Apa itu berjaya? Berdasarkan apa yang kita tahu, berjaya
ialah keputusan baik yang diperolehi setelah kita berusaha dan bekerja keras.
Namun, ada pula istilah "berjaya di dunia" dan "berjaya di
akhirat". Macam mana nak berjaya di dunia dan di akhirat dalam masa yang
sama? Tidak ada manusia yang celik cara
berfikirnya yang tidak mahu berjaya dalam kehidupan, sama ada di dunia ini yang
bersifat sementara apatah lagi di akhirat yang kekal abadi. Ia juga adalah
hasrat setiap insan walaupun tidak menjadi seorang muslim, kerana kejayaan
adalah sesuatu yang manis dalam kehidupan manusia.
Namun kejayaan yang ingin dikecapinya
melalui apa saja proses itu perlulah mengikut prosedur dan pantang larang terutama
dalam agama Islam, iaitu tidak menyalahi konsep matlamat tidak menghalalkan
cara, berapa banyak cara yang dilakukan oleh muslimin untuk meniti sesuatu
kejayaan, tetapi ianya tidak memenuhi kriteria matlamat agama, maka ia tidak
dikira sebagai kejayaan kerana mengenepikan nilai-nilai agama Islam yang murni
itu sendiri. Para ulama yang mewarisi ajaran Nabi Muhammad SAW. banyak
meninggalkan kaedah, pendekatan serta cara terbaik untuk seseorang muslimin
meniti kejayaan sebenar menurut acuan agama, mereka dianggap sebagai pengamal
ajaran-ajaran Islam dan mencontohkannya kepada umum dengan bentuk yang cukup
sempurna, jauh dari sebarang penyelewengan, bidah, tahayul dan khurafat, kerana
ini semua menggagalkan konsep matlamat tidak menghalalkan cara.
Untuk menjadi seorang manusia yang berjaya di dunia dan di
akhirat, seseorang itu haruslah mempunyai keseimbangan dalam hidup. Keseimbangan
dalam hidup dapat dibahagikan kepada tiga perkara:
1. Keseimbangan dari segi jasmani.
2. Keseimbangan dari segi kebijaksanaan.
3. Keseimbangan dari segi rohani.
Ketiga-tiga perkara yang disebut di atas adalah amat penting
dalam membentuk manusia yang seimbang, dan seterusnya berjaya di dunia dan di
akhirat, Insyaallah.
1. Keseimbangan dari segi jasmani.
- Kesihatan adalah satu perkara yang mesti dititikberatkan
dalam kehidupan seharian. Hal ini adalah kerana kesihatan adalah tunggak utama
kepada keseimbangan hidup yang lain.
- Kesihatan yang baik dapat menjamin otak yang cergas. Otak
mengawal semua perbuatan dan perlakuan kita. Kalau otak kita tidak cergas,
tentu sahaja perkara-perkara lain yang bersangkut paut dengan kehidupan
seharian kita akan turut terjejas.
- Antara langkah memelihara kesihatan diri ialah:
(a) Menjaga waktu tidur.
(i) Tidur adalah amat penting dalam mengembalikan semula
tenaga setelah penat bekerja di waktu pagi.
(ii) Masa tidur yang cukup ialah lapan jam sehari. Namun,
ianya juga bergantung kepada diri seseorang.
(iii) Tidur pada waktu tengah hari dapat mengembalikan
tenaga. Masa yang diperuntukkan, 15 ke 30 minit.
(iv) Dilarang tidur pada waktu syuruk dan maghrib, hal ini
akan menyebabkan otak kita menjadi lembab.
(v) Tempoh masa tidur yang berlebihan juga boleh menyebabkan
otak kita menjadi lembab.
(b) Makan makanan yang berkhasiat.
(i) Makan makanan berpandukan piramid makanan.
(ii) Kurangkan/Berhenti makan makanan ringan.
(iii) Jangan makan sehingga terlalu kenyang, kerana hal ini
akan menyebabkan kita mudah mengantuk.
(c) Bersenam.
(i) Peruntukkan tiga hari (20 minit setiap hari) dalam
seminggu untuk bersenam.
(ii) Boleh juga pergi ke gym.
(iii) Bersukan juga digalakkan. Contohnya, bermain bola
sepak, bermain badminton dll.
(iv) Jika anda tidak mempunyai masa untuk ke gym atau untuk
bersukan, lakukanlah renggangan.
(v) Banyakkan berjalan. Berjalan sekurang-kurangnya 10,000
langkah sehari untuk kekal sihat.
2. Keseimbangan dari segi kebijaksanaan
- Kebijaksanaan seseorang bukanlah terletak pada pangkat yang
diterima atau markah tinggi yang diperolehi dalam peperiksaan. Tetapi,
kebijaksanaan seseorang diukur melalui cara pemikiran seseorang. Orang yang
bijak ialah orang yang sentiasa berfikir tentang perkara yang berfaedah dan
orang yang dapat memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah dengan berkesan.
- Antara langkah ke arah kebijaksanaan ialah:
(a) Rajin belajar.
(i) Rajin membaca, rajin bertanya, rajin mengkaji dll.
(b) Tidak buang masa.
(c) Menetapkan tujuan belajar adalah untuk menambahkan ilmu
pengetahuan, bukan untuk mendapat markah tinggi dalam peperiksaan, bukan untuk
mendapatkan pangkat dan bukan untuk bermegah-megah.
3. Keseimbangan dari segi rohani.
- Agama adalah penting bagi setiap manusia kerana agama
menentukan tujuan hidup kita di dunia.
- Bagi orang yang beranggapan bahawa "aku kena banyak
ibadah dan tinggalkan perkara duniawi", janganlah beranggapan begitu,
kerana setiap sesuatu kebaikan yang kita lakukan akan diberikan ganjaran
pahala. Nabi Daud dan Nabi Sulaiman rajin beribadah. Dan sebagai sultan, mereka
juga tidak terlepas daripada menjaga kerajaan mereka. Nabi Muhammad rajin
berdakwah. Namun, Nabi Muhammad juga tidak terlepas daripada menjaga kebajikan
rakyat. Abu Bakr, Umar, Uthman dan Ali adalah antara pemimpin yang berwibawa
dan mereka juga kuat beribadah.
- Keimanan seseorang tidak boleh dinilai berdasarkan
penampilan diri. Antara seorang lelaki yang memakai jubah dan ketayap dengan
seorang lelaki yang memakai topi dan seluar jeans, yang mana satu lagi kuat
iman? Mesti kebanyakan dari kita akan berfikiran yang berjubah dan berketayap
adalah lebih kuat imannya berbanding yang bertopi dan berseluar jeans.
Pandangan sebegini mestilah dihapuskan. Hal ini adalah kerana, iman seseorang
langsung tidak dapat diukur oleh orang lain. Keimanan seseorang bergantung
kepada kedudukan hati batin seseorang dalam mengingati Tuhan. Hanya Tuhan
sahaja yang tahu tahap keimanan seseorang.
Hanya amalan yang
ikhlas, dilakukan semata-mata kerana mengharapkan redhaNya sahaja yang diterima
dan dinilai berjaya oleh Allah SWT. Bukan atas sebab lain. Mari hayati kisah
benar yang akan berlaku di akhirat sana.. cukup menginsafkan diri ini.. Abu
Hurairah meriwayatkan, ia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda,
“Manusia pertama
yang diadili pada hari Kiamat nanti ialah orang yang mati syahid. Orang yang
mati syahid didatangkan di hadapan Allah. Kemudian ditunjukkan segala
kenikmatan yang telah diberikan kepadanya, dan ia mengakuinya.
Allah bertanya,
“Apa yang telah kamu lakukan di dunia?”
dia menjawab, “Aku
berperang demi membela agamamu.”
Allah berkata,
“Kamu bohong. Kamu berperang supaya orang-orang menyebutmu Sang Pemberani.”
Kemudian Allah
memerintahkan agar amalnya dihitung di hadapan pengadilan-Nya.
Akhirnya ia
dilempar ke neraka.
Seorang penuntut
ilmu yang mengamalkan ilmunya dan rajin membaca al-Qur’an didatangkan dihadapan
Allah. Lalu ditunjukkan segala kenikmatan yang telah diberikan kepadanya, dan
ia mengakuinya.
Allah bertanya,
“Apa yang telah kamu lakukan di dunia?”
dia menjawab, “Aku
menuntut ilmu, mengamalkannnya,dan aku membaca al-Qur’an demi mencari redhaMu.”
Allah berkata,
“Kamu bohong. Kamu mencari ilmu supaya orang lain menyebutmu orang alim, dan
kamu membaca al-Qur’an supaya orang lain menyebutmu orang yang rajin membaca
al-Qur’an.”
Kemudian Allah
memerintahkan agar amalnya dihitung di hadapan pengadilan-Nya. Akhirnya ia
dilempar ke neraka.
Selanjutnya,
seorang yang memiliki kekayaan dan terkenal kerana kedermawanannya, didatangkan
dihadapan Allah. Kemudian ditunjukkan segala kenikmatan yang telah diberikan
kepadanya, dan ia mengakuinya.
Allah bertanya,
“Apa yang telah kamu lakukan di dunia?”
Dia menjawab,
“Semua harta kekayaan yang aku punya tidak aku sukai,kecuali aku sedekah keranaMu.”
Allah berkata,
“Kamu bohong. Kamu melakukan itu semua agar orang-orang menyebutmu orang
dermawan dan murah hati.”
Kemudian Allah
memerintahkan agar amalnya dihitung di hadapan pengadilan-Nya. Akhirnya ia
dilempar ke neraka.
Abu Hurairah berkata,
“Kemudian Rasulullah menepuk pahaku seraya berkata,
“Wahai Abu
Hurairah,mereka adalah manusia pertama yang merasakan panasnya api neraka
Jahanam di Hari Kiamat nanti.” [HR. Muslim]
Allahuakbar!
Mahukah kita termasuk dalam golongan-golongan itu? Jika anda tidak mahu, saya
juga tidak mahu. Kita semua tidak mahu. Maka buktikanlah kata ‘tidak mahu’ itu
dengan mengikhlaskan segala ‘usaha kita untuk berjaya’ agar tidak rugi di
akhirat. Orang yang rugi besar kelak ialah orang yang gagal di akhirat!
Katakanlah:
"Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling
rugi perbuatannya(usahanya)?". iaitu orang-orang yang telah sia-sia
perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka
berbuat sebaik-baiknya. Mereka itu orang-orang yang telah ingkar terhadap
ayat-ayat Tuhan mereka dan (ingkar terhadap) pertemuan dengan-Nya, maka
terhapuslah amalan-amalan mereka, dan Kami tidak mengadakan suatu penilaian
bagi (amalan) mereka pada hari kiamat.” Surat Al-Kahf [18:103-105]
Demikianlah
balasan mereka itu neraka Jahannam, disebabkan keingkaran mereka dan disebabkan
mereka menjadikan ayat-ayat-Ku dan rasul-rasul-Ku sebagai olok-olok.(Tidak
dipedulikan).” Surat Al-Kahf [18:106]
Perhatikan semula
ayat itu.. Allah hanya akan redha apabila kita ikhlas mentaati segala
perintahNya dengan keyakinan yang sebenar-benarnya. Bagaimana untuk tahu dan
taati perintah-perintah Allah dengan ikhlas? Hanya ada satu jawapan. Ambil
pedulilah terhadap Al-Quran dan contohilah Rasulullah! Tiada jawapan lain. Hanya
orang yang bersungguh-sungguh terhadap Al-Quran sahaja yang akan ikhlas.
Allah telah
turunkan Al-Quran sebagai panduan yang terbaik untuk hamba-hambaNya beramal
dengan ikhlas. Tapi.. siapa yang peduli Al-Quran? Siapa yang serius dengan
Al-Quran? Siapa yang berusaha memahami dan beramal dengannya? Pandang atas,
bawah, kanan, kiri dan sekeliling kita. Di mana Al-Quran kita? Adakah ia masih
disimpan kemas di atas rak tanpa difahami dengan bersungguh-sungguh? Jika ya,
berubahlah.. bergeraklah.. pedulikanlah Al-Quran! Jangan sampai kita menyesal
dengan sesesal-sesalnya kerana gagal berjaya di akhirat..
Marilah kita rangkumi kejayaan kita melalui kejayaan didunia seiring dengan
kejayaan kita diakhirat
3 comments:
Terima kasih atas ilmu yg dikongsikan. Semoga kita semua mampu berjaya didunia dan diakhirat.
Terima kasih saudari yg menulis..
Post a Comment