Rahsia
Kehebatan Bismillah - “Kehebatan Bismillahirrahmanirrahim! Barangsiapa
mengucapkan Bismillaahir rahmaanir rahiim banyak-banyak dengan harapan mendapat
rezeki, nescaya akan diberikan Allah rezeki dengan mudah dan tidak terduga
olehnya. Serta, diberi kurnia kehebatan di hati manusia dan di sisi alam yang
tinggi (yakni Malaikat) dan alam yang rendah (yakni manusia dan lain-lain
makhluk Allah di muka bumi).
Dengan
nama Allah, Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, Sabda Rasulullah SAW:
“Adalah Jibril apabila datang kepadaku, yang pertama diberikannya kepadaku
ialah Bismillaahir rahmaanir rahiim.” (Darulquthni dan Ibnu Umar RA ). Sabda
Rasulullah SAW: “Itulah isim dari asma Allah. Tidak lain antara ia dengan nama
Allah, ‘Akbar’ seperti putih mata dengan hitamnya. Begitulah dekatnya.” Demikianlah
jawapan Rasulullah s.a.w ketika ditanya oleh Utsman Ibnu Affan berkenaan
Bismillah.
Sabda
Baginda SAW lagi: “Ismullahil-A’zham ialah Allah. Apakah engkau tidak lihat
bahawasanya pada semua pembacaan Al-Qur’an dimulai dengan Bismillaahir
rahmaanir rahiim sebelum menyebut nama-nama Allah yang lain.” ( Riwayat Imam
Bukhari dari Jabir )
Bersabda
Nabi SAW: “Ketika turunnya Bismillaahir rahmaanir rahiim, bergembiralah ahli
langit dari bangsa Malaikat, bergoncanglah ‘Arasy kerana turunnya. Turut serta
bersamanya 1000 Malaikat. Dan, bertambahlah iman para Malaikat. Dan, tunduklah
segala jin dan bergetar segala planet. Gementar segala sendi-sendi kerana
turunnya.”
Dari
Abu Na’im dan Ibn Sunni dari Siti Aisyah RA: “Ketika turun Bismillaahir
rahmaanir rahiim, mengucap tasbihlah gunung-ganang hingga dapat mendengar para
penduduk Mekah dan sekitarnya. Lalu mereka berkata: “Rupanya Muhammad yang
menyihir gunung-gunung itu.” Kemudian Allah bangkitkan awan hingga meneduhkan
penduduk Mekah.”
Sabda
Rasulullah SAW: “Barangsiapa membaca Bismillaahir rahmaanir rahiim dengan penuh
yakin, akan bertasbihlah gunung-ganang. Cuma sahaja ia tidak dapat
mendengarnya.” Rasulullah SAW bersabda: ” Barangsiapa mengucapkan Bismillaahir
rahmaanir rahiim dan laa haula walaquwwata illaa billaahil aliyyil adzhiim,
Allah lepaskan dia dari 70 pintu bala dan kesukaran, dukacita dan kesakitan.”
Dari
al-Waqii dan atas-Tsa’labi dari Ibnu Mas’ud RA: “Barangsiapa ingin dipelihara
oleh Allah dari seksaan Neraka Zabbaniah yang sembilan belas, maka hendaklah
dia mengucapkan Bismillaahir rahmaanir rahiim. Kerana Allah menjadikan
tiap-tiap huruf Bismillah itu sebagai perisai.”
Dari
ad-Dailami dari Ibnu Mas’ud RA, bersabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa membaca
Bismillaahir rahmaanir rahiim, dituliskan baginya tiap-tiap huruf 4000
kebajikan, dihapuskan darinya 4000 keburukan dan diangkat dia 4000 darjat.”
Bersabda
Nabi SAW: “Jin itu suka memakai barang-barang kepunyaan manusia dan pakaian
mereka. Oleh itu, barangsiapa mengambil atau menaruh pakaian, ucapkanlah
Bismillaahir rahmaanir rahiim. Kerana sesungguhnya nama Allah yang dibacakan di
situ merupakan cop mohor Allah.”
Pengertian
dari hadith di atas ialah hendaklah kita mengucapkan Bismillaahir rahmaanir
rahiim setiap kali kita menyimpan atau mengambil barang-barang kepunyaan kita
agar terjaga daripada jin dan syaitan. Bukan sahaja kita mendapat pahala dari
mengucapkannya tetapi juga mendapat keberkatan dan keselamatan sama ada atas
harta-benda mahupun diri dan segala usaha kita.
Dari
Anas bin Malik bersabda Nabi SAW: “Andaikata pepohon dijadikan pena dan lautan
dijadikan tinta, lalu dikumpulkan semua jin, manusia dan Malaikat untuk membuat
buku dan menulis erti Bismillaahir rahmaanir rahiim selama sejuta tahun, mereka
tidak akan sanggup mengertikannya walau hanya satu persepuluh darinya.”
Bersabda
Rasulullah SAW: “Ada suatu kaum yang datang pada Hari Qiamat nanti dengan
mengucapkan Bismillaahir rahmaanir rahiim. Lebih berat kebajikan mereka dari
keburukan mereka. Lalu berkata umat-umat yang lain: “Alangkah beratnya imbangan
amal kebajikan mereka.”
Sesungguhnya,
adapun yang menjadi sedemikian kerana mereka sentiasa memulai segala
perbicaraan mereka dengan Bismillahir rahmaanir rahiim. Kerana ia adalah Isim
Allah Yang Maha Agung. Jika sekiranya diletakkan langit dan bumi serta segala
isinya ke atas neraca timbangan, nescaya beratlah lagi kalimah Bismillaahir
rahmaanir rahiim.”
Dari
Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: “Apabila engkau berwuduk, ucapkanlah
Bismillaahir rahmaanir rahiim kerana Malaikat penjagamu tidak kan berhenti
menuliskan kebajikan bagimu sehingga engkau selesai. Dan, apabila engkau ingin
bersatu dengan isterimu, ucapkanlah Bismillaahir rahmaanir rahiim kerana
sesungguhnya Malaikat penjagamu akan menuliskan kebajikan bagimu hingga selesai
engkau mandi janabah. Jika dari persetubuhan itu lahir seorang anak, akan
dituliskan bagimu kebajikan menurut bilangan nafasnya dan bilangan anak-cucunya
hingga tidak dikecualikan walau seorang.”
Diriwayatkan
oleh Ibnu Abbas RA telah bersabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa di antara kamu
apabila ia akan bersetubuh dengan isterinya, lalu dia mengucapkan Bismillaahir
rahmaanir rahiim dan berdoa, “Ya Allah, jauhkanlah Syaitan daripada kami dan
jauhkanlah Syaitan itu daripada apa yang Engkau kurniakan untuk kami”, maka
jika sesungguhnya Allah takdirkan dari persetubuhan itu lahir seorang anak,
tidak akan dapat Syaitan memudaratkannya untuk selama-lamanya.”
Dikisahkan
di dalam Kitab Khozinatul-Asror bahawasanya Allah Ta’ala itu mempunyai 3000
nama yang mana 1000 nama hanya diketahui oleh para Nabi-Nabi Allah, 300 nama
disebutkan di dalam Kitab Taurat, 300 nama disebutkan di dalam kitab Injil, 300
nama disebutkan di dalam Kitab Zabur, 99 nama disebutkan di dalam Al-Qur’anul kariim
manakala 1 berada di sisi Allah.
Dan,
adapun makna daripada keseluruhan 3000 nama ini terhimpun di dalam 3 nama-nama
Allah iaitu Allah, Arrahmaan dan Arrahiim yang termaktub pula di dalam kalimah
Bismillaahir rahmaanir rahiim. Maka, barangsiapa mengajarkan dan mengucapkan
Bismillaahir rahmaanir rahiim umpama ia menyebutkan keseluruhan 3000 nama-nama
Allah. Adapun sesungguhnya kalimah Bismillaahir rahmaanir rahiim itu ada
sembilan belas huruf dan Malaikat-Malaikat penjaga Neraka itu juga ada sembilan
belas. Maka, barangsiapa membaca Bismillaahir rahmaanir rahiim dengan penuh
ikhlas dan yakin kepada Allah, nescaya terhindarlah dia daripada siksaan
Malaikat Zabbaniah
1 comment:
1000 Nama Allah hanya malaikat yang mengetahuinya. tapi diatas tidak disebutkan alias cuma ada 2000 nama. Muda-mudahan penulis bisa membaca kitabnya lagi. trima kasih
Post a Comment