Terdapat
banyak ayat al-Qur’an dan hadis sahih yang menerangkan ciri-ciri syaitan. Semua
ini didedahkan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW untuk kebaikan kita kerana dengan
pengetahuan akan ciri-ciri syaitan, kita akan dapat mengetahui apa sifat mereka,
sekadar mana kemampuan mereka dan bagaimana mereka bertindak.[1]
Sebelum kita mengkaji ciri-ciri tersebut, sekali lagi saya ingin menasihati para
pembaca yang budiman sekalian agar: Tidak berpaling atau membantah ayat-ayat al-Qur’an
dan hadis-hadis Rasulullah yang dikemukakan. Tidak menilainya dengan akal atau cuba
menselarikannya kepada akal dengan alasan “ciri-ciri tersebut ialah kiasan (majaz)
semata-mata.” Tidak bertanya, berfikir dan menokok tambah dari apa yang sedia dijelaskan
oleh al-Qur’an dan hadis.
Ciri
# 1: Syaitan memiliki kepala.
Ciri
ini diterangkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya: “Sesungguhnya Kami jadikan (pokok
Zaqqum itu) satu ujian bagi orang-orang yang zalim. Sebenarnya ia sebatang pohon
yang tumbuh di dasar neraka yang marak menjulang, buahnya seolah-olah kepala syaitan-syaitan.”
[al-Saffat 37:63-65]
Ciri
# 2: Syaitan memiliki dua tanduk.
Rasulullah
SAW bersabda: “Janganlah kalian melaksanakan solat (sunat mutlak) pada waktu terbit
matahari (selepas subuh) dan terbenam matahari (selepas asar) kerana pada waktu
itu muncul dua tanduk syaitan.”[2]
Ciri
# 3: Syaitan memiliki hati, mata dan telinga.
Allah
SWT berfirman: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin
dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat
Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan
Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran
dan nasihat).” [al-A’raaf 7:179]. Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, syaitan
adalah dari jenis jin. Maka ciri-ciri yang dimiliki oleh jin dimiliki juga oleh
syaitan. Dalam ayat 179 surah al-A’raaf di atas, Allah SWT menerangkan bahawa jin
memiliki hati, mata dan telinga. Maka demikian jugalah bagi syaitan, ia juga memiliki
hati, mata dan telinga.
Sebelum
ini dalam bab “Asal Usul Permusuhan Syaitan Kepada Manusia”, kita mengetahui bahawa
syaitan mendengar perintah Allah untuk sujud kepada manusia, menunjukkan bahawa
syaitan memiliki telinga. Kemudian syaitan enggan sujud kerana takbur, dimana dua
dari sikap takbur tersebut ialah ujub terhadap diri sendiri dan menghina kepada
orang lain. Kedua-dua sikap ini merupakan peranan hati, menunjukkan bahawa syaitan
memiliki hati. Merujuk kepada penglihatan, syaitan dapat melihat manusia manakala
manusia tidak dapat melihat syaitan. Allah SWT menerangkan perbezaan ini: “Sesungguhnya
syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka.”
[al-A’raaf 7:27]
Ciri
# 4: Syaitan memiliki suara.
Syaitan
juga memiliki suara dan boleh bercakap-cakap, membantah, menyoal, membisik dan menghasut
dengannya. Semua ini dapat kita ketahui melalui dialog iblis dengan Allah SWT, “Dan
(ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada
Adam”, maka sujudlah mereka melainkan iblis; ia berkata: “Patutkah aku sujud kepada
(makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)?” Ia berkata lagi: “Khabarkanlah
kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh
kepadaku hingga Hari Kiamat, tentulah aku akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya,
kecuali sedikit (di antaranya).”
Allah
berfirman (kepada iblis): “Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)! Kemudian
siapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya neraka Jahannamlah balasan
kamu semua, sebagai balasan yang cukup. Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau
dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda
serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka; dan turut-campurlah dengan mereka
dalam menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan
janji-janjimu).” Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu
daya semata-mata.” [al-A’raaf 17:61-64]
Syaitan
menggunakan suaranya untuk mengganggu manusia dengan pelbagai cara. Antaranya, bercakap
kepada manusia melalui perantaraan batu, pokok, mata air dan haiwan. Umpama seseorang
yang masuk ke hutan, tiba-tiba sebuah batu bercakap-cakap kepadanya: “Wahai Orang
Muda! Kamu seorang pemuda yang soleh. Amalan kamu selama ini telah mencukupi. Kini
memadai untuk kamu berzikir sahaja, tanpa perlu solat, puasa zakat dan haji.” Percakapan
tersebut sebenarnya berasal dari syaitan. Oleh kerana suara-suara syaitan inilah
sebahagian masyarakat menganggap wujudnya “penunggu” atau “penjaga” di kawasan hutan,
air terjun, padang pasir dan sebagainya. Kemudian ada pula yang memberi petua, apabila
memasuki hutan ucapkanlah selawat kepada nabi sekian-sekian kerana dia adalah penjaganya.
Apabila menghampiri kawasan air terjun ucapkanlah selawat kepada wali sekian-sekian
kerana dia adalah penjaganya. Semua ini hanyalah tipu daya syaitan untuk menyesatkan
umat Islam.
Ciri
# 5: Syaitan memiliki akal.
Berdasarkan
bantahan syaitan kepada Allah, dapat kita mengetahui bahawa syaitan memiliki akal.
Ini kerana ia telah menggunakan logik akal untuk membantah perintah Allah, seperti
kata-katanya: “Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah?”
“Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku?” Akal
adalah sesuatu yang dikurniakan oleh Allah SWT agar dengan akal tersebut makhluk
dapat mentaati dan melaksanakan perintah larangan-Nya dengan cara yang tepat dan
betul. Sebaliknya jika akal digunakan untuk mengukur logik atau tidak sesuatu perintah
larangan Allah, maka ia adalah suatu penyimpangan yang mengkhianati kurniaan akal
itu sendiri.
Ciri
# 6: Syaitan ketawa.
Syaitan
boleh ketawa. Ini dapat kita ketahui dari hadis berikut: “Menguap adalah dari syaitan.
Maka apabila seseorang kalian menguap, tahanlah sedaya mungkin kerana sesungguhnya
apabila seseorang kalian menguap sambil berbunyi “Haaa” maka ketawalah syaitan.[3]
Jika tidak dapat menahan diri dari menguap, maka tutuplah mulut yang sedang menguap
dengan tangan dan jangan mengeluarkan apa-apa bunyi. Dalam sebuah hadis yang lain
Rasulullah SAW mengajar kita: “Jika seseorang kalian menguap, maka tutuplah mulut
dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka).[4]
Ada
pun bersin, maka ia disukai oleh Allah SWT. Rasulullah SAW menjelaskan perbezaan
antara menguap dan bersin: “Sesungguhnya Allah menyukai bersin dan membenci menguap.
Maka apabila (seseorang itu) bersin maka pujilah Allah dan merupakan hak bagi setiap
muslim yang mendengar (saudaranya bersin) untuk mendoakannya. Ada pun menguap, maka
ia tidak lain berasal dari syaitan. Tahanlah ia semampu mungkin dan apabila (yang
menguap) berbunyi “Haaa” maka ketawalah syaitan.” [5]
Oleh
itu Bagi orang yang bersin, hendaklah dia memuji Allah dengan menyebut: “Segala
puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.” Bagi yang mendengar orang bersin, dia berdoa:
“Semoga Allah merahmati kamu”. Kemudian bagi yang bersin, dia menjawab kepada orang
yang mendoakannya: “Semoga Allah mengampuni bagi kami dan bagi kalian.”[6]
Sekali
pun bersin adalah sesuatu yang disukai, tidaklah bererti seseorang itu boleh bersin
di hadapan muka orang lain, menghamburkan air liurnya atau bersin dengan suara yang
kuat. Abu Hurairah RA menerangkan: “Apabila Rasulullah SAW bersin, baginda meletakkan
tangannya atau bajunya ke atas mukanya (mulut dan hidung) sambil merendahkan (atau
sambil menundukkan muka dan) suaranya.”[7]
Ciri
# 7: Syaitan memiliki tangan dan jari.
Rasulullah
SAW berpesan: “Apabila seseorang kalian makan, maka makanlah dengan tangan kanannya
dan apabila minum, maka minumlah dengan tangan kanannya. Ini kerana sesungguhnya
syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya.”[8]
Oleh
kerana itu kita umat Islam sangat-sangat ditekan untuk makan dan minum dengan tangan
kanannya. Penekanan ini turut merangkumi apa jua perkakas yang digunakan seperti
sudu, garpu, chopsticks dan lain-lain, hendaklah semuanya dipegang dengan tangan
kanan. Pernah dahulu seseorang yang duduk bersama Rasulullah SAW makan dengan tangan
kirinya. Rasulullah menegur: “Makanlah dengan tangan kanan kamu.” Orang itu menjawab:
“Aku tidak mampu.” Rasulullah menjawab: “Kamu tidak mampu?” Padahal dia enggan tidak
lain kerana kesombongan. Perawi hadis, Salama bin al-Akwa’ RA kemudian menerangkan
bahawa setelah itu lelaki tersebut tidak dapat mengangkat tangan kanannya ke mulutnya. [9] Tangan kanannya
menjadi lumpuh sejak dia membantah teguran Rasulullah.
Syaitan
juga memiliki jari berdasarkan keterangan Rasulullah SAW: “Setiap anak Adam (manusia)
ketika lahir ditusuk di kedua tepi badannya oleh syaitan dengan jarinya kecuali
‘Isa ibni Maryam, syaitan hendak menusuknya tetapi hanya berjaya menusuk uri (ibunya).” [10]
Ciri
# 8: Syaitan makan dan minum.
Berdasarkan
sabda Rasulullah SAW: “…sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum
dengan tangan kirinya”, kita juga dapat mengetahui syaitan makan dan minum.” Syaitan
makan apa-apa yang dibiarkan oleh kita, sama ada yang masih tersisa di pinggan atau
apa yang terjatuh darinya. Oleh kerana itulah Rasulullah SAW menyuruh kita menghabiskan
semua makanan dan mengutip apa yang terjatuh darinya. Tindakan ini bukan sahaja
mengelak makanan tersebut daripada diambil oleh syaitan tetapi untuk kita memperoleh
keberkatan yang sepenuhnya dari makanan tersebut. Anas bin Malik RA berkata: “Apabila
Rasulullah SAW makan, baginda menjilat jari-jarinya tiga kali.” Anas berkata, bahawa
Rasulullah bersabda: “Jika sesuatu makanan seseorang kalian jatuh, hendaklah (dia
mengambilnya) dan membersihkan apa-apa kotoran yang melekat padanya lalu memakannya.
Janganlah meninggalkannya untuk syaitan.”
Anas
melanjutkan: “(Rasulullah) juga menyuruh kami untuk menghabiskan apa-apa sisa makanan.”
Baginda berpesan: “Ini kerana kalian tidak tahu di bahagian manakah pada makanan
kalian terdapat keberkatan.”[11]
Untuk mengelakkan apa-apa makanan dari tersisa, hendaklah kita sejak dari awal menyukat
jumlah makanan yang diletakkan ke dalam pinggan. Ambil sekadar yang perlu tanpa
berlebih-lebihan. Syaitan akan menghasut kita untuk mengambil secara berlebihan
kerana berlebihan adalah salah satu bentuk pembaziran dan hubungan antara orang
yang membazir dengan syaitan adalah: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu
adalah saudara-saudara Syaitan.” [al-Isra’ 17:27]
Selain
itu syaitan minum sambil berdiri. Pada satu ketika Rasulullah SAW melihat seorang
yang minum sambil berdiri. Baginda menegur: “Jangan begitu!” Orang itu bertanya:
“Mengapa?” Rasulullah menjawab: “Adakah kamu suka minum bersama kucing?” Orang ituu
menjawab: “Tidak.” Rasulullah meneruskan: “Sesungguhnya telah ikut serta minum bersama
kamu sesuatu yang lebih buruk darinya, iaitu syaitan.” [12] Oleh itu hendaklah
kita sedaya upaya mengelakkan diri minum sambil berdiri. Jika suasana tidak mengizinkan,
boleh minum sambil berdiri. Ini kerana dalam suasana terpencil lagi terdesak, Rasulullah
SAW pernah minum sambil berdiri. ‘Abd Allah ibn ‘Abbas RA berkata: “Aku menghidang
Rasulullah SAW air zam-zam dan baginda meminumnya sambil berdiri.[13]
Ciri
# 9: Syaitan membuang air kecil.
Syaitan
juga membuang air kecil, khasnya kepada orang yang tidur lena sepanjang malam sehingga
matahari naik. Rasulullah SAW pernah ditanya berkenaan orang yang tidur sepanjang
malam hingga pagi hari. Baginda menjawab: Itu adalah orang yang syaitan kencing
dalam kedua-dua telinganya atau salah satu telinganya.[14]
Ciri
# 10: Syaitan memiliki keturunan.
Allah
SWT berfirman: “Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya
sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripada-Ku? [al-Kahf
18:50]
Ciri
# 11: Syaitan memiliki pasukan tenteranya.
Rasulullah
SAW bersabda: “Pada waktu pagi, iblis mengutus pasukan tenteranya seraya berkata:
“Sesiapa yang berjaya menyesatkan seorang muslim maka aku akan memakaikan mahkota
kepadanya.”[15]
Allah SWT berfirman: “Dan bertahap-tahaplah dalam memujuk sesiapa yang engkau dapat
dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan
kaki… [al-Isra’ 17:64]
Dengan
pasukan tentera serta para penyokongnya, syaitan berusaha untuk membuat fitnah kepada
manusia. Lebih hebat fitnah yang dilakukan, lebih besar pangkat dan anugerah yang
dihadiahkan kepada tentera yang berjaya melakukannya. Rasulullah SAW menjelaskan
strategi ketenteraan ini: “Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas
air. Kemudian dia mengutuskan para tenteranya (untuk memfitnah manusia). Di antara
para tentera itu, mereka yang memiliki kedudukan yang paling hampir dengannya ialah
yang paling hebat dalam membuat fitnah. Salah seorang dari tentera itu datang dan
berkata: “Saya telah melakukan sekian-sekian!” Iblis menjawab: “Kamu belum melakukan
apa-apa.” Kemudian datang seorang tentera yang lain dan berkata: “Tidaklah saya
meninggalkan (orang yang saya ganggu) sehinggalah dia menceraikan isterinya.” Iblis
menghampiri tentera itu dan berkata: “Anda hebat!”[16]
Di
antara pasukan tentera syaitan ialah manusia, iaitu mereka yang telah berjaya dipengaruhinya
untuk memusuhi Islam dan umatnya. Satu contoh ialah orang-orang musyrik dalam Perang
Uhud yang Allah SWT sebut sebagai penolong (al-Auliya’) syaitan: “Sesungguhnya yang
demikian itu ialah syaitan yang menakut-nakutkan (kamu terhadap) penolong-penolongnya
(kaum kafir musyrik). Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah
kepada-Ku, jika betul kamu orang-orang yang beriman.” [‘Ali Imran 3:175]
Ciri
# 12: Syaitan mencari tempat bermalam.
Rasulullah
SAW bersabda: “Apabila seorang itu memasuki rumahnya dan mengingati Allah (dengan
membaca Bismillah) ketika memasukinya dan ketika ingin makan, berkatalah syaitan
(kepada golongannya): “Kalian tidak memiliki tempat untuk bermalam dan tidak juga
makanan malam.” Sebaliknya apabila seorang itu memasuki rumah dan tidak mengingati
Allah ketika memasukinya, berkatalah syaitan (kepada golongannya): “Kalian telah
mendapat tempat bermalam.” Apabila seorang tidak mengingati Allah ketika makan,
berkatalah (syaitan kepada golongannya): “Kalian telah mendapat tempat bermalam
dan makan malam.”[17]
Demikian
juga apabila kita hendak keluar rumah, maka kuncilah pintu sambil menyebut nama
Allah. Nescaya syaitan tidak akan dapat membukanya. Tutuplah juga bekas-bekas makan
dan minum, nescaya syaitan tidak dapat membukanya dan mencemarinya. Padamkan juga
lampu agar dengan itu syaitan tidak dapat menyebabkan berlakunya kebakaran. Rasulullah
SAW bersabda: “Dan kuncilah pintu-pintu kalian dan sebutlah nama Allah (dengan membaca
Bismillah) kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka pintu-pintu yang dikunci
(dengan menyebut nama Allah). Ikatlah kantong-kantong air kalian dan sebutlah nama
Allah, tutuplah bekas-bekas makanan kalian dan sebutlah nama Allah, walau pun (tutupan)
itu sekadar meletakkan sesuatu di atasnya dan matikanlah lampu-lampu pelita kalian.[18]
Jika
syaitan berjaya memasuki rumah untuk bermalam, syaitan akan bermalam dalam hidung
para penghuni rumah tersebut. Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang kalian
bangun dari tidurnya dan berwudhu’, maka (sedutlah air ke dalam hidungnya dan) hembuslah
air itu keluar sebanyak tiga kali kerana sesungguhnya syaitan bermalam di lubang
hidung kalian.[19]
Ciri
# 13: Syaitan dapat bergerak pantas.
Makhluk
jin dapat bergerak pantas, sekali pun dengan membawa beban yang amat besar lagi
berat. Ini dapat kita ketahui dari sejarah Nabi Sulaiman AS: “Nabi Sulaiman berkata
pula: “Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku
singgahsananya (Puteri Balqis dari Yaman ke Baitul Maqdis) sebelum mereka datang
mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?” Berkatalah Ifrit dari golongan
jin: “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu,
dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah.” [al-Naml
27:38-39]
Syaitan
adalah dari jenis jin dan dengan itu kita mengetahui bahawa ia juga dapat bergerak
pantas. Antara ketika ia bergerak pantas adalah apabila azan dilaungkan: “Sesungguhnya
syaitan apabila dikumandangkan azan, ia akan berpaling dan lari dengan pantas.[20]
Ciri
# 14: Syaitan dapat bergerak dalam badan manusia.
Rasulullah
SAW bersabda: “Sesungguhnya syaitan bergerak dalam badan anak Adam (manusia) seperti
aliran darah.” [21]
Ciri
# 15: Syaitan dapat mempengaruhi manusia.
Tetap
merujuk kepada hadis di atas berkenaan pergerakan syaitan dalam badan manusia, ia
secara lebih terperinci berlaku ketika Rasulullah SAW sedang beriktikaf di masjid
dan isterinya Shafiyyah RA datang menziarahi baginda. Kemudian apabila Shafiyyah
ingin pulang, Rasulullah mengiringinya hingga ke pintu masjid. Pada saat itu, dua
orang sahabat dari kalangan Ansar radhiallahu 'anhuma berlalu dan nampak Rasulullah
bersama seorang wanita. Mereka berdua tidak tahu siapakah wanita tersebut kerana
para isteri Rasulullah memakai tudung yang juga menutupi muka.
Untuk
mengelakkan salah faham, Rasulullah memanggil dua lelaki tersebut dan menerangkan
bahawa wanita yang bersamanya ialah Shafiyyah, isteri baginda. Kedua-dua lelaki
itu menjawab:“Subhanallah!”, seolah-olah bermaksud: “Maha Suci Allah, tidaklah kami
sekali-kali akan berburuk sangka kepadamu wahai Rasulullah!” Kemudian Rasulullah
membalas: “Sesungguhnya syaitan bergerak dalam badan manusia seperti aliran darah.
Sesungguhnya aku bimbang ia melemparkan keburukan atau sesuatu sangkaan dalam hati
kalian berdua.[22]
Rasulullah
membalas dengan menerangkan ciri-ciri syaitan yang mampu bergerak dalam badan manusia
dan mempengaruhi hati manusia untuk berburuk sangka. Kedua-dua sahabat tersebut
pada awalnya tidak berprasangka apa-apa terhadap Rasulullah. Akan tetapi mungkin
sahaja syaitan menyelinap masuk dalam tubuh mereka beberapa saat kemudian sambil
membisikkan sesuatu yang buruk, konon Rasulullah berdua-duaan dengan wanita yang
tidak halal bagi baginda. Maka sebelum syaitan dapat memasuki dan mempengaruhi dengan
sesuatu yang buruk, Rasulullah menerangkan bahawa wanita tersebut ialah Shafiyyah,
isteri baginda sendiri.[23]
Berdasarkan
hadis ini dapat diketahui ciri-ciri syaitan yang mampu mempengaruhi manusia dengan
sesuatu yang menyelisihi tuntutan al-Qur’an dan al-Sunnah. Ia tidak terhad kepada
berburuk sangka tetapi meliputi sikap-sikap lain seperti: Syaitan mempengaruhi pemikiran
manusia: Rasulullah SAW bersabda: “Syaitan mendatangi seseorang kalian dan bertanya:
“Siapakah yang mencipta itu? Siapakah yang mencipta ini?” sehinggalah ia bertanya:
“Siapakah yang mencipta tuhan kamu?” Maka jika ia bertanya soalan itu, mintalah
perlindungan dari Allah dan sudahilah (dari melayani fikiran atau pertanyaan sedemikian).[24]
Syaitan
berbisik kepada manusia: Syaitan mampu berbisik kepada manusia sebagaimana ia mampu
berbisik kepada Adam: Setelah itu maka syaitan membisikkan kepadanya dengan berkata:
“Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya
dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?” [Ta-Ha 20:120]
Bisikan
syaitan lazimnya ke arah sesuatu yang bertentangan dengan Islam. Atau sesuatu yang
kelihatan seolah-olah selari dengan Islam padahal sebenarnya bertentangan. Bagi
setiap manusia ada di sisinya malaikat dan syaitan, masing-masing membisikkan sesuatu.
Rasulullah SAW menjelaskan hakikat ini: “Sesungguhnya bagi setiap anak Adam (yakni
manusia) ada sentuhan (bisikan) syaitan dan sentuhan (bisikan) malaikat. Ada pun
sentuhan syaitan, ia mengajak kepada keburukan dan mendustakan kebenaran. Manakala
sentuhan malaikat, ia mengajak kepada kebaikan dan menegakkan kebenaran. Maka sesiapa
yang merasai sentuhan (bisikan) kebaikan, ketahuilah bahawa ia adalah dari Allah
(melalui perantaraan malaikat) dan hendaklah dia memuji Allah (dengan menyebut Alhamdulillah).
Sebaliknya sesiapa yang merasai sentuhan (bisikan) sebaliknya hendaklah dia meminta
perlindungan Allah daripada syaitan (dengan menyebut A’uzubillahi minash syaitan
nirrajim)”.[25]
Satu
contoh mudah ialah adab minum air sebagaimana yang telah diterangkan dalam ciri
syaitan # 8. Ketika anda memegang segelas air untuk minum, tiba-tiba hati anda berbisik
untuk minum sambil duduk. Itu adalah bisikan malaikat. Kemudian muncul pula bisikan
lain yang berkata: “Alaah! Tak mengapa, seteguk saja. Menyusahkan saja untuk duduk.”
Itu adalah bisikan syaitan. Lawanlah ia dengan mengucap “A’uzubillahi minash syaitan
nirrajim” kemudian duduk dan minumlah. Syaitan mempengaruhi imajinasi manusia: Rasulullah
SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang wanita tampil dalam gambaran syaitan dan membelakangi
dalam gambaran syaitan. Maka jika seseorang kalian melihat wanita (yang dia tertarik
dengannya), maka kembalilah kepada isterinya kerana itu akan menolak (lintasan jahat)
dalam dirinya.[26]
Dalam
hadis di atas, Rasulullah SAW menerangkan kemampuan syaitan membentuk gambaran atau
imajinasi pada pemikiran seorang lelaki yang melihat wanita. Semua ini akan menyebabkan
lelaki itu mula mengkhayal secara seksual akan wanita tersebut. Perkara ini tidak
saja dilakukan oleh syaitan kepada lelaki yang melihat wanita tetapi juga kepada
wanita yang melihat lelaki. Gambaran atau imajinasi yang dibuat oleh syaitan dapat
ditolak dengan masing-masing kembali kepada pasangannya. Jika belum bernikah atau
tidak dapat kembali, maka jagalah pandangan masing-masing sejak dari awal.
Syaitan
mempengaruhi tumpuan atau fokus manusia: Antara tumpuan yang masyhur diganggu syaitan
ialah kekhusyukan ketika solat dan membaca al-Qur’an. Seorang sahabat bernama ‘Utsman
bin Abi al-‘Ash radhiallahu 'anh mengadu kepada Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam:
“Wahai Rasulullah! Sesungguhnya syaitan menghalang antaraku dan solat serta bacaan
al-Qur’anku, dan ia selalu mengelirukan aku.” Maka Rasulullah menjawab: “Itulah
syaitan yang disebut sebagai “Khanzab”, maka apabila merasai gang-guannya, mohonlah
perlindungan Allah darinya dan ludahlah ke kiri sebanyak tiga kali. ‘Utsman bin
al-‘Ash kemudian berkata: “Aku melakukan itu dan Allah menjauhkan gangguan syaitan
itu dariku.”[27]
Syaitan
tidak saja mengganggu tumpuan solat tetapi aja jua aktiviti lain yang dilakukan
kerana agama. Sebagai contoh, apabila anda ingin membaca buku agama, syaitan akan
mengganggu tumpuan anda dengan tangisan bayi, anak yang meminta perhatian, perasaan
mengantuk dan kesukaran untuk faham.
Syaitan
mempengaruhi motivasi manusia melakukan kebaikan: Syaitan mampu mempengaruhi motivasi
kita apabila ingin melakukan sesuatu aktiviti demi kebaikan agama, seperti mengkaji
al-Qur’an dan hadis, bersedekah, membuat kerja sukarelawan, melaksanakanamar ma’ruf
dan nahi mungkar serta berdakwah kepada orang ramai. Allah SWT berfirman: “Dan tidaklah
Kami mengutuskan sebelummu seorang Rasul atau seorang Nabi melainkan apabila dia
bercita-cita (untuk kebaikan agama yang dibawanya), maka syaitan pun melemparkan
hasutannya mengenai usaha Rasul atau Nabi itu (dari) mencapai cita-citanya.”[al-Hajj
21:52]
Nah!
Jika syaitan menghasut dan mengganggu para Nabi dan Rasul, sudah tentu syaitan juga
akan menghasut dan mengganggu kita. Oleh kerana itulah, apabila kita ingin melakukan
sesuatu aktiviti demi kebaikan agama, kita merasa sukar untuk memberi tumpuan penuh
kepadanya. Selain itu akan ada saja pelbagai faktor yang menghalang atau menyukarkan
sehingga kita hilang motivasi untuk meneruskannya. Ketahuilah bahawa semua itu adalah
dari syaitan, maka lawanlah ia. Berhenti dari melakukan aktiviti yang dirancang
adalah tanda mengalah kepada syaitan. Sebaliknya meneruskan apa yang dirancang dengan
penuh motivasi dan dedikasi adalah tanda kemenangan di atas syaitan.
Antara
contoh aktiviti yang dimaksudkan ialah bersedekah, dimana Allah SWT berfirman: “Wahai
orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil
usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi
untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu
dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali
akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan
mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.
Syaitan menjanjikan kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau
menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut);
sedangkan Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan
kurnia-Nya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya, lagi sentiasa Meliputi
Pengetahuan-Nya. [al-Baqarah 2:267-268]
Syaitan
mempengaruhi manusia dengan sikap terburu-buru. Jika dalam kes di atas syaitan mempengaruhi
kita dengan sikap negatif seperti malas, tidak berminat dan tiada motivasi, maka
sebaliknya syaitan juga mampu mempengaruhi kita dengan sikap tergesa-gesa. Akhirnya
berlaku apa yang berlawanan, seperti terlebih bersemangat (over excited), melampaui
batas, mengharapkan hasil serta-merta dan kelam-kabut. Kemudian apabila apa yang
diinginkan tidak menjadi, sikap tergesa-gesa di atas beralih kepada berputus asa,
merungut, menuduh orang lain atas kegagalan diri sendiri dan sebagainya. Ada pun
Islam, maka ia menganjurkan sikap yang dipertengahan antara malas dan tergesa-gesa.
Sikap tersebut ialah tenang. Rasulullah SAW bersabda: “Ketenangan adalah dari Allah
manakala ketergesa-gesaan adalah dari syaitan”.[28]
Syaitan
mempengaruhi manusia dengan perasaan cemburu: Isteri Rasulullah SAW, A’isyah RA
menerangkan pada satu malam baginda keluar dari rumahnya dan ini menyebabkan dia
merasa cemburu. Kemudian Rasulullah kembali ke rumah dan mendapati dia sedang dalam
keadaan yang cemburu. Lalu baginda bertanya: “Apa jadi kepada kamu wahai A’isyah?
Adakah kamu cemburu?” “Takkanlah aku tidak cemburu kepada orang seperti anda?” Kemudian
Rasulullah SAW melanjutkan: “Apakah telah datang kepadamu syaitan kamu?” “Wahai
Rasulullah! Apakah bersama aku ada syaitan?” “Ya.” “Dan (apakah syaitan itu ada)
pada setiap manusia?” “Ya.” (Apakah syaitan juga) bersama kamu wahai Rasulullah?”
“Ya, akan tetapi Tuhanku telah menolongku darinya sehingga aku selamat dari gangguannya.”[29]
Syaitan
mempengaruhi manusia dengan perasaan marah: Sulaiman bin Shurd RA berkata: “Ketika
aku sedang duduk bersama Nabi SAW, dua orang sedang bertengkar sehingga salah seorang
dari mereka menjadi merah wajahnya dan urat-urat lehernya timbul keluar. Maka Nabi
SAW bersabda: “Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah yang jika diucapkan
nescaya
kemarahannya akan hilang. Iaitu sebutlah “A’uzubillahi minash syaitan” nescaya kemarahannya
akan hilang.[30]
Terdapat
dua faktor di sebalik kemarahan. Pertama ialah faktor peribadi, seperti orang yang
marah kerana kedudukannya tidak dihormati atau kerana barangnya telah dirosakkan.
Ini adalah marah yang tercela dan perlu dihindarkan. Kedua ialah faktor agama, seperti
seorang muslim yang merasa marah kerana ajaran agamanya dirosakkan oleh muslim yang
lain atau marah apabila umat Islam dizalimi oleh kaum lain. Ini adalah marah yang
terpuji, akan tetapi tidaklah bermakna seseorang itu boleh terus bertindak kasar
kerananya. Yang dituntut ialah tetap tenang dan berlemah lembut untuk menangani
orang yang menyebabnya marah. Sikap tenang adalah berdasarkan hadis yang dikemukakan
sebelum ini: “Ketenangan adalah dari Allah manakala ketergesa-gesaan adalah dari
syaitan.”[31]
Manakala sikap lemah lembut adalah berdasarkan hadis: “Sesungguhnya Allah mencintai
sikap lemah lembut dalam segala urusan.”[32]
Jika
dirujuk kepada sirah Rasulullah SAW, akan ditemui beberapa ketika baginda marah
atas faktor agama. Akan tetapi kemarahan tersebut tidaklah menyebabkan baginda mengeluarkan
kata-kata yang kotor atau bertindak ganas. Sebaliknya baginda hanya memberi teguran
yang tenang lagi lemah lembut. Satu contoh ialah kisah berikut yang diriwayatkan
oleh Abu Mas‘ud al-Anshari RA. Beliau menceritakan, seorang lelaki telah datang
menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah! Aku pernah mundur dari solat
(berjamaah) disebabkan si-fulan (imamnya) membaca surah yang panjang.” (Abu Mas‘ud)
menyambung: Aku tidak pernah melihat Nabi SAW amat dahsyat kemarahannya dalam rangka
memberi nasihat berbanding pada saat itu. Lalu baginda bersabda: “Wahai manusia!
Sesungguhnya di antara kalian ada yang membuat orang-orang lari dari solat berjamaah.
Maka sesiapa yang mengimami manusia, hendaklah dia meringankan (memendekkan) bacaan
kerana sesungguhnya di kalangan mereka (makmum) ada yang sakit, lemah dan berurusan.[33]
Syaitan
mempengaruhi manusia dengan sifat lupa:
Terdapat
dua jenis lupa. Pertama lupa dalam urusan harian seperti lupa dimana letaknya anak
kunci rumah atau lupa membeli barang tertentu di kedai runcit. Kedua lupa dalam
urusan agama seperti lupa solat atau hafalan al-Qur’an. Lupa jenis kedua berasal
dari syaitan, kerana syaitan dapat mempengaruhi manusia dengan sifat lupa. Firman
Allah SWT: Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara
mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka
memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh syaitan (lalu engkau
duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim
itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu). [al-An’aam 6:68]
Walaubagaimana
pun sesetengah kes lupa dari jenis pertama boleh berasal dari pengaruh syaitan kerana
dengan kelupaan tersebut, seseorang itu mungkin menjadi marah dan merungut. Sikap
negatif seperti ini adalah sesuatu yang disukai oleh syaitan. Maka jika lupa dalam
urusan harian, hendaklah tetap tenang dan seterusnya mencari jalan untuk mengelaknya
dari berulang pada masa akan datang. Satu contoh lupa jenis pertama ini yang berpunca
dari syaitan ialah kisah berikut yang berlaku pada zaman Nabi Musa AS: Temannya
berkata: “Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat di batu besar itu?
Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada
menyebutkan halnya kepadamu melainkan syaitan; dan ikan itu telah menggelunsur menempuh
jalannya di laut dengan cara yang menakjubkan.” [al-Kahf 18:63]
Syaitan
mempengaruhi manusia dengan kesakitan:
Penyakit
adalah sesuatu yang lazim dialami oleh manusia. Akan tetapi syaitan turut serta
dengan sesuatu penyakit dengan menambah pengaruh kesakitan, kepayahan, kesengsaraan
dan keluhan yang dialami: Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami, Nabi Ayub, ketika
dia berdoa merayu kepada Tuhannya (ketika menghadapi penyakitnya) dengan berkata:
“Sesungguhnya aku diganggu oleh syaitan dengan kesusahan dan siksaan.” [Shad 38:41]
Syaitan
mempengaruhi manusia untuk berbuat jahat:
Syaitan
mampu mempengaruhi seseorang atau menghasutnya untuk berbuat jahat. Antara kejahatan
tersebut ialah mengganggu orang yang sedang solat dengan cara sengaja melintas di
hadapannya. Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang kalian solat dengan menghadap
sesuatu (yang diletakkan) sebagai penghadang dari (lalu lintas) orang lain, lalu
ada orang yang hendak melintas di antaranya dan penghadang itu, maka tahanlah dia.
Jika dia enggan (dan tetap berkeras untuk melintas) maka tahanlah dia dengan lebih
tegas kerana dia tidak lain ialah syaitan.[34]
Dalam
hadis di atas, yang akan melintas di hadapan orang yang sedang solat bukanlah syaitan
tetapi orang yang dipengaruhi atau dihasut oleh syaitan. Ini kerana dalam sebuah
riwayat lain, hadis di atas diakhiri dengan lafaz “…kerana sesungguhnya syaitan
bersama dia.”[35]
Inilah
juga yang dimaksudkan sebagai “syaitan-syaitan manusia” dalam firman Allah SWT:
“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan
manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata
dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. [al-An’aam 6:112]
Yang
dimaksudkan dengan “syaitan-syaitan manusia” ialah manusia yang dipengaruhi dan
dihasut oleh syaitan untuk berbuat jahat dan menjadi musuh kepada para Nabi. Penafsiran
ini adalah berdasarkan perbezaan asal usul kedua-duanya, dimana syaitan berasal
dari api manakala manusia berasal dari tanah. Dalam rangka berbuat jahat, syaitan
bukan sahaja mempengaruhi manusia tetapi juga mempengaruhi haiwan untuk berbuat
jahat kepada manusia. Salah satu darinya ialah mempengaruhi tikus untuk menjatuhkan
lampu-lampu pelita agar dengan itu dapat berlaku kebakaran di rumah.
‘Abd
Allah ibn ‘Abbas RA menerangkan bahawa pernah seekor tikus menolak sebuah lampu
pelita sehingga tumbang di atas tikar yang sedang diduduki oleh Rasulullah SAW.
Lalu terbakarlah tikar tersebut sebesar saiz satu dirham. Melihat yang sedemikian
Rasulullah bersabda: “Apabila kalian hendak tidur maka padamkanlah lampu pelita
kalian kerana sesungguhnya syaitan menunjuki ini (tikus) kepada itu (lampu pelita)
sehingga kalian terbakar.[36]
Demikian
beberapa kemampuan syaitan untuk mempengaruhi manusia. Selain apa yang disebut di
atas, syaitan juga mampu mempengaruhi dengan sikap-sikap buruk yang lain. Tidak
ketinggalan ialah sikap-sikap yang menyebabkan ia diusir dari langit, iaitu ujub,
menghina, mengunggulkan akal di atas wahyu dan mempersoalkan wahyu.
Dalam
kehidupan harian kita, sudah pasti satu atau lebih dari sikap-sikap di atas mempengaruhi
kita. Pada waktu pagi kita mungkin marah, pada waktu petang kita mungkin cemburu,
pada waktu petang kita mungkin berburuk sangka dengan rakan dan pada waktu malam
kita mungkin merasa malas untuk pergi ke kuliah agama. Semua ini adalah pengaruh
syaitan, maka lawanlah ia dengan mengucap“A’uzubillahi minash syaitan nirrajim”
dan tinggalkan sikap-sikap yang buruk tersebut.
Ciri
# 16: Syaitan dapat merasuk manusia.
Dalam
dua ciri di atas, kita telah mempelajari kemampuan syaitan untuk bergerak dalam
diri manusia dan melakukan pelbagai pengaruh ke atas manusia yang dimasukinya. Dalam
suasana itu manusia yang dipengaruhi masih dalam keadaan yang normal. Akan tetapi
adakalanya syaitan dapat mempengaruhi manusia hingga mengubah perwatakan dan tingkah
lakunya, menjadi seolah-olah orang yang gila. Inilah yang disebut sebagai kerasukan
atau histeria. Allah SWT menerangkan tentang
kemampuan syaitan ini: “Orang-orang yang memakan (mengambil) riba tidak dapat berdiri
betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang
kerana sentuhan (syaitan) itu.”[al-Baqarah 2:275]
Kerasukan
tidak saja terhad kepada orang yang melibatkan diri dalam urusniaga riba, tetapi
meluas kepada pelbagai keadaan yang lain. Merujuk kepada persoalan kerasukan dan
hubungkaitnya dengan syaitan, manusia terbahagi kepada tiga golongan: Mereka yang
menafikannya. Golongan ini berkata, kerasukan tidak berpunca dari syaitan sebaliknya
berpunca dari penyakit tertentu seperti gangguan saraf, perubahan hormon, tekanan
jiwa (stress) dan sebagainya. Penyakit-penyakit ini dapat dihentikan dengan mengambil
ubat. Mereka yang berlebih-lebihan. Golongan ini mengakui bahawa kerasukan berpunca
dari syaitan. Akan tetapi mereka berlebih-lebihan dalam menyandarkannya kepada syaitan
sehingga apa jua perubahan tingkah laku (behaviour) yang dihadapi oleh seseorang,
mereka menganggapnya sebagai kerasukan syaitan.
Mereka
yang berada di pertengahan antara golongan pertama dan kedua. Golongan ketiga ini
berkata kerasukan boleh berpunca dari penyakit dan boleh juga berpunca dari syaitan.
Maka kerasukan pertama (penyakit) dihentikan dengan ubat-ubatan manakala kerasukan
kedua (syaitan) dihentikan dengan zikir-zikir yang diajar oleh Rasulullah SAW. Jika
tidak pasti kerasukan yang dialami oleh seseorang sama ada berpunca dari penyakit
atau syaitan, maka ia dihentikan dengan ubat dan zikir. Ada pun hujah golongan pertama
bahawa kerasukan hanya berpunca dari penyakit, mereka membuktikannya dengan pelbagai
penemuan baru tentang apa yang sedang berlaku dalam badan. Bahkan dengan peralatan
serba canggih masa kini, mereka dapat menunjuk secara tepat bahagian saraf yang
sedang mengalami gangguan dan keadaan hormon badan yang tidak seimbang. Maka apabila
diberi ubat, apa yang dianggap sebagai kerasukan dapat dihentikan.
Akan
tetapi, sekali pun dengan segala penemuan dan alat canggih tersebut, tetap timbul
satu persoalan yang masih tidak dapat dijawab oleh para pakar perubatan: Mengapa
saraf mengalami gangguan dan mengapa sebahagian kelenjar merembeskan hormon secara
berlebihan? Benar, bahawa semua itu dapat dihentikan dengan mengambil ubat tertentu.
Akan tetapi mengapakah kerasukan berulang apabila ubat habis dimakan? Jawapannya
dapat diperolehi dengan mengkaji peranan syaitan. Apabila syaitan memasuki tubuh
badan manusia, ia mampu mengganggu kestabilan saraf dan keseimbangan hormon. Bahkan
ia mampu melakukan pelbagai lagi yang tidak dianggap sebagai kerasukan, seperti
mematikan saraf (paralyse), menyumbat saluran darah (blood clot) dan merangsang
sel-sel tertentu untuk berkembang dengan pantas secara tak terkawal (tumor and cancer).
Semua ini amat mudah bagi syaitan dan semua ini akan diakui oleh sesiapa yang mengkaji
secara teliti kesemua ciri-ciri syaitan yang dikupas dalam bab ini.
Walaubagaimana
pun, ini tidaklah bererti semua penyakit dan gangguan tingkah laku berpunca dari
syaitan. Sebahagiannya berpunca dari faktor lain seperti gizi pemakanan yang tidak
seimbang, kecederaan fizikal, tekanan jiwa, usia tua dan sebagainya. Maka tidaklah
benar anggapan golongan kedua bahawa semua perubahan kelakuan berpunca dari syaitan.
Yang benar adalah bahawa kerasukan mungkin berpunca dari penyakit dan mungkin juga
berpunca dari syaitan. Maka apa yang berpunca dari penyakit, ia dihentikan dengan
ubat-ubatan yang diberi oleh doktor pakar manakala apa yang berpunca dari syaitan,
ia dihentikan dengan zikir-zikir yang diajar oleh Rasulullah SAW. Jika tidak pasti
sama ada kerasukan berpunca dari penyakit atau syaitan, maka kedua-dua kaedah digunakan
serentak untuk menghentikannya.
Seterusnya,
peranan syaitan dalam menyebabkan kerasukan kepada manusia terbahagi kepada dua
kategori:
Kategori
Pertama: Kerasukan yang dilakukan oleh syaitan berdasarkan kemahuannya sendiri.
Sengaja syaitan merasuk manusia untuk menyesatkannya, mengkafirkannya, mensyirikkannya
dan memasukkan mangsa tersebut ke dalam neraka. Semua ini dapat dicapai oleh syaitan
apabila mangsa atau orang di sekelilingnya cuba mengubati kerasukan itu dengan cara
yang berbeza dari tunjuk ajar Rasulullah, bahkan dengan cara yang dilarang oleh
Islam.
Kategori
Kedua: Kerasukan yang dilakukan oleh syaitan berdasarkan perintah tuannya. Ini disebut
sebagai sihir. Sihir adalah satu tindakan jahat yang memerlukan dua unsur utama:
Manusia sebagai ahli sihir sekali gus merangkap jawatan “Tuan”. Syaitan sebagai
khadam yang melakukan kerja sihir yang diperintah oleh tuannya. Melalui sihir syaitan
dapat mencapai beberapa objektifnya. Secara terperinci:
- Objektif
Menyesatkan: Apabila orang yang terkena sihir berubat, lazimnya mereka tidak tahu
cara perubatan sahih yang diajar oleh Rasulullah SAW. Mereka berjumpa dengan mana-mana
bomoh atau ustaz yang masyhur di sisi masyarakat untuk berubat dan menerima apa
saja kaedah perubatan yang diberikan olehnya. Bahkan mereka tidak tahu apakah maksud
jampi-jampian yang dibacakan ke atas mereka. Akibatnya, mereka telah meninggalkan
jalan Rasulullah kepada jalan lain yang menyesatkan.
- Objektif
Memusyrikkan: Apabila orang yang terkena sihir berubat, lazimnya mereka meletakkan
keyakinan bahawa pengaruh kesembuhan adalah dari bomoh atau ustaz yang sedang mengubatinya
beserta bacaan-bacaan jampi mereka. Padahal satu-satunya pengaruh untuk kesembuhan
ialah Allah SWT . Apabila keyakinan seseorang terhadap kuasa yang dapat memberi
manfaat dan mudarat kepadanya beralih dari Allah kepada sesuatu yang lain, dia telah
syirik kepada Allah.
-·Objektif
Mengkafirkan: Satu contoh mudah, apabila Jamal ingin berbuat jahat kepada Jamilah,
dia akan menemui seorang ahli sihir bernama Ahmad dan menyampaikan hajatnya. Ahmad
akan memerintah khadamnya, yakni syaitan, untuk membuat apa yang dihajatkan oleh
Jamal ke atas Jamilah. Perbuatan itu pelbagai, dari muntah darah, gangguan pemikiran
sehinggalah kepada kerasukan. Inilah yang lazim disebut sebagai “kena buat orang!”
Untuk melawan buatan sihir itu, Jamilah akan pergi menemui seorang ahli sihir lain
bernama Kamal dan menyampaikan hajatnya. Kamal akan memerintahkan khadamnya, yakni
syaitan, untuk membuatkan apa yang dihajatkan oleh Jamilah ke atas Jamal. Demikianlah
ia berulang antara Jamal dan Jamilah.
Dalam
contoh di atas, syaitan berjaya mengkafirkan kesemua Jamal, Jamilah, Ahmad dan Kamal.
Sekali pun syaitan disebut sebagai “khadam”, sebenarnya ia adalah tuan kepada semua
yang terbabit, termasuklah Ahmad dan Kamal. Syaitan hanya berpura-pura menjadi khadam
asalkan dengan itu tercapailah objektifnya untuk mengkafirkan manusia. Sesiapa saja
yang terlibat dengan sihir, sama ada untuk menyihir atau melawan sihir dengan sihir,
akan menjadi kafir berdasarkan firman Allah SWT: “Mereka mengikut ajaran-ajaran
sihir yang dibacakan oleh puak-puak syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman,
padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan
tetapi syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); Kerana merekalah yang
mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut
dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang
pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini
hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir
(dengan mempelajari sihir).”[al-Baqarah 2:102]
- Objektif
memasukkan ke dalam neraka: Orang yang berurusan dengan sihir akan menerima padah
yang buruk di Hari Akhirat, termasuk diazab di dalam neraka. Allah SWT berfirman:
“Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara (sihir) yang hanya membahayakan mereka
dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka telahpun mengetahui
bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu, tidaklah lagi mendapat bahagian yang
baik di Akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri
mereka, kalaulah mereka mengetahui.” [al-Baqarah 2:102][37]
Ciri
# 17: Syaitan dapat mempengaruhi mimpi manusia.
Syaitan
bukan sahaja mempengaruhi hati manusia tetapi juga mimpi yang dialami oleh manusia.
Rasulullah SAW menjelaskan: “Mimpi yang baik adalah dari Allah manakala mimpi yang
buruk adalah dari syaitan.Maka apabila seseorang kalian mengalami mimpi buruk yang
menakutkannya, hendaklah dia meludah ke arah kirinya dan minta perlindungan dari
Allah dari keburukannya kerana setelah itu ia (mimpi tersebut) tidak akan mengakibatkan
apa-apa kemudaratan.”[38]
Mimpi
buruk dari syaitan tidak terhad kepada sesuatu yang mengerikan (nightmare) sahaja.
Dalam rangka mempengaruhi mimpi manusia, syaitan adakalanya menjelma sebagai seorang
syaikh, wali atau tuan guru lalu menyampaikan sesuatu ajaran agama, seperti zikir-zikir
dan amal ibadah yang menyalahi apa yang diajar oleh Rasulullah SAW. Orang yang sedang
bermimpi menduga dia telah mendapat mimpi yang baik dari Allah padahal yang benar
dia mendapat mimpi yang buruk dari syaitan. Dia menyangka telah mendapat satu syari‘at
khusus dari Allah berbanding syari‘at awam yang dibawa oleh Rasulullah, padahal
yang dia dapati hanyalah syari‘at kesesatan dari syaitan. Berkaitan mimpi, ramai
orang yang salah faham tentang hadis Rasulullah SAW: “Sesiapa yang melihat aku dalam
mimpi maka sungguh dia telah melihat dengan benar kerana syaitan tidak dapat menyerupai
aku.[39]
Mereka
menganggap siapa jua yang mereka temui dalam mimpi yang memiliki ciri-ciri berjambang,
memakai serban dan jubah putih serta menaiki unta dalam suasana padang pasir atau
sedang berteduh di bawah pohon kurma, maka orang itu ialah Rasulullah. Memang benar
bahawa syaitan tidak boleh menjelma sebagai Rasulullah. Akan tetapi syaitan boleh
menjelma sebagai seseorang lain lalu orang yang bermimpi mendakwa itu adalah Rasulullah.
Lebih-lebih lagi apabila orang itu sendiri sebelum tidur melakukan sekian-sekian
zikir dan selawat yang dipercayai boleh menghadirkan Rasulullah dalam mimpinya.
Maka syaitan datang menjelma dalam mimpi sebagai seseorang yang berjambang, berserban,
berjubah dan menaiki unta, lalu segera dianggap oleh orang yang bermimpi: Itu adalah
Rasulullah.
Ciri
# 18: Syaitan dapat beraktiviti.
Syaitan
adalah satu makhluk yang memiliki kemahiran membuat, bertindak dan beraktiviti.
Antara aktiviti tersebut ialah membuat bangunan dan menyelam untuk Nabi Sulaiman
AS: (Sulaiman berdoa): “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku dan kurniakanlah
kepadaku sebuah kerajaan yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku;
sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurnia-Nya.” Maka (Kami kabulkan permohonannya
lalu) Kami mudahkan baginya menggunakan angin yang bertiup perlahan-lahan menurut
kemahuannya, ke arah mana sahaja yang hendak ditujunya. Dan (Kami mudahkan bagi
Sulaiman memerintah) syaitan: golongan-golongan yang pandai mendirikan bangunan
dan yang menjadi penyelam. [Shad 38:35-37]
Jika
syaitan mampu membina bangunan dan menyelam, maka mudah sangatlah bagi ia untuk
melakukan aktiviti yang dianggap masyarakat sebagai satu mukjizat atau Karamah seperti
air yang tiba-tiba mengalir keluar dari tanah yang tandus, makanan yang datang dari
arah kubur seorang syaikh, al-Qur’an yang terbuka dan tertutup dengan sendirinya,
lampu atau pelita yang menyala dan padam dengan sendirinya dan aktiviti-aktiviti
lain yang di luar adat kebiasaan.
Syaitan
melakukan semua itu kerana dua sebab: Syaitan tersebut dipelihara oleh tuannya dan
tuannya ingin agar masyarakat menghormati dia dan menganggap dia sebagai wali. Maka
dia mengarahkan syaitan peliharaannya melakukan aktiviti-aktiviti di luar adat kebiasaan
untuk memberi pengaruh kepada masyakarat. Dengan ketipan jarinya, lampu akan menyala.
Dengan tepukan tangan, rumah jiran yang condong ditiup angin kuat kembali tegak.
Dengan satu senyuman, gadis yang kerasukan tiba-tiba sembuh dan tersenyum. Dengan
mengangkat kedua tangannya, perahu yang tenggelam di laut dalam akan timbul. Bahkan
syaitan mampu membawanya terbang dan bergerak pantas (Lihat Ciri # 13). Fenomena
terakhir ini lazim dilakukan oleh pakar-pakar seni mempertahankan diri dimana mereka
boleh terbang sambil melawan atau mengejar musuh. Ia juga dilakukan oleh para syaikh
tareqat: sarapan di Masjidil Haram, makan tengahari di Masjidil Aqsa, minum petang
di Kandahar, makan malam di rumahnya. Semua ini akan menyebabkan masyarakat memandang
mereka sebagai seorang wali Allah.
Syaitan
ingin menyesatkan masyarakat setempat dan membawa fitnah kepada seorang hamba yang
shalih. Maka syaitan menerbitkan mata air di tanah tandus berhampiran rumah orang
solih itu, menempatkan awan di atas rumahnya agar sentiasa teduh, mengarahkan angin
untuk meniup daun-daun kering dari laman rumahnya dan membuka pintu pagar bagi sesiapa
yang berhajat untuk mengunjunginya. Aktiviti-aktiviti di luar adat kebiasaan sebegini
akan menyebabkan masyarakat segera menganggap orang shalih tersebut sebagai wali
Allah.
Dalam
kedua-dua kes di atas, apabila masyarakat mula menganggap seseorang itu sebagai
wali Allah, mereka akan bersegera mengambil berkat darinya, meminta air jampi darinya,
berdoa dengan perantaraannya, menggantung potretnya dan bersolat dengan menghadap
gambarnya. Dengan semua ini tercapailah objektif syaitan untuk menyesat, mengkafir,
memusyrik dan menjadikan mereka ahli neraka. Khusus kepada kes kedua, ia lazim berlaku
kepada para shaikh tasawuf. Mereka asalnya ialah para hamba Allah yang shalih lagi
bertaqwa, yang mendisiplinkan diri untuk beribadah kepada Allah secara bersungguh-sungguh.
Kemudian syaitan datang melakukan beberapa aktiviti di luar adat kebiasaan di sekelilingnya
sehingga masyarakat menganggap dia adalah seorang wali Allah. Dari sini mulalah
mereka mengagungkan dia dengan pelbagai amalan bid‘ah dan cerita-cerita fantasy.
Akhirnya seorang hamba Allah yang shalih telah diangkat oleh masyarakat menjadi
super wali dan pelbagai pemikiran serta amalan yang syirik dilakukan atas namanya.[40]
Ciri
# 19: Syaitan dapat ditangkap.
Abu
Darda RA menerangkan bahawa Rasulullah SAW bangun untuk bersolat, lalu ketika sedang
solat, baginda berkata: “Aku berlindung kepada Allah dari engkau!”. Kemudian baginda
berkata: “Aku melaknat engkau dengan laknat Allah!” Sebanyak tiga kali, sambil menghulurkan
tangan seolah-olah ingin menangkap sesuatu. Apabila baginda selesai solat, kami
bertanya: “Wahai Rasulullah! Kami mendengar kamu berkata dalam solat sesuatu yang
tidak pernah kami dengar kamu memperkatakannya (ketika sedang solat) dan kami melihat
kamu menghulurkan tangan.”
Rasulullah
SAW menjawab: “Sesungguhnya musuh Allah, yakni iblis, datang dengan membawa api
untuk dilemparkan ke muka aku. Maka aku mengucap: “Aku berlindung kepada Allah dari
engkau!” tiga kali. Kemudian aku mengucap: “Aku melaknat engkau dengan laknat Allah!”
akan tetapi dia tidak mengundur diri. Kemudian aku bermaksud untuk menangkapnya.
Demi Allah! Jika bukanlah kerana doa saudara kami Sulaiman nescaya ia akan terikat
sehingga pagi dan dijadikan mainan anak-anak warga Madinah.[41]
Berdasarkan
hadis di atas, syaitan adalah satu makhluk yang boleh ditangkap, dikurung dan diikat.
Hanya dari sudut syari‘at tindakan menangkap, mengurung dan mengikat makhluk jin
dan syaitan tidak dibenarkan disebabkan oleh doa Nabi Sulaiman AS yang telah dikemukakan
sebelum ini: “ (Sulaiman berdoa): “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku dan kurniakanlah
kepadaku sebuah kerajaan yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku;
sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurnia-Nya.” [Shad 38:35]
Berdasarkan
doa ini, Rasulullah SAW tidak menangkap iblis sekali pun baginda mampu melakukannya.
Ini kerana tindakan tersebut hanya dibolehkan kepada Nabi Sulaiman dan dilarang
kepada selainnya, termasuk Rasulullah dan umat baginda. Bagi Rasulullah dan umat
baginda, Allah yang akan mengikat iblis sekali setahun, iaitu sepanjang bulan Ramadhan.
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila masuk bulan Ramadhan, pintu-pintu syurga dibuka,
pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan diikat.[42] Berdasarkan hadis di atas juga dapat kita
bezakan bahawa orang-orang yang memelihara atau menggunakan khidmat jin dan syaitan,
mereka sebenarnya tidak mengikuti ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah. Jin dan syaitan
sengaja membiarkan diri mereka diikat dan dijadikan khadam oleh tuannya agar dengan
itu mereka dapat menjerumuskan tuan mereka ke dalam kesesatan.[43]
Ciri
# 20: Syaitan memiliki waktu kegemaran.
Orang
tua kita lazim berpesan, jangan bermain di luar ketika waktu senja. Pesanan ini
berasal dari Rasulullah SAW: “Apabila malam menjelang tiba maka tahanlah anak-anak
kalian (dari keluar) kerana sesungguhnya pada waktu itu syaitan-syaitan berkeliaran.
Apabila telah berlalu waktu Isya’, maka lepaskanlah mereka.[44]
Ciri
# 21: Syaitan memiliki tempat kegemaran.
Syaitan
juga memiliki tempat kegemarannya, atau apa yang dapat disebut sebagai tempat melepaknya.
Rasulullah SAW bersabda: “Selagi mampu, janganlah menjadi orang yang pertama memasuki
pasar dan janganlah menjadi orang terakhir keluar dari pasar kerana sesungguhnya
pasar adalah medan tempur syaitan dan di situlah benderanya dicacak.[45]
Pada zaman kini pasar bukan sahaja merujuk kepada tempat
menjual ikan dan sayur tetapi meluas kepada pasaraya, pusat membeli belah dan bursa
saham
Rujukkan;
[1] Penyusunan bab ini
adalah berdasarkan manhaj Imam al-Bukhari rahimahullah (256H) yang telah meletakkan
satu bab khusus dalam kitab Shahihnya, iaitu Sifat iblis dan para tenteranya. Dalam
bab tersebut beliau telah meletakkan hadis-hadis yang menerangkan sifat-sifat atau
ciri-ciri iblis, syaitan dan para tentera mereka. Lalu saya mengikuti manhaj tersebut
dan menghimpun ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis sahih dari kitab Shahih
al-Bukhari dan selainnya berkenaan ciri-ciri syaitan ke dalam bab ini.
[2] Sahih:
Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 828-2 (Kitab solat al-Musafirin…,
Bab waktu-waktu yang dilarang solat padanya).
[3] Sahih: Dikeluarkan
oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3289 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat
iblis dan tenteranya).
[4] Sahih:
Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2995 (Kitab al-Zuhd wa al-Raqa’iq,
Bab bersin dan kebencian menguap).
[5] Sahih: Dikeluarkan
oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6223 (Kitab al-Adab, Bab disukai bersin
dan dibenci menguap).
[6] Sahih: Dikeluarkan
oleh al-Thabarani dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir,
hadis no: 686.
[7] Hasan Sahih: Dikeluarkan
oleh Abu Daud dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud,hadis
no: 5029 (Kitab al-Adab, bab berkenaan bersin). Syaikh Ismail bin Marsyud al-Rumaih
memiliki buku kecil yang khas lagi menarik dalam bab ini, berjudul Adab al-Tatstsaub
wa al-‘Uthas yang sudah diterjemah oleh Ismail Ali atas judul Adab Menguap dan Bersin
yang diterbitkan oleh Pustaka Imam asy-Syafi’i, Bogor, 2004.
[8] Sahih: Dikeluarkan
oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2020 (Kitab al-Asyrabah, Bab adab makan dan
minum…).
[9] Sahih: Dikeluarkan
oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2021 (Kitab al-Asyrabah, Bab adab makan dan
minum…).
[10] Sahih: Dikeluarkan
oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3286 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat
iblis dan tenteranya).
[11] Sahih: Dikeluarkan
oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2034 (Kitab al-Asyrabah, Bab disukai menjilat
jari…).
[12] Sanad Sahih: Dikeluarkan
oleh al-Darimi dan sanadnya dinilai sahih oleh Husain Salim Asad dalam semakannya
ke atas Musnad al-Darimi, hadis no: 2174 (Kitab al-Asyrabah, Bab orang yang dibenci
minum berdiri).
[13] Sahih: Dikeluarkan
oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2027 (Kitab al-Asyrabah, Bab minum air zam-zam
sambil berdiri).
[14] Sahih: Dikeluarkan
oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3270 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat
iblis dan tenteranya).
[15] Sanad Sahih: Dikeluarkan
oleh Ibn Hibban dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dalam semakannya
ke atas Shahih Ibn Hibban, hadis no: 6189 (Kitab al-Tarikh, Bab permulaan penciptaan,
berkenaan khabar iblis yang meletakkan mahkota ke atas kepala tenteranya yang paling
berjaya membuat fitnah).
[16] Sahih: Dikeluarkan
oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2813-2 (Kitab Sifat al-Qiyamah wa al-Jannah…,
Bab gangguan syaitan dan pengutusan tenteranya…).
[17] Sahih: Dikeluarkan
oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2018 (Kitab al-Asyrabah, Bab adab makan dan
minum…).
[18] Sahih: Dikeluarkan
oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2012 (Kitab al-Asyrabah, Bab perintah menutupi
bekas…).
[19] Sahih: Dikeluarkan
oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3295 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat
iblis dan tenteranya).
[20] Sahih: Dikeluarkan
oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 389-2 (Kitab al-Solat, Bab keutamaan azan…).
[21] Sahih: Dikeluarkan
oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 7171 (Kitab al-Ahkam, Bab persaksian
hakim…).
[22] Sahih: Dikeluarkan
oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2175 (Kitab al-Salam, Bab apabila dilihat
mengiringi seorang wanita, disukai menjelaskan bahawa …).
[23] Dalam hadis ini
terdapat beberapa petunjuk tambahan yang penting, iaitu:
1.
Orang yang sedang beriktikaf di masjid boleh menerima lawatan dari kaum keluarganya
dan berbincang sesuatu urusan keluarga.
2.
Merupakan etika yang baik lagi bertepatan dengan sunnah yang mulia apabila isteri
hendak keluar rumah (dengan izin suami), suami mengiringinya ke pintu rumah atau
pagar luar rumah. Demikian juga apabila suami hendak keluar rumah, isteri mengiringinya
ke pintu rumah atau pagar luar rumah.
3.
1400 tahun yang lalu, manusia mengetahui bahawa dalam badan mereka terdapat darah.
Akan tetapi manusia tidak tahu bahawa darah tersebut bergerak dan mengalir dalam
badannya. Hadis di atas merupakan salah satu pembuktian bahawa sabda Rasulullah
berasal dari Allah dan bukan dari dirinya sendiri.
4.
Apabila seseorang itu melakukan perkara yang aneh atau berlainan dari kebiasaan,
hendaklah dia serta merta menjelaskan perbuatannya itu kepada orang-orang di sekelilingnya
bagi mengelak syaitan mempengaruhi orang-orang tersebut dengan sesuatu sangkaan
yang buruk. Ini dilakukan sekali pun orang-orang di sekeliling tidak berkata apa-apa
ketika menyaksikan keanehan atau kelainan tersebut.
5.
Demikian juga apabila berlaku salah faham dalam perbincangan atau komunikasi, hendaklah
diluruskan salah faham tersebut serta merta sebelum syaitan sempat menghasut permusuhan
antara satu sama lain. Pada masa kini terdapat banyak alat canggih untuk berkomunikasi
dengan segera, seperti SMS (sistem pesanan ringkas) dan emel.
[24] Sahih: Dikeluarkan
oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3276 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat
iblis dan tenteranya).
[25] Sahih: Dikeluarkan
oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi,
hadis no: 2988(Kitab al-Tafsir, Bab tafsir surah al-Baqarah).
[26] Sahih: Dikeluarkan
oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1403 (Kitab al-Nikah, Bab orang yang melihat
wanita…).
[27] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya,
hadis no: 2203 (Kitab al-Salam, Bab meminta perlindungan dari syaitan…).
[28] Hasan: Dikeluarkan
oleh al-Baihaqi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir,
hadis no: 3011.
[29] Sahih: Dikeluarkan
oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2815 (Kitab Sifat al-Qiyamah wa al-Jannah…,
Bab gangguan syaitan dan pengutusan tenteranya…).
[30] Sahih: Dikeluarkan
oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3282 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat
iblis dan tenteranya).
[31] Hasan: Dikeluarkan
oleh al-Baihaqi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir,
hadis no: 3011.
[32] Sahih: Dikeluarkan
oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2165 (Kitab al-Salam, Bab larangan mendahului
Ahl al-Kitab…).
[33] Sahih: Dikeluarkan
oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 90 (Kitab al-‘Ilm, Bab marah dalam memberi
nasihat dan pengajaran apabila melihat sesuatu yang tidak disukai). Syaikh Khumais
al-Sa‘id Muhammad Abdullah memiliki buku yang baik berkenaan marah, berjudul Mawaqif
Ghadhiba fihan al-Nabi yang sudah diterjemahkan oleh Beni Sarbeni atas judul Pelajaran
Penting Dari Marahnya Nabi, diterbitkan oleh Pustaka Ibnu Katsir, Bogor, 2005.
[34] Sahih: Dikeluarkan
oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 509 (Kitab al-Solat, Bab orang yang solat
menghalang orang yang melintas…).
Terjemahan
harfiyah bahagian akhir hadis di atas ialah “…Jika dia enggan (dan tetap berkeras
untuk melintas) maka bunuhlah dia kerana…”. al-Hafiz ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah
(852H) menukil perkataan Imam al-Qurtubi bahawa yang dimaksudkan dengan “bunuhlah
dia” ialah menahan orang tersebut dengan lebih tegas. al-Qurtubi melanjutkan: “Para
ulama’ sepakat bahawa orang yang solat tidak wajib memerangi orang yang melintas
di hadapannya dengan menggunakan senjata kerana perbuatan itu menyalahi kaedah untuk
melaksanakan solat dengan khusyuk.” [Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari (edisi
terjemahan oleh Amiruddin dengan judul yang sama; Pustaka Azzam, Jakarta, 2003),
jld. 3, ms. 291 (syarah kepada hadis no: 509)].
Lebih
lanjut berkenaan hukum meletak penghadang bagi orang yang sedang solat, rujuk buku
saya Panduan Ibadah Dalam Musafir Penerbangan (Jahabersa, Johor Bahru), ms. 129.
[35] Fath al-Bari, jld.
3, ms. 293 (syarah kepada hadis no: 509).
[36] Sahih: Dikeluarkan
oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis
no: 5247(Kitab al-Adab, Bab berkenaan memadamkan api pada malam hari).
[37] Lebih lanjut tentang
sihir, sila kaji buku-buku berikut:
1.
‘Abd al-Salam al-Syukri – al-Shir bain al-Haqiqah wa al-Wahm fi al-Tashawwur al-Islami
(edisi terjemahan oleh Tirmidzi & Sari Narulita atas judul Bedah Tuntas Sihir;
Pustaka Qalami, Jakarta, 2004).
2.
Muhammad ‘Umar Sulaiman al-Asyqar – ‘Alam al-Sihr wa al-Sya’wadzah (edisi terjemahan
oleh Munirul Abidin atas judul Candu Mistik: Menyingkap Sihir dan Perdukunan; Darul
Falah, Jakarta, 2005).
3.
Ibrahim ‘Abd al-Alim – ar-Radd al-Mubin ‘ala Bida‘i al-Mu‘alijin (edisi terjemahan
oleh Masturi Irham & Abdurrahman Salih atas judul Rujukan Lengkap Masalah Jin
dan Sihir; Pustaka al-Kautsar, Jakarta, 2005).
4.
Abu Ameenah Bilal Philips – The Exorcist Tradition In Islam (Dar al-Fatah, Sharjah,
1997).
5.
Abu Ubaidah Mahir bin Saleh Ali Mubarak (edisi terjemahan oleh Abu Ahmad atas judul
Ruqyah Syar‘iyyah: Gangguan Jin, Hasad dan ‘Ain; Duta Ilmu, Surabaya, 2006).
6.
Abu Mundzir Khalil bin Ibrahim Amin – al-Thuruq al-Hisan fi ‘Illaj Amradh al-Jan
(edisi terjemahan oleh Mahfudz; Pustaka Progressif, Jakarta, 2005).
7.
Syaikh Askari bin Jamal al-Bugisi – Meluruskan Pemahaman Tentang Hadits Sihir, Studi
Kritis Buku: Benarkah Nabi Muhammad s.a.w. Pernah Tersihir Karya Ali Umar al-Habsyi;
Pustaka Qaulan Sadida, Malang, 2006.
[38] Sahih: Dikeluarkan
oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3292 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat
iblis dan tenteranya).
[39] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya,
hadis no: 6997 (Kitab al-Ta’bir, Bab siapa yang melihat Nabi dalam mimpi).
[40] Berkenaan para wali
dan sikap Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah kepadanya, rujuk buku saya Marilah Berkenalan
Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Berkenaan amalan mengambil berkat, rujuk risalah
saya Perkara Ke-13 Yang Mencemari Kemurnian Tauhid: Menetapkan Keberkatan Terhadap
Sesuatu Tanpa Dalil yang dimuatkan dalam bukuHimpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan
Ummah (Buku 6). Berkenaan amalan berdoa dengan perantaraan seorang hamba shalih,
rujuk buku saya 11 Perkara Yang Mencemari Kemurnian Tauhid. Berkenaan ilmu tasawuf
dan para syaikhnya, rujuk risalah saya Pandangan Ibn Taimiyyah Dalam Tasawuf yang
dimuatkan dalam buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 6). Kesemuanya
diterbitkan oleh Jahabersa, Johor Bahru.
[41] Sahih: Dikeluarkan
oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 542 (Kitab al-Masajid…, Bab boleh melaknat
syaitan ketika sedang solat…).
[42] Sahih: Dikeluarkan
oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3277 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat
iblis dan tenteranya).
[43] Lebih lanjut berkenaan
menggunakan khidmat jin, termasuk “jin muslim”, sila rujuk buku saya 11 Perkara
Yang Mencemari Kemurnian Tauhid, terbitan Jahabersa, Johor Bahru.
[44] Sahih: Dikeluarkan
oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3280 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat
iblis dan tenteranya).
[45] Sahih: Dikeluarkan oleh
Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2451 (Kitab Fadhail al-Shahabah, Bab keutamaan
Umm Salamah).
No comments:
Post a Comment