Mengumpat
itu adalah perbuatan mengeji atau mengutuk orang lain di luar pengetahuan orang
tersebut. Fitnah pula adalah mengada-adakan sesuatu yang tidak ada atau
mengaitkan diri seseorang dengan sesuatu yang tidak benar. Ia terhasil daripada
persepsi atau gambaran dan bukannya berdasarkan realiti. Rasulullah SAW
bersabda: Tahukah kamu apa itu memfitnah?
Para
sahabat berkata: “Allah dan Rasulnya lebih mengetahui”. Baginda bersabda:
Memfitnah adalah mengatakan sesuatu tentang saudara (Muslim) ketika dia tidak
ada dan yang dia tidak suka. Ditanya: “Wahai Rasulullah jika kekurangan itu
sungguh ada dalam diri seorang Muslim, maka apa yang harus aku dikatakan?”
Baginda menjawab: Jika apa yang dikatakan itu benar, maka itu adalah mengumpat.
(riwayat Muslim) Fitnah ini bukan hanya berlaku sekarang. Saidatina Aishah juga
pernah difitnah, begitu juga fitnah yang membawa kepada kematian khalifah
Uthman Ibn Affan. Mengapa ia berlaku?
Dalam
sejarah awal Islam, fitnah adalah berbentuk perbuatan mengadu domba atau
melaga-lagakan orang. Sebabnya, orang Arab ketika itu masih kuat dipengaruhi
semangat assabiyah atau kedaerahan. Apabila nabi wafat, maka berlaku cubaan
merampas kuasa oleh orang Muhajirin di Saqifah Bani Saad. Bagaimanapun, cubaan
itu berjaya dipatahkan oleh Saidina Abu Bakar dan Umar. Selain itu, orang
Yahudi menabur fitnah untuk memecah-belahkan masyarakat. Malah, pada ketika itu
juga ada golongan yang ekstrem sehingga mewujudkan syiah (penyokong kuat)
pemimpin tertentu seperti syiah Abu Bakar dan syiah Ali.
Dalam
al-Quran, Allah berfirman, …dan ingatlah (angkara) fitnah itu lebih besar
bahayanya daripada membunuh…(al-Baqarah: 191). Mengapakah begitu besar ancaman
fitnah ini kepada masyarakat?
Ayat
di atas menjelaskan bahaya fitnah dalam masyarakat. Antara sebabnya adalah
fitnah itu boleh dibaratkan sebagai pembunuh senyap yang boleh menjadikan
sesiapa sahaja mangsanya. Mangsanya pula akan tertekan dan masyarakat jadi porak
peranda. Berbanding dengan membunuh, ia hanya melibatkan nyawa. Sebab itu,
dalam Islam hukum merampas barang orang dan mencuri berbeza. Mencuri hukumnya
lebih berat kerana ia mengambil barang orang lain secara senyap dan menyebabkan
masyarakat rasa tertekan dan tidak tenteram. Walhal, merampas barang orang
walaupun berdosa tetapi hukumannya adalah dengan membayar ganti rugi.
Di
akhirat, orang yang menabur fitnah akan diseksa kerana ia adalah dosa besar.
Bagi Muslim, perbuatan tersebut akan menghilangkan ‘status’ sebagai Muslim.
Allah turut menjelaskan betapa buruknya perbuatan mengumpat dan fitnah itu
menerusi firman-Nya yang bermaksud: “…dan janganlah kamu mengintip atau
mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat
setengah yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka makan daging saudaranya
yang telah mati?…” (al-Hujurat: 12) Sedangkan Islam menyuruh umatnya menutup
keburukan yang dilakukan oleh saudara sesama Muslim. Bagi mereka yang
menyembunyikan keburukan ini, maka Allah akan sembunyikan keburukan mereka di
akhirat. Ini dijelaskan menerusi sabda Rasulullah SAW. Dalam surah al-Hujurat
ayat 6, kita diingatkan supaya berhati-hati apabila menerima berita daripada
orang fasik. Persoalannya, bagaimana hendak mengetahui kefasikan seseorang itu?
Pengajaran
yang lebih penting dalam ayat ini adalah membudayakan berhati-hati apabila
menerima berita daripada orang kita ragui. Demikian juga apabila mendapat
berita sama ada melalui khidmat pesanan suara (SMS), khabar angin, tuduhan
melulu atau melalui Internet yang boleh dipertikaikan kejujurannya atau ada
udang di sebalik batu, maka ini juga tergolong dalam kategori fasik.
Tentang
maksud fasik ini, ulama berbeza pandangan. Ada yang berkata, fasik itu ialah
orang yang pernah membuat dosa besar. Satu pihak lagi mengatakan fasik itu
ialah orang yang pernah melakukan dosa besar atau yang sentiasa membuat dosa
besar. Ada juga berita-berita kecil yang disensasikan oleh media. Dan ada juga
berlaku di mana orang yang terlibat itu seronok sebab berita tentang dirinya
dapat liputan meluas. Padahal natijahnya ia menimbulkan kekacauan dalam
masyarakat.Apabila masyarakat, terutama anak muda terbiasa hidup dalam suasana
fitnah menjadi perkara biasa, mereka akan hilang sensitiviti. Akhirnya
masyarakat jadi kucar-kacir dan menghakis idealisme perpaduan dalam Islam.
Apakah
sikap dan tindakan yang perlu dilakukan oleh mangsa fitnah itu tadi? Di dunia,
mangsa berhak pertahankan diri dan minta pihak yang memfitnah itu kemukakan
bukti dan kenyataan bagi menyokong kebenaran dakwaan tersebut. Dari segi
doktrinnya, mereka tetap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di
mahkamah. Dari segi agama, mangsa perlu bersabar dan tidak melakukan fitnah
balas kepada orang yang memfitnah atau kepada pihak ketiga. Kadang-kadang,
kejadian ini adalah cubaan Allah untuk menguji keimanan seseorang. Baginda SAW
sendiri pernah difitnah. Namun, fitnah atau tohmahan itu akan melahirkan
peribadi yang lebih utuh.
Namun,
jika sudah tidak mampu ditanggung atau ditahan lagi, kita akan melenting dan
boleh membawa kepada kehancuran. Apabila terkena fitnah atau musibah, ia
bukanlah 100 peratus keburukan. Mungkin yang kena fitnah itu akan terima
sokongan ramai yang bersimpati dengannya. Barangkali juga kesulitan dan ujian
Allah ini baik untuk kita sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “…Dan boleh
jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik untuk kamu dan dan boleh jadi
kamu suka kepada sesuatu perkara padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah)
Allah jualah yang yang mengetahui semuanya itu, sedang kamu tidak
mengetahuinya.” (al-Baqarah: 216).
Mari
kita hayati kata-kata Imam Ghazali, “kekuatan itu bukan terletak orang yang
boleh bergusti atau menang tetapi orang yang kuat ialah yang boleh menahan diri
daripada bertindak liar apabila mereka dalam keadaan marah”. Kebanyakan
pemimpin dunia mempunyai sifat begini. Malah dalam Islam, kita juga perlu
beriman dengan qada dan qadar. Ini membolehkan kita berasa tenang dan tidak
resah gelisah walau apa pun yang berlaku kerana semuanya telah ditentukan
Allah. Malah pergantungan terakhir adalah pada Allah Yang Esa. Bagi budaya
peradaban yang lebih tinggi, adalah dicadangkan supaya mangsa fitnah itu
bersyukur kerana mujur tidak difitnah lebih besar daripada yang sekarang.
Apa
pula reaksi orang Islam apabila berhadapan dengan hal sebegini? Setiap Muslim
tidak boleh terima bulat-bulat tohmahan atau fitnah yang disampaikan kecuali
setelah diperiksa kesahihannya. Sebab itu Islam sangat menentang sifat jahiliah
iaitu sifat yang menggunakan persepsi semata-mata untuk menentukan kebenaran
atau tidak. Sebaliknya, umat Islam perlu menggunakan keyakinan data ilmiah
dalam menentukan benar atau salah sesuatu berita itu.
Bagi
pengikut mana-mana individu, apabila berhadapan dengan fitnah hendaklah mereka
bertenang dan tidak bertindak melampau. Sebagai manusia, kita bukan maksum
(terpelihara daripada dosa). Malah, apabila berlaku kematian kita menyebut Inna
Lillahi wa Inna Ilaihirajiiun (dari Allah kita datang kepada Allah kita kembali).
Apabila mendapat nikmat pula kita menyebut Alhamdulillah (segala puji bagi
Allah). Mereka yang tunjukkan reaksi bukan menunjukkan sifat Muslim yang ideal.
Bukanlah langsung kita tidak boleh bereaksi spontan seperti rasa marah. Yang
dilarang ialah rasa marah yang berpanjangan. Sebabnya apabila emosi menguasai,
kita tidak lagi menggunakan akal. Sedangkan yang sepatutnya akal menguasai
emosi atau nafsu manusia. Yang perlu kita ingat adalah apabila Allah turunkan
bala, ia akan mengenai semua orang sama ada yang melakukan maksiat atau orang
yang beriman.
Firman
Allah yang bermaksud: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang
membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di
antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan
ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.” (al-Anfal: 25)
Ehsan - Share moivasi
4 comments:
Salam...nice entry. Sy copy link ke entry sy utk rujukan. Maaf sbb tak minta izin terlebih dahulu :)
Silakan.... blog saya ni memang untuk berkongsi segala ilmu yang baik
Salam tuan...izinkn utk saya copy
Salam. Apakah hukumnya jika kita bercakap mengenai keburukan orang terhadap kita pada masa lalu? Dan kemudian kita menyesali perbuatan tersebut. Perlukan kita meminta maaf kepada orang berkenaan? Apakah solusinya sekiranya kita tidak dapat menghubungi orang tersebut?
Post a Comment