DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Saturday, June 1, 2013

Bagaimana Syaitan Menganggu Manusia

Syaitan adalah makhluk Allah dari kalangan jin yang diciptakan dari api. Manakala Iblis adalah salah satu nama dari kalangan syaitan. Rasulullah SAW menyatakan: “Malaikat diciptakan dari cahaya, jin diciptakan dari nyalaan api dan Adam (manusia) diciptakan dari apa yang telah dijelaskan kepada kamu.” (Hadis Riwayat Muslim, 14/273, no. 5314). Detik mula kesesatan syaitan adalah apabila ia takbur lagi ujub dengan penciptaan dirinya, mempertikaikan perintah Allah dengan mendahulukan logik, menghina ciptaan Allah, serta ingkar dengan kebenaran dan enggan sujud kepada Adam. Allah SWT berfirman: Allah berkata kepada Iblis, “Wahai Iblis, apa sebabnya engkau tidak turut bersama-sama mereka yang sujud itu?” Iblis menjawab, “Aku sekali-kali tidak akan sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering yang berasal dari lumpur hitam yang diberi bentuk.” (Surah al-Hijr, 15: 32-33)
Syaitan merupakan tentera Iblis yang sesat lagi menyesatkan. Bahkan ia adalah makhluk yang dilaknat oleh Allah SWT sehingga hari kiamat serta akan dihumban ke dalam jahanam bersama-sama para pengikutnya. Allah SWT menjelaskan: Allah berkata (kepada Iblis), “Keluarlah dari Syurga, kerana sesungguhnya engkau adalah terkutuk. Dan sesungguhnya laknat ke atas engkau tetap akan menimpa sehingga hari kiamat.” Iblis menjawab, “Ya Tuhan-ku, maka berilah tangguh kepadaku sehingga hari kebangkitan.” Allah berfirman, Maka engkau termasuk yang diberi tangguh sehingga ke suatu waktu yang telah ditentukan.” Iblis berkata, “Wahai Tuhanku, disebabkan Engkau telah memutuskan bahawa aku ini sesat, maka aku berjanji akan memperindahkan (segala bentuk kemungkaran) kepada Adam dan keturunannya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya kecuali hamba-hamba-Mu yang mukhlis (ikhlas) di antara mereka.” (Surah al-Hijr, 15: 34-39). Di ayat yang lain Allah SWT berkata kepada Iblis: “Pergilah! Kemudian sesiapa yang mengikuti engkau dari kalangan mereka, maka sesungguhnya neraka jahanamlah balasan untuk kamu semua sebagai balasan yang mencukupi. Desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu, dan kerahkanlah para pendukung kamu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka. Dan bersama-samalah dengan mereka dalam urusan harta dan anak-anak, dan berikanlah janji kepada mereka.” Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu-daya semata-mata. (Surah al-Isra’, 17: 63-64)

Demikian serba ringkas petikan penjelasan kesesatan syaitan dan janji mereka kepada Allah SWT untuk menyesatkan manusia ke lembah kesyirikan. Hanya mereka yang mukhlis (ikhlas) akan mendapat perlindungan dan jaminan Allah dari ancaman jerat-jerat syaitan. Selain syaitan dari kalangan jin secara hakiki, syaitan juga wujud dalam kalangan manusia dari sudut sifat. Iaitu sifat menghasut manusia kepada kejahatan dengan perkataan-perkataan indah yang memperdaya. Serta dengan cara mengada-adakan sesuatu (dalam agama) yang kelihatan indah supaya orang tertarik lalu menjadi sesat. Allah SWT berfirman: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi setiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan (dari jenis) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu manusia. Jika Tuhanmu menghendaki, nescaya mereka tidak mengerjakannya, maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan.” (Surah al-An’am, 6: 112)

Menepis Gangguan Syaitan
Sebagaimana disebutkan dalam banyak dalil al-Qur’an dan al-Hadis, syaitan tidak akan mampu mengancam umat manusia selagi mereka ikhlas dalam mengikuti dan menegakkan agama Allah. Pada hari ini, keikhlasan dalam beragama begitu sukar ditemui. Sehingga pada hari ini ada yang mengamalkan agama semata-mata kerana mahu meraih kerjaya, harta, kerana bertaqlid kepada tuan guru, demi parti politik, demi mendapat kedudukan, dan demi memperjuangkan aliran atau kelompoknya semata-mata.

Keduanya, syaitan tidak mampu menggugat orang-orang yang memiliki iman dan ketaqwaan yang teguh. Sebaliknya syaitan mudah menguasai orang-orang yang tidak menjaga diri dari kesyirikan serta suka mengikuti perangai dan jejak langkah syaitan. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya syaitan itu tidak memiliki sebarang kekuasaan terhadap orang-orang yang beriman dan bertaqwa kepada Tuhan mereka. Sesungguhnya kekuasaan syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikan ia pemimpin mereka, dan orang-orang yang melakukan kesyirikan kepada Allah dengan sebab hasutan mereka.” (Surah an-Nahl, 16: 99-100). Di antara contoh perangai dan jejak langkah syaitan yang disebutkan dalam al-Qur’an dan as-Sunnah adalah mendahulukan akal dari naqli, bersikap takbur, ujub, sombong, suka megeluarkan bunyi ketika menguap dan tidak menahannya (atau menutupnya), makan atau minum dengan tangan kiri, suka membazir, membuang masa, sengaja tidak menutup makanan, sengaja keluar ketika waktu senja, suka bersendirian, suka menimbulkan perselisihan, dan suka memecah-belahkan perpaduan umat Islam.

Ketiga, syaitan menjauhi orang yang sentiasa berzikir mengingati Allah SWT. Iaitu dengan zikir-zikir yang dianjurkan atau disyari’atkan oleh Allah SWT sama ada melalui Kitab-Nya atau sunnah Rasul-Nya SAW. Terdapat beberapa bentuk zikir yang disunnahkan dalam rangka menepis ancaman dan gangguan syaitan. Iaitu dengan membaca basmalah, isti’azah atau ta’awwudz (doa-doa memohon perlindungan kepada Allah), dan mengamalkan ayat-ayat atau surah-surah tertentu dari al-Qur’an sebagaimana anjuran as-sunnah. Allah SWT berfirman: “Dan jika engkau digoda dengan suatu godaan dari syaitan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh suatu bentuk was-was (godaan) dari syaitan, mereka pun ingat (kepada Allah) lalu dengan itu mereka melihat (jalan yang benar).” (al-A’raaf, 7: 200-201). Nabi SAW bersabda: “Apabila seorang lelaki masuk ke rumahnya lalu dia berzikir kepada Allah ketika dia masuk dan ketika dia makan, maka syaitan pun berkata (kepada kaumnya), “Tidak ada tempat bermalam dan tidak ada makan malam untuk kamu semua.” Apabila dia masuk tanpa berzikir kepada Allah ketika dia masuk, maka syaitan pun berkata, “Kamu semua akan mendapat tempat bermalam.” Apabila dia tidak berzikir ketika makan, maka syaitan pun berkata, “Kamu semua akan mendapat tempat bermalam berserta makan malam.” (Hadis Riwayat Muslim, 10/293, no. 6762)
Sebagai contoh, dijelaskan dalam hadis yang lain, di antara zikir (atau doa) ketika hendak makan adalah membaca basmalah, manakala setelah makan pula dengan mengucapkan hamdalah (pujian kepada Allah). Zikir di ketika hendak tidur pula antaranya dengan membaca ayat al-Kursi, atau surah al-Ikhlas dan al-Mu’awwidzatain (surah an-Naas dan al-Falaq).

Demikianlah Allah dan Rasul-Nya mengajarkan kepada kita bagaimana menepis ancaman dan mengusir gangguan syaitan yang terlaknat. Malah dalam beberapa hadis yang lain Nabi SAW turut menjelaskan kaedah tuntas mengusir atau menjauhkan syaitan dari menghuni rumah-rumah kita. Bukan dengan kenduri doa selamat, bukan dengan ritual “pagar rumah”, bukan dengan menabur air garam, bukan dengan meniup asap kemenyan, bukan dengan menggantung ayat-ayat al-Qur’an tertentu, bukan juga dengan majlis bacaan Yasin, apatah lagi dengan memasang tangkal-tangkal. Tetapi Nabi SAW bersabda: “Jangan jadikan rumah-rumah kamu seperti kuburan. Sesungguhnya syaitan itu melarikan diri dari rumah yang di dalamnya dibacakan Surah al-Baqarah.” (Hadis Riwayat Muslim, 4/182, no. 1300)

Selain itu, Nabi turut menjelaskan boleh juga dengan mengamalkan bacaan ayat al-Kursi di setiap waktu pagi dan petang, membaca dua ayat terakhir dari surah al-Baqarah, dan juga dengan memperbanyakkan membaca al-Qur’an di rumah secara umum di samping berusaha bersungguh-sungguh mengamalkannya. Perlu kita fahami bahawa syaitan tidak takut sedikitpun dengan al-Qur’an, tetapi syaitan amat takut dengan orang yang membaca dan mengamalkan al-Qur’an.

Syaitan menganggu manusia tidak hanya dengan cara membisikkan suatu keburukan atau keraguan di hati manusia, namun Syaitan lebih jauh telah berani dengan secara terang-terang mengganggu manusia. Syaitan telah pun berjanji dengan Allah bahawa ia akan mengganggu manusia dengan apa cara sekalipun dan sentiasa berusaha untuk menyesatkannya. Syaitan tidak akan melepaskan walau sesaat dan tidak pernah leka untuk melalaikan dan mengganggu kehidupan dan ketenteraman manusia.

Gangguan Fizikal - Syaitan berjalan pada aliran darah tubuh manusia, kadang ia berkerja dengan mempersempit atau menyumbat jalan darah. Ia mampu wujud nyata seperti menjadi daging atau lainnya. Tidak hairan bila sering kali seseorang yang sakit kepala bertahun-tahun sembuh setelah di-ruqyah, sampai barah ganas sembuh dengan izin Allah melalui ruqyah. Syaitan menyempitkan saraf atau menguasai saraf tertentu, hingga seorang lumpuh pada sebahagian anggota tubuh, bahkan boleh lumpuh seluruh badan. Banyak sudah yang meninggal dunia disebabkan gangguan jenis ini.

Gangguan Minda - Syaitan membisikkan segala sesuatu ke telinga seseorang, hingga membuatnya bingung dan kacau, atau kadang membisikkan ke dalam hati. Bila dibiarkan atau ditangani dengan cara yang salah, biasanya orang tersebut akan terganggu saraf otaknya, dan menjadikannya gila. Juga dengan mempengaruhi emosi seseorang, hingga terjadi kelainan emosional. Mudah lupa dan tidak fokus, sering disebabkan gangguan ini.

Gangguan Dalam Mimpi - Syaitan mampu masuk ke alam mimpi seseorang. Mengganggu manusia dengan cara menakut-nakuti, menampakkan kejadian keji, sadis dan mengerikan.
Gangguan Dalam Ibadah - Syaitan akan membuatkan kita lupa jumlah rakaat dalam solat, susah nak khusyu’, mudah buang angin atau buang air, ragu-ragu ketika bersuci, menguap saat zikir atau ibadah lainnya. Takut naik pesawat ketika hendak pergi haji, takut fakir bila hendak sedekah dan sebagainya.

Penjagaan Diri dari Gangguan Syaitan
1) Iman dan Tawakal - “Sesungguhnya (terhadap) hamba-hamba-Ku, engkau (Iblis) tidaklah dapat berkuasa atas mereka. Dan cukuplah Tuhanmu sebagai Penjaga”. (Al isra’:65).Ibnu Abbas berkata (tentang ayat ini): mereka adalah orang-orang mukmin. “Sungguh, Syaitan itu tidak akan berpengaruh terhadap orang yang beriman dan bertawakal kepada Tuhan”. (An Nahl: 99).
2) Menjahui Maksiat - “Sesungguhnya orang-orang yang berpaling di antara kamu ketika terjadi pertempuran antara dua pasukan itu, sesungguhnya mereka digelincirkan oleh Syaitan, disebabkan sebagian kesalahan (dosa) yang telah mereka perbuat (pada masa lalu)…”.(Ali Imran: 155).
3) Zuhud dan tidak terpedaya dunia - “ ahai manusia! Sungguh, janji Allah itu benar, maka janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu dan janganlah (Syaitan) yang pandai menipu, memperdayakan kamu terhadap Allah”. (Fathir:5).
4) Mohon Perlindungan Allah - “Dan jika Syaitan datang menggodamu, maka berlindunglah kepada Allah…”.(Al A’raf:200).
Semoga kita meminta perlindungan Allah SWT dan kita mengikhlaskan diri kita kepada Allah SWT semata-mata.

Setelah kita kenali secara ringkas siapa itu Syaitan, permusuhannya terhadap umat keturunan Adam, asas karektor dan sifatnya, serta kaedah asas dalam menangkis gangguannya, berikut disenaraikan pula beberapa bentuk contoh tips anjuran dalam menepis, menangkis, sekaligus membentengi kediaman serta diri kita dari gangguan Syaitan yang suka mengganggu. Memang demikianlah yang diperintahkan oleh Allah SWT, apabila kita mendapati diri kita diganggu oleh Syaitan, maka kepada-Nya-lah kita kembali dan memohon perlindungan. Allah SWT berfirman: “Dan jika engkau mendapati adanya suatu gangguan dari Syaitan, maka berta’awwudz-lah (mohonlah perlindungan) kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah Fushilat, 41: 36). Apa yang dimaksudkan dengan berta’awwudz kepada Allah (memohon perlindungan kepada Allah)? Maka Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah menjelaskan: “Bahawasanya orang-orang yang berlindung kepada Allah itu adalah orang-orang yang berlindung kepada-Nya, kembali kepadanya, dan memohon pertolongan kepada-Nya dari (gangguan) Syaitan. Ini kerana orang yang berlindung kepada selain dari-Nya maka dia termasuk orang yang berlindung kepada Syaitan. Maka apabila seorang hamba itu berlindung kepada Rabb-nya, maka dia adalah orang yang memohon perlindungan kepada-Nya dan bertawakkal kepada-Nya, maka dengan itu dia pun dilindungi oleh Allah dari Syaitan.” (Ibnu Taimiyah, Majmu’ al-Fatawa, 7/283)

Maka dari itu, berikut ini disenaraikan sebahagian dari tips-tips anjuran nabawi yang dimaksudkan sebagaimana yang terdapat dalam dalil-dalil al-Qur’an dan hadis-hadis yang sahih. Bukan rekaan, bukan prasangka, bukan memandai-mandai, bukan juga bikinan para bomoh, dukun, mahupun pawang.
1. Apabila Keluar Masuk Rumah- Nabi SAW bersabda: “Apabila seseorang (lelaki) keluar dari rumahnya, maka ucapkanlah:
بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
“Dengan nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah, dan tiada daya dan upaya melainkan kerana pertolongan Allah.”

Beliau bersabda lagi: “Maka pada ketika itu akan dikatakan kepadanya, “Kamu telah mendapat petunjuk, telah diberi kecukupan dan mendapat perlindungan.” Sehingga syaitan-syaitan menjauhkan diri daripadanya. Lalu syaitan yang lainnya berkata, “Bagaimana (engkau akan menggoda) seorang lelaki yang telah mendapat petunjuk, kecukupan, dan perlindungan?” (Sunan Abu Daud, no. 5095. Dinilai sahih oleh al-Albani)

2. Bacaan Ketika Masuk Rumah - Rasulullah SAW bersabda: “Jika seseorang (lelaki) masuk ke dalam rumahnya, hendaklah ia membaca:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَ الْمَوْلَجِ وَخَيْرَ الْمَخْرَجِ بِسْمِ اللَّهِ وَلَجْنَا وَبِسْمِ اللَّهِ خَرَجْنَا وَعَلَى اللَّهِ رَبِّنَا تَوَكَّلْنَا
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu tempat masuk yang baik dan tempat keluar yang baik. Dengan menyebut nama Allah, kami masuk (rumah) dan dengan menyebut nama Allah kami keluar.”
ثُمَّ لِيُسَلِّمْ عَلَى أَهْلِهِ
Setelah itu ucapkanlah salam kepada ahlinya (keluarganya).” (Sunan Abu Daud, no. 5096. Bab: Apa Yang Diucapkan Seseorang Ketika Masuk Ke Rumah. Dinilai sahih oleh al-Albani. Lihat: Taraju’at al-‘Allamah al-Albani fii at-Tashhih wa at-Tadh’if, no. 20)

3. Tidak Menggantung Gambar-gambar - Berkata Ibnu ‘Abbas RA: “Abu Talhah telah mengkhabarkan kepadaku, beliau yang merupakan seorang sahabat Rasulullah dan seorang sahabat yang pernah bersama-sama dalam peperangan badar memberitahu kepadaku bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar.” Yang dimaksudkan adalah gambar yang memiliki unsur ruh (gambar makhluk bernyawa).” (Shahih al-Bukhari, no. 4002) Kerana jika bukan malaikat pembawa rahmat yang masuk, maka Syaitanlah yang akan memasukinya. Bahkan Rasulullah ketika hayatnya, beliau SAW sendiri enggan memasuki rumah yang di dalamnya ada gambar makhluk bernyawa. ‘Aisyah RA pernah mengkhabarkan (kepada al-Qasim B. Muhammad): “Aku membeli sebuah bantal bergambar. Apabila Rasulullah melihatnya, beliau berdiri di pintu dan tidak terus masuk ke rumah. Aku menyedari air mukanya berubah kelihatan seperti ada sesuatu yang tidak disukainya.

Aku berkata, “Wahai Rasulullah, aku bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya SAW, (tolong beritahu aku) apa dosa-ku?” Rasulullah berkata, “Ada apa dengan bantal ini?” Aku menjawab, “Aku membelinya untuk engkau agar dapat duduk dan meletakkan kepala padanya.” Rasulullah SAW berkata, “Bahawasanya pembuat gambar ini akan di-azab pada hari kiamat, dikatakan kepada mereka, “Hidupkanlah apa yang telah kamu ciptakan.”.” Rasulullah menambah, “Rumah yang di dalamnya terdapat gambar (yang memiliki unsur ruh atau menyerupai makhluk bernyawa), malaikat tidak masuk ke dalamnya.”.” (Shahih al-Bukhari, no. 2105) Ibnu ‘Abbas RA menjelaskan: “Gambar (yang diharamkan) itu merujuk kepada kepala, jika dihilangkan kepalanya maka tidaklah dimaksudkan sebagai gambar (yang dilarang).” (Al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, no. 14580. Bab: Keringanan dalam Hal Berkaitan Gambar. Dinilai sahih oleh al-Albani)

4. Sunnah Berdzikir - Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang lelaki memasuki rumahnya lalu dia berzikir kepada Allah (menyebut nama Allah) ketika dia masuk dan ketika dia makan, maka syaitan pun berkata (kepada kaum kerabatnya): “Tidak ada tempat bermalam dan tidak ada makan malam untuk kamu semua.” Apabila dia masuk tanpa berzikir kepada Allah ketika dia masuk, maka syaitan pun berkata: “Kamu semua akan mendapat tempat bermalam.” Apabila dia tidak berzikir kepada Allah (menyebut nama Allah) ketika makan, maka syaitan pun berkata: “Kamu semua akan mendapat tempat bermalam berserta makan malam.”.” (Shahih Muslim, no. 2018. Abu Daud, no. 3765) Di antara dzikir-dzikir yang disunnahkan ketika memasuki rumah adalah dengan mengucapkan salam, membaca bismillah, dan juga sebagaimana hadis pada point no. 2 di atas. Manakala dzikir ketika hendak makan antaranya adalah dengan mengucapkan bismillah. Selain itu, dianjurkan agar mengamalkan dzikir-dzikir yang disunnahkan untuk dibaca di ketika waktu pagi dan waktu petang sebagaimana banyak dijelaskan dalam hadis-hadis Nabi yang sahih.

5. Membaca Surah al-Baqarah - Syaitan lari dari Rumah yang dibacakan Surah al-Baqarah di dalamnya. Rasulullah SAW bersabda: “Jangan jadikan rumah-rumah kamu seperti perkuburan. Sesungguhnya syaitan melarikan diri dari rumah yang di dalamnya dibacakan Surah al-Baqarah.” (Shahih Muslim, no. 780). Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap sesuatu memiliki puncak, dan puncak bagi al-Qur’an adalah Surah al-Baqarah. Sesungguhnya Syaitan apabila mendengar Surah al-Baqarah dibacakan, dia pun keluar dari rumah yang dibacakan dengannya Surah al-Baqarah.” (Al-Mustadrak al-Hakim, no. 2060. Dinilai sahih oleh al-Albani). Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menulis sebuah kitab sebelum Allah menciptakan langit dan bumi dua ribu tahun lamanya. Allah menurunkan dua ayat dari kitab tersebut yang dengannya Allah menutup surah al-Baqarah. Keduanya tidak dibaca di suatu rumah selama tiga malam melainkan syaitan mana pun tidak akan mendekatinya.” (Musnad Ahmad, no. 18414. Sunan at-Tirmidzi, no. 2882. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah al-Qur’an kerana sesungguhnya di hari kiamat nanti ia akan menjadi syafa’at kepada orang-orang yang mengikutinya (menjadi ahlinya). Bacalah al-Zahrawain (dua jenis bunga), iaitu surah al-Baqarah dan Surat Ali ‘Imran. Kerana keduanya akan datang pada hari Kiamat seakan-akan dua awan besar atau seperti dua kelompok besar dari burung-burung yang akan menjadi hujjah (pembela) orang-orang yang sentiasa membacanya. Kamu bacalah surah al-Baqarah, kerana mengambilnya adalah barakah, meninggalkannya adalah kerugian, dan al-Bathalah (ahli kebathilan) tidaklah dapat menguasainya.” Kata Mu’awiyah: Al-Bathalah (Ahli kebathilan) adalah tukang sihir.” (Musnad Ahmad, no. 22213. Shahih Muslim, no. 804) Selain itu, adalah disunnahkan memperbanyakkan bacaan al-Qur’an secara umum, mempelajarinya, memahaminya, sekaligus mengamalkannya. Bahkan ini adalah termasuk sebahagian dari kewajiban bagi setiap umat Islam agar mempelajari al-Qur’an dengan penuh semangat dan usaha yang gigih. Kerana dengan mempelajarinya, maka ia pun menguasai ilmu-ilmu yang penting sekaligus mampu memberinya petunjuk dan bimbingan dalam kehidupannya.

6. Mengamalkan Membaca 3 Qul (al-Mu’awwizat) - Rasulullah SAW pernah berkata kepada ‘Abdullah B. Khubaib: “Bacalah Qul Huwallahu Ahad (Surah al-Ikhlas) dan al-Mu’awwidzatain (Surah al-Falaq dan an-Naas) ketika kamu memasuki waktu petang dan pagi (subuh) sebanyak tiga kali, nescaya kamu akan dicukupkan dengan segala sesuatu.” (Sunan Abu Daud, no. 5082. at-Tirmidzi, no. 3575. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi) Kata Imam asy-Syaukani rahimahullah: “Dalam hadis ini terdapat dalil menunjukkan membaca surah-surah ini di waktu petang dan waktu pagi mampu memberi kecukupan kepada sesiapa yang membacanya dari segala sesuatu yang dia risaukan walau apapun bentuknya.” (Tuhfatu adz-Dzakirin, m/s. 93) ‘Uqbah B. ‘Aamir radhiyallahu ‘anhu berkata: “Ketika aku berjalan bersama Rasulullah SAW di antara al-Juhfah dan al-Abwa’, tiba-tiba angin sejuk bertiup dan gelap gelita menyelimuti kami. Maka Rasulullah pun mula berlindung dengan membaca Surah al-Falaq dan an-Naas. Lalu beliau berkata, “Wahai ‘Uqbah, berlindunglah dengan membaca keduanya, kerana tidak ada orang yang berlindung dengan sebuah perlindungan yang menyamai keduanya.” (Sunan Abu Daud, no. 1463. Dinilai sahih oleh al-Albani)

‘Aisyah RA berkata: “Bahawasanya Nabi SAW ketika mendatangi tempat tidurnya di setiap malam, beliau menggabungkan telapak tangannya kemudian menghembus (meniup) padanya lalu membaca padanya Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq, dan Surah an-Naas. Kemudian beliau mengusap dengan kedua telapak tangannya apa yang mampu dicapai olehnya dari tubuh beliau. Beliau memulakannya dari atas kepalanya, ke wajahnya, dan ke bahagian depan tubuhnya. Beliau melakukannya sebanyak tiga kali.” (Shahih al-Bukhari, no. 5017. Bab: Keutamaan al-Mu’awwizat) ‘Uqbah B. ‘Aamir RA berkata: “Rasulullah SAW memerintahkan aku supaya aku membaca al-Mu’awwidzatain (Surah al-Falaq & an-Naas) di akhir setiap solat.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 2903. Dinilai sahih oleh al-Albani) Kata Al-Hafiz Ibnu al-Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H): “Dan perkataan “duburi ash-sholah” (di akhir solat) boleh difahami sebagai sebelum atau selepas salam. Dan menurut guru kami (Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyah), beliau menguatkan pendapat yang maksudnya sebelum salam, maka itu yang tepat menurut beliau. “duburi kulli syaii’ minhu” (di akhir atau penghujung segala sesuatu darinya) seperti bila disebutkan “duburi al-haiwan” maka maksudnya hujung punggung haiwan (bukan merujuk sesuatu yang terpisah di belakang haiwan – pent.).” (Zaadul Ma’ad, 1/304)

Kata Ibnul Qayyim lagi di lembaran yang lain tentang hadis ini: “Dan pada hadis ini terdapat rahsia yang besar dalam menolak keburukan-keburukan dari sela antara satu solat ke solat berikutnya.” (Zaadul Ma’ad, 4/181) ‘Aisyah RA berkata: “Bahawasanya Rasulullah SAW apabila salah seorang dari ahli keluarganya sakit, beliau meniupkan ke atasnya dengan bacaan al-Mu’awwidzat (3 Qul). Tetapi ketika beliau sakit yang membawa kepada kewafatannya, akulah yang meniupkan padanya, aku mengusap beliau dengan tangan beliau sendiri kerana tangan beliau lebih besar barakahnya berbanding tanganku.” (Shahih Muslim, no. 2192). Kata Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 852H): “Dalam hadis ini terdapat anjuran untuk meruqyah (merawat) dengan menggunakan al-Qur’an dan dzikir-dzikir. Adapun ruqyah dengan bacaan al-Mu’awwidzat, itu adalah kerana di dalamnya menggabungkan permohonan perlindungan dari segala sesuatu yang dibenci sama ada secara umum atau pun terperinci. Di dalam al-Mu’awwidzat (3 Qul), ia mengandungi doa perlindungan dari kejahatan makhluk yang Allah ciptakan, maka segala sesuatu termasuk di dalamnya dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul (simpulan-simpulan tali), dari kejahatan para penyihir (tukang sihir), dari kejahatan para pendengki, dan dari kejahatan bisikan was-was Syaitan al-Khannas (yang bersembunyi).” (Syarah Shahih Muslim, 14/183)

7. Mengamalkan Membaca Ayat al-Kursi - Abu Hurairah RA berkata: “Rasulullah SAW memberi kepercayaan kepada aku untuk menjaga zakat Ramadhan. Lalu ada seseorang yang datang dan mencuri makanan. Aku pun menangkapnya dan berkata: “Demi Allah, aku benar-benar akan mengangkat perbuatan (kes) engkau kepada Rasulullah SAW.” Ia pun berkata: “Sesungguhnya aku adalah orang yang memerlukan, aku menanggung nafkah keluargaku, dan aku benar-benar memerlukan.” Abu Hurairah berkata, aku pun melepaskannya. Ketika aku bangun pagi (Subuh), Nabi SAW bertanya: “Wahai Abu Hurairah, apakah yang dilakukan oleh orang yang engkau tangkap semalam?” Aku pun menjawab: “Wahai Rasulullah, ia mengeluh (mengadu) yang ia sangat memerlukan, demikian juga keluarganya, dan aku pun mengasihaninya lalu melepaskannya.” Beliau SAW berkata: “Ketahuilah bahawa ia telah membohongi engkau dan ia akan kembali lagi.” Aku pun yakin ia akan datang kembali kerana Rasulullah SAW telah mengatakannya. Aku mengintainya, lalu aku dapati ia datang lagi dan mencuri makanan. Aku pun menangkapnya dan berkata: “Demi Allah, aku benar-benar akan mengangkat perbuatan engkau ini kepada Rasulullah SAW.” Lalu ia pun berkata: Lepaskanlah aku, sesungguhnya aku adalah orang yang memerlukan, dan aku menanggung nafkah keluargaku. Aku tidak akan kembali lagi.” Aku pun mengasihaninya lalu melepaskannya. Ketika aku bangun pagi, Rasulullah SAW bertanya kepadaku: “Wahai Abu Hurairah, apakah yang telah dilakukan oleh orang yang engkau tangkap semalam?” Aku pun menjawab: “Wahai Rasulullah, ia mengeluh (mengadu) yang ia sangat memerlukan, demikian juga keluarganya, dan aku pun mengasihaninya lalu melepaskannya.” Beliau SAW berkata: “Ketahuilah bahawa ia telah membohongi engkau dan ia akan kembali lagi.” Aku pun mengintainya untuk kali ketiganya, lalu ia pun datang lagi dan mencuri makanan. Aku pun menangkapnya dan berkata: “Demi Allah, aku benar-benar akan mengangkat (mengadukan) perbuatan engkau ini kepada Rasulullah SAW. Ini adalah kali yang terakhir dan yang ketiga kalinya engkau mengaku tidak akan kembali tetapi engkau kembali lagi.” Ia pun berkata: “Lepaskanlah aku, aku akan mengajarkan engkau beberapa kalimat (perkataan) yang dengannya Allah akan berikan manfaat kepada engkau.” Aku berkata: “Perkataan apakah itu?” Ia pun berkata: “Apabila engkau mendatangi tempat tidurmu, maka bacalah ayat al-Kursi: “للَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ” (Surah al-Baqarah ayat 255) sampai habis ayat tersebut. Kerana sesungguhnya ada satu Malaikat dari sisi Allah yang akan menjaga engkau, dan engkau tidak akan dihampiri oleh Syaitan sampailah engkau memasuki waktu pagi.” Lalu aku pun melepaskannya. Ketika aku bangun pagi, Rasulullah SAW pun bertanya kepadaku: “Wahai Abu Hurairah, apakah yang telah dilakukan oleh orang telah engkau tangkap semalam?” Aku pun menjawab: “Wahai Rasulullah, ia mengaku sesungguhnya ia mengajari aku suatu kalimat yang dengannya Allah akan memberi manfaat kepada aku, maka aku pun membebaskannya.” Rasulullah bertanya: “Kalimat apakah itu?” Aku jawab: “Ia berkata kepadaku, “Apabila engkau mendatangi tempat tidurmu, maka bacalah ayat al-Kursi: “اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ” (Surah al-Baqarah ayat 255) dari awal sampai habis ayat tersebut.” Dan ia juga berkata kepadaku, “Malaikat dari sisi Allah akan menjaga engkau dan Syaitan tidak akan menghampiri engkau sampai memasuki waktu pagi subuh.” Nabi SAW pun berkata: “Ketahuilah sesungguhnya ia telah berkata benar walaupun hakikatnya ia adalah pendusta. Adakah engkau tahu siapakah yang engkau berbicara dengannya semenjak tiga malam yang lalu itu wahai Abu Hurairah?” Abu Haurairah menjawab: “Tidak.” Beliau SAW pun berkata: “Itu adalah Syaitan.” (Shahih al-Bukhari, no. 2311, 3275, 5010)
Dalam riwayat yang lain, situasi yang hampir serupa berlaku ke atas Ubay B. Ka’ab RA. Beliau diganggu oleh jin yang mahu mendapatkan sebahagian dari makanan miliknya. Beliau bertanya kepada jin tersebut: “Apakah yang boleh menyelamatkan kami dari (gangguan) kamu?” Jin tersebut pun berkata: “Ayat ini (al-Kursi) yang mana terdapat dalam Surah al-Baqarah (Allaahu laa ilaaha illaa huwal hayyul qayyum…), sesiapa yang membacanya ketika memasuki waktu petang (senja) maka dia akan dijauhkan dari kami sehingga masuknya waktu pagi subuh dan sesiapa yang membacanya ketika memasuki waktu subuh maka dia akan dijauhkan dari kami sehingga masuknya waktu petang (senja).” Maka keesokkan pagi subuh harinya, Ubay B. Ka’ab pun menemui Rasulullah SAW lalu menceritakan apa yang berlaku tersebut. Maka Rasulullah pun berkata: “Si jijik (jin) itu telah berkata benar.” (ath-Thabrani, al-Mu’jam al-Kabir, no. 541. Kata al-Albani, hadis ini diriwayatkan oleh an-Nasaa’i dan ath-Thabrani dengan isnad yang jayyid, dan lafaz ini miliknya. Demikian juga kata al-Hatsami, para perawinya tsiqah)

8. Membaca Tahlil Berikut - Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengucapkan:
لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Tiada yang berhak diibadahi dengan benar melainkan Allah satu-satu-Nya dan tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya segala kerajaan dan bagi-Nya segala pujian, dan dia menguasai segala segala sesuatu.” Sebanyak 100 kali dalam sehari, maka ucapan tersebut menyamai (pahala) membebaskan sepuluh hamba, akan ditulis baginya seratus kebaikan, dihapuskan baginya seratus keburukan, dan ia menjadi pelindung baginya dari Syaitan pada hari tersebut sehinggalah memasuki waktu petang (senja). Dan tidaklah ada yang lebih afdhal dari yang dibawanya melainkan seseorang yang mengamalkan lebih banyak lagi dari yang demikian.” (Shahih al-Bukhari, no. 3293, 6403. Muslim, no. 2691)

9. Sujud Tilawah - Rasulullah SAW bersabda: “Apabila anak Adam membaca ayat sajadah lalu dia bersujud, maka Syaitan pun menjauhkan diri. Syaitan berkata: “Celakalah aku, anak Adam diperintahkan supaya bersujud maka mereka pun bersujud sehingga baginya Jannah (Syurga). Manakala aku diperintahkan bersujud tetapi aku membangkang, maka berhak bagiku Neraka.”.” (Shahih Muslim, no. 81). Bacaan sujud tilawah:
اللَّهُمَّ اكْتُبْ لِي بِهَا عِنْدَكَ أَجْرًا، وَضَعْ عَنِّي بِهَا وِزْرًا، وَاجْعَلْهَا لِي عِنْدَكَ ذُخْرًا، وَتَقَبَّلْهَا مِنِّي كَمَا تَقَبَّلْتَهَا مِنْ عَبْدِكَ دَاوُدَ
“Ya Allah, tuliskanlah pahala untukku dengannya di sisi Engkau. Hapuskanlah dariku dengannya dosa-dosaku. Jadikanlah ia simpanan bagiku di sisi Engkau. Dan terimalah ia dariku sebagaimana Engkau telah menerimanya dari hamba-Mu Daud.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 579, 3424. Dinilai hasan oleh al-Albani) atau:
سَجَدَ وَجْهِي لِلَّذِي خَلَقَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ بِحَوْلِهِ وَقُوَّتِهِ
“Bersujud wajahku kepada yang telah menciptakannya dan yang memberi pendengaran serta penglihatan padanya dengan daya dan kekuatan-Nya.” (Sunan at-Tirmidzi, no.580. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi dan al-Albani)

10. Tidak Melatah Mencerca Syaitan, Sebaliknya Ucaplah Bismillah - Daripada Abu al-Malih, daripada seorang sahabat Nabi, beliau berkata: “Aku pernah sama-sama menaiki haiwan tunggangan dengan Nabi SAW, tiba-tiba haiwan tunggangan tersebut terpeleset. Aku pun mengucapkan: “Celaka Syaitan.” Maka Nabi pun seraya berkata: “Jangan engkau katakan celaka Syaitan. Kerana apabila engkau mengatakan seperti itu, Syaitan pun semakin besar sehingga seperti besarnya rumah, dan Syaitan pun akan berkata, “Dengan kekuatanku (ini terjadi).” Sebaliknya hendaklah engkau ucapkan: “Bismillah.” Kerana apabila engkau mengucapkan bismillah, maka Syaitan akan mengecil sehingga menjadi seperti sekecil lalat.” (Sunan Abu Daud, no. 4982. Dinilai sahih oleh al-Albani) Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kalian memaki Syaitan, tetapi berta’awwudz-lah (pohonlah perlindungan) kepada Allah dari kejahatannya.” (Al-Albani, Silsilah al-Ahaadits ash-Shahihah, no. 2422)

11. Mengingat Allah Dan Berlindung Dengannya Ketika Bersetubuh - Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya salah seorang di antara kamu apabila mendatangi ahlinya (isterinya), ucapkanlah: “Bismillah, Allahumma jannibnasy Syaithaan, wa jannibisy Syaithaana ma rozaqtana.” (Dengan nama Allah, ya Allah jauhkanlah kami dari Syaitan, dan jauhkanlah Syaitan dari apa yang Engkau rezekikan kepada kami). Jika hasil hubungan mereka berdua dikurniakan anak, maka Syaitan tidak akan dapat memudharatkannya.” (Shahih al-Bukhari, no. 141. Bab: Mengucapkan Bismillah Dalam Setiap Keadaan)

12. Mengucapkan Bismillah Ketika Memasuki Tandas - Rasulullah SAW bersabda: “Penghadang di antara mata-mata jin terhadap aurat anak-anak Adam apabila salah seorang dari mereka memasuki tandas adalah dengan mengucapkan: “Bismillah.”.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 606. Dinilai sahih oleh al-Albani)

13. Bangun Awal Pagi, Solat Subuh - Rasulullah SAW bersabda: “Syaitan mengikatkan dengan tiga ikatan ke atas tengkuk kepala salah seorang dari kalian apabila kalian tidur. Syaitan memperketatkan setiap ikatan ke atas kalian sambil mengatakan, “Malam masih panjang, maka tidurlah lagi.” Tetapi apabila orang itu bangun lalu mengingat Allah (berdzikir), maka terlepaslah satu ikatan. Apabila dia berwudhu’, terlepaslah satu lagi ikatan. Apabila ia menunaikan solat, maka terlepaslah satu ikatan lagi, sehinggalah dia pun menjadi cergas lagi aktif dan jiwanya pun menjadi baik. Tetapi apabila dia tidak melakukannya, jiwanya pun menjadi buruk lagi bersifat pemalas.” (Shahih al-Bukhari, no. 1142, 3269)

Di antara dzikir yang dimaksudkan dan disunnahkan sebaik bangun tidur adalah sebagaimana terdapat dalam hadis ini (daripada Hudzaifah B. Al-Yaman RA): “Bahawasanya Nabi SAW apabila hendak tidur, beliau pun mengucapkan: “Dengan nama Engkau Ya Allah, aku mati dan aku hidup.” Dan apabila beliau bangun dari tidurnya, beliau mengucapkan: “Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami setelah Dia mematikan kami dan kepadanyalah kami dikembalikan.” (Shahih al-Bukhari, no. 6312. Bab: Apa yang diucapkan ketika bangun subuh) Dalam hadis yang lain, daripada ‘Abdullah (B. Mas’oud) RA, kata beliau: “Diberitahukan di sisi Nabi SAW tentang seorang lelaki, dikatakan: “Ia berterusan tidur sampai masuk waktu Subuh, ia tidak bangun menuju solat.” Maka Nabi pun bersabda, “Syaitan telah kencing pada telinganya.”.” (Shahih al-Bukhari, no. 1144. Bab: Apabila tidur dan tidak solat, Syaitan pun mengencingi telinganya) Imam Badru ad-Diin al-‘Aini rahimahullah menjelaskan: “(Kencing di telingan, bukan di mata) Adalah merupakan isyarat yang menunjukkan nyeyaknya tidur, kerana deria pendengaran adalah sumber kewaspadaan. Manakala penyebutan kata kencing secara khusus dari kedua kotoran, adalah kerana kencing lebih mudah memasuki lubang-lubang dan lebih cepat mengalir di urat-urat sehinggalah menjadi sebab rasa malas di seluruh organ tubuh.” (‘Umdatul Qari, 11/315)

14. Memasuki Masjid Sambil Berta’awwudz - Hayyah B. Syuraih berkata, “Aku bertemu dengan Uqbah B. Muslim dan aku berkata kepadanya, telah sampai khabar kepadaku bahawa engkau menyampaikan hadis daripada ‘Abdullah B. Amr B. Al-‘Ash RA daripada Nabi SAW, bahawa apabila beliau memasuki masjid, beliau membaca: “Aku berlindung kepada Allah yang Maha Agung, dengan wajah-Nya yang Mulia, dan yang Memiliki Kuasa yang kekal dari Syaitan yang terkutuk.” Uqbah bertanya, “Itu sahaja?” Aku katakan, “Ya, itu sahaja.” Uqbah pun mengatakan, “Apabila mengucapkan yang demikian itu, maka Syaitan pun akan berkata, “Orang itu akan terpelihara (dijaga) dari godaan (ajakan)-ku sepanjang hari.”.” (Sunan Abu Daud, no. 466. Dinilai sahih oleh al-Albani)

15. Mengawal Marah - Sulaiman B. Shurad RA berkata: “Ketika kami sedang duduk, ada dua lelaki yang saling mencela berdekatan dengan Nabi SAW. Salah seorang dari mereka mencela temannya dalam keadaan marah merah padam di wajahnya. Maka Nabi pun bersabda: “Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimat yang seandainya apabila mereka mengucapkannya, maka kemarahannya pun akan pergi (hilang). Iaitu apabila dia mengucapkan:
أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ
“Aku berlindung kepada Allah dari Syaitan yang terkutuk.” Maka amarahnya pun akan pergi (hilang).” (Shahih al-Bukhari, no. 3282. Bab Sifat Iblis dan Para Tenteranya) Nabi SAW bersabda: “Apabila seseorang marah lalu mengucapkan: “A’udzubillah (aku berlindung kepada Allah).” Nescaya amarahnya pun merosot.” (al-Albani, Silsilah al-Ahadits ash-Shahihah, no. 1376) Para ulama menjelaskan bahawa marah yang bukan kerana Allah dan tanpa hak yang benar, maka itu datangnya adalah dari Syaitan. Oleh sebab itulah kita disunnahkan agar memohon perlindungan (berta’awwudz) kepada Allah apabila mendapati diri kita sedang marah.
16. Segera Berta’awwudz Apabila Rasa Diganggu Syaitan - Allah SWT berfirman: “Dan jika engkau mendapati adanya suatu gangguan dari Syaitan, maka berta’awwudz-lah (mohonlah perlindungan) kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-A’raaf, 7: 200) Di ayat setelahnya:
إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَوْا إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُوا فَإِذَا هُمْ مُبْصِرُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa apabila mereka disentuh was-was dari Syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya.” (Surah al-A’raaf, 7: 201) Allah SWT berfirman: “Dan jika engkau mendapati adanya suatu gangguan dari Syaitan, maka berta’awwudz-lah (mohonlah perlindungan) kepada Allah. Sesungguhnya Allah, Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah Fushilat, 41: 36) Allah SWT berfirman: “Dan katakanlah: “Wahai Rabb-ku, aku berlindung kepada Engkau dari bisikan Syaitan-syaitan, dan aku berlindung kepada engkau dari kedatangan mereka kepadaku.” (Surah al-Mukminuun, 23: 97-98)

Rasulullah SAW bersabda: “Sesugguhnya Syaitan mendatangi salah seorang dari kalian lalu ia mengatakan: “Siapa yang menciptakan ini? Siapakah yang telah menciptakan itu?” Sehinggalah kemudian ia pun mengatakan: “Siapa pula yang menciptakan Rabb-mu?” Apabila sampai berlaku seperti ini, maka hendaklah dia berta’awwudz (memohon perlindungan) kepada Allah lalu berhenti darinya (segera berhenti melayaninya).” (Shahih al-Bukhari, no. 3276) Dalam hadis yang lain, apabila mengalami situasi (atau gangguan) seperti itu, maka ucapkanlah:
آمَنْتُ بِاللهِ وَرُسُلِهِ
“Aku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.” Kerana dengan cara (ucapan) tersebut, ia pun akan pergi. (Musnad Ahmad, no. 26203. Dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arnauth) Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda: “Maka apabila mereka mengucapkan yang demikian (berbantah-bantah sehingga keluar pertanyaan siapa yang menciptakan Allah – rujuk hadis Sunan Abu Daud, no. 4721), maka katakanlah (bacalah Surah al-Ikhlas), “Dia-lah Allah, Yang Maha Esa, Allah yang kepada-Nya bergantung segala sesuatu. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada sesuatu pun yang setara dengan-Nya.” Kemudian hendaklah ia meludah ke arah kirinya sebanyak tiga kali, dan berta’awwudz (memohon perlindungan) kepada Allah dari gangguan Syaitan.” (Sunan Abu Daud, no. 4722. Dinilai hasan oleh al-Albani)

17. Apabila Gelisah Semasa Tidur - Rasulullah SAW bersabda, “Apabila salah seorang di antara kamu merasa gelisah ketika tidur maka ucapkanlah: “Aku berlindung dengan kalimat-kalimat (ayat-ayat) Allah yang sempurna dari murka-Nya, siksaan-Nya, kejahatan-kejahatan para hamba-Nya, dari bisikan-bisikan Syaitan, dan dari kedatangan mereka kepadaku.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 3528. Dinilai hasan oleh al-Albani) Kata Imam Abu ‘Amr Yusuf Ibnu ‘Abdil Bar rahimahullah (Wafat: 463H): “Dalam hadis ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa kalam Allah ‘Azza wa Jalla bukan makhluk kerana tidaklah boleh memohon perlindungan dengan makhluk.” (Ibnu ‘abdil Bar, at-Tamhid lima fi Muwaththa’ min al-Ma’ani wal Asanid, 24/110)

Daripada Jabir, beliau berkata: “Bahawasanya seorang ‘Arab Badwi datang kepada Rasulullah lalu berkata, “Wahai Rasulullah, aku bermimpi dalam tidurku kepalaku dipenggal lalu aku mengikutinya.” Rasulullah pun memberi peringatan kepadanya, “Janganlah engkau mengkhabarkan kepada orang tentang permainan Syaitan dalam tidurmu.” (Shahih Muslim, no. 2268) Mimpi buruk ketika tidur adalah termasuk permainan Syaitan, maka dianjurkan agar kita memohon perlindungan kepada Allah SWT apabila menyedari ia terjadi. Dan disunnahkan agar kita tidak menceritakannya kepada orang lain tentang apa yang berlaku dari mimpi-mimpi yang buruk tersebut.

18. Berlindung Dari Syaitan, Haiwan Berbisa, dan Pandangan Jahat - ‘Abdullah B. ‘Abbas RA berkata: “Dahulu Nabi SAW pernah membacakan ta’awwudz untuk al-Hasan dan al-Husain. Beliau mengatakan: “Sesungguhnya dahulu ayah kamu berdua (Nabi Ibrahim) memohon perlidungan (kepada Allah) dengan doa tersebut untuk Isma’il dan Ishaq: “Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna, dari setiap (gangguan) Syaitan, gangguan binatang berbisa, dan dari setiap mata yang jahat.” (Shahih al-Bukhari, no. 3371)
Manakala dalam riwayat Abu Daud, lafaznya adalah: “Aku memohonkan perlindungan untuk kamu berdua dengan kalimat-kalimat (ayat-ayat) Allah yang sempurna dari setiap Syaitan, dari binatang berbisa, dan dari setiap pandangan mata yang jahat.” (Sunan Abu Daud, no. 4737. Dinilai sahih oleh al-Albani) Kata Imam Abu Daud rahimahullah: “Ini adalah dalil bahawa al-Qur’an bukanlah makhluk.” (Sunan Abu Daud, 4/235)

19. Dzikir Pagi & Petang - Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata, “Abu Bakar ash-Shiddiq radhiyallahu ‘anhu bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, perintahlah aku agar mengucapkan sesuatu kalimat (dzikir) ketika aku memasuki waktu pagi dan waktu petang (senja).” Maka Rasulullah pun berkata, “Ucapkanlah:
اللَّهُمَّ فَاطِرَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، رَبَّ كُلِّ شَيْءٍ وَمَلِيكَهُ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ نَفْسِي، وَشَرِّ الشَّيْطَانِ وَشِرْكِهِ
“Ya Allah, Yang menciptakan langit dan bumi, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nampak, Rabb segala sesuatu dan yang memilikinya, aku mengaku bahawa tiada ilah yang berhak diibadahi melainkan Engkau, aku berlindung kepada Engkau dari keburukan jiwa, dan dari kejahatan Syaitan dan sekutunya.” Kata Rasulullah, “Ucapkanlah ia ketika kamu memasuki waktu pagi (subuh), dan ketika memasuki waktu petang (senja), dan apabila engkau hendak masuk tidur.”.” (Sunan Abu Daud, no. 5067. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa dari kalangan hamba Allah yang di waktu subuhnya dan waktu petangnya (senja) membaca dzikir ini sebanyak tiga kali:
بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ العَلِيمُ
“Dengan nama Allah yang tiada sesuatu pun membahayakan bersama namanya sama ada di langit mahupun di bumi, dan Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” Maka tidaklah sesuatu pun membahayakannya. (Sunan at-Timidzi, no. 3388. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi) Manakala dalam riwayat Abu Daud, “(Sesiapa yang membacanya sebagaimana tersebut)… Maka tidaklah ia ditimpa bala bencana sehingga memasuki waktu Subuh, dan sesiapa yang membacanya sebanyak tiga kali ketika tiba waktu Subuh, maka tidaklah ia ditimpa bala bencana sehingga memasuki waktu petang (senja).” (Sunan Abu Daud, no. 5088. Dinilai sahih oleh al-Albani)

20. Berdoa dan Bertubat Kepada Allah - Rasulullah apabila beliau hendak masuk tidur di malam hari, beliau pun berkata (berdoa dengan doa):
بِسْمِ اللَّهِ وَضَعْتُ جَنْبِي اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي، وَأَخْسِئْ شَيْطَانِي، وَفُكَّ رِهَانِي، وَاجْعَلْنِي فِي النَّدِيِّ الْأَعْلَى
“Dengan nama Allah aku letakkan rusukku. Ya Allah, ampunkanlah aku dari dosa-dosaku, tundukkanlah Syaitanku, selamatkan diriku, dan jadikanlah aku termasuk dalam golongan tertinggi.” (Sunan Abu Daud, no. 5054. Dinilai sahih oleh al-Albani) Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Syaitan berkata, “Demi kemuliaan Engkau wahai Rabb, aku akan terus menyesatkan para hamba-Mu selagi ruh-ruh mereka masih berada di dalam jasad mereka.” Maka Allah menjawab: “Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, Aku akan terus memberikan keampunan kepada mereka selagi mana mereka terus memohon keampunan kepada Aku.” (Musnad Ahmad, no. 11237. Dinilai hasan oleh al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)

21. Berkata Dengan Kata-kata Yang Baik - Allah SWT berfirman: “Dan katakanlah kepada para hamba-Ku: “Hendaklah kamu ucapkan perkataan yang baik-baik.” Sesungguhnya Syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.” (Surah al-Isra’, 17: 53) Kata al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah: “Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW dan para hamba-Nya yang beriman supaya berkata ketika berucap dan berdialog hendaklah dengan perkataan yang indah dan paling baik. Kerana apabila mereka tidak melakukan yang demikian, Syaitan pun akan menimbulkan perselisihan di antara mereka dan menjadilah perkataan kepada tindakan, lalu ia pun menyebabkan keburukan, konflik, dan pertengkaran. Kerana sesungguhya Syaitan adalah musuh kepada Adam dan seluruh keturunannya semenjak ia menolak untuk sujud kepada Adam. Permusuhan Syaitan itu sangat nyata dan jelas.” (Tafsir Ibnu Katsir, 5/86-87)

Dari sini dapat kita fahami bahawa Syaitan itu mampu menyesatkan dan menimbulkan perselisihan sesama manusia melalui perkataan yang tidak baik lagi kasar yang mereka ucapkan di antara sesama mereka. Melalui perkataan-perkataan buruk dan kasar yang diucapkan, Syaitan pun akan memanfaatkannya untuk menimbulkan perselisihan, permusuhan, kebencian, dendam, dan pertelingkahan. Sebaliknya dengan perkataan yang baik-baik, yang benar, indah, lagi yang memiliki hikmah, maka ia akan mampu menutupi ruang-ruang syaitan. Ia lebih mampu menjaga persaudaraan, kasih-sayang, rasa cinta, dan lebih disukai oleh Allah SWT. Dan sekiranya tidak mampu berkata dengan kata-kata yang baik, maka diam itu lebih baik dari membuka pintu-pintu untuk Syaitan.

Sebagaimana dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhir (Kiamat), hendaklah ia berkata yang baik-baik atau hendaklah ia diam.” (Shahih al-Bukhari, no. 6135) Bahkan Allah Ta’ala menunjukkan dalam ayat-Nya yang lain bahawa permusuhan dan kejahatan itu sendiri sekiranya ditangani dengan perbuatan dan perkataan yang baik, nescaya ia mampu mengubah orang-orang yang asalnya memusuhi menjadi teman-teman yang akrab. Firman Allah SWT: “Dan tidaklah sama kebaikan dengan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka apabila orang-orang yang di antara kamu dan dia yang ada permusuhan pun seolah-olah telah menjadi teman yang sangat akrab.” (Surah Fushilat, 41: 34) Maka akan menjadi lemahlah para Syaitan itu.

22. Mengikuti Jalan Yang Lurus - Allah SWT berfirman: “Iblis menjawab: “Oleh kerana Engkau telah menghukum aku sesat, maka aku benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian aku akan mendatangi mereka dari depan mereka, dari belakang mereka, dari kanan mereka, dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).” (Surah al-A’raaf, 7: 16-17) Jabir B. ‘Abdillah RA berkata: “Dahulu kami pernah duduk-duduk di sisi Nabi SAW lalu beliau membuat suatu garisan (lurus) seperti garisan ini di hadapannya. Lalu beliau bersabda: “Ini adalah jalan Allah ‘Azza wa Jalla.” Kemudian beliau membuat garis di sebelah kanannya dan membuat garis di sebelah kirinya lalu bersabda lagi: “Ini adalah jalan-jalan Syaitan.” Kemudian beliau meletakkan tangannya di garisan yang tengah sambil membaca ayat ini:
وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan yang lain itu memecah-belahkan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” (Surah al-An’aam, 6: 153).” (Al-Albani, Dzilal al-Jannah, no. 16. Musnad Ahmad, no. 15277. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Kata Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah: “Apabila seseorang meneliti dengan pertimbangan yang benar, iaitu yang mengharapkan pertemuan dengan Allah, mereka meneliti perumpaman ini dan meneliti seluruh kelompok-kelompok dari kalangan al-khawarij, kemudian mu’tazilah, kemudian jahmiyah, dan orang-orang dari kalangan mereka yang lebih dekat ke arah sunnah dari kalangan ahli kalam seperti al-karamiyah, al-kullabiyah, al-asy’ariyah, dan selain mereka, bahawasanya setiap dari mereka memiliki jalan yang menyimpang keluar dari jalan yang ditempuh oleh para sahabat dan para ahli hadis, dan mereka menganggap bahawa jalan mereka adalah jalan yang paling benar. Maka dengan itu akan kita dapati bahawa sebenarnya merekalah yang dimaksudkan dalam permisalan garisan (di kanan dan kiri) yang telah dibuat oleh al-Ma’shum SAW, yang mana beliau tidaklah berbicara menuruti hawa nafsu, yang tiada lain melainkan wahyu yang diwahyukan kepadanya.” (Ibnu Taimiyah, Majmu’ al-Fatawa, 4/57)

23. Mengucapkan Salam - Anas B. Malik RA berkata, “Rasulullah SAW berkata kepadaku: “Wahai anakku, apabila engkau masuk kepada (rumah) keluargamu, maka ucapkanlah salam, nescaya ia akan menjadi barakah ke atas engkau dan ke atas ahli rumahmu.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 2698. Dinilai hasan oleh at-Tirmidzi dan sahih oleh al-Albani) Rasulullah SAW bersabda: “Dan seorang lelaki yang memasuki rumahnya dengan ucapan salam, maka dia mendapat jaminan (jagaan) Allah ‘Azza wa Jalla.” (Sunan Abu Daud, no. 2494. Dinilai sahih oleh al-Albani)

24. Menjauhi Nyanyian, Alat-alat Muzik, dan Loceng - ‘Aisyah RA berkata: “Abu Bakar masuk ke dalam rumahku dan di sisiku ketika itu adalah dua orang hamba kanak-kanak wanita dari kalangan Anshar, mereka berdua sedang mengalunkan (menyanyikan) sya’ir yang kebiasaannya diucapkan oleh kaum Anshar ketika perang Bu’ats.” ‘Aisyah berkata, “Dan mereka berdua bukan dari kalangan penyanyi.” Maka berkatalah Abu Bakr (ketika melihatnya), “Kenapa seruling syaitan dimainkan di rumah Rasulullah SAW?” Dan ketika itu adalah hari ‘Ied (hari raya). Maka Rasulullah SAW pun berkata, “Wahai Abu Bakr, sesungguhnya setiap kaum memiliki hari raya, dan ini adalah hari raya kita.” (Shahih Muslim, no. 892. Bab: Keringanan Bermain Permainan Yang Bukan Maksiat Pada Hari ‘Ied) Abu Thayyib ath-Thabari berkata: “Hadis tersebut (iaitu hadits ‘Aisyah di atas) merupakan hujjah bagi kami. Ini adalah kerana disebabkan Abu Bakar menamakannya sebagai seruling syaitan, dan perkataan ini tidak diingkari oleh Nabi SAW. Dan beliau hanya melarang Abu Bakar supaya tidak bersikap keras (berlebihan) dalam mengingkarinya atas sifat lemah-lembut Nabi terhadap mereka, terutama pada hari ‘Ied. Apatah lagi ‘Aisyah RA masih kecil (kanak-kanak) pada ketika itu. Dan tidaklah dinukil sebarang kisah (berkaitan) daripadanya setelah ia baligh dan dewasa melainkan celaannya terhadap nyanyian. Sepupu beliau yang bernama al-Qaasim B. Muhammad mencela nyanyian dan melarang untuk mendengarnya. Dan al-Qasim telah mengambil ilmu daripada ‘Aisyah.” (Rujuk: Ibnul Jauzi, Talbis Iblis, m/s. 212) Rasulullah SAW bersabda: “Loceng adalah seruling-seruling Syaitan.” (Shahih Muslim, no. 2114) Nabi SAW bersabda: “Para Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada loceng di dalamnya.” (Sunan Abu Daud, no. 4231. Dinilai hasan oleh al-Albani)

25. Ketika Anak Dilahirkan - Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada bayi yang dilahirkan melainkan Syaitan menyentuhnya sebaik dia dilahirkan, lalu bayi tersebut menangis akibat tersentak oleh sentuhan Syaitan terhadapnya kecuali Maryam dan anaknya (‘Isa ‘alaihis Salam). “Dan sesungguhnya aku memohon perlindungan (kepda Allah) untuknya serta untuk zuriat keturunannya dari gangguan Syaitan terkutuk.” (Shahih al-Bukhari, no. 4548)

26. Ketika Solat - Abu al-‘Alaa’ berkata: “Bahawasanya ‘Utsman B. Abi al-‘Aash datang kepada Nabi SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Syaitan telah membuat kacau antara aku dengan solatku, dan bacaanku menjadi tidak keruan kerananya.” Maka Rasulullah SAW pun berkata: “Itu adalah kerja Syaitan yang disebut sebagai Khonzab. Maka apabila terasa gangguannya, hendaklah engkau berta’awwudz (berlindung) kepada Allah dari gangguannya, dan meludah ke sebelah kiri engkau tiga kali.” ‘Utsman berkata, “Maka aku pun melakukannya sehingga Allah pun mengusirnya pergi dariku.” (Shahih Muslim, no. 2203. Bab: Berlindung dari was-was Syaitan di dalam Solat)

27. Ketika Menguap - Rasulullah SAW bersabda:“Apabila menguap salah seorang daripada kamu, maka tutuplah mulut dengan tangannya sedaya-upaya. Kerana Syaitan akan masuk (ke dalam mulut yang menguap tanpa ditutup).” (Shahih Muslim, no. 2995) Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda: “Menguap itu dari Syaitan, maka apabila salah seorang daripada kamu menguap hendaklah dia menahannya sedaya-upaya. Kerana jika salah seorang daripada kamu berkata “Haa” ketika menguap, maka Syaitan pun mentertawakannya.” (Shahih al-Bukhari, no. 3289) Kata Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H): “Penyandaran menguap kepada Syaitan adalah kerana ia mendorong kepada syahwat dan kerana menguap sering berlaku dengan diiringi rasa beratnya badan, penuhnya perut, dan rasa malas. Dengan itu, maksudnya adalah ancaman dari sebab yang menimbulkan hal-hal tersebut, iaitu berlebihan di dalam makan dan kerana banyaknya makan.” (Syarah Shahih Muslim, 18/122)

28. Tidak Meremehkan Maksiat dan Dosa-dosa - Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Syaitan telah putus-asa untuk disembah di negeri kalian, akan tetapi ia redha (sukacita) terhadap kalian disebabkan dosa-dosa yang kalian remehkan.” (Musnad Ahmad, no. 8810. Dinilai sahih isnadnya oleh al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth) Di hadis yang lain, beliau SAW bersabda: “Hendaklah kalian berwaspada terhadap dosa-dosa yang dianggap remeh, kerana sesungguhnya perumpamaan dosa-dosa ini adalah seperti suatu kaum yang turun di perut lembah, lalu yang satu membawa satu ranting, dan yang satu pula membawa satu ranting sehingga mereka dapat memasak roti mereka. Sesungguhnya dosa-dosa yang dianggap remeh itu apabila dikumpulkan maka ia akan membinasakan.” (Musnad Ahmad, no. 22808. Dinilai sahih isnadnya oleh al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)

Sebahagian dari dosa-dosa yang amat biasa diremehkan oleh kebanyakan manusia sebenarnya berpunca dari sikap enggan, tiadanya wawasan dalam beragama, tidak peduli, berat hati, dan malasnya tubuh badan untuk menuntut ilmu. Dan hakikatnya, perbuatan mengabaikan ilmu itu sendiri pun termasuk dosa yang amat berbahaya dan termasuk pengabaian kewajiban. Lalu oleh sebab yang demikian, mereka pun berlarutan dalam perbuatan dosa, kesalahan, dan maksiat disebabkan kejahilan dan keengganan mereka dalam menuntut ilmu. Lebih disayangkan dan dibenci lagi adalah apabila seseorang itu mengetahui, tetapi ia masih tetap juga bermaksiat kepada Allah SWT. Nabi SAW bersabda: “Berikanlah kasih-sayang, maka kalian akan disayangi. Berikanlah maaf, maka Allah akan memberikan keampunan untuk kalian. Kecelakaanlah bagi telinga-telinga yang selalu mendengarkan perkataan (tetapi tidak memahami dan memanfaatkannya). Kecelakaanlah bagi orang-orang yang terus-menerus dalam maksiat sedangkan dia mengetahui.” (Al-Adab Al-Mufrad, no. 380. Dinilai sahih oleh al-Albani) Maka, berhati-hatilah terhadap dosa-dosa sama ada dosa-dosa yang kecil apatah lagi yang besar. Kata al-Hafiz Ibnu al-Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H), “Janganlah sekali-kali engkau remehkan kemaksiatan yang kecil, sebagaimana rumput yang lemah, jika dianyam menjadi tali maka ia mampu menarik kapal-kapal.” (Bada’i al-Fawa’id, 3/338)

29. Menjauhi Bid’ah - Allah SWT berfirmah: “Sesungguhnya Syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah al-Baqarah, 2: 169) Allah SWT berfirman sebagaimana terdapat dalam sebuah hadis Qudsi yang panjang: “Dan sesungguhnya Aku telah menciptakan para hamba-Ku seluruhnya dalam keadaan hanif (tunduk lurus beragama Islam). Dan bahawasanya para Syaitan itu mendatangi mereka, lalu mengeluarkan mereka dari agama mereka, mengharamkan perkara-perkara yang telah aku halalkan untuk mereka, dan memerintahkan mereka untuk berbuat kesyirikan kepada-Ku yang tidak Aku turunkan padanya kebenaran (ilmu) tentangnya.” (Shahih Muslim, no. 2865) Dari ayat al-Qur’an dan hadis di atas ini dapat difahami bahawa ianya mengandungi dua prinsip yang mulia, iaitu: Perintah mengabdikan diri kepada Allah secara tulus tanpa ada syirik terhadapnya, dan yang keduanya perintah mengabdikan diri kepada Allah itu hendaklah dengan agama yang telah diredhai-Nya, yang disyari’atkan-Nya, yang dicintai-Nya, dan sebagaimana yang telah diperintahkan oleh-Nya.

Dari itu, sesiapa yang melakukan selain dari itu dengan sangkaan telah berbuat kebaikan, iaitu dari hal-hal yang menyelisihi sunnah, yang bid’ah, dan yang bukan sebagaimana diajarkan di dalam agama yang dibawa oleh Muhammad SAW, maka dia telah terpesong dari jalan agama yang lurus dan mengikuti jejak-jejak Syaitan. Dan dia termasuk orang-orang yang berdusta atas nama Allah, Rasul-Nya, dan agama-Nya apabila melakukan sesuatu atas nama Islam tanpa hujjah (ilmu) yang benar. Dalam ayat yang lain Allah Ta’ala berfirman: “Adakah orang yang dijadikan (Syaitan) menganggap baik amalannya yang buruk lalu dia meyakini amalannya tersebut sebagai baik? Maka sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya. Maka janganlah engkau binasa disebabkan kesedihan terhadap mereka (orang-orang kafir). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan.” (Surah Fathir, 35: 8)

Atas sebab itulah sebagaimana dikatakan oleh sebahagian salaf, antaranya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Sufyan at-Tsauri rahimahullah: “Bid’ah itu lebih dicintai Iblis dari maksiat. Pelaku maksiat dapat diharapkan bertaubat darinya, sedangkan pelaku bid’ah itu sukar bertaubat dari bid’ahnya.” (Syarhus Sunnah al-Baghawi, 1/216. Musnad Ibn al-Ja’ad, no. 1809) Maka dengan itu, tidak dapat tidak, dalam berhadapan dengan Syaitan dan menjauhi segala bentuk kesesatan ataupun ketergelinciran, hendaklah dengan ilmu yang benar. Dan ilmu tidak dapat tidak, mestilah dipelajari dengan penuh ketekunan, semangat, dan kesabaran.
Penutup
Setelah apa yang dapat dikumpulkan dari sebahagian hadis-hadis berkaitan Syaitan dan cara berlindung kepada Allah dari gangguannya ini, maka dapatlah kita ketahui bahawa Syaitan itu adalah musuh yang jelas dan sentiasa mencari-cari jalan mendatangi manusia. Ia sentiasa berusaha mencari celah dan ruang untuk menyesatkan manusia sehingga ketika manusia itu makan, tidur, masuk ke tandas, ketika solat, ketika memasuki rumah, bayi yang baru lahir, kanak-kanak yang bermain di waktu senja, bahkan sehingga ketika berjima’ pun syaitan datang mencari ruang mengganggu. Maka dari itu, kenalilah perangkap-perangkap syaitan dengan baik dan sentiasa waspadailah gerak-gerinya dengan cara mendekatkan diri-diri kita ini kepada Allah SWT berpandukan tips-tips yang ditunjukkan sendiri oleh wahyu-Nya. Ini agar kita sentiasa mendapat perlindungan dari Allah SWT dari terperangkan dalam makar-makar Syaitan lalu disesatkan oleh permainannya. Na’udzubillah…

Ehsan dari Ilmusunnah

No comments: