DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Tuesday, October 16, 2012

Pembaziran Tanpa Kita Sedari


Islam amat melarang umatnya melakukan pembaziran sehinggalah Allah menyifatkan orang-orang yang suka membazir itu sebagai saudara syaitan. Firman Allah: "Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran-Mu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." (Surah al-Isra':27) Allah SWT menggariskan panduan kepada manusia dalam soal makan dan minum supaya tidak berlaku pembaziran. Firman-Nya: "...dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang berlebih-lebihan." (Surah al-A'raf:3 1)
Dalam masyarakat Islam kita, perbuatan membazir ini berlaku dalam pelbagai keadaan. Pembaziran berlaku bukan sahaja dari sudut makan minum, malah yang lebih parah lagi ialah dari sudut pembaziran masa dan umur. Jika pembaziran dari sudut makan minum tu dapat kita lihat dengan terbuangnya makanan dan minuman ke dalam tong sampah, tetapi pembaziran dari sudut masa dan umur (usia) pula seringkali tidak kira sendiri kerana tidak dapat dinilai dengan mata kasar. Namun perlu kita fahami bahawa segala nikmat termasuk nikmat masa, usia, harta, ilmu, tubuh badan dan sebagainya akan disoal dan dipertanggungjawabkan oleh Allah ke atas kita di akhirat kelak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak akan berganjak dua tapak kali manusia pada hari kiamat sehinggalak dia disoal tentang empat perkara. Mengenai umurnya kemanakah dihabiskan umurnya? Mengenai ilmunya, apakah yang sudah dilakukan dengan ilmunya? Mengenai hartanya, dari sumber manakah dia perolehi dan jalan manakah dia belanjakan? Dan tentang tubuh badannya, apakah yang telah dia lakukan?" (Hadis Hasan Sahih riwayat Tirmizi)

Orang yang mengerti nilai waktu tidak sanggup membiarkan waktunya habis dengan percuma, tetapi dipenuhi dengan amal-amal yang berguna kerana dia sedar waktu itu adalah umurnya. Berlalulah waktu tanpa sebarang pengisian yang baik bererti sia-sialah umurnya itu. Pepatah Arab ada berkata: "Waktu itu sangat berharga, maka jangan engkau habiskan kecuali untuk sesuatu yang berharga juga."
 10 Perkara yang sering kita bazirkan

1. Ilmu pengetahuan, kita bazirkan dengan tidak mengamalkannya.

2. Amalan kita dibazirkan kerana dilakukan tanpa hadir rasa ikhlas.

3. Kekayaan dibazirkan pada jalan yang sia-sia. Kita gunakan harta, pangkat dan kuasa kita pada jalan yang tidak membawa kebaikan di dunia dan akhirat.

4. Hati dibazirkan kerana kosong, tidak diisi dengan cinta kepada Allah. Rasa rindu kepada Allah luput. Tiada ketenangan dan kepuasan. Sebaliknya hati itu diisi dengan sesuatu yang lain atau seseorang yang lain.

5. Jasad disia-siakan kerana tidakdigunakan untuk beribadah kepada Allah dan menunaikan kewajipan terhadapNya.

6. Rasa cinta kita bazirkan dengan mencintai mereka yang tidak sepatutnya dan dipenuhi dengan cinta dunia.
7. Masa tidak diisi sebaiknya, seharusnya masa itu digunakan untuk menampung kembali masa yang berlalu dengan melakukan perkara kebaikan.

8. Kebijaksanaan kita diarahkan kepada sesuatu yang membawa keburukan kepada orang lain, bukan untuk disyukuri dan memuhasabah diri.

9. Tenaga kita dibazirkan untuk seseorang yang tidak mendekatkan kita kepada Allah sebaliknya untuk mendapat manfaat dunia.

10. Zikir kita menjadi sia-sia kerana tidak membentuk diri kita malah tidak memberi kesan pada hati.

Rasulullah SAW sendiri menasihati umatnya agar meninggalkan apa yang tidak berfaedah bagi kehidupan dunia dan agamanya sama ada berupa perkataan yang sia-sia atau perbuatan yang tiada manfaat yang hanya menghabiskan masa dan umur dengan percuma. Sabda baginda daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud,“Sebahagian daripada kebaikan keislaman seseorang ialah meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat baginya” (H.R al-Tirmizi).
Justeru, perjalanan hidup Rasulullah SAW dan para sahabat baginda adalah teladan yang terbaik untuk diikuti merangkumi hal-hal pengurusan kenegaraan, perniagaan, ekonomi, peperangan, hal ehwal rumahtangga dan kekeluargaan. Kesemuanya itu baginda uruskan dengan baik tanpa adanya pembaziran. Lantaran itu, wajiblah bagi kita umat Islam menghindarkan diri dari pembaziran sama ada yang melibatkan wang, harta, masa, tenaga, usia dan sebagainya supaya kita tidak tergolong dalam golongan mereka yang dibenci dan dimurkai Allah. Hargailah segala nikmat kurniaan Allah dengan menggunakannya secara wajar, berhemah, bersyukur, berjimat dan memanfaatkannya ke jalan yang diredhai ALLAH SWT.

No comments: