DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Sunday, November 10, 2013

Kenapa, Dimana dan Siapa Yang Kita Takut

Setiap dari kita pasti mengalami rasa takut, bimbang, gusar dan berbagai lagi yang seangkatan dengannya. Adakalanya ketakutan ini menimbulkan fobia atau penyakit dalam diri bila kita tak mampu mengawasi atau menjangkakan semua yang berlaku mengikut keinginan diri. Bila berlaku sesuatu yang tidak diinginkan, akan timbul ketakutan dan kegusaran seperti takut tak diterima, takut gagal, takut dicerca, takut dicemuh dan pelbagai ketakutan lagi. Walhal ianya lumrah kehidupan kita, Soalnya, bagaimana hendak menghadapi ketakutan yang membuatkan kita hilang rasa percaya pada diri sendiri.
Rasa takut akan membuat kita tidak mampu beranjak kemana-mana, takut meyakinkan kita tidak akan mampu menggapai mimpi, membuat kita berdiam diri dan memisahkan kita dari orang yang dicintai. Rasa takut akan membelenggu kemampuan mengembangkan diri dan membatasi apa yang ingin kita cuba. Hakikatnya, rasa takut ini membuat kehidupan kita semakin sempit. Takut adalah berpunca dari respon semulajadi di dalam sistem biologi kita sebagai persediaan tubuh badan untuk mempertahankan diri secara untuk berlawan atau cabut lari. Ianya adalah petanda amaran untuk kita bertindakbalas bagi melakukan tindakan yang sewajarnya.

Takut menurut istilah kamus dewan ialah:-
1. gentar (gerun, ngeri) menghadapi sesuatu yg dianggap boleh membahayakan diri
2. berasa segan dan hormat, takwa: hendaklah kita ~ akan Allah
3. berasa bimbang (ragu-ragu, khuatir), gelisah:
4. tidak sanggup (menghadapi bahaya, menanggung derita, dll), tidak berani, kecut:

Apa yang ingin dibincangkan adalah berkenaan rasa takut yang menjadi batu penghalang kepada perubahan dan kejayaan diri dan cara-cara berkesan untuk mengawal rasa takut. Perasaan takut telah menyebabkan ramai orang terpaksa menangguhkan dan memendamkan keiginan dan impian mereka. Walau pun mempunyai keinginan cita-cita yang tinggi mereka lebih rela tidak bertindak kerana dibelenggu oleh persepsi lingkungan rasa takut tidak berjaya. Dari awal lagi mereka telah menetapkan pada diri bahawa mereka memang benar-benar tidak mampu melakukan. Mereka hanya berupaya untuk mengeluh nasib mereka yang tidak sebaik orang lain. Padahal mereka belum menguji keupayaan sebenar yang ada dalam diri mereka. Rasa takut telah menyekat potensi diri.
Teknik mudah atasi rasa takut.
1) Bersedia dan lakukan apa yang kita takuti. Lama kelamaan dengan belajar dari kesilapan dan kegagalan juga dari mereka yang telah berjaya akan menjadikan kita seorang yang berani untuk melakukan perkara yang kita takuti. I jump, you jump. Prinsip ini ialah kalau orang lain boleh buat ,kita juga pasti boleh lakukan.

2) Peniruan. Apa sahaja yang kita ingin lakukan tetapi kita takut untuk lakukan maka kita perlu cari role model untuk kita tiru tindakan mereka. Dengan mengunakan kaedah duplikasi maka rasa takut kita akan berkurangan apabila kita ada panduan yang betul untuk melakukan perkara yang kita takuti.

3) Menyedari setiap sesuatu perkerjaan dan perkara berlaku secara proses atau berperingkat-peringkat. Jadi jangan terlalu memikirkan tentang kesempurnaan. Kita perlu bersedia untuk menerima kekurangan diri dan kegagalan sebagai jalan menuju kecekapan seperti orang lain kerana mereka yang kita anggap bagus sebenarnya bermula dari kekurangan. Dengan rasa penerimaan ini akan dapat menghilangkan rasa takut. Bila berlaku kekurangan katakan pada diri kita: saya maafkan anda , saya terima anda dan saya sayang anda.

4) Rendamkan diri kita dengan tenaga positif iaitu dari alam kanak-kanak, alam semulajadi dan alam binatang. Ingat, semasa kita masih kanak-kanak lagi kita telah berjaya menakluk rasa takut dengan hanya menumpukan matlamat kita iaitu untuk berjalan seperti orang lain. Adakah kita rasa takut? Tidak sama sekali. Kita begitu berani cuba dan terus mencuba sehinggga berjaya. Lakukan tindakan kita seperti sifat kanak-kanak yang hanya mencintai keseronokan dan kepuasan sehingga menenggelamkan rasa takut dalam diri. Dengan memerhatikan tingkah laku kanak-kanak ,kita akan lebih dapat memahami tenaga tersebut. Mereka bebas bergaul dengan sesiapa sahaja tanpa rasa prejudis. Lihat pergerakkan alam bulan, bintang ,pokok air terjun dan sebagainya akan memberikan kita ilham untuk jadi lebih berani. Begitu juga dengan perhatikan tingkah laku haiwan. Sesungguhnya rasa cinta itu dapat menakluki rasa takut
Perkataan “khauf” yang bererti takut telah disentuh di dalam Al Qur’an sebanyak 134 kali dan perkataan  yang sinonim dengannya iaitu “Khasysyah” yang juga bererti takut terdapat sebanyak 84 kali. Allah SWT menjadikan kehidupan di dunia ini ibarat medan ujian yang mesti ditempuh oleh manusia. Firman Allah SWT tentang perkara tersebu: “Dialah Allah yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (QS Al Mulk: 2) Rasa takut (khauf) merupakan sifat kejiwaan dan kecenderungan fitri yang bersemayam di dalam hati  manusia dan memiliki peranan yang penting dalam kehidupan kejiwaan manusia. Sayyidina Ali bin Abi Talib ra berkata: (Man Khaafa Aamana), “Barangsiapa yang takut, aman!”

a. Kalau kita tidak takut hujan, kita tidak akan sediakan payung.
b. Apabila kita tidak takut sakit, kita tidak akan berusaha untuk meningkatkan kesihatan kita.
c. Apabila kita tidak takut negara rosak, maka kita tidak perlu memilih pemimpin yang baik.

Islam tidak memandang rasa takut yang ada dalam diri manusia sebagai aib yang mesti dihilangkan. Namun demikian, rasa takut akan menjadi sesuatu yang buruk apabila seseorang tidak mampu mengatur dan menyalurkan rasa takutnya, apalagi bila rasa takut itu menjadi halangan kepada apa-apa kemajuan, penghambat kebebasan mengamalkan sunnah dan membiarkan kehormatan dirinya rosak. Sayyidina Ali bin Abi Talib RA menasihati kita lagi: “Kalau kamu bertekad melakukan sesuatu, maka harungilah …… kerana bayangan bencana terlihat lebih besar dari yang sebenarnya.” Takut merupakan salah satu syarat iman dan kerelaan melaksanakan hukum-hukumnya. Takut kepada Allah adalah rasa takut yang semestinya dimiliki oleh setiap hamba kerana rasa takut itu mendorong untuk:
1. Meningkatkan amal kebaikan.
2. Bersegera meninggalkan semua yang dilarangNya.

Rasa takut kepada Yang Maha Kuasa adalah salah satu tiang penyangga keimanan kepadaNya. Dengan adanya rasa takut, timbul rasa harap akan keampunan, lahir harapan tentang ‘inayah' (pertolongan) serta rahmat Allah dan redhaNya. Sehingga hakikat “iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’iin” benar-benar termatri dalam kalbu seorang hamba. Di saat manusia merasakan getaran rasa takutnya kepada Allah, maka ketika itu bererti mereka memiliki rasa takut pula akan ancaman azab yang Allah sediakan bagi orang-orang yang derhaka kepadaNya.
Ma’rifah (pengetahuan) akan sifat Allah akan menghantarkan ke dalam pengetahuan tentang azabNya. Seorang hamba yang soleh, berma’rifatullah dan merealisasikan hakikat kehambaannya dengan sentiasa mengamalkan perintahNya dan mengamalkan pula semua ajaran rasulNya, pasti akan memiliki rasa takut yang mendalam terhadap azab yang mengancamnya. Sikap ini akan melahirkan kewaspadaan sehingga tidak ada amal atau perilaku yang mengarah kepada perkara-perkara yang menjadikan Allah murka dan menjadikan dirinya derhaka kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman: “Katakanlah: “Sesungguhnya aku takut akan siksaan hari yang besar jika aku durhaka kepada Tuhanku.” (QS Az Zumar: 13)

Sesungguhnya rasa takut kepada Allah itu merupakan salah satu perasaan yang diciptakan dalam diri manusia untuk memotivasi mereka dalam menyebarluaskan dan menjaga nilai-nilai Ilahi. Orang yang benar dalam memposisikan rasa takutnya akan merasakan rahmat Allah samada dalam kehidupan duniawi mahupun ukhrawi. Rasa takut ini dapat menjadi kuat dan lemah bergantung kepada keyakinan seseorang pada Allah SWT. Jika manusia itu memahami begitu banyak maksiatnya yang akan dihadapkan kepada Allah Yang Maha Agung yang tidak memerlukan apa-apa daripada kita, maka akan timbullah rasa takut. Maka orang yang paling tinggi rasa takutnya adalah yang paling mengetahui dirinya dan penciptanya. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya hanyalah yang paling takut pada Allah di antara hambanya adalah para ulama’.” (QS Faathir : 28)

Kesan dari rasa takut yang benar adalah jika seseorang sudah benar kefahamannya, maka mulailah rasa takut masuk dihatinya dan memberi kesan pada:
1. Wajahnya yang kelihatan pucat.
2. Perasaannya yang mulai gementar.
3. Tangisannya yang mula kedengaran.
Kemudian kesan itu menjadi penggugah untuk ia meninggalkan maksiat lalu terus membuat komitmen dalam ketaatan dan bersungguh-sungguh dalam beramal Ketakutan Para Anbia, Sahabat Radiallahuanhum dan Para Tabii kerana kurangnya amalan mereka kepada Allah SWT. Maka kita sebenarnya lebih patut untuk merasa takut dibandingkan dengan mereka. Mereka takut bukan kerana dosa melainkan kerana kesucian hati dan kesempurnaan ma’rifah, sementara kita telah dikalahkan oleh kekerasan hati dan kebodohan. Hati yang bersih akan bergetar hanya kerana sentuhan yang kecil, sementara hati yang kotor tidak berguna baginya nasihat dan ancaman. 


Ya Allah, masukkanlah rasa takut ke dalam relung hati kami yang paling dalam terhadap kehebatan dan kekuasaanMu yang mutlak dan hapuskanlah rasa takut kami kepada sesama makhluk. Berilah kesedaran kepada kami melalui rasa takut akan azabMu hingga menjadikan kami sentiasa berhati-hati untuk tidak melanggar larangan-laranganMu dan sebagai motivasi untuk kami mempertingkatkan lagi ibadah kami kepadaMu.

No comments: