DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Thursday, May 30, 2013

Interaksi Dengan Remaja

Pernahkah kita terfikir mengapa sebahagian anak remaja lebih senang bersama teman dan rakan sebaya mereka daripada bersama keluarga di rumah? Terdapat banyak kemungkinan yang mengakibatkan situasi ini berlaku. Antaranya anak remaja mendapat sesuatu di luar daripada teman yang tidak mereka dapati di rumah, atau mungkin juga mereka lebih rasa difahami dan dihormati kerana dilayan oleh rakan sebaya sebagai seorang dewasa, tidak dibentak jika mereka melakukan kesilapan, malah mereka bebas menyuarakan ketidakpuasan pada sebarang perkara.
Timbul persoalan di sini, bagaimana dapat para ibu bapa cuba memahami anak-anak remaja mereka? Juga bagaimana para ibu bapa dapat menyesuaikan diri mereka apabila anak-anak semakin meningkat usia remaja?Beberapa pendekatan boleh cuba dilakukan oleh para ibu bapa apabila berinteraksi dengan anak-anak apabila mereka sudah meningkat usia remaja. Berikut dikongsi bersama beberapa panduan. Antaranya:

1. Luangkan Masa.
Dengan keadaan bapa atau kedua ibu bapa yang bekerja, masa bersama dengan anak-anak pastinya amat terhad. Maka terpulang kepada kebijaksanaan ibu atau bapa dalam memanfaatkan masa bersama dengan anak-anak. Mungkin kita hanya mempunyai satu jam sahaja dalam sehari bersama dengan keluarga kerana kesibukan kerja atau tuntutan mencari nafkah, namun jika dimanfaatkan masa tersebut dengan sebaik-baiknya, maka itu adalah lebih baik daripada mempunyai masa berejam-jam di rumah tetapi tidak dimanfaatkan bersama. Banyak aktiviti sebenarnya yang boleh dilakukan bersama keluarga seperti menonton TV dan DVD yang diminati. Ingatlah, yang penting bukan berapa lama masa kita berada di rumah, tetapi berapa banyak masa yang berkualiti dihabiskan bersama dengan keluarga.

2. Sentuhan.
Rata-rata kita akan dapati anak-anak ketika masih kecil biasanya akan kerap dibelai dan dicium. Namun keadaan ini kadangkala tidak berterusan apabila anak meningkat usia remaja. Tidakkah pernah kita terfikir bagaimana sentuhan tersebut mampu memberikan kesan mendalam yang tidak terhingga, sehingga boleh membuatkan diri mereka rasa dihargai dan disayangi oleh ibu bapa? Jika amalan ini sudah lama terhenti, maka mulakanlah dengan sentuhan mudah atau tepukan mesra di bahu anak setiap kali bersua atau berjumpa. Bagi para ibu bapa yang sudah biasa mengamalkan sentuhan atau ciuman mesra pada diri anak. Teruskanlah tabiat baik ini sehingga mereka dewasa, pasti ianya bakal mengeratkan hubungan mesra yang sudah terjalin.
3. Pujian
Katakan jika suatu hari anda ingin berkongsi kegembiraan bersama isteri tercinta tentang kejayaan anda, tetapi si isteri mengambil sikap acuh tidak acuh sahaja. Apakah perasaan anda? Pastinya sedikit sebanyak kita akan merasa sedih dan hampa. Begitulah juga dengan anak-anak, mereka perlu dipuji apabila berjaya melakukan sesuatu, sebagaimana mereka juga perlu ditegur atau dimarahi apabila melakukan satu kesilapan. Secara semulajadinya pujian tersebut akan membuatkan anak-anak merasa gembira dan rasa diri dihargai, selain mengeratkan perhubungan dan menambahkan perasaan kasih sayang antara anak dan ibu bapa.

4. Teguran
Dalam memberi nasihat atau peringatan pada anak, pastikan masanya adalah bersesuaian. Ini bermakna tidak ketika anak baru pulang, sedang lapar atau anak masih dalam keletihan. Sebaiknya juga elakkan seberapa mampu daripada meleter atau melakukan sindiran kepada anak-anak, elakkan juga daripada mengungkit kesilapan lama. Bayangkan, jika kita sendiri disindir dan dileteri oleh majikan atau isteri/suami. Pastinya kita akan merasa bingit, walaupun apa yang dikatakan adalah benar dan ia berpunca daripada kesilapan diri kita. Kita juga perlu bertanya pada diri kita, adakah leteran dan bebelan kita memberikan kesan dan perubahan positif pada diri anak? Jika jawapannya tidak, maka ini bermakna ia perlu dihentikan. Apa yang penting ialah teguran kita walaupun singkat, tetapi mesejnya sampai kepada pemikiran anak.

5. Hadiah.
Pernahkah kita memberikan sebarang hadiah kepada anak-anak bersempena hari ulang tahun mereka atau hari-hari yang mempunyai ’significant’ pada diri mereka? Hadiah walau sekecil dan semurah manapun mempunyai kesan yang cukup mendalam pada diri individu. Ia akan membuat diri rasa diingati dan dihargai dan menambahkan jalinan kasih sayang antara kita dan anak. Malah, jika disampaikan dalam bentuk kejutan (surprise), maka ia akan menjadi lebih bermakna. Sebenarnya bukan nilai hadiah tersebut yang menjadi ukuran, tetapi ingatan mendalam dari hati yang suci itulah yang memberikan kesan kepada si penerima, yang seterusnya menimbulkan perasaan kasih sayang kepada si pemberi yang mana akhirnya keduanya semakin saling menyayangi antara satu sama lain. Tidakkah Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: ”Hendaklah kamu saling memberi hadiah, nescaya kamu akan berkasih sayang.” [Adab Al-Mufrad]
6. Contoh
Penting bagi kedua ibu bapa memberikan contoh yang terbaik agar ia menjadi ikutan dan panduan buat anak. Perbaikilah diri kita dahulu sebelum anak-anak ditegur dan dinasihati. Janganlah jadi seperti bak kata pepatah ’Bapak borek anak rintik’ atau seperti ’Ketam yang ingin mengajar anak berjalan lurus’. Bagaimana dapat kita tegur anak untuk tidak menghisap rokok kerana membazir dan merosakkan kesihatan, atau kita tegur mereka agar jangan bersikap kasar dan menggunakan kata-kata kesat, jika kita sendiri melakukan perkara yang sama?

7. Tren Semasa.
Memandangkan tahap umur yang berbeza antara anak dan ibu bapa, sering ibu bapa kehilangan arah untuk mencari topik perbualan yang boleh diperbualkan dengan anak. Jika anak baru berusia 15 tahun dan tidak minat perkembangan isu semasa, Adakah satu perkara yang bijak jika kita berbicara tentang isu politik tanahair atau isu Gaza di Palestin? Hmmph, boleh pengsan anak kita dibuatnya! Sebagai orang dewasa menjadi satu kelebihan jika kita mengambil tahu juga perkembangan sukan, dunia muzik, filem, fesyen terkini dan sebagainya. Ini dapat membantu kita terus kekal dalam gelombang arus anak-anak remaja kita dan membantu untuk lebih mudah berinteraksi dengan mereka. Sebagai contoh sekarang ini sedang hangat dengan budaya K-Pop, klip video ’Gangnam Style oleh Psy’ atau yang paling terkini klip video parodi ’Harlem Shake’, kita boleh mengambil kesempatan untuk menambat hati anak dengan berbicara tentang isu video ini,  ini secara tidak langsung menunjukkan kita arif dengan trend masakini, dan apabila kepercayaan sudah mampu diraih, kita dapat menggunakan kesempatan ini secara sedikit demi sedikit untuk menegur dan menyampaikan nilai-nilai murni yang seharusnya disemai dalam diri anak-anak. Oleh itu penting untuk kita tidak hanya membelek halaman muka surat tertentu sahaja dalam akhbar harian, tetapi juga dalam ruangan hiburan, fesyen, sukan dan teknologi digital.

8. Alam Maya.
Dalam era teknologi yang semakin pesat, si anak lebih gemar berahsia dan memendam rasa melalui alam maya. Kalau tidak percaya, cubalah ke ruang media sosial seperti Facebook, Twitter atau Instagram mereka. Di mana kita akan dapat mengetahui status terkini mereka sama ada gembira, sedih atau segala apa sahaja yang ingin mereka luahkan. Kita juga dapat mengenal teman-teman yang sebelum ini sering mereka rahsiakan. Selain itu, melalui komen-komen di tembok atau wall Facebook mereka (jika ada) dapat diketahui dengan lebih mendalam peribadi anak. Malah anda juga dapat mengetahui luahan hati mereka, jika anak anda mempunyai laman blog peribadi.

Namun, usahlah wadah ini dijadikan sebagai satu ruang untuk meyiasat dan memarahi, ini akan membuatkan hubungan kita menjadi semakin renggang dengan anak, dan mungkin selepas itu laman tersebut bakal bertukar menjadi status ’private’ dan tidak dapat ditatapi lagi. Tetapi, jadikanlah ia sebagai satu ruang untuk kita lebih mengenali dan memahami diri mereka dan merapatkan jurang antara kita. Berikanlah komen pada status di laman Facebook atau di wall mereka. Juga komentar terhadap foto mereka. Ini dapat dilakukan dengan membuka akaun sosial media anda sendiri (jika belum) dan seterusnya menjadi ’sahabat’ maya anak anda, luahkan pula harapan dan perasaan anda pada diri dan keluarga, mana tahu anak anda pula yang akan berikan komentar pada status anda pula?
9. Solat berjemaah
Tiada cara yang lebih baik dari mengeratkan hubungan bersama keluarga selain dari melakukan solat bersama-sama. Solat yang dilakukan secara bersama-sama memberikan faedah yang bukan kepalang kepada hubungan antara keluarga, ini kerana secara tidak langsung dapat memperteguhkan dan menyatukan diri kita dalam satu barisan, melatih diri untuk taat kepada keperluan umum dengan mengikut imam dalam menuju kepada matlamat yang satu serta kepada perkara-perkara yang diredhai Allah. Jika ianya tidak mendapat sambutan daripada anak remaja, maka teruskanlah dengan isteri dan si kecil, semoga amalan ini lambat laun akan dituruti oleh anak remaja kita.

10. Doa
Selepas apa yang kita lakukan dan usahakan, usahlah lupa untuk terus berdoa kepada Allah. Tiada permintaan yang lebih mustajab selain daripada doa kedua orang tua sendiri khususnya doa ibu. Apa yang penting kita perlu terus mencuba dan tidak berputus asa, hasilnya dengan izin Allah akan hadir jua pada masa akan datang. Mungkin perubahan tidak berlaku sekarang, tetapi siapa tahu apabila mereka meningkat dewasa dan dengan pertambahan usia, kematangan akan hadir jua dengan berkat kasih sayang ibu dan bapa, perubahan akan berlaku akhirnya dan mereka bakal menjadi anak yang soleh serta solehah dan bertakwa

Pintalah pada Allah pada setiap solat kita, “Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kami agar beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami sebagai penyenang hati kami dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.” [Al-Furqaan: 74]

Dari Majallah AlUstad

1 comment:

Agatha Pace said...

Helloo mate great blog post