“Aku
bukan orang jahat. Aku tak ada merompak atau bunuh orang. Aku tak ada sebar
fitnah buruk tentang orang lain. Aku tak ada minum arak. Aku macam muslim
biasa. Berpakaian mengikut kebanyakan orang.” “Tetapi kenapa tiba waktu solat,
aku malas sangat nak dirikan solat? Malas sangat. Kadang-kadang tu ada la juga
satu waktu dalam sehari, bila saat iman naik sikit kan… Sikit je la. Itu pun
acuh tak acuh, macam tak solat pun ye juga rasanya. Sebab tak rasa apa-apa.
Lepas tu iman turun balik. Ada terus tak buat juga solat tu. Aku rasa berdosa
tapi aku tak mampu berubah. Kenapa dengan aku ni sebenarnya?”
“Aku
bukan orang jahat. Aku jenis manusia yang suka sangat bantu orang lain.
Kadang-kadang hati aku tersentuh lihat pengemis tepi jalan. Aku tak sanggup
tengok jadi aku bersedekah. Aku pun macam muslimah lain. Berpakaian macam
perempuan lain kebanyakan tetapi mungkin ada satu, dua, tiga yang tak sempurna.
Aku tahu tapi mungkin itu boleh diubah lagi. Tetapi yang paling aku risau, aku
susah sangat nak ubah diri yang malas solat. Aku tahu berdosa tapi senang
sahaja aku membiarkan waktu solat berlalu tanpa mendirikannya. Kenapa aku jadi
macam ni? I… I just don’t get it…Please, help me...” “Aku tak solat tapi aku
masih berbuat baik terhadap orang lain?”
Solat
amalan pertama yang akan dihisab Allah. Abu Hurairah berkata: “Aku mendengar
Rasullullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang pertama kali dihisab pada hari
kiamat dari amalan manusia adalah solatnya, jika amalan solatnya baik maka dia
akan bahagia dan beruntung, Jika amalan solatnya buruk maka dia termasuk
orang-orang yang rugi. Jika terdapat kekurangan sedikit pada amalan solat
fardhunya, maka Allah berfirman: ” Lihatlah (hai para malaikat) apakah hambaku
mengerjakan solat sunat untuk menyempurnakan solat fardhunya?’ Kemudian jika
hambaku menyempurnakan solat sunat, maka solat sunat itu untuk menyempurnakan
solat fardu yang kurang, kemudian seluruh amalannya diperlakukan seperti itu” (Sahih
Tirmidzi, Ibnu Majah no 193, 1425,1426)
Andai
kitaa melihat manusia yang berbuat baik terhadap kucing jiran tetapi apabila
pulang ke rumah, kucing sendiri disepak dan disiksa. Pelik tak? Begitulah
kelihatannya. Berbuat baik kepada manusia tetapi hubungan diri sendiri dengan
Allah melalui solat sendiri tidak dijaga. Bagaimana begitu? Kita baik dengan
manusia sekarang. Kenapa tidak dilengkapkan sahaja kebaikan itu dengan solat
yang sempurna? Solat itu menyucikan jiwa dan hati. Terutama menyemai rasa ikhlas
dalam melakukan amalan. Bimbang andai kebaikan selama ini yang dilakukan
mungkin hanya kepuraan di hadapan manusia sedangkan solat ditinggal di belakang
manusia. Bimbang. Kerana solat yang ditinggal, amalan kebaikan yang lain
tersangkut waktu hari perhitungan. Wahai hamba… Solatlah! “Sungguh, solat itu
adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman” (Surah
An-Nisa’ ayat 103)
“Kenapa
aku jadi macam ni?” Kita tahu kita salah, tapi sukar pula untuk berubah. Rasa
berat untuk nak mula.. Kenapa ya?
Satu.
Sebab tak sedar diri itu hamba Allah.
Dua.
Sebab tak ingat mati.
Tiga.
Sebab seronok hidup dekat dunia.
Empat.
Sebab tak fikir waktu sakaratul maut nanti.
Lima.
Sebab lalai dengan kemewahan.
Enam.
Sebab kurang ilmu agama.
Tujuh.
Sebab terlalu mengikut hawa nafsu.
Lapan.
Sebab malas mujahadah.
Sembilan.
Sebab solat dianggap sekadar ritual yang tidak dihayati.
Sepuluh.
Bagilah sebab sendiri. Diri sendiri lebih kenal diri sendiri. Tanya diri
sendiri kenapa kita jadi begini.
“Baik.
Faham. Tapi macam mana kalau perangai ni kembali semula?” Sebagai sesama
muslim, kita sentiasa perlu diingatkan kembali. Ingat tujuan hidup. Buka surah Adz-Dzaariyat
ayat 56. Allah berfirman: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar
mereka beribadah kepada-Ku” Ingat lima perkara sebelum lima perkara. Apakah
lima perkara tersebut? Mesti semua sudah maklum kan… Tak salah nak dengar lagu
‘You’re Beautiful’ Bruno Mars. Tak ada siapa nak marah. Kalau ada yang marah kita
dengar lagu itu, saya boleh tolong marah dia balik. Tetapi ingatlah juga
pesanan Rasulullah yang diabadikan dalam lirik Demi Masa kumpulan Raihan. “Ingat
lima perkara sebelum lima perkara. Sihat sebelum sakit. Muda sebelum tua. Kaya
sebelum miskin. Lapang sebelum sempit. Hidup sebelum mati” (Riwayat Hakim dan
al-Baihaqi )
Kalau
kita boleh fikir masa hadapan. Mahu kahwin. Mahu kereta besar. Mahu rumah
besar. Duit pun kalau boleh nak besar tak muat kilang proses duit palsu
Saidina. Kenapa kita tidak boleh fikir yang ke hadapan lagi? Bukan tentang soal
hidup di dunia sahaja. Tetapi juga soal hidup di akhirat sana. Ingatkan diri
supaya sentiasa bersyukur. Paling kurang ucaplah Alhamdulillah. Syukur kerana
masih hidup. Bangun pagi sahaja, mata masih boleh dicelik. Udara masih boleh
dihirup. Nafas masih lagi terhela. “Oh, hidup lagi aku ni rupanya.
Alhamdulillah”. Syukur kerana udara dan anggota yang digunakan hari-hari ini
langsung tidak diminta bayaran daripada Allah. Kalau tidak, mungkin kita tidak boleh
lagi membeli kereta baru, make-up baru, handbag baru, motosikal baru, laptop
baru, baju baru, handphone baru dan semua yang namanya baru di belakang. Allah
langsung tidak berkira. Namun kita mahu solat satu waktu yang hanya memakan
masa selama 10 minit pun kedekut. Hamba apakah itu?
Syukur
kerana pancaindera cukup lengkap sempurna. Muka cantik. Mata menarik. Hidung
masih berfungsi. Mulut masih boleh menelan. Tiada anggota yang cacat. Ada orang
tempang tiada sebelah kaki pun masih rajin lagi menggagahkan diri berjalan kaki
ke masjid. Malu kita. Ingat mati sentiasa. Bukan fikiran itu hanya sepenuhnya
pada dunia. Seronok di dunia. Tetapi tidak sedar sebenarnya keseronokan yang
ada ini sementara cuma. Kebahagiaan hakiki adalah di akhirat sana. Ingat waktu
dihisab nanti. Ingat waktu ditanya malaikat Munkar dan Nakir di dalam kubur.
Apakah dapat diri menjawab kesemua soalan dengan iman dan amalan? Ada fikir
semua itu? Andaikan tiba-tiba sewaktu bangun pada esok pagi, saat mata
dicelikkan yang kelihatan hanyalah kegelapan. Dilihat ke kanan dan ke kiri
namun yang terbentang tetap hanyalah kegelapan. Allah hilangkan nikmat
pandangan. Diri mula panik. Tidak boleh melihat alam lagi. Tidak boleh menatap
wajah-wajah yang disayangi lagi. Mungkin waktu itu agaknya baru hati sedar.
Mula meraba-raba kawasan sekeliling bimbang terlanggar hanya untuk ke tandas
mengambil wuduk.
Andaikan
otot kita yang digunakan untuk menulis, menaip dan bermain. Suatu ketika Allah
menarik nikmat tersebut apabila hanya satu otot yang tidak berfungsi. Saraf
mula terjejas. Tiada lagi boleh menggerakkan jemari seperti dulu. Tiada lagi boleh
menaip assignment yang bertimbun. Apakah waktu itu mula mengagahkan jua jemari
membasuh muka berwuduk untuk solat? Andaikan tika selesai dari membeli-belah,
tiba di tempat parking di mana kereta diparkir. Tiba-tiba sewaktu meletakkan
barang ke dalam bonet kereta, datang seorang peragut yang cuba merentap beg
tangan dan menetak tangan kita berkali-kali hingga darah keluar dengan
banyaknya. Mungkin sewaktu itu ingatan mula berputar mengingati Allah untuk
menunaikan solat.
Andaikan
sewaktu memandu ke pejabat apabila menerima panggilan ada tender baru,
tiba-tiba kereta kehilangan arah seketika dan terlibat dalam kemalangan dengan
sebuah lori yang laju merempuh. Pintu kereta remuk redam. Cermin kereta pecah
seribu. Kaki tersepit. Didapati patah. Hampa dirasakan saat doktor mengatakan
bahawa sebelah kaki terpaksa dipotong. Mungkin waktu terlantar dalam bilik
pembedahan mula sedar untuk menunaikan solat.
Apakah
ingin menunggu saat-saat keinsafan seperti yang disaksikan dalam typical local
drama di televisyen itu baru kita mahu sibuk solat? Kalau jawapannya ya,
silakan. Tunggulah. Kalau tidak. Ya, bermula dari sekarang. Kerana kematian itu
bukan umpama jarum jam yang boleh diputar ke masa sebelumnya. Kita pasti akan
mati. Saya pasti akan mati. Kita pasti akan mati. Bersiaplah untuk satu perkara
yang pasti. Tidak ada masa untuk berlengah lagi.
Wahai
hamba… Solatlah! “Dan perintahkanlah keluargamu melaksanakan solat dan sabar
dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi
rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik di akhirat) adalah bagi orang yang
bertakwa” (Surah Taha ayat 132)
“Ada
nasihat terakhir?” Tiap ketika Allah memberikan apa yang kita perlu, nikmat
yang menggunung, dari sehari ke sehari. Allah memberi segalanya tanpa perlu
diri meminta mahupun melutut merayu. Ada antara hamba yang berpaling, namun Dia
tetap terus bersama curahan nikmat-Nya! Kita punya masa untuk keluar bersama
kawan-kawan. Kita punya masa untuk menonton filem komedi dan bergelak ketawa.
Kita punya masa untuk melayari Facebook dan menghabiskan waktu berjam-jam
lamanya di situ. Kita punya masa untuk yang lain namun apakah pantas apabila
diri mengatakan tiada masa untuk solat yang hanya 5 minit cuma!
Sekarang
diri mengatakan “aku malas solat”. Dan lihatlah wahai hamba, Allah telah
mengurniakan segala keperluan. Nikmat yang tidak akan mampu dikira kerana
begitu banyak! Allah mengatakan dalam kitabNya untuk kita muhasabah. “dan jika
kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak mampu menghitungnya. Sungguh,
Allah benar-benar Maha Pengampun, Maha Penyayang” (Surah An-Nahlu ayat 18)
Namun mungkin masih boleh
dikira. Mata untuk melihat. Hidung untuk menghidu. Telinga untuk mendengar.
Kaki untuk berjalan. Tangan untuk memegang. Tubuh badan yang sihat. Pakaian
untuk dipakai. Kereta untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Rumah
untuk berlindung dari panas dan hujan. Dan untuk segala apa yang telah Allah
berikan, diri masih berani mengatakan “aku malas solat!” Andai kamu masih
menyedari dua kaki itu masih berpijak di atas bumi-Nya maka tolong. Tolong,
tolong dan tolong. Tolong dirikan solat. Namun andai kamu percaya kamu boleh
mencari ‘bumi’ yang lain untuk hidup, tidak mengapa. Lakukanlah apa yang kamu
suka. Tapi ingat, bukan di bumi yang kamu pijak!
10 comments:
sentap macam mane pon aku malas jugak nak solat
Terima kasih
sangat membantu
Wow. Latest komen.
Nk solat tapi Mandi wajib xbuat ....cara mandi wajib Macam Mana ye
Aku pernah rasa mcm ni.. tp aku paksa jugak.. solatlah dalam terpaksa sekalipun.. sekarang pun kadang2 ada rasa malas lagi.. tp.. bila nak tinggalkan.. rasa.. x tenang.. x complete.. mcm kluor umah bogel je rasanya...
Dlm yt ade.tlng tngk dan buat
Saya nak tanya saya selalu rasa berat nak lakukan solat disebabkan was was.
Betul cakap bro... Saya sokong 100%
Saya tinggal di Singapura.. sya dulu pernah sholat 1 tahun, pergi umrah.. selepas itu, alih alih saya jadi pemalas.. saya bingun.. ada suruh saya jauh diri dari dosa, mandi hadas, ambil wudhu, sholawat, zikir.. tapi saya masih malas.. saya makan vitamin, kopi.. terima kasih admin.. saya fikir ini masalah saya sahaja.. tapi sekarang baru saya tahu bukan saya seorang.. Ya Allah.. kuatkan lah diri kami dalam sholat dan janganlah di tukar hati kami dari Islam
Post a Comment