Manusia
telah dipilih untuk menjadi khalifah Allah di muka bumi. Sudah tentu dalam
menetapkan ketentuan ini Allah telah menyediakan manusia dengan 'kelengkapan'
yang cukup berupa kemampuan mental dan fizikal untuk menyempurnakan tugas yang
amat berat ini. Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW telah bersabda yang membawa
erti manusia itu adalah ibarat lombong emas dan perak, jika baik mereka di
zaman jalihiyyah, baiklah mereka pada zaman Islam. Antara tafsiran daripada
hadith ini ialah manusia kaya dengan potensi yang tersorok untuk melahirkan
kebaikan, sesuai dengan tanggungjawab yang dipikul untuk memakmurkan muka bumi
ini.
Mudahnya,
hidup kita ini bererti pilihan. Mahu atau tidak, kita perlu memilih. Seawal
pagi, kita perlu memilih untuk terus melayan mimpi atau segera bangun mengerjakan
solat Subuh. Bersarapan pula kita perlu memilih menu yang menyelerakan. Ketika
bekerja pula, kita perlu pilih untuk melakukan dengan semangat dan ceria
ataupun sekadar bekerja biasa-biasa sahaja. Lewat malam menjelma, kita perlu
pilih untuk merehatkan badan atau terus benarkan badan bekerja. Hidup satu
pilihan
Sebenarnya,
kita semua sentiasa berdepan dengan pilihan dan kita memang kita perlu sentiasa
memilih. Ada ketikanya senang dan mudah, namun ada masanya agak sukar malah
meletakkan kita dalam situasi 'ditelan mati emak, diluah mati bapa'. Membuat
pilihan melakukan rutin seharian mungkin tidak sesukar membuat pilihan dan
keputusan perkara besar seperti perkahwinan, pekerjaan atau perceraian. Lantas,
bagaimana untuk memastikan pilihan yang bakal dibuat adalah keputusan yang
bijak, tepat dan mampu memberikan kebahagiaan hidup kepada anda pada kemudian
hari?
Apabila
membuat keputusan, pastikan kita berada dalam keadaan yang tenang dan
berfikiran waras. Pinggirkan emosi serta rasa hati sebaliknya bersikap tabah,
tenang dan yakin dengan kemampuan diri untuk menangani permasalahan yang
dihadapi. Firman Allah SWT dalam ayat 286 surah al-Baqarah bermaksud:
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan
kesanggupannya." Jika Allah yakin dengan kemampuan kita menangani ujian
dan dugaan yang diberikan-Nya, kenapa kita tidak percayakan kemampuan diri kita
sendiri? Mungkin ada yang mengeluh: "Aku ini tidak putus-putus dengan
ujian. Penat sungguh!" Tolonglah, jangan mengeluh! Keluhan tanda gagal
reda dengan takdir-Nya. Ujian bukan tanda derita, sebaliknya tanda kasih
sayang-Nya kepada kita.
Ujian
juga sebagai cara untuk tambah mematangkan kita dalam mendepani hidup seharian.
Sesungguhnya, hanya permata boleh memotong permata. Pilihan kita adalah untuk
bersinar bak permata atau hanya kilauan kaca. Kekurangan yang kita miliki
kadang-kala membuatkan kita tidak yakin dengan kebolehan diri sendiri dan
terasa kita seolah-olah disisihkan oleh masyarakat. Tanpa mencuba kita terus
membuat spekulasi atau persepsi bahawa kita seorang yang lemah. Pernahkah kita
merasakan diri kitaa seorang yang lemah? Semestinya. Kita akan mengalami
perasaan ini jika kita seorang manusia yang normal.
Sedih
bukan sebab untuk menjadi lemah. Kitaa juga pernah merasakan yang demikian
disaat kecewa dan sedih. Tetapi itu bukan alasan untuk kita menjadi lemah, sebaliknya
itulah punca kita menjadi lebih kuat untuk menghadapi dugaan-dugaan mendatang.
Allah menciptakan kita dengan kekuatan dan kelemahan kita masing-masing. Disaat
Allah memberikan kita kelemahan, disitulah Allah sisipkan kekuatan. Kita cuma
perlu berusaha untuk mencari kekuatan itu. Pasti ia ada dalam setiap seorang
yang bergelar manusia.
Tatkala
kita merasa sedih, jangan takut. Merasa sedih itu biasa. Jika ada manusia yang
tidak pernah merasa sedih, maka dia bukan manusia. Sedangkan Rasulullah SAW
juga pernah merasa sedih yang amat ketika kehilangan datuk dan isteri
kesayangannya. Baginda juga pernah berasa tidak mampu menanggung beban sehingga
pergi memencilkan diri buat sementara waktu semata-mata untuk mengembalikan
keyakinan hidup baginda. Inikan kita cuma insan biasa, yang tidak pun maksum,
malah sering kali bergelumang dengan dosa, merasa sedih itu patut ada dalam
diri kita.
Betul.
Sedih dan merasa lemah adalah dua perkara yang berbeza tetapi mereka amat
berkait antara satu sama lain. Kerana kita merasa kecewa, kita akan bersedih.
Bersedih terlalu lama dan enggan bangun dari kekecewaan yang kita alami, maka
kita akan menjadi lemah. Lemah di sini merujuk kepada perasaan yang tidak yakin
terhadap kemampuan diri sendiri. Kita sering kali merasa rendah diri dan merasa
diri kita kurang daripada orang lain. Kita merasakan kita tidak mampu menjadi
manusia yang dapat menandingi manusia yang lain. Tidak. Manusia lain juga tidak
hebat. Mereka tidak lahir dan terus menjadi hebat. Mereka berusaha untuk
menjadi hebat. Jadi kenapa kita harus berfikir kita lemah dari manusia lain?
Mereka juga manusia seperti kita, mempunyai kebolehan berfikir dan berdikari
yang sama untuk memajukan taraf hidup masing-masing.
Pasti
banyak perkara yang terjadi dalam hidup ini membuat kita bersedih dan kecewa.
Satu perkara yang kita tahu sejak azali lagi, bersedih bukan bermakna kita
lemah. Titisnya setiap airmata bukan bermaksud kita lemah. Allah jadikan setiap
airmata itu dengan seribu satu kekuatan dan hikmah yang besar. Jadi jangan
sesekali kita menangis untuk benda yang sia-sia. Kita hidup bukan untuk
mengejar kesempurnaan hidup. Kita hidup untuk menyempurnakan aspek kehidupan
kita di akhirat kelak. Duit yang banyak dan syarikat yang berjaya bukan
matlamat kita. Kenapa kita harus bersedih atas kehilangan benda-benda sebegitu?
Seringkali
terdengar ungkapan ini sama ada di kaca televisyen atau dunia realiti “Saya
hanya manusia biasa yang lemah, tidak mampu berbuat apa-apa selain pasrah
dengan setiap ketentuan Allah.” Salah! Sangat salah untuk kita berpegang pada
kata-kata ini. Pasrah itu berbeza dengan redha. Selagi kita berusaha, kita
tidak lemah. Selagi kita berharap pada Allah dan berdoa kepada-Nya, kita tidak
lemah. Allah memberikan kita kekuatan untuk bertahan di muka bumi ini, kenapa
kita harus mengiktiraf diri kita lemah? Orang yang kuat mentalnya tidak akan
sesekali mengiktiraf dirinya lemah dan mengaku kalah pada masalah yang
dihadapinya.
Ingatkah
anda pada kalamullah yang disebut dalam kitab-Nya yang agung yang bermaksud: “Allah
tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”. (Al-Baqarah:
286). Allah menghadiahkan musibah ke atas hamba-Nya sebagai tanda sayang,
kerana Dia tahu hamba-Nya mampu untuk menyelesaikan setiap musibah yang
diberikan. Setiap masalah yang ada di muka bumi ini ada jalan penyelesaiannya,
jika kita manusia berusaha mencari solusinya. Jika kita enggan menerima musibah
daripada Allah, siapakah kita ini? Sedangkan nabi-nabi Allah, termasuk kekasih
Allah Nabi Muhammad S.A.W juga menerima musibah yang hebat semasa hayat mereka.
Dan mereka menerimanya dengan hati yang terbuka dan menganggapnya sebagai satu
nikmat kehidupan.
Mungkin
ada yang berfikir mereka itu nabi, kita ini cuma manusia biasa, mereka tidak
sama dengan kita. Pemikiran itu salah sama sekali. Para nabi bukan malaikat.
Para nabi juga manusia. Sama diciptakan dari tanah seperti kita yang hidup pada
tahun 2013 ini dan tahun-tahun sebelumnya. Yang membezakan kita dengan para
nabi ialah mukjizat. Mereka manusia terpilih di sisi Allah. Kita seharusnya
bersyukur kerana dilahirkan sebagai seorang Muslim dan merupakan pengikut kepada
kekasih Allah yang mulia. Kita mempunyai seorang idol yang cukup tabah ketika
hayat baginda SAW. Adalah sangat tidak wajar untuk merasa lemah terhadap diri
sendiri jika mempunyai seorang pemimpin yang berwibawa seperti baginda. Kita
umatnya dan kita harus mengikut setiap apa yang diajarkan kepada kita.
Merasa
lemah bukanlah sesuatu yang ditegah. Dengan merasa lemah, kita tahu di mana
taraf kita sebagai manusia di muka bumi ini. Namun, ada sesetengah perkara yang
perlu kita titikberatkan untuk sentiasa maju dan tabah dalam kehiduan seharian
kita. Ada manusia yang menanggap dirinya sudah tabah dan enggan menitiskan
airmata lagi akibat kecewa dengan peristiwa lampau. Satu contoh yang mana kita
harus membuka mata, dengan kelemahan kitalah kita boleh menjadi kuat. Kita
merupakan hamba Allah yang paling bertuah di muka bumi ini selagi mana kita
ditimpa masalah. Berhenti merasakan diri kita lemah, cuma kita perlu tahu yang
kita ada kelemahan dan kelemahan itu adalah sesuatu yang kita boleh atasi
dengan usaha dan tawakkal.
Paling
utama, jangan membuat pilihan serta keputusan hanya menggunakan akal dan
fikiran kita sendiri. Sebaiknya berbincang dengan orang terdekat seperti ahli
keluarga atau rakan baik kerana ketika tertekan kita selalunya berfikran kurang
rasional. Kemudian pada akhirnya jangan lupa untuk mendapatkan keredaan Ilahi. Bergantung
dan berharaplah kepada-Nya. Berdoa mohon yang terbaik daripada-Nya. Hanya Dia
yang tahu perkara terbaik untuk kita.
Lakukan
istikharah? Boleh, lakukanlah tapi ada syaratnya. Lakukan istikharah dengan
penuh khusyuk dan berserah kepada-Nya, bukan dalam keadaan kita telah punya
pilihan atau keputusan. Jika kita telah punya keputusan atau ada satu pilihan
yang lebih diberikan keutamaan, percayalah istikharah kita sukar mencapai
keputusan yang tepat. Kita perlu ingat, keputusan yang diterima ketika
istikharah adalah keputusan yang terbaik untuk kita ketika itu. Ia mungkin
lebih baik pada kemudian hari tanpa kita ketahui kerana sesungguhnya
perancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan.
No comments:
Post a Comment