjalanan hidup mereka, namun merekalah yang paling banyak mendapat rahmat dan kasih sayang Allah sehingga menjadi kekasih-Nya.

Kadangkala ujian dan cabaran hidup merupakan tanda kasih sayang Allah secara hakikatnya, walaupun tidak pada zahir. Apabila kita diuji, kita menjadi calon ahli yang mendapat kebaikan daripada Allah SWT. sebagaimana sabda Nabi SAW. yang bermaksud: "Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan kepadanya, dia akan diuji daripada-Nya"

Kadangkala apabila situasi kita diuji dan sempit dengan masalah, pengharapan kepada Allah amatlah tinggi dan menebal di dalam hati kita. Sebenarnya, secara tidak sedar, kita melalui proses untuk menjadi orang yang beriman yang sebenar, kerana orang yang beriman akan diuji oleh Allah SWT. Maka menjadi pilihan Allah untuk menjadikan kita dekat kepada-Nya sebagai tanda kasih sayang Allah kepada kita.
Itulah murni dan luasnya kasih sayang Allah kepada hambanya. Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa nikmat kehidupan yang Allah kurniakan kepada kita sudah terlalu banyak, dan kadang-kadang kita lupa untuk mensyukuri-Nya. Biarlah kita azab di dunia yang penuh sengsara tetapi kita bersenang lenang di syurga yang kekal selamanya. Jangan lupa bahawa, hamba Allah yang bertaqwa, nikmat Allah di hari yang dijanjikan itu mengatasi segala-galanya.

Hidup kita ini harus diuji. Tidak semestinya sentiasa dikelilingi dengan berita gembira semata-mata kerana adakalanya gembira itu akan ditenggelami dengan ujian yang ada. Jadi. ketika ini fitrah insan itu bermula, mencari satu cahaya, mencari satu jalan yang terang. Menjaga hubungan dengan Maha Pencipta, Allah SWT. Mula berkira-berkira sekiranya ada "lost contact" di situ. 24 jam tidak pernah lupa untuk mengingatiNya dan memohon pertolonganNya. Juga mencari kesilapan yang ada ketika mana berhubungan sesama insan. Mula merenung diri, memohon kemaafan dan sebagainya.

Tahukah kita, bahawa dalam menyelesaikan urusan seharian menjaga hubungan dengan Allah SWT dan sesama insan adalah penting dan akan mempengaruhi keberkatan dalam kehidupan kita. Contohnya, kadang-kadang kita fikir kita sudah cuba yang terbaik dalam sesuatu perkara, tetapi misi kita hampir gagal. Dan di situlah kita harus lihat diri kita sama ada "lost contact" ataupun tidak.

Sebab itu, dalam amalan seharian kita sama ada berbentuk keduniaan, janganlah melupakan pada Yang Maha Esa. Biarkan hati kita sentiasa mengingatiNya walaupun tangan dan akal kita bekerja untuk dunia. "Ya Allah, izinkan aku mencintaiMu melebihi segala yang ada di dalam dunia ini, Izinkan aku mencintai orang yang mencintaiMu, Izinkan aku mencintai segala perkara yang menjuruskan aku untuk mencintaiMu."
Sebelum berakhir, hayatilah satu kisah yang pernah terjadi pada zaman Rasulullah: Seorang wanita yang menjadi tawanan perang telah buntu fikiran untuk mencari anaknya yang telah hilang. Dalam kerinduan kepada anaknya, setiap kali dia melihat kanak-kanak di dalam tempat tawanan tersebut, dia akan menimang kanak-kanak tersebut dan menyusukannya. Melihat betapa kasihnya seorang ibu terhadap anaknya, Rasulullah lantas bertanya kepada para sahabat: "Adakah kamu semua fikir wanita itu sampai hati untuk mencampakkan anaknya ke dalam api?" Jawab para sahabat: "Tentu sekali tidak." Rasulullah bersabda: "Allah lebih kasih kepada hamba-Nya melebihi kasih ibu itu kepada anaknya."

Allah tidak sewenang-wenangnya mencipta Neraka itu untuk menyusahkan hamba-Nya, tetapi telah Allah kurniakan kepada kita akal untuk berfikir dan menilai baik serta buruknya sesuatu perkara. Itulah nikmat Allah yang tidak dapat dihitung dan dibalas. Telah Allah turunkan Rasul sebagai contoh tauladan serta ikutan dan telah Allah turunkan juga Kitab-kitab-Nya untuk kita sebagai rujukan, jadi kenapa kita harus hidup tanpa arah tujuan? Segala kemudahan telah Allah kurniakan, tetapi kenapa harus kita mencampakkan diri ke kancah kesusahan. Ingatlah jalan derita itu kita yang pilih sedangkan Allah menurunkan sesuatu dugaan dengan kadar kemampuan hamba-Nya untuk menanggung. Allah Maha Mengetahui segala sesuatu....

No comments: