DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Saturday, September 22, 2012

Kejayaan Didunia dan Kejayaan Diakhirat


Apa itu berjaya? Berdasarkan apa yang kita tahu, berjaya ialah keputusan baik yang diperolehi setelah kita berusaha dan bekerja keras. Namun, ada pula istilah "berjaya di dunia" dan "berjaya di akhirat". Macam mana nak berjaya di dunia dan di akhirat dalam masa yang sama? Tidak ada manusia yang celik cara berfikirnya yang tidak mahu berjaya dalam kehidupan, sama ada di dunia ini yang bersifat sementara apatah lagi di akhirat yang kekal abadi. Ia juga adalah hasrat setiap insan walaupun tidak menjadi seorang muslim, kerana kejayaan adalah sesuatu yang manis dalam kehidupan manusia.
Namun kejayaan yang ingin dikecapinya melalui apa saja proses itu perlulah mengikut prosedur dan pantang larang terutama dalam agama Islam, iaitu tidak menyalahi konsep matlamat tidak menghalalkan cara, berapa banyak cara yang dilakukan oleh muslimin untuk meniti sesuatu kejayaan, tetapi ianya tidak memenuhi kriteria matlamat agama, maka ia tidak dikira sebagai kejayaan kerana mengenepikan nilai-nilai agama Islam yang murni itu sendiri. Para ulama yang mewarisi ajaran Nabi Muhammad SAW. banyak meninggalkan kaedah, pendekatan serta cara terbaik untuk seseorang muslimin meniti kejayaan sebenar menurut acuan agama, mereka dianggap sebagai pengamal ajaran-ajaran Islam dan mencontohkannya kepada umum dengan bentuk yang cukup sempurna, jauh dari sebarang penyelewengan, bidah, tahayul dan khurafat, kerana ini semua menggagalkan konsep matlamat tidak menghalalkan cara.

Untuk menjadi seorang manusia yang berjaya di dunia dan di akhirat, seseorang itu haruslah mempunyai keseimbangan dalam hidup. Keseimbangan dalam hidup dapat dibahagikan kepada tiga perkara:
1. Keseimbangan dari segi jasmani.
2. Keseimbangan dari segi kebijaksanaan.
3. Keseimbangan dari segi rohani.

Ketiga-tiga perkara yang disebut di atas adalah amat penting dalam membentuk manusia yang seimbang, dan seterusnya berjaya di dunia dan di akhirat, Insyaallah.

1. Keseimbangan dari segi jasmani.
- Kesihatan adalah satu perkara yang mesti dititikberatkan dalam kehidupan seharian. Hal ini adalah kerana kesihatan adalah tunggak utama kepada keseimbangan hidup yang lain.
- Kesihatan yang baik dapat menjamin otak yang cergas. Otak mengawal semua perbuatan dan perlakuan kita. Kalau otak kita tidak cergas, tentu sahaja perkara-perkara lain yang bersangkut paut dengan kehidupan seharian kita akan turut terjejas.
- Antara langkah memelihara kesihatan diri ialah:
(a) Menjaga waktu tidur.
(i) Tidur adalah amat penting dalam mengembalikan semula tenaga setelah penat bekerja di waktu pagi.
(ii) Masa tidur yang cukup ialah lapan jam sehari. Namun, ianya juga bergantung kepada diri seseorang.
(iii) Tidur pada waktu tengah hari dapat mengembalikan tenaga. Masa yang diperuntukkan, 15 ke 30 minit.
(iv) Dilarang tidur pada waktu syuruk dan maghrib, hal ini akan menyebabkan otak kita menjadi lembab.
(v) Tempoh masa tidur yang berlebihan juga boleh menyebabkan otak kita menjadi lembab.
 (b) Makan makanan yang berkhasiat.
(i) Makan makanan berpandukan piramid makanan.
(ii) Kurangkan/Berhenti makan makanan ringan.
(iii) Jangan makan sehingga terlalu kenyang, kerana hal ini akan menyebabkan kita mudah mengantuk.

(c) Bersenam.
(i) Peruntukkan tiga hari (20 minit setiap hari) dalam seminggu untuk bersenam.
(ii) Boleh juga pergi ke gym.
(iii) Bersukan juga digalakkan. Contohnya, bermain bola sepak, bermain badminton dll.
(iv) Jika anda tidak mempunyai masa untuk ke gym atau untuk bersukan, lakukanlah renggangan.
(v) Banyakkan berjalan. Berjalan sekurang-kurangnya 10,000 langkah sehari untuk kekal sihat.

2. Keseimbangan dari segi kebijaksanaan
- Kebijaksanaan seseorang bukanlah terletak pada pangkat yang diterima atau markah tinggi yang diperolehi dalam peperiksaan. Tetapi, kebijaksanaan seseorang diukur melalui cara pemikiran seseorang. Orang yang bijak ialah orang yang sentiasa berfikir tentang perkara yang berfaedah dan orang yang dapat memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah dengan berkesan.
- Antara langkah ke arah kebijaksanaan ialah:
(a) Rajin belajar.
(i) Rajin membaca, rajin bertanya, rajin mengkaji dll.
(ii) Sentiasa berfikir dengan menggunakan kaedah 5W 1H. Baca Tips Untuk Menjadi Pandai
(b) Tidak buang masa.

(c) Menetapkan tujuan belajar adalah untuk menambahkan ilmu pengetahuan, bukan untuk mendapat markah tinggi dalam peperiksaan, bukan untuk mendapatkan pangkat dan bukan untuk bermegah-megah.

3. Keseimbangan dari segi rohani.
- Agama adalah penting bagi setiap manusia kerana agama menentukan tujuan hidup kita di dunia.
- Bagi orang yang beranggapan bahawa "aku kena banyak ibadah dan tinggalkan perkara duniawi", janganlah beranggapan begitu, kerana setiap sesuatu kebaikan yang kita lakukan akan diberikan ganjaran pahala. Nabi Daud dan Nabi Sulaiman rajin beribadah. Dan sebagai sultan, mereka juga tidak terlepas daripada menjaga kerajaan mereka. Nabi Muhammad rajin berdakwah. Namun, Nabi Muhammad juga tidak terlepas daripada menjaga kebajikan rakyat. Abu Bakr, Umar, Uthman dan Ali adalah antara pemimpin yang berwibawa dan mereka juga kuat beribadah.
- Keimanan seseorang tidak boleh dinilai berdasarkan penampilan diri. Antara seorang lelaki yang memakai jubah dan ketayap dengan seorang lelaki yang memakai topi dan seluar jeans, yang mana satu lagi kuat iman? Mesti kebanyakan dari kita akan berfikiran yang berjubah dan berketayap adalah lebih kuat imannya berbanding yang bertopi dan berseluar jeans. Pandangan sebegini mestilah dihapuskan. Hal ini adalah kerana, iman seseorang langsung tidak dapat diukur oleh orang lain. Keimanan seseorang bergantung kepada kedudukan hati batin seseorang dalam mengingati Tuhan. Hanya Tuhan sahaja yang tahu tahap keimanan seseorang.
Hanya amalan yang ikhlas, dilakukan semata-mata kerana mengharapkan redhaNya sahaja yang diterima dan dinilai berjaya oleh Allah SWT. Bukan atas sebab lain. Mari hayati kisah benar yang akan berlaku di akhirat sana.. cukup menginsafkan diri ini.. Abu Hurairah meriwayatkan, ia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda,

“Manusia pertama yang diadili pada hari Kiamat nanti ialah orang yang mati syahid. Orang yang mati syahid didatangkan di hadapan Allah. Kemudian ditunjukkan segala kenikmatan yang telah diberikan kepadanya, dan ia mengakuinya.
Allah bertanya, “Apa yang telah kamu lakukan di dunia?”
dia menjawab, “Aku berperang demi membela agamamu.”
Allah berkata, “Kamu bohong. Kamu berperang supaya orang-orang menyebutmu Sang Pemberani.”
Kemudian Allah memerintahkan agar amalnya dihitung di hadapan pengadilan-Nya.
Akhirnya ia dilempar ke neraka.

Seorang penuntut ilmu yang mengamalkan ilmunya dan rajin membaca al-Qur’an didatangkan dihadapan Allah. Lalu ditunjukkan segala kenikmatan yang telah diberikan kepadanya, dan ia mengakuinya.
Allah bertanya, “Apa yang telah kamu lakukan di dunia?”
dia menjawab, “Aku menuntut ilmu, mengamalkannnya,dan aku membaca al-Qur’an demi mencari redhaMu.”
Allah berkata, “Kamu bohong. Kamu mencari ilmu supaya orang lain menyebutmu orang alim, dan kamu membaca al-Qur’an supaya orang lain menyebutmu orang yang rajin membaca al-Qur’an.”
Kemudian Allah memerintahkan agar amalnya dihitung di hadapan pengadilan-Nya. Akhirnya ia dilempar ke neraka.

Selanjutnya, seorang yang memiliki kekayaan dan terkenal kerana kedermawanannya, didatangkan dihadapan Allah. Kemudian ditunjukkan segala kenikmatan yang telah diberikan kepadanya, dan ia mengakuinya.
Allah bertanya, “Apa yang telah kamu lakukan di dunia?”
Dia menjawab, “Semua harta kekayaan yang aku punya tidak aku sukai,kecuali aku sedekah keranaMu.”
Allah berkata, “Kamu bohong. Kamu melakukan itu semua agar orang-orang menyebutmu orang dermawan dan murah hati.”
Kemudian Allah memerintahkan agar amalnya dihitung di hadapan pengadilan-Nya. Akhirnya ia dilempar ke neraka.

Abu Hurairah berkata, “Kemudian Rasulullah menepuk pahaku seraya berkata,
“Wahai Abu Hurairah,mereka adalah manusia pertama yang merasakan panasnya api neraka Jahanam di Hari Kiamat nanti.” [HR. Muslim]

Allahuakbar! Mahukah kita termasuk dalam golongan-golongan itu? Jika anda tidak mahu, saya juga tidak mahu. Kita semua tidak mahu. Maka buktikanlah kata ‘tidak mahu’ itu dengan mengikhlaskan segala ‘usaha kita untuk berjaya’ agar tidak rugi di akhirat. Orang yang rugi besar kelak ialah orang yang gagal di akhirat!

Katakanlah: "Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling rugi perbuatannya(usahanya)?". iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya. Mereka itu orang-orang yang telah ingkar terhadap ayat-ayat Tuhan mereka dan (ingkar terhadap) pertemuan dengan-Nya, maka terhapuslah amalan-amalan mereka, dan Kami tidak mengadakan suatu penilaian bagi (amalan) mereka pada hari kiamat.” Surat Al-Kahf [18:103-105]

Demikianlah balasan mereka itu neraka Jahannam, disebabkan keingkaran mereka dan disebabkan mereka menjadikan ayat-ayat-Ku dan rasul-rasul-Ku sebagai olok-olok.(Tidak dipedulikan).” Surat Al-Kahf [18:106]
Perhatikan semula ayat itu.. Allah hanya akan redha apabila kita ikhlas mentaati segala perintahNya dengan keyakinan yang sebenar-benarnya. Bagaimana untuk tahu dan taati perintah-perintah Allah dengan ikhlas? Hanya ada satu jawapan. Ambil pedulilah terhadap Al-Quran dan contohilah Rasulullah! Tiada jawapan lain. Hanya orang yang bersungguh-sungguh terhadap Al-Quran sahaja yang akan ikhlas.

Allah telah turunkan Al-Quran sebagai panduan yang terbaik untuk hamba-hambaNya beramal dengan ikhlas. Tapi.. siapa yang peduli Al-Quran? Siapa yang serius dengan Al-Quran? Siapa yang berusaha memahami dan beramal dengannya? Pandang atas, bawah, kanan, kiri dan sekeliling kita. Di mana Al-Quran kita? Adakah ia masih disimpan kemas di atas rak tanpa difahami dengan bersungguh-sungguh? Jika ya, berubahlah.. bergeraklah.. pedulikanlah Al-Quran! Jangan sampai kita menyesal dengan sesesal-sesalnya kerana gagal berjaya di akhirat.. Marilah kita rangkumi kejayaan kita melalui kejayaan didunia seiring dengan kejayaan kita diakhirat

3 comments:

Unknown said...

Terima kasih atas ilmu yg dikongsikan. Semoga kita semua mampu berjaya didunia dan diakhirat.

Unknown said...
This comment has been removed by the author.
Unknown said...

Terima kasih saudari yg menulis..