DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Thursday, September 12, 2013

Menenangkan Fikiran yang Kacau

Kehidupan seharian yang sibuk dan permintaan demi permintaan yang menyesakkan dari tempat kerja dan rumah sudah pasti membuatkan kita hilang arah. Fikiran yang berserabut boleh mengurangkan fokus kepada perkara-perkara utama yang perlu diselesaikan. Akhirnya, kerja tak selesai dan fikiran makin berserabut. Untuk menjadi seorang yang produktif, kita perlu mempunyai pandangan dan perinsip yang jelas dalam membezakan perkara yang penting dengan perkara yang kurang penting. Kita harus mempunyai fikiran yang tenang untuk tujuan ini. Ambillah langkah-langkah dibawah ini untuk menenangkan fikiran kita.
1. Tarik Nafas.
Ingat lagi bagaimana kita bersenam di waktu pagi semasa bersekolah dulu? Ingat lagi bagaimana kita memulakan senaman dengan menarik nafas dengan kaedah yang betul? Gunakan teknik ini untuk mula mengosongkan fikiran kita.

2. Ambil Wudhuk.
Jika kita seorang yang beragama Islam, mengambil wudhuk boleh menenangkan fikiran. Kembali kepada fitrah manusia dapat memantapkan lagi rohani kita dan air yang bersih boleh mengembalikan kita kepada fitrah kejadian. Air yang segar dapat memberi tenaga dan fokus yang diperlukan dan wajah akan pasti kembali ceria.

3. Tulis.
Ada banyak perkara yang bermain di dalam fikiran kita. Kita perlu mengenalpasti apa sebenarnya yang kita fikirkan untuk membolehkan minda mengurus perkara-perkara ini. Cara yang paling mudah adalah dengan menulis satu-persatu apa yang kita sedang fikirkan. Jangan cuba untuk mengenalpasti kategori perkara-perkara ini dahulu, teruskan sahaja menulis.

4. Kenalpasti Yang Utama.
Setelah kita rasa puas dengan apa yang kita tulis, kita kini perlu kenalpasti yang mana yang paling utama. Tandakan dengan nombor atau gunakan “rating system” yang baik untuk membantu kita dalam proses ini. Lebih baik lagi jika kita klasifikasikan perkara-perkara ini berpandukan matlamat hidup kita dan apa yang paling penting dalam hidup kita, keluarga? kerjaya? cinta?

5. Buang Yang Tidak Penting.
Pangkah atau padamkan perkara-perkara yang remeh dan tidak relevan. Perkara-perkara remeh yang kita fikirkan boleh jadi perkara seperti “Apa yang kekasih lama aku sedang lakukan?” atau “Osama hidup lagi kah?”. Kita akan dapat lihat yang kebanyakan perkara yang bermain di fikiran kita sebelum ini adalah perkara-perkara yang tidak relevan dan hanya membuatkan kita kurang produktif dalam menyelesaikan urusan harian dan masalah-masalah lain yang lebih penting. Perkara-perkara inilah sebenarnya yang menghalang kita untuk berfikir secara bijak.

6. Cukup Rehat & Tidur.
Dengan memejamkan mata, atau memandang jauh ke arah kehijauan alam akan dapat memberi kita perasaan yang tenang. Tidur yang tidak cukup bermakna minda kita tidak mendapat rehat yang secukupnya. Sebab itu minda kita liar berfikir. Pejamkan mata untuk seketika di waktu rehat kita, atau keluar ambil angin dalam keadaan yang selesa dan positif.
Description: http://admax.effectivemeasure.net/emnb_1_.gif
7. Kurangkan menonton TV atau membaca akhbar di waktu pagi.
Akhbar harian kita saban hari penuh dengan berita-berita yang menyayat hati. Jenayah, kemalangan, bencana dan lain-lain boleh memberi tenaga yang negatif kepada kita. Jika kita mengamalkan tabiat membaca berita-berita ini di waktu kita bersarapan, kita akan bermula hari kita dengan pandangan yang negatif. Bangun pagi sahaja fikiran kita sudah berserabut. Elakkan atau tukar masa kita untuk membaca akhbar. Menonton TV dengan berlebihan akan membuatkan fikiran kita menerawang jauh tentang perkara-perkara yang cuba disampaikan dalam rancangan yang kita tonton. Fokus kita kepada perkara yang lebih penting akan terjejas kerana kita mengizinkan info-info dan idea-idea baru ini masuk ke dalam minda kita. Kurangkan menonton TV.
8. Kembali Kepada Alam.
Dalam kehidupan kota yang sibuk dan sesak, kita semua bergerak dengan pantas. Teknologi masa kini menjadikan kehidupan harian semakin laju. Mengembalikan diri kepada alam semulajadi akan dapat melambatkan waktu dan membolehkan kita hidup dalam waktu kini; Bukan hidup dalam waktu dahulu atau waktu hadapan, di mana kita terkejar-kejar dengan impian demi impian dan dilambatkan pula dengan kisah-kisah sedih dan sesalan demi sesalan tentang apa yang sudah pun berlaku. Bawa keluarga kita mandi air terjun atau pergi memancing dengan rakan, dan waktu akan menjadi perlahan bagi kita. Bila waktu bergerak perlahan, kita akan dapat memberi fokus.

9. Lepaskan.
Kita risau tentang sesuatu? Kita rasa tidak puas tentang apa yang telah kita lakukan? Rasa marah? Berdendam? Tertekan? Cara yang paling mudah untuk mengosongkan fikiran yang berserabut adalah dengan mengalah dan melepaskan. Kita perlu menjadi seorang yang berjiwa mantap dan tegas dalam mengawal perasaan untuk membolehkan diri maju ke hadapan. Walaupun perasaan-perasaan ini adalah semulajadi, tetapi kebanyakannya adalah tidak menguntungkan. Fikirkanlah.

10. Kemas Ruang Kita.
Tempat kerja atau kediaman kita perlu sentiasa berada dalam keadaan yang kemas. Mata kita sentiasa melihat, dan melihat keadaan yang tidak kemas sedikit-sebanyak akan mempengaruhi minda kita. Kita cuma tidak sedar akan hakikat ini. Ambillah tindakan dan inisiatif untuk mengemas dan kita pasti akan mendapat tenaga yang baru.

11. Berkongsi Masalah.
Jangan simpan permasalahan kita. Jika kita mempunyai kekasih atau seseorang yang penting dalam hidup kita, berkongsilah masalah kita dengan mereka. Mendengar masalah orang lain juga dapat membantu kita dalam menyelesaikan masalah kita sendiri. Kadang-kadang kita tidak sedar tentang sesuatu yang lebih baik sebagai jalan penyelesaian. Dengarlah dan berbicaralah dengan hati dan minda yang terbuka.
12. Sedikit Lagi.
Ingat lagi perkara-perkara yang kita tuliskan dalam langkah ketiga hingga langkah kelima? Buang separuh dari perkara-perkara ini.

13. Buat.
Fikir dan buat. Jangan fikir dan terus berfikir. Buat perkara yang paling penting dan tidak mengambil masa yang lama terlebih dahulu. Jangan bertangguh!

14. Berzikir
Ketahuilah bahawa dalam Al-Quran banyak ayat yang menganjurkan supaya sentiasa berzikir kepada Allah seperti tertera dalam surah Al-Baqarah ayat 152 yang membawa maksud "Maka berzikirlah kamu akan Aku supaya Aku menyebut akan kamu dan syukurilah olehmu akan Aku dan jangan kamu ingkari akan (nikmat Ku)" Dalam surah Al- Anfaaal ayat 45 turut membawa maksud: "Ucapkanlah olehmu akan Allah dengan sebutan yang banyak supaya kamu beroleh kemenangan" Juga dinyatakan dalam surah Ar-Ra'du ayat 28 yang membawa maksud: "Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan zikrullah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram" Manakala Rasulullah pula bersabda: "Tidak duduk satu jamaah mengucapkan zikrullah, melainkan (di tempat itu) sudah dikelilingi malaikat yang dipenuhi rahmat dan diturunkan kepada mereka sakinah atau ketenangan hati". Perlu diketahui pula jika sesaorang yang tidak pernah berfikir dan mengingati Allah, maka Allah akan menurunkan syaitan sebagai teman dalam hidupnya. Allah berfirman dalam Al-Quran surah Azzukhruf ayat 36 bermaksud: "Barang siapa yang berpaling akan zikir kepada Allah, maka kami turunkan kepadanya syaitan yang terus menerus menjadi kawan seiring baginya". Dengan demikian bertapa hikmah daripada zikir itu, disamping mendapat pahala daripada Allah. Bagi yang membaca hatinya akan menjadi tenteram dan penuh sakinah dalam kehidupannya.
Kelebihan Berzikir
Antara kelebihan berzikir yang dinyatakan di dalam hadis-hadis yang sahih adalah:
Pertama – majlis zikir merupakan taman syurga di dunia. Daripada Anas bin Malik RA, beliau meriwayatkan: “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Jika kamu melalui taman-taman syurga, maka singgahlah dengan senang. Para sahabat bertanya: Apakah taman-taman syurga itu? Baginda menjawab: halaah-halaqah (kelompok) zikir.” – Hadis hasan riwayat al-Tirmizi.
Kedua- Zikir merupakan benteng daripada gangguan syaitan.
Ketiga – Zikir penghapus dosa dan menyelamatkan daripada azab Allah.
Keempat – Zikir diumpamakan sebagai orang yang hidup.
Kelima – Zikir beroleh pahala.
Keenam- Zikir adalah tanaman syurga.
Ketujuh – Zikir adalah amalan yang paling baik dan paling tinggi darjatnya.

DM

No comments: