Sabda
Rasulullah SAW: “Kita baru balik dari peperangan kecil kepada peperangan yang
maha besar.” Para Sahabat bertanya: “Peperangan apakah itu ya Rasulullah?”
Jawab baginda: “Perang melawan nafsu.” (Riwayat Al Baihaqi). Melawan nafsu
(mujahadah) ini memang susah. Rasulullah ibaratkan lebih susah daripada
berdepan dengan peperangan senjata. Betapa sulitnya nafsu itu hendak dikesan
dan tersembunyi pula. Sebab itu sesetengah orang tidak dapat mengesannya.
Sesetengahnya lagi tidak pernah ambil tahu adanya perkara batin ini. Jadi dia
tidak pernah berfikir untuk berperang dengan nafsu sendiri. Golongan ini merasa
hairan bila diajak melawan hawa nafsu. Kata mereka, “Di mana susahnya hendak
melawan nafsu?”
“Betulkah
nafsu itu sulit untuk diperangi?”
“Nafsu
itu tidak ada apa-apa. Saya tidak ada masalah dengan nafsu saya.”
“Pelik!
Mengapa orang kata nafsu itu sangat jahat? Sulit untuk ditundukkan? Ia perlu
diperangi? Aku tak faham!”
Untuk
golongan ini, agar mudah memahaminya kita cuba buat perbandingan. Nafsu yang
jahat itu kita ibaratkan pencuri, perompak dan penyamun. Jadi mencuri, merompak
dan menyamun itu memang profesyen mereka. Mereka tidak rasa susah dengan kerja
mencuri, merompak atau menyamun sebab kerja-kerja itu memang kerja mereka.
Merekalah yang selalu mengganggu-gugat keamanan orang, mencuri, kidnap, pecah
rumah, rampas barang orang, larikan anak gadis orang, mengancam nyawa orang,
membunuh dan lain-lain lagi. Oleh kerana itu kerjanya, dia tidak terasa susah
dan sulit dalam melaksanakan tugas-tugas tersebut. Tetapi yang rasa susahnya
ialah orang yang kena curi. Yang rasa terganggu-gugat adalah orang yang kena
rompak. Yang rasa huru-haranya adalah orang yang kena samun. Betapa azabnya
mereka menanggung. Hidup dalam ketakutan. Rasa hilang keselamatan. Rasa hilang
bahagia sebab harta hilang, rumah musnah, duit habis dikebas hingga jadi papa
kedana. Anak isteri dilarikan dan nyawa terancam. Hati susah yang amat sangat.
Hilang ketenangan. Makan tidak kenyang, tidur tidak lena. Segala kerja
terganggu hingga haru-biru masyarakat. Tidak aman negara. Polis dan orang ramai
turut sama susah, terganggu dan terancam. Disusahkan, diganggu dan diancam oleh
perompak-perompak dan lanun-lanun tadi.
Membendung
perompak dan lanun-lanun ini bukannya mudah. Satu kerja yang payah dan sulit.
Hendak memusnahkan semua sekali tidak mungkin sebab perompak-perompak ini
selalunya bekerja di waktu malam, dalam gelap pekat, di waktu orang sedang
tidur nyenyak dan di waktu orang sedang sibuk dan asyik. Dia bekerja bukan
terang-terangan tetapi secara senyap-senyap dan berhati-hati. Kerjanya tangkas,
cekap dan pakar. Selepas kerja, terus hilang lesap. Dia pandai menyembunyikan
diri dengan menyamar macam orang biasa. Hingga manusia susah hendak mengesan
dan menangkapnya. Hanya polis yang cekap dan pintar, yang dibantu dengan alatan
canggih sahaja yang dapat mengesannya dan sekaligus berjaya menangkapnya.
Itulah kerja perompak dan lanun-lanun yang menjadikan semua orang pening,
risau, terganggu, tergugat dan huru-hara.
Jadi
orang yang terganggu ini akan berdepan dengan tiga kesusahan iaitu:
a.
Susah kerana gangguan mereka.
b.
Susah hendak mengesan siapakah yang mengganggu itu kerana mereka tidak
isytiharkan diri.
c.
Susah hendak melawan dan memusnahkan pengganggu tadi.
Tetapi
perompak-perompak dan lanun-lanun tadi relaks saja. Mereka tidak rasa terganggu
atau hilang ketenangan sebab mereka yang mengganggu. Bagi orang yang
senyap-senyap bekerjasama dengan perompak-perompak dan lanun-lanun tadi, mana
terasa susah. Dia juga tidak susah macam tidak susahnya perompak-perompak tadi.
Orang yang beri laluan, orang yang jadi spy dan beri kerjasama dengan
perompak-perompak tadi pun tidak rasa susah dan tergugat. Begitulah tamsilannya
nafsu kita yang jahat ini. Jika seseorang itu sudah jadi pengikut nafsu yang
jahat itu, dia pun senang hati dengan perbuatan jahatnya. Mana terasa susah
lagi kerana telah sama-sama jadi geng jahat. Yang terasa kejahatannya itu ialah
orang yang diganggu. Bagi orang yang tidak mahu tunduk dengan kejahatan nafsu
dan ingin memeranginya, tentulah dia terasa susah, amat terseksa dan letih
untuk memusuhi nafsunya. Kalau tidak benar-benar tekad dan tabah, ia akan kalah
dan menyerah sahaja.
Orang
yang terasa betapa susahnya melawan nafsu akan berdepan dengan tiga kesusahan
iaitu:
a.
Susah hendak mengesan nafsu yang abstrak, yang maknawiyah, yang terlalu halus
hingga terpaksa mempelajarinya.
b.
Bila sudah tahu, kehendak-kehendak hati nuraninya pula terpaksa bertarung
dengan kehendak-kehendak nafsunya. Amat susah pula untuk tidak mengikut
kehendak-kehendak nafsu.
c.
Susah hendak mujahadah terhadap nafsu kerana terpaksa membuat bermacam-macam
latihan yang mencabar.
Di
sini didatangkan beberapa contoh sebagai bukti susahnya berperang atau
bertarung dengan nafsu iaitu:
1.
Kalau ada orang mengata, menghina, mengumpat, maki hamun di depan atau di
belakang kita, bagaimanakah sikap kita? Bolehkah hati kita rasa senang dan
tenang? Mudahkah kita tahan hati kita yang sedang gelojak marah itu? Bolehkah
kita diamkan sahaja tanpa sakit hati atau susah hati atau berdendam. Bolehkah
kita ucapkan “Assalaamualaikum,” dan tinggalkan mereka dengan senyum manis?
Mampukah kita memaafkannya? Tentu tidak mudah. Hati kita tentu sakit dan menderita.
Apatah lagi hendak berbuat baik dengan orang yang berbuat jahat terhadap kita
seperti kehendak Rasulullah SAW: “Berbuatlah baik pada orang yang berbuat jahat
pada kamu.”
2.
Mudahkah kita memaafkan orang yang telah bersalah pada kita? Mungkin telah menghina
atau berlaku kasar dengan menengking-nengking kita. Tentu tidak mudah, susah
dan pahit. Kerana hati kita sudah dilukakannya selama ini kecuali kita lawan
nafsu kita itu.
3.
Kita diuji Allah dengan bermacam-macam ujian seperti hidup miskin. Kita sudah
berusaha tetapi tidak juga kaya. Kita ingin pandai. Setelah berusaha, kita
tidak juga cerdik. Kita gagal peperiksaan. Masyarakat tidak peduli. Dicemuh
pula kerana kemiskinan dan tidak ada sijil tinggi. Mudahkah kita tanamkan jiwa
besar di waktu itu sehingga kita boleh berdikari dan tidak pedulikan kata-kata
mereka itu? Apakah di waktu itu kita boleh menahan perasaan daripada keluhkesah
hingga boleh menyerahkan pada takdir? Bolehkah redha dan baik sangka dengan
Allah? Hati atau nafsu mana mahu menerima hakikat di sebalik kejadian itu ada
pahala yang menunggu?
4.
Kita lihat ada orang susah, menderita dan melarat. Mungkin terasa simpati untuk
membantu memberi duit padanya. Ini mungkin mudah dan rasa mulia dilakukan
kerana orang kata kita baik dan pemurah. Disanjung dan dipuji pula. Tetapi
untuk duduk setaraf bersama-sama mereka dan menghiburkan hati mereka, tentu
susah. Mampukah kita bergaul dengan mereka? Tidur baring dan makan minum
bersama mereka? Bermesra-mesra dengan mereka? Memberi salam mendahului mereka?
Tentu tidak mudah. Nafsu terasa hina dan malu. Lebih-lebih lagi kalau kita ada
kedudukan, tentu nafsu rasa jatuh wibawanya.
5.
Kita ada kelulusan pengajian Islam, mungkin B.A, M.A. atau PhD. Kita tahu
bekerja atas tiket ijazah satu perkara yang hina dan keji dalam Islam. Sebab
Rasulullah SAW pernah bersabda: “Barangsiapa menuntut sesuatu dari ilmu ini
yang dikehendaki dengannya wajah Allah untuk mendapatkan sedikit dari mata
benda dunia, pasti masuk Neraka.” (Riwayat Ibnu Asakir). Sedangkan peluang ada.
Terbuka bila-bila masa sahaja. Kelulusan yang kita miliki membolehkan kita
menjawat jawatan tinggi dengan gaji dan elaun yang lumayan. Ada pangkat, ada
nama, disebut dan disanjung orang. Mungkin jadi mufti, kadhi atau ketua
pengarah jabatan Islam. Apakah kita akan tolak tawaran tersebut dengan alasan
ingin mencari pekerjaan yang lebih halal seperti berniaga, bertani atau
berternak? Tentulah akan berperang dengan nafsu sendiri. Senangkah untuk
lepaskan peluang ini? Tentu payah. Nafsu akan terlonjak-lonjak berkehendakkan
jawatan dan kedudukan dengan kelulusan agama tadi. Nafsu akan rasa rugi dan
bodoh bila menolak peluang merebut kemewahan dunia itu.
6.
Kita ada jawatan penting. Ada kuasa untuk luluskan projek-projek untuk kemajuan
rakyat. Rakyat memohon dan merayu pada kita. Kita tunaikan. Adakalanya projek
yang diminta kita luluskan segera, disogoknya ratusan ribu atau berjuta-juta
ringgit atau diumpan dengan perempuan-perempuan cantik serta macam-macam
tawaran istimewa lagi. Apakah mudah kita menolak tawaran-tawaran istimewa ini?
Tentu payah. Nafsu akan mendorong dan membisik-bisikkan supaya peluang keemasan
itu jangan dilepaskan. Inilah yang ditunggu-tunggu selama ini. Kawan-kawan yang
setaraf sudah lama merasa. Tentu nafsu tidak mahu kalah. Hendak ditolak, orang
lain pun buat. Nyatalah sulitnya melawan nafsu ini.
7.
Kita seorang peniaga. Bersama-sama kita ada peniaga-peniaga lain yang berniaga
bersebelahan dengan kita. Perniagaannya sangat maju dan berjaya sedangkan kita
sebaliknya, tidak maju dan hampir bangkrap. Apakah mudah untuk menahan nafsu
supaya sabar dan redha dengan takdir serta tidak berlaku hasad dengki dengan
peniaga yang berjiran dengan kita tadi. Tentu tidak mudah!
8.
Kita sebagai petani, sama-sama berkebun dengan jiran kita. Kebunnya menjadi dan
subur. Sedangkan kebun kita tidak menjadi dan tidak subur. Hasilnya juga
kurang. Pendapatan kita jauh kurangnya berbanding dengan kawan kita tadi yang
sudah jadi kaya-raya dengan jualan hasil kebunnya. Apakah mudah kita redha
dengan keputusan Allah itu? Apakah boleh kita membendung nafsu kita supaya
tidak hasad dengki dengan jiran kita itu. Tentu sulit!
9.
Kita seorang pendakwah. Kita berdepan dengan pendakwah bebas atau pendakwah
dari jemaah lain atau sama-sama berdakwah dalam sebuah jemaah. Kita dapati
orang itu lebih diterima oleh orang ramai dan disanjung-sanjung. Ada pengikut
pula. Sedangkan dakwah kita tidak diterima orang. Bahkan dihina-hina pula. Kita
tidak ada pengikut sedangkan kita ada kelulusan tinggi dari universiti oversea
atau kita adalah pendakwah rasmi. Mudahkah kita terima hakikat ini? Apakah kita
sanggup mengangkat tangan mendoakan kejayaannya? Kemudian memberi sokongan
moral dan material pada orang itu? Sebab melalui tangannya orang boleh terima
Islam. Bahkan mampukah hati kita berkata: “Tak apalah kerana ada orang yang
sedar melalui orang itu.”. Tentu tidak mudah. Nafsu selalunya hasad dengki bila
melihat orang lain berjaya. Bahkan bertindak menyebarkan fitnah dan menjatuhkan
orang itu. Kalau kita ada kuasa, kita akan cuba menyekatnya dengan alasan orang
itu tidak ada tauliah.
10.
Seorang isteri yang dipoligamikan. Suami memberi kasih sayang yang lebih pada
isteri-isteri yang lain. Diistimewakannya pula. Dibawa ke mana-mana. Segala
permintaannya dilayan mesra sedangkan diri kita tidak. Mudahkah untuk kita
bersabar dan redha dengan suami itu. Mudahkah kita bermuka manis dengan suami?
Senangkah untuk tidak berdendam dengan suami dan madu kita itu? Bahkan
mendoakan keselamatan dan kejayaan untuk mereka? Tidak mudah! Walaupun kita
tahu betapa besarnya ganjaran yang Allah kurniakan di Akhirat kelak disebabkan
tolak ansur kesabaran kita itu, nafsu tetap terasa berat. Begitulah sulitnya
melawan nafsu ini.
11.
Kita duduk sekampung atau satu pejabat dengan kawan kita. Sama-sama jatuh cinta
dengan seorang perempuan cantik jelita. Masing-masing berusaha menawan dan
menambat hati perempuan itu. Bersaing memberikan hadiah-hadiah istimewa,
mengharapkan perempuan itu membalas cinta kita. Didapati cinta kita tidak
berbalas. Bertepuk sebelah tangan. Sama-sama pergi meminang. Pinangan kita
ditolak tetapi pinangan kawan kita itu diterima. Bagaimana hati kita pada waktu
itu? Hati tentu hancur berkecai dan remuk-redam. Dirasakan hilang dunia ini
dari pandangan. Di waktu itu mampukah kita membendung nafsu supaya jangan
gilakan perempuan itu lagi? Tetap seperti biasa, berbuat baik pada perempuan
itu? Mampukah untuk tidak berdendam dengan kawan sepejabat kita tadi? Bolehkah
hati kita menerima takdir itu dengan tenang, tanpa keluh-kesah kerana redha
dengan takdir Allah? Tentu payah.
12.
Sebagai bos pejabat, di bawah kita ada kerani, pekerja-pekerja, pemandu, tukang
kebun, tukang sapu dan lain-lain lagi. Mampukah kita bergaul mesra dengan
mereka? Mampukah kita memberi kasih sayang pada mereka? Makan minum serta tidur
baring dengan mereka? Apakah boleh kita membantu mereka bila mereka perlukan
bantuan? Adakah senang kita memberi nasihat baik-baik dengan penuh kasih
sayang, bukan marah-marah? Adakah nafsu tidak terasa tercabar untuk buat itu
semua? Apakah nafsu tidak terasa jatuh taraf sebagai seorang ketua. Tentulah
nafsu rasa tercabar. Nafsu rasa jatuh taraf sebagai seorang ketua. Nafsu akan
rasa tuan, rasa superman. Kesalahan perlu ditegur dengan marah-marah baru
orang-orang bawahan takut. Nafsu rasa puas kalau dapat tengking dan
herdik-herdik, cerca dan hina-hina orang bawahan. Begitulah jahatnya nafsu yang
hendak dilawan itu.
13.
Kita berdepan dengan isteri yang buat salah. Mudahkah kita nasihatkan isteri
dengan baik dan penuh kasih sayang? Atau isteri, bila dapati suami bersalah,
mudahkah untuk memaafkannya? Tegur dengan baik. Diingatkan dengan kasih sayang?
Bukan dengan marah-marah dan mengaraharah? Mudahkah untuk berakhlak mulia ini?
Tentu payah.
14.
Seorang ibu ayah yang berdepan dengan kerenah anak-anak yang memeningkan
kepala. Mudahkah untuk bersabar dengan mereka itu? Tidak mudah. Selalunya nafsu
akan hilang pertimbangan dengan kenakalan mereka. Terpekikpekik, terjerit-jerit
dan anak-anak jadi mangsanya. Atau ibu ayah yang bersalah pada anak-anaknya,
mudahkah untuk anak-anak memaafkannya? Dan berdiam diri tidak menjawab kata-kata
kesat mereka? Senangkah untuk taat arahan mereka? Nafsu selalunya mendorong
kita untuk melawan cakap ibu ayah kita, tidak mentaatinya, menyakiti dan
menderhakai mereka.
15.
Kalau kita sebagai pemimpin berdepan dengan rakyat yang menegur kita, apakah
kita dapat menerima teguran dengan sebaik-baik dan berlapang dada? Kalau
teguran itu baik, apakah kita ucapkan terima kasih kerana dia sudah selamatkan
kita di dunia dan Akhirat? Ertinya selamat daripada Neraka. Selalunya rakyat
yang begitu akan diancam atau ditekan. Dikatakan cuba mengancam keamanan
negara, hendak rebut kuasa atau hendak gulingkan kerajaan.
Begitulah
nafsu kita. Betapa susahnya berperang dengan nafsu itu terbukti daripada salah
satu pengalaman kita tadi. Berperang dengan musuh memanglah azab. Untuk
mengikut kata nafsu memang mudah kerana kita sudah jadikan musuh sebagai kawan.
Untuk jadikan nafsu itu sebagai tuhan, itulah paling mudah. Tidak terasa
apa-apa susahnya kerana nafsu sudah menjadi tempat kita meletakkan cinta.
Apabila nafsu sudah dijadikan cinta kita, memanglah seronok untuk kita tunduk
dengannya. Diajak ke mana-mana pun senang kita ikut dan kita taati. Ini sudah
pun diberitahu Allah dalam firman-Nya: “Apakah engkau melihat orang yang
menjadikan hawa nafsu itu tuhannya?” (Al Furqan: 43). Tunduk dengan cinta agung
memanglah mudah. Macamlah apabila kita sayangkan isteri maka untuk mengikut
cakapnya memanglah mudah. Cuba kalau isteri itu sudah dibenci dan dimusuhi.
Apakah mudah diikut cakapnya? Tentu payah. Jadi walaupun kita susah memerangi
nafsu ini tetapi kita usahakan juga tanpa jemu-jemu. Kita tahu memerangi nafsu
inilah yang paling Allah suka. Oleh kerana ia dianggap jihad akbar (peperangan
yang besar) maka kita teruskan juga. Kita yakin Allah membantu.
Kalau
hati kita jahat, Allah tidak akan bantu kita. Segala kerja-kerja kita
terbengkalai dan tersangkut. Tidak selesai. Itulah hukuman Allah di dunia di
atas kecuaian kita bermujahadah itu. Sepanjang hidup kita berada dalam dosa.
Dosa batin yang tidak kita sedari. Oleh itu mari kita bersihkan dosa batin kita
ini. Mari kita terus bermujahadah yakni berperang dan bertarung dengan nafsu
kita sendiri sehinggalah akhir hayat kita. Barulah dikatakan wira sejati.
Seperti sabda Rasulullah SAW: “Siapakah yang dianggap wira itu?” Kata Sahabat:
“Mereka yang tidak dapat dikalahkan (dalam peperangan).” Nabi menjawab: “(Orang
yang dianggap wira itu) ialah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.”
(Riwayat Ibnu Atsir). Allah SWT juga ada berjanji: “Sesungguhnya beruntunglah
orang yang membersihkan diri (dengan beriman).” (Al A’la: 14). Firman Allah
SWT: “Sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.” (Asy Syams: 10)
Ehsan USAHA
TAQWA
No comments:
Post a Comment