Sedarkah anda
betapa pentingnya Solat Subuh berjemaah di dalam membina peribadi kehidupan masyarakat mukmin. Tonggak kekuatan ummah
itu sendiri bermula dari Solat Subuh berjemaah. Sekiranya kita mengetahui
betapa besarnya nilai solat ini kemudian kita saksikan ada orang yang
meninggalkan solat subuh berjemaah di masjid maka kita akan mengetahui betapa
besar musibah yang telah menimpa mereka. Sabda Rasulullah SAW ” sesungguhnya dua solat iaitu isyak
dan subuh adalah solat yang berat bagi orang munafik. Sesungguhnya apabila
mereka mengetahui apa yana ada dalam solat subuh dan isyak maka mereka akan
mendatanginya sekalipun dengan merangkak.” HR Ahmad dan An-Nasa’i
Ganjaran pahala solat Subuh mengatasi keindahan dunia
sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia
berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan
Allah SWT dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada waktu kamu
mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam api
neraka.” (Hadis riwayat Muslim). Rasulullah SAW mengetahui waktu Subuh adalah waktu yang
sangat sulit dan payah untuk bangun dari tidur. Seorang Muslim bila dibiarkan
begitu saja (tertidur), akan memilih untuk merehatkan dirinya sampai terjaga
hingga terbit matahari dan meninggalkan solat Subuh, atau ‘Subuh gajah’, iaitu
dikerjakan solat Subuh tidak pada waktunya yang betul. Sesungguhnya ini adalah
ujian yang sukar, namun bukan sesuatu yang mustahil. Nilai tertinggi dalam
ujian ini iaitu bagi seorang lelaki adalah solat subuh secara rutin berjemaah.
Keutamaan solat Subuh diberikan ganjaran pahala melebihi
keindahan dunia dan seisinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Imam
at-Termizi: “Dari Aisyah telah bersabda Rasulullah SAW, dua rakaat solat Fajar
pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.” Begitulah keistimewaan
solat Subuh. Apakah yang menghalang kita untuk menyingkap selimut dan
mengakhiri tidur untuk melakukan solat Subuh? Bukankah solat Subuh menjadi
bahagian yang begitu besar kemuliaannya dibandingkan dunia dan seisinya? Diriwayatkan Muslim daripada
Usman bin Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa
yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam,
barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan
solat malam satu malam penuh.” (Hadis riwayat Muslim). Solat Subuh adalah sumber
daripada segala cahaya di hari kiamat. Di hari itu, semua sumber cahaya di
dunia akan padam. Matahari akan digulung, ibadat yang akan menerangi pelakunya.
Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asyaari, dia berkata Rasulullah SAW bersabda
yang maksudnya: “Barang siapa yang solat dua waktu yang dingin, maka akan masuk
syurga.” (Hadis riwayat
Bukhari)
Dua waktu yang
dingin itu adalah solat Subuh dan Asar. Mereka yang menjaga solat Subuh dan
Asar dijanjikan kelak di syurga akan melihat Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud: “Kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW, ketika melihat bulan
purnama. Baginda berkata, “Sungguh kamu akan melihat Rabb (Allah), sebagaimana
kamu melihat bulan yang tidak terhalang dalam memandangnya. Apabila kamu mampu,
janganlah kamu menyerah dalam melakukan solat sebelum terbit matahari dan solat
sebelum terbenam matahari. Maka lakukanlah.” (Hadis riwayat Bukhari dan
Muslim).
Rasulullah SAW
memberi janji, apabila solat Subuh dikerjakan, maka Allah akan melindungi siapa
saja yang mengerjakannya seharian penuh. Rasulullah SAW bersabda yang
maksudnya: “Barang siapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam
jaminan Allah. Sabda Rasulullah SAW bermaksud : ” Kalau sekiranya
manusia itu tahu apa yang tersembunyi dalam azan dan saf pertama dan mereka
tidak mendapatnya kecuali di undi, nescaya mereka akan ikut serta dalam undian
(orang ramai yang ingin mendapatkan saf pertama). Dan jika mereka mengetahui
apa yang didapati dalam awal datang (solat jemaah), nescaya mereka akan
berlumba-lumba. Dan jika mereka tahu apa yang tersimpan di dalam solat Subuh
dan Isyak maka mereka akan mendatanginya walau dengan merangkak. HR
Al-Bukhari”. Perhatikan lagi Hadith Rasulullah SAW bermaksud : “ Allah akan
turun ke langit bumi pada setiap malam, ketika sepertiga malam yang terakhir. Dia berkata ’ mana
hambaku yang berdoa untuk Aku kabulkan do’anya? Mana hambaKu yang meminta
kepadaKu untuk Aku penuhi (permintaannya)? Mana hambaKu yang beristighfar untuk
Aku ampuni (dosanya)?”
Renungkanlah apa lagi yang lebih kita inginkan dari semua
itu?.. Jadi apa yang menghalang kita dari menunaikan solat subuh?..Bukankah ia
adalah suatu bahagian yang begitu besar berbanding dunia dan seisinya…Janganlah
kita tertipu oleh dunia.. Solat subuh merupakan lambang disiplin diri dan kekuatan
ummah. Itulah kayu pengukur nilai sesuatu umat. Umat yang lalai dari Subuh
berjemaah adalah umat yang tidak berhak mendapat kejayaan akan tetapi berhak
untuk diganti dengan yang lain. Sehinggakan pernah salah seorang penguasa
Yahudi menyatakan mereka tidak gentar dengan orang Islam kecuali apabila jumlah
jemaah solat subuh seramai jumlah jemaah solat Jumaat. Tanpa solat subuh umat Islam
tiada lagi berwibawa. Tidak selayaknya umat ini mengharapkan kemuliaan,
kehormatan dan kejayaan jika mereka tidak memperhatikan solat ini.
Lihatlah Firman Allah dari ayat 78 Surah Al-Israa’ yang
bermaksud : ” Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga
waktu gelap malam dan dirikanlah sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh
itu adalah disaksikan (keistimewaanya)”. Antara kita ramai yang menyedari hakikat begitu ramai
jemaah yang memenuhi saf di bulan Ramadhan. Di malam-malam itulah mereka
berlumba-lumba memenuhi saf bagi menunaikan solat sunat Terawih. Mengapa tidak
pula mereka berlumba-lumba menunaikan solat wajib berjemaah?..Bukankah Islam
itu adalah agama yang disusun rapi dan jelas. Pun begitu, kemana menghilangnya
mereka setelah Ramadhan berlalu pergi?..Mengapa dengan tiba-tiba mereka
meninggalkan solat berjemaah dimasjid termasuk solat subuh berjemaah. Bukankah
ini merupakan isyarat hilangnya pemahaman agama dalam diri mereka atau
keterbiasaan menjadikan mereka sukar untuk melaksanakan amalan yang tinggi
nilainya..
No comments:
Post a Comment