DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Thursday, June 13, 2013

Kenapa Kita Suka Mengkritik

Setiap hari kita pasti akan mendengar pelbagai kisah hidup. Bermula dari kisah yang mengembirakan hingga kisah yang membawa duka nestapa. Kita mungkin memikirkan yang kita beruntung menjadi pendengar cerita suka dan duka tanpa membayar apa pun. Tetapi kita mungkin lupa yang dalam cerita itu mungkin banyak cerita kritikan tentang perihal sikap atau perangai orang lain.
Dalam kehidupan bersosial atau bermasyarakat, kita tidak akan lari dari terjumpa atau berjumpa dengan individu atau mempunyai kawan yang suka membesar-besarkan diri sendiri, pendek kata suka berlagak atau sombong. Ciri-ciri yang biasa kita nampak ialah mereka ini suka bercakap besar atau berdegar-degar, suka memperlekehkan orang lain, mengkritik dengan tujuan untuk menjatuhkan seseorang, memuji diri sendiri, bersikap defensive, suka berbohong, tidak suka menerima pandangan orang lain, selalu menceritakan sesuatu yang diidam-idamkannya walaupun perkara itu mustahil untuk dicapai, suka mengawal orang lain dan cepat marah.

Apabila kita berdepan dengan individu sebegini, kebiasaannya hati kita akan terdetik mengatakan “asyik-asyik nak dengar cakap dia je!”,”dia ingat dia seorang je ke yang betul?”, “sikit-sikit nak marah orang!”. Memang tidak dapat dinafikan, sikap dan tingkahlaku seseorang yang mengkritik dan suka marah-marah ini akan memberi impak psikologi terhadap emosi dan pemikiran kita samada secara langsung ataupun tidak.

Kita begitu mudah melihat kesalahan yang dilakukan oleh orang lain tanpa kita menilai kesalahan yang kita lakukan sendiri. Kita gemar memberi komen atas orang lain namun jarang sekali memberi komen terhadap diri sendiri. Bak kata orang dulu, kuman di seberang laut dapat dilihat tetapi gajah di depan mata tidak pula kita nampak.

Kita marah orang memperkatakan hal kita tetapi kita juga sebenarnya membuka diri kita untuk diperkatakan apabila memperlihatkan sikap yang mengundang kejelekan pada mata masyarakat. Apabila berlaku ketidakpuasan hati, maka bermula satru episod yang merosakkan hubungan, yang sebenarnya membawa kita selangkah ke neraka tanpa kita sedari.

Orang yang mengkritik itu pada hakikatnya mereka adalah tergolong dalam golongan orang yang lemah. Oleh kerana, antara ciri-ciri orang yang begini itu adalah suka memarahi orang lain terutama di depan khalayak ramai, maka telah disebut dalam satu hadith yang bermaksud; Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang paling kuat bukanlah orang yang tidak dapat dikalahkan oleh orang lain, tetapi orang yang paling kuat adalah orang yang dapat menguasai dirinya ketika ia sedang marah.” Hadith Riwayat Muslim – 4723

Berdasarkan konsepsi hadith ini, jelas menunjukkan bahawa seseorang yang tidak mampu mengawal marahnya adalah merupakan orang yang tidak kuat atau lemah.

Satu hal yang mungkin kurang kita amati hasil dari mengkritik orang lain adalah penanaman sikap negatif yang mula mengambil tempat dalam minda bawah sedar kita. Apabila kita terlalu rajin mengkritik orang lain, di mata kita semua orang melakukan keburukan atau kita suka memperlekehkan orang lain, tanpa kita sedari, secara tidak langsung kita melakukan hukum pengulangan.

Hukum pengulangan menyatakan bahawa sesuatu perkara yang dilakukan secara berulangkali akan membawa kepada satu keterbiasaan. Keterbiasaan ini pula akan membawa kepada satu perubahan fisiologi yang baru tidak kira samada positif atau negatif. Maksudnya di sini apabila kita sering berkata nista, maka kita sebenarnya menanam secara perlahan-lahan tetapi utuh akan kata-kata nista itu di dalam minda bawah sedar kita hingga akhirnya kita menjadikannya satu sikap baru.
Jika kita terlalu rajin mengkritik seseorang hingga tiada ruang untuknya menjelaskan hal sebenar, apa yang sebenarnya berlaku adalah kita sedang menanam afirmasi kritikan itu di dalam minda bawah sedar kita. Jika ianya dilakukan secara berulang kali maka akhirnya tanpa sedar kita mula mengikut rentak fikiran bawah sedar itu tadi. Nah… lama kelamaan, ianya menjadi satu sikap yang negatif untuk kita. Buruknya, kita kemudiannya melakukan sebagaimana yang kita kritikan dahulu.

Justeru, kita perlu menghindari sikap yang mengkritik yang tidak membina. Kita boleh sahaja memberi kritikan asalkan kritikan itu membina yakni kritikan yang disertai dengan cara penyelesaian. Jika kritikan itu tidak disulami dengan aliran penyelesaian maka ianya tidak layak dipanggil kritikan membina melainkan satu kecaman atau sering dipanggil 'condemn'. Sikap suka mengecam ini sering dimiliki oleh mereka yang sebenarnya membawa sikap yang dikecam. Mereka tidak pernah sedar yang sikap mereka kadangkala lebih buruk dari orang mereka kecam

Dalam ilmu psikologi, orang yang beremosi itu sering menggunakan salah satu teknik ‘self-presentation’ iaitu ‘intimidation’ samada secara sedar mahupun tidak. ‘Intimidation’ atau intimidasi digunakan untuk membangkitkan rasa takut pada orang lain dengan membentuk imej sebagai individu yang digeruni supaya orang lain mengikutinya. Tambahan itu, intimidasi juga boleh digunakan secara positif atau pun negatif berdasarkan kepada situasi dan tujuan tertentu. Jika seseorang itu menggunakan teknik ini ke arah yang negatif maka akan jadilah ia seorang yang berlagak sombong, suka marah-marah, bengis, merasakan diri bagus dan yang akhirnya akan menjerumuskan dirinya ke arah kehancuran.

Maka mulai dari hari ini juga marilah kita sama-sama melihat ke satu arah yang baru, arah yang tidak melihat hanya kepada keburukan orang lain. Kita tidak pula banyak mengata serta memberi komen yang tidak diperlukan. Kita perlu ingat bahawa apa yang kita katakan itu adalah satu saranan untuk diri kita supaya bersikap sedemikian di akhirnya nanti.

Jika kita tidak berhenti melakukan hal-hal negatif sebegini, ditakuti kita akan melakukan apa yang kita kritikkan terhadap orang lain sebelum kita menghembuskan nafas terakhir. Mereka yang kita kritik mungkin sudah bertaubat lalu meninggalkan dunia dengan penuh keinsafan. Malangnya mereka yang sering memberi kritikan dan kecaman pula mati dalam keadaan yang penuh dengan kenegatifan.
Jika kita merasakan yang kita dikritik, maka mulai hari ini fahamlah bahawa mereka yang memberi kritikan itu juga tidak terselamat dari hukuman. Biar sekecil mana kebaikan tetap juga mendapat balasan, begitulah sebaliknya. Kita perlu hidup dalam kasih sayang. Kita boleh memberi nasihat tetapi bukan kecaman. Kita perlu memberi nasihat kerana Allah swt dan bukan atas kehendak diri.

Persoalannya, bagaimana caranya untuk kita menghadapi individu seperti ini? Terdapat beberapa cara antaranya ialah bersikap tenang beserta senyuman ketika menghadapinya, cuba sedaya upaya untuk tidak terkesan dengan kata-kata yang dilontarkan oleh mereka dengan cara berfikir secara rasional, siapkan hujah yang bernas dalam fikiran tetapi jangan berdebat, biarkan mereka meluahkan segala-galanya apa yang ingin diperkatakan, elakkan dari terpengaruh dengan gaya komunikasi dan tuturkata mereka dan sama sekali jangan beremosional.

Selain itu, antara kelemahan orang yang mengkritik ini ialah mereka sering mengungkapkan sesuatu yang tidak rasional dan memutarbelit sesuatu perkara. Mengapa perkara ini berlaku? Hal ini terjadi kerana minda mereka sudah dipengaruhi oleh nafsu, maka akal sudah tidak lagi berfungsi untuk berfikir secara positif. Oleh sebab itu, mereka tidak boleh menerima pandangan dan sering menyalahkan orang lain.

Dari aspek perubatan Thibbun Nabawy, Ibnu Qayyim Al Jauziyyah menyebut bahawa penyakit itu terbahagi kepada dua iaitu penyakit fizikal dan hati. Justeru, orang yang mengkritik ini boleh dikategorikan sebagai orang yang mengalami penyakit hati yang kronik. Allah SWT telah berfirman di dalam Al Quran Surah Al Baqarah ayat 10 yang bermaksud: “Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka seksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.”

Marilah kita sama-sama mengubah diri kita untuk menanam kata-kata yang baik lagi mulia secara berulang-ulang agar ianya tertanam utuh dalam memori bawah sedar kita. Biarlah kata-kata tersebut menjadi corak masa depan kita dan menjadi satu contoh yang baik untuk mereka yang berada di sekeliling kita. Seandainya kita mampu mengubah diri kita, maka kita juga mampu mengubah sekeliling kita kerana kita sudahpun menjadi contoh tauladan yang baik.
Perlu kita ingat bahawa kita tidak mampu mengubah orang lain, maka eloklah jika kita melihat ke dalam diri sendiri kerana kita mampu mengubah diri sendiri. Kita perlu berhenti dari cuba mengubah orang lain dan mengkritik orang lain tanpa terlebih dahulu mengubah diri sendiri serta menilai prestasi hubungan kita dengan Allah SWT. Semoga hari ini kita mula menjadi orang yang sentiasa mengubah diri ke arah yang lebih baik dan mulia. Amiin

Konklusinya, apa yang paling penting adalah bukan kita hanya sekadar melihat akan perilaku orang lain, tapi sentiasa bermuhasabah diri, apakah kita ini termasuk dalam golongan orang yang berlagak, beremosi suka mengkritik dan lemah ini? Bagi mengelakkannya, hendaklah kita belajar berfikir secara rasional dan tidak emosional, senyum selalu, menilai kelemahan diri sendiri atau bersifat tawaddhu', menanamkan sifat kehambaan kepada Allah SWT, janganlah kita menganggap apa yang kita fikir betul kesemuanya, bersedia untuk dikritik, menghormati pendapat dan terimalah nasihat serta pandangan orang lain

Hisham dan Azhar

No comments: