DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Wednesday, November 20, 2013

Redhakah Kita Atas Nikmat dan Ujian Allah

Bila sebut tentang redha, sesiapa sahaja boleh menyebut perkataan tersebut. Namun untuk melakukannya teramat lah sukar bagi insan yang pernah mengalami dugaan dan ujian yg hebat. Mampukah kita berlaku redha dengan sesuatu perkara itu samada dalam nikmat dan ujian Allah SWT? Sifat redha adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah SWT. Yang di maksudkan dengan redha adalah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah SWT baik berupa peraturan (hukum) mahupun qada' atau sesuatu ketentuan daripada Allah SWT. Redha terhadap Allah SWT terbahagi kepada dua:

1 - Redha menerima peraturan (hukum) Allah SWT yang dibebankan kepada manusia.
2 - Redha menerima ketentuan Allah SWT tentang nasib yang mengenai diri.
Redha menerima hukum-hukum Allah SWT adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah SWT kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa. Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah SWT dan Rasulnya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah SWT dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya. Firman Allah SWT: "Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu (Muhammad) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh - sungguh". (Surah An-Nisaa': Ayat 65)

Dan firman Allah SWT: "Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata: 'Cukuplah Allah bagi kami, Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya ,Sesungguhnya pada Allah kami menuju". (Surah At Taubah: Ayat 59) Pada dasarnya segala perintah-perintah Allah SWT baik yang wajib mahupun yang Sunnah ,hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah SWT hendaklah dijauhi dengan lapang dada.

Itulah sifat redha dengan hukum-hukum Allah SWT. Redha itu bertentangan dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah SWT. Firman Allah SWT: "Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka (yang munafik) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa yang diturunkan oleh Allah SWT. ‘Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu ',Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka". (Surah Muhammad: Ayat 26)

Andaikata mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan solat maka ibadah itu mereka melakukannya dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum Allah SWT, yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian iman dan yang tidak redha itu adalah gejala nifaq.
Redha dengan qada' iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah SWT baik berupa nikmat mahupun berupa musibah (malapetaka). Didalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah SWT, iaitu mereka memuji Allah (bertahmid) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang. Diberitakan Rasulullah SAW apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata: " Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan". Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan , Baginda mengucapkan: "Segala puji bagi Allah atas segala perkara".

Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada Allah SWT dijelaskan didalam hadis Baginda yang lain: “Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendakalah kamu katakan: Allah telah mentaqdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat! "Kerana sesungguhnya perkataan: andaikata... itu memberi peluang pada syaitan". (Riwayat Muslim)

Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah SWT Ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua pengertian:

Pertama: Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah SWT memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.

Kedua: Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah SWT itulah yang paling baik, dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.

Sabda Rasulullah SAW: "Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin. Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya". (Riwayat Muslim) 

Redha dengan rezeki yang ada: Di dalam konteks redha pada menerima ketentuan Ilahi, juga termasuk redha (qana'ah) menerima rezeki yang dianugerahkan oleh Allah SWT banyak atau sedikitnya. Didalam sifat qana'ah dengan pemberian Allah itu terdapatnya mutiara kebahagiaan bagi orang mukmin. Rasulullah SAW bersabda: "Sungguh berbahagialah orang yang masuk Islam , rezekinya sederhana dan berhati puas (qana'ah  menerima segala pemberian Allah". ( Riwayat Muslim ) Dan Rasulullah SAW bersabda: "Berbahagialah siapa yang ditunjuki ke dalam Islam, penghidupan yang sederhana dan qana'ah (merasa dengan pemberian Allah". (Riwayat Tirmidzi)

Merasa cukup , puas dan redha menerima rezeki yang dianugerahkan Allah SWT termasuk kekayaan rohani yang tidak ternilai harganya. Sabda Rasulullah SAW: "Bukannya kekayaan itu kerana banyaknya harta, kekayaan yang sebenarnya ialah kekayaan jiwa". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mengharapkan redha Ilahi: Sebagaimana mahabbah bertujuan agar memperolehi kasih dan cinta Ilahi maka demikianlah juga sifat redha bertujuan memperolehi redha Ilahi. Firman Allah SWT: "Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepadanya, yang demikian itu bagi orang yang takut kepada Tuhannya". ( Al-Bayyinah: Ayat 8) Dan firman Allah SWT lagi tentang orang-orang yang membelanjakan harta semata-mata untuk memperolehi keredhaan Allah SWT: "Mereka yang menafkahkan hartanya kerana ingin jadi bersih. Padahal tiada padanya budi yang patut dibalas.Melainkan semata-mata kerana hendak mencari keredhaan Tuhannya Yang Maha Tinggi.Dan Tuhannya pun redha kepadanya". (Surah Al-Lail: Ayat 18-21)

Rasulullah SAW bersabda: “Bila Allah cinta kepada sesuatu kaum, mereka akan diuji . Barang siapa redha menerima ujian maka redha pula kepadanya dan barang siapa yang murka, maka Allah SWT pun murka kepadanya". (Riwayat Tirmidzi)

Redha kepada keluarga dan anak-anak yang merupakan amanah yang wajib dipikul oleh setiap individu Muslim yang mana redha dan sabar perlu seiring di dalam membentuk baitu Muslim dan generasi Rabbaniyang memerlukan suatu pengorbanan yang besar. Begitu juga bagi anak-anak di dalam menghormati ibubapa seperti yang disebutkan di dalam sabda Rasulullah SAW: "Keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibubapa". (Riwayat Bukhari dan Muslim) dan Rasulullah SAW pernah berkata kepada Ibnu Abbas RA: "Jika kamu sanggup beramal kerana Allah dengan redha berserta yakin maka lakukanlah. Tetapi jika kamu tidak sanggup , maka sesungguhnya kesabaran atas sesuatu yang tidak menyenangkan itu ada kebaikan yang banyak".

Redha membawa nikmat dan bahagia: Redha Ilahi yang diperolehi orang yang redha kepada Allah SWT itulah nikmat dan merupakan kunci kebahagiaan yang sejati .Sesiapa yang diredhai Allah SWT, pastilah dia akan diberikan kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat. Lalu mereka akan dimasukkan ke dalam syurganya dan kekal di dalamnya untuk selama-lamanya. Firman Allah SWT: "Wahai jiwa yang tenang dan tenteram kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai. Iaitu masuklah ke dalam golongan hambaku (yang soleh). Dan masuklah ke dalam syurgaku". (Surah Al-Fajr: Ayat 27-30)
Berkat redha itulah maka di dunia akan mendapat ketenangan jiwa dan di akhirat akan memperolehi kebahagiaan yang kekal untuk selama-lamanya. Redha mengakui bahawa Allah SWT sebagai Tuhan yang disembah, Islam sebagai Agama yang benar dan Rasulullah SAW sebagai Nabi dan Rasul yang terakhir , maka itulah asas kemanisan iman yang membawa erti yang besar dan keuntungan yang besar bagi orang yang redha kerana merasakan kelazatan rohani. Sabda Rasulullah SAW: "Merasakan kemanisan iman , siapa yang redha dengan Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama Muhammad sebagai Rasul (Utusan)". (Riwayat Muslim)

Sesungguhnya ujian adalah salah satu lambang rahmat dan kasih sayang Allah SWT terhadap orang-orang yang beriman. Orang yang diuji Allah adalah orang yang dikasihi-Nya. Telah terbukti yang demikian itu dengan apa yang dialami oleh Rasul-rasul Ulul Azmi. Mereka dinobatkan dengan gelaran tersebut lantaran ujian dan mehnah yang sangat dahsyat. Yang ditempuh dengan penuh kesabaran dan keredhaan. Begitu juga apa yg dialami oleh para sahabat dan para pejuang yang telah berkorban jiwa dan raga mereka. Mereka redha dengan ujian Allah sehingga Allah meredhai mereka.

Walau bagaimanapun, ternyata hakikat ini sukar untuk ditelan oleh sekian ramai orang-orang yang diuji. Mereka sering mengeluh dan menghela nafas dengan penuh rasa kecewa saat menerima ujian. Sangat rumit dan payah untuk menghadapinya dengan redha dan berlapang dada. Ujian dianggap seolah-olah satu bebanan yang sangat menyusahkan. Hal yang demikian berlaku mungkin kerana mereka merasa bahawa diri mereka sudah cukup sempurna dan tidak perlu dididik dan ditarbiah lagi. Mereka inilah golongan yang diingatkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya: "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedangkan mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (Surah Al-Ankabut: 2-3)
Memang benar, ujianlah yang akan mengasingkan di antara yang benar dan dusta. Ujian juga yang menapis kebaikan dan kejahatan daripada bercampur di dalam hati. Sesungguhnya gelas yang bersih tidak layak diisi padanya air yang kotor. Begitu juga hati yang suci tidak sewajarnya didiami sifat yang keji. Yakinlah bahawa ujian itu rahmat Allah, ujian itu tarbiyah dari-Nya. Semakin besar ujian yang ditimpakan ke atas seorang hamba, semakin tinggi martabatnya di sisi Yang Esa. Mudah-mudahan Allah mengurniakan sifar sabar dan redha kepada kita semua yang menjadi ciri-ciri orang muttaqin

No comments: